ZAITON memerhatikan ke dalam kawasan sekolah menengah yang di maksudkan. Budak perempuan yang bernama Tania yang dihubunginya semalam menyuruhnya tunggu di depan pintu pagar sekolah selepas waktu tamat persekolahan.
Zaiton melihat jam di tangan. Masih ada sepuluh minit lagi sebelum loceng sekolah berbunyi. Dia berjalan menghampiri sebuah kerusi panjang yang terdapat di hadapan pintu pagar sekolah.
Fikirannya melayang mengingatkan Amani. Memang di awalnya, Amani berkeras agar dia yang pergi berjumpa dengan Tania. Tetapi bila memikirkan Amani mungkin terus melarikan diri, maka dia membuat keputusan, dia yang akan pergi berjumpa dengan Tania dan meninggalkan Amani bersama Jalil sebagai tebusan.
Sebelum dia keluar dari rumah dia sudah memberi amaran pada Jalil agar jangan pernah menyentuh Amani. Dia pasti, Jalil tidak akan berani mempermainkan amarannya. Malah, Hafiz juga telah di amanahkan untuk menjaga Amani.
Walaupun Hafiz itu baru berusia dua belas tahun tetapi Hafiz sangat matang seperti Amani. Mungkin kesusahan mereka yang menyebabkan anak-anak muda itu matang sebelum waktunya.
Mujurlah ada Hafiz, anak tiri Jalil. Anak Arwah isteri Jalil dengan suami pertamanya dulu memang kelihatan mengambil berat tentang Amani. Walaupun dia tidak rapat malah tidak bergaul mesra dengan budak itu, tetapi kelihatannya Hafiz menjaga Amani umpama abang menjaga adiknya.
Setelah sepuluh minit berlalu, kedengaran loceng sekolah berbunyi nyaring. Deringan loceng itu membuatkan hati Zaiton menjadi lebih tidak sabar. Kelihatan berduyun-duyun budak-budak sekolah keluar dari bangunan sekolah.
Dia memandang setiap budak perempuan dan berkira-kira yang mana satu adalah Tania. Bagaimana dia bisa mengenali Tania sedangkan kesemua mereka berpakaian seragam sekolah dan wajah Tania juga tidak pernah dilihatnya.
Dia mengeluarkan telefon bimbit dari koceknya lalu mendail nombor telefon Tania.
Tania yang masih mengemas buku-bukunya segera mencapai telefon bimbit yang disembunyikan dalam beg sekolahnya. Kalaulah pengawas atau guru-guru tahu kesalahannya itu, pasti telefonnya akan dirampas.
“Hello…..Assalamualaikum……” ramah Tania menjawap panggilan asing itu.
Zaiton yang tidak pernah mengucapkan kata salam apatah lagi untuk menjawapnya tergamam seketika. Telefon bimbitnya diperhatikan seketika lalu dibawa ke telinganya semula.
“Tania……Mak cik dah ada depan pintu pagar ni. Tania masih ada di sekolah, kan?” tanya Zaiton yang sudah gusar sekiranya Tania sudah pulang.
“Ah……” melebar senyuman Tania. Walaupun dia tidak mengenali wanita itu, namun memandangkan wanita itu adalah ibu budak perempuan yang ditemuinya, dia menjadi tidak gusar untuk membawa wanita itu ke rumahnya.
“Mak cik tunggu dulu ye. Tania baru nak keluar kelas ni. Nanti sampai depan pintu sekolah Tania pergi pada Mak cik!”
Tania mematikan telefon bimbitnya setelah memberi salam. Segera dia mencapai beg sekolahnya lalu berlari menuruni bangunan dan terus menuju ke pintu pagar. Liar matanya mencari orang yang ditunggu-tunggu.
Dari jauh matanya menangkap seorang wanita cantik yang sedang duduk di kerusi panjang di bawah pohon rendang bertentangan dengan pagar sekolah. Dia tersenyum. Pasti itulah orangnya kerana tiada wanita lain yang berada di situ.
