Friday, 27 April 2012

Aku Maafkan Kamu 2








Alhamdulillah….Syukur atas setiap nikmat yang telah Allah kurniakan padaku. Walaupun perancangan yang dilakukan tidak kesampaian, namun akulah manusia yang paling bertuah atas segala yang telah terjadi. Benarlah, Allah lebih Mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hambaNYA. Memang aku dan keluargaku, begitu juga dengan keluarga Mak Su akan kehilangan harta peninggalan arwah atuk. Tapi Allah memberikan aku ‘sesuatu’ yang lebih bernilai dari itu. Iaitu, Yusuf…..

“Subahanallah….” Tiba-tiba suara mak menyapa angananku. “Cantiknya anak mak ni!” Mak memelukku dari belakang. Aku hanya tersenyum malu dengan pujiannya.

Aku beralih memandang mak. Ada airmata yang bertakung di kolam matanya. “Mak gembira?” aku bertanya walaupun aku yakin benar airmata itu adalah airmata kegembiraan untukku.

Mak menghadiahkan satu ciuman buat ku di dahi. “Ibu mana yang tak gembira melihat anak perempuannya akan menjadi isteri orang.” Mak terus tersenyum manis.

“Mak rasa, pilihan Lisa betul?” Memang aku sangat yakin dengan Yusuf. Tapi aku mahu tahu apa yang ada dalam hati mak. Apakah mak juga merasakan begitu?

“Insya-Allah….Mak yakin, Yusuf adalah lelaki yang diciptakan Allah untuk Lisa.” Mak mengukirkan senyuman dan sekali lagi memelukku. “Mak percaya Yusuf akan menjaga puteri mak dengan baik……dunia dan akhirat…”

Mendengar kata-kata mak membuatkan aku menarik nafas lega. “Mak, abang dan Kak Maziah datang tak?” aku mengajukan soalan yang agak sensitif untuk mak. Walaupun aku tahu mak masih marahkan abang dan Kak Maziah tapi jauh di sudut hatinya perasaan sayang seorang ibu untuk anak menantunya masih utuh di hati. Hanya mereka yang tidak tahu menilai kasih sayang yang diberi.

Ada satu keluhan yang keluar dari bibir mak. “Entahlah Lisa….” Mak cuba mengukirkan senyuman buat aku. Namun senyuman mak ini tidak kelihatan berseri seperti tadi.

Sebenarnya, aku telah menghubungi abang malam tadi dan memintanya untuk pulang menghadiri majlis pernikahan ku dan majlis resepsiku malam nanti. Walaupun aku juga masih marahkan abang dan Kak Maziah, namun atas pujukan Yusuf aku tetap menghubungi mereka. Yusuf benar, sejauh mana pun aku menyimpan rasa marah terhadap mereka namun hubungan darah yang mengalir dalam tubuhku dan abang tetap takkan berubah.

“Assalamualaikum……” satu suara halus menyapa dari balik pintu. Pandangan aku dan mak terus beralih pada suara itu sambil kami menjawab salam yang diberikan.

Terlihatlah seraut wajah yang aku dan mak nantikan. Kak Maziah sedang tegak berdiri di muka pintu bersama senyuman manisnya. Aku mengukirkan senyuman buat Kak Maziah. Walaupun ada peritnya tetapi aku cuba untuk tersenyum seikhlas yang mampu. Aku menghampiri Kak Maziah dan mencapai tangannya. “Terima kasih kak sebab sudi datang majlis Lisa.”

“Lisa, kan adik ipar akak. Tentulah akak datang.” Kak Maziah terus tersenyum. Dari raut wajahnya, kelihatan dia ikhlas menutur begitu. Tapi entah kenapa aku masih tidak dapat merasai keikhlasannya dari hati. Ah….mungkin aku yang terlalu menyimpan dendam dan marah padanya! Akhirnya, aku menyalahkan diri aku sendiri.

“Dah alang-alang Maziah ada di sini, mak nak minta Maziah temankan Lisa. Mak nak turun bawah. Nak layan tetamu,” ujar mak. Reaksi mak menunjukkan seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku di dalam keluarga kami. Betapa bijaknya mak mengawal keadaan. Nampak jelas ketabahan yang ada padanya.

“Baik, mak!” Kak Maziah menyambut permintaan mak dengan senang hati. Aku gembira dengan situasi itu.

Agak lama juga kami menyepikan diri di dalam kamar apabila berdua begitu. Tetapi, apa yang aku perasan, Kak Maziah sentiasa berbalas pesanan ringkas di telefon bimbitnya. Telefon di tangannya tergenggam kemas. Setiap saat, telefon itu yang mendapat perhatiannya. Hati aku merasakan sesuatu namun aku pantas menepis bisikan-bisikan syaitan yang sedang membisikka kata-kata fitnah di telingaku. Buruk sangka, adalah suatu perkara yang tidak baik! Itulah pesan Yusuf padaku.

“Kak, abang tak datangkah?” aku bertanya apabila teringat tentang abang. Abang langsung tak datang menjengukku di kamar ini. Ada sedikit rasa terkilan dalam hatiku. Tak mahukah abang melihat adiknya ini?

“Ada. Dia ada di bawah,” balas Kak Maziah. Aku hanya mengangguk. Tak apalah, sekurang-kurangnya abang tetap hadirkan diri di hari pernikahanku. “Lisa, ikut akak kejap, boleh?”

“Pergi mana, kak?” Dahi aku sudah berkerut seribu dengan permintaan Kak Maziah.

