Wednesday, 23 May 2012

Iham Hati 5







"ALLAHU AKHBAR...ALLAHU AKHBAR.... ALLAHU AKHBAR ALLAHU AKHBAR....." Suara azan mula bergema memecah kesunyian Subuh yang dingin. Mendengar suara azan yang mendayu itu membuatkan mata Amani terbuka luas. Jiwanya meruntun hiba. Amani bingkas bangun dan duduk di atas lantai, tempat perbaringannya sambil memeluk lututnya. Dia memejam matanya rapat. Pertama kali dalam hidupnya, dia mendengar suara azan sebegini jelas dan kuat. Suatu perasaan yang tenang dan damai dirasakan. Sebaik sahaja azan habis berkumandang, Amani bingkas bangun dari perbaringannya.

Pagi ini adalah pagi pertama Amani di Syurga Ilham Hati. Pagi-pagi lagi dia sudah terbangun seperti selalu. Namun suasana pagi ini begitu berlainan sekali. Biasanya setiap pagi dia akan terjaga apabila mendengar suara Pakcik Jalil yang sedang mabuk baru pulang ke rumah. Kemudian, akan kedengaran suara Mak yang memarahi abangnya. Dan seterusnya, seperti biasa, mereka berdua akan bertengkar.

Setelah Mak ke pasar, barulah suasana akan tenang seketika. Waktu itu akan kedengaran suara Pakcik Jalil yang masih mabuk itu akan menengking anaknya, Hafiz agar bangun untuk ke sekolah. Kasihan Hafiz, dalam usia yang begitu muda dia sudah perlu menguruskan dirinya sendiri. Tapi Hafiz seorang kanak-kanak yang cekal. Dalam usianya yang baru menjangkau dua belas tahun, Hafiz sangat pandai mencari wang dan menguruskan dirinya sendiri. Malah, adakalanya dia yang perlu menguruskan ayahnya yang kaki botol itu.

Walaupun dia dah tak dapat untuk berkongsi suka dukanya dengan Hafiz, tapi dia yakin, Hafiz akan mampu untuk hidup berdikari tanpanya. Suatu hari nanti, mereka pasti berjumpa semula. Hafiz telah berjanji padanya sebelum dia meninggalkan rumah Pakcik Jalil bahawa apabila dia dewasa kelak, dia akan mencari Amani.

Amani bangun dan menuju ke jendela. Malam tadi, dia ada membasuh bajunya dan menjemur di situ. Harap-harap bajunya sudah kering. Tak banyak pakaian yang dibawa, hanya tiga persalinan. Ada keluhan dilepaskan apabila memegang pakaian yang dijemur masih lagi lembap dan basah. Amani membuka beg galasnya dan mengambil pakaian yang terakhir lalu menuju ke kamar mandi.

Usai membersihkan diri dan membasuh pakaian yang dipakainya malam tadi, dia menjemur di sebelah pakaian yang satu lagi. Kemudian, dia berjalan keluar dari rumah besar itu. Rumah itu sudah terang benderang walaupun baru jam enam tiga puluh minit pagi. Amani mencari-cari kelibat orang lain yang mungkin berada di sekitarnya.

Aneh! Tiada satu kelibat pun yang kelihatan. Tiada Tania, Izz, mahupun Tuan Helmi. Amani membawa diri ke halaman, mendongak ke dada langit yang kelam. Bulan dan bintang malam tadi masih ada di angkasa.

"Amani," kedengaran suara Tania menegurnya.

Amani berpaling. Kelihatan kelibat Tania yang sudah bersiap dengan seragam sekolahnya. Tania beruntung kerana masih bisa bersekolah, sedangkan dia? Alam persekolahan sudah hilang dalam kamus hidupnya. Yang penting sekarang, dia perlu mentuntaskan hutangnya pada Tuan Helmi dahulu. Perkara yang lain akan difikirkan kemudian.

"Awak dah bangun?" tanya Tania membuka bicara.

