Friday, 14 October 2011

Sempurnakan Aku (bhgn.2)

BHGN.2


Alhamdulillah……akhirnya, Hawa sudah menjadi milik sah Adam dan Balqis berada disisi Sulaiman dengan setia untuk menempuh suka duka bersama dan saling melengkapi segala kekurangan.

Petang itu ketika Balqis membawa Husna ke supermarket untuk membeli barang-barang keperluan. Tak disangka dia terserempak dengan Kak Syifa dan kakak iparnya menegur dengan nada yang sinis sekali.

“Aku dengar kau dah kahwin dengan Adam,” ujarnya seakan menyindir seraya matanya tidak lekang memandang Husna yang sudah bersembunyi di belakang Balqis.

“Ya. Siapa tahu, jodoh saya dengan dia kuat.”

“Jodoh?” Wajah menyindir terukir. “Kau ni bodoh sangatlah Balqis. Adam kahwin dengan kau sebab tak ada orang nakkan dia! Sebab apa? Sebab budak sial tu!”

“Kak! Mengucap kak! Kalau akak dan keluarga akak memang tak sukakan Husna, jangan dekat dengan kami!”

“Wah…..kau dah lupakah apa yang berlaku dulu? Keluarga kita terpisah sebab Adam tak jadi berkahwin dengan kau sebab budak sial ni! Dan sekarang, disebabkan budak sial ni jugak, keluarga kita terpisah sekali lagi!”

“Keluarga saya tak pernah putuskan silaturrahim dengan keluarga akak! Tapi keluarga akak yang tak boleh terima darah daging sendiri. Keluarga akak buang Adam! Sedangkan Adam sikit pun tak pernah lupakan keluarga akak! Dalam setiap doanya, tak putus-putus dia meminta kebaikan untuk keluarga akak.”

“Adam?! Kau ingat Tuhan nak terimakah doa lelaki macam Adam? Mengandungkan ada dara orang sampai lahir anak luar nikah! Derhaka pada orang tua!”

Balqis menelan air liurnya seakan menelan segala kemarahan demi kemarahan yang mula diwujudkan syaitan dalam dirinya.

“saya tak nak bertegang urat dengan akak. Cuma saya harap suatu hari nanti, Allah akan memberi cahaya dalam hidup akak dan keluarga akak.”

“Engkau jangan berlagak alimlah depan aku! Bukan aku tak tahu, kau kahwin dengan Adam pun sebab tak de orang nak kat kau. Lepas kau dan Adam tak jadi dulu, mana ada orang yang masuk meminang kau, kan? Ada?!”

Sekali lagi Balqis menarik nafas yang panjang dan menelan air liurnya.

“Eh, budak sial!” Syifa cuba menarik rambut Husna.

Balqis menahan dan Husna terus menyembunyikan dirinya di belakang Balqis.

“Akak jangan sesekali panggil anak saya, anak sial!” tegas Balqis. Kemarahannya sudah tidak tertahan. Barulah dia mengerti perasaan Adam yang selama ini menanggung segala penderitaan dan penghinaan.

“Kau pun nak bela budak ni?!” Syifa menjeling Balqis. “Siap mengaku budak ni anak kau! Kau ke yang lahirkan dia?!”

“Anak Adam adalah anak saya. Jika Husna bukan anak Adam sekali pun, Husna tetap anak saya!”

“Sudahlah! Buat sakit hati aje cakap dengan kau ni!” Syifa terus berlalu pergi.

Melihat Syifa yang berlalu pergi, Balqis menarik tangan Husna. Dia duduk melutut dan memandang wajah anak kecil itu yang murung.

“Kenapa ni sayang?” dia bertanya walaupun dia tahu puncanya.

“Kenapa semua orang bencikan Husna?” Airmatanya mengalir.

“Dengar sini,” Balqis memegang kedua-dua pipi Husna. “Hanya mereka saja yang bencikan Husna. Tapi mama, papa, atuk, nenek dan Kak Hani sayangkan Husna. Yang paling penting, Allah sayangkan Husna.”

“Macam mana mama tahu Allah sayangkan Husna?”

“Allah sayangkan pada anak-anak macam Husna. Husna anak yang baik. Husna dengar cakap papa, cakap mama. Husna rajin tolong Kak Hani. Husna rajin sembahyang. Allah sayang pada orang yang baik macam Husna.” Husna berhenti menangis. “Husna kena ingat, biarkan saja orang benci pada kita asalkan kita selalu disayangi Allah.”

