Thursday, 17 May 2012

Cinta Tak Bersuara










Mungkin terlalu awal untuknya menyatakan segala perasaan yang bermukim di dada saat ini. Masanya belum sesuai walaupun mereka telah diikat dengan satu perjanjian pertunangan yang sedang berlangsung. Ketika ini, menjaga hati orang-orang yang disayangi itu lebih penting berbanding hati sendiri.

Dia tahu, keputusannya menerima pertunangan ini akan melukan perasaan orang lain. Tapi, dia sendiri tidak pasti mengapa berat mulutnya untuk menolak permintaan kedua orang tuanya yang beria-ia bermenantukan gadis itu.

Dia pernah menyatakan kewujudan Alia kepada orang tuanya. Namun, mereka bertegas tidak mahu menerima menantu lain selain Medina.

"Ary!" kedengaran suara mana memanggilnya, seraya dengan itu pintu dibuka dari luar. Ary yang sedang mundur mandir dalam kamarnya, terus menoleh pada mamanya, Fauziah. Raut wajah mama yang kelihatan begitu ceria dan berseri sangat menggusarkan hatinya. Pasti mana pulang membawa khabar gembira bagi mereka. Namun perkara itu adalah sesuatu yang buruk padanya.

"Mereka terima pinangan kita!" Ceria sekali Fauziah menuturkan kata, lalu memeluk anak lelakinya itu.

Ary surah menelan air liurnya. Ketakutannya semakin bertambah. Sedangkan dalam hatinya mengharapkan agar Medina menolak pinangannya.

"Tahniah Ary!" Mama memandangnya setelah meleraikan pelukan.

Dengan berat hati, Ary mengukirkan senyuman semanis mungkin bagi menutup perasaan gusarnya. Apa yang perlu dilakukannya sekarang? Alia pasti mengamuk jika mengetahui berita ini.

Ary terus terduduk di katilnya sebaik sahaja Fauziah keluar dari kamar. Tak sudah-sudah dia meraup mukanya dengan tapak tangan. Seolah-olah mahu menyedarkan dia dari mimpi. Sayangnya, ini bukan satu mimpi. Tetapi ia adalah satu kenyataan yang pasti. Kini, dia bergelar tunangan orang.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

ALIA sudah terlopong menerima berita yang baru disampaikan Ary. Ary dah bertunang? Dengan pilihan orang tuanya? Terus dia merasakan dadanya terhimpit. Sebak! Dia benar-benar tak sangka hubungan mereka akan menjadi berantakan begini. Dia benar-benar tidak tahu mahu berkata apa di saat ini. Kolam matanya yang sedang bertakung, digagahkan agar airnya tidak tumpah.

"Alia, maafkan I.." Ary tahu hati Alia terluka. Melihat riak wajahnya sahaja Ary dapat membacanya.

Alia terduduk di situ.

"Maaf? Macam tu je?" itu sahajalah yang mampu dikatakan Ary? Setelah perasaannya dimainkan, hanya itu sahaja yang diterimanya? Maaf?

"I tak tahu nak buat apa! I terpaksa!" Sungguh, menolak kemahuan orang tuanya merupakan satu perkara yang sangat sukar untuk dilakukan walaupun dia sangat mencintai Alia.

"Dengan segala pengorbanan yang I beri selama ni, ini yang I dapat?" Alia memandangnya dengan seribu perasaan kesal. "I tahan hinaan keluarga you pada I, I pekakkan telinga dari kata-kata umpatan yang diberikan untuk I, ini yang I dapat?!" sungguh dia tidak menyangka ini balasan yang diterimanya untuk segala pengorbanan yang dilakukan.

Ary tertunduk di situ. Ary tahu, dia banyak menyakitkan hati Alia. Selama ni, Alia ikhlas menerimanya walaupun keluarganya tidak sukakan Alia. Namun, Alia tetap bersamanya.

"Kalau I tahu semua ni akan terjadi, tak guna I setia dengan you!" ujar Alia dengan hampa dan penuh dengan rasa kecewa. "Kalau you terus terang saja dengan I yang you akan ikut cakap orang tua you, tak adalah I buang masa I dengan you bertahun-tahun lamanya setia dengan you! Baik I cari orang lain je!"

"Please Alia, jangan cakap macam tu! I akan cari jalan untuk putuskan pertunangan I!" Ary cuba melemparkan janji walaupun dia sendiri tidak pasti jalan apa yang akan digunakan untuk memutuskan pertunangan yang telah terjadi.

