Tuesday 28 February 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 1











ZACK menyandarkan tubuhnya di kerusi Pengarah Warisan Syed. Sudah enam bulan kerusi itu menjadi miliknya secara sah. Dia banyak terhutang budi dengan Syarifah Ilyana dan juga Syarifah Nurain. Biarpun saham milik Syed Hakim, arwah datuknya telah menjadi miliknya tetapi jika tidak kerana sokongan dan bantuan Ilyana dan Syarifah Nurain tak mungkin semua ini berjalan dengan lancar.
Biarpun kenyataan itu pahit, dia tetap akan menempuhinya dengan tabah. Telah ternyata, pakciknya, Syed Hussin yang menjadi dalang dalam kemalangan maut kedua-dua orang tuanya, Syed Zarkasyi dan Nurul Anis. Tetapi dia sentiasa berdoa semoga dendam yang sentiasa bersarang dalam hatinya untuk Syed Hussin akan hilang dibawa masa.
Malah sebelum berangkat ke Paris, Ilyana ada juga berbisik di telinganya supaya dia  maafkan segala kesalahan walidnya dan jika boleh Ilyana mohon agar dia sering jenguk Syed Hussin di penjara. Walaupun sudah banyak kejahatan yang dilakukan Syed Hussin, tetapi tidak salah jika diberi kesempatan kedua untuknya berubah.
Zack menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan perlahan. Walaupun Suhana telah tiada tetapi rasa bersalahnya pada Suhana tak pernah pudar. Biarpun seluruh keluarga Suhana termasuklah Maisara tidak pernah menyalahkannya atas apa yang telah berlaku. Cinta dan kesetiaan Suhana telah dicalarinya. Apa yang boleh dilakukan sekarang hanya berdoa semoga arwah Suhana ditempatkan di kalangan orang-orang yang solehah.
Kini, Maisara dan Fariz juga sudah bahagia dengan kedua-dua anak mereka, Aiman dan Ayla. Sesekali ada juga dia bertandang menjenguk mereka dan dalam masa yang sama menjenguk Aiman yang merupakan sepupunya dan adik Ilyana.
Semoga Allah memberi kekuatan kepada Fariz dan Maisara untuk membesarkan Aiman. Dia juga sentiasa berdoa agar Aiman akan menerima Qadak dan Qadar Tuhan dengan hati yang tabah bila mengetahui siapa dirinya yang sebenar. Moga Aiman membesar menjadi anak yang soleh dan berguna untuk keluarga dan negara.
Biarpun status Aiman adalah tidak sah untuk mewarisi harta Syed Hakim, namun rasa tanggungjawab yang tersimpan dalam dirinya meruntun agar dia sentiasa mengambil berat tentang Aiman.
Zack bangun lalu menghampiri jendela kaca. Dia merenung jauh ke luar. Sungguh dia punya segala-galanya. Pangkat, harta, kedudukan dan keluarga-keluarga angkat yang baik seperti keluarga Fariz dan keluarga Maisara tetapi jiwanya kosong. Sejak kisah cintanya bersama Suhana berakhir dan sejak cintanya pada Maisara tidak berbalas kerana Maisara sudah menikah dengan Fariz, dia belum lagi punya keinginan untuk mencintai dan dicintai.
Tetapi adakalanya dia terasa sunyi dengan kehidupannya. Kesunyian di dalam hatinya membuatkan dia merasa sudah sampai masanya untuk dia mencari teman di sisinya untuk berkongsi suka dan suka bersama. Namun adakah gadis yang akan menerima dirinya seadanya dan bukan kerana hartanya?
Sungguh! Dia memang punya ramai peminat wanita tetapi tiada seorang pun yang dilihat punya kejujuran dalam dirinya. Kebanyakkan dari mereka hanya cintakan penampilan dan kedudukannya sahaja. Bukan dia tidak pernah beri peluang pada mereka tetapi ternyata hatinya tidak terdetik rasa cinta dek sikap mereka yang penuh dengan kepura-puraan.
Usianya sudah menjangkau tiga puluh enam tahun tetapi dia masih belum berpunya dan tiada seorang pun dalam hatinya. Sebagai seorang lelaki dewasa yang masih lagi bujang dan punya kemewahan, di tambahkan lagi dengan situasinya yang tidak mempunyai keluarga besar sudah tentulah dia terlalu rindu untuk memiliki kehidupan yang lebih tenang.