***************************************

Dari jauh Adam menangkap sepasang manusia yang sedang berjalan. Dia terus memerhatikan mereka dan akhirnya, pasangan itu menyedari kehadiran Adam.

“Dah lama abang tunggu?” Balqis yang baru tiba bersama Husna dan Hani menegur.

“Mari!” Adam memegang tangan Balqis dan membawanya dan Husna mendekati pasangan itu. Hani mengekor dari belakang.

“Abah! Ibu!” Panggil Adam apabila mendekati mereka.

“Adam!” Hadi dan Mahyon memandang Adam, lama. Hampir enam tahun mereka tidak pernah mendengar khabar tentang Adam.

“Abah dan ibu sihat?”

“Alhamdulillah…” Hadi melirik dua orang gadis dan seorang anak kecil di sisi Adam.

“saya kenalkan, isteri saya, Hawa Nur Balqis dan anak kami, Husna. Itu adik ipar saya, Hani.”

“Husna?” Mahyon seakan pernah mendengar nama itu.

Balqis yang sedari tadi membisu kini mengerti siapa pasangan yang sedang bertentangan dengan mereka.

“Husna adalah anak saya tetapi bukan lahir dari rahim saya. Husna lahir dari rahim arwah isteri Adam, Fatin.” Sengaja Balqis menyebut nama Fatin.

Terkedu Hadi dan Mahyon di situ. Mereka memandang Husna.

“Husna tahu siapa yang berdiri di depan Husna?” tanya Adam pada Husna. Husna menggeleng. Dia belum pernah melihat mereka sebelum ini.

Hadi dan Mahyon berpandangan. “Kau jangan pandai-pandai Adam!” Hadi sudah menggertak. “Aku tak nak ada apa-apa kaitan dengan budak ni!”

“Peliklah dunia ni. Orang yang tak punya pertalian darah, mengaku anak. Tapi darah daging sendiri tidak mahu ada kaitan!” sindir Adam.

“Kau jangan melampau Adam! Abah tak pernah suruh kau bela budak ni! Abah dah cakap, kalau kau tak nak jaga dia, hantar dia di rumah anak yatim!”

Melihat ketegangan itu, Balqis berbisik di telinga Hani untuk membawa Husna pergi. Dia tida mahu jiwa Husna terganggu lagi. Hani menurut kata Balqis.

“Kalau kau sendiri yang nak bela Husna dan anggap Husna anak kau, suka hati kaulah. Tak payahlah nak mengungkit semuanya di depan kami!” mahyon pula bersuara.

“rasanya pakcik dan makcik dah salah faham dengan niat suami saya,” ujar balqis. “Walau siapa pun yang jaga Husna, Adam kah atau rumah anak yatim sendiri, Husna tetap juga perlu tahu siapa darah dagingnya. Dia ada keluarga.”

“Aku tak pernah menganggap dia darah daging aku. Budak tu anak haram!” ujar Hadi.

“Tiada bayi yang lahir ke dunia ni haram! Semuanya adalah suci! Yang haram adalah perbuatan ibu dan bapanya!” ujar Balqis.

“Kau jangan nak mengajar aku pulak! Kau tu bagus sangatlah sebab boleh terima anak haram tu?!” tengking Hadi.

“Bukan itu niat saya,” Balqis cuba berlembut.

“Abah dan ibu tak pernah fikirkan tentang Fatin? Mungkin sekarang ni dia sedang menangis kerana abah dan ibu tak menerima anaknya,” Adam bersuara.

Hadi dan Mahyon terdiam sebentar.

“Kalau Fatin masih ada, mungkin aku boleh terima budak tu. Tapi sebab budak tulah Fatin mati!” ujar Mahyon.

“Itu semua kuasa Allah! Siapa kita untuk menentukan semua itu?” Adam bersuara. “Hidup mati kita, Allah yang tentukan.”

Tanpa bersoal jawab lagi dengan Adam dan isterinya, Hadi menarik tangan Mahyon agar pergi.

Balqis menggenggam tangan Adam erat seolah-olah memberitahu Adam agar tabahkan hatinya.

“Nasib baik sayang ada.” Adam melirik Balqis.

Balqis hanya tersenyum. Semakin erat genggaman tangannya pada Adam.