"Lepas tu? Apa? you dengan I terus couple? Sampai bila? Untuk selama-lamanya?” Perasaan marah Alia sudah tidak dapat dikawal lagi.

“Tolonglah jangan cakap macam tu Alia. You tahukan I sayangkan keluarga I?! Expecially mama I! I tak sanggup nak tolak permintaan dia,” Ary cuba merayu, memohon pengertian dari Alia.

“Kalau dah macam tu, tak guna kita bersama lagi!” Alia menarik nafas panjang. “Dari dulu lagi, sepatutnya kita putuskan hubungan kita kalau you hanya mahu menjaga hati orang tua you! Mama you!” Alia airmata yang hampir mengalir. “You hanya ingat famili you, mama you! Habis, I ni tak ada famili?!”

“Alia….Alia…” Ary terus memegang kedua bahu Alia. Dia tahu, Alia benar-benar kecewa dengan sikapnya. “Tolong beri masa pada I. I akan cuba satukan you dengan mama I, dengan keluarga I! I yakin, famili I akan terima you.”

Alia merenung wajah Ary yang kelihatan bersungguh-sungguh. Selama lapan tahun dia bersama dengan Ary. Mungkin dia bodoh kerana menunggu sehingga lama begitu. Namun, cintanya pada Ary yang membuatkan dia sanggup menunggu lebih lama lagi. Tapi, sampai bila?

“Baiklah,” Akhirnya Alia menghembuskan nafasnya. “This is your last chance.”

“Terima kasih, sayang. I akan pastikan famili I akan terima you!” Ary mengangkat tangan seperti mengangkat sumpah.

“You better!” ujar Alia. “Tapi kali ni, I Cuma beri tempoh enam bulan saja untuk you putuskan pertungangan you dengan tunang you dan pastikan famili you akan terima I!” ujar Alia dengan tegas sekali. Dia tak mahu hubungan mereka hanya berada di situ tanpa ada perubahan.

Ary menelan air liurnya. Enam bulan? Bagaimana dia mempu membuka pintu hati keluarganya untuk menerima Alia sedangkan selama lapan tahun mereka bersama, jelas keluarganya tidak dapat menerima Alia.

“I promise!” Namun kata janji yang tidak pasti itu, dituturkan Ary juga.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%
Medina memandang cincin pertungan di jari kanannya. Cincin belah rotan itu dipusing-pusing dijari manisnya. Bibir yang menguntumkan senyuman itu tak lekang sejak bergelar tunang kepada Hazrin Iskandar atau lebih dikenali sebagai Ary. Sesungguhnya, dia tidak pernah menyangka perkara ini akan berlaku dalam hidupnya. Kini, impiannya untuk menjadi seorang isteri buat Ary, hampir tercapai.

Sejak kecil, sedari usianya lima tahun dia membesar bersama Ary sehinggalah tamat tingkatan lima. Keluarganya dan keluarga Ary telah bersahabat sejak mereka kecil lagi. Usai habis zaman persekolahan, Ary melanjutkan pengajiannya ke luar negara dan dia pula hanya di university tempatan. Sejak dari hari itulah, mereka tidak pernah bersua hingga sekarang. Dia langsung tidak menyangka, Ary masih ingat padanya.

Sejak berpisah dengan Ary, dia tak pernah melupakan lelaki itu dan berharap, suatu hari nanti mereka akan bersua semula dan menyambung ikatan persahabatan yang telah lama wujud. Apatah lagi, dia masih ingat kata-kata Ary pada akhir pertemuan mereka. Ary mahu mereka terus bersahabat biarpun jarak telah menjauhkan mereka. Suatu hari nanti, Ary akan mencarinya semula.

Kerana itulah dia terus setia pada Ary. Walaupun hubungan mereka hanya sekadar hubungan persahabatan, tetapi dalam diam hatinya sudah terikat bersama Ary. Dia mahu hidup disamping Ary. Harapan dan impiannya semakin meninggi, apatah lagi setiap kali Acik fauziah, mama Ary dan Acik Murad bertandang ke rumah mereka, mereka selalu menyatakan yang mereka mahu bermenantukan Medina. Dan kini, dia sudah bergelar tunang kepada Ary.

Ary yang melanjutkan pengajiannya di luar negara, baharu sahaja pulang ke Malaysia dua bulan yang lalu. Memang dia teringin sangat untuk bertemu dengan Ary dan melihat raut wajah yang sudah lama tidak dilihatnya.

