Tuesday, 18 October 2011

Saat hati Merelakan



sedikit sedutan bab 36


QISMYNA melirik jam dipergelangan tangannya. Tepat menunjukkan angka satu. Perutnya juga sudah berbunyi minta diisi.

Sebentar tadi dia mendapat mesej dari Wes yang mengatakan dia telah tiba dan menunggu Qismyna di tempat letak kereta. Entah dari mana Wes mengetahui nombor telefon bimbitnya pun dia tidak tahu. Mungkin juga dari Fauzan. Mungkin!

Ingatannya tiba-tiba melayang mengingati pertemuan Wes dan Farahymma yang dilihatnya tadi. Dia mengeluh. Apakah mereka mengenali antara satu sama lain?

Qismyna menghampiri jendela dan membuka tirai sedikit mengintai Wes yang bersandar sedang menunggunya. Dia mengamati Wes dari jauh. Kemudian tersenyum.

Dari pandangan kasar, Wes memang seorang lelaki yang tampan. Tinggi dan bertubuh tegap. Kulitnya sowo matang. Wajahnya bersih. Gaya dan penampilannya penuh dengan keyakinan dan berkarisma.

Tiba-tibanya senyuman dibibirnya mati bila terpandangkan seorang gadis menghampiri suaminya itu. Dia tahu dan dia kenal dengan gadis itu. Farahymma! Pekerjanya sendiri. Apa hubungan mereka?

Tiba-tiba saja jiwanya resah. Kenapa? Cemburukan dia? Tidak! Hatinya menafikan. Untuk apa dia cemburu. Tapi kenapa dia merasa tak senang melihat Farahymma yang sedang ketawa di samping suaminya.

Anganannya tiba-tiba saja mati apabila terlihatkan kelibat Farahymma yang pergi dari situ. Dia beralih dari jendela lantas mencapai tas tangannya dan keluar dari pejabat dan berjalan menghampiri Wes.

Dia bertekad untuk mencari tahu apakah bentuk hubungan antara suaminya dan pekerjanya itu. Bukankah dia telah berjanji untuk menjadi pontianak dalam hidup Wes?

Sebaik saja sampai di depan Wes dia tersenyum. Wes menjungkitkan keningnya. Hairan tiba-tiba saja Qismyna tersenyum padanya. Tapi dia tahu, tentu ada muslihat yang dirancang isterinya itu.

Masing-masing diam. Wes memandang depan. Cermat dalam pemanduannya. Qismyna di sebelah hanya membuang pandangan kosong di luar kereta.

“Cantik?” soalan itu tiba-tiba saja keluar dari mulut Wes. Qismyna mengalihkan pandangannya.

“Apa?”

“Cantik tak perempuan yang berbual dengan saya tadi?” tanya Wes penuh.

“Perempuan mana?” Qismyna pura-pura tidak mengerti siapa yang dimaksudkan Wes. Namun dadanya berdegup kencang. Mungkinkah Wes melihat dia yang sedang mengintai di balik jendela?

“Farahymma. Dia pekerja awak, kan?” Wes tersenyum. “Lemah lembut orangnya. Cantik pulak tu!” Wes memuji lagi. Qismyna mencebik.

“Ada awak bagitahu dia tentang kita?!” tanya Qismyna.

“Of course not. Kalau beritahu tentu saya dah terlepas peluang,” ujar Wes bersahaja.

“Peluang?” Maya mengerutkan keningnya. Wes menganggukkan kepala.

“Peluang untuk mengenalinya dengan lebih dekat.” Wes berkata serius. “Yelah....mana tahu nasib saya baik. Lepas kita.....hmmm, bolehlah saya masuk meminang dia.” Entah kenapa Wes bagai tidak sanggup mengeluarkan perkataan berpisah dari bibirnya.

Qismyna mencebik. Tiba-tiba saja hatinya terasa sakit dengan kata-kata Wes. Dia cuba mengawal emosinya. Dia tidak mahu Wes menyangka yang bukan-bukan. Lagi pun dia tak perlu mengambil tahu soal peribadi Wes. Tidak! Dia perlu ambil tahu kerana dia akan mengucar-kacirkan hidup Wes.

“Ya....awak boleh berkahwin dengan dia tetapi tidak selama saya menjadi isteri awak.,” sinis suaranya.

“Kenapa? Awak takut bermadu?” West menyindir. “Kenapa nak takut? Saya ni bukan sesiapa dalam hidup awak.”

“Ya! Awak bukan sesiapa dalam hidup saya tapi awak ‘suami’ saya dimata orang.” Sengaja Qismyna menekan perkataan suami pada percakapannya.

“Saya ada dua amaran untuk awak.” Qismyna bersuara seraya memandang tepat pada Wes. Wes yang memandang depan berpaling sebentar kemudian beralih semula ke depan.

“Amaran?!” dia ketawa kecil. Sinis sekali bunyi tawanya pada pendengaran Qismyna.

“Dia pekerja saya. Saya minta awak jangan buat hubungan di cafe saya. Kalau saya nampak awak ganggu dia di sana, saya tak teragak-agak untuk membuang dia,” tegas sekali ucapan Qismyna. Wes menjungkitkan keningnya.

“Amaran kedua?” tanya Wes selamba. Qismyna bertambah benci melihat gaya Wes yang bersahaja. Langsung tidak termakan dengan amarannya.

“Saya akan hancurkan hidup awak!” Qismyna memeluk tubuh. “Awak jangan lupa saya dah janji akan jadi pontianak dalam hidup awak.”

“Awak pun jangan lupa, saya dah janji akan jadi mimpi ngeri dalam hidup awak,” ujar Wes. Qismyna berpaling menghadap luar tingkap. Menyampah betul bercakap dengan Wes. Balik-balik dia sendiri yang terdiam.


TAJUK NOVEL : SAAT HATI MERELAKAN
PERNERBIT : FAJAR PAKEER. SDN BHD
HARGA : RM20.00

No comments:

Post a Comment