“Allah menciptakan Hawa untuk berkongsi kehidupan dengan Adam. Berdoalah pada Allah semoga Hawa yang sedang berdiri di sebelah Adam ini, akan terus setia bersama di saat suka dan duka.”

“Selalu!” ujar Adam. “Tapi kadang-kadang, masalah yang berlaku membuatkan abang rasa tertekan.”

“Tabahlah bang. Sabar itu adalah keimanan.”

“Kadang-kadang abang rasa terkilan. Keluarga arwah Fatin tahu Husna adalah cucu kandung mereka dan fatin hanyalah mangsa perkosaan. Kenapa mereka tergamak membuang Husna begitu saja?” Adam mengeluh. “Sepatutnya mereka yang terlebih dahulu makan garam lebih tahu tentang kehidupan.”

“Ini bukan soal kehidupan, bang. Ini soal keimanan. Ramai manusia yang mengaku beragama islam dan mengucap kalimah syahadah untuk menunjukkan keislaman mereka. tapi tak ramai yang bernar-benar beriman dengan agamaNYA.”

“Benar kata sayang. Maaf, kadang-kadang abang terlupa untuk bersabar atas setiap ujiannya.”

“Lupa itu adalah sifat manusia. Kerana itu manusia dipanggil ‘insan’. Tapi….” Sekali lagi Balqis menggenggam erat tangan Adam. “Selagi kita bersama, Insya Allah, kita akan saling ingat-mengingati, nasihat menasihati, lengkap melengkapi dan saling menyempurnakan segala kekurangan.”

“Insya Allah…..amiin…”

***************************************

Lima bulan kemudian………..



“Abang! Kak Syifa!” Terpanah Balqis dengan pandangan yang sedang dilihatnya. Sekumpulan manusia sedang berkumpul dan melangit ke atas.

Rupa-rupanya kelihatan seorang wanita sedang berdiri di hujung bangunan tujuh tingkat yang paling atas sambil memandang ke arah kumpulan manusia yang sedang memandang padanya.

Terkejut dengan teriakkan Balqis, Adam turut memandang ke atas.

“Ya Allah! Kak!”

*************************************

Balqis meninggalkan Kak Syifa sendirian bersama mak. Biarlah Kak syifa dengan mak. Mak lebih tahu bagaimana untuk hadapi perkara ni.

Siapa sangka, perkara yang sama pernah berlaku pada arwah fatin akhirnya berlaku kembali pada Syifa. Alhamdulillah dia dan Adam cepat bertindak. Jika tidak tentu, Syifa sudah terjun dari bangunan tujuh tingkat itu. Balqis melepaskan keluhan. Kasihan dia melihat Syifa yang meraung-raung minta dilepaskan saat pihak berkuasa datang untuk membawanya turun.

“Macam mana, abah, abang?” tanya Balqis pada Khalid dan Adam.

“Tak mengapalah. Balqis dengan Adam tak perlu buat apa-apa. Biar Syifa tinggal di sini buat sementara. Tahulah abah dan mak nasihatkan dia. Bila dia dah tenang, abah hubungi keluarga Adam dan minta mereka ke sini.”

“Adam risaulah bah. Takut kalau abah dan mak Adam tak nak terima kak Syifa.”

“Kita serahkan semuanya pada Allah. Adam berdoalah banyak-banyak agar dibukakan pintu hati abah dan mak Adam untuk menerima Syifa dan bayi dalam kandungannya.”

Balqis menggenggam erat tangan Adam yang tertunduk memandang lantai.

“Mungkinkah ini balasan untuk Kak Syifa kerana penghinaannya pada Husna?”

“Adam, tak baik kata macam tu. Apa yang berlaku semuanya atas kehendakNya. Jangan kita mengadili sesuatu yang tidak kita ketahui.”

Walaupun Balqis bersetuju dengan pendapat Adam tetapi dia juga bersetuju dengan abah. Siapalah kita untuk menentukan itu adalah hukuman untuk seseorang sedangkan kita juga manusia biasa yang sentiasa lalai dan alpa.

***************************************

Dari jauh Balqis memandang Syifa yang termenung di laman. Mungkin dia masih memikirkan nasibnya kelak. Alhamdulillah, Syifa sudah boleh menerima musibah yang menimpa dirinya. Terima kasih buat mak yang selalu memberi nasihat untuknya.

