Monday, 11 April 2011

Lukisan Cinta 1


Sembilan tahun sebelumnya………







AMANI memegang pergelangan tangan Zaiton dengan kuat. Sambil membawa beg pakaiannya disebelah tangannya, laju dia membawa Zaiton berlari bersamanya.

Mulut Zaiton pula tak henti-henti memarahi Amani dan menyuruh Amani berjalan dengan perlahan. Sudah beberapakali dia hampir terjatuh kerana ditarik Amani.

Amani yang langsung tidak memperdulikan leteran dan amarah ibunya, terus menarik tangan Zaiton agar segera mempercepatkan langkah mereka.

“Hoi!! Tak guna kamu berdua! Tunggu!!” Kedengaran satu suara garau berteriak dari belakang.

Amani dan Zaiton berpaling ke belakang. Kelibat Jalil yang sedang berlari mengejar mereka kelihatan. Pantas mereka berdua berlari dengan lebih laju. Mereka berpegangan tangan dan disebelah tangan masing-masing memegang beg pakaian.

“Cepat mak! Dia dah semakin dekat!” Amani membawa Zaiton berlari dengan lebih pantas.

“Lepaslah! Sakit!” Dengan kuat Zaiton menarik tangannya dan menghentikan lariannya.

Amani ikut berhenti. Zaiton mengurut-ngurut tangannya yang kesakitan. Amani memandang belakang. Kelibat Jalil sudah tiada tetapi dia tahu mereka masih diekori lelaki itu.

“Cepatlah mak! Dia dah nak dekat!”

“Tahulah! Tapi janganlah macam ni! Habis baju aku!” Zaiton membetul-betulkan rambut dan bajunya.

Amani menjeling geram. Ikutkan hati dia hanya mahu berlari sendiri dan meninggalkan Zaiton bersama lelaki tak guna itu. Namun, sebagai anak yang masih mengenangkan jasa Zaiton yang mengandungkannya selama sembilan bulan dan bersusah payah membesarkannya, dibawanya juga Zaiton bersama.

Diawalnya, Zaiton memang ralat untuk meninggalkan rumah Jalil. Namun, kerana ugutan Amani yang akan pergi sendiri jika Zaiton tidak mahu mengikutnya, akhirnya Zaiton menurut juga.

“Jom!!” Zaiton menjeling Amani lalu melangkah.

Amani mengerling Zaiton dengan rasa kurang senang. Selama tujuh belas tahun usianya, tak pernah Zaiton berlembut dan bersikap manis dengannya. Walaupun Zaiton menjaganya dengan baik, dia tidak pernah merasa belaian manja seorang ibu dengan Zaiton. Dia dibesarkan dengan suasana yang menjengkelkan.

Mereka berdua meneruskan langkah. Apabila mendengar jeritan Jalil yang memekik nama mereka, mereka kembali berlari. Lorong demi lorong yang terdapat dikawasan setinggan itu dilalui. Sedaya upaya mereka cuba melarikan diri dari lelaki itu.

Setelah merasakan Jalil sudah hilang jejak mereka, mereka berhenti berehat melepaskan keletihan. Tercungap-cungap kedua-duanya.

“Dah dapat!!!”

Tiba-tiba Jalil melompat di depan mereka. Mereka terkejut. Zaiton dan Amani berpelukan. Jantung Amani berdegup kencang.

“Mana kau nak lari!!” Wajah bengis Jalil memandang mereka berdua dengan tajam. “Berani korang lari dari aku!”

Zaiton yang ketakutan memeluk Amani erat. Amani yang berdiri di hadapan Zaiton bagaikan melindungi ibunya dari dicederakan. Jantung Amani berdegup dengan lebih kencang. Nafasnya sudah tidak tentu. Adakah mereka akan kembali semula di dalam penjara Jalil? Aimatanya seakan mahu menitis.

Melihatkan wajah ketakutan Amani dan Zaiton, berdekeh-dekeh tawa Jalil terhambur. Seronok dia melihat wajah-wajah yang ketakutan itu.

“Cepat lari!! Cepat!!!” Teriak satu suara kecil.

