Tuesday, 17 April 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 5











ZACK yang sedang menikmati ‘drama’ petang itu masih terus bersandar di balik pohon. Pemuda dan gadis yang dilihatnya itu terlalu sibuk dengan urusan mereka sehingga mereka langsung tak menyedari kehadirannya di situ. Dia pula, terlalu asyik dengan menyaksikan drama mereka berdua.
            Setiap perbualan mereka berdua sangat jelas di telinganya. Ada ketikanya dia mahu ketawa, tetapi sedaya upaya dia menahan tawanya agar mereka berdua tidak menyedari dirinya di situ. Percintaan budak muda zaman sekarang, memang sungguh….kelakar! Itulah yang dirasakannya.
            Sebentar tadi, pemuda itu sudah berlalu pergi. Gadis yang sedang asyik menulis dibangku panjang itu mencuit hatinya. Gadis itu mahu mencari seorang putera raja yang boleh membuatkannya jantungnya berhenti berdegup! Memang kelakar! Sehinggakan dia sendiri melihat pemuda tadi ketawa terbahak-bahak.
            Rupanya si dara itu tidak mempunyai perasaan pada si teruna lantas menolak cinta si teruna dan si teruna berlalu pergi dengan perasaan hampa. Kisah ini ibarat kisah puteri Gunung Ledang yang memberikan tujuh syarat yang tak masuk akal untuk Sultan Mahmud dek kerana penolakannya. Begitulah juga dengan gadis ini yang mahukan putera raja yang boleh membuatkan jantungnya berhenti berdegup. Kalau ya pun tak suka, tolak sudahlah tak payahlah beritahu perkara yang tak logik macam tu. Macam manalah pemuda tu tak gelak sakan tadi.
            Zack duduk bersila lalu menongkat dagunya dan terus memerhatikan tingkah gadis itu. Sangat mempersonakan sehingga ralit dia tanpa menyedari masa sedang berjalan. Dia melirik wajah ayu di depannya. Dari sepasang mata coklat gelap turun kepada hidung yang sedikit mancung dan seterusnya, seulas bibir yang merah semulajadi itu. Tiba-tiba satu idea terlintas difikirannya. Dia terasa mahu mengusik gadis muda itu.  
Zack bangun lalu dengan perlahan menghampiri gadis yang sedang asyik dengan diarinya. Zack menyandarkan tubuhnya ke batang pohon itu.
“Ehem!” Dia berdehem untuk menarik perhatian gadis muda itu.
Audra yang sedang asyik meluahkan rahsia hatinya berpaling menoleh ke belakang. Matanya terus terpaku kepada seorang lelaki yang bertubuh tegap. Tiba-tiba sahaja dia dapat merasakan, bagai dunianya terhenti seketika.
“Tuan puteri sedang menunggu putera raja mana untuk datang ambil tuan puteri?” tanya Zack dengan sindiran.
Kata-kata itu terus membuatkan Audra tersedar ke dunia nyata. Dia terus memandang susuk tubuh yang datang entah dari mana, sedang bersandar pada pohon itu. Lelaki itu sedang memandang terus ke tasik sambil disusuli dengan tawa sinisnya.
            “Awak bercakap dengan saya?” tanya Audra.
            Zack memandang Audra. “Kenapa tuan puteri tak balik lagi? Putera raja yang datang tadi, dah pun balik. Tuan puteri tunggu putera raja yang lain untuk datang ambil dengan kereta kuda?” usik Zack.
            Berkerut dahi Audra. Dia langsung tak faham dengan omongan lelaki itu. Siapa lelaki itu? Datang padanya dan terus bercakap tentang puteri dan putera. Gila! Audra sudah menutup diarinya. Dia sudah bangun untuk pergi dari situ.
            “Dah nak balik?” tanya Zack. Dia masih belum puas untuk mengusik gadis itu.
            Audra mencebik. “Awak ni gila!”
           “Huh? Saya gila?” Zack menggeleng. “Bukankah tuan puteri mahukan seorang putera raja yang boleh buat jantung tuan puteri berhenti berdegup?” Zack mengerling Audra sambil memeluk tubuhnya.
            Audra sudah ternganga. Bagaimana lelaki ini tahu? Apakah lelaki ini mendengar perbualannya dengan Zaid? Dia memandang lelaki asing itu. Kacak! Sangat kacak! Kategori lelaki kacak seperti ini memang bisa membuatkan jantungnya berhenti berdegup tetapi tatkala ini jantungnya tidak berhenti berdegup tetapi dengupannya semakin pantas kerana menahan rasa marah!
“Awak ni siapa?!” tanya Audra dan keningnya sudah berkerut tanda kurang senang dengan kehadiran lelaki itu. Dia sudah memeluk tubuh dan memandang lelaki itu dengan tajam.
            Zack melirik memandang wajah Audra yang sedang merenungnya. Dia tersenyum kelucuan melihat wajah itu. Dia mengalihkan pandangannya ke arah tasik. “Tak de siapa-siapa,” ujar Zack dengan selamba sambil menyinsing lengan kemejanya sehingga ke paras siku. Lalu melonggarkan tali lehernya dan membuka butang kemeja di bahagian leher.
Audra masih terus memerhati tingkah lelaki asing itu. Lelaki itu kelihatannya seperti seorang lelaki yang bekerjaya. Terpaku dia seketika dengan perlakuan lelaki itu. Nampak berkarisma sekali. Tiba-tiba sahaja lelaki itu menoleh memandangnya. Dengan pantas Audra berpaling ke tempat lain.
Zack tersenyum sinis. Bukan dia tak sedar sepasang mata itu sedang memerhatikan tingkahnya. “Kenapa pandang macam tu? Apa, saya dah buat jantung tuan puteri berhenti berdegup?” usik Zack bersama tawa kecilnya.