Zack mengeluh seketika. Semoga Allah akan menemukannya dengan seorang gadis dari keturunan yang baik-baik dan menerima dia apa adanya. Dia mahu miliki cinta sejati seperti kedua-dua orang tuanya. Cinta mereka bersemi sehingga di bawa mati.
Satu ketukan di pintu pejabatnya membuatkan Zack beralih pandangan. Zack membetulkan posisi duduknya dan bersedia menerima tetamu.
“Masuk!”
Seraut wajah Farah bersama senyuman muncul dibalik pintu. “Maaf, Tuan Syed. Cik Emily sampaikan pesan pada saya. Katanya, dia mahu berjumpa dengan Tuan Syed petang ni.” Semua kakitangan di sini memanggil Zack dengan panggilan ‘Tuan Syed’. Itu merupakan prosedur biasa dalam Warisan Syed.
Zack mendekati mejanya lalu mencapai telefon bimbit. Tiada panggilan masuk atau pesanan yang diterimanya. “Kenapa dia tak call saya?” Hairan juga, mengapa Emily perlu menghubungi Farah dan tidak menghubunginya terus?
Farah mengangkat bahunya tanda tidak tahu. “Mungkin dia dah salah sangka dengan hubungan kita agaknya.” Manalah tahu kalau kekasih Zack itu tidak tahu yang dia sebenarnya isteri orang. Sebab itu Emily menghubunginya sekadar untuk memberitahu yang Zack itu adalah haknya.
Tempoh hari, memang Farah ada keluar bersama Zack. Itu pun atas urusan kerja. Selepas itu, mereka berdua singgah di sebuah restoran. Ketika itulah mereka terserempak dengan Emily. Bukan Farah tidak perasan akan renungan tajam Emily padanya. Sengaja dia pura-pura tidak tahu. Lagipun, Farah sendiri telah meminta izin suaminya dan memberitahu tentang itu.
“Kenapa pulak dia nak salah sangka. Saya dengan dia hanya kawan.” Zack hanya tersenyum. Mungkin benar kata Farah kerana Emily pernah terserempak dengan mereka berdua. Bukan dia tidak tahu niat Emily untuk mendekatinya. Sayangnya, dia tidak merasa keikhlasan hati wanita itu.
“Kawan je?” Betulkah Tuan Syed dengan Emily hanya kawan? Setiap kali Emily datang ke pejabat, lagaknya bagaikan kekasih Tuan Syed. Tambahan pula, Emily merupakan anak kepada Dato’ Jamaluddin di mana syarikat milik mereka juga bekerjasama dengan Warisan Syed.
“Betul! Kami hanya kawan,” tegas Zack. Kemudian, kepalanya tergeleng-geleng melihat Farah. “Awak tak percaya?”
Farah terkedu. Bukan soal percaya atau tidak, sebenarnya dia tidak kisah langsung tentang hubungan yang terjalin antara mereka. Itu hak masing-masing dan dia tidak berhak untuk masuk campur. “Jadi, saya perlu cakap apa dengan Cik Emily? Atau Tuan Syed nak hubungi dia sendiri?” soal Farah.
“Awak telefon Emily. Beritahu pada dia, petang ni saya sibuk. Awak buatlah apa-apa alasan.” Sememangnya, jadualnya tidak padat petang ini. Lepas perjumpaan dengan sebuah syarikat, dia hanya perlu menyemak semua dokumen di pejabat.
Farah menjongketkan keningnya. “Nasib baik bukan girlfriend Tuan Syed,” Farah berkata sebegitu pada dirinya sendiri. Tetapi dia tidak sedar suaranya yang diperlahankan itu sebenarnya didengari Zack sehingga membuatkan lelaki itu ketawa kecil.
“Awak tak suka kalau Emily tu kekasih saya?” tanya Zack pada Farah.
Farah sudah menelan air liurnya. “Bukan macam tu Tuan Syed!” Dengan pantas Farah bersuara. Riak wajah Farah sudah berubah ketakutan. “Saya tak berniat,”
“It’s okay!” ujar Zack apabila melihat kegugupan Farah. Mungkin wanita itu terperanjat kerana dia mendengar kata-kata itu. “Saya pun rasa macam tu.” Zack memandang Farah dengan senyuman. “Saya harap, saya akan bertemu dengan seorang gadis yang baik, dari keturunan yang baik dan terdidik. Agar zuriat saya yang bakal lahir ke dunia ini, akan menjadi anak- anak soleh dan solehah.”