Baju Balqis ditark. Kelihatan Husna disebelahnya. Balqis melutut sambil memandang wajah itu dengan penuh rasa sayang.

“Kenapa sayang?”

“Husna dengar auntie Syifa nak dapat baby, betulkah mama?”

“Hmm….Husna suka tak?”

“Suka!” ujarnya tetai kemudian dia tertunduk sayu.

“Kenapa sayang?”

“Papa kata, Husna kena pandai ambil hati auntie Syifa. Barulah auntie syifa tak sedih lagi. Tapi, kenapa auntie syifa sedih mama? Husna dengar papa kata dekat nenek, auntie Syifa tak suka baby tu.”

Ada keluhan yang keluar dari bibir Balqis. Dia masih berfikir jalan terbaik untuk menjawap soalan Husna.

“Husna suka baby tak?” tanya Balqis. Husna mengangguk. “Kalau anak kecil macam Husna sayangkan baby, tentu orang dewasa macam auntie syifa pun sayangkan anaknya, kan?”

“Tapi auntie syifa bencikan husna!”

“Mama pernah beritahu Husna, kan yang syaitan adalah makhluk yang paling gigih berusaha dan tidak pernah putus asa?” Husna mengangguk. “Syaitan takkan pernah berputus asa untuk menyesatkan manusia. Kita pula, manusia yang lemah dan selalu alpa sehingga syaitan selalu menguasai kita. Sebab tu Husna kena selalu memaafkan orang yang sentiasa menyakiti hati Husna kerana waktu itu, syaitan sedang menguasai fikirannya.” Balqis diam seketika. Dia sendiri tidak tahu sama ada Husna faham kata-katanya atau tidak.

“Maksud mama, kita kena selalu berbuat baik walaupun orang tu tak suka dengan kita?”

“Hmmm…..”

“Kalau macam tu, husna kena berbuat baik dengan auntie syifa?” Balqis mengangguk.

Kemudian Husna berlari menghampiri Syifa. Balqis hanya memerhatikan di balik pohon yang terlindung.

Syifa memandang wajah Husna yang tiba-tiba muncul di depannya. Seraya dengan itu dia memegang perutnya. Anak dalam kandungannya sama seperti Husna yang selalu dicacinya. Tapi, Husna lebih bertuah kerana Adam menikahi Fatin setelah merosakkannya. Tetapi berlainan dengan sia, dia diperkosa oleh orang yang tidak dikenali. Apakah ini balasan untuknya.

“Husna sayang pada baby dalam perut auntie.”

“Uh?” Syifa yang kurang mendengari kata-kata Husna terkedu. Dia tenggelam dalam angannya dan kurang menumpukan pada kata-kata Husna.

“Auntie kena sayangkan baby dalam perut auntie.”

“kenapa?”

“Sebab Allah sayangkan dia.”

“Macam mana husna tahu Allah sayangkan baby ni.”

“Sebab atuk kata pada husna, semua manusia datang ke dunia dengan kasih sayang Allah.”

“Tapi Allah tak sayangkan auntie sebab tu Allah buat macam ni dengan auntie!” marah Syifa. Husna terdiam.

“Auntie sayang pada Allah?” tanya Husna.

Syifa terkedu. Rasanya dia tak mampu jawab soalan itu. Dia sayangkan Allah? Kalau dia sayangkan Allah kenapa rasa sayang itu bagaikan tidak ada.

“Allah sayang pada Husna.”

“Macam mana Husna tahu Allah sayang pada Husna?”

“Atuk ada cakap dengan Husna. Mama pun ada beritahu dengan Husna. Kalau kita sayang pada Allah, Allah akan sayang pada kita. Kalau kita lari dari Allah, Allah akan keluar dari hidup kita. Jadi, kita kena sayangkan Allah dulu baru Allah sayangkan kita!”

Syifa terus memandang Husna. Kata-kata Husna berbekas dihatinya. Mungkinkah kerana selama ini dia melupakan Allah, maka Allah menimpakan musibah ini padanya? Tiba-tiba Syifa menangis. Dia menarik tangan Husna agar mendekatinya. Sesungguhnya, anak kecil di depannya berkata sesuatu yang sangat mudah untuk difahami tetapi sangat berat untuk manusia melakukan seperti apa yang difahaminya.