Audra mengherotkan bibirnya lalu memandang Zack sambil mengecilkan matanya. Wajah Audra merona merah. “Eeiii! Jangan perasanlah!” Audra mencebik. “Lelaki tak sopan macam awak ni takkan boleh buat jantung saya berhenti berdegup!” Audra melampiaskan marahnya dan dalam masa yang sama cuba menutup perasaan malu yang sudah menyeliputi dirinya. “Kalau awak nak tahu, jantung saya ni tengah berdegup kencang sebab sikap awak yang tak tahu hormatkan orang lain!”
Zack masih lagi tersenyum melihat wajah yang kemerahan itu. Dia membalas pandangan Audra. Gadis itu memiliki kulit putih serlah. Jadi,  tak hairanlah jika cepat benar wajahnya merah bila marah atau menahan rasa malu. “Baguslah kalau macam tu, tentu jantung awak tengah dup dap, dup dap, kan? Bukankah itu tanda positif? Itu lebih baik dari awak nak jantung awak berhenti berdegup. Kalau berhenti berdegup dan tak berdegup balik, macam mana?” Zack ketawa.
Ketawa Zack itu membuatkan wajah Audra semakin merah. Bibirnya diketap, geram! Nampaknya, semua perbualan dia dengan Zaid telah didengar lelaki itu! Pendapat lelaki ni sama pula dengan Zana. Dia tidak maksudkan jantung berhenti berdegup terus! “Awak ni siapa nak ambil tahu hal orang?” Audra mencekak pinggangnya. “Awak curi-curi dengar ya?!”
Hampir sahaja tawa Zack terburai namun sedaya upaya ditahannya. “Pleaselah! Tak de masa saya nak ambil tahu hal budak-budak tak matang ni!”
Audra mendengus. Tak matang? Kemarahan Audra semakin membuak-buak.
“Dari tadi saya dah ada kat sini. Berbaring di sini. Awak dengan kawan awak tu yang mengganggu ketenteraman saya!” balas Zack. “Tapi okeylah jugak, boleh jadi hiburan untuk saya.” Zack menjungkit-jungkitkan keningnya untuk mengusik gadis itu. Seronok melihat gadis itu yang semakin kelat wajahnya.
Hah? Hiburan! Melampau! Mata Audra sudah membulat. Mamat ni melampau sungguh! Lancang betul mulut dia! Dah tu, berani dia kata Audra budak tak matang! Kesabaran Audra semakin teruji. “Awak ni memang melampau!”
Zack terus ketawa melihat gadis yang sudah dibakar api kemarahan itu. Semakin marah, semakin comel. “Sebenarnya, yang melampau di sini awak dan kawan awak tu,” ujar Zack merujuk pada Audra dan Zaid. “Saya yang datang berehat kat sini dulu. Kamu berdua yang dah ganggu ketenangan saya.”
“Awak jangan tipu! Dari tadi saya tak nampak awak pun!” Sungguh! Dia langsung tak melihat kehadiran sesiapa melainkan dirinya dan Zaid.
“Awak tak nampak sebab saya baring kat belakang pokok ni.” Zack menunding pada pokok besar di mana mereka berada sekarang. “Tak percaya? Cuba tanya pokok ni!” usik Zack lagi.
“Awak ingat saya ni gila macam awak nak tanya kat pokok ni?” Geram Audra dengan lelaki yang terus menerus mempermainkannya.
“Eh, mana ada!” ujar Zack. “Saya tak pernah cakap pun yang awak ni gila. Tapi, awak ni memang mereng sikit.” Zack ketawa lagi. Kalau tak, takkanlah gadis di depannya ini boleh memberikan alasan yang tak masuk akal untuk menolak lamaran pemuda tadi.
Ini tak boleh jadi ni! Lelaki ni perlu diajar cara menghormati orang lain! Audra berjalan menghampirinya dengan mencekak kedua-dua belah pinggangnya menunjukkan rasa marah. Dua langkah sahaja dengan lelaki itu, Audra berhenti dari melangkah. Melangut Audra memandang lelaki di depannya. Lelaki di depannya itu memang tinggi!
Zack memandang Audra. Terjongket-jongket kening Zack seakan-akan mengusik gadis itu. Kelakar dirasakannya melihat gaya Audra yang begitu. “Agak-agaknya, putera raja mana yang akan jatuh cinta pada puteri yang,” Zack memandang Audra dari atas ke bawah dan ke atas semula. “Pendek macam awak ni?”
Mata Audra sudah terjegil besar mendengar kutukan itu. Pendek?! Mamat di depannya ni memang kurang makan asam jawa! Terang-terangan dia berani mengata Audra begitu! Tanpa berfikir panjang, Audra yang dikatakan pendek ni terus melompat lalu menggunakan kepalanya sebagai senjata dan sasarannya adalah hidung lelaki itu yang mancung. Lebih kurang macam aksi dalam bola sepak bila pemain menggunakan kepala untuk menanduk bola. Begitulah Audra menghantuk hidung lelaki itu dengan kepalanya yang keras.
“Auowh!” Zack yang tidak dapat menjangkakan serangan gadis itu terus terduduk sambil memegang hidungnya yang kesakitan akibat dihantuk dengan kuat.
Audra memerhatikan lelaki itu yang sudah terduduk sambil menangkup hidungnya. “Rasakan!” Tanpa menunggu lebih lama, pantas Audra mencapai beg galasnya dan terus berlari dari situ. Padan muka!
“Hei! Nanti!” teriak Zack. Tetapi gadis itu terus berlari tanpa menoleh ke belakang. “Auwh!” Zack terus memegang hidungnya yang sakit.
Zack menyapu hidungnya dengan belakang tapak tangan apabila merasakan ada cecair yang keluar dari hidungnya. Darah! Zack menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan sapu tangan. Dia menutup hidungnya untuk menahan darah yang mengalir. Boleh tahan sakit serangan gadis itu!
Tiba-tiba matanya menangkap sesuatu di kerusi panjang ketika dia mahu beralih pergi. Zack menghampiri kerusi itu. Lantas satu senyuman menguntum dari bibirnya.
Diari!