“Mak cik!!” Tania menegur.
Wanita itu mengangkat wajahnya dan memandangnya. Dia berdiri dan terus memandang Tania yang masih mengukirkan senyuman manis.
“Tania?” tanya Zaiton. Tania menganggukkan kepalanya.
“Mari Mak cik! Tania bawa Mak cik ke rumah Tania!”
Tania terus berjalan dengan gembira di samping Zaiton. Zaiton yang sememangnya kurang mesra hanya mendiamkan diri dan tidak banyak bercakap sambil langkahnya terus membontoti langkah Tania.
HAFIZ memandang Amani yang masih dalam amarahnya. Dia tahu Amani marah pada Zaiton kerana meninggalkannya kepada Jalil sebagai jaminan.
“Kakak……” panggilnya.
Amani menjeling Hafiz. Hafiz tahu di dalam mood Amani yang sebegini tiada satu pun yang bisa menarik perhatiannya. Lantas Hafiz berdiri di depan Amani. Dia mengukirkan senyuman.
“Profesor Klon!! Ya!! Saintis termashyur!! Kebanggaan rakyat warga terunggul!! Profesor Klon! Ya!! Tokoh contoh Metrofulus Profesor Klon!!” Hafiz menyanyikan lagu Profesor Klon dari filem Cicak-Man kegemarannya sambil dia meniru watak itu.
Amani memerhatikan Hafiz yang sedang meniru Profesor Klon dan hanya bait-bait korus itu diulangnya. Dengan tubuhnya yang bulat dan pipi tembam Hafiz, memang dia merasa lucu dengan tingkat comel Hafiz itu. Walaupun dia berusaha tidak mahu senyum, namun akhirnya terukir juga senyuman buat Hafiz.
Melihatkan senyuman yang terukir, Hafiz semakin ligat menari untuk menghiburkan hati Amani. Dia akan melakukan apa sahaja agar di wajah yang sentiasa tegang, dingin dan beku itu bisa mengukirkan sedikit senyuman.
ZAITON yang masih membontoti Amani sudah mula merasa keletihan. Dia melirik sebentar tasik yang berada di kirinya. Sedari tadi mereka asyik berjalan tetapi masih belum juga tiba di rumah Tania. Kalau bukan kerana cincin itu, mahu sahaja dia menghamburkan kemarahan pada Tania. Kalau rumahnya masih jauh, kenapa tidak naik teksi sahaja?
“Tania…..” panggil Zaiton berlagak sopan.
Tania menghentikan langkahnya dan berpaling ke belakang memandang Zaiton.
“Jauh lagi ke?” tanya Zaiton. “Kalau jauh, kita tahan teksi je….” pujuk Zaiton.
“Ah…..dah nak dekat dah Mak cik! Sikit lagi! Lagi pun biasanya teksi dan bas tak masuk ke kawasan rumah saya!” beritahu Tania.
Memang benar, kenderaan awam hanya akan berhenti di jalan besar. Walaupun ada jalan masuk ke kawasan Setia Sentosa namun rata-rata pemandu teksi enggan masuk sehingga ke kawasan itu.
Setia Sentosa memang sebuah pertempatan yang besar. Perjalanan selama lima minit dari jalan besar menggunakan kenderaan, mereka akan bertemu dengan sebuah tasik yang sangat luas dan indah. Melepasi tasik itu, baru mereka akan menemui perkampungan Setia Sentosa.
Kampung Indah Mentari, itulah nama kampung yang di beri. Ilham hati juga terletak di dalam Kampung Indah Mentari. Ilham Hati terletak di hujung sekali perkampungan itu. Malah keluasan Ilhan Hati adalah setengah dari keluasan Kampung Indah Mentari.
“Setiap hari kamu berjalan pulang dari sekolah?” tanya Zaiton.
“Tak!”
Tania kembali meneruskan langkahnya dan diikuti Zaiton dari belakang.