“Alah…..ikutlah akak kejap. Akak ada surprise untuk Lisa.” Kak Maziah menarik tangan aku. Tapi aku tetap masih kaku di situ. Aku memandang jam yang tergantung di kamar. Yusuf akan datang tak lama lagi. Perlukah aku mengikut Kak Maziah?

“La….akak bukan nak bawa Lisa keluar ke mana-mana. Kita ke belakang kejap. Akak ada benda nak tunjuk dekat Lisa.”

“tapi….” Ada rasa ragu yang menghimpit diriku ini.

“Jomlah!” Kak Maziah terus menarik tangan aku. Aku bangun dan mengikut langkahnya walaupun penuh dengan keraguan.

Kak Maziah membawa aku hingga ke laman belakang. Di situ memang tak ramai tetamu. Kebanyakan tetamu semuanya ada di depan melainkan pekerja-pekerja catering yang diambil mak untuk menyediakan hidangan.

“Itu pun!” Kak Maziah menunding pada abang yang sedang bersandar di keretanya. “Akak dan abang ada benda nak tunjuk dekat Lisa.”

“Benda apa, kak?” aku bertanya sambil melihat abang yang sudah melambai-lambai pada kami.

“Benda tu, ada dalam kereta. Jomlah!”

“Kenapa tak bawa masuk je?!” Aku masih terus bertanya.

Kak Maziah mengeluh. “Lisa! Lisa ni banyak tanyalah!” ujar Kak Maziah. Mungkin kerana rimas dengan soalan-soalan aku akhirnya Kak Maziah berkata begitu. “Kalau dah bawa keluar, tak supriselah! Lagipun, benda yang akak dan abang nak tunjuk pada Lisa tu, besar!” Kak Maziah terus menarik tangan aku lagi.

Aku mengikut saja langkahnya hingga menghampiri abang.

“Cantiknya adik abang ni!” puji abang dengan senyuman. Dah lama aku tak melihat senyuman dari abang untukku. Hari ni, merupakan hari yang paling bertuah untuk aku kerana dapat melihat senyuman abang yang telah lama mati untukku, adiknya. “Sebab tulah, abang nak beri hadiah istimewa untuk adik abang ni.”Dia mencubit pipiku.

“Hadiah apa, bang?” Aku sangat gembira melihat abang dalam keadaan gembira begitu. Aku memang merindui kemesraan abang yang telah lama hilang itu.

“Ada di tempat duduk belakang. Lisa tengoklah!” ujar abang.

Aku menjenguk di tempat duduk penumpang. Apa yang aku lihat ada sebuah kotak besar yang dibalut dengan kemas dan cantik. “Apa tu, bang?”

Abang membukakan pintu. “Sebelum abang bawa keluar hadiah ni dari dalam kereta, abang nak adik abang tengok dulu apa yang ada dalam kotak ni.”

Mungkin kerana terlalu gembira dengan kebaikan abang yang secara mendadak ni, aku yang tidak meletakkan sedikit pun rasa curiga padanya, terus membongkok ke dalam kereta untuk membuka pembalut kotak besar itu. Dengan tak semena-mena, ketika aku membongkok, mulutku ditekup dari belakang. Aku cuba menolak tangan yang sedang menekup mulutku. Aku pasti, itu adalah tangan abangku sendiri!

Baru kini aku teringat pesanan Yusuf padaku. Tak baik berburuk sangka pada orang…..tetapi sentiasa berhati-hati dalam setiap langkah. Aku ingat pada baris yang depan, tetapi aku lupa pada baris yang kemudian. Dan, inilah natijahnya!

Walaupun aku telah mencuba sedaya upaya untuk melepaskan tangan itu tapi lama kelamaan, nafas aku menjadi sesak. Aku kehilangan tenaga dan akhirnya…..pandangan aku terus kelam……



%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Perlahan-lahan aku membuka mata apabila aku merasakan wajah aku tiba-tiba sahaja basah. Aku mengerdipkan mata beberapa kali sehinggalah pandangan aku jelas. Terus sahaja aku menangkap wajah Kak Maziah yang sedang tersenyum memandangku. Ada timba kecil ditangannya. Apa yang telah berlaku sebenarnya? Adakah aku disimbah dengan air?

Aku memandang sekeliling. Kini, aku berada di sebuah rumah usang. Aku pandang wajah Kak Maziah. “Lisa kat mana ni, kak?” Dalam keadaan yang sedikit lemah aku bertanya. Aku masih terasa seakan-akan dunia ini sedang berputar. Ubat apa yang telah diberikan mereka padaku hingga aku merasakan begini?

“Lisa berada di tempat sepatutnya Lisa berada!” ujarnya dengan begitu sinis sekali.

Aku memejamkan mata seketika. Cuba menyedarkan diri agar kembali pada hakikat dunia. Agak lama aku berbuat begitu, barulah aku membuka mataku semula. Pandangan aku lebih jelas kini. Barulah aku menyedari dengan keadaanku yang sedang terikat di sebuah kerusi kayu.

“Apa ni, kak?” Wajah Kak Maziah ku pandang dengan penuh persoalan. Jujur aku katakan, melihat wajahnya tatkala ini membuatka aku bertambah benci dengannya.

“Akak cuma buat apa yang sepatutnya berlaku. Lisa sepatutnya berkahwin dengan Razali. Bukan dengan Yusuf!”

