CHE ENON segera berlari ke muka pintu utama setelah pintu pagar
Rumah Warisan di buka oleh Pak Rahim, sekuriti Rumah Warisan. Matanya memerhati
Mazda 6 bewarna putih sedang menyusuri jalan masuk dan berhenti di depan pintu
utama.
Keluarlah Tuan Syed Zikri Syed Zarkasyi yang ditunggu-tunggu. Terus Che Enon
menghampirinya. “Selamat datang, Tuan Syed!” ujar Che Enon meraikan kedatangan
Zack. Kali pertama dan kali terakhir Zack datang ke rumah itu adalah ketika
Tuan Syed Hussin Syed Hakim masih lagi menjadi Tuan Syed dia Rumah Warisan.
Tetapi belum sempat lelaki itu berjumpa dengan Tuan Syed Hussin, dia terus
keluar dari Rumah Warisan. Terimbas semula Che Enon dengan kenangan lalu.
Zack tersenyum pada Che Enon yang sudah sedia menyambutnya. “Apa khabar,
makcik?” tanya Zack berbahasa.
“Baik, Alhamdulillah.” Che Enon tersenyum dengan soalan itu. “Tuan Syed?” tanya
Che Enon kembali.
“Alhamdulillah, sihat.”
“Tuan Syed boleh panggil saya Che Enon saja.
Semua orang di sini panggil saya Che Enon,” beritahu Che Enon.
Zack menganggukkan kepalanya tanda mengerti.
Zack melirik kawasan Rumah Warisan yang luas dan dijaga rapi. Memang dia
mengambil keputusan yang agak lama untuk menetap di sini. Sebelum ni, dia
selalu merasakan tiada guna dia menginap di rumah yang serba mewah ini
sedangkan dia hanya sendirian. Apatah lagi Ruman Warisan ini banyak
meninggalkan kenangan pahit dalam keluarganya. Dia sendiri tidak pernah
membesar di dalam rumah ini.
Tetapi sekarang, sejak hadirnya Audra Laily dia
merasakan yang dia mahu memulakan langkah pertama untuk kehidupan baru. Mungkin
terlalu awal untuk dia menyimpan harapan begitu. Tetapi hatinya begitu mendesah
untuk melakukannya. Hatinya berbicara cinta tatkala dia teringatkan Audra
Laily. Semoga Audra Laily adalah wanita yang dicari-carinya selama ini.
“Assalamualaikum! Apa khabar Tuan Syed?” muncul
seorang lelaki agak separuh umur lantas menundukkan kepalanya tanda sapaan
untuk Zack.
“Waalalaikummussalam.” Zack mendekati dan
menghulurkan tangan untuk berjabat.
Pak Dollah merenung huluran tangan Zack. Dia
agak terkejut dengan huluran tangan itu. Mahukah Tuan Syed Zikri bersalam
dengannya sedangkan selama ini Tuan Syed Hussin sangat pantang berjabat tangan
dengan pekerjanya sendiri. “Tangan saya kotor Tuan Syed! Saya bantu Sudin
berkebun tadi!” Memang benar, dia baru sahaja selesai membantu Sudin berkebun.
Zack menggeleng dengan sikap lelaki tua itu. Dia
mencapai tangan kanan Pak Dollah dan memaksa lelaki itu bersalam dengannya. Bukan
dia tak tahu apa yang berlaku di Rumah Warisan ini. Syed Hussin dan Syed Hakim
tidak pernah menghulurkan tangan untuk bersalam dengan pekerja mereka. “Tak
kira pun siapa kita, kita adalah sama kecuali amalan kita di sisi Allah!” Tegas
Zack.
Satu perasaan kagum menyelinap di hati Pak
Dollah pada orang muda di depannya ini. “Saya Pak Dollah, pemandu peribadi Tuan
Syed. Bila-bila masa saja Tuan Syed mahukan saya, Tuan Syed beritahu saja.”