Amani hanya menjeling. Budak perempuan ini ke sekolah, tapi ilmu apa yang dipelajarinya sehingga bertanya soalan yang tidak sepatutnya? Jika dia berdiri tegak di depan Tania sebegini, sudah pastilah dia sudah bangun! Amani menjeling pada Tania lalu berpaling ke tempat lain.

"Awak nak sarapan?" tanya Tania lagi.

Soalan itu juga di katakan berlalu oleh Amani. Amani berlagak seolah-olah dia hanya bersendirian di ditu.

Tania mula merasa cuak. Namun, sedaya upaya dibiarkan sahaja perlakuan Amani agar tidak masuk ke hatinya. "Awak nak solat?" tanya Tania lagi.

Solat? Mata Amani terus memandang Tania. Kali ini Tania sudah mendapat perhatiannya. Dia tidak pernah bersolat! Dia tidak tahu bagaimana untuk bersolat! Azan yang berkumandang, bagaikan terngiang-nganga di telinganya. Dia ingin mendengar suara azan yang mendayu-dayu itu lagi. Dia merasa terpanggil untuk bersolat. Tapi, bagaimana caranya?

Tania mengukir senyuman. Walaupun Amani tidak berkata apa-apa namun dia yakin Amani sedang memeberi perhatian padanya. "Kalau Amani nak bersolat, Amani boleh ke ruang depan. Ruang yang depan tu, memang untuk bersolat," ujar Tania sambil menunjukkan ruang di sebelah kanan di dalam rumah besar itu. "Tania, Izz dan papa baru sahaja lepas bersolat. Biasanya, Kalau papa dan Izz tak ke surau di kampung, Tania akan berjemaah dengan mereka,” terang Tania tanpa ditanya. “Pergilah, di sana ada telekung. Amani boleh guna.”

"Siapa yang azan tadi?" tanya Amani. Tiba-tiba sahaja dia teringat tentang azan yang berkumandang. Suara azan tadi seakan tidak memakai pembesar suara. Bagaikan ianya hanya berdekatan di sini.



"Azan?" Tania berfikir seketika. "Biasanya kalau laungan azan di surau di dalam kampung, takkan sampai ke sini." Tania berfikir lagi. "Kalau awak ada dengar suara azan, mungkin itu suara Izz. Pagi tadi, Izz yang laungkan azan. Tak sangka pulak boleh dengar sampai ke bilik awak." Tania sudah tersenyum. Akhirnya, Amani mahu bersuara juga. Nada yang digunakan Amani juga tidak meninggi. Tidak seperti kelmarin, di mana dia hanya menerima jelingan yang tajam dan kata-kata yang kasar. Ini satu permulaan yang baik.

Izz? Izz yang mengalunkan azan? Suaranya sungguh merdu dan sangat sayu kedengaran di telinga. Mungkin benar kata Tania, itu suara Izz. Dia pernah mendengar Izz mengalunkan lagu bersama gitarnya. Suara Izz memang merdu.

"Awak nak bersolat?" tanya Tania kembali.

Tanpa menjawap apa-apa Amani terus berlalu. Tania hanya memandang langkah Amani dengan keluhan bersama gelengan kepala. Mungkin dia terlalu awal membuat penilaian pada Amani. Tania berlalu keluar. Pagi ini dia akan ke sekolah bersama Pak Bakar. Pak Bakar tentu sudah siap menunggunya di gerbang Ilham Hati.

Amani menghentikan langkahnya apabila tiba di depan Kamar Ilham. kamar Ilham masih gelap. Bermakna, Tuan Helmi tak ada di situ. Di mana harus dia mencari Tuan Helmi? Pagi ini, Tuan Helmi patut memberikannya kerja. Dia mahu membayar hutangnya dengan segera dan terus meninggalkan tempat ini.



"Assalamualaikum....." sapa satu suara.

Mendengar suara itu, Amani telah tahu gerangannya. Amani berpaling memandang Izz yang sudah berdiri di belakangnya bersama senyumannya. Senyuman yang dihulurkan Izz dibalas dengan jelingan oleh Amani. Dia menoleh ke depan semula, memandang pada Kamar Ilham.