Lima tahun Ary diperantauan dan kemudian, menambahkan lagi tempoh selama tiga tahun untuk dia mencari pengalaman di sana sebelum pulang ke Malaysia. Sewaktu Acik fauziah memberitahu padanya tentang niat Ary yang mahu tinggal di sana untuk tempoh tiga tahun lagi, hatinya sudah tak tentu arah. Dia tak mahu berjauhan dengan Ary lagi. Tapi, dia menerima keputusan itu dengan tabah.

Setelah Ary pulang, keinginannya untuk bertemu dengan Ary semakin memuncak. Namun, dia khuatir jika keinginannya itu disalah ertikan oleh Ary. Baginya, lebih baik jika Ary yang datang menemuinya. Lagipun, Ary telah berjanji untuk mencarinya. Namun, Ary tak pernah menghubunginya walau sekali sehinggalah tibanya keluarga Ary dengan niat untuk menjadikannya menantu buat Ary.

Medina bersandar di kepala katil. Fotonya dengan Ary yang diambil bertiga dengan Acik Fauziah yang lapan tahun lalu ditenung. Wajah Ary yang sedang tersenyum di dalam foto itu dipandangnya. Adakah wajah itu masih sama? Atau angin di luar negara telah mengubah Ary? Pasti Ary telah berubah! Tentu sahaja remaja lapan tahun dahulu berubah menjadi seorang pemuda yang lebih matang penampilannya. Namun, dia yakin, dengan adanya cincin pertunangan di jarinya ini, hati Ary tak pernah berubah padanya.

Tiba-tiba satu bunyi kedengaran di pendengaran Medina. Bunyi itu datangnya dari laptopnya yang menandakan dia menerima pesanan. Senyuman Medina semakin terukir. Tentu SMB telah membaca pesanannya dan membalas semula.

Medina membuka YM.



Waalaikummussalam saudariku Medina

Gembira mendengar berita dari awak. Tahniah saya ucapkan. Semoga pertunangan ini akan ke jinjang pelamin dan seterusnya. Tentu awak gembirakan? Dah lama awak menantikan kehadiran si dia…



Medina menekan punat-punat keyboard untuk membalas pesanan itu.



Alhamdulillah….saya gembira sangat. Saya harap, ikatan ini akan terus berkekalan hingga ke syurga. Saya juga doakan perkara yang sama untuk awak.



Medina menekan punat ‘send’ dan kemudian berbaring di katilnya.

Dia mengimbas semula saat perkenalannya dengan sahabat mayanya yang hanya dikenali dengan SMB. Pada hakikatnya, dia langsung tak mengenali siapa SMB. Tiba-tiba sahaja dia menerima satu kiriman pesanan di YM yang menghantar sebuah melodi yang sangat indah padanya. Pesanan tanpa tajuk dan tanpa sebaris ayat itu sangat mengujakannya. Apatah lagi, melodi yang dimainkan itu sangat indah. Terus dia membalas pesanan itu dan bertanya siapa SMB sebenarnya dan kenapa menghantar melodi itu padanya.

SMB membalas pesanan dan bertanya sama ada dia adalah seseorang yang bernama Farah. Dan dia menafikan itu. SMB membalas dan meminta maaf. Menurutnya, alamat YM Medina hampir sama dengan kawannya yang bernama Farah itu, jadi mungkin kerana tersalah ejaan melodi itu telah dihantar kepadanya.

Entah bagaimana, sejak itu hubungan persahabatan antara mereka terus berkembang. Dari bercerita tentang melodi itu, terus mereka bercerita tentang kehidupan masing-masing. Medina senang bersahabat dengan SMB kerana sahabatnya itu tidak pernah menghantar pesanan di luar batasan. Moga-moga persahabatan ini akan terus kekal. Itulah doa Medina.

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

ARY yang baru melangkah masuk ke dalam rumah, terus memandang Fauziah yang sedang berehat di ruang tamu sambil melihat foto album. Senyuman yang terukir dibibirnya, melihatkan dia senang mengimbasi kenangan lalu. Dalam tak sedar, Ary turut mengukirkan senyuman. Lalu, dia menghampiri mamanya dan duduk bertentangan dengan mamanya itu.

Fauziah yang sedang tertunduk memandang foto-foto lama terus mengangkat kepalanya apabila merasakan kehadiran seseorang. Melihatkan wajah Ary, senyuman di bibirnya semakin memekar.

“Mama tengok apa tu?” Walaupun sudah nyata di depan matanya, namun Ary masih bertanyakan soalan itu.

“Saja nak imbas kenangan lalu,” Fauziah kembali merenung foto album ditangannya.