Wajah Farah sudah bertukar. Terukir senyuman indah di wajah Farah mendengar kata-kata Zack. “Amiin,” Farah mengangkat tangan dan menyapu mukanya. “Saya pun harap macam tu. Tapi bukan bermakna Cik Emily tidak baik, kan?”
“Tak!” Zack menggelengkan kepalanya. “Emily gadis yang baik. Cuma saya dan dia tak sesuai bersama. Dunia saya dan dia berbeza.” Zack membuka sedikit jendela. “Saya tahu dan saya yakin, di luar sana Allah telah ciptakan sorang wanita untuk saya. Dan saya harap, dia seorang wanita yang solehah. Wanita yang akan mendidik anak-anak saya menjadi manusia yang berguna kelak.”

AUDRA menongkat dagunya dengan kedua-dua belah tangan. Wajahnya masam mencuka. Gambar-gambar Putera William yang sering digunting dalam suratkhabar dan majalah, bertaburan di atas meja. Gambar-gambar itu dibelek-belek lagi. Satu keluhan dilepaskan.
Senyuman manis Putera William sudah tidak dapat menghiasi hari-harinya lagi. Walaupun putera itu sudah lama menamatkan zaman bujangnya, namun gambar-gambar putera itu masih tersimpan kemas dalam simpanannya.
Zana yang sedang membelek majalah di tangannya, sesekali melirik temannya itu sambil tersenyum kelucuan. Sedari tadi dia cuba menahan tawanya. Takut-takut Audra terasa hati. Tetapi tawanya tak dapat di tahan apabila semakin lama menatap wajah Audra yang masam mencuka.
Mendengar sahaja tawa Zana, pantas Audra dengan muka monyoknya sambil mengerutkan keningnya memandang Zana dengan tajam. Sakit benar hatinya dengan tingkah Zana. “Kau ni kan!” Audra membaling bantalnya mengena tepat ke wajah Zana. Bukan dia tidak tahu Zana sedang mentertawakannya.
Zana masih terus tertawa. Bantal yang di baling Audra di ambil lalu dipeluknya. Majalah di tangannya sudah diletakkan di tepi. Dia bangun dan duduk bersila sambil memandang Audra. “Kau ni memang kelakarlah Audra!” Masih ada sisa tawa dari Zana. “Dari sekolah rendah sampailah dah masuk kolej, perangai budak-budak kau tu tak berubah langsung. Tolonglah buang jauh-jauh angan-angan kau tu! Malulah kalau orang tahu!” Zana menggeleng.
“Kau ni kan, Zana. Tak habis-habis nak kutuk aku tau! Aku ni sedar diri lagilah. Bukanlah aku kemaruk sangat dengan Putera William tu. Aku cuma minat je kat dia!” Audra berdolak dalih. Satu kerlingan dilemparkan untuk Zana yang masih tersenyum mengejek. “Aku minat dekat Putera William sama macam kau minat kat Brad Pitt, Tom Cruise! Entah siapa ntah lagi!”
Zana ketawa lagi. Kali ini lebih kuat. Kelakar dirasakan dengan kelakuan Audra. Poster-poster Putera William yang tergantung di bilik mereka dipandangnya. Dia tahu Audra bukan sekadar minat pada Putera William tapi dia dah fanatik tahap cintan dengan anak raja tu. Kepalanya tergeleng-geleng. Audra.. Audra..
“Memanglah aku minat sangat dekat Brad Pitt dengan Tom Cruise tu. Tapi tak adalah macam kau. Monyok macam orang tak makan bertahun-tahun bila Putera William tu kahwin dengan Kate. Ada kau nampak aku termenung macam kau bila Brad Pitt couple dengan Angelina Jolie? Ada aku monyok bila Tom Cruise couple dengan Kate…Kate…apatah nama dia?”  Zana sudah menggarukan kepalanya. Entahlah, dia sendiri tidak pernah mengambil tahu siapa nama sebenar wanita yang dikahwini Tom Cruise.