Syifa terus menarik tubuh kecil Husna dalam dakapannya. Balqis yang hanya memerhatikan dari jauh mengalirkan airmata kesyukuran. Dia mendekati Syifa dan duduk disebelahnya. Syifa mengangkat wajah disaat dia merasakan kehadiran Balqis.

“Kita menangis ketika hati berduka. Kita menangis ketika ditinggalkan. Kita menangis ketika kehilangan anak, saudara dan makhluk Allah. Ironinya, kita sebagai manusia tidak pernah menangis saat Allah meninggalkan kita.”

**************************************

Adam memerhati abah yang tertunduk sayu. Mak sudah meraung dan ditenangkan oleh Balqis dan mak mertuanya, Bahiyah. Abah benar-benar kelihatan tertekan.

“Tak guna!! Siapa yang buat macam tu pada anak aku!!” Abah tertunduk memegang kepalanya.

“Kami dah buat laporan polis. Insya Allah, polis akan cari pelakunya,” pujuk Khalid pula. “Sabarlah. Ini dugaan untuk kita.” Khalid mengelus bahu besannya.

“sabarlah mak….” Pujuk Adam pula cuba menenangkan maknya yang sukar menerima kenyataan ini. Syifa disebelah hanya tertunduk membisu.

“Maafkan Syifa mak, abah. Mungkin inilah balasan untuk Syifa sebeb menghina Adam, Fatin dan Husna.” Sebenarnya, Syifa sudah mengetahui bahawa Husna bukan anak Adam setelah diceritakan Balqis tempoh hari. Rupa-rupanya Fatin mengalami nasib yang sama sepertinya. Dia benar-benar rasa berdosa kerana telah menuduh Fatin dan Adam melakukan perkara terkutuk sehingga mengandungkan Husna. Malah dia juga telah berjanji dengan Balqis untuk merahsiakan perkara ini dari pengetahuan abah dan mak sehingga sampai waktu yang sesuai.

Abah dan mak terkedu dengan kata-kata Syifa. Mereka mula terfikir, mungkinkah benar kata Syifa, ini balasan Tuhan untuk mereka.

“Syifa, tak baik kata macam tu. Sabarlah….Apa yang boleh kita lakukan sekarang, jaga anak dalam kandungan Syifa ni baik-baik. Dia adalah anugerah dan amanah yang diberikan Allah pada kita,” pujuk Bahiyah pula.

“Syifa banyak berdosa…..” Syifa menangis semahu-mahunya. Itulah yang dirasakan kini.

Abah dan mak mula menunjukkan penyesalan mereka. Apa yang berlaku pada Syifa membuatkan mereka merasakan semua ini adalah balasan dari Allah.

“Mana Husna?” tanya abah.

Mereka yang lain berpandangan.

“Husna ada dalam biliknya,” ujar Khalid.

“Saya minta izin nak jumpa Husna.”

Setelah diizinkan abah dan mak mendekati kamar Husna. Abah mahu membuka mengetuk pintu namun dia berhenti melakukan itu apabila terdengar suara-suara halus yang berbisik. Dia mendekatkan telinganya di pintu. Tetapi pendengarannya kurang jelas. Maka, dengan perlahan dia membuka pintu sedikit dan mengintai ke dalam. Begitu juga dengan mak. Kedengaranlah suara-suara halus sedag berbicara.

“Ya Allah…..Husna sayang sangat dengan atuk dan nenek sama macam husna sayangkan atuk Khalid dan nenek Bahiyah. Kesiankanlah mereka Ya Allah. Tolonglah sayang mereka juga. Tolonglah auntie Syifa. Husna sayang semua walaupun mereka tak suka dengan Husna. Husna tak nak minta apa-apa, Cuma tolonglah sayangkan mereka juga Ya Allah…”

Melihat anak kecil yang bertelekung putih dan duduk di atas sejadah, mengadap kiblat sabil menadah tangan memohon kepada Allah untuk mereka, abah dan mak terus menangis hiba. Tangisan mereka akhirnya disedari Husna. Husna terkedu apabila tiba-tiba sahaja abah dan mak masuk dan memeluk Husna dengan erat.

Tiada kata yang dapat diluahkan Adam melihat situasi itu. Hanya airmata gembira dan rasa syukur dipanjatkan Adam atas segalanya.

**************************************

“Ada apa sebenarnya, bang?” Adam benar-benar penasaran dengan kedatangan abang sulungnya, Aizat.

