SEDIKIT SEDUTAN DARI BAB 32
Wes pantas pura-pura tertidur melihat Qismyna yang terduduk disebelahnya. Dia membuka matanya sedikit mengintip gadis itu. Qismyna masih lagi terduduk di situ. Seperti ada sesuatu yang tak kena.
Qismyna beristighfar panjang. Dia benar-benar terkejut mendengar dentuman yang kuat itu. Jantungnya masih berdegup dengan laju.
Sejak kemalangan tiga tahun lalu sewaktu di Johor, dia menjadi trauma mendengar bunyi guruh. Kerana memandu dalam hujan lebat dia terlibat dalam kemalangan. Dia masih ingat pada malam kejadian.
Waktu itu dia meminjam kereta temannya, Mira untuk pulang ke asrama. Pada malam itu hujan turun dengan lebat. Berkali-kali Mira menyuruhnya tidur di rumahnya pada malam itu. Tetapi dia tak mahu apabila teringatkan Zila yang keseorangan di asrama.
Dalam perjalanan, kilat sabung menyabung dan guruh berdentum dengan kuat. Sekali lagi guruh berdentum tetapi kali ini lebih kuat. Terasa dentuman itu seperti di atas kepalanya sahaja. Dek kerana terkejut, dia tak dapat mengawal keretanya dan akhirnya dia terlibat dengan kemalangan.
Qismyna beristighfar berkali-kali. Jantungnya juga terasa bergerak normal semula. Dia ingin menyambung tidurnya semula tetapi matanya menangkap susuk tubuh Wes yang berbaring di sebelahnya. Dia menghela nafas lega melihat lelaki itu yang nyenyak tidur. Dia berbaring semula ditempatnya membelakangkan Wes.
Tiba-tiba sekali lagi guruh berdentum dengan kuat. Pantas Qismyna mengalihkan tubuhnya menghadap Wes dan mendekatkan tubuhnya dengan lelaki itu. Dia menutup telinga dan memejamkan matanya.
Guruh berdentum lagi. Kali ini Qismyna benar-benar ketakutan. Tanpa memikirkan apa-apa pantas dia menyembamkan mukanya di tengkuk Wes dan memeluk tubuh lelaki itu dengan kuat.
Pelukannya semakin kuat apabila guruh berdentum dan kilat terus sabung menyabung. Wes yang tidur-tidur ayam terus membuka mata apabila merasakan ada tubuh yang menghempap dadanya. Dia melihat Qismyna yang ketakutan memeluknya erat. Dia juga dapat merasakan dada Qismyna berdegup dengan kencang.
Tanpa berfikir panjang, dia memeluk gadis itu dengan erat bagi menenangkannya. Kemudian dia mencapai selimut dan menutupi badannya dan Qismyna. Kini barulah dia tahu kenapa cermin tingkap di kamar tidur mereka menggunakan cermin kedap bunyi. Kerana isterinya itu takut pada guruh dan kilat.
Qismyna yang dapat merasakan tubuhnya dipeluk terasa tenang. Dia merasa selamat berada dalam pelukan lelaki itu sehingga dia sendiri tidak sedar dia terlelap hinggalah ke pagi.
TAJUK : SAAT HATI MERELAKAN
PENERBIT : FAJAR PAKEER SDN BHD
HARGA : RM20.00
No comments:
Post a Comment