Yusuf? Ya Allah…..Yusuf!! aku baru teringat tentang lelaki itu. sepatutnya aku kini berada di rumah. Yusuf tentu sedang menungguku. “Akak, akak lepaskan Lisa, kak….” Kali ini nada yang aku gunakan seakan merayu. “Tolonglah kak, lepaskan Lisa…”

“Untuk apa? Lisa nak balik dan kahwin dengan Yusuf?” soalnya bersama gelak tawa yang sengaja dibuat-buat. “Lisa tahu tak, apa saja yang berlaku sekarang, semuanya salah Lisa. Kalau Lisa kahwin dengan Razali, semua ni takkan terjadi!”

“Kak…..tolonglah kak….Lepaskan Lisa…” Aku terus merayu dan meronta-ronta dengan niat untuk melonggarkan sedikit tali yang membelit tubuhku.

Tiba-tiba sahaja pintu rumah usang itu terbuka dari luar. Kelibat abang muncul. Aku terus memandangnya dengan tajam. “Abang!!” Mungkin kerana geram dan marah, aku terus berteriak padanya. “Tergamak abang buat Lisa macam ni!! Lisa adik abang!!” Aku cuba mengingatkan dia tentang hubungan darah kami.

“Kalau kau adik aku, kenapa kau tak dengar cakap aku?!” Dia terus membentak.

“Lepaskan Lisa bang!! Abang memang tak guna!! Setan!! Kau bukan abang aku!!” Aku terus menjerit kepadanya. Pang!! Satu tamparan hinggap di pipi kiriku. Mungkin dia bengang dengan aku yang terus berteriak padanya begitu.

Sungguh!! Aku sikit pun tak merasa sakit atau terkilan dengan tindakan abang seperti yang aku rasa sebelum ini. Yang ada dalam fikiran aku, hanyalah Yusuf!! Hari ini sepatutnya menjadi hari pernikahan aku dengan Yusuf! Hari ini sepatutnya menjadi hari bersejarah buat kami berdua!

Abang memegang pipi aku dengan kuat dan mendekatkan wajahnya dengan wajahku. “Kau dengar sini, kalau kau nak Yusuf selamat, lebih baik kau tutup mulut kau rapat-rapat!!” Apa maksud abang dengan ugutan itu? adakah Yusuf juga telah diculik mereka berdua?

“Mana Yusuf?” Aku terus bertanya.

“Ha..ha..ha..!!!” Abang terus ketawa mendengar soalan aku. “Lisa….Lisa…” dia menggeleng dan terus ketawa. Aku benar-benar bengang melihat abang.

“Mana Yusuf??!!!” Aku terus menjerit hingga tawanya terus terhenti. Abang diam seketika. Kemudian, aku lihat Kak Maziah menarik tangan abang dan mereka berlalu pergi meninggalkan aku sendirian di situ.

“Ya Allah…….tolonglah aku Ya Allah….” Bila berkata begitu, aku terus merasa sebak. Di saat ini, aku tahu, tiada siapa yang bisa menolong aku melainkan Allah Yang Esa. Hanya Dia yang bisa menyelamatkan aku. Hanya dia yang mendengar suara rintihanku.

Belum habis aku berfikir tentang keadaanku, abang dan Kak Maziah melangkah semula ke dalam rumah usang itu. Abang mendekatiku. Dia terus berlutut di hadapanku. Tangannya diletakkan di atas pahaku. Helah apa pula ini?

“Lisa, hanya Lisa yang boleh tolong abang sekarang,” ujarnya dengan nada yang perlahan. Dia meletakkan dahinya di pahaku. Aku memejamkan mata, mentarbiahkan diriku agar tidak termakan dengan rayuan abang lagi.

Abang mengangkat kepalanya dan memandang aku semula. “Lisa kena tolong abang. Lisa kena kahwin dengan Razali. Abang perlukan harta peninggalan arwah atuk.”

“Tapi Lisa tak perlukan harta tu! Lisa hanya perlukan Yusuf!”

“Lisa….” Abang terus memandang wajahku seakan meminta simpati. “Hutang abang pada Ah Long terlalu banyak. Abang perlukan harta arwah atuk untuk langsaikan hutang abang. Tolonglah Lisa….Kahwinlah dengan Razali.”

“Abang hutang Ah Long?” aku seakan tidak percaya dengan kenyataan abang itu. Abang seorang pegawai berpangkat tinggi di syarikatnya. Gajinya sahaja, mencecah ribuan ringgit. Untuk apa abang berhutang sedangkan abang hanya perlu menanggung dirinya dan Kak Maziah sahaja. Kak Maziah juga bekerja. “Untuk apa abang hutang Ah Long?” soalan yang terdetik dihatiku, ku ajukan padanya.

“Lisa….hanya Lisa saja yang boleh tolong abang…” tanpa menjawab pertanyaan aku, abang terus merayu.

“Berapa banyak abang hutang?” Aku bertanya lagi.

“Banyak! Banyak!! Abang sendiri tak mampu nak membayarnya.” Abang terus melayangkan pandangan yang menagih simpati itu. “Tolonglah Lisa…..orang-orang Ah Long sedang cari abang. Bunga dah naik! Lisa saja yang boleh tolong abang.” Entah berapa kali abang mengulang kata-kata itu.

“Berapa banyak abang pinjam?! Abang guna duit tu untuk apa?!” Kalau sekali pun dia minta aku mengorbankan diri aku, sekurang-kurangnya aku perlu pastikan pengorbanan itu tidak sia-sia!

“Kau banyak tanyalah Lisa!!” Kak Maziah terus menempelak. “Kau suka tengok abang kau kena cincang sebab tak dapat bayar hutang?!” Kak Maziah menjegilkan biji matanya. “Kalau abang kau mati kena bunuh dengan Ah Long, semuanya salah kau!!”