Wajah Aizat benar-benar tertekan. Apa masalah yang sedang membelengu abangnya.’

“Kak Ros dah lari,” ujar Aizat perlahan.

“Lari?!” terkejut Adam seketika. “Kenapa?”

“Sebenarnya…….” Aizat mula bercerita masalah rumahtangganya. Setelah berkahwin selama sepuluh tahun dengan Kak Ros dan mereka masih belum diberikan zuriat, Aizat telah berkahwin seorang lagi setahun lalu. Lepas dia bernikah lain, barulah Kak Ros mengandung dan tiga bulan kemudian, isteri keduanya juga mengandung. Setelah mempunyai anak dari kedua-dua isterinya, barulah Kak Ros dapat tahu Aizat sudah berkahwin lain. Kerana itu dia lari meninggalkan Aizat.

“Abah dan mak tahu?” Adam menggosok dahinya.

“Dah!” jawap Aizat. “Soal itu, abang nanti uruskan. Cuma sekarang ni, macam mana abang nak pujuk Kak ros balik semula. Abang rasa bersalah dengan dia.”

Adam diam lama. Sebenarnya, dia juga tak tahu untuk berbuat apa. Rasanya, baru sahaja Mak dan Abah membuat kenduri meraikan cucu sulung mereka. tetapi tak sangka, rupanya bukan seorang cucu tapi dua, dari isteri yang berlainan.

“Assamualaikum…..” satu suara menyapa mereka berdua.

“Waalaikummussalam……” jawab mereka sambil pandangan mereka beralih memandang Balqis yang membawa hidangan minuman untuk mereka.

Balqis meletakkan dulang itu kea atas meja.

“Abang tak nak masuk dalam dulu?” tanya Balqis pada Aizat.

“Tak apalah. Biar abang berbincang dengan Adam di luar sudahlah.” Aizat menolak.

“Maaf. Sebenarnya, Balqis tak sengaja terdengar perbualan abang dengan Abang Adam.” Balqis tertunduk rasa bersalah. Bukan niat dihati untuk menguping perbualan mereka. dia memang tak sengaja terdengar.

Aizat mengeluh.

“Tak perlu minta maaf, Balqis.” Tak guna marahkan Balqis sedangkan lama kelamaan semua orang pasti tahu yang dia sudah beristeri dua.

“Kalau abang Aizat tak keberatan, boleh Balqis cakap sesuatu?”

“Duduklah Balqis,” Adam menarik tangan Balqis agar duduk disebelahnya.

“Cakaplah….” Aizat mengizinkan.

“Walaupun apa yang berlaku pada Kak ros tak menimpa pada balqis, tapi sebagai seorang isteri Balqis tahu perasaan Kak Ros sangat terluka. Mana tidaknya, cinta abang telah terbahagi antara dia dan isteri kedua.”

“Abang tak minta semua ni berlaku Balqis. Abang tak minta untuk jatuh cinta lagi. Semuanya berlaku dengan sendiri.”

“Balqis bukan nak salahkan abang. Jodoh dan suratan semuanya bergantung pada Allah. Balqis tak pernah lupa rukun iman yang ke-enam untuk percaya pada Qodak dan Qodarnya. Cuma di saat ini, hati Kak ros pasti sangat terluka. Apa yang boleh Balqis pesan pada abang, hapuskanlah airmata Kak Ros sebelum terlambat.”

“Abang tak tahu caranya. Abang takut kalau Kak Ros tak nak terima semua ni.”

“Bukan mudah untuk seorang isteri terima semua ni, bang. Tapi sebagai seorang muslimah, Balqis tahu ini adalah hak yang diberikan Allah untuk seorang lelaki. Kak Ros pasti terima, tapi perlukan masa dan dia perlukan sokongan abang supaya dia tak rasa disisihkan bila abang dah beristeri lain.”

“Abang tahu…..abang faham maksud Balqis. Balqis mahu abang adil,kan? Terus terang, bila dah beristeri dua barulah abang sedar, sangat sukar untuk adil pada setiap isteri.” Kerana sukar berlaku adillah, akhirnya Ros sedar yang dirinya sudah diduakan.

Balqis diam seketika. Dia memandang Adam yang hanya membisu dan setia menjadi pendengar sahaja.