“Biasanya pekerja papa yang hantar dan ambil saya pulang. Tapi hari ni papa hantar dia ke bandar. Pasti ada urusan yang penting. Jadi sebab itulah kita kena berjalan. Maaf ye Mak cik!” tanpa sebab yang utuh, Tania tetap memohon maaf.
Zaiton yang mendengar menjadi teruja. Pekerja papa? Siapa papa budak ini? Pasti orangnya kaya dan berpengaruh kerana mempunyai pekerja. Mungkin juga seorang ahli perniagaan. Tapi jika ahli perniagaan, perniagaan apa yang dijalankan di kawasan perkampungan seperti itu?
“TANIA dah balik!!” jerit Tania seperti selalu.
Mak Eton dan Kak Min segera menyambut Tania di gerbang Ilham Hati. Mereka melayan dan menyambut Tania dengan mesra. Zaiton yang berdiri agak jauh dari mereka hanya memerhati setiap layanan yang diterima gadis muda itu.
Tania yang ralit berbual dengan mak Eton dan Kak Min akhirnya teringat kepada Zaiton. Dia dengan rasa bersalah menghampiri Zaiton semula.
“Maaf Mak cik, saya terlupa pula dengan Mak cik.” Tania memohon maaf dengan menundukkan sedikit kepalanya pada Zaiton. “Marilah, Mak cik kita ke rumah saya!”
“Mak Eton dan Kak Min tolong sediakan makanan buat tetamu kita,” ujar Tania.
Mak Eton memandang Zaiton dengan pandangan kurang senang. Firasatnya, wanita itu bukan jenis wanita golongan baik-baik. Dari caranya berpakaian dan pandangan wanita itu menyatakan firasatnya.
Mak Eton menarik Tania menjauhi Zaiton.
“Siapa dia? Dari mana Tania jumpa dia?”
“Oh…..dia tu mak kawan Tania. Kebetulan, hari tu kawan Tania minta Tania jagakan barangnya dan sekarang Mak cik ni nak ambil semula barang kawan Tania tu,” Tania menjelaskan perkara yang sebenarnya.
Zaiton yang meyedari pandangan kurang senang Mak Eton padanya mula merasa tidak senang. Tak guna punya perempuan tua!! Di dalam hatinya sudah memaki hamun Mak Eton.
“Mak Eton dan Kak Min boleh siapakan makanan ye…..” suruh Tania. Mereka berdua mengangguk lalu pergi.
“Argh!!!” jeritan Zaiton membuatkan mereka bertiga menoleh.
Kelihatan Zaiton sudah tercengang dengan baju yang basah. Berdiri di depan Zaiton adalah Jamal yang sedang memegang tong besar di tangannya.
“Maaf…..maaf…… Saya tak sengaja!!” Jamal mengulangi kata-katanya untuk menunjukkan kekesalannya kerana cuai.
Sebenarnya, Jamal sedang membawa tong itu untuk membuang air bekas rendaman kain-kain yang sudah dicelupkan warna. Tanpa sengaja, dia tersepak batu lalu terjatuh dan air di dalam tong itu tertumpah membasahkan pakaian Zaiton.
“Mak cik tak apa-apa?!!” Dengan wajah yang penuh rasa bersalah Tania menghampiri Zaiton. “Maafkan dia, dia tak sengaja!!” Tania memohon maaf bagi pihak Jamal lalu memberi isyarat kepada Jamal untuk pergi.
Mak Eton dan Kak Min juga sudah berlalu untuk menyediakan makanan setelah menerima isyarat dari Tania.
“Mari Mak cik kita ke dalam salin pakaian!!”
Tania menarik tangan Zaiton lalu membawa Zaiton berjalan masuk ke dalam. kawasan Ilham Hati yang luas itu.
Zaiton memandang kawasan sekeliling. Kawasan yang luas itu penuh dengan kain-kain yang dijemur. Di belakang kawasan itu terdapat sebuah pondok yang besar. Dan di dalam pondok itu dia melihat ramai pekerja lelaki yang sedang memasukkan kain-kain yang bewarna di dalam kawah air panas yang mendidih.