Aku pulak yang disalahkan?! Aku pasti, ini semua angkara Kak Maziah. Tentu abang berhutang dengan Ah Long kerana mahu memenuhi segala kehendak Kak Maziah.

“Kak Maziah yang kejam!! Akak gunakan abang untuk kepentingan diri akak sendiri!!” Aku telah memendam perasaan terlalu lama. Aku sudah tidak peduli lagi tentang hati orang. Yang penting bagiku kini, aku perlu selamatkan diriku sendiri! “Abang yang bodoh!! Ikut telunjuk isteri!! Abang memang bodoh!!” memang aku biadap kerana berkata begitu. Tapi itulah hakikatnya.

“Kurang ajar!!” Satu lagi tamparan hinggap di pipiku. Kali ini di pipi kanan pula. Abang mendengus geram. “Aku dah guna cara lembut untuk kau, kau tak nak!!” Abang bangun. “Tak pe!! Kalau kau tak nak, aku akan paksa kau dengan cara yang lebih kasar!!”

Apa yang abang mahu lakukan? Aku lihat abang terus membuka sebuah lagi pintu yang ada di sebelah kiriku. Aku memandang, cuba melihat apa yang ada di balik pintu itu.

Aku benar-benar terkejut apabila melihat seraut wajah Razali sedang tersenyum sinis sambil memegang sebatang kayu ditangannya. Razali melayangkan ciuman buatku. Aku berpaling dari melihatnya. Jijik!

“Lisa!!” Abang memanggil aku semula. Aku memandangnya. Abang membuka daun pintu itu dengan lebih luas. Aku menjenguk ke dalam.

“Ya Allah….!!!” AKu sudah terjerit di situ. “Yusuf!!” Yusuf yang kelihatan lemah sedang terikat di kerusi sepertiku. Di wajahnya ada kesan lebam. “Yusuf….!!” Ya Allah….apa yang telah mereka lakukan pada Yusuf? Yusuf kelihatan begitu lemah. Untuk membuka matanya dan memandang aku pun, dia kelihatan tidak bermaya.

“Setan!!! Apa yang kau dah buat dengan dia??!!” Aku terus menjerit pada Razali. Aku memandang Yusuf semula. “Yusuf….” Ya Allah…Yusuf….kasihan dia. Sungguh, aku tak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaanku tatkala melihat dia dalam keadaan begitu. Hanya airmata yang mula mengalir di pipiku ini yang bisa menggambarkan perasaan pedihku melihat Yusuf.

“Kau jangan salahkan aku. Apa saja yang berlaku, semuanya salah kau. Kau yang batalkan pernikahan kita!!” tempik Razali padaku semula.

“Keputusan aku memang betul! Aku takkan berkahwin dengan binatang macam kau!!” Aku terus meluahkan rasa marahku. “Lepaskan Yusuf!!”

“Lepaskan?” Razali membuat memek muka mengejek. “Lepaskan Yusuf?!!” terus ditariknya rambut Yusuf dengan kuat.

“Auch….!!” Kedengaran suara lemah dari bibir Yusuf.

“Lepaskan dia!! Lepaskan dia!!” Sungguh aku tidak tahan melihat Yusuf dalam keadaan begitu. “Tolonglah…..lepaskan dia….” Akhirnya nada yang aku gunakan semakin lemah dan semakin menagih sedikit simpati mereka. Airmataku semakin mengalir melihat darah-darah yang mengalir di wajah dan tubuh Yusuf. “Kasihankanlah dia….lepaskan dia….” Aku terus merayu bersama esak tangisku.

Mungkin tangisanku bagaikan sebuah irama yang indah di pendengaran mereka hingga mereka ketawa teebahak-bahak apabila melihat keadaanku itu. Dan yang paling galak sedang mentertawakan aku adalah Kak Maziah. Aku benci melihat wanita yang bergelar kakak iparku itu!

“Lisa….lisa…..” Kak Maziah menunduk sedikit dan mendekatkan bibirnya di telingaku. “Kalau Lisa nak Yusuf selamat, Lisa kenalah ikut cakap akak dan abang. Lisa kena berkahwin dengan Razali.”

Aku memejamkan mata dengan rapat. Tergamaknya mereka melakukan ini hanya kerana menurut hawa nafsu mereka yang mahukan harta peninggalan arwah itu. Sifat perikemanusiaan itu telah hilang dari dalam diri mereka.

“Tak apa. Lisa boleh ambil masa untuk berfikir. Akak dan abang pun dah nak pergi. Kami nak lihat bagaimana reaksi mak dan abah bila Lisa dan Yusuf tiada…..” Kak Maziah terus ketawa gembira. “Bila akak dan abang balik nanti, kami mahu Lisa beri jawapan, okey.”

“Kau jaga diorang ni. Jangan sampai terlepas pula!” kedengaran suara abang memberi arahan pada Razali.

“Jangan lupa belikan makan untuk aku!” ujar Razali pada mereka yang sedang keluar dari rumah usang itu.

Kini, tinggallah aku, Yusuf dan syaitan yang bertopengkan manusia itu. Aku mula berfikir cara untuk menyelamatkan Yusuf dan lari dari sini. Belum sempat aku habis berfikir, aku merasakan ikatan tanganku semakin longgar. Aku melirik susuk tubuh yang berada di belakangku sambil membukakan ikatan tanganku. Razali?