“Sebenarnya, para isteri boleh terima kalau suaminya beristeri lebih dari seorang. Tapi ramai suami yang tak menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslim yang sejati dan sebagai suami yang adil. Itu sebab kebanyakkan isteri tak boleh nak terima poligami. Ramai suami yang tidak solat, tidak puasa dan beramal seperti yang disuruh dalam agama. Tapi bila masuk soal kahwin, rata-rata ramai yang mengatakan Islam membenarkan seorang lelaki untuk berkahwin empat? Tiba-tiba saja mereka membangkitkan isu agama. Abang rasa itu adilkah untuk para wanita?”

Adam dan Aizat memandag terus ada Balqis.

“Maaflah kalau ada yang terkasar.” Balqis memohon maaf. “Entahlah bang, dalam soal ni rasanya lebih baik abang tanya pada mereka yang lebih banyak ilmunya. Kalau Balqis cakap pun, Balqis hanya bercakap dari sudut hati seorang isteri. Tapi, sebagai seorang wanita, Balqis nasihatkan abang. Jangan pernah putus asa mendapatkan kembali cinta Kak Ros. Tapi dalam masa yang sama jangan lupa tanggungjawab pada isteri kedua dan anaknya. Hak setiap isteri adalah sama.”

“Abang takut kak Ros tak nak terima abang.”

“Dia pernah minta untuk berpisah?” tanya Balqis. Aizat menggeleng. “Itu bermakna dia sayangkan abang. Pujuklah dia bang. Insya Allah dia akan terima semua ketentuan Tuhan. Bila seorang wanita menangis kerana terluka atas perlakuan seorang lelaki, walaupun sakit, itu bermakna dia masih sayangkan lelaki itu. Jadi, janganlah putus asa untuk menyapu kembali airmatanya. Jangan terlalu takut untuk mengambil langkah untuk betulkan semua keadaan hingga semuanya sudah terlambat. Kalau abang bertangguh, Balqis takut airmata Kak ros akan terheti dengan sendirinya tanpa abang yang menyapu tangisannya. Kalau perkara itu berlaku, maknanya, abang sudah tak bermakna dalam hidup dia.”

Aizat terngadah.

“Bila abang sudah tidak bermakna dalam hidup kak ros, dia akan ambil kembali hatinya yang telah diserahkan pada abang. Kalau sampai hatinya diambil kembali, takkan ada peluang lagi untuk dia serahkan semula hatinya pada abang.”

****************************************

Balqis duduk di buaian sambil berfikir sendiri. Aizat baru sahaja pulang setelah berbincang dan meminta sedikit nasihat dari abah. Dia masih lagi terfikirkan tentang Kak Ros dan isteri kedua Aizat. Untuk kali pertama sahaja Aizat sudah tidak adil. Dia merahsiakan kewujudan isteri kedua sehingga isteri kedua terpaksa bersembunyi dan tidak mengenali keluarga sebelah suami dan sebaliknya. Kemudian, keluarga Aizat membuat kenduri besar-besaran untuk Kak ros dan anaknya tetapi isteri keduanya, hanya meraikan kegembiraan itu bersama suaminya sahaja.

Bila difikirkan kembali, bagaimana para isteri bisa menerima poligami sedangkan jika suaminya dari awal sudah tidak berlaku adil?

“Sayang…..termenung apa ni?” tanya Adam sambil menggenggam jari jemari Balqis.

“Sayang cuma terfikirkan tentang abang aizat dan isteri-isterinya.” Balqis mengeluh. “Balqis tahu, mungkin agak sukar keluarga abang untuk terima orang lain selain Kak Ros. Tapi hak setiap isteri adalah sama. Balqis harap keluarga abang akan faham.”

“Dengan bantuan Balqis dan keluarga Balqis, abang yakin, keluarga abang akan faham itu,” ujar Adam. “Dari cara Balqis cakap tadi, seolah-olah Balqis tak kisah jika lelaki beristeri dari seorang,” balas Adam.

“Siapalah Balqis untuk mengharamkan sesuatu yang telah dihalalkan oleh Allah.” Balqis tersenyum. “Tetapi secara jujurnya, tak ada seorang wanita didunia ni yang sanggup diduakan. Wanita hanya punya satu cinta dan cinta itu akan diserahkan pada seorang lelaki. Jadi dia juga mengharapkan balasan yang sama.”

Adam hanya mengangguk.

