Monday, 16 May 2011

Lukisan Cinta 3


WAJAH bengis Jalil merenung Zaiton dengan tajam. Zaiton dan Amani masing-masing sudah duduk bersimpuh di depannya.

“Ha!!Ha!!Ha!!” Kedengaran tawa Jalil bergema.

Amani merenung wajah itu dengan pandangan yang menjengkelkan. Dia benci mendengar tawa itu. Tawa yang sering mengganggu hari-harinya.

Sambil melepaskan tawanya yang sengaja di buat-buat dia memandang Zaiton seakan-akan mengejek. Lalu pandangannya beralih memandang Amani. Melihatkan renungan tajam gadis muda itu, tawa Jalil terhenti.

Walaupun Amani masih muda dan mentah, tetapi entah mengapa renungan tajam Amani yang sebegitu sering membuatnya terganggu. Dia tidak takut dengan Amani, dia pasti itu! Tetapi renungan dan setiap pandangan Amani padanya bagaikan memberitahunya bahawa hidupnya akan hancur. Adakalanya, dia merasakan Amani bisa menjadi lebih kejam dari Zaiton.

“Lepaskan kami!!” tegas Zaiton.

“Kau ingat aku akan lepaskan macam tu je?” Jalil menjeling Zaiton.

“Dulu kau janji dengan aku kau akan kahwin dengan aku. Tapi kau tipu!! Kau sama je dengan semua jantan-jantan tu!!” nafas Zaiton turun naik.

Jalil menggaru-garu kepalanya. Tujuh tahun dia bersama dengan Zaiton. Memang dia pernah berjanji untuk berkahwin dengan Zaiton. Tetapi perempuan seperti Zaiton yang sering mengambil kesempatan terhadap lelaki memang tidak layak dinikahi!

“Bukan aku tak nak kahwin dengan kau….. Tapi ketika bersama dengan aku pun, kau masih cuba nak cari lelaki lain!!” Jalil membetulkan rambut Zaiton. “Kau bukan perempuan baik!!”

“Kau pun bukan lelaki baik!!”

Jalil ketawa kuat. Memang dia akui dia bukan lelaki baik. Tetapi sekurang-kurangnya dia tidak seperti Zaiton yang sentiasa cuba mengambil kesempatan. Dia dengan caranya. Walaupun dia hidup serba kekurangan di kawasan setinggan ini, tetapi dia menyara hidupnya dengan wangnya sendiri.

“Aku perlu pasti hidup kami berdua terjamin! Makanan, tempat tinggal!! Kau tak kahwin dengan aku seperti apa yang kau janjikan. Kalau kau kahwin dengan aku, aku takkan cuba cari peluang lain dengan lelaki lain!”

Memang begitulah cara hidup Zaiton. Setiap lelaki yang dijumpainya sering menjanjikannya status seorang isteri. Tetapi apabila mereka tidak berbuat begitu, dia perlu mencari tempah berteduh yang lain agar mereka punya arah tuju sebelum dia dan Amani ditendang keluar dari kehidupan mereka. Begitu hinanya mereka memperlakukannya!

“Ye…ye…..” Jalil menghembuskan nafas panjang. “Kau tentu dah jumpa lelaki lainkan? Sebab tu kau nak lari dari sini!!”

“Tak!!” sangkal Zaiton. “Aku dan Amani akan mulakan hidup baru!!” Zaiton melirik Amani di sebelahnya dengan ekor mata.

Amani menarik nafas kelegaan mendengar kata-kata Zaiton. Walaupun dia sendiri tidak pasti adakah ibunya itu bercakap benar atau tidak namun sedikit sebanyak dia merasa senang.

Jalil terdiam seketika. Dia seakan tidak percaya apa yang didengarnya. Bolehkah Zaiton mulakan hidup baru tanpa mengambil kesempatan dengan kecantikannya?

“Baiklah!!” Jalil mengangguk. “Aku boleh lepaskan kau pergi!” dia memandang Zaiton yang sudah mengukir senyuman. “Tapi dengan syarat!”

Wajah Zaiton yang sudah tersenyum kembali kelat. Hatinya sudah berdebar-debar. Takkanlah Jalil dah sedar tentang kehilangan cincin arwah isterinya itu!

“Pulangkan cincin isteri aku!!” Tajam sekali renungan itu menusuk ke anak mata Zaiton.

Zaiton dan Amani berpandangan seketika. Sekarang, Amani baru teringatkan sesuatu. Beg pakaiannya!!

“Mana cincin tu?” tanya Zaiton pada Amani.

“Beg……” suara Amani dengan lemah. Kini harapannya untuk keluar dari penjara Jalil punah dengan hilangnya cincin itu.

Zaiton sudah kalut memandang sekeliling mencari beg pakaian Amani. Tetapi hanya yang ada beg pakaiannya. Matilah dia kali ini! Tentu Jalil akan mengamuk jika tahu cincin itu dah hilang.

Jalil sekadar merenung adegan dua beranak itu. Zaiton kelihatan sudah tidak tentu arah, Amani pula tertunduk lemah.

“Mana cincin aku!!!” jeritnya.

Zaiton terkedu. Bagaimana dia mahu beritahu pada Jalil yang cincin itu sudah tiada. Amani yang tertunduk tiba-tiba mengangkat wajahnya apabila teringatkan sesuatu. Dia menyeluk kocek seluarnya lalu mengeluarkan sehelai kertas.

“Mana cincin tu?” Jalil memandang Amani apabila Amani kelihatan tahu sesuatu.

Amani terus memandang kertas itu. Dia pasti gadis itu tentu membawa beg pakaiannya bersama. Cincin itu selamat!

Jalil dan Zaiton yang tidak mengerti apa-apa sama-sama melihat kertas itu. Apa yang cuba disampaikan Amani?



TANIA menyerungkan cincin itu ke jari manisnya. Sesuai sekali! Muat dengan jarinya. Dia tersenyum. Bukan niatnya untuk menyelongkar barang yang bukan miliknya. Tetapi bungkusan sapu tangan itu terjatuh ketika dia mahu menyimpan beg itu di atas almari.

Tania membuka semula cincin itu lalu membalutnya dan menyimpannya semula. Walaupun dia tidak pasti, namun dia yakin perempuan itu pasti menghubunginya. Pasti!!

No comments:

Post a Comment