Diceritakan pada satu malam, seorang raja bernama Ibrahim Adham, sedang berehat dan bersenang-senangdi tilam empuk dalam istananya, sementara menunggu melelapkan mata. Tiba-tiba dia terdengar bunyi yang menunjukkan sesuatu sedang bergerak-gerak di atas siling istananya. Makin lama, makin jelas.
"Siapa di atas tu?' bentak Ibrahim Adham.
"Saya pengembala kambing," sahut satu suara dari atas dengan jelas.
"Apa yang kau buat di atas istana ku?" tanya raja lagi.
"Aku mencari kambingku yang hilang." jawab suara itu.
"Cis! Pelik sungguh! Masukkah akal bahawa kau mencari kambing yang hilang di atas atap istanaku?"
Dengan tegas suara itu menjawab, "Begitulah wahai Ibrahim! Adalah pelik kalau kau inginkan keredhaan Allah hanyan dengan bersenang-senang di atas tilammu yang empuk? Itu sama saja dengan mencari kambing di atas atap!"
Selepas insiden itu, Raja Ibrahim Adham tersedar daripada kelalaiannya. Suara itu telah menyentak kelalaiannya dalam buaian nikmat sebagai seorang raja, tanpa memikirkan kesusahan rakyat.
Tidak lama selepas itu, baginda menyerahkan takhtanya kepada orang kepercayaannya manakala baginda sendiri mula mengembara mencari ilmu dan bermujahadah sebagai seorang sufi. Bertahun-tahun baginda mendidik diri, darjat ketakwaan semakin meningkat, hingga terkenallah baginda sebagai seorang waliullah yang tersohor.
Pengajaran:
Tidak ada jalan mudah untuk mencari keredhaan Allah. Sesungguhnya, syurga sentiasa dipagari oleh kesusahan manakala neraka sentiasa dihiasi oleh kesenangan. Justeru, hadapilah kesusahan yang sementara di dunia demi kesenangan yang abadi di syurga.
No comments:
Post a Comment