Sudah sekian lama dia hanya bergoyang kaki tanpa melakukan apa-apa. Setiap
pagi, dia hanya membawa Che Enon ke pasar. Jika perlu, adakalanya dia membantu
Sudin, tukang kebun melakukan tugasnya. Selebihnya, dia hanya berehat. Terasa
malu juga dengan Tuan Syed Zikri apabila gaji yang diterima tidak berbaloi
dengan tugasnya.
“Buat masa ni saya masih belum perlukan khidmat
Pak Dollah. Pak Dollah boleh teruskan tugas seperti biasa. Bawa Che Enon ke
pasar, lepas tu tolong Pak Sudin berkebun. In Sya Allah, bila sampai masa saya
perlukan khidmat Pak Dollah, saya akan beritahu,” ujar Zack.
Tercengang Pak Dollah dan Che Enon di situ.
Bagaimana Tuan Syed Zikri bisa tahu apa yang dilakukan Pak Dollah selama ini?
Mungkinkah Tuan Syed Zikri selalu memerhatikan mereka? “Tapi Tuan Syed, rasa
tak seronoklah sebab tak dapat jalankan tugas dengan baik,” Pak Dollah
meluahkan perasaan kurang senangnya.
“Tak mengapa, Pak Dollah! Selama ni Pak Dollah
dan semua yang ada di sini dah jalankan tugas masing-masing dengan baik! Saya
sangat menghargainya.”
Semakin berkerutlah wajah Pak Dollah dan Che
Enon. Tuan Syed Zikri bercakap seolah-olah memang benar dia selalu memerhatikan
mereka di Rumah Warisan ini.
Zack yang menyedarinya hanya tersenyum. “In Sha
Allah, Pak Dollah. Bila tiba masanya, saya akan memerlukan batuan Pak Dollah.
Cuma, buat masa ni saya masih belum mahu gunakan pemandu peribadi,” terang
Zack. “Kalau Pak Dollah rasa keberatan, saya tugaskan Pak Dollah membantu Che
Enon, Pak Sudin dan Pak Rahim bila mereka perlukan Pak Dollah! Macam mana?”
“Baiklah Tuan Syed!” pantas Pak Dollah menyahut
arahan itu.
“Mana Pak Sudin?” tanya Zack.
“Sudin? Tadi dia ada di laman belakang.” Pak
Dollah baru teringat dengan Pak Sudin. “Pagi tadi saya dah ingatkan dia yang
Tuan Syed nak datang. Rasaya dia lupalah tu, Tuan Syed. Maklumlah, orang tua.
Maaf ya Tuan Syed!” Ada rasa bersalah dari suaranya. “Tuan Syed tunggu kejap,
biar Pak Dollah pergi panggilkan dia.”
“Tak perlu Pak Dollah! Biarlah dia buat kerja
dia. Jangan ganggu dia,” halang Zack.
Pak
Dollah hanya menurut.
“Pak Dollah, saya nak minta bantuan Pak Dollah.”
“Tolong apa tu, Tuan Syed?”
“Kalau boleh, saya nak Pak Dollah carikan
seorang lagi sekuriti untuk Rumah Warisan.”
Pak Dollah mengangguk. “Baiklah, Tuan Syed. Saya
usahakan.”
“Tuan Syed, marilah masuk. Saya dah siapkan
kamar untuk Tuan Syed berehat.” Baharu Che Enon teringat untuk mengajak Zack ke
dalam. Sedangkan sudah terlalu lama Zack berdiri di situ.
Zack melangkah masuk ke dalam Rumah Warisan. Pak
Dollah mengambil bagasi yang dibawa Zack bersamanya dan kemudian membontoti
langkah Zack dan Che Enon.
“Kalau Tuan Syed nak bersarapan, marilah. Saya
dah siapkan sarapan untuk Tuan Syed,” ujar Che Enon yang mengiringi langkah Zack.
“Terima kasih Che Enon. Saya dah bersarapan
sebelum datang ke sini tadi,” ujar Zack. Sebenarnya, dia sudah bersedia untuk
tinggal di sini. Kerana itulah dia membawa bagasi kecil bersamanya.
Barang-barang yang lain masih ada di rumah teresnya. Sengaja dia tinggalkan di
sana. Manalah tahu, jika dia terasa mahu bermalam di rumah teresnya.
