AMANI membuka matanya perlahan-lahan setelah merasakan bahunya ditepuk dengan perlahan. Sayup-sayup kedengaran namanya dipanggil. Semakin lama semakin matanya terbuka, kelihatan susuk tubuh seorang gadis manis sedang bersimpuh di sebelahnya. Setelah matanya terbuka luas, seraut wajah Tania yang sedang tersenyum dilihatnya. Kemudian, dia terpandang wajah Tuan Helmi yang sedang berdiri di depan pintu yang terbuka luas. Terus dia bangun dan duduk di situ.
"Dah malam ni. Jom, kita makan malam!" ajak Tania dengan mesra sekali.
Amani menggeleng, menandakan dia tidak mahu makan. Ketika itu juga dia melihat Tuan Helmi melangkah masuk ke dalam dan kemudian duduk bertentangan di depannya. Terus dia menjeling dan berpaling ke tempat lain.
"Mari makan. Lepas tu, Amani perlu makan ubat yang Doktor Iwan beri," ajak Tuan Helmi pula. Kenapa anak ini tidur di lantai? Simpati di hati Tuan Helmi semakin bertubi-tubi menyerang Tuan Helmi. Amani memang aneh!
"Tak nak! Kalau saya banyak makan, saya takut saya tak mampu bayar," ujar Amani. Hutangnya sudah terlalu banyak dengan Tuan Helmi dan Tania. Itu belum masuk lagi hutang budi yang dihulurkan mereka. Dia pasti dia takkan mampu untuk membayar, kerana itu dia berat sekali untuk menerima bantuan dari orang lain.
Tuan Helmi hanya tersenyum. Amani masih berfikir perkara yang sama. "Kamu perlu makan ubat. Nanti kamu sakit lagi. Nak makan ubat, kamu kena isi perut dulu," ujar Tuan Helmi. "Macam mana kalau kamu sakit balik? Duit rawatan lebih mahal dari apa yang kamu makan." Mungkin hanya ini umpan agar Amani mahu mengisi perutnya.
Amani terdiam lama. Lama juga dia berfikir baik buruk yang bakal diterimanya. Mungkin wang boleh dibayarnya, tapi budi mereka? Ah…biarlah….bukan dia mahu ditolong. Mereka yang memaksanya! Tapi ada benarnya kata Tuan Helmi, dia perlu sihat untuk bekerja dan membayar hutangnya. Untuk itu, dia perlu mengisi perutnya.
"Marilah makan dengan saya. Kamu perlu kuatkan badan kamu. Esok kamu perlu bekerja keras!" Tuan Helmi sudah berdiri tegak. Hanya Itulah saja umpannya untuk memancing Amani sementara menunggu Izz pulang membawa khabar.
Dalam keadaan terpaksa, Amani bangun juga. Dia menjeling Tuan Helmi sekilas. Tanpa berkata apa-apa, dia terus keluar meninggalkan Tuan Helmi dan Tania kerana dia sudah tahu arah mana yang harus ditujunya.
Tuan Helmi memandang Tania. Tania menjungkitkan bahunya. Tuan Helmi tersenyum. "Papa harap anak papa takkan jadi begitu," ujar Tuan Helmi yang bermaksud, dia tidak mahu Tania menjadi seperti Amani yang sombong itu. Bahu Tania dipeluk, lalu mereka beriringan jalan menuju ke ruang makan.
Sampai di sana, Mak Eton dan Min sudah siap menghidangkan makan malam. Amani sudah sedia bersimpuh di depan meja makan Jepun yang memerlukan mereka duduk di atas alas.
"Jemput makan Tuan, Tania," Dengan penuh rasa hormat, Mak Eton menjemput mereka berdua makan. Sekilas dia menjeling Amani dengan tajam. Rimas dia melihat sikap gadis muda itu yang tak tahu menghormati pemilik Ilham Hati ini. Semakin sebal dirasakan apabila Amani langsung tidak memperdulikan jelingannya.
"Mak Eton dan Min dah makan?" tanya Tuan Helmi. Begitulah sikap Tuan Helmi. Sentiasa bertanya tentang pekerjanya dahulu sebelum dirinya. Mak Eton dan Min menganggukkan kepala. Melihat angguk kan itu, Tuan Helmi tersenyum. "Izz dah pulang?"
"Belum lagi, tuan." jawab Mak Eton.
Terangguk-angguk kepala Tuan Helmi menerima berita itu. Lama juga Izz keluar bersama Pak Bakar. Dari petang tadi. "Kalau Izz dan Pak Bakar pulang, minta Izz datang jumpa saya di Kamar Ilham."