Ary memandang foto album yang ada di tangan Fauziah. Foto album itu mengandungi foto-foto lamanya ketika masih bersekolah. Ary tersenyum. Mama memang suka melihat foto lamanya yang masih berada di bangku sekolah.

“Mama tak jemukah asyik lihat gambar Ary?” ujarnya sengaja menduga hati Fauziah.

Fauziah ketawa kecil. Helaian itu diselak hingga ke helaian yang menempatkan foto-foto Medina.

“Medina cantik orangnya. Semakin dewasa, semakin cantik,” ujarnya lalu melirik pada Ary.

Ary yang sedang tertunduk memandang foto album yang lain, mengangkat kepala dan memandang Fauziah.

“Medina?” dahi Ary berkerut. Sudah agak lama dia tidak mendengar nama itu. Kali terakhir adalah pada hari pertunangannya dengan Medina. Ary menunduk semula. Dia tak mahu memanjangkan isu Medina. Dua bulan telah berlalu. Masa yang diberikan Alia hanya tinggal empat bulan lagi. Tapi, dia masih belum memulakan langkah.

“Ary masih ingat dengan kenangan Ary dan Medina?” soal Fauziah lalu mengeluarkan sekeping gambar Ary dan Medina. Kemudian, menghulurkan foto itu pada Ary.

Ary mencapai foto itu dan memandangnya. Ary tersenyum. Dia sudah terlupa dengan kenangan lalu. Sejak dia mengenali Alia ketika di luar negara, dia tak pernah ingatkan Medina lagi sehinggalah dia pulang semula ke Malaysia.

“Ary dah lupakan Medina?” bagaikan bisa membaca perasaan Ary, Fauziah bertanya demikian.

“Mama, boleh Ary minta nombor telefon Medina?” soal Ary.

Wajah Fauziah bertukar ceria. Walaupun Ary sepatutnya bertanyakan tentang itu dari dahulu lagi, namun dia bersyukur, sekurang-kurangnya Ary bertanya sekarang dari tidak langsung. Pantas Fauziah mengangguk laju.



%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Medina hanya menundukkan kepalanya memandang tanah. Pertemuannya dengan Ary sangat berlainan berbanding lapan tahun lalu. Mereka menjadi seperti orang asing yang baru pertama kali bertemu. Ary yang sedang berdiri sambil bersandar di batang pokok, terus memandang ke depan.

Sedari tadi, dia bagai merasa tekanan dari Ary. Lelaki itu kelihatan tidak gembira dengan pertemuan mereka. Apa yang menyinggung Ary? Sepatah dia bertanya, sepatah Ary menjawabnya sedangkan Ary yang menghubunginya dan mahu bertemu dengannya. Jika ikutkan hatinya, dia hanya mahu menemui Ary pada hari mereka akan disatukan. Pasti itu akan menjadi detik terindah dalam hidup mereka.

Medina menarik nafas panjang. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Ary yang dikenalinya lapan tahun lepas akan bersikap seperti ini jika ada perkara yang sedang menyesakkan kepalanya. Dia tidak merasa Ary yang dahulu dan Ary yang berdiri di depannya ini terlalu berbeza.

“Ary, sebenarnya awak ada perkara yang nak dibincangkan dengan saya, kan?” soalnya. Memang pada mulanya dia menyangka pertemuan ini kerana Ary kepingin untuk bertemunya. Namun, dia tidak merasa itu sekarang. Ary mahu berbincang sesuatu padanya. Apakah kerana pertunangan mereka?

Ary memejamkan matanya seketika. Berat hatinya mahu meluahkan pada Medina. Dia tahu, dari mula lagi dia yang bersalah. Memang, mereka hanya bersahabat. Namun sebelum dia pergi, dia meminta Medina untuk terus mengingatinya. Sedangkan, apabila dia terbang pergi dari Malaysia dan bertemu dengan Alia, dia sudah lupa tentang sahabatnya Medina. Padahal dia tahu Medina sukakannya dan dia juga merasakan perkara yang sama dahulu. Kerana itulah dia meminta Medina agar terus mengingatinya.

“Mungkin…..” Medina menarik nafas yang panjang apabila Ary masih tetap membisu. “….pertunangan kita adalah satu kesalahan?” Medina cuba meneka di sebalik reaksi Ary.

Ary tergamam seketika. Namun, kemudian dia menghembus nafas dengan perlahan. Medina masih seperti dahulu. Medina sentiasa meneka tentang perasaannya dengan tepat.