Aku terus mengurut pergelanganku yang terasa sakit setelah ikatanku terbuka sepenuhnya. Bekas-bekas merah melekat di pergelangan tangan yang terikat. Razali berdiri di depanku bersama senyumannya. Aku memandangnya. Apa yang berlaku sebenarnya? Tak mungkin Razali cuba menyelamatkan aku! Walaupun kelihatannya seperti aku diselamatkan, tapi hati aku menolak kuat pendapat itu.

“Saya lepaskan awak,” ujarnya sambil tersenyum padaku.

Sungguh! Aku langsung tak percaya dengan omongannya. Apatah lagi apabila melihat senyuman di bibirnya itu. tanpa menunggu lebih lama, aku terus bangun untuk mendekati Yusuf.

“Nanti!” Tiba-tiba sahaja tudung yang ku pakai di tarik dari belakang. Hingga tertanggal tudung yang terletak di kepalaku dan aku pula, terus terlantang di lantai.

Cepat-cepat aku mengangkat tubuhku dan duduk di lantai. Razali tertawa besar melihat aku. Dia berpusing-pusing di kelilingku. Aku benar-benar merasa takut memikirkan tindakan yang bakal diambilnya. Ya Allah….selamatkan aku! Ekor mataku terus memerhatikan langkah Razali.

“Kau tahu tak, kau ni cantik,” ujarnya lantas duduk bertinggung di depanku. “Sepatutnya, kau jadi hak aku. Bukannya Yusuf!” dia menguis anak rambut yang terjuntai di ubun kepalaku. Aku menepis tangannya. Dia hanya tertawa dengan tindakanku.

“Kalau kau kahwin dengan aku, aku akan hiaskan seluruh tubuh kau dengan pakaian yang cantik-cantik dan mahal. Aku balutkan emas-emas yang berkilauan di seluruh tubuh kau.”

“Aku tak perlukan itu semua!” Aku memandangnya dengan tajam.

“Kau tetap mahukan Yusuf?” Razali kembali bangun dan berpusing-pusing di kelilingku. “Apa yang dia boleh berikan untuk kau? Dia tak mampu berikan kau apa-apa. Kau lihat dia sekarang…..” Razali menunding pada Yusuf. “lembik……!!” Yusuf menghentikan langkahnya di depanku. “Kalau aku apa-apakan kau sekarang ni, di depan dia sekalipun, dia takkan boleh selamatkan kau!”

Terus aku memandang tepat ke arah Razali. Apa maksud Razali? Dada aku sudah bergetar kencang. Aku mula menghidu bau-bau malang.

“Yusuf!!!” Razali menjerit dengan kuat pada Yusuf. Perlahan-lahan, Yusuf membuka matanya. “Bangun Yusuf!!!” Razali sudah tertawa besar apabil melihat Yusuf yang sudah membuka matanya. “Buka mata kau besar-besar! Lihat apa yang akan aku lakukan pada bakal isteri kau!!” Dia terus tertawa terbahak-bahak. Terus dia menarik lenganku agar berdiri di sisinya.

“Yusuf…” Aku memanggil namanya dengan nada ketakutan. Airmata ku sudah membasahi pipi.

Terus Razali menarik aku dan memeluk pinggangku.

“Lepaskan aku!!!” aku terus menolak tubuhnya. Namun sedikit pun tubuh Razali tidak berganjak. “Yusuf!!!” Aku terus menjerit nama sambil meronta-ronta agar Razali melepaskan diriku.

“Lepaskan dia!!!” Tiba-tiba aku mendengar suara Yusuf menjerit. Yusuf….

Pandangan Razali berganti pada Yusuf. Yusuf memandangnya dengan tajam. Satu senyuman sinis terus terukir di bibir Razali. Dan seraya itu, tubuh aku dirangkul lagi.

“Lepaskan aku!!!” Aku terus menjerit dan berjuang untuk menyelamatkan diri.

“Lepaskan dia!!!” Dalam usaha aku melepaskan diri, aku mendengar suara Yusuf yang menjerit-jerit agar aku dilepaskan. “Lepaskan dia!!!”

Sungguh, aku tak punya kekuatan dan daya melebihi kekuatan seorang lelaki yang sedang dalam kekuasaan syaitan dan nafsunya. Hingga aku bisa merasakan kekuatan dan tenagaku semakin berkurangan. Aku tahu, Yusuf sedang mencuba sedaya upaya untuk melepaskan ikatan yang terbelit di tubuhnya. Semakin lama, kekuatanku semakin menurun.

“Allahu Akhbar!!!!” Tiba-tiba sahaja aku mendengar Yusuf melaungkan kebesaranNYA. Aku terngadah seketika. Untuk apa aku berputus harapan, sedangkan DIA sentiasa ada di sisi hambaNYA.

“Allahu Akhbar!!” Aku menyahut seruan itu. Tiba-tiba sahaja aku rasakan seolah-olah tenagaku datang semula. Aku terus menerus menolak tubuh sasa Razali yang semakin menyesakkan itu. Dalam masa yang sama bibirku terkumat-kamit menyebut namaNYA.

Entah macam mana, sedang aku dan Razali saling menarik dan menolak, tiba-tiba sahaja tubuh aku terpelanting ke belakang. Malangnya, kepalaku terhentuk kuat pada tembok. Terus aku merasakan tubuhku rebah di lantai. Mataku mula berbinau. Sesekali pandanganku kelam. Aku memegang belakang kepalaku yang terasa nyilu dan sakit.

Dalam kesamaran pandangan, aku melihat seakan bayangan dua orang pemuda sedang bergelut. Namun aku tak pasti, siapakah gerangannya kerana kesakitan dikepalaku membuatkan pandanganku kabur. Aku pasti, seorang darinya adalah Razali, namun siapa seorang lagi?