"Baik, tuan!" Mak Eton dan Min hilang di belakang.
Kamar Ilham? Amani berfikir sendiri. Dia seakan pernah melihat tulisan yang tertulis- KAMAR ILHAM. Dia berfikir lagi, cuba mengingati di mana dia terbaca perkataan itu. Oh... Baru dia teringat. Ada perkataan Kamar Ilham yang besar di rumah tengah di dalam Syurga Ilham Hati. Mungkin itulah tempatnya.
"Amani," panggil Tuan Helmi. Sekilas pandangan Amani beralih pada Tuan Helmi. "Jemput makan."
Amani hanya memandang dan kemudian membasuh tangannya dan mula makan. Dilemparkan satu jelingan pada Tania yang hanya memandangnya sehingga membuatkan Tania menelan air liurnya dan memandang pada Tuan Helmi.
Tuan Helmi memberi isyarat pada Tania untuk mengangkat tangan. Mereka berdua kemudiannya, membaca doa makan. Amani yang di sebelah pura-pura tidak mengambil peduli apa yang dilakukan mereka sedangkan hati kecilnya sudah terasa sesuatu sejak dia masuk ke dalam Syurga Ilham Hati ini. Tempat ini, telah memberi ketenangan dan satu perasaan asing di dalam hatinya. Tempat ini, bagaikan sebuah syurga, sama seperti namanya…..Syurga Ilham Hati.
Usai menyudahkan makan malamnya, Amani bangun mengangkat pinggan dan cawannya. Seperti tadi, dia membasuh dan menyimpan pinggan dan cawan yang digunakan. Tanpa berkata apa-apa dia terus meluru keluar.
Tuan Helmi dan Tania hanya memandangnya tanpa berkata apa-apa. Kemudian, Tuan Helmi memberi isyarat pada Tania untuk meneruskan hidangannya.
Amani terus berpusing-pusing di halaman depan. Melihat pada lanskap Syurga Ilham Hati yang cantik dan menenangkan. Mendengar suara alam, cengkerik dan sesekali kedengaran suara katak. Menikmati tiupkan angin yang menyegarkan. Semuanya sangat indah di sini. Sambil memeluk tubuh kerana kesejukan dibelah angin malam, Amani berjalan-jalan di kawasan sekitar. Sesekali dia memandang langit yang kelam tanpa kehadiran bulan dan bintang yang menandakan hari akan hujan.
Sampai sahaja di rumah yang tengah, langkah Amani terhenti. Dia memandang pada sebuah papan tanda yang menulis-KAMAR ILHAM. Jadi, benarlah ini merupakan Kamar Ilham. Ruang rumah ini tidak tertutup sepenuhnya. Hanya di bahagian yang tepi mempunyai ruang tertutup seakan pejabat atau ruang peribadi. Di bahagia satu lagi merupakan konsep terbuka. Hingga mereka yang ada di luar juga bisa memandang terus ke dalam.
Hati Amani bagai mendesaknya untuk melangkah masuk ke dalam. Bagai terpanggil-panggil dirinya agar melihat pada kain-kain kanvas yang yang terlukis indah. Pada kertas-kertas yang bercorak cantik. Seni! Seni yang sangat digemarinya.
Satu persatu langkah Amani di bawa hingga dia tidak menyedari kini, dia sudah ada di tengah ruang Kamar Ilham. Di sekelilingnya, di setiap sudutnya, penuh dengan lukisan yang indah. Amani bagaikan berada di dalam dunianya sendiri. Dia terbuai dengan setiap lukisan yang indah di sekelilingnya.
Tiba-tiba sahaja dia terpandangkan sebuah lukisan bercorak bunga yang masih belum siap sepenuhnya. Dia menghampiri lukisan itu. Lukisan itu sangat cantik. Desakan hatinya bagai menyuruh dia menyiapkan lukisan tersebut. Amani terpandangkan berus dan palet di tepi lukisan tersebut. Lantas dicapainya berus lukisan itu.