Izz menggelengkan kepala apabila salamnya bersambut dengan jelingan Amani. "Awak tunggu Tuan Helmi? Tuan Helmi masih di dalam ruang solat. Bila dia selesai menyudahkan hubungannya dengan Allah, dia akan berjumpa dengan awak."

Amani menoleh pada Izz semula. Wajah lelaki itu dipandangnya. Izz kelihatan bersih dan berseri. Dengan memakai kopiah putih, baju Melayu putih bersama kain pelikat, lelaki itu nampak tenang jika dipandang terus begitu. Satu perasaan damai memutik dalam hati Amani.

"Apa yang awak nampak?" tanya Izz tiba-tiba hingga membuatkan Amani menjungkitkan keningnya. "Awak pandang saya seolah-olah awak dapat membaca dari wajah saya. Apa yang awak nampak?" Izz bertanya lagi sekadar mengusik gadis di depannya.

Amani menjelingnya dengan tajam. Dia berpusing mahu pergi namun langkahnya terhenti semula. Dia memandang Izz kembali. "Saya tak larikan diri, kan?" tanya Amani dengan penuh sinis.

Izz ketawa kecil. "Terima kasih sebab awak kotakan janji awak," ujar Izz.

Selepas Izz berkata begitu, Amani memusing tubuhnya untuk pergi.

"Awak nak ke mana?" soal Izz menyebabkan Amani tidak jadi untuk melangkah. "Jadual awak yang pertama untuk hari ini, sarapan bersama Tuan Helmi dan saya. Awak pergi dulu ke ruang dapur. Sekejap lagi saya dan Tuan Helmi akan menyusul."

Amani menoleh, memandang Izz dengan sinis. "Siapa awak nak mengarah saya?" tanya Amani. Dia tidak suka Izz bertindak begitu. Izz bukan sesiapa di sini. Dia hanya anak angkat Tuan Helmi. Tania sendiri tidak berani mengarahkannya. "Saya hanya terima arahan dari Tuan Helmi!" tegas Amani

"Saya juga terima arahan dari Tuan Helmi," ujar Izz. "Saya diberi tugas oleh Tuan Helmi untuk menguruskan awak." Satu senyuman dilemparkan buat Amani. Seperti biasa, Amani membalasnya dengan jelingan. Izz mendekati Amani. "Jaga-jaga! Saya akan sentiasa perhatikan awak!" ugut Izz. Tapi itu hanyalah gurauan. Entah kenapa dia merasa sangat suka untuk mengusik gadis yang sentiasa tegang dan dingin ini.

Amani memandang Izz dengan tajam. Dadanya sudah berombak melihat Izz. Tetapi Izz terus tersenyum sehingga membuatkan Amani berpaling ke tempat lain. Ada sesuatu yang mula terasa di dalam hatinya. Kenapa pandangan tajammya dibalas dengan senyuman oleh Izz? Sepatutnya lelaki itu menunjukkan kebencian padanya!

Dek kerana rasa tidak betah untuk berhadapan dengan lelaki itu, Sekali lagi Amani memusingkan tubuhnya untuk pergi. Namun, tiba-tiba sahaja lengannya dipegang Izz. Sepantas kilat matanya menikam wajah Izz. Biadap! Izz memang biadap! Wajah Amani berubah.

"Awak marah sebab saya pegang awak?" tanya Izz bagaikan merasai kemarahan Amani. "Jangan risau, wuduk saya tidak batal. Awak, kan berlengan panjang," usik Izz lagi. Gadis ini tahukah tentang haram halal, sedangkan menjawap salamnya sahaja tidak! "Awak nak pergi? Jadi, Assalamualaikum...."

Amani menarik lengannya dengan kasar. Semakin kasar cuba dia menarik lengannya, semakin kuat Izz menggenggam lengannya sehingga sakit dirasakan.