Setelah lama, aku terbaring sendirian dalam keadaan separa sedar, aku merasakan seseorang mengahmpiriku dan mengangkat tubuhku. Tiba-tiba sahaja aku merasa nyaman, tenang dan hilang segala ketakutan yang menyelubungiku. Aku memejamkan mataku rapat-rapat. Sempat aku mendengar suara seseorang yang aku sayangi berbisik di telingaku.

“Sabar Lisa. Saya akan bawa Lisa pergi dari sini. Sabar sayang…..”

Sungguh, kata-kata itu terus melenyapkan semua keresahanku hingga aku bisa menutup mata dengan tenang dan membiarkan keadaan terus begitu sehinggalah aku hilang dalam sedarku.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

“Aku terima nikahnya Lisa Auni binti Hassan dengan mas kahwin senaskhah Al-Quran dan persalinan sembayang.”

Tiba-tiba sahaja kata-kata itu menangkap cuping telingaku. Suara itu, aku kenal suara itu. Dengan keadaan lemah, aku cuba gagahkan diri membuka mataku.

“Sah!” Aku dengar beberapa suara yang menyusuli pula.

Aku cuba menggerakkan tanganku untuk memegang kepalaku yang masih terasa sakit dan berdenyut-denyut itu.

“Panggil doktor! Panggil doktor! Lisa dah sedar!!” sekali lagi telinga aku menangkap suara-suara yang ada di sekelilingku. Kedengaran suara itu seperti milik mak.

Aku cuba membuka mataku. Tapi aku tak berdaya. Aku terasa lemah sekali. Akhirnya, aku gagahkan diri untuk membuka bibirku. “Mak!” Aku mendengar suara mak. Aku rindukan mak. Aku mahu melihat mak.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%



Alhamdulillah…Tiada apa yang dapat aku nyatakan melainkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah s.w.t yang telah menyelamatkan aku dan Yusuf. Sungguh, aku langsung tak menyedari apa yang telah berlaku sehinggalah aku membuka mata dan melihat diriku kini berada di atas katil hospital dan dikelilingi orang-orang yang aku sayangi dan juga……Yusuf…..lelaki yang aku rindui.

Sedari tadi, mak dan abah sibuk menyuapkan aku makan, dan Yusuf…..dia hanya memandang aku dari jauh bersama senyumannya. Terlalu banyak ingin aku bertanya padanya. Namun masih belum berkesempatan.

Dalam keadaan gembira menerima suapan demi suapan dari mak dan abah aku teringat semula mimpiku yang seolah-olah mendengar Yusuf melafazkan ucapan ijab dan Kabul ke atas ku. Bahagianya aku jika yang aku mimpikan itu adalah satu kenyataan.

“Mak, abah….” Aku mengalihkan perhatian mereka yang sibuk menguruskan aku. Terlalu banyak persoalan yang bermain di minda ini yang memerlukan jawapan agar hatiku bisa tenang. Mak dan abah memberi perhatian mereka pada ku. “Apa yang jadi bila Lisa dan Yusuf tak ada masa hari pernikahan tu?” Aku melirik Yusuf seketika.

Mak melabuhkan punggungnya di sebelahku. “Bila mak sedar Lisa dah hilang dan Yusuf pun tak datang-datang, mak dan abah mula risau. Bila imam sampai rumah, kami masih tak dapat menghubungi Lisa dan Yusuf. Sampailah seorang dari pekerja catering datang dan jumpa mak dan abah. Katanya dia ada lihat Lisa dengan seorang lelaki dan perempuan masuk dalam kereta,” mak menarik nafas panjang. “Dia minta maaf pada mak dan abah sebab tak beritahu pada awal. Katanya, dia langsung tak syak apa-apa. Dia cuma sedar ada perkara yang tak elok berlaku bila tengok mak dan abah tak tentu arah. Waktu pekerja tu beritahu tentang itu, dalam fikiran mak tak fikirkan orang lain. Mak terus syak abang dan Maziah. Bila mak tunjukkan gambar abang dan Kak Maziah, dia mengakui itulah orang yang bersama dengan Lisa.”

“Tentang majlis resepsi tu?”

“Majlis tu berlangsung macam biasa. Kita pun dan panggil ramai tetamu, jadi mak dan abah teruskan majlis tu sebagai satu jamuan untuk para tetamu. Tapi majlis tu, mak tinggalkan pada Pak Abu dan keluarganya untuk bantu. Mak dan abah pula, terus ke balai polis untuk buat laporan. Mak buat laporan kehilangan Lisa dan Yusuf. Tapi pihak polis cuma terima laporan kehilangan Lisa sebab ada saksi. Tapi Yusuf…..” Mak menoleh memandang Yusuf. “Mak dan abah perlu tunggu sehingga dua puluh empat jam, barulah mereka benarkan untuk buat laporan tentang kehilangannya.”

Aku menarik nafas panjang.

“Dahlah tu…..Lisa berehatlah dulu,” abah menyampuk. “Abah dan mak minta diri dulu. Esok pagi, mak dan abah datang tengok Lisa ya.” Abah menoleh kepada Yusuf. “Yusuf, tolong temankan Lisa ya.

Aku mengerti, mak dan abah pasti keletihan menjagaku seharian. Tapi, apa yang aku mushkilkan, kenapa mereka meminta Yusuf menjagaku? Di malam hari pula! Walaupun aku tertanya-tanya namun lidah ku kelu untuk menyuarakannya.

