Thursday, 31 May 2012

Ratu Hati Si Putera Arab 8







“ASSALAMUALAIKUM Che Enon!” Audra dan Zana menerpa dan menyergah Che Enon yang sedang asyik memilih lauk di gerai Man Corner.
“Opocot!” Terlompat Che Enon dengan sergahan itu. Audra dan Zana sudah tertawa gembira kerana geli hati melihat Che Enon. “Bertuah punya budak!” Che Enon mencekak pinggang. Dia menjegilkan matanya pada dua gadis muda di hadapannya. Kemudian, kepalanya tergeleng-geleng dan tak lama selepas itu, satu senyuman mula terukir di bibirnya apabila melihat mereka.
“Hah, hah, tu! Che Enon tak jawab salam! Dosa!” usik Audra lagi sambil tersengih-sengih. Begitu juga dengan Zana. Mereka suka sekali menyakat Che Enon.
Che Enon mencebik. “Hmmm, waalaikummussalam,” Che Enon menjeling memandang wajah-wajah di depannya. Sengaja pura-pura marah sedangkan dia senang dengan gurauan mereka. “Kamu berdua ni dari mana saja?” Che Enon kembali memilih lauk-lauk untuk makan malam nanti.
“Kita orang dari kolej lah, Che Enon. Nak balik asrama. Saja singgah sini nak beli lauk untuk malam nanti,” balas Audra.
“A’ah. Kami pun dah bosan dengan makanan di kantin asrama. Asyik lauk yang sama saja!” tambah Zana pula.
“Lama tak nampak Che Enon datang sini. Che Enon sibuk ek?” tanya Audra. Gerai Man Corner itu terletak di antara laluan dari kolej dan asrama. Jadi, mereka pasti akan melalui gerai ini setiap hari.
“Ada. Saja tak datang sebab Che Enon sibuk bersihkan rumah. Selalunya, Pak Dollah tolong belikan lauk. Tapi hari ni, Pak Dollah ada urusan lain sebab tu Che Enon datang sini naik teksi. Tak lama lagi, tuan besar Rumah Warisan nak masuk,” terang Che Enon. Wajahnya bertukar kerisauan. “Nak masak sendiri pun tak sempat.” Sebelum ini Che Enon memang kerap bertandang di gerai nasi campur Man Corner. Disitulah dia mengenali Audra dan Zana.
“Tuan besar Rumah Warisan nak masuk? Jadi selama ni, tuan besar pergi mana?” tanya Zana dengan kerutan di wajahnya. Mereka sedia tahu, rumah yang diuruskan Che Enon dipanggil Rumah Warisan.
“Ada, tak ke mana-mana. Cuma,” Che Enon menggarukan kepalanya seketika. “Alah, panjang ceritalah!” Che Enon tak mahu memanjang cerita tentang Tuan Syed Zikri. Kalau cerita pun, bukannya budak berdua ni kenal dengan penghuni Rumah Warisan. “Tapi sekarang ni Che Enon tengah pening! Pening sangat ni!”
“Pening apanya Che Enon?” tanya Audra pula. Raut wajah Che Enon memang menunjukkan kerisauan sehingga senyuman di bibir Audra bertukar dengan kerutan di dahinya apabila melihat wajah Che Enon.
“Sepatutnya, tiga hari lepas Tuan Syed masuk dan tinggal di Rumah Warisan. Tapi dia tak suka dengan susunan dalam rumah tu. Dia mahu Che Enon ubah semuanya. Kalau sempat siap, minggu depan dia nak masuk!” kedengaran nada kerisauan dari suara Che Enon. “Che Enon susah hatilah. Che Enon bukannya pandai nak hiaskan rumah. Kalau setakat nak bersihkan rumah, tahulah Che Enon!”