Hafiz muncul entah dari mana lalu melompat terus ke belakang Jalil. Hafiz yang beru berusia dua belas tahun itu, terus menumbuk-numbuk muka Jalil.

“Cepat kak!! Lari!!!” teriak Hafiz lagi.

Tanpa membuang masa, Amani mencapai tangan Zaiton dan membawanya lari pergi dari situ. Di dalam hatinya mengucapkan terima kasih buat Hafiz yang datang membantu mereka.



SAMPAI sahaja di terminal bas itu, mereka berdua melabuhkan punggung di kerusi panjang yang disediakan di sana. Pandangan Amani jatuh memandang orang ramai yang sibuk dengan urusan masing-masing di situ. Ada yang sedang beratur membeli tiket. Ada yang masih melihat jadual perjalanan bas.

Zaiton pula sudah membuka kasut tumit tingginya dan mengurut kakinya yang keletihan. Kemudian dia membetulkan rambutnya yang sudah berserabut.

“Kita nak ke mana?” tanya Zaiton mengganggu tumpuan Amani.

Amani menoleh sekilas. Bibirnya di ketap. Dia sendiri tidak pasti arah tujuan mereka. Apa yang dia tahu, mereka perlu keluar dari rumah Jalil. Dia tidak mahu lagi berada di rumah lelaki itu mahu pun mana-mana lelaki lagi.

“Ke mana-mana saja! Asalkan kita tak perlu menumpang mana-mana lelaki lagi!”

“Gila kau!!” tempik Zaiton. “Kalau tak de lelaki macam mana kita nak hidup?” terjegil biji mata Zaiton memandang Amani. “Kau nak makan apa?! Pasir?!!”

Amani terasa matanya bertakung. Dia menahan perasaan hibanya. Ibunya terlalu bergantung harap pada lelaki, kerana itu hidup mereka merempat begini.

“Mak! Kita boleh hidup tanpa lelaki! Kita sewa rumah murah! Cari kerja!” Amani sudah merancang hidup mereka.

“Kerja? Siapa yang nak bagi kita kerja?!” Zaiton menghembus nafas geram. “Pelajaran tak de! Apa pun tak de!”

Jika diturutkan hati, dia tidak mahu menurut rancangan gila Amani yang mahu tinggalkan Jalil. Tetapi Amani sudah bertekad untuk keluar dari situ. Dia tidak mahu Amani pergi dan meneruskan hidupnya sendirian. Dia tidak yakin Amani yang masih muda itu tahu bagaimana untuk meneruskan hidup di dunia yang penuh dengan pembohongan ini.

“Saya ada simpanan sikit.” Amani menyeluk kocek seluarnya. “Kita ke bandar! Cari rumah sewa dulu!”

Apabila Amani menyebut tentang duit, pantas otaknya teringatkan sesuatu. Lantas dia menyeluk kocek seluarnya dan mengeluarkan sapu tangan yang dilipat kemas.

Lipatan sapu tangan itu dibuka perlahan. Dia tersenyum lalu mengambil sebentuk cincin yang di bungkus dengan sapu tangan itu lalu disarungkan di jari manisnya.

Amani di sebelahnya tergaman melihat cincin emas itu. Ternganga mulut dia sebentar.

“Mak curi cincin tu?! Itukan cincin arwah isteri Pak Cik Jalil!!”

Zaiton menjeling Amani yang merenungnya tajam. Memang cincin itu dicurinya. Dia tahu cincin itu satu-satunya harta yang Jalil ada dan paling dia sayangi. Pernah dia menyarung cincin itu dijarinya dahulu dan apabila Jalil melihat cincin itu dipakainya, teruk dia dibelasah lelaki itu.

“Yelah…….mestilah aku ambil! Selama aku hidup dengan dia, apa yang dia beri aku? Heh!!” Zaiton ketawa jahat. “Padan muka dia!! Dah bertahun-tahun aku hidup dengan dia! Dia janji nak kahwin dengan aku. Tapi……biar dia rasa!!”

Amani mengeluh kehampaan. Dia benar-benar yakin, dengan adanya cincin ini bersama mereka, Jalil pasti takkan melepaskan mereka dengan mudah.