Mak dan abah telah melangkah keluar dari setelah mencium dahiku. Namun, pandanganku terus tertaut pada Yusuf. Yusuf juga terus memandangku bersama senyumannya. Setelah agak lama pandangan kami bertaut, barulah dia bengun dan menghampiriku. Dia melabuhkan punggungnya di atas katil bersebelahan dengan ku.

Kemudian, dia mencapai tanganku dan digenggamnya erat. Yusuf memegang tanganku? Aku langsung tak percaya dia akan menyentuhku begitu. Sungguh, aku terasa mahu menarik tanganku yang berada dalam genggamannya namun, entah kenapa aku tak melakukan itu. Aku hanya membiarkan Yusuf mengelus lembut tanganku dan mencium tanganku.

“Yusuf…..” hanya satu perkataan saja yang keluar dari bibirku tatkala itu.

Yusuf memandangku. Matanya terus memandang tepat ke dalam anak mataku. Terus aku terasakan sesuatu…..sesuatu yang mendamaikan, yang menyejukkan, yang membahagiakan dan satu perasaan yang membuatkan aku merasa selamat dan dilindungi.

“Sayang…..” ujarnya. Ya Allah….sungguh aku merasa terharu mendengar ucapan sayang dari bibirnya. Terasa diri ini begitu dihargai dan disayangi. “Lisa mahu tahu apa yang berlaku?”

Aku menganggukkan kepala.

Yusuf mengeratkan genggaman tangannya. “Waktu Lisa rebah kerana terhentuk di tembok, terus terang abang katakan, kekuatan abang terus melonjak naik. Entah dari mana kekuatan itu datang. Yang pasti, abang terlalu risau melihat Lisa yang sudah terbaring. Syukur pada Allah, abang berjaya membuka ikatan dan terus bergelut dengan Razali untuk menyelamatkan Lisa.”

“Lisa tahu tak, ketika itu, abang sebenarnya dah tak punya daya untuk menyelamatkan diri abang sendiri. Teruk abang dibelasah dengan Razali sebelum mereka membawa Lisa ke rumah usang tu. Benarlah, jika sentiasa meletakkan segala harapan pada Allah……Allah akan membantu kita,” ujarnya lagi.

“Setelah abang berjaya menumpaskan Razali, tiba-tiba saja Kak Maziah dan abang Lisa datang. Syukurlah, tak lama lepas tu, polis datang menyerbu rumah usang itu. Kita terselamat.”

Aku menarik nafas panjang mendengar cerita Yusuf. “Macam mana dengan Kak Maziah dan abang?”

“BIla dengar siren polis, mereka terus lari. Abang dah tak peduli tentang diorang. Apa yang abang fikirkan adalah keselamatan Lisa.” Yusuf diam seketika. “Kak Maziah berjaya larikan diri dari pihak polis. Entah di mana dia berada sekarang.”

“Kak Maziah berjaya larikan diri?” Aku bertanya sekali lagi. Yusuf mengangguk. “Abang?”

Yusuf memandangku. “Razali telah berjaya di tahan pihak polis. Sekrang ni, Razali berada dalam tahanan. Abang Lisa pula……” Yusuf menarik nafas pula. “Jom, abang bawa Lisa ke satu tempat.” Yusuf cuba mengangkatku.

“Nanti!” Aku menolak bantuannya yang mahu mengangkat aku turun dari katil. “Saya boleh bangun sendiri.”

Yusuf tersenyum. Dia memandang aku. “Abang tahu apa yang ada dalam fikiran Lisa,” ujarnya sambil menyelak rambut di dahiku. Kemudian, dia mencapai selendang yang tergantung di kepala katil lalu membaluti rambutku yang terdedah. “Lisa tahu tak, Lisa dah sebulan tak sedarkan diri.”

“Sebulan?” Aku benar-benar terkejut. Selama itukah aku hilang dari dunia ini?

“Hentakkan yang kuat pada kepala Lisa, menyebabkan darah membeku. Alhamdulillah, doktor berjaya mengeluarkan darah beku itu. Tapi, Lisa tetap terus tidur hingga sebulan lamanya. Abang tak dapat nak ceritakan betapa menderitanya mak dan abah melihat keadaan Lisa. Sampailah malam Jumaat yang lepas. Tak tahulah kenapa, abang rasa Lisa sepatutnya menjadi hak abang. Mungkin dengan cara itu, Lisa akan membuka semula mata Lisa. Bila abang luahkan perasaan abang pada mak, mak bersetuju. Katanya, dia pun merasakan apa yang abang rasa. Bila abang luahkan pada abah, abah juga setuju. Dan akhirnya…..” Sekali lagi Yusuf mencapai jari jemariku dan menggenggamnya erat. “Abang menikahi Lisa di dalam kamar ini.” Yusuf memandang seluruh ruang kamar hospital itu. begitu juga dengan aku. “Di ruang yang sempit inilah, kita sah menjadi suami isteri.” Yusuf memejamkan matanya seketika. “Dan setelah abang melafazkan akad dan menerima Lisa sebagai isteri, terus Lisa memberi respon pada dunia ini.”

Subhanallah….Walhamdulillah….Walailahaillallah…Wallahuakhbar……Rupa-rupanya apa yang aku alami itu bukanlah suatu mimpi. Aku memandang pada Yusuf dengan penuh rasa cinta. Ada airmata yang mengalir di pipi. Sungguh, walaupun aku hanya menjadi seorang isteri di dalam kamar ini, tetapi aku adalah wanita yang paling bahagia dalam dunia ini kerana memiliki suami sebaik Yusuf. Aku sikit pun tidak kisah jika tidak berada di majlis indah untuk memeteraikan kami sebagai suami isteri. Apa yang penting, aku telah menjadi milik Yusuf dan Yusuf adalah suamiku kini.