Melihat kebisuan Ary, kini Medina yakin bahawa pertunangan mereka adalah sesuatu yang diluar kemahuan Ary. Medina memejam matanya rapat-rapat, cuba mencari kekuatan dirinya. Dia mengingatkan dirinya agar sentiasa percaya pada Allah. Mungkin Ary bukan untuknya.

“Siapa gadis tu?” Medina terus bertanya. Sedaya upaya dia cuba mengukirkan senyuman agar tidak menyinggung perasaan Ary. “Tentu dia istimewa untuk awak, kan?”

“Maafkan saya Medina…” Hanya itu yang mampu diucapkan Ary saat itu.



%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

MEDINA membuka YM.



Medina : Assalamualaikum…..
              Awak ada di sana?



Medina menghantar pesanan kepada SMB. Tak lama kemudian, Medina menerima satu pesanan balas.



SMB : Waalaikummussalam…..
            Mahu berkongsi cerita?



SMB memang pandai meneka. Setiap kali dia menghantar pesanan ringkas begitu, pasti SMB bertanya tentang beritanya, seakan mengerti yang dia mahu meluahkan perasaannya.



Medina : Saya bertemu dengan si dia….

SMB : Alhamdulillah…..Tentu awak gembira, kan?

Medina : Ya….saya gembira tapi apa yang terjadi tak seperti yang saya harapkan.

SMB : Maksudnya?

Medina : Dia mencintai wanita lain…

SMB : Jadi, mengapa dia menghantar pinangan untuk awak?

Medina : Kerana dia tak mahu melukakan perasaan keluarganya. Keluarganya sayangkan saya.

SMB : Dia tak berterus terang dengan keluarganya?

Medina : Dah. Tapi keluarganya tak mahu menerima wanita itu. Mungkin sayalah puncanya.

SMB : Apa yang akan awak lakukan sekarang?



Soalan SMB itu membuatkan Medina bersandar di kepala katil. Dia sendiri masih bingung dengan tindakan yang bakal diambil. Ary menyatakan yang dia tak sanggup nak melukakan hati keluarganya tapi dalam masa yang sama dia tak mampu untuk memberi cintanya pada Medina. Apakah Medina yang seharusnya mengakhiri pertunangan ini? Atas alasan apa? Kalau diberikan alasan kerana Ary mencintai wanita lain, pasti Ary yang akan terkena tempias kemarahan keluarga mereka. Tentu Acik Fauziah akan kecewa.

Medina memandang semula skrin laptopnya.



Medina : Saya tak tahu apa yang akan saya lakukan….
              Awak tak ada masalah dalam hubungan begini?
              Atau mungkin, awak masih single….?



Hampir setahun perkenalan mereka, inilah pertama kali dia mengutarakan soalan itu pada SMB.



SMB : ……………….

Medina : Apa maknanya titik-titik panjang tu?



Keliru Medina dengan balasan pesanan SMB.



SMB : Hahahah……tak de maksud apa-apa
          Tapi….mungkin cinta yang tak bersuara

Medina : Cinta yang tak bersuara?

SMB : Saya selalu mengingati seorang gadis, tapi saya tak pernah berharap dia akan mengingati 
           saya. Saya menyayangi seorang gadis, tapi saya tak pernah berharap dia akan menyayangi
           saya dan saya  menyintai seorang gadis dan tak pernah berharap dia akan membalasnya.   
          Cinta saya padanya adalah cinta tanpa suara.



Medina membaca ayat-ayat itu berulangkali. Mungkin benar kata SMB, cinta tak perlu dibalas. Cinta tak seharusnya memiliki.



Medina : Awak seorang yang baik..

SMB : thx….jangan cepat membuat kesimpulan.



Senyuman sudah terukir di bibir Medina. Mungkin dia terlalu cepat membuat kesimpulan dengan menganggap SMB adalah seseorang yang baik hatinya sedangkan perkenalan mereka hanya di alam maya.



Medina : Selagi hubungan kita terbatas, bagi saya awak adalah seorang sahabat yang baik.

SMB : Tadi awak hanya buatkan saya tersenyum. Tapi sekarang, awak dah buat saya ketawa ……



Membaca pesanan SMB itu, Medina pula yang ketawa kecil.



SMB : Jadi, apa yang akan awak lakukan?

Medina : Saya bahagia kalau si dia juga bahagia.
               Kebahagiaannya, bukan dengan saya.

SMB : Hmmm….Mungkin benar..
           Boleh saya beri cadangan ?

Medina : Boleh….Mana tahu ia akan membantu saya.