Audra dan Zana berpandangan seketika. Kerisauan di raut wajah Che Enon mengundang rasa simpati mereka. Che Enon tak pernah kelihatan gelisah begini. Biasanya, wanita yang sudah berusia itu sentiasa ceria dan tersenyum gembira apabila bertemu mereka.
“Kenapa Che Enon tak suruh saja Tuan Syed carikan interior designer? Kan senang!” Audra bertanya lagi. Orang kaya seperti majikan Che Enon, takkanlah tak mampu nak menggaji pereka dalaman sehingga meletakkan semuanya di bahu Che Enon?
“Entahlah,” Che Enon menjongketkan bahunya. “Che Enon tak tahulah. Che Enon bukannya pandai sangat pun. Kata Tuan Syed, dia mahukan rumah yang mendamaikan.” Che Enon menghembuskan nafasnya. “Lagipun, kehendak Tuan Syed tu tak salah. Rumah Warisan, banyak meninggalkan kenangan pahit dalam keluarga mereka. Mungkin sebab tu, dia mahu wujudkan Rumah Warisan yang baru. Rumah yang lebih mendamaikan dan penuh dengan ketengangan.” Rasa simpati Che Enon muncul lagi.
Melihat wajah Che Enon, semakin timbul rasa simpati di hati Audra dan Zana.
“Tuan Syed ni cerewet tak orangnya, Che Enon?” tanya Audra.
Che Enon diam seketika. Lagak orang sedang berfikir. “Entahlah, Che Enon pun tak berapa kenal sangat dengan Tuan Syed Zikri. Tapi dia nampak macam,” Che Enon mula mengingatkan kembali lelaki itu. “Okeylah jugak kalau nak dibandingkan dengan Tuan Syed dulu! Tuan Syed yang sebelum ni, garang! Nak senyum pun susah. Tapi, Tuan Syed yang ini muda lagi. Segak pulak tu!” Che Enon sudah tersenyum simpul.
“Eeii, Che Enon! Gatal jugak ek!” usik Zana.
“Isshh, mana ada! Che Enon kan dah berkeluarga! Anak pun dah besar-besar!” ujar Che Enon gembira mengenangkan keluarganya. “Tuan Syed yang ini, dah macam anak Che Enon!”
Tersenyum dia apabila mengenang keramahan dan kebaikan yang ditunjukkan Tuan Syed Zikri. Tetapi kemudian dia kembali gusar! “Macam mana ni? Audra dengan Zana pandai menghias rumah?” tiba-tiba Che Enon bertanya.
Audra dan Zana berpandangan sekejap lalu pandangan mereka dibuang pula pada Che Enon yang sudah tersengih. Pandangan Che Enon mengandungi seribu pengertian!
“Tolonglah Che Enon. Please!” Che Enon menunjukkan muka kasihannya.
Audra dan Zana tertawa melihat wajah yang sengaja dibuat untuk memancing simpati. Dah tu pandai cakap orang putih pulak!
“Mana kita orang tahu hal ni semua Che Enon. Kita orang ni pelajar akaun! Bukan pelajar reka dalaman!” ujar Zana.
Che Enon menghembuskan nafas kekecewaan. “Tolonglah Che Enon,” rayunya lagi.
Audra menghampiri Che Enon. Bahu Che Enon dipeluk lembut. Rasa simpati pula pada Che Enon. “Tuan Syed tak marah kalau kitorang datang rumah tu?” tanya Audra.
Che Enon diam seketika. Sungguh, dia sendiri tak tahu tentang itu. Tapi kalau Tuan Syed Hussin, dia memang tak suka orang luar datang ke Rumah Warisan tanpa pengetahuannya. Tapi kalau Tuan Syed Zikri, dia tidak pasti. Che Enon memandang Audra.
“Tak, tak! Tuan Syed yang ini baik orangnya!” pantas Che Enon bersuara sekadar untuk membuatkan gadis-gadis itu tidak akan menolak permintaannya. Walaupun dia sendiri tak tahu apa reaksi Tuan Syed Zikri jika tahu dia membawa masuk orang luar ke dalam Rumah Warisan.
