Tuesday, 3 May 2011

Lukisan Cinta 2



IZZ yang sedang mendengar lagu sepanyol mengikut bait-bait lagu yang dipasangnya sambil memerhatikan sekeliling. Sambil menghiburkan hatinya yang sedang kebosanan dia masih tidak lupa untuk menjalankan kewajipannya.

Matanya dilirikkan sebentar memandang jam ditangan. Kenapa hari ini Tania lambat sekali tiba di situ?

Sepatutnya memang sudah menjadi tugasnya untuk mengambil Tania pulang dari sekolah. Namun, hari ini Tania sudah berjanji dengan kawan-kawannya untuk keluar menonton wayang. Tetapi kemudian, Tuan Helmi menelefonnya dan menyuruhnya mengambil Tania di terminal bas.

Tadi dia sudah menghubungi Tania. Tania memintanya untuk menunggu di tempat letak kereta.

Sedang matanya meliar memandang ke kiri mencari-cari kelibat Tania, cermin pintunya di ketuk. Lantas dia berpaling ke kanan.

Kelihatan wajah Tania sudah tersenyum memandangnya. Cermin tingkap di turunkan.

“Kenapa lambat?” tanya Izz.

Tanpa menjawap soalan itu Tania berjalan ke kiri kereta dan membuka pintu. Tubuhnya di loloskan ke dalam.

Berkerut kening Izz melihat beg pakaian di ribaan Tania.

“Beg siapa ni?” tanya Izz.

Seingatnya, pagi tadi ketika dia menghantar Tania ke sekolah, tidak pula dia melihat beg pakaian itu.

Tania memandang beg pakaian itu. Dia teringat semula kepada budak perempuan tadi. Dia berdoa semoga budak perempuan itu selamat.

“Ini beg kawan. Dia suruh Tania simpan!” Tania mengukir senyuman manis.

Izz disebelahnya turut tersenyum. Tania memang seorang gadis yang ceria dan murah dengan senyuman. Walaupun Tania adalah anak majikannya, namun dia terasa seperti Tania adalah adiknya. Gadis itu sentiasa baik dengan sesiapa sahaja.

Rata-rata pekerja di Ilham Hati sangat menyenangi anak tunggal Tuan Helmi itu. Sikap Tania yang merendah diri dan ramah dengan semua pekerja sama seperti arwah ibunya, Sufi.

Puan Sufi meninggal dunia tiga tahun lalu kerana menghidapi barah. Kasihan Tania. Tania ketika itu baru berusia tiga belas tahun. Memang sukar bagi Tania menerima kenyataan ibunya sudah pergi meninggalkannya. Namun lama kelamaan, Tania sudah bisa menerima kenyataan itu.

Tania memandang Izz dengan senyuman yang tidak pernah lekang. Sejak hari pertama lelaki itu di bawa pulang oleh papa, dia sudah menyenangi Izz. Dia tidak pasti perasaannya pada Izz namun dia cukup senang bila disamping Izz.

Di sekolah, dia juga meminati seorang kawan lelakinya, Faiz. Dia juga merasakan yang dia menyayangi Faiz sama seperti dia menyayangi Izz. Entahlah…...Yang penting dia tidak mahu kehilangan kedua-duanya sehingga dia benar-benar pasti tentang perasaannya.

“Apa yang senyum-senyum ni?” tegur Izz.

Semakin melebar senyuman yang terukir di bibir Tania dengan teguran itu.

“Kau tahu Izz……Kau milik aku! Ingat! Jangan cari perempuan lain tau!” kata Tania. “Tunggu aku sampai aku habis belajar!”

Izz ketawa dengan kata-kata Tania. Ini bukan pertama kali Tania berkata begitu. Mulanya memang dia agak terkejut, lama kelamaan dia sudah terbiasa dengan usikan Tania. Sekejap Tania akan memberi amaran padanya agar setia pada dia tetapi dalam masa yang sama Tania masih bisa bercerita tentang perasaannya pada Faiz, rakan sekolahnya.

“Betullah!! Aku tak main-main!!”

“Baiklah tuan puteri…..” Izz masih tersenyum.

Izz memang sayangkan Tania. Namun sayangnya pada Tania hanya terbatas sebagai sayang seorang abang pada adiknya. Tania masih muda dan masih mentah. Dunia yang dijelajahinya masih belum luas. Tania masih belum jumpa dengan ramai orang. Setiap hari, Tania hanya di sekolah dan Ilham Hati.

Suatu hari nanti Tania pasti menyedari perasaannya pada Izz hanyalah perasaan yang sementara. Gadis itu akan melanjutkan pelajaran dan akan berjumpa dengan ramai orang. Di saat itu, gadis itu pasti sudah bijak berfikir tentang masa depannya.