ZACK memerhatikan wajahnya di cermin. Kemudian, dia memusing kepalanya ke kiri, ke kanan dan ke atas. Mujurlah pendarahan di hidungnya sudah berhenti. Syukur pada Allah kerana hidungnya tidak patah. Dia memegang hidungnya yang mancung. Nasib tak penyek!
Lepas sahaja pulang dari tasik dia terus menuju ke klinik. Kata doktor, hidungnya hanya cedera ringan. Tak ada apa-apa yang perlu dikhuatirkan. Dia di minta melangut ke atas dan berehat untuk seketika. Tak lama kemudian, pendarahannya terus berhenti. Alhamdulillah…
Tiba-tiba sahaja seraut wajah yang ditemuinya di tasik tadi muncul di cermin. Tup! Gambaran wajah itu hilang kembali. Zack menggelengkan kepalanya. Dia tidak menyangka gadis itu akan nekad menanduk kepalanya kerana marah dengan usikannya. Satu pengajaran buat dirinya. Di lain masa, dia perlu lebih berhati-hati untuk mengusik mana-mana gadis pun. Lebih-lebih lagi gadis yang suka berangan. Rupanya, gadis yang suka berangan memang bahaya! Silap dicuit, merana badan! Nasib baik hidung aje.
Zack keluar dari kamar mandi lalu menuju ke birai katil. Tubuhnya dilabuhkan di katil lembut itu. Dia memandang diari ungu lembut yang diletakkannya di tepi katil. Dia tersenyum sendiri. Wajah gadis itu terbayang lagi di ruang matanya. Dia mencapai diari ungu itu. Badannya di sandar di kepala katil untuk menyelesakan lagi kedudukan.
Kulit diari di selak. Sekeping foto gadis itu terlekat di dalamnya. Kelihatan seorang gadis yang memakai selendang dan baju kurung ungu lembut sedang tersenyum manja. Petang tadi pun gadis itu memakai warna ungu lembut. Diarinya juga bewarna ungu lembut. Mungkin juga itu adalah warna kegemarannya. Warna itu memang sesuai dengannya. Gadis itu kelihatan lebih ayu dengan warna itu.
“Audra Laily binti Hj. Ashaari.” Zack membaca nama yang tertera di situ. Keningnya terjungkit. Sebuah nama yang indah dan cantik. Secantik empunya nama. Di muka hadapan diari itu juga tertera nama kolej di mana gadis itu sedang belajar. Senyuman Zack semakin melebar.
Helaian diari dibuka lagi.