Kebetulan, Izz yang baru pulang bersama Pak Bakar mahu berjumpa dengan Tuan Helmi. Dia mahu terus menuju ke ruang makan untuk bertemu dengan Tuan Helmi kerana dia pasti diwaktu begini, Tuan Helmi dan Tania tentu sedang menikmati makan malam mereka. Ketika melalui Kamar Ilham, terus matanya menangkap susuk tubuh Amani yang sedang melukiskan sesuatu di atas kanvas milik Tuan Helmi di situ. Memang dia terkejut melihat keberanian Amani. Tiada siapa yang pernah masuk ke dalam kamar Ilham jika tidak diminta Tuan Helmi. Apatah lagi orang baru seperti Amani. Tambahan pula, Amani bukan sahaja masuk ke dalam Kamar Ilham, tetapi telah merosakkan ilham Tuan Helmi. Bagaimana jika Tuan Helmi marah?
Izz sudah melangkah untuk mendekati Amani. Dia mahu menyelamatkan Amani sebelum Tuan Helmi marah kerana Amani telah masuk ke ruangan ini. Ruangan ini bagaikan sebuah tempat larangan. Hampir sahaja dia sampai di depan ruang masuk Kamar Ilham, seseorang telah menghalangnya dari masuk. Terus sahaja Izz berpaling ke kanan. Terkejut dia melihat Tuan Helmi yang telah menghalangnya.
"Biarkan dia," bisik Tuan Helmi perlahan. Tuan Helmi memerhatikan Amani. "Ada sesuatu dalam diri Amani," sambungnya. Tuan Helmi pasti, Amani tidak berniat jahat. Seperti apa yang dipercayai, tak semua perkara bisa dinyatakan secara lahir. Ada sesetengah perkara diluahkan secara seni. Amani punya keistimewaan itu. Dari caranya melukis, dia telah meluahkan perasaannya. Anak ini punya sesuatu yang tersimpan di dalam hatinya. "Dia telah menyambung ilham yang saya tinggalkan dengan baik sekali." Tuan Helmi nyata suka pada seni Amani.
"Kamu dapat apa-apa?" Tuan Helmi berpaling memandang Izz. Izz mengangguk. "Pergi makan dulu. Ajak Pak Bakar sekali. Lepas tu datang jumpa saya!” arahnya. Izz mengangguk lagi dan kemudian menghilangkan diri. Sempat dia melirik Amani seketika sebelum berjalan pergi.
Dari jauh Tania memerhatikan Tuan Helmi yang sedang asyik memerhatikan Amani secara sembunyi. Apa keistimewaan Amani sehingga papa tidak marah Amani mengganggu Kamar Ilham. Dia sendiri hanya dibenarkan masuk ke dalam Kamar Ilham jika papa mengizinkan. Tetapi kenapa papa tidak marah pada Amani? Hanya kerana Amani punya bakat seperti papa? Dengan rasa kurang senang, Tania berlalu.
Tuan Helmi yang masih memandang Amani melangkah perlahan-lahan masuk ke Kamar Ilham. Amani telah hilang di dalam dunianya sendiri hingga dia tidak menyedari Tuan Helmi yang sudah ada di belakangnya. Sikapnya sama seperti Tuan Helmi. Setiap kali Tuan Helmi berilham, dia juga akan hilang dalam dunianya sendiri. Lukisan yang Tuan Helmi tinggalkan telah disambung Amani dengan baik sekali. Tuan Helmi rasa terharu dengan seni yang ditunjukkannya.
"Kamu sangat berbakat. Dari mana kamu belajarlah untuk melukis sebegitu?"
Suara Tuan Helmi telah mengembalikan Amani ke alam nyata. Pantas dia berpaling dan meletakkan palet dan berus ke tempat asalnya. Dia berhadapan dengan Tuan Helmi. Dia tahu dia sudah melakukan kesalahan. Dia tidak gentar untuk menerima akibat dari kesalahannya. Matanya bertentang dengan Tuan Helmi.
"Kamu pernah melukis?" tanya Tuan Helmi sambil membalas pandangan mata Amani. Ternyata dari pandangan matanya, Amani seorang gadis yang berani.
Amani biarkan soalan itu berlaku sahaja. "Saya akan bayar ganti rugi sebab dah rosakkan lukisan tuan," ujar Amani.
Tuan Helmi tertawa kecil sambil kepalanya tergeleng. "Tak semua perkara boleh dinilai dengan wang, Amani. Kamu punya sesuatu dalam diri kamu yang lebih bernilai dari itu!"
Amani tertawa sinis sambil matanya terus memandang Tuan Helmi. "Dalam hidup saya, saya belajar wang adalah segala-galanya. Tuan jangan risau, saya akan bayar hutang tuan dengan bekerja dengan tuan sehingga semua hutang saya selesai." Sebaik sahaja berkata begitu, Amani terus meninggalkan Tuan Helmi.