SMB : Si dia sangat menyintai kekasihnya tapi sayangnya, keluarganya hanya mahukan awak
           sebagai menantu. Mungkin awak boleh membantu mereka untuk diterima keluarganya…



Medina berfikir panjang apabila menerima pesanan itu. dia terus termenung dan berfikir. Mampukan dia melakukan pengorbanan sebegitu? Sedangkan hatinya ini sangat menyayangi Ary. Mungkin kerana membiarkan pesanan itu terlalu lama, SMB memberikannya satu lagi pesanan.



SMB : Maaf kalau cadangan saya itu melukakan perasaan awak….

Medina : Mungkin awak benar. Mana tahu dengan cara itu hati saya akan berubat sendiri….
              Tapi, saya takut kalau saya tak mampu untuk lakukannya.

SMB : Awak memang baik. Berdoalah agar hati awak sentiasa kuat. Cinta yang terpendam tanpa
           diluahkan kerana tiada ikatan suci adalah lebih baik berbanding cinta yang terus
           diungkapkan tapi entah di mana hala tujunya.

Medina : Terima kasih….dan maaf…

SMB : Sama-sama…..
           Untuk apa kemaafan itu?

Medina : Kerana hari ini baru saya tahu awak adalah seorang lelaki…..

SMB :     :)

Medina : Saya gagal untuk menjadi seorang sahabat yang baik, kan?

SMB : Mungkin…
           Tapi awak adalah seorang gadis yang sangat menjada batasannya.
          Kerana itulah perkenalan kita terbatas, kan? Dan kerana batasan itulah persahabatan kita
          kekal hingga sekarang.

Medina : Hmmm…

SMB : Berehatlah….dan berdoa apa yang terbaik untuk kamu bertiga….
           Insya-Allah…semuanya akan berakhir dengan baik…
          Assalamualaikum…

Medina: Waalaikummussalam….



Medina menutup laptopnya. Satu senyuman manis mula terukir di bibirnya.



%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Setelah berfikir panjang, akhirnya Medina membuat keputusan untuk membantu Ary dan kekasihnya. Pertama kali dia berjumpa dengan kekasih Ary, Alia, dia sudah mengerti apa yang membuatkan keluarga Ary tak mahu menerima wanita itu.

Alia menjeling padanya, seakan tidak yakin yang dia akan membantu mereka. Medina hanya tersenyum dengan jelingan alia itu. Tentu sahaja Alia tak mudah untuk percaya padanya. Tentu sahaja bersangka buruk padanya. Bukankah dia tunang Ary dan Alia adalah kekasih Ary?

“Boleh saya bercakap dengan Alia?” tanya Medina pada Ary. Ary mengangguk lalu menjauhi mereka berdua.

Pandangan mata Medina terus dihalakan pada kerongsang yang terselit di baju Alia.

“Awak tahu, kerongsang yang awak pakai tu adalah milik saya. Saya berikannya pada Ary agar Ary akan sentiasa ingat pada saya. Tapi tak sangka dia akan memberikan kerongsang itu pada awak.”

Alia memegang kerongsang yang tersemat di bajunya. Memang kerongsang itu diberikan Ary padanya. Ary tak pernah memberitahunya tentang itu. Dia sayangkan kerongsang itu. Dia sentiasa menyematkan kerongsang itu di baju yang dipakainya.

“Itu adalah kerongsang kesayangan saya. Memandangkan hubungan saya dan Ary akan berakhir tak lama lagi, jadi kalau tak keberatan saya mahu kerongsang itu semula.”

“Awak ni buruk sikulah!” Alia sudah mencebikkan mukanya.

“Kata orang, biar buruk siku. Jangan buruk sangka!” ujar Medina. Senyumannya semakin melebar apabila melihat cebikkan di wajah Alia. “Nak tak nak, awak kena percayakan saya. Hanya saya yang mengenali keluarga Ary dengan baik.”

“Alah….kalau tak gunakan pertolongan awak pun boleh! Ary-kan anak diorang. Tentu Ary lebih tahu apa yang diorang suka!” Alia menjeling lagi.

“Tapi sampai sekarang awak dan Ary masih belum berjaya, kan?” sinis sekali soalan Medina.

“Jadi, awak nak saya jadi macam awak?” Alia memandang Medina yang ayu bertudung litup.

“Awak tak perlu menjadi saya. Awak hanya perlu menjadi diri awak. Diri awak, yang mana akan disayangi oleh mertuanya.” Medina memandang Alia. “Awak cantik orangnya,” jujur dia menyatakan itu. “Tapi, perkara pertama yang membuatkan awak tak cantik adalah bahasa awak yang kasar.”