Mak dan Zana, Zana dan mak, sama saja. Bila Zana berleter, aku dapat rasakan yang mak juga ada di sini dan sedang berleter padaku. Hehehe….Kalaulah  Zana tahu aku samakan dia dengan mak, mampus aku!
Aku bukannya apa. Mak dan Zana asyik berleter benda yang sama. Berhentilah berangan Audra! Berhentilah berangan Audra! Macam mana aku nak berhenti berangan? Itukan hobi aku! Lagipun, angan-angan itu indah. Seindah mentari di pagi hari. Cewah! Puitis!

Zack ketawa kecil sambil membayangkan gadis itu sedang bercakap secara langsung di depannya. Dia sambung membaca lagi. Jadi, anggapannya tentang gadis itu benar belaka. Audra Laily, seorang gadis yang suka berangan!

Dalam angan-angan aku selalu membayangkan aku adalah Cinderella, Snow White, Rapunzel dan semua watak Princess Disney. Dan aku sedia menunggu putera rajaku datang untuk mengambil aku! Hmmm….indahnya detik itu!
Tapi itu cuma angan-angan sajalah. Sedih! Dalam setiap cerita dongeng pari-pari, kehidupan mereka berakhir dengan-happily ever after. Tapi hidup kita bukan macam tu, kan?! Life is complicated!
Walaupun aku suka sangat berangan tapi aku masih sedar diri lagi! Cuma, aku suka saja nak berangan! Tak salahkan?! Bukannya aku bunuh orang pun! Bukan kesalahan jenayah, kan?

Terangguk-angguk kepala Zack seolah-olah membalas kata-kata Audra. Sangkanya, gadis itu sengaja memberi alasan yang tak logik untuk menolak lamaran pemuda tadi. Padahal, itu memang anganannya! Angan-angan yang pelik dan tak masuk akal!

Satu-satunya putera raja yang dah berjaya menawan hati aku adalah Putera London tu! Tapi putera raja kesayangan aku, Putera William dah kahwin! Lama dah dia kahwin. Tapi sampai sekarang, aku tak dapat lupakan dia. Gila!
Oh Kate! Apasal kau pergi kahwin dengan putera raja aku? Sejak kau kahwin dengan dia, aku dah tak boleh dah nak berangan bercinta dengan Putera William! Asal baru nak berangan tiba-tiba kau muncul! Kacau daunlah! Hehehe…..Gila aku ni!
Mimpi dan angan-angan aku dah musnah. Lepas ni, aku nak berangan bercinta dengan siapa pulak? Hampeh betullah!

Audra berangan nak kahwin dengan Putera William? Zack tertawa membaca helaian itu. Betul mereng budak ni! Kepalanya tergeleng-geleng. Audra…..Audra…Tinggi betul angan-angannya! Langsung tak tercapai dek akal! Dia menyelak lagi helaian diari.