Zana menjungkit-jungkitkan keningnya. “Tak de, kan?” Dia memerhatikan Audra yang sudah berpaling dari memandangnya. “Kalau dah setakat minat, tak payahlah muka kau tu nak masam cam gitu!” ujar Zana lagi. “Lagipun, Putera Willam tu dah lama kahwinlah! Apasal kau sampai sekarang kau masih nak frust?”
Audra mengherotkan bibirnya. Dagunya ditongkat lagi. Wajahnya kembali masam. “Aku bukanlah sedih sangat bila Putera William tu kahwin dengan Kate. Tapi sakit hati! Tak de orang lain ke yang lagi cantik dia nak kahwin?” ujar Audra. “Tak padanlah!”
“Siapa? Kau?” Zana ketawa. Geli hatinya dengan sikap Audra. “Kate dengan kau beribu-ribu cantik si Kate tu dari kau! Tau tak!” Zana ketawa lagi. Lucu dengan sikap Audra. “Sudah-sudahlah berangan tu Audra!” Zana masih memandang Audra yang sudah berbaring di katil bujangnya. “Kalau Putera William tahu kau kata isteri dia tak cantik, mati kau!”
“Engkau ni pun, agak-agaklah!” Audra sudah mengerling Zana. Kemudian, Audra memandang Zana seakan memohon simpati. “Kau ni macam tak kenal aku. Aku, kan memang suka berangan. Angan-angan tu indah!” ujar Audra.
Zana menggelengkan kepalanya. Sudah sekian kalinya dia mendengar alasan yang sama dari Audra. Angan-angan itu indah! “Be realistic, Audra!” ujar Zana tegas. Geram dengan sikap Audra yang suka sangat bercakap tentang angan-angannya. “Memandangkan Putera William kau tu dah lama kahwin, jadi aku nak buang semua gambar-gambar ni!” Zana bangun lalu memungut semua gambar-gambar Putera William yang berteburan di depan Audra.
“Zana, janganlah!” Audra menghalang. Dia cuba mengambil semula gambar-gambar Putera Willian yang diambil Zana.
“Tak boleh! Kau kena belajar untuk jadi matang!” Zana tetap terus mengutip gambar-gambar itu. Tangan Audra yang cuba menghalangnya, terus ditepis dengan tubuhnya. Poster-poster yang ditampal juga dikoyakkan.
Puas hatinya melihat dinding itu bersih dan gambar-gambar Putera William sudah dikoyak-koyakkan lalu dibuang dalam tong sampah. Walaupun Audra cuba merampas gambar-gambar itu semula tetapi Zana tetap dengan tindakannya. Sahabatnya itu perlu diajar untuk menjadi matang dan tidak terbuai dengan angan-angan palsu!
Kini, Zana sudah tersenyum di katilnya. Audra pula terus mencuka. Wajah Audra yang terus mencuka itu semakin membuatkan senyuman Zana bertambah mekar. Zana ketawa kecil apabila menerima kerlingan tajam dari Audra. “Kalau pun Putera William tu tak kahwin dengan Kate, kau rasa dia nakkan kau?” tanya Zana. “Mimpilah!”
Audra diam membisu. Soalan Zana memang tak logik. Putera William takkan mungkin kenal dia. Malah, dia sendiri takkan pernah punya kesempatan untuk bertentang mata dengan putera raja itu. Kalau ada pun jika diizinkan Allah, sah-sah sebelah mata pun Putera William tak kan pandang padanya. Dia tahu, angan-angannya itu adalah palsu dan tak mungkin menjadi satu realiti. Tapi, dia gembira dengan angan-angannya.
Dia bukanlah tak sedar diri dan tak tahu itu semua. Sememangnya, dia sudah lama menyimpan rasa minat kepada putera itu. Pertama kali dia melihat gambar Putera William sewaktu putera raja itu berusia enam belas tahun di suratkhabar, tiba-tiba sahaja dia merasakan jantungnya berhenti berdegup. Itulah pertama kali perkara itu berlaku dan tatkala itu dia sedar dia sudah jatuh hati dengan Putera William.
Namun dia pasti itu hanyalah angan-angan semata. Dia masih sedar diri dan tahu semua itu hanyalah satu mimpi yang tak mungkin tercapai. Maka dia pun meletakkan syarat, jika ada mana-mana lelaki yang bisa membuatkan jantungnya berhenti berdegup seperti mana yang terjadi ketika dia melihat gambar Putera William, maknanya lelaki itu yang akan dipilihnya untuk menjadi teman hidupnya.