Tuan Helmi hanya mengekori langkah Amani dengan pandangan matanya. Dia yakin dengan perasaannya. Ada sesuatu tentang Amani dan dia merasakan, Amani perlukan perlindungan. Tuan Helmi memandang lukisannya yang telah disambung Amani. Lukisan ini menyatakan, Amani inginkan kebebasan, Amani inginkan perlindungan, Amani perlukan kasih sayang. Apa yang diperlukan Amani adalah kebahagiaan. Amani tidak sama seperti apa yang dia katakan, iaitu wang adalah segala-galanya dalam kehidupan.
"Tuan," suara Izz membuatkan Tuan Helmi berpaling.
"Mari!" Melihat kelibat Izz, Tuan Helmi membuka pintu ruang yang tertutup. Ruang tertutup itu merupakan pejabat peribadi Tuan Helmi. Di sinilah, dia menguruskan Ilham Hati. Izz membontoti Tuan Helmi ke dalam.
"Macam mana?" soal Tuan Helmi sebaik sahaja punggungnya mencecah kerusi. Tuan Helmi memberi isyarat agar Izz duduk. Izz menurut dengan arahan itu.
"Saya dah selidik latar belakang Amani. Amani mempunyai seorang ibu, seorang pakcik, iaitu abang kepada ibunya dan seorang sepupu lelaki. Ayah Amani telah lama meninggal dunia. Sejak ayahnya meninggal, Amani dan ibunya tinggal dengan pakcik Amani. Ibunya bernama Zaiton, pakciknya bernama Jalil," Izz terus melaporkan hasil siasatannya. "Jalil merupakan seorang duda dan mempunyai seorang anak lelaki yang masih bersekolah rendah. Jalil bekerja sebagai seorang buruh. Dia seorang kaki botol dan kaki judi."
Terangguk-angguk kepala Tuan Helmi mendengar laporan Izz. Nampaknya, Amani telah menjalani hidup yang sukar.
"Baru-baru ini Jalil ada menang loteri. Tapi tiket itu telah dikoyakkan Amani. Sebab itulah Amani dihalau dari rumahnya."
"Dihalau?" tanya Tuan Helmi. Izz mengangguk. Kalau begitu, Amani tidak lari dari rumah. "Macam mana dengan ibu Amani, Puan Zaiton?"
"Puan Zaiton sekarang bekerja di pasar. Membantu seorang peniaga menjual sayur. Puan Zaiton dan Amani perlu membayar ganti rugi Jalil, barulah Jalil membenarkan Amani pulang ke rumah," terang Izz lagi. "Jika hutang Jalil tidak dibayar, Puan Zaiton tidak dibenarkan keluar dari rumah itu dan bertemu Amani dan Amani juga tidak boleh pulang untuk bertemu dengan Puan Zaiton."
Tergeleng-geleng kepala Tuan Helmi mendengar cerita Izz. "Tak sangka, ada juga manusia yang sanggup bertindak kejam pada keluarganya sendiri!" Ada nada marah dari ucapannya. "Apa yang oleh dilakukan oleh remaja seperti Amani? Untuk menguruskan makannya sendiri pun dia tidak mampu!" Tuan Helmi terimbau semula saat pertama kali bertemu Amani. Amani yang pitam kerana kelaparan kelihatan sangat pucat dan tidak bermaya. Tetapi ada rasa kagum dalam dirinya untuk Amani. Bagaimana Amani boleh menjadi begitu berani mengoyak tiket loteri pakciknya yang kejam itu? Ya, dia melihat keberanian itu dalam setiap tindak tanduk Amani.
"Menurut jiran-jiran mereka, Amani telah berhenti belajar sejak habis tingkatan tiga. Usianya sekarang, sudah tujuh belas tahun. Ketika Zaiton keluar bekerja, Amani yang akan menguruskan rumah mereka dan menjaga adik sepupunya."
Tuan Helmi menghembuskan nafasnya. Kasihan Amani, dalam usia yang muda begitu telah diberikan tugas seberat itu. Usianya dan Tania hanya beza satu tahun. Tania kini berusia enam belas tahun. Sepatutnya, Amani menduduki peperiksaan pada tahun ini. Apa yang perlu dilakukan Amani adalah belajar. Amani tak sepatutnya diberikan tanggungjawab yang berat begitu.
"Saya mahu Amani terus tinggal di sini. Beritahu keluarganya, kalau mereka tak perlukan Amani, saya yang akan menjaga dia." Entah mengapa, hatinya terpanggil untuk bertanggungjawab ke atas diri Amani.