“Kalau macam tu biar kita orang tolong Che Enon.” Audra tersenyum sambil menunjukkan dadanya.
“Hei Audra!” Bahu Audra ditampar Zana. “Kau biar betul! Macamlah kau tahu nak reka hiasan dalaman ni!” Zana sudah mengerutkan dahinya.
“Belum cuba, belum tahu! Aku ni ada bakat terpendam tau!” Audra bersuara semula. Dia tidak menafikan kata-kata Zana ada benarnya. Tetapi rasa simpatinya pada Che Enon membuatkan dia bersetuju dengan permintaan wanita itu.
“Haa, iyalah. Bakat terpendam! Kang habis satu rumah kau lekat gambar Putera William kau tu!” Zana sudah gusar dengan persetujuan Audra. Sebelum ni, bilik mereka di asrama juga penuh dengan gambar Putera William. Mujurlah, Putera William dah kahwin dan dia pun dah buang semua gambar Putera William. Tenang fikirannya apabila melihat dinding bilik mereka bersih dari sebarang poster dan gambar putera itu.
“Merepeklah kau ni! Takkanlah aku nak buat rumah Tuan Syed tu macam istana Putera William pulak?!” Audra menjeling. “Kalau dah rumah Tuan Syed kita letaklah gambar Tuan Syed!” ujar Audra semula.
Che Enon sudah tergamam ditengah-tengah mereka. “Tak mengapa kalau Audra dengan Zana tak berapa pandai menghias rumah. Kalau boleh bantu bagi idea sikit-sikit pun dah okey. Dari Che Enon fikir sorang-sorang lebih baik bertiga, kan?” Che Enon tersenyum memandang mereka dan melayangkan pandangan seakan-akan merayu pada Zana agar bersetuju dengan mereka.
“Betul!” Audra bersetuju. “Lagipun, kesian kat Che Enon ni. Kalau bukan kita, siapa lagi yang nak tolong Che Enon? Kan Che Enon?!”
Pantas Che Enon mengangguk menyetujui kata-kata Audra.
Zana mengetap bibir memandang Audra. “Tak apalah. Kalau macam tu esok pagi-pagi kita orang pergi Rumah Warisan?”
“Tapi, Rumah Warisan tu kat mana?” tanya Audra.
Che terngadah sekejap. Betullah budak berdua tu tak tahu dimana Rumah Warisan. “Hah, macam gini je. Esok kamu berdua tak de kelas, kan?”
“Eh, macam mana Che Enon tahu kami tak de kelas?” tanya Audra kebingungan.
“Ish, kau ni!" Zana menjeling. "Esok kan Sabtu. Mana ada kelas!” ujar Zana.
Audra menepuk dahunya kemudian dia tertawa kecil. Sebenarnya dia terlupa esok adalah hari Sabtu.
“Apakata, kamu berdua ikut Che Enon balik rumah sekarang?" cadang Che Enon. Matanya sudah bersinar-sinar.
“Sekarang?!" Audra dan Zana tercengang sambil berpandangan. “Tapi,”
“Tak pe, tak pe. Jom!” Terus Che Enon menarik tangan mereka berdua.
Mereka berdua pula seperti orang kebingunan dan hanya menurut langkah Che Enon. Sampai sahaja di depan sebuah teksi, langkah mereka terhenti. Che Enon membuka pintu belakang teksi dan menarik tangan mereka agar masuk ke dalam teksi.
Mereka berdua hanya menurut tanpa berkata apa-apa. Che Enon sendiri sudah melabuhkan punggungnya di sisi pemandu teksi.
"Bawa kami balik ke Rumah Warisan," arah Che Enon.
Pemandu tersebut mengangguk dan terus memandu sehingga sampai ke Rumah Warisan. Kebetulan, berdekatan dengan Warisan terdapat sebuah stesen teksi. Jadi, pergerakan Che Enon agak mudah walaupun Pak Dollah tidak ada.