Ketika kaki Zack melangkah masuk ke ruang tamu
yang mempunya empat ruangan, langkahnya terhenti. Matanya terancap pada
gambar-gambar keluarganya yang tergantung di dinding. Dia memerhatikan setiap gambar
wajah Syed Hakim dan Syarifah Hashima, arwah ayahnya, Syed Zarkasyi dan Syed
Hussin. Sampai sahaja di depan wajah Syed Zarkasyi, Zack menghentikan
langkahnya.
Tak disangka masih ada juga potret Syed Zarkasyi
di rumah itu. Bukankah ayahnya dituduh sebagai seorang pengkhianat semata-mata hanya
kerana berkahwin dengan orang gajinya sendiri? “Macam mana gambar ni masih
tergantung di sini?” tanya Zack pada Che Enon. Seingatnya, ketika dia
berkunjung di sini dahulu, tiada satu pun gambar wajah arwah ayahandanya yang
tergantung di situ.
Che Enon mendekati Zack. “Sebenarnya, sebelum ni
memang tiada satu pun gambar Tuan Syed Zarkasyi.” Perlahan sahaja suara Che
Enon. Bimbang hati Tuan Syed tersentuh. “Tapi semenjak kami diberitahu Tuan
Syed yang akan mewarisi semua harta peninggalan Tuan Syed Hakim dan menginap di
sini, jadi kami menggantungkan semula gambar ni. Kebetulan, cuma ada satu
gambar ni saja yang masih tersimpan di stor.”
Zack menarik nafasnya. Sangkanya, Syed Hakim dan
Syed Hussin masih berbaik hati menyimpan gambar ayahnya. Tetapi dia silap!
Astaghfirullahal a’zim, Zack cuba beristighfar seketika bila merasakan api
kemarahan sedang ditiupkan syaitan padanya. Bukankah dia sudah berjanji dengan
Ilyana untuk cuba memaafkan walidnya?
“Che Enon boleh tolong saya?” tanya Zack.
Che Enon mengangguk. “Tentu saja Tuan Syed!”
“Begini,” Zack menarik nafas seketika. “Setiap
sudut rumah ni, saya lihat seperti,” Zack diam seakan berfikir. Dia tidak tahu
bagaimana mahu menggambarkan perasaannya tatkala masuk ke dalam rumah ini. “Terkurung!”
ujar Zack. Dia sendiri tidak pasti perkataan itu sesuai untuk menggambarkan perasannnya.
Yang pasti rumah ini tidak kelihatan seperti sebuah rumah yang damai melainkan
rasanya seperti sebuah rumah yang berlatarkan memori hitam!
“Terkurung?” Berkerut dahi Che Enon. Lantas dia
menoleh ke belakang memandang Pak Dollah yang masih terpaku di muka pintu. Pak
Dollah hanya menjongketkan bahunya.
“Entah,” ujar Zack sambil menggarukan keningnya
yang tidak gatal. “Saya tak tahu nak terangkan perasaan saya. Cuma, saya tak
nak rumah ni terlalu banyak menyimpan kenangan lama. Saya tak boleh hidup
dengan memori silam yang tak pernah berhenti mengganggu hidup dan ketenangan
saya.” Zack tertunduk memandang lantai. Kemudian, dia mengangkat mukanya dan
memandang Che Enon. “Saya tak bahagia di sini. Saya tak boleh tinggal di rumah yang
tidak mendatangkan ketenangan pada saya. Rumah ni bagaikan penjara buat saya.”
“Jadi, Tuan Syed mahu ubah semula rumah ni?”
tanya Che Enon.
Zack memandang Che Enon. “Ya! Saya mahukan rumah
ni kelihatan seperti sebuah rumah yang baru! Bukan penjara, bukan kurungan!
Saya mahu merasakan ketenangan dan kedamaian sebaik saja saya melangkah masuk
ke dalam rumah ni.” Zack menghembuskan nafasnya. Bagaimana dia mahu tinggal di
sini jika hatinya terhimpit begini? Dapatkan Che Enon dan Pak Dollah
memahaminya? “Tak mengapalah, kita ke setiap bilik dulu! Saya nak tengok bilik
yang ada. Bilik mana yang paling sesuai untuk saya?”