Zana ni memang tak betul! Ada pulak dia yang sukakan Zaid tapi dia mahu aku bersama dengan Zaid? Gila apa sahabat aku ni! Boleh pulak dia doakan agar aku bahagia dengan Zaid. Macam mana nak bahagia kalau aku sah-sah tak sukakan si Zaid tu. Nasib baiklah aku curi baca diari dia. Kalau tidak, sampai mati pun aku tak tahu perasaan dia pada Zaid!

            “Oh, kau curi baca diari kawan kau, ek?” ujar Zack. “Jadi tak salahlah aku pun curi baca diari kau.” Zack ketawa sendiri.
            Kalau dia sendiri yang tangkap cintan dengan Zaid, lebih baik dia yang tackle Zaid. Adakah patut dia berkorban pada perkara yang tak patut! Banyaklah cekadak kawan aku ni!
Tapi tak pe, tak pe. Pandai-pandailah aku masuk jarum nanti. Zana! Sabar ya putera idaman kau akan muncul nanti! Hehehe……

 Sekali lagi kepala Zack tergeleng. Dia sendiri pun tak betul, ada hati pulak nak satukan kawan dia dengan budak tu! Helaian diari diselak lagi.

Hari ni aku akan berjumpa dengan Zaid. Aku akan berterus terang dengannya yang aku sikit pun tak de perasaan pada dia. Dia bukanlah lelaki yang boleh membuatkan jantung aku berhenti berdegup!
Aku hanya mahukan seorang lelaki yang bisa membuatkan dunia ini berhenti berputar, jarum masa berhenti sesaat, jantung berhenti berdegup dan kemudian semuanya bergerak pantas. Dup dap! Dup dap!

“Hahaha!” Kali ini Zack sudah tertawa besar. Sampai meleleh-leleh airmatanya. “Dup dap! Dup dap!” Dia teringat semula pertemuan Audra dengan pemuda itu. Memang Audra ada menyatakan tentang itu. Zack terus ketawa dan ketawa sehinggalah perutnya sakit. Memang dia langsung tak menyangka, apa yang dikatakan Audra itu merupakan angan-angan dan impiannya yang sebenar.
AudrA, Audra, kepalanya tergeleng. Entah kenapa nama itu kini sudah terisi di hatinya. Walaupun tak mengenali gadis ini tetapi hanya dengan pertemuan seketika gadis itu sudah menceriakan harinya.
Dia menyelak lagi halaman yang terakhir ditulis Audra.

Zaid baru je balik. Aku dah selesaikan masalah aku dengan dia. Nasib baiklah dia tak mendesak untuk aku terima dia. Tapi yang tak bestnya, boleh pulak dia ketawa sakan depan aku bila aku beritahu tentang putera idaman aku! Sewel!
Aku dah masuk jarum tentang Zana. Walaupun dia tak kata setuju, tapi respon dia positif. Aku rasa….

Tulisan Audra mati di situ. Mungkin tatkala itu dia sudah muncul di depan Audra. Zack menutup diari ungu itu dan membelek diari itu lama. Dia perlu mencari tahu tentang gadis itu! Gadis yang penuh dengan angan-angan yang tak masuk akal!
“Audra Laily! Aku akan datang!”