“Jom….Abang nak bawa Lisa ke suatu tempat,” Yusuf memegang bahuku. Kali ini aku tidak menolak lagi. Malah aku terasa sangat bahagia dengan sentuhannya.

Agak lama kami berjalan hingga membawa kami ke pintu depan unit rawatan rapi. Yusuf menunjuk ke dalam dinding kaca yang memisahkan kami dengan ruangan itu. Aku memandang ke dalam. Kelihatan mak sedang duduk di kerusi tetamu di sebelah katil seorang pesakit. Siapa itu? Siapa yang sedang ditunggu mak? Aku terus memandang pesakit yang penuh dengan wayar-wayar yang tersambung padanya.

“Itu abang Lisa.”

“Abang?” Terus pandangan aku memandang suamiku. Aku cuba meminta penjelasan darinya.

“Ketika melarikan diri dari pihak polis, abang Lisa terhantuk pada pokok dan kemudian terus terjatuh ke dalam jurang. Dia cedera parah,” ujar suamiku. “Lisa dan abang Lisa, sama-sama menerima rawatan di hospital ini. Abang tak tahu bagaimana nak ceritakan keperitan yang mak dan abah tanggung apabila kedua-dua anaknya cedera parah. Kini, abang Lisa hanya bergantung pada mesin hayat untuk menyambung nyawanya. Selama sebulan Lisa tak sedarkan diri, selama itu jugalah mesin hayat terus tersambung pada abang Lisa.” Suamiku menarik nafas yang panjang sambil menyapu juntaian airmata yang sudah mengaburkan pandanganku ini. “Setiap malam, mak dan abah akan bersilih ganti menemani abang Lisa. Setiap malam juga mereka membacakan Yaasin buatnya. Tapi, akhirnya, mak dan abah dah membuat keputusan untuk mengikut nasihat doktor. Doktor menyarankan agar mesin hayat dicabut dari abang Lisa kerana Abang Lisa sudah tidak mampu untuk bertahan. Bermakna, Abang Lisa sebenarnya sudah tidak ada lagi. Hanya mesin itu yang membuatkannya hidup.”

“Ya Allah…..” Tanpa mendapat menahan airmata ini aku terus menyembankan mukaku ke dada suamiku. Terus esak tangisku kedengaran. Sungguh, memang aku marah pada abang. Tetapi dia adalah abang ku. Hingga saat ini, aku masih terbayangkan kemesraan kami ketika kecil yang bermain bersama dan bergurau senda bersama. Bagaimana bisa aku lupakan abangku yang menjadi pelindungku selama ini. Ketika aku di bangku sekolah, kerap aku diganggu dengan pelajar-pelajar lelaki. Dan abang, bertindak sebagai pelindung ku. Setiap masa dan ketika, abang sentiasa menjagaku hinggalah dia bernikah dengan Kak Maziah. Di saat mereka bersatu, di saat itu jugalah aku kehilangan pelindung yang sentiasa melindungi, menyayangi dan memanjakan aku.

“Lisa….apa saja kesalahannya, ampunkanlah dia. Abang Lisa sudah berada dihujung nyawanya. Minggu depan, doktor akan menarik mesin hayat dari tubuhnya.”

Tangisanku semakin bergema tatkala suamiku berkata begitu. Pelukan aku di dada suamiku semakin erat.

“Biar apa pun yang berlaku….biar apa pun yang terjadi antara Lisa dan abang….Lisa akan maafkan segala kesalahan abang….kerana…..abang adalah satu-satunya abang yang Lisa ada….dunia…dan akhirat….” Sungguh, aku ikhlas berkata begitu. Kini, aku mengerti mengapa suamiku selalu menasihati aku agar memaafkan dan terus memaafkan……kerana memaafkan itu adalah satu perbuatan mulia.

Setiap manusia tidak akan lekang dari melakukan kesalahan sesama sendiri. Hanya kemaafan yang dapat membersihkan diri dari dosa dengan insan lain yang akan menyelamatkan kita kelak. Begitulah juga dengan diri kita yang takkan lepas dari kesilapan. Tentu juga kita perlukan kemaafan dari orang yang telah kita lakukan kesilapan padanya itu.

Buat abang…..adikmu ini tidak akan menyimpan sekelumit pun rasa dendam dan marah pada mu lagi. Walau apa yang pernah kita lalui adalah pengalaman yang sangat perit, namun aku tetap takkan melupakan segala kebaikanmu menjagaku selama ini. Akan aku hapuskan segala kenangan pahit itu kerana masih banyak kenangan manis yang akan ku kenang. Tenanglah kamu di sana….aku akan sentiasa menghadiahkan sebanyak-banyak doa buatmu.

“Abang….” Aku mendongak memandang suamiku. “Terima kasih atas segalanya, abang….” Satu ciuman singgah di dahiku.

“sama-sama sayang….. Terima kasih pada Allah yang telah melindungi kita….” Ujarnya semula.



Subhanallah…Walhamdulillah…Astaghfirullah….Wallahuakhbar….

Subhanallah….Walhamdulillah….Astaghfirullah…..Hasbiallah……






6 comments:

  1. best sgt2 cerpen nih...harap2 dpt jd mcm lisa coz sikit sbnyk jalan cite dlm cerpen ni pnh dilalui

    ReplyDelete
  2. citer ni mcm blm hbskan????? Tergantung......

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cerita ni memang agak tergantung. tetapi tiada sambungannya. terima kasih...:)

      Delete