“Iyalah! Iyalah! Aku tahulah aku ni memang suka berangan. Tapi berangan tu tak salahkan? Bukannya aku bunuh orang pun!” Audra sudah merajuk dengan Zana. Muncungnya sudah panjang sedepa.
Zana mencebik. “Tak salah nak berangan. Asalkan dengan orang yang tepat. Ini tidak! Berangan dengan anak raja! Anak raja England pulak tu! Kalau kau berangan dengan anak Sultan Pahang ke, anak Sultan Selangor ke, logiklah jugak.” Zana terus menggelengkan kepalanya. “Kau ingat, kita orang Melayu ni termasuk dalam cerita fairy tale?” Kepala Zana menggeleng lagi. “Dongeng semua tu Audra!”
Audra sudah memusingkan tubuhnya memandang dinding. Malas nak berbalah atau lebih tepat, malas nak dengar leteran Zana. Diari ungu lembut ditarik dibawah bantal lalu penanya menulis, meluahkan segala yang terbuku di hati.

Aku selalu berfikir dan berangan sendiri. Kadang-kadang tu bila tenggelam dalam anganan, perut yang lapar pun terasa kenyang. Angan-angan tu terlalu indah tidak seperti kenyataan. Dalam angan-angan ku, aku selalu bahagia dan gembira bersama putera khayalan ku. Tetapi hakikatnya aku adalah gadis yang masih belum punya putera impiannya.

Dalam anganan ku, aku selalu menjadi Cinderella, Snow White, Rapunzel dan pelbagai lagi watak puteri. Dan putera raja ku akan datang dan membawa aku pergi bersama kuda putihnya. Seperti angan-angan Preity Zinta dalam cerita Chori Chori Chup Ke Chup Ke. Aku tak tahulah jika angan-anganku ini melampau. Tapi, ianya hadir sendiri tanpa aku melakarkannya.


“Hah! Itu tak de lain berangan lagilah tu!” Kedengaran sura Zana menyergah.
Audra yang agak terkejut dengan sergahan itu segera berpaling memandang Zana. “Tak adalah! Mana ada! Aku tengah tulis diari ni!”
Zana ketawa dengan muka seposen yang ditunjukkan Audra. Entah siapalah yang dapat  bertahan dengan sikap Audra yang kebudak-budakkan ni! Tapi apa yang dikaguminya tentang Audra, biarpun sahabatnya itu suka benar berangan tetapi dia sentiasa mendapat keputusan yang cemerlang dalam setiap subjek. Itu yang menjadikan Audra istimewa baginya.
“Yelah, luahlah semua perasaan kau pada diari tu. Aku rasakan, kalau diari tu boleh bercakap, dia pun akan berleter macam aku tau!” Zana menggeleng lagi. “Penat tau berleter dengan kau!”
“Kalau penat, tutuplah mulut. Bukannya aku yang suruh kau berleter!” jawab Audra. “Telinga aku ni pun dah penat dengar leteran kau!”
“Hah! Bertuah punya kawan! Aku berleter sebab aku sayangkan kau! Kau ni kan Audra, kadang-kadang tak faham aku dengan kau. Dari kau berangan dengan Putera William tu, baik kau berkawan je dengan budak-budak kolej ni! Aku pun dah penat nak jadi posmen diorang tu yang tak sudah-sudah kirim salam dengan kau!”
Audra tersenyum lucu apabila mengingatkan beberapa orang pelajar-pelajar lelaki yang selalu berkirim salam padanya melalui Zana.  Kebanyakan dari mereka tidak pernah menampilkan diri di depannya. Namun, ada seorang pelajar yang berani berterus terang dengannya. Munir, itulah namanya. Namun, dia telah menolak lamaran Munir yang mahu menjadikannya sebegai teman wanita kerana dia tahu Munir memang terkenal dengan sikap buaya daratnya.
“Senyum! Senyum!” Zana bersungut. “Kalau kau pilih seorang dari diorang tu, kan dah senang kerja aku. Tak adalah orang nak jadikan aku posmen lagi!”