TERKEBIL-kebil biji mata Zana memandang Audra yang sudah duduk di lantai, memeluk lututnya sambil bersandar di katilnya. “Biar betul kau Audra?” Zana seakan tidak percaya. Mulutnya sudah ternganga luas. Dia bagaikan tak percaya dengan berita yang baharu di dengarnya.
Audra mengerling Zana. “Betullah! Takkan aku nak main-main pulak!” Dahi Audra sudah berkerut kerana geram dengan soalan Zana. Dilemparnya satu jelingan untuk Zana. Takkanlah dia berbohong tentang tindakannya yang sudah menghantuk hidung lelaki itu? Selepas dia mencederakan lelaki itu, dia terus berlari pergi. Bagaimana jika lelaki itu pengsan di situ atau cedera teruk? Tiba-tiba dia menjadi gelisah mengenangkan lelaki itu. Patutkah dia kembali semula ke tasik itu?
“Habis tu?” tanya Zana. “Kau tinggalkan dia macam tu aje?”
“Hah! Matilah aku!” Audra sudah tak tentu arah. “Macam mana kalau dia pengsan kat sana?” Audra sudah gusar. Walaupun dia marah, tak sepatutnya dia tinggalkan lelaki itu dalam keadaan begitu.
“Dia cedera tak?”
“Aku tak tahu! Lepas aku hantuk hidung dia, aku terus lari.” Audra mengetap bibirnya. “Aku risaulah kalau dia cedera.” Jelas di wajah Audra, ada garis-garis kerisauan.
“Ish! Takkanlah boleh pengsan kot!” Zana cuba menyedapkan hati Audra. “Alah, kalau pengsan pun mesti dah ada orang jumpa dengan dia sekarang ni!” Kalau hari-hari biasa, tasik itu memang ramai pengunjungnya. Itu tak menjadi soal. Masalahnya sekarang, Audra tertinggal diari yang mengandungi maklumat tentang dirinya. Bagaimana jika lelaki itu menemui diari Audra?
“Senangnya kau cakap. Macam mana kalau lelaki tu buat laporan polis?” Audra menggeleng. “Tapi, aku taklah fikir tentang hal tu. Aku cuma rasa bersalah.”
“Itulah kau!” Zana sudah mendengus. “Suka buat perkara tak pernah nak fikir dulu buruk baiknya!”
“Okey,” Audra menarik nafas dan melepaskan perlahan. “Aku yakin, dia tak apa-apa.” Audra cuba menyedapkan hatinya sendiri. “Macam mana kalau dia cari aku nanti?” Satu pandangan yang menagih simpati dilemparkan kepada Zana. Manalah tahu kalau-kalau lelaki itu menyimpan dendam padanya.
Zana terdiam. Semua masalah berpunca kerana Audra tertinggal diarinya di situ. Kalau tidak, tentu lelaki itu tidak dapat mengesan Audra.
“Argh! Diari aku!” Audra sudah menyembamkan mukanya ke katilnya. Kalau lelaki itu terjumpa diarinya dan mencarinya di sini, itu satu hal. Dan satu hal yang lain pula, itu adalah diarinya! Macam mana kalau lelaki itu membaca diarinya?! “Ni semua lelaki tu punya pasal!” Audra merenyuk bantalnya untuk melepaskan geram. Lagak seolah-olah bantal itu adalah lelaki asing yang ditemuinya tadi.
“Yang kau pun satu! Berani sangat pergi hantuk hidung dia buat apa? Kan sendiri yang susah. Nasib baik kau lari. Kalau tak?” Zana sudah berleter padanya.
Audra menjeling Zana. Ada benar juga kata-kata Zana. Sebenarnya, dia bukanlah berani sangat. Dia hanya seorang gadis biasa. Sebab tulah dia lari lepas dia hantuk hidung lelaki itu. Sebenarnya, dia takut tapi berlagak berani!
“Apa kata kalau aku pergi cari dia?” suara Audra dengan tiba-tiba. “Dari dia datang sini cari aku, pastu buat aduan di kolej, baik aku cari dia dulu dan minta maaf. Pastu, aku minta balik diari aku!”
“Gila kau? Tadi bukan main takut kalau dia cari kau! Tapi sekarang kau pulak yang nak cari dia!” Pening betul Zana dengan sikap temannya.
“Takut tu memanglah takut! Tapi, diari aku! Aku nak diari aku balik!” Audra mengeluarkan lagi muncung panjangnya.
Zana menggelengkan kepalanya. Audra lebih risaukan diarinya dari dirinya sendiri! Zana melirik jam di tangannya.”Aku rasa, lelaki tu mesti dah tak ada kat tasik.” Dia memandang Audra. “Kalau nak cari dia pun, kau tahu ke nak cari dia kat mana?”
Audra diam sejenak, cuba berfikir. “Macam mana kalau esok petang, aku pergi tasik. Mana tahu kot-kot dia ada kat sana.”