"Bagaimana pula dengan Puan Zaiton? Tentu Amani akan rindukan ibunya," ujar Izz.
"Betul juga," Tuan Helmi berfikir seketika. "Berapa hutang Amani pada pakciknya, Jalil?"
"Sepuluh ribu, tuan."
"Sepuluh ribu?" Tuan Helmi menggosok dagunya. "Apa cadangan awak?" Tuan Helmi meminta pandangan Izz pula.
"Begini tuan, kata Puan Zaiton dia mahu berjumpa dengan Amani. Esok, ketika dia keluar ke pasar, dia akan curi-curi datang ke sini. Saya dah tinggalkan nombor telefon saya pada dia. Saya dah beritahu dia, Kalau dia jadi datang ke sini, saya akan pergi jemput dia." Izz menerangkan pendapatnya.
"Baiklah kalau macam tu. Kita teruskan dulu seperti yang awak rancangkan. Apa-apa nanti, kita fikir lain." Tuan Helmi bersetuju. "Terima kasih, Izz."
"Sama-sama, tuan." Izz menundukkan kepalanya sedikit. "Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu."
"Silakan." Tuan Helmi tersenyum. "Oh ya, esok pagi, kamu tak perlu hantar Tania ke sekolah. Minta Pak Bakar tolong hantarkan Tania. Saya perlukan kamu di sini untuk awasi Amani." Tuan Helmi bangun dan mundar mandir di situ.
"Kenapa dengan Amani?" soal Izz yang kurang mengerti dengan kegelisahan Tuan Helmi tentang Amani.
"Amani bukan budak biasa seperti Tania. Amani, sikapnya jauh berbeza dengan anak kesayangan saya. Saya percaya, kalau kita kurang awasi dia, dia kan larikan diri dari sini."
"Baiklah, tuan. Saya akan minta Pak Bakar untuk hantar Tania ke sekolah. Saya akan awasi Amani." Izz menerima arahan itu.
"Kalau begitu, awak boleh pergi. Rehatkan diri. Dah satu hari awak bertugas." Tuan Helmi sentiasa merasa bangga dengan Izz. Setiap arahannya, akan dilakukan Izz dengan sempurna.
"Terima kasih, tuan. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum," Izz mengundur dari Kamar Ilham.
"Waalaikummussalam," jawab Tuan Helmi serata matanya mengekori langkah Izz yang berlalu pergi.
Keluar sahaja dari Kamar Ilham, Izz mahu terus ke pondok kecilnya. Di pertengahan jalan, dia terlihat kelibat Amani yang sedang berdiri di depan rumah sambil memandang jauh ke angkasa. Izz mengikut langkah Amani dengan memandang ke atas. Rupanya, Amani sedang memandang pada bukan dan ribuan bintang yang bertaburan di angkasa. Malam ini memang indah! Sebentar tadi, langit begitu kelam seakan mahu hujan. Tetapi, dengan tiba-tiba muncul bulan dan bintang.
Izz mendekati Amani dan berdiri di sebelahnya. Amani yang menyedari kehadiran Izz membuang pandangannya pada lelaki itu seketika lalu ingin melangkah masuk ke dalam rumah. Ketenangannya terganggu seketika.
"Saya dah jumpa keluarga awak," kata Izz tanpa memandang Amani.
Terus sahaja langkah Amani terhenti. Dia berpaling dan memandang Izz dengan tajam. Kenapa? Kenapa mereka mencari keluarganya? Bukankah dia telah berjanji, jika hutangnya telah habis dibayar, dia akan keluar dari sini?!
"Insya-Allah, jika tiada aral melintang, Puan Zaiton akan ke sini menemui awak," sambung Izz lalu menoleh memandang Amani.
Tidak! Tidak! Amani sudah kegelisahan. Kenapa mak mahu ke sini? Dia tak mahu berjumpa dengan sesiapa lagi. Dia mahu pergi jauh dari sini! Kenapa semua ini perlu berlaku?
"Saya tak nak jumpa dengan dia!" Amani memandang Izz dengan tajam.
Terkejut Izz dengan sikap Amani. Amani tak mahu berjumpa dengan ibunya? "Kenapa?!" Sangkanya Amani akan gembira dengan berita yang dibawanya.
"Awak akan menyesal kalau bawa siapa-siapa dari mereka datang ke sini," ujar Amani dengan penuh rasa kesal. Amani berpaling semula, mahu berlalu pergi.