"Assalamualaikum.... Awak tahu, memberi salam itu sunat, tapi menjawabnya adalah wajib. Kalau awak tak tahu, anggap saja ini pelajaran awak yang pertama untuk, hari ini. Kalau awak nak saya lepaskan awak, jawab salam saya!" tegas Izz dan kali ini dia tidak main-main.

Amani cuba menarik tangannya lagi. Setelah merasakan dia tidak berupaya melawan kekuatan Izz, lantas dia berhenti dari memberontak. Dengan rasa berat hati, akhirnya dia menunaikan keinginan Izz. "Waalaikummussalam," jawabnya perlahan tanpa memandang wajah Izz.

Izz tersenyum. Amani memang degil. Mungkin dengan cara yang kasar begini saja mampu melembutkannya. Izz melepaskan Amani. Amani memegang lengannya yang sakit. "Selepas ni, saya harap awak akan belajar menjawab salam dengan lebih ikhlas dari hati awak," ujar Izz."Pergi ke ruang makan. Mak Eton dan Kak Min dah siapkan sarapan untuk kita. Sekejap lagi saya datang." Izz berlalu pergi.

Amani menghantar langkah Izz dengan jelingannya! Lengan kanannya yang sakit, dipicit-picit. Genggaman tangan Izz yang kuat dicampurkan dengan rontaannya yang mahukan Izz melepaskannya telah menambahkan kesakitan di lengan. Amani menyelak lengan bajunya yang panjang. Memang sakit! Dia berjalan dan duduk di bangku di yang terdapat di tengah Syurga Ilham Hati sambil memicit-micit lengannya.



"Amani...." panggil satu suara. "Kenapa ni?" tanya Tuan Helmi yang sudah mendekatinya. Kelihatannya Amani sedang memicit tangannya. "Tangan kamu sakit?"

Amani menurunkan kembali lengan bajunya dan hanya membuang pandangannya pada Tuan Helmi tanpa menjawap satu pun soalan Tuan Helmi.

"Mari! Kita makan!" ajak Tuan Helmi apabila merasakan yang Amani takkan memberitahu apa-apa padanya. Tuan Helmi mendahului Amani berjalan ke ruang makan.

Sampai sahaja di ruang makan, hidangan sudah siapa disediakan di atas meja. Melihat kelibat Tuan Helmi, lantas Mak Eton dan Kak Min terus menyedok nasi dan menuang air buat Tuan Helmi. Amani dibiarkan mengambil hidangannya sendiri.

"Tania dah sarapan?" tanya Tuan Helmi pada Mak Eton apabila teringatkan anak manjanya itu.

"Dah, tuan! Hari ni, Tania ke sekolah lebih awal sebab hari ni tugas dia untuk membersihkan bilik darjah," terang Mak Eton.

Terangguk-angguk kepala Tuan Helmi. Sekilas dia melirik pada Amani yang telah pun menjamah hidangannya. Kasihan Amani, sepatutnya dia ke sekolah sama seperti Amani.

Seketika kemudian, kelibat Izz pula muncul. Sekilas Amani membuang pandangan pada Izz. Izz duduk bersebelahan dengan Tuan Helmi.

"Izz, kamu ingat apa yang saya arahkan?" tanya Tuan Helmi.

Izz mengangguk. Segala arahan Tuan Helmi telah disetkan ke dalam mindanya. "Baik, tuan!"

Tuan Helmi menganggukkan kepalanya. Pandangannya dihalakan pula pada Amani yang hanya memberi perhatian pada hidangannya. "Amani, hari ini awak ikut Izz. Apa saja yang dia suruh awak lakukan, awak kena ikut," arah Tuan Helmi.

Amani melirik Tuan Helmi sekilas lalu memberi perhatian pada hidangannya semula. Kata-kata Tuan helmi bagaikan tidak masuk ke kepalanya walaupun pada hakikatnya dia telah menerima arahan itu.

Tuan Helmi kembali menjamah hidangannya apabila menerima reaksi negative dari Amani. Memang sukar untuk mendekati gadis ini!