Setelah membelek-belek cincin dijarinya, Zaiton membuka kembali lalu membungkusnya semula dengan sapu tangan. Dengan pantas, Amani mencapai sapu tangan itu lalu di masukkan ke dalam beg pakaiannya.

“Hei!! Bagi balik!!!” jerit Zaiton.

“Tak boleh!!! Selagi cincin ni ada pada kita, Pak Cik Jalil akan terus cari kita!” tegas Amani.

Zaiton menjeling geram. Adakalanya dia kesal kenapa dia perlu melahirkan Amani di dunia ini! Lebih baik jika dia menggugurkan kandungannya dulu daripada dia hidupnya disusahkan oleh anaknya sendiri.

Amani menjauhi Zaiton. Dia bersandar di tembok. Dia perlu pulangkan semula cincin ini pada Jalil. Dia akan mencari jalan untuk menghubungi Hafiz dan meminta budak lelaki itu menyerahkan semula cincin itu pada Jalil.

Amani berpaling semula ke arah Zaiton. Kelihatan ibunya itu sedang membawa beg pakaian dan berjalan meninggalkannya.

“Mak nak ke mana?” tanya Amani.

“Aku nak ke tandaslah! Sibuk je kau ni!!” Zaiton menjeling lalu berlalu pergi bersama beg pakaiannya.

Amani melepaskan keluhan. Pasti Zaiton mahu menukar pakaian dan berdandan semula. Walaupun mereka hidup merempat dan sentiasa mengharapkan pada teman-teman lelaki Zaiton, namun ibunya itu tidak pernah merasa malu dan sentiasa mahu kelihatan cantik.

Memang Zaiton seorang wanita yang cantik. Di usia penghujung tiga puluhan, wanita itu masih bisa menarik perhatian ramai lelaki. Dengan cara itulah Zaiton menyara kehidupan mereka dua beranak.

Dia tahu Zaiton tidak pernah menginginkan hidup seperti ini. Wanita itu tidak berpelajaran dan sering dipermainkan lelaki. Lelaki-lelaki itu semua menjanjikan kehidupan yang baik untuk Zaiton dan Amani. Tetapi bila mereka sudah muak dengan Zaiton, mereka berdua akan ditendang keluar dari kehidupan lelaki-lelaki itu.

Walaupun dia merasa benci pada Zaiton kerana melahirkannya di dunia ini dan membuatkan hidupnya merana begini, tetapi dia masih bersyukur kerana Zaiton tidak pernah membuangnya seperti bayi-bayi luar nikah yang lain di luar sana. Zaiton tetap membawanya ke mana sahaja ‘neraka’ lelaki yang dibawa. Malah Zaiton sentiasa memastikan lelaki-lelaki itu tidak pernah menyentuhnya.

Kini, Amani benar-benar bertekad. Dia tidak mahu kehidupan mereka di libatkan dengan mana-mana lelaki lagi. Mereka harus membina semula kehidupan mereka.

Anganan Amani terganggu apabila melihat sekumpulan lelaki yang mundar-mandir berjalan sambil mata mereka meliar memandang sekeliling seperti sedang mencari seseorang. Hati Amani sudah berdegup kencang.

Dari cara mereka, dia pasti mereka semua pasti orang-orang upahan Jalil. Mereka pasti ke sini untuk menangkap Zaiton dan Amani.

Dengan perlahan-lahan dan berhati-hati Amani mencapai beg pakaiannya lalu berjalan masuk ke dalam tandas. Kelihatan Zaiton sedang berdiri di depan cermin sambil menyisir rambutnya. Pakaiannya sudah pun berganti baru seperti yang di sangka Amani.

“Orang-orang Pak Cik Jalil ada di luar!” Amani bersuara perlahan tetapi intonasinya ditekan.

“Hah?!” Zaiton terkejut lantas menyimpan barang-barangnya semula. “Macam mana ni?”

“Kita lari!!” ujar Amani.

“Lari lagi?!!” Zaiton keberatan. “Kita tunggu jelah. Nanti bila diorang dah tak de, kita keluarlah!”

Amani tidak bersetuju dengan Zaiton. Dia pasti jika mereka lebih lama di situ, pasti mereka akan tertangkap.