Ada pula sesetengah dari mereka sedang mengecap pelbagai corak kain di atas bentangan kain yang terbentang dan beberapa pekerja lelaki dan perempuan sedang mewarnakan corak-corak yang sudah di tekap di atas kain-kain kosong. Begitu kusyuk Zaiton melihat sambil kakinya melangkah mengikut Tania.
Sampai sahaja di hujung kawasan yang dikelilingai dinding kayu tersebut terdapat sebuah pintu kecil yang membawa mereka ke satu kawasan yang lain.
Sebaik sahaja melepasi pintu kecil itu, langkah Zaiton terhenti dan mulutnya ternganga luas. Dia seoalah-olah tidak percaya apa yang dilihat olah matanya sekarang.
“Besarnya!!!”
Di depannya kini terdapat tiga buah rumah kayu yang besar dan kawasan yang sangat luas dan cantik. Sebuah darinya adalah sangat besar. Dan tiga rumah kayu itu dihubungi dengan laluan seperti jambatan. Dan di bawah setiap laluan itu terdapat kolam-kolam kecil dan ada taman kecil mengelilinginya.
Walaupun ianya adalah rumah kayu, tetapi ia bukanlah rumah kayu biasa. Ukiran kayu-kayu di segenap ruang menyatakan segalanya. Ini bukan rumah kampung biasa! Hanya orang-orang tertentu sahaja yang mampu memiliki rumah seperti ini.
“Marilah Mak cik!!” panggil Tania apabila menyedari Zaiton tidak mengekorinya.
Zaiton yang tersedar dari keterujaannya lantas mengekori langkah Tania yang menuruni anak tangga untuk masuk ke kawasan rumah besar itu. Kawasan Ilham hati memang berbukit-bukit. Dan mereka perlu menuruni anak-anak tangga yang dibina untuk sampai di pintu depan rumah kayu itu.
Sampai sahaja di depan pintu pagar, Zaiton memerhatikan papan tanda kayu yang dipacakkan di depannya.
“Syurga Ilham Hati?!” Zaiton membaca papan tanda kayu itu.
Tania tersenyum lalu tangannya membuka pintu pagar dan melangkah masuk ke perkarangan rumah besar itu.
“Syurga Ilham Hati adalah nama rumah ini. Arwah mama yang berikan nama tu!” ujar Tania.
Arwah mama?
Cepat benar Zaiton memangkap perkataan itu dan memprosesnya ke otak. Dia tersenyum.
“Yang hujung sebelah kanan adalah pejabat papa. Di situlah papa habiskan masanya dan melakukan kerja-kerjanya.” Tania menunjuk ke bangunan kayu yang paling hujung.
“Yang tengah ni adalah rumah untuk para tetamu khas dan juga ruang ketika membuat apa-apa keraikan di rumah ni,” terang Tania lagi. “Dan yang ini adalah rumah kami.” Tania menunding pada rumah kayu yang paling besar. “Mari kita ke bilik saya!”
Melangkah sahaja di dalam rumah kayu yang besar itu, Zaiton begitu teruja melihat rumah itu mepunyai lapan buah bilik yang besar dan cantik. Sampai sahaja di kamar Tania, dia mempersilakan Zaiton duduk di atas katilnya. Dia mencapai sebuah beg di bawah katil.
Zaiton yang masih dalam keterujaan memandang terus ruang di kamar itu. Kamar Tania jauh lebih besar dari mana-mana rumah lelaki-lelaki yang pernah disinggahi. Malah kamar itu juga lebih besar tiga kali ganda dari rumah setinggan Jalil. Bertuahnya dia dan Amani jika mereka bisa masuk ke sini.
“Mak cik…..” Tania menyerahkan sepasang pakaian yang berlipat di ambil dari beg di bawah katilnya. “Pergilah gantikan pakaian. Tania ke luar dulu nak cari papa.”
Tania menutup semula beg itu dan ditolaknya masuk ke bawah katil semula. Kemudian dia berjalan keluar untuk mencari papanya.
No comments:
Post a Comment