Izz hanya tersenyum melihat reaksi Amani. Tiada seorang pun yang berani melakukan begitu pada Tuan Helmi. Bukan kerana Tuan Helmi garang, tetapi kerana Tuan Hlemi terlalu dihormati di sini. Baru pertama kali dia melihat orang yang bersikap dingin begitu pada Tuan Helmi.

Usai menyudahkan sarapan, mereka melangkah keluar dari ruang makan. Amani terus menuju ke halaman. Tuan Helmi dan Izz sedang berjalan beriringan.

"Izz, tolong tengokkan Amani. Jangan beri kerja yang terlalu berat untuk dia," ujar Tuan Helmi dengan nada berbisik. "Lagi satu, cuba hubungi Puan Zaiton. Mana tahu kalau dia nak datang sini dan jumpa Amani."

"Baik, tuan!" balas Izz. Tuan Helmi kemudiannya membawa diri ke Kamar Ilham.

Izz menghampiri Amani yang sedang menunggunya di halaman. "Jom! Kita ke Ilham Hati," Izz melangkah mendahului Amani.

Amani memandang pada suasan sekeliling yang sibuk di Ilham Hati. Beberapa pekerja lelaki sedang mengangkat kain-kain yang telah direndam dengan air panas untuk dijemur. Ada beberapa pekerja sedang merebus kain-kain yang telah dicelupkan dengan warna. Memang nampak sukat sekali kerja mereka.

Izz membawa Amani masuk ke dalam sebuah pondok besar yang sekan kilang. Mulanya, memang dia ingatkan tempat ini adalah kilang. Tetapi apabila melangkah ke dalam, kelihatan dua tentangan kain putih yang panjang. Beberapa orang pekerja yang berada ia sudut masing-masing sedang memegang berus dan mencorakkan warna-warna di atas kain mengikut warna dan corak yang ditetapkan.

"Kalau awak nak tahu, semua corak-corak di sini adalah hasil kreativiti Tuan Helmi sendiri. Sebab Itulah tempat ini dinamakan Ilhan Hati." Izz memandang Amani. "Semuanya ilham Tuan Helmi."

"Apa kerja saya?" Malas mahu memanjang cerita tentang Ilham Hati, Amani terus bertanyakan kerjanya. Sempat dia melirik jam ditangannya. Sudah hampir jam sepuluh tiga puluh minit pagi. “Awak dah banyak buang masa saya!”

Izz ketawa. Amani kelihatan tidak sabar untuk melakukan kerjanya. "Ini semua, bukan kerja awak."

Amani memandang Izz. Kalau semua ini buka kerja untuknya, kenapa di bawa ke sini? Hatinya semakin berombak dengan sikap Izz.

"Ikut saya! Kerja awak, di dalam stor," Izz membawa Amani ke sebuah lagi tempat seakan gudang. Tetapi tempat ini dipanggil stor oleh para pekerja di situ. "Dalam ni ada semua kain-kain kosong yang kita tempah dari kilang kain, dan juga kain-kain yang telah siap kita warnakan dan corakkan. Hujung sana, adalah kain putih." Izz menunjuk Pada bahagian kanan. "Yang sebelah sana pulak, adalah bahagian kain yang akan kita hantar pada pelanggan."

Izz membawa Amani ke bahagian kain yang akan dihantar kepada pelanggan. "Setiap corak telah dilabelkan dengan kod. Dalam buku ni….," Izz mengambil buku di dalam sebuah laci meja yang terdapat di situ. "…ada tempahan dari pelanggan. Di sini semua telah di catatkan nama syarikat dan tempahannya. Dalam buku ni pula," Izz mengambil satu lagi buku yang lain lalu menunjukkan pada Amani. "Ada contoh kain dan kodnya. Sekarang saya nak awak semak semua tempahan ni. Dalam setiap rak ni, mewakili satu nama syarikat yang ambil tempahan dari kita. Saya nak awak periksa setiap rak dan lihat sama ada semua tempahan telah cukup. Kalau lengkap, awak tulis lengkap dan Kalau masih belum cukup tempahannya, awak tulis kod apa yang kurang." Izz menyerahkan kedua-dua buku itu pada Amani. "Faham?"

