Monday, 25 April 2011

Hanya Dia 54

PERLAHAN-lahan Maisara melangkah ke dalam kamarnya setelah mengemas kamar Suhana. Dia duduk di birai katil lalu melepaskan satu keluhan berat.

Fariz yang kebetulan baru keluar dari kamar mandi bersiap untuk keluar. Dia melirik Maisara yang terpaku di birai katil dengan wajah yang sugul. Fariz menghampiri Maisara dan duduk di sebelahnya.

“Kenapa ni?” tanya Fariz.

Maisara mengangkat wajah lalu beralih memandang Fariz disebelahnya. Wajah Fariz ditatapnya lama. Ada airmata yang masih bertakung di kolam matanya. Renungan Maisara kelihatan begitu lemah.

“Kenapa ni sayang?” tanya Fariz membalas renungan itu. Dia pasti ada sesuatu yang mengusik emosi isterinya itu.

Tanpa membalas pertanyaan itu, Maisara melentokkan kepalanya ke bahu Fariz. Fariz terkedu seketika namun kemudian dia memeluk bahu Maisara.

“Ada apa ni sayang?”

Pertanyaan dari Fariz sekali lagi dengan perkataan sayang dihujungnya membuatkan airmata Maisara tumpah. Sayu hatinya mendengar. Dia menyembamkan mukanya di dada lelaki itu dan memeluk erat pinggang Fariz disebelahnya.

Fariz terkedu lagi namun dia terus memeluk Maisara dengan erat. Apa yang menganggu emosi Maisara?

Bagaimana harus aku luahkan segala kekesalan di hati ini? Bagaimana untuk aku berterus terang tentang apa yang telah aku ketahui sedangkan kau mahu keadaan lalu dilupakan saja? Begitu mulia hatimu suamiku untuk menjadi ayah kepada anak bukan dari zuriatmu sendiri. Dan untuk itu, aku berjanji aku akan setia berada di sisi mu tanpa kau ketahui yang aku telah mengetahui segala-galanya. Aiman, akan menjadi anakmu sehingga ke akhirnya....Biarlah semuanya menjadi rahsia demi kebahagiaan Aiman.

“Hei.......kenapa ni sayang?” Fariz mengangkat dagu Maisara agar bisa dia memandang mata itu.

Maisara memandang Fariz lalu menyapu airmatanya. Dia mengukirkan senyuman lalu menggelengkan kepalanya menandakan tiada apa-apa yang berlaku. Maisara memerhatikan Fariz yang seakan sudah bersiap untuk keluar.

“Abang nak ke mana?” tanya Maisara.

Ternganga Fariz seketika dengan perkataan ‘abang’ yang ditujukan Maisara untuknya. Tetapi kemudian dia tersenyum. Rasa syukur dipanjatkan di dalam hatinya. Walaupun Maisara tidak menerangkan kenapa tiba-tiba sahaja dia bersikap begitu dengannya, namun dia tetap bersyukur kerana Maisara sudah mahu menerimanya sebagai suami. Biarlah jika Maisara merahsiakan asalkan mereka bisa hidup bahagia.

“Abang ingat nak keluar sekejap,” beritahu Fariz dan membahasakan dirinya ‘abang’ juga.

“Kalau abang keluar, Sara tinggal seoranglah....” ujar Maisara manja.

Fariz tersenyum mendengar suara manja yang sudah lama tidak didengarinya. Begitu dia merindui suara itu. Fariz memandang sekeliling lalu memandang Maisara semula.

“Mana Aiman?” Baru dia sedar Aiman tiada bersama mereka.

“Umi dengan abah bawa Aiman pergi kenduri,” beritahu Maisara. “Kalau abang pun nak keluar, tinggal Sara seoranglah.”

Fariz memandang Maisara sambil tersenyum bahagia.

Syukur padaMu Ya Allah.....Hari ini merupakan hari yang paling bahagia dalam hidupku. Tiada apa yang lebih bererti bagiku selain dari diri ini diterima semula oleh isteri yang sangat ku cintai...

“Kalau macam tu, abang tak jadi keluarlah. Abang temankan Sara.” Tangan Maisara dicapai dan digenggam erat lalu dia mengucup jari jemari itu.

Maisara hanya tersenyum sayu melihat perlakuan Fariz. Dia sedar, selama ini Fariz tentu terluka dengan sikapnya. Tetapi dalam masa yang sama melukai hati Fariz dengan sikap dinginnya, dia juga sebenarnya merasa terluka.

“Sara minta ampun kerana selama ni Sara berkelakuan buruk dengan abang.” Ada airmata yang mengalir.

Fariz menggeleng kepala seraya menyapu airmata yang mengalir.

“Jangan mengangis, sayang. Sara berhak marah pada abang. Sara melakukan itu semua kerana hati Sara terluka.” Genggaman tangan Fariz semakin erat. “Hari ini, abang rasa bahagia sangat. Sangat, sangat bahagia bila Sara sudi memaafkan abang dan terima abang semula.”