“Awak ada masalah dengan itu?” Alia memeluk tubuhnya. Mencerlung matanya memandang Medina.

“Ya! Dan saya harap dengan sedikit sikap sopan, ia dapat membantu saya untuk membantu awak,” Medina masih tersenyum.

Alia memandang wajah. Medina kelihatan ikhlas untuk membantunya. Mungkin benar yang mereka berdua perlukan Medina.

Bermula dari itu, Medina seringkali membawa Alia ke kelas-kelas agama. Bila ada ceramah agama di surau dan masjid yang berkaitan dengan rumahtangga, Medina selalu mengajak Alia untuk ikut serta.

Mulanya Alia memang keberatan, namun apabila Ary memujuknya dan Medina juga sering memaksanya dan memberikan kata-kata sinis apabila dia menolak, dia terus merasa tercabar. Kerana itulah dia sentiasa mengikut Medina ke mana sahaja yang disuruh Medina.

Sampai satu tahap, hati Alia sendiri terbuka untuk menghadiri majlis-majlis ilmu. Hubungan Alia dengan Medina juga semakin rapat. Medina sendiri tidak menyangka, akhirnya, hati Alia bisa dilembutkan. Semuanya atas pertolongan Allah. Syukur, Alhamdulillah….

Sehinggalah apabila dia merasakan Alia sudah bersedia untuk menonjolkan dirinya pada keluarga Ary, dia menyatakan hasratnya itu. siapa sangka, ketika Medina mahu membawa Alia untuk mengenali keluarga Ary sebagai kawannya, Alia tampil dengan penampilan baru.

Susuk tubuh Alia yang cantik itu telah ditutup dengan kemas dengan baju dan selendangnya. Medina tak pernah memaksa Alia untuk jadi begitu, mungkin hatinya semakin lembut apabila setiap kali menghadiri majlis-majlis ilmu bersama Medina.

Keluarga Ary juga menerima kedatangan Alia dengan baik tanpa mengetahui rancangan mereka yang telah aturkan untuk mendekatkan Alia dengan keluarga Ary.

Melihat penerimaan keluarga Ary pada Alia, Alia menjadi sangat gembira. Buruk sangkanya pada Medina, terus hilang sama sekali. Bila Alia meminta maaf pada Medina tentang buruk sangkanya itu, Medina hanya tersenyum.

“Keluarga Ary tidak memilih seseorang yang terlalu tinggi untuk Ary. Ary adalah seorang lelaki yang berjiwa lembut. Kerana itu, mereka mahukan seorang wanita seperti Alia yang lemah lembut tutur katanya, yang manis senyumannya, yang pandai menjaga perwatakannya. Yang pasti, Alia adalah seorang wanita yang menjaga hubungannya dengan Allah. Seseorang yang menjaga hubungannya dengan Allah, Insya-Allah akan menjaga hubungan antara manusia dengan baik.”

Alia menggeleng. Pujian yang dilemparkan Medina untuknya terlalu tinggi.

“Apa yang awak katakan itu adalah diri awak, Medina,” balas Alia.

“Tidak! Saya bercakap tentang awak. Saya dan awak adalah insan yang berlainan, mungkin punya sifat yang hampir sama. Tapi, tetap tidak sama!” ujar Medina dengan sedikit nada gurauan.

Alia ketawa. Medina memang baik. Semoga Medina akan menemui seorang lelaki yang baik untuknya.

“Sebenarnya Alia, Acik Fauziah sangat sayangkan Ary. Dia takut kalau Ary berkahwin nanti, isteri Ary akan menjauhkan Ary darinya.” Medina memandang Alia. “Alia seorang wanita yang baik. Syurga Alia terletak pada Ary dan syurga Ary terletak pada ibunya.”

“Saya faham, Medina,” Alia hampir menitiskan airmatanya tatkala begitu. dia merasa sangat terharu. “Bagaimana sekarang?”

“Sekarang masa yang sesuai untuk kita berterus terang. Lepas ni, saya akan berterus terang dengan keluarga saya tentang awak, saya dan Ary. Insya-Allah mereka akan faham dengan situasi kita. Lepas tu, kita biarkan keluarga saya uruskan dengan keluarga Ary.”

“Macam mana kalau keluarga awak dan keluarga Ary….”

“Insya-Allah, semuanya akan baik. Percayalah!” Pantas Medina memotong kata-kata Alia. Memang dia takkan atahu apa yang akan berlaku, namun dia sentiasa yakin pada kuasa Allah s.w.t. “Tawakal Alia….”