Zana menggosok dagunya. Okey jugak cadangan Audra. Mana tahu kalau-kalau lelaki itu ada di situ. “Bolehlah, tapi aku kena temankan kau! Manalah tahu, karang timbul masalah pulak!”
“Owh, mesti! Kau mesti temankan aku! Aku pun tak berani nak pergi sendiri. Kang dia smack down aku, arwah nanti!”
“Ish!” Zana menjeling. “Nauzubillah! Cuba jangan sebut benda yang tak baik macam tu!”
Audra tersenyum sumbing. Dia tahu Zana sayangkannya! Begitu juga dengan dia! Sebab itulah dia perlu pastikan Zana akan mendapatkan kebahagiaannya iaitu, Zaid.
“Audra,” panggil Zana dengan senyum sumbingnya. Dia mendekati Audra dan duduk di sebelahnya. Bahu Audra dipeluknya. “Macam mana rupa lelaki tu?” tanya Zana. Mahu juga dia tahu rupa lelaki yang dihantuk oleh Audra itu.
“Hmmm,” Audra diam seketika, cuba mambayangkan seraut wajah tampan yang tak mungkin begitu senang untuk dilupakan. “Handsome! Handsome sangat! Ada iras-iras Samy Yusoff! Ada jambang sampai ke side bearn. Jambang dia ala-ala Maher Zain, tapi lagi handsome dari Maher Zain!” Audra sudah hilang bersama anganannya apabila membayangkan seraut wajah tampan lelaki itu.
“Hei!” Zana menepuk kuat bahu Audra.
Tengadah Audra sambil menggosokkan bahunya yang pedih. Zana dikerling dengan ekor matanya.
“Tu tak de lain tu barangan lagilah!” Zana mengetap bibirnya. Dia mengerling Audra.
Audra sudah ketawa kelucuan dengan jelingan Zana.
Zana bersandar cuba membayangkan gambaran lelaki itu. “Ni dah kira handsome maut dah ni kalau sampai mengalahkan Maher Zain!” Dia memandang Audra. “Kalau dah haaaandsomeeee sangat sampai dah berangan kat alam lain, takkanlah dia tak buat jantung kau berhenti berdegup?!” sindir Zana sambil ketawa kecil.
“Almost!” Jujur memang dia dia dapat merasakan jantungnya hampir sahaja berhenti dari berdegup tatkala melihat lelaki itu. Sayangnya dek kerana kelancangan mulut lelaki itu yang suka-suka hati menyindirnya, jantungnya terus bergerak laju menahan marah.
“Almost?!” Ternganga Zana. Betulkah apa yang didengarnya? Dari sekolah rendah sampailah dah ke kolej, Audra selalu berangan untuk bertemu dengan putera raja yang boleh membuatkan jantungnya berhenti. Dan sekarang lelaki itu begitu hampir membuatkan impian Audra tercapai. Tiba-tiba sahaja timbul keinginan untuk melihat lelaki itu. “Kalau dah ala-ala Maher Zain dan Samy Yusof, ni mesti Putera Arab ni! Jauh benar dengan Putera William kau tu!” ujar Zana lagi.
“Hmmm,” Audra mengangguk menyetujui kata-kata Zana. “Ada iras-iras anak Pak Arab. Rambut dan matanya, warna perang. Tapi tak tahulah kalau Melayu tulen. Melayu sekarang pun dah banyak yang campur.”
“Macam kaulah!” ujar Zana. Audra adalah seorang gadis kacukan Melayu, Cina dan Amerika. “Wah! Aku dah tak sabar nak tengok macam mana rupanya Putera Arab tu!” Zana kelihatan begitu teruja.
Audra memandang Zana. “Ini belum tengok dia lagi, kau dah macam gitu! Kalau dah tengok depan mata, aku tak tahulah macam mana agaknya reaksi kau. Melompat-lompat agaknya!” Audra sudah ketawa.
Zana menjeling. “Ish! Ada pulak. Kalau handsome maut sekalipun, takkanlah aku nak terkinja-kinja pulak!”
Handsome tu memanglah handsome! Tapi kalau handsome menyakitkan hati buat apa?! Buang masa!” Audra sudah memuncungkan bibirnya. Ya, satu perkara yang dibelajarnya hari ini. Kalau dia bertemu seorang lelaki yang sangat tampan sekalipun, hidupnya tetap tidak akan bahagia jika lelaki itu hanya tahu menyakitkan hati.
Zana terkesima sebentar. Pertama kali dia mendengar sesuatu yang benar dari mulut Audra! Nampaknya lelaki itu dah ajarkan sesuatu dalam hidup Audra! Sesuatu yang lebih logik! Semakin timbul keinginan Zana untuk melihat gerangan Putera Arab itu.

No comments:

Post a Comment