“Abang......” Maisara menarik nafasnya. “Sara janji, walau apa pun yang berlaku suatu hari nanti, Sara akan setia berada di sisi abang dan membesarkan Aiman bersama abang. Sara akan tunaikan amanah arwah Kak Su dengan sebaik mungkin. Selama ini, Sara dah banyak sakitkan hati abang dengan sikap Sara sedangkan Sara sendiri tidak tahu punca sebenarnya apa yang berlaku.”

Terharu Fariz mendengar luahan hati itu. Tetapi kenapa Maisara berkata begitu? Hati Fariz tertanya namun persoalan itu dimatikan sahaja. Biarlah, suatu saat nanti jika Maisara mahu menceritakan padanya, dia akan mengetahui juga. Jika tidak, biarlah segalanya menjadi rahsia Maisara. Asalkan Maisara bisa menerima dia semula itu sudah memadai.

Fariz memegang bahu Maisara dan membawa Maisara berdiri bersamanya. Wajah Maisara ditatap lama dengan penuh kerinduan yang bersarang di hati. Kedua-dua tangannya memegang wajah Maisara.



MAISARA tersenyum melihat Fariz yang sudi membantunya di dapur untuk menyediakan makan malam untuk mereka berdua. Terkial-kial lelaki itu memotong buah tembikai untuk dijadikan jus. Hari ini memang merupakan hari bahagia mereka berdua. Segala-galanya indah apabila dia akhirnya menunaikan kewajipannya sebagai seorang isteri.

Selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah bersama, Fariz menyatakan kesudiannya menolong Maisara di dapur. Mulanya Maisara ragu-ragu dengan Fariz namun melihatkan kesungguhan Fariz untuk menolongnya, dia membiarkan sahaja. Siapa percaya, Pengarah Infera Emas masuk ke dapur. Maisara tertawa kecil mengingatkan itu.

“Hei......kenapa ni sayang ketawa sorang-sorang ni!” Fariz yang tiba dari belakang terus memeluknya.

“Tak......tak de apa,” ujar Maisara. “Dah siap ke jus tembikai tu?” sindir Maisara.

“Oh mesti! Ingat abang tak pandai ke?” Fariz mencuit hidung Maisara. “Hari ni kita makan di luar, okey?”

“Makan di luar. Habis, yang penat-penat Sara siapkan makan malam ni untuk siapa? Umi dah telefon tadi beritahu diorang akan balik lambat!”

Maisara sudah menarik muncung panjang. Fariz tersenyum mesra. Sudah lama dia tidak melihat muncung panjang itu. Kini dia sedar, sudah berapa lama dia tidak melihat segala-galanya tentang Maisara. Senyuman tawanya, belaian manjanya, rajuknya dan semuanya. Betapa dia merindui Maisara.

“Bukan macam tulah sayang!” Pelukannya dieratkan. “Abang dah siapkan makan malam kita di laman. Semuanya abang dah siapkan!”

Maisara menjungkitkan keningnya. Fariz menyediakan makan malam mereka di laman? Tentu malam ini akan menjadi kenangan yang terindah. Tetapi bila masa pula suaminya itu menghilangkan diri dan sediakan itu semua?

“Kalau hujan nanti macam mana?” tanya Maisara.

“Takkan hujan! Abang dah tengok langit. Ada bulan, ada bintang. Maknanya, malam ni takkan hujan! Believe me!”

Maisara tersenyum. Pelukan Fariz dileraikan. Kemudian dia menyerahkan dua pinggan chicken chop untuk dihidangkan Fariz.

“Makan dah siap, minum dah siap. So, sekarang Sara naik atas, abang nak Sara berdandan cantik-cantik kemudian turun. Biar abang hidangkan semua ni!”

“Betul ke ni?” tanya Maisara, mengusik.

“You still don’t believe me? Believe me, dear! I will do anything for you.” Fariz benar-benar maksudkannya.

“So sweet.....” Hidung Fariz dicuit Maisara dengan manja.

Fariz mencapai dua pinggan chicken chop yang disediakan Maisara. Dia mengambil bau harum itu lalu tersenyum. Seleranya terbuka. Walaupun hanya chicken chop yang disediakan Maisara namun dia kelihatan benar-benar teruja. Chicken chop itu dirasakan begitu istimewa. Mungkin rasa gembira dihatinya yang membuatkan semuanya kelihatan sempurna.

Kemudian dia membawa dua pinggan chicken chop itu bersamanya dan hilang ke laman rumah. Maisara pula terus membawa diri ke tingkat atas.

Alamarinya di buka. Baju-baju yang tergantung diselaknya. Dia memilih-milih pakaian yang sesuai untuk dipakai malam ini. Tiga helai gaun yang berkenan di hati di keluarkan dan diletakkan di atas katil. Setelah mencuba ketiga-tiga gaun itu dia memilih untuk mengenakan gaun ungu gelap separas betis.