“Wah!” Itulah perkataan pertama yang keluar dari mulut Audra dan Zana sebaik sahaja tiba di pintu pagar Rumah Warisan.
Pak Rahim yang sentiasa berada di pintu pagar Rumah Warisan membuka laluan apabila melihat kelibat Che Enon. Kemudian, dia menghampiri Che Enon apabila terlihat kelibat dua orang gadis yang datang bersama wanita itu.
"Audra, Zana," Che Enon memandang mereka. "Ini, Pak Rahim. Sekuriti di Rumah Warisan."
"Asalamualaikum, Pak Rahim," tegur mereka berdua.
"Waalaikumussalam," Pak Rahim memandang Che Enon. "Kenapa bawa orang luar datang sini?" Pak Rahim berbisik di telinga Che Enon.
Che Enon memberi isyarat agar mereka menjauhi Audra dan Zana. Pak Rahim menurut. "Aku yang bawa dia orang datang sini untuk bantu aku susun Rumah Warisan semula."
"Kalau Tuan Syed tahu, macam mana?" Pak Rahim merasa berat mahu membenarkan dua orang gadis itu masuk ke dalam Rumah Warisan.
"Tolonglah benarkan mereka masuk. Kalau Tuan Syed marah, aku akan tanggung semuanya," rayu Che Enon.
"Tapi, aku tak beranilah." Pak Rahim melirik dia orang gadis itu. Walaupun mereka berdua kelihatan seperti gadis yang baik, namun dia tidak berani mengambil risiko. Apatah lagi jika di luar pengetahuan Tuan Syed Zikri.
"Tolonglah. Aku dah tak tahu nak buat apa lagi dengan Rumah Warisan ni!" Sungguh! Che Enon memang bingung untuk melaksanakan perintah Tuan Syed Zikri.
Pak Rahim menarik nafas yang panjang. Dia tahu masalah Che Enon. Setiap hari, Che Enon akan meluahkan kegusarannya berkenaan arahan Tuan Syed Zikri. Hatinya berbelah bahagi sama ada mahu membenarkan kedua-dua orang gadis itu masuk ke dalam Rumah Warisan atau tidak.
"Tolonglah aku," sekali lagi Che Enon merayu.
"Baiklah." Pak Rahim mengangguk setuju.
Che Enon sudah tersenyum gembira melihat anggukkan Pak Rahim. "Terima kasih!" Che Enon melambai-lambai kepada Audra dan Zana. "Jom!"
Audra dan Zana melangkah masuk ke dalam kawasan Rumah Warisan. Dari pintu pagar untuk ke pintu utama, mengambil masa dua minit jika berjalan. Kesempatan itu digunakan Che Enon untuk menceritakan secara ringkas kisah yang pernah terjadi di Rumah Warisan agar Audra dan Zana mengerti mengapa Tuan Syed Zikri mahu wujudkan Rumah Warisan yang baru.
Menurut Che Enon, Tuan Syed Hakim telah menghalau Tuan Syed Zarkasyi dari Rumah Warisan setelah mendapat tahu lelaki itu telah mengahwini orang gaji mereka sendiri. Tuan Syed Hussin pula, telah merancang pembunuhan terhadap abangnya dan isterinya, Nurul Anis kerana mahu membolot harta peninggalan almarhum Tuan Syed Hakim.
Ini kerana Tuan Syed Hussin tidak mempunyai waris lelaki dan hanya mempunyai seorang anak perempuan. Sedangkan almarhum Syed Hakim meninggalkan wasiat agar hartanya diberikan kepada anaknya yang mempunyai waris lelaki. Tuan Syed Zarkasyi yang telah dihalau pula mempunyai anak lelaki iaitu Tuan Syed Zikri.