“Rasulullah pernah berkata, ‘Sebaik-baik perempuan yang menghuni syurga adalah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran dan Asiyah isteri firaun’,” sambung Balqis. “Malah, Rasulullah tidak pernah berkahwin lain selama Khadijah menjadi isteri Baginda kerana Baginda tidak mahu hati Khadijah terluka sehinggalah Khadijah wafat. Setelah itu, barulah Baginda beristeri dengan Aisyah dan isteri-isterinya yang lain.” Balqis memandang Adam. “Bukankah itu bukti bahawa hati wanita akan terluka jika suaminya beristeri selainnya?”

Adam mengangguk. Ada benarnya kata-kata Balqis.

“Abang ada niat nak kahwin lain?” usik Balqis. Adam ketawa.

“Adam yang ada sebelah Balqis ni pun susah nak cari Hawanya. Bagaimanalah dia boleh mencari wanita lain?” Memang benar, bertahun-tahun bersendirian kerana tiada siapa yang sudi menerima dirinya dan Husna seadanya, kemudian datang Balqis menyempurnakan hidupnya, bagaimana bisa dia mencari lain selain Balqis?

“Manalah tahu….”

“Selama ni, dunia abang cuma ada Husna sehinggalah Balqis datang dan menyempurnakan semua kekurangan kami. Sehingga akhirnya, keluarga abang dapat menerima abang dan Husna seadanya. Keluarga Balqis merawat Kak Syifa. Dan abang percaya, rumahtangga abang Aizat yang goyah sekarang ni akan dapat bertahan dengan kehadiran Balqis dan keluarga Balqis. Balqis bukan sahaja melengkapkan hidup abang, malah hampir seluruh keluarga abang. Balqis sangat istimewa dalam hidup abang.”

Balqis terharu mendengar kata-kata itu. Bagaikan dia sangat bererti untuk Adam.

“Tapi Balqis takut hati abang berubah.”

“Sayang, dengar sini. Adam ini akan setia pada satu Hawa seperti mana Balqis yang setia pada Sulaiman. Abang nak janji lebih-lebih, tak berani. Manalah tahu, Allah mengubah hati abang. Untuk itu, kita berdua, perlu sama-sama berdoa pada Allah agar rumahtangga kita bahagia hingga ke akhir hayat.”

“Bagaimana Hawa dan Balqis setia pada Adam dan Sulaiman, begitulah yang diinginkan oleh Hawa dan Balqis dari Adam dan Sulaiman.”

“Insya Allah, dengan redhanya Allah pada rumahtangga kita, sepanjang hidup ,Adam Sulaiman akan setia menyintai dan menyayangi Hawa Nur Balqis. Selagi hayat dikandung badan dan dengan izinNYA, abang akan setia pada Hawa dan Balqis yang sama.”

“Terima kasih, abang.”





Aku bersyukur kau di sini kasih

Dikalbuku mengiringi dan padamu ingin ku sampaikan

Kau cahaya hati

Dulu ku palingkan diri dari cinta

Hingga kau hadir ubah segalanya

Inilah janjiku kepadamu

Sepanjang hidup bersamamu

Kesetiaanku tulus untukmu

Hingga akhir waktu kaulah cintaku….cintaku

Sepanjang hidup seiring waktu

Aku bersyukur atas hadirmu

Kini dan selamanya aku milikmu

Yakini hatiku…

Kau anugerah Yang Maha Rahim

Semoga Allah berkahi kita

Kekasih, penguat jiwaku

Doakan kau dan aku di Jannah

Temukan kekuatanku disisimu

Kau hadir sempurnakan seluruh hidupku

Inilah janjiku kepadamu*

Sepanjang hidup bersamamu

Kesetiaanku tulus untukmu

Hingga akhir waktu kaulah cintaku….cintaku

Sepanjang hidup seiring waktu

Aku bersyukur atas hadirmu

Kini dan selamanya aku milikmu

Yakini hatiku…

Bersamamu ku sedari inilah cinta

Tiada ragu dengarkanlah

Kidung cintaku yang abadi

Sepanjang hidup bersamamu

Kesetiaanku tulus untukmu

Hingga akhir waktu kaulah cintaku….cintaku

Sepanjang hidup seiring waktu

Aku bersyukur atas hadirmu

Kini dan selamanya aku milikmu

Yakini hatiku…



****************************************

Selesai……

No comments:

Post a Comment