Wajahnya disolek ringkas dengan warna yang sesuai dengan gaunnya. Rambutnya yang lurus dan panjang di sikat rapi. Separuh rambutnya diikat dan disepit kemas. Kemudian dia membelek dirinya di dalam cermin. Secalit lip gloss bewarna pink lembut dikenakan untuk sentuhan terakhir. Dia mengukirkan senyuman. Ringkas dan menarik. Setelah berpuas hati dia keluar dan menuruni anak tangga sambil berlagu riang.

Langkahnya terhenti apabila melihat Fariz yang segak memakai jeans hitam dan kemeja T berjenama Guess Sport. Ringkas dan bergaya.

Fariz menghampiri Maisara dan menghulurkan tangannya. Maisara tersenyum lalu menyambut huluran tangan itu. Mereka berdua beriringan melangkah ke halaman. Pinggang Maisara dipeluk erat.

Sampai sahaja di laman, Maisara tergaman seketika sehingga langkahnya terhenti. Di depannya kini terdapat sebuah meja makan yang beralas cantik. Di tengahnya pula diletakkan tiga batang lilin. Hidangan yang disediakan bersama Fariz sebentar tadi tersusun kemas.

Walaupun ringkas namun semuanya kelihatan indah apabila membayangkan mereka akan menikmati makan malam bersama di bawah bintang-bintang yang bertaburan di langit kelam dan hanya disinari cahaya lilin dan bulan. Fariz memang romantik!

“Mari sayang!” Dengan penuh kasih sayang Fariz menggenggam jari jemari Maisara dan menarik tangan Maisara dan membawanya ke meja makan.

Fariz menarik kerusi buat Maisara dan membantunya untuk duduk. Kemudian dia duduk bertentangan dengan Maisara. Gembira dia melihat Maisara yang berseri wajahnya. Wajah yang bersolek sederhana itu kelihatan begitu jelita di bawah sinaran bulan begini.

“Terima kasih abang!” Terharu Maisara dengan setiap layanan dan pengorbanan Fariz selama ini.

“Anything will do for you, sayang!”

Masing-masing menatap wajah dan bertentangan mata. Terpancar sinar kebahagiaan dan kasih sayang yang selama ini terpendam.

16 comments:

  1. As-salam.....
    utk perhatian semua pembaca,ini adalah N3 HD yg terakhir sy akan postkan. saya akan mghantar manuskrip HD utk penilaian.jika dlm tempoh 4-5 bulan penilaian HD gagal,saya akan postkan kembali sambungannya.....
    Doa2kan HD berjaya ya...
    Terima Kasih utk semua yg meminati HD....
    Salam

    ReplyDelete
  2. salam..don't worry ..nukilan anda pasti akan diterbitkan krn cerita nya mmg menarik..all d best..kalau dah diterbitkan war warkan kat kami..ya..boleh kami serbu MPH untuk mendapat koleksi nukilan anda

    ReplyDelete
  3. best...............akhirnya..........Tahniah, for sure, akak pasti beli!!!!!!!!!!!!!!!!!! Just let know bila dah diterbitkan nanti!!!!!!!!!!!!

    ReplyDelete
  4. wah dah ada perkembangan yg baik dlm hubungan Fariz n Sara. Which they r all the best. Hope cinta diaorg kukuh n kekal bt slamanya.

    For cik writer, tahniah la y. we r waiting ur book to be publish as soon as possible. ;D

    ReplyDelete
  5. suksuke dgn perhubungan Faris dan Sara sudah
    improve kearah lebih mesra lagi...nk lagi

    ReplyDelete
  6. waaaaa smoga berjaye ye penulis... x sabar nk pegi beli novelnye.. hehehehe

    ReplyDelete
  7. kn best kalo HD ni ada novel... xsbr nk tau ending citer ni

    ReplyDelete
  8. akak,.hanya dia under fp jugak ke?

    ReplyDelete
  9. Best...
    harap2 meski ditolak tetap dipostkan... :)

    ReplyDelete
  10. sorry, mksud Idha, jika sj dah diterima tetap dipostkan...

    lebih seronok baca melalui blog ini... :D

    ReplyDelete
  11. alfa syamimi: ya dik, masih di bawah penerbit yang sama.....:)

    Idha Chunyang: maaf ya dik, lepas dah diterima akak x boleh nak post di sini dah. Kalau bisa, adik boleh melanggan dengan pihak Fajar pakeer atau boleh inbox di FB akak. Add akak di Fb ya...

    ReplyDelete
  12. kak buku nie dh jual kt pasaran ker?? nk beli lah..

    ReplyDelete
  13. Belum ada di amaran dia. Dalam proses. Akan dimaklumkan nanti bila ada dipasaran ya.....

    ReplyDelete