Audra sudah tergelak besar dengan rungutan Zana. “Nak buat macam mana. Diorang tak buat jantung aku berhenti berdegup!”
Zana mengetap bibirnya dengan rapat. Dia menghembuskan nafas dengan kasar. Matanya sudah mengecil memandang Audra. Paha Audra ditepuknya kuat.
“Auwh!” Audra menjerit kesakitan sambil menggosok-gosok pahanya yang pedih.
“Kau ni tak habis-habis!” Tajam mata Zana merenung Audra. “Sampai ke lubang kuburlah jawabnya kalau kau nak tunggu ada lelaki yang boleh buatkan jantung kau berhenti berdegup! Angan-angan kau yang ini lagi tak logik dari angan-angan kau nak kahwin dengan Putera William tu, tau!” Zana mendengus.
Audra tersengih melihat wajah Zana yang sudah merah kerana menahan marah. Dia tahu Zana bukan bencikannya tetapi Zana selalu risau tentangnya. Sebab itulah sahabatnya itu sering marahkannya. Dia tahu angan-angannya memang banyak yang tak logik. Tapi, biarlah! Lagipun dia masih muda untuk serius dalam persoalan hati ini. Biar masa menentukan segalanya. Tak perlu terburu-buru.
“In Sha Allah, suatu hari nanti aku akan berjumpa dengan seorang putera raja yang akan buat jantung aku berhenti berdegup!” Sengaja Audra berkata begitu untuk mengusik Zana.
“Heh! Suka hati kaulah! Kalau layan kau lama-lama, aku yang gila!” Zana terus berlalu mencapai tuala dan terus keluar untuk ke bilik mandi. Kemudian, dia berhenti di depan pintu sambil tangan kanannya memegang tombol. “By the way, sebagai seorang kawan, aku cuma nak ingatkan kau. Jangan terlalu mementingkan penampilan luar! Itu tak menjamin kebahagiaan!”
Audra ketawa kecil lalu menggelangkan kepalanya. Walaupun angan-angannya memang tak masuk akal, tapi Audra percaya suatu hari nanti dia pasti bertemu dengan lelaki yang akan membuatkan jantungnya berhenti berdegup! Dia tidak tahu sama ada angan-angannya ini menunjukkan dia hanya mementingkan penampilan luaran atau tidak. Jika benar dia hanya pentingkan penampilan seorang lelaki, sudah pasti dia akan menerima Zaid sebagai temannya.
Zaid adalah salah seorang pelajar yang ingin berkenalan dengannya. Zaid tampan dan berasal dari keluarga yang berada. Tapi kenapa dia tak tertarik dengan Zaid? Mungkin juga lelaki yang akan membuatkan jantungnya berhenti berdegup tak perlu tampan dan kacak. Kadang-kadang lelaki yang tidak tampan tetapi punya karisma dan berpewatakan menarik juga bisa membuatkan hati wanita tertarik. Entahlah, dia memang tidak tahu lelaki bagaimana yang akan membuatkan jantungnya berhenti berdegup.
Yang pasti, hatinya berkata yang suatu hari nanti putera idamannya akan muncul juga. Siapa, bagaimana orangnya dan bagaimana perilakunya dia tidak tahu. Penting baginya untuk tahu siapa dan kemudian barulah dia akan fikirkan selainnya.
Audra tersenyum. Biarlah semua orang mengatakan dia hanya berangan. Kalau benar pun dia berangan, bukankah angan-angan itu satu impian? Dan dia akan cuba menggapai impiannya. Dia tahu, bukan semua impian akan menjadi kenyataan. Kerana itu dia perlu kuatkan diri. Seandainya dia tidak menemui impiannya, dia perlu pasrah dan berserah. Redha dengan segala yang ditetapkan Allah.
Sesungguhnya, walaupun dia suka berangan tetapi dia tidak pernah lupa tentang tujuan manusia diciptakan. Tujuannya hanyalah satu, iaitu untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Kerana itu, dia serahkan semua urusan hidupnya pada Yang Esa. Hanya Dia yang Maha Mengetahui dan Maha Perkasa lagi Bijaksana.

2 comments:

  1. ".... Ada kau nampak aku termenung macam kau bila Brad Pitt kahwin dengan Angelina Jolie?....."

    salah fakta... brad pitt mana pernah kawin dgn angie, diorg kapel je...

    ReplyDelete