“Rumah ini dikenali sebagai Rumah Warisan. Peninggalan dari almarhum moyang Tuan Syed Hakim turun temurun. Dan sekarang, rumah ini dah jadi milik Tuan Syed Zikri, cucu sulung dan satu-satunya cucu lelaki Tuan Syed Hakim. Pewaris utama Warisan Syed!” Terang Che Enon, menyambung semula ceritanya berkenaan waris-waris keturunan Syed itu ketika dalam perjalanan mereka sebentar tadi.
 Kini, mereka telah tiba di pintu utama Rumah Warisan.
"Tapi sayang, rumah sebesar ini hanya akan dihuni oleh Tuan Syed Zikri sendirian.”
“Mana pergi semua keluarga Tuan Syed?” tanya Audra sambil memerhatikan Che Enon yang sedang memasukkan kunci untuk membuka pintu utama. Dia merasa teruja mendengar kisah yang pernah berlaku di dalam keluarga itu. Kisah hidup Tuan Syed Zikri hampir menyamai kisah hidup keluarganya.
"Tuan Syed Hussin berada di penjara. Syarifah Nurain dan anaknya, Syarifah Ilyana berada di Paris. Jadi, hanya tinggal Tuan Syed Zikri seorang diri di sini." Che Enon menolak daun pintu utama yang besar dan agak berat itu. Pintu utama itu sahaja, sarat dengan perhiasan elegan yang membuktikan jati diri penghuni rumah itu.
Perasaan simpati mencucuk tangkai hati Audra. Dia mengerti perasaan Tuan Syed Zikri. Ibunya yang berketurunan Cina kacukan Amerika juga telah dibuang keluarga apabila ibunya membuat keputusan untuk memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang lelaki Melayu, iaitu ayahnya. Sejak dari itu, ibunya tidak pernah dihubungi oleh keluarga kandungnya lagi.
"Marilah masuk." Che Enon sudah melangkah ke dalam. Diikuti oleh Audra dan Zana di belakangnya.
Melangkah masuk ke dalam Rumah Warisan sahaja, mulut Audra dan Zana sudah ternganga luas.
“Masyaallah!" Zana begitu kagum dengan kemewahan yang terdapat di dalam rumah itu. Rumah itu begitu luas, cantik dan mewah. "Ini dah macam istana," Zana menoleh memandang Audra. Suara gadis itu langsung tak kedengaran. Tidak terujakah Audra dengan segala kemewahan yang terdapat di dalam rumah ini?
Dahi Zana berkerut melihat Audra yang sudah berdiri tegak di depan gambar-gambar yang tergantung di salah sebuah dinding di situ. Dia menghampiri Audra dan berdiri di sisinya. Dia juga membuang pandangan kepada setiap gambar-gambar yang menarik perhatian Audra.
"Siapa mereka semua ni, Che Enon?" Audra menoleh ke belakang, memandang kepada Che Enon. Nyata, Audra lebih tertarik dengan gambar-gambar yang tersergam indah di dinding rumah itu berbanding perhiasan mewah yang lain.
"Yang ini adalah gambar Tuan Syed Hakim bersama keluarganya sebelum dia berkahwin. Waktu ni, Tuan Syed Hakim masih muda." Mereka beralih ke gambar seterusnya. "Yang ini gambar keluarga Tuan Syed Hakim bersama isterinya, Syarifah Hashima dan anak-anaknya, Tuan Syed Zarkasyi dan Tuan Syed Hussin. Tuan Syed Zarkasyi inilah ayah kepada Tuan Syed Zikri."

Terangguk-angguk kepala Audra dan Zana menerima info itu.
Jadi, inilah dia Syed Zarkasyi yang telah dihalau keluar dari Rumah Warisan kerana berkahwin dengan orang gajinya sendiri tanpa pengetahuan keluarganya? Dan ini, adalah Syed Hussin yang kini berada di penjara. Kening Audra terjongket.