"Tunggu!!" Izz menghalangnya. Pantas mata Amani menikam wajah Izz. "Tuan Helmi mahu membantu awak, tapi kenapa awak bersikap macam ni?" Reaksi Amani benar-benar membuatnya tertanya-tanya.
"Saya dah beritahu, saya akan bekerja sehingga hutang saya dengan Tuan Helmi selesai. Lepas tu saya akan pergi dari sini. Saya takkan menyusahkan sesiapa!" tegasnya. Kenapa mereka perlu menyusahkan diri dengan mencari keluarganya sedangkan dia telah membuat perjanjian dengan mereka!!
"Macam mana pula hutang awak dengan Pakcik Jalil?" soal Izz sambil memandang wajah Amani yang langsung tidak terkejut dengan soalannya.
Amani diam seketika. Nampaknya, orang-orang Tuan Helmi memang hebat. Dalam masa satu hari, mereka boleh mengesan keluarganya. "Saya tiada hutang dengan sesiapa selain Tuan Helmi." Amani memeluk tubuhnya.
Izz sudah ketawa sinis. "Saya tahu, awak tak berhutang dengan pakcik awak. Tapi awak dah buat dia kerugian. Sepuluh ribu ringgit!" Izz melangkah mendekati Amani. "Selagi awak tak bayar kerugian dia, awak takkan jumpa mak awak!”
Amani ketawa sinis. Memang mereka hebat kerana berjaya menjejaki keluarganya dalam masa yang singkat. Tapi mereka tidak kenal siapa keluarganya! "Saya tak berniat untuk jumpa dengan dia!" Sekali lagi Amani bertegas.
"Uh?" Ternyata Izz semakin terkejut dengan kata-kata Amani. "Awak tak nak jumpa dengan mak awak?" Bagaikan tidak percaya, gadis seperti Amani berkata begitu.
"Saya memang tak nak jumpa dia!" tegas Amani lagi.
Izz benar-benar tidak percaya dengan jawapan Amani. "Mak awak dekat sana, susah hati tentang awak! Tapi awak...." Izz menggelengkan kepalanya. "Anak jenis apa awak ni?" Akhirnya, terkeluar kata-kata itu dari bibirnya.
Amani menjelingnya tajam lalu berpusing untuk pergi. Tak perlu dia membuang masa bertekak dengan orang asing yang langsung tiada kaitan dalam hidupnya.
Izz menarik nafas melihat Amani yang sudah melangkah. "Jangan sesekali awak terfikir untuk larikan diri dari sini!" ujar Izz seakan mengugut. Mungkin benar kata Tuan Helmi, Amani mungkin akan melarikan diri.
Mendengar kata-kata Izz yang seakan mengugutnya itu Amani berpaling semula memandang Izz. Satu pandangan yang tajam menikam ke dalam mata Izz. Izz juga membalas pandangan matanya.
"Ilham Hati di kelilingi dengan tembok yang tinggi. Satu-satunya pintu keluar dari Syurga Ilham Hati, adalah pintu yang menuju ke Ilham Hati. Untuk keluar dari Ilham Hati, hanya ada satu pintu gerbang sahaja. Pintu gerbang itu juga dah tertutup rapat sejak jam sembilan malam tadi." Izz menerangkan satu fakta tentang keselamatan di situ.
Amani hanya membisu. Kata-kata Izz memang benar kerana tadi dia telah berkesempatan mengelilingi kawasan Syurga Ilham Hati dan Ilham Hati. Gerbang Ilham Hati telah pun ditutup pintunya pada jam sembilan malam ketika semua pekerja selesai menjalankan tugas pada malam itu. Sekuriti juga telah menutup pintu gerbang dengan rapat dan mula mengawal. Keselamatan di sini memang ketat.
"Saya takkan larikan diri selagi hutang saya belum selesai!" Amani menghadiahkan satu jelingan lalu meneruskan langkahnya semula.
Izz hanya tersenyum sinis melihat Amani. Benar kata Tuan Helmi, Amani sangat berbeza dengan Tania. Amani ada sesuatu dalam dirinya. Sesuatu yang mungkin akan menjadikannya istimewa dan juga sebaliknya.
saya suka cerita ni..memang menarik..tak sabar nak tunggu next n3...
ReplyDeleteEerr.. Nape dia xnak jmpa mak dia? Nak lindung mak dia @ mak dia pon sama cm p.cik dia? Urmmmm
ReplyDelete