“Bilik utama di tingkat paling atas. Saya dah
siapkan bilik itu untuk Tuan Syed,” ujar Che Enon. “Mari!”
Mereka bergerak menuju ke tingkat empat
banglo itu di mana letaknya kamar utama milik setiap pewaris.
Sampai sahaja di depan ruangan kamar utama, Che
Enon membukakan pintu. Zack melangkah ke dalam. Dia memerhatikan seluruh kamar
besar itu. Boleh dikatakan keluasan kamar utama itu sahaja menyamai luas
kawasan teres dua tingkat miliknya.
Di dalam kamar itu juga terdapat banyak
gambar-gambar Syed Hussin yang masih tergantung. Bukan itu sahaja, banyak juga
kepala patung yang dijadikan hiasan. Jiwa Zack menjadi resah. Dia tida tenang
berada di dalam kamar ini. Bagaimana kamar ini boleh menjadi tempat peraduannya
dan tempat istirehatnya?
“Saya tak suka setiap apa yang ada di rumah ni!”
Dia beralih memandang Che Enon dan Pak Dollah. “Saya nak Che Enon keluarkan semua
yang tak patut berada dalam rumah ni! Pak Dollah tolong bantu, ya!”
“Baik Tuan Syed!” Laju sahaja Pak Dollah
mengangguk. Jelas sekali dari raut wajah yang Tuan Syed Zikri pancarkan, lelaki
itu memang tidak suka dengan apa yang ada di dalam rumah ini.
“Kita mulakan dengan bilik utama dulu. Saya nak
Che Enon keluarkan semua gambar-gambar ni. Saya mahukan kehidupan peribadi
dalam bilik saya. Che Enon hiaskan kamar saya dengan sesuatu, ” Zack masih
berfikir. Tatkala ini fikirannya buntu. Rumah ini memang menyesakkan
fikirannya. “Apa sajalah yang boleh mendamaikan. Kalau boleh, lepas balik kerja
saja saya nak masuk ke dalam bilik ni dengan jiwa yang tenang. Jadi, Che Enon
tolong larikan semua yang bersangkut paut dengan kerja dalam bilik saya.
Apa-apa saja yang ada kaitan dengan urusan kerja, semuanya masukkan ke dalam
pejabat di bawah!”
“Tapi, Che Enon tak pandai,” ujar Che Enon
dengan perlahan.
Zack memicit dahinya. “Begini, saya bukan nak renovate rumah ni. Tapi saya nak rumah
ni menjadi Rumah Warisan yang baru. Saya tak nak ada kisah silam dalam rumah
ni.” Zack memandang wajah Che Enon dan Pak Dollah yang kelihatan masih kurang
jelas dengan kehendaknya.
“Baiklah
Tuan Syed!” Che Enon mengangguk namun dalam hatinya sudah pusing memikirkan
cara untuk menghiaskan kamar ini seperti yang dimahukan Tuan Syed.
Zack memandang Che Enon dan Pak Dollah. “Saya
tangguhkan niat saya untuk tinggal di sini dulu. In Sha Allah, bila rumah ini
bawa ketenangan pada saya, saya akan tinggal di sini.”
BORANG ditangannya di baca sambil menyandarkan diri di birai katil
bujangnya. Berkerut kening Audra membaca tawaran ditangannya. Menarik memang
menarik, tapi dia masih keberatan untuk mencuba walaupun dia mendapat sokongan
yang padu dari Encik Hashim.
Ketika di kolej petang tadi, Encik Hisyam
memanggil sepuluh orang pelajar akaun terbaik. Zana dan dia juga termasuk dalam
senarai sepuluh pelajar terbaik dalam jurusan perakaunan. Kemudian dia memberi
sedikit penerangan berkenaan tawaran ini. Kesepuluh mereka adalah pelajar akaun
terpilih untuk datang ke temuduga jawatan kosong di Warisan Syed.