“Kita lari atau saya tinggalkan mak di sini!” ugut Amani. Zaiton mengerling tajam anaknya itu.

“Yelah!! Yelah!!” Zaiton mengalah.

Mereka mencapai beg pakaian masing-masing. Amani memegang tombol pintu lalu membukanya perlahan. Kepalanya terjengul keluar memerhatikan orang-orang Jalil. Setelah merasakan selamat, mereka berdua keluar dari situ.

“Itu dia!!” jerit satu suara.

Amani dan Zaiton menoleh. Kelihatan orang-orang Jalil berlari di antara sekumpulan orang-orang awam untuk menghampiri mereka. Pantas, mereka berpegangan tangan lalu berlari juga.

Anak-anak tangga untuk ke tingkat atas terminal di panjat mereka. Sedang sibuk melarikan diri, tanpa sengaja mereka terpisah. Amani yang kerisauan mencari-cari kelibat Zaiton dan tiba-tiba dia terlanggar seseorang sehingga mereka berdua terjatuh.

“Auch!!!!” jerit budak perempuan yang sudah terduduk di lantai itu.

“Maaf saya tak sengaja!!” Amani membantu budak perempuan yang berseragam sekolah itu untuk bangun.

Amani meliar memandang sekeliling. Dia terlihat beberapa orang dari kumpulan lelaki itu sudah berada di tingkat atas. Tetapi mereka masih belum menyedari kehadirannya.

Budak perempuan itu memerhatikan tingkah Amani yang kelihatannya cuba melarikan diri dari dari kumpulan lelaki yang sedang diperhatikannya. Tanpa bertanya apa-apa, pantas budak perempuan itu menarik tangan Amani dan membawanya masuk ke satu bilik seakan bilik stor.

“Siapa mereka tu?” tanya budak perempuan itu.

“Shh….” Jari telunjuk Amani diletakkan di bibir budak perempuan itu.

Amani membuka sedikit daun pintu dan mengintai ke luar. Dia mula kerisauan apabila mengingatkan Zaiton yang hilang entah ke mana. Jangan-jangan Zaiton sudah tertangkap.

Amani menutup semula pintu dengan rapat lalu memandang budak perempuan yang menolongnya itu.

“Kau boleh tolong aku?”

Budak perempuan itu terpinga-pinga sebentar namun kemudian dia mengangguk laju.

“Kau tahu mana-mana rumah sewa di bandar?”

Budak itu diam sebentar sambil berfikir. Dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya untuk mencari rumah sewa di bandar. Dia jarang sekali ke sana. Malah tempat tinggalnya juga jauh dari bandar.

“Aku tak tahu. Tapi mungkin ayah aku tahu di mana nak cari rumah sewa!”

Lantas budak perempuan itu membuka zip depan beg sekolahnya. Dia mencapai sekeping kertas lalu menulis sesuatu. Tak sampai hatinya membiarkan perempuan itu yang kelihatan benar-benar memerlukan bantuannya.

“Nah!!” Dia menyerahkan pada Amani.

Amani membaca apa yang tertulis di situ.

“Itu nama aku dan nombor telefon aku! Nanti balik aku tanyakan pada ayah aku. Kau hubungi aku nanti ye!!”

“Tania……Nama kau Tania?” Amani bertanya lagi walaupun sudah tertulis di kertas itu. Budak itu mengangguk.

Tanpa disangka, pintu stor itu terbuka dari luar. Kelihatan berdiri seorang lelaki yang besar tubuhnya sambil tersenyum sinis pada Amani.

Tania tergamam apabila lelaki itu menarik Amani keluar mengikutnya. Dia terasa nafasnya seakan berhenti sesaat. Apa akan jadi pada perempuan tu?

Rasa simpati menyelubungi hatinya. Dia tahu, budak perempuan itu memang dalam kesusahan. Siapa lelaki tadi? Lelaki itu kelihatan jahat dan bengis. Kasihan dia….

Dalam hanyut di bawa perasaannya, tiba-tiba Tania tersepak sesuatu. Dia menunduk untuk melihat apa yang disepaknya. Sebuah beg pakaian!

Pasti milik perempuan itu. Kasihannya!

No comments:

Post a Comment