Amani mencapai buku-buku itu. Dia melirik Izz seketika dan tanpa bicara, dia terus bergerak ke salah satu rak. Izz memandang Amani dengan senyuman di wajahnya, kemudian dia berlalu meninggalkan Amani sendirian.

Amani melakukan tugasan pertamanya tanpa melengahkan masa lagi. Setelah beberapa jam berlalu, dua dari rak tempahan telah berjaya diperiksa. Masih ada enam rak yang perlu diperiksa. Tangan kanannya yang banyak menggunakan pen mula terasa sakit. Amani kembali semula ke bahagian depan lalu duduk di kerusi yang ada di situ. Dia memicit-micit lengan tangannya yang mula terasa berdenyut. Amani menyelak lengan tangannya. Sudah ada kesan lebam di itu. Ini semua gara-gara Izz yang memegang tangannya terlalu kuat. Dan sakitnya bertambah apabila tangan yang sakit itu dipaksa menulis.

"Amani, kenapa dengan tangan awak?" Izz yang baru tiba bertanya padanya. Dia sempat melihat Amani sedang memicit tangannya.

Amani cepat-cepat menurunkan lengan tangan bajunya namun belum sempat menutup sepenuhnya, Izz pantas mencapai tangan Amani. Terkejut dia melihat lengan Amani yang ada kesan lebam. Sepantas kilat Amani menarik tangannya dengan kuat.

"Kenapa dengan tangan awak?" tanya Izz. Tak mungkin hanya dengan memberi kerja ringan sebegitu pada Amani boleh membuatkan tangannya lebam! Izz teringatkan semula kejadian pagi tadi ketika dia bersama Amani. "Saya yang buat tangan awak jadi macam tu?" tanya Izz.

Amani menjeling Izz dengan tajam. Sepatutnya Izz lebih tahu tentang itu! Izz sama saja dengan lelaki lain yang hanya tahu menggunakan kekuatan mereka untuk mencederakan wanita! Amani berlalu dari situ untuk menyambung semula tugasnya. Soalan Izz dibiarkan begitu sahaja.

Izz hanya memerhati tingkah Amani. Tentu dialah punca lengan Amani jadi begitu. Rasa bersalah mula terbit dalam hati. Izz terus bangun dan meluru keluar dari stor. Langkahnya di atur menuju ke Syurga Ilham Hati dengan niat mahu meminjam minyak urut dari Mak Eton. Belum sempat dia melangkah masuk ke dalam Syurga Ilham Hati, dia bertemu dengan Tania yang baru pulang dari sekolah.

"Tania dah balik," tegur Izz.

"Ada apa Abang Izz?" tanya Tania apabila melihat wajah Izz yang seakan kegelisahan.

"Saya nak minta tolong dengan Tania," ujarnya. Ada perasaan bersalah di situ kerana terpaksa menyusahkan Tania sedangkan Tania yang baru pulang dari sekolah. Pasti Tania keletihan. "Tangan Amani lebam. Boleh Tania tolong sapukan ubat pada tangan Amani?"

"Lebam?" terkejut Tania. "Macam mana boleh jadi macam tu?" Soalan Tania ini dibiarkan sahaja oleh Izz. "Macam mana dengan Amani?" tanya Tania lagi.

"Amani ada dalam gudang. Masih bekerja," ujar Izz.

"Masih bekerja?!" Tania sudah ternganga. "Kenapa Abang Izz biarkan dia bekerja lagi? Amani, kan tak sihat!" Tania dengan pantas meluru masuk ke dalam Syurga Ilham Hati. Dia terus menuju ke ruang dapur di mana ada sebuah bilik rawatan disediakan di situ. Terus dia mencapai kotak kecemasan dan meluru keluar.

Tania menuju ke gudang bersama kotak kecemasan di tangannya. Dia mencari-cari kelibat Amani. Akhirnya, dia melihat susuk tubuh itu di satu sudut tersorok sedang memicit tangannya. Dia menghampiri Amani. Tanpa berbicara apa-apa dia meletakkan kotak kecemasan di tepi. Dia mengeluarkan sebotol minyak.