“Macam mana Audra? Kau nak cuba?” tanya Zana
yang baru muncul. Zana duduk di katilnya. Dia juga menerima tawaran yang sama.
Tawaran untuk datang temuduga di Warisan Syed sebagai penolong akauntan.
“Nantilah aku fikir dulu,” ujar Audra dengan
berat hati.
“Ni peluang baik!” Ada sinar di wajah Zana. Dia
mengharapkan persetujuan dari Audra. Dia sudah bertekad untuk menerima tawaran
ini dan menghantar semula borang kepada Encik Hashim esok hari.
Audra memandang Zana sekilas. “Memanglah peluang
baik, tapi aku tak nak tinggal di Penang lepas habis belajar! Kan aku pernah
beritahu kau dulu!” Dia mahu pulang ke kampung dan mencari pekerjaan di sana.
“Aku ingat!” Memang Audra pernah memberitahunya
tentang itu. Zana sudah bangun dan duduk di sisi Audra yang masih berbaring.
“Rugi kalau kau tolak mentah-mentah macam tu! Bukan senang peluang macam ni nak
datang!”
“Tapi aku dah rancang nak balik dan kerja di kampung.”
Zana mengetap bibir. “Apa kata, kita pergi je interview
ni. Lepas tu kalau kau diterima tapi kau masih tetap dengan pendirian kau, kau
tolaklah kerja ni,” usul Zana. “Sekurang-kurangnya kau dah mencuba. Dapat juga
pengalaman.”
Audra mencebik. “Kalau macam tu baik tak
payah pergi. Boleh jugak bagi orang lain peluang ni!” Kenapalah dia perlu
bersusah payah bersedia dengan temuduga sedangkan dia memang tak mahu bekerja
di syarikat itu! Lebih baik diserahkan sahaja tawaran itu untuk pelajar yang
lain!
“Janganlah macam ni Audra! Bukan senang peluang
macam ni nak datang bergolek pada kita!” Zana sudah menarik nafas panjang. Dia
merasa sangat rugi jika Audra menolak peluang ini.
“Rezeki Allah luas. Kat mana saja ada rezeki
kalau kita berusaha,” balas Audra.
“Betul. Tapi kalau kita tolak terus peluang ni,
maknanya tolak rezeki!”
“Tapi,”
“Macam ni, apakata kau telefon mak kau kat
kampung. Tanya pendapat dia. Mana tahu kalau dia setuju kau kerja kat sini
lepas habis belajar nanti.”
Audra bangun lalu duduk seperti Zana.
“Masalahnya, abah dan mak aku tak kisah. Tapi, kalau boleh aku nak kerja kat
sana. Aku tak nak tinggal jauh dengan famili aku lagi. Cukuplah sekadar untuk
belajar saja.”
Zana duduk memeluk lututnya. “Hmm, aku ingat
lepas belajar nak cari kerja kat sini jugak. Mak dengan bapa aku pun dah
setuju.” Zana memandang Audra. “Kau nak tinggalkan aku ke?” sugul sahaja
wajah Zana memohon simpati. Sejak dari kecil mereka bersama, tentu terasa sedih
jika mereka perlu berpisah.
“Kalau kau tak nak aku tinggalkan kau, kita
sama-sama balik kampunglah!’ usul Audra pula.
“Nampaknya terpaksalah aku sendiri kat sini.
Kena cari kawan lain.” Ada nada rajuk dari suaranya. Bukan senang nak cari
kawan seperti Audra walaupun kadang-kadang kawannya ni mereng kerana suka
berangan. Tapi itulah yang membuatkan Audra istimewa walaupun adakalanya
perangainya yang satu ini menyakitkan hati.
“Engkau ni kan!” Audra sudah mencebikkan
bibirnya. “Kalau dah tak de siapa nak temankan kau, kita cari kerja kat sana
sudahlah!”
“Tapi aku suka di sini! Sini banyak peluang
pekerjaan. Banyak pengalaman yang boleh kita timba. Kat sana pun, kita tinggal
di kampung. Jauh dari bandar. Kalau nak kerja di pejabat, terpaksalah kita
menyewa di bandar jugak. Sama saja bagi aku. Lebih baik tinggal di sini.