%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%

Medina melangkah ke dalam kamar, lalu duduk di birai katil. Alhamdulillah….dia baharu sahaja berterus terang dengan orang tuanya tentang mereka bertiga. Syukur, keluarganya menerima keputusannya walaupun pada mulanya mereka seakan tidak boleh menerima tindakan Ary.

Setelah menyakinkan orang tuanya, mereka bersetuju untuk berjumpa dengan keluarga Ary dan dalam masanya yang sama untuk memujuk keluarga Ary menerima Alia dalam kehidupan mereka. Walaupun dia sayangkan Ary, namun dia tetap gembira. Alia memang untuk Ary!

Dalam dia sedang melayan fikirannya, bunyi beep yang menandakan dia menerima pesanan kedengaran di laptopnya. Pantas Medina mencapai.



SMB : Assalamualaikum Medina…
           Awak apa khabar?

Medina : Waalaikummussalam….
              Saya sihat. Awak?

SMB : Alhamdulillah….
           Perlukan teman untuk berbual?

Medina : 
             Saya baru saja berterus terang dengan keluarga saya tentang Alia dan Ary.
             Alhamdulillah….mereka menerima berita ini dengan tabah. Moga-moga semuanya berjalan
             dengan lancar.

SMB : Awak okey?

Medina : Ya…jangan risau. Si dia tak ditakdirkan untuk saya. Mungkin jadi seperti awak lebih baik
              untuk saya.

SMB : Seperti saya?

Medina : CINTA TAK BERSUARA…

SMB : Oh, ya..…Cinta tak bersuara…
           Tapi saya berharap suatu hari nanti cinta yang tak bersuara akan terluah juga.

Medina : Mengharap?

SMB : Tidak…. Hanya tawakal
           Cinta itu akan terlafaz jika si dia menjadi bidadari yang suci buat saya

Medina : Bagaimana? Sedangkan cinta yang ada pada awak itu adalah CINTA TANPA SUARA

SMB :  :)
            Awak akan tahu Medina

Medina : Terangkanlah…..

SMB : belum masanya lagi

Medina : Jadi, bagaimana awak akan tahu

SMB : Awak akan merasainya………tapi….

Medina : Tapi??????

SMB : Awak akan merasainya bila cinta tanpa suara awak pada Ary sudah hilang.

Medina : Saya perlu melupakan Ary?

SMB : Tidak!
           Apa yang perlu lakukan hanya melepaskan cinta Ary dan dalam masa yang sama meletakkan
          cinta yang tiada putusnya pada Allah

Medina : Ya, awak benar. Hanya Allah yang akan menunjukkan siapa cinta tanpa suara itu, kan?

SMB : Ya!

Medina : Sehingga sekarang, saya masih ingat kata-kata awak. Cinta ranpa suara itu lebih baik dari
              cinta yang terus diungkapkan namun tanpa matlamat yang pasti. Kata-kata itu
              membuatkan saya rasa terharu.

SMB : Terima kasih…
            Kata-kata itu lebih indah jika terus diucapkan jika sudah terikat dengan ikatan yang suci.

Medina : Tapi saya tak pasti, apakah saya mampu melepaskan cinta tak bersuara saya pada Ary.

SMB : Awak boleh Medina.
           Masa akan mengubatinya.

Medina : Moga masa itu cepat berlalu.

SMB : Saya berundur diri dulu Medina.

Medina : terima kasih sahabat kerana sudi berkongsi cerita dengan saya.

SMB : Semoga Allah sentiasa memberi ketabahan untuk gadis sebaik awak Medina.

Medina : Amiin…..
              Assalamualakum…..

SMB : Waalaikummussalam…..



Medina bersandar di kepala katil. Sedikit sebanyak hatinya terasa tenang apabila dapat berkongsi cerita dengan sahabat mayanya itu. Medina kembali pada laptopnya. Melodi yang telah salah dihantar oleh SMB itu masih ada dalam simpanannya.

Medina memainkan melodi itu semula. Melodi itu memang indah. Cukup romantik. Siapalah agaknya Farah yang dihantar melodi ini? Mungkin itu cinta tak bersuara SMB. Moga-moga cinta tak bersuara milik lelaki itu akan terluah juga suatu hari nanti.

Medina menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskan nafasnya perlahan-lahan.



Bersambung……………………….








2 comments:

  1. cepat sambung ya kak, saya suka cerpen ini

    ReplyDelete
  2. menarik! siapa agaknya SMB tu kan?

    ReplyDelete