Tania masih mentah untuk mengetahui apa itu cinta……



SAMPAI sahaja di gerbang Ilham Hati, Tania meluru keluar dari kereta dan membuka pintu gerbang yang memisahkan Ilham Hati dengan dunia luar.

“Tania dah balik!!” jeritnya seperti selalu.

Biasanya apabila dia menjerit begitu, ramailah pekerja-pekerja di Ilham Hati yang akan menyambutnya. Namun berlainan sekali pada hari ini. Suasana di Ilham hati begitu sunyi dan sepi.

“Tania dah balik!!” jeritnya lagi sambil matanya liar memerhati perkarangan Ilham Hati yang begitu luas.

Dari jauh kelihatan seorang wanita tua berlari-lari anak menghampiri Tania. Sampai di depan Tania dia sudah tercungap-cungap.

“Kenapa Mak Eton?” Tania bertanya pada tukang masak di Ilham Hati.

Izz sudah berdiri di sebelah Tania bersama beg pakaian yang dibawa pulang Tania. Dia juga merasa asing dengan suasana sunyi itu. Biasanya apabila masuk sahaja ke gerbang Ilham Hati, akan terdengarlah suara-suara dan bunyi-bunyi bising pekerja-pekerja itu ketika melaksanakan tugasan mereka.

“Tuan Helmi naik angin! Habis semua pekerja-pekerja di marahinya!” Mak Eton bersuara berselang seli dengan nafasnya yang masih tercungap-cungap. “Cepat Tania! Hanya kamu saja yang boleh tenangkan dia!”

Tania berlari mencari papanya di kawasan jemuran. Agak susah untuk melalui kawasan itu kerana berpuluh-puluh helaian kain di jemur setelah direndam dengan warna sebelum digulung untuk dijual sebagai kain kosong. Ada sesetengahnya pula diambil untuk dilukiskan dengan corak-corak yang direka oleh Tuan Helmi sendiri.

Sebaik sahaja melihat kelibat papanya yang sedang memarahi pekerja-pekerja di situ, pantas Tania berlari mendapatkan Tuan Helmi.

“Papa! Papa! Sudahlah!” Tangan Tuan Helmi digenggam erat.

Tuan Helmi kelihatan sedikit terkejut melihat kelibat Tania di situ. Namun pandangannya kembali beralih memandang semua pekerjanya yang sudah tertunduk ke tanah.

“Mereka semua dah rosakkan kain-kain papa! Habis semua ilham yang papa cipta!!” jerit Tuan Helmi.

Tania memeluk tubuh di depannya dengan erat. Dia tahu, papa masih tertekan. Walaupun arwah mama sudah meninggalkan mereka hampir tiga tahun tetapi papa masih belum bisa membiasakan diri tanpa mama disisinya.

“Sudahlah papa…..” dia merayu lalu menatap wajah Tuan Helmi dengan wajah yang memohon simpati. “Mereka semua tak sengaja!!” Tania terus-terusan memujuk.

Tuan Helmi melepaskan keluhan panjang. Wajah simpati anaknya itu sering menjadi kelemahannya. Dialah satu-satunya permata hati Tuan Helmi. Peninggalan arwah yang sangat dicintai.

“Papa masuk berehat ye…..” Tania menarik tangan Tuan Helmi agar meninggalkan kawasan jemuran itu. “Papa mesti letih!!”

Tanpa banyak bicara, Tuan Helmi menuruti kehendak Tania. Lalu dia membawa Tuan Helmi ke ruang pejabat peribadinya.

Tania sudah kembali ke kawasan jemuran. Dia membantu para pekerja mengutip dan mengemas kain-kain dan bahan-bahan mewarna yang bertaburan.

“Kamu semua tak apa-apa?” tanya Tania.

Dia khuatir jika ada pekerja yang jauh hati dengan ketegasan papa. Sejak arwah mama meninggal, memang Tuan Helmi menjadi pendiam dan sedikit baran. Ada sahaja yang tidak kena dengan para pekerjanya.

“Tak pe…..Kami semua okey!!” Terangguk-angguk Pak Bakri menjawap bagi pihak pekerja yang lain.

“Terima kasih kerana sudah membantu kami!” Pak Syuib pula berterima kasih.

Sikap Tania tak ubah seperti arwah Puan Sufi. Mereka semua senang dengan kelembutan dua beranak itu.

Ketika Puan Sufi masih hidup, dialah yang sering membantu Tuan Helmi menguruskan perniagaan kain Ilham Hati. Puan Sufi juga pernah mereka beberapa corak untuk Ilham Hati. Rekaannya memang cantik dan eksklusif. Tetapi sayangnya, Tania tidak mempunyai bakat seperti Puan Sufi dan Tuan Helmi.

Dari jauh Izz memerhatikan Tania dengan senyuman. Gadis itu memang baik dengan sesiapa sahaja. Dia pasti kesemua mereka sangat sayangkan Tania.

No comments:

Post a Comment