Peluang pun dah ada depan mata. Tak salah mencuba. Kalau ada rezeki, adalah.
Kalau tak de,” Zana menjongketkan bahunya.
Wajah sugul Zana dipandang Audra dengan
senyuman. “Jangan-jangan, kau tak nak tinggalkan Zaid tak?” usik Audra. Sejak
Zaid pulang semula ke kolej sebulan yang lepas setelah menjalani hukuman,
hubungan mereka berdua bertambah erat. Setiap kali dia mengusik Zana, pasti
Zana mengatakan yang hubungan mereka sekadar teman biasa. Dia tahu tentang itu
dan dia sedikit pun tidak berprasangka buruk tentang hubungan mereka.
“Ish! Mana ada!” Pantas sahaja Zana menafikan.
Sungguh! Zaid bukanlah persoalannya. “Jodoh itu datang dari Allah! Kalau
ditakdirkan Zaid adalah jodoh aku, kat mana pun aku ada, sejauh mana pun kami
terpisah, kami tetap akan bersatu!” suara Zana dengan yakin.
Audra tersenyum. Bangga dia punya teman seperti
Zana. “Betul kata kau Zana!” sokongnya. “Zaid tahu tentang ni?”
Zana menganggukkan kepalanya.
“Apa kata Zaid?”
“Dia pun sokong kalau kita nak pergi temuduga tu!”
“Hmmm,” Audra berfikir sejenak. “Tentulah Zaid sokong kalau kau ada kat sini!
Dekat dengan dia.”
“Bukan macam tulah!” Zana menafikan pendapat Audra. “Dia sikit pun tak kisah
kalau berjauhan dengan aku. Aku pun macam tu!” Zana menjeling. “Kalau disebabkan
tak nak berenggang, Zaid pun boleh pelawa aku kerja di syarikat ayahnya, kan?”
Audra mengangguk. Betul juga. Ayah Zaid punya
syarikat sendiri. Kalau benar Zaid dan Zana takut berjauhan, tentu sahaja Zaid
akan memujuk ayahnya mengambil Zana bekerja dengan mereka. “Tak apakah kalau
bercinta jarak jauh ni? Kesetiaan boleh bergoyang!” Audra cuba menilai hati
Zana.
Zana hanya tersenyum. “Aku dan Zaid tak bercintalah!” Zana membetulkan kenyataan Audra. “Tapi, aku
rasa aku dah mula seriuslah dengan dia. Dia pun, nampak serius dengan hubungan
kami.”
Audra tersenyum.
“Sabar jelah. Peperiksaan yang terakhir pun dah tak lama lagi. Lepas exam nanti, kalau korang nak kahwin pun,
kahwin jelah.”
Zana sudah
tersenyum malu. Walaupun dia dan Zaid tak pernah mengikat apa-apa janji, namun
mereka berdua sudah terlalu akrab. Sampaikan ada sesetengan dari pelajar lain
menganggap hubungan mereka lebih dari seorang kawan. Zaid juga selalu mengambil
berat tentang dirinya.
“So, macam mana?” tanya Zana membangkitkan persoalan itu lagi. “Nak
pergi tak?”
Sekali lagi Audra menarik nafas panjang apabila
soalan itu berbangkit lagi. Ada benarnya juga kata Zana. Kalau pulang ke
kampung pun, tiada peluang pekerjaan di sana melainkan mereka perlu juga
berhijrah ke bandar. Jadi, lebih baik mereka mencuba rezeki yang sudah ada
depan mata.
“Macam nilah,” Audra mengalih tubuhnya menghadap
Zana. “Apa untungnya kita yang beragama Islam ni? Sebab kita ada Allah! Jadi
apa kata, kita sama-sama minta pertolongan dari Allah untuk menentukan masa
depan kita!”
“Hah! Betul jugak!”
Bersinar wajah Zana memandang Audra. Benar kata Audra. “Isytiqarah!” Mereka
berdua tersenyum dan menganggukkan kepala.
No comments:
Post a Comment