Amani yang seakan dapat membaca tindakan Tania yang mahu menyapu minyak di tangannya, pantas merampas botol minyak itu. Dia menuang minyak di telapak tangan kirinya dan mengurut tangannya sendiri. Tania yang pada awalnya tergamam melihat Amani, akhirnya membiarkan saja.

Sebaik sahaja Amani menyapu minyak hangat pada tangannya, dia menyimpan semula botol minyak ke dalam kotak kecemasan. Dia bangun untuk menyambung semula tugasnya.

"Awak kena berehat. Jangan dipaksa tangan awak," ujar Tania. Dia tahu, Amani sedaya upaya sedang menahan kesakitannya. "Tangan awak tentu sakitkan?" Sempat dia melihat tangan Amani yang lebam sewaktu Amani menyapu minyak.

Amani pura-pura tidak dengar dan terus melakukan tugasnya.

"Awak dengar tak apa yang saya cakap?!" Nada suara Tania sudah meninggi. Amani masih seperti itu juga, berpura-pura tidak mendengar kata-kata Tania. "Awak dah banyak menyusahkan papa saya! Boleh tak jangan menyusahkan dia lagi! Jagalah diri awak elok-elok! Kalau tak, papa saya terpaksa hantar awak ke klinik lagi!" Tania sudah hilang sabar melihat sikap Amani. "Awak ni memang teruklah!!"

Mendengar kata-kata Tania yang kasar, lantas Amani berhenti melakukan tugasnya. Dia berpaling menoleh pada Tania. Raut wajah itu dipandangnya dengan sinis sehingga membuatkan Tania merasa bersalah kerana menengkingnya begitu. Amani berjalan menghampiri Tania dan berhenti di depannya. Dengan satu jelingan yang tajam, Amani menyerahkan buku-buku dan pen ditangannya pada Tania lalu berjalan pergi.

Kenapa Amani bersikap begitu? Dia sudah bersusah payah mahu menjalankan hubungan baik dengan Amani. Tapi, Amani sendiri yang menjadi penghalangnya. Tania berlalu ke depan dan menyimpan semula buku-buku itu ke dalam laci. Kemudian, dia keluar dari gudang untuk ke Syurga Ilham Hati. Dari dia sibuk memikirkan Amani, ada baiknya dia masuk ke bilik dan bersihkan diri. Perutnya juga sudah berbunyi, minta diisi.

"Tania," panggil Izz yang melihat Tania berjalan dengan rasa sedih. "Kenapa ni?"

Tania memandang Izz seakan minta simpati. "Amanilah....."Ada nada tajuk di situ.

Izz sudah ketawa kecil melihat muncung yang panjang itu. "Amani?" dia bertanya. Tania mengangguk. Pastinya Amani tak mahu Tania mengurut tangannya. "Biarkanlah dia. Pandai-pandailah dia jaga dirinya sendiri," ujar Izz sekadar mahu memujuk Tania. "Mana Amani?"

Tania memandang Izz dengan kerutan di wajahnya. Izz kata, biarkan Amani, tapi nampaknya Izz yang risaukan Amani. Ada rasa kurang senang dalam hati Tania. "Ntah..? Mana Tania tahu! Dia dah keluar dari gudang."

"Tak apalah. Saya pergi cari dia dulu," ujar Izz.

"Kenapa?"tanya Tania dengan nada kurang senang. "Kenapa Abang Izz nak cari dia?"

Bagai menyedari rasa kurang senang di hati Tania, Izz hanya tersenyum. "Saya nak hubungi ibu Amani," jelas Izz. "Saya pergi dulu." Izz pergi meninggalkan Tania.

Tania mendengus. Sejak Amani melangkah ke dalam Ilham Hati, terus sahaja gadis itu menjadi perhatian. Semua orang mengambil berat tentang dia, termasuklah Izz! Sedangkan dia?!



No comments:

Post a Comment