"Ini pula, gambar Tuan Syed Hussin bersama isterinya, Syarifah Nurain dan anak mereka Syarifah Ilyana." Mereka berjalan ke gambar seterusnya. "Ini gambar Syed Zarkasyi. Gambar ni, Che Enon baru letak di sini untuk menyambut kedatangan Tuan Syed Zikri." Che Enon menarik nafas yang panjang. "Selama ni, gambar ni hanya tersimpan di dalam stor."
"Kasihan Tuan Syed Zikri," ujar Audra tanpa di sedari. Mendengar cerita Che Enon, hatinya meruntun pilu. Bagaikan dia bisa merasa kesakitan yang dirasai Tuan Syed Zikri. "In Sha Allah, Che Enon. Audra akan lakukan apa yang Audra mampu untuk hilangkan memori hitam dalam hidup Tuan Syed Zikri."
Zana dan Che Enon terus berpaling memandang Audra. Mereka agak terkejut dengan kata-kata Audra yang penuh tekad itu.
Kemudian, Che Enon tersenyum. "Terima kasih, Audra. Esok pagi, kita mulakan kerja ya?"
"Boleh. Tapi," Audra sudah memandang Che Enon sambil mencetak pinggangnya. "Kita orang datang sehelai sepinggang je ni."
“A'ah lah! Che Enon bawa kami macam gitu je” tambah Zana. “Sekarang ni Che Enon nak kita orang tidur di sini, kan? Tapi kita orang datang sehelai sepinggang. Melainkan yang ada, cuma beg galas kita orang yang ada buku di dalamnya.” Zana memeluk tubuh. Sebenarnya, salah mereka juga hanya mengikut tanpa berfikir.
“Tak mengapa, benda kecik je. Baju Che Enon, kan ada! Pakai je baju Che Enon!” ujar Che Enon.
Audra dan Zana saling berpandangan. Selama ini mereka hanya melihat Che Enon berbaju kurung sahaja bila ke gerai Man Corner. Audra dan Zana sudah memandang Che Enon dari atas hingga ke bawah.
“Che Enon ada seluar tak?” tanya Audra dengan kerutan di wajahnya. Tangannya sudah memeluk tubuh.
"Mana Che Enon pakai seluar! Ala, kamu pakai je kain batik dengan baju Kedah Che Enon. Kalau tak nak, baju kurung pun ada.” ujar Che Enon. Memang salahnya kerana terus memaksa mereka untuk mengikutnya pulang ke Rumah Warisan tanpa ada apa-apa persiapan.
“Che Enon!” Audra sudah mengetap bibirnya. “Kita orang memang tak kisah nak pakai baju Che Enon. Kalau tidur tak pelah. Tapi esok, masa nak kemaskan rumah ni takkan nak pakai kain batik kot!”
Che Enon mengherotkan bibirnya. Alamak! Macam mana ni? Che Enon sudah menggaru kepalanya.
"Nampaknya, esok pagi kita kena pakai baju ni baliklah," keluh Zana.
Audra sudah memegang dahinya. "Begini, biar Audra dan Zana balik asrama dulu, ambil baju ganti. Lepas tu, kami datang balik."
Terangguk-angguk kepala Che Enon. "Bolehlah tu. Tapi, tunggu Pak Dollah baliklah. Nanti Pak Dollah boleh hantarkan Audra dan Zana ke asrama."
Audra dan Zana sudah menghembuskan nafas lega. Tak perlulah mereka menaiki teksi atau bas.
Pada masa yang sama, Pak Rahim yang sedang menjaga pintu pagar kawasan Rumah Warisan terkedu apabila melihat sebuah Mazda 6 berwarna putih, berhenti di depannya.
Hari yang semakin kelam menyukarkan dia untuk melihat gerangan siapakah yang datang. Namun, hanya seorang sahaja yang menggunakan kereta jenis itu.
Cermin sisi bahagian pemandu diturunkan. Terlihatlah seraut wajah yang ditakuti oleh Pak Rahim. Tuan Syed Zikri! 


No comments:

Post a Comment