Friday 8 June 2012

Cinta Tak Bersuara 2

 
 
 
 
 
 

 
 
 
'SHAH MIZAN BAKHTIAR'




Medina berhenti di depan pintu yang tertera nama itu. Nama yang mengundang gulana bagi setiap pekerja yang perlu menemuinya. Bukan kerana kesombongan atau sikap garang bos muda itu, namun kerana sikapnya yang penuh dengan toleransi dan karismanya sebagai seorang bos membuatkan para pekerja sangat menghormatinya. Jarang sekali Encik Shah memanggil pekerja bawahannya melainkan jika ada urusan penting. Mungkinkah dia telah melakukan kesilapan? Dada Medina bergetar kencang.

Dengan satu tarikan nafas yang panjang, Medina menghembuskan nafasnya semula dengan perlahan bersama kekuatan yang cuba di kumpulkan.

Ketukan bertalu di muka pintu bos muda itu.

"Masuk!"

Dengan lafaz Bismillah, Medina memulas tombol pintu dan menolak daunnya. Kakinya melangkah ke dalam. "Assalamualaikum Encik Shah," Dia menyapa bos muda yang masih sibuk menetap skrin laptopnya.

"Waalaikummussalam," salam dijawab bersama satu pandangan yang sudah beralih pada gadis di depannya. Shah membetulkan duduknya. "Ya, Medina. Silakan duduk."

Medina melaksanakan perintah itu. Kini, dia bertentangan dengan bos muda yang sentiasa mendapat perhatian di pejabat. "Ada yang saya boleh saya bantu?" tanya Medina. Selama tiga tahun dia bekerja di syarikat ini, belum pernah lagi di dipanggil secara peribadi begitu oleh Encik Shah.

"Tentang penyata perbelanjaan bulanan,” ujarnya. “Saya nak tahu, siapa yang kemaskinikan semua laporan kewangan bagi setiap tahun?"

"Kalau laporan tahunan, bahagian induk yang uruskan. Tapi kalau perbelanjaan bulanan, penyata kewangan dibuat bahagian masing-masing. Itu pun mengikut peruntukan yang telah diluluskan," ujar Medina sebagai ketua kewangan di salah satu bahagian syarikat itu.

"Kita ada apa-apa masalah dengan bahagian induk? Banyak permintaan kewangan kita tak diluluskan." Encik Shah menyerahkan helaian penyata laporan yang telah dikembalikan oleh bahagian induk.

Medina mencapai helaian itu dan melihatnya. Kerutan mula kelihatan di dahinya. Memang tak masuk akal! Mengapa bahagian induk menolak hampir semua permohonan mereka? Sedangkan, permintaan mereka mengikut prosedur dan peruntukan yang telah disediakan dari bajet tahunan.

"Saya akan cuba selidik perkara ni, Encik Shah!" dengan sedikit rasa bersalah Medina bersuara.

"Hmmm...baiklah. Cuba selesaikan ya secepat mungkin. Kalau tidak susah kita. Kalau semua perbelanjaan ditolak, macam mana kita nak buat kerja?" Encik Shah seakan merungut. "Tak apalah Medina. Kamu cuba selesaikan. Kalau ada apa-apa masalah, datang jumpa saya!"

"Baik, Encik Shah."



@@@@@@@@@@@



Bunyi beeb itu kedengaran lagi. Dahi Medina yang sedang berkerut membaca balasan email dari bahagian induk berubah serta merta. Kerutan di dahi itu bertukar dengan satu senyuman terukir di wajahnya.




SMB :      Assalamualaikum....sahabat


Medina :  Waalaikummussalam..... Tak keluar lunch?

SMB :     Tak, tapi saya dah makan tadi. Awak?


Medina :  Kalau saya balas pesanan awak, tentu saja saya tak keluar makan. Kan?

SMB :      :)


                Maaf. Salah tanya soalan.

Medina :   :)


                Saya gurau je....


                Soalan awak tu langsung tak salah….


SMB :      Kenapa tak keluar lunch? Banyak kerja?


Medina :  Ada masalah sikit. Saya perlu selesaikan ni segera.

SMB :     oh...maaf...


               Saya dah mengganggu awak


Medina :  Tak mengapa....awak tak mengganggu....

SMB :      Mungkin awak patut selesaikan urusan awak dulu.


                Insyaallah....kita berbual di masa yang lain ya....

Medina :  Terima kasih kerana memahami

SMB :     Tak mengapa....kerja itu satu ibadah. Assalamualaikum

Medina :  Waalaikummussalam.



Medina yang sedang ralit dengan laporan kewangan yang disediakannya terus tak menyedari masa terus berlalu. Rupa-rupanya, banyak penyata laporan ditolak kerana kesilapan dalam mengisikan angka dan titiknya, yang menyebabkan banyak amaun yang tak sepatutnya tertulis sebagai perbelanjaan.

Dia sendiri tidak pasti siapa yang menyediakan penyata dan laporan perbelanjaan ini. Semenjak dua dua minggu lalu dia memang sibuk dengan urusan peribadinya. Pernikahan antara Alia dan Ary baru sahaja berlangsung. Dia pun baru sahaja pulang dari bercuti. Jadi, dia sendiri pun tidak tahu siapa yang mengambil alih tugasnya.

"Medina," tegur satu suara.

Pantas Medina mengangkat kepalanya. "Encik Shah!" Terus Medina terbangun dari duduknya.

"Kamu tak keluar makan?" tanya Encik Shah.

"Saya nak selesaikan penyata ni dulu. Kejap lagi saya keluar makan," beritahu Medina. "Encik Shah tak keluar makan?" tanya Medina kembali. Kalau tak silap, sedari tadi ketika semua lampu dimatikan kerana waktu makan tengah hari, lampu di pejabat Encik Shah masih terang benderang.

Encik Shah menarik nafas panjang. "Saya puasa,” balas Encik Shah. “Lepas siapkan penyata kewangan, jangan lupa makan. Nanti masuk angin. Diri kita ni, amanah dari Allah. Kena jaga baik-baik. Jangan berlaku zalim pada diri sendiri." Seraya dengan nasihat itu Encik Shah berlalu pergi.

Medina yang seakan terpegun hanya kaku di situ sambil matanya menyoroti langkah Encik Shah yang sudah hilang memasuki lorong menuju ke surau. Barangkali, Encik Shah mahu menunaikan solat Zohor.

Satu senyuman bersama helaian nafas yang tenang dilepaskan Medina. Terus terang dia katakan, masihat itu menusuk ke tangkai hatinya. Selama ni, Encik Shah jarang sekali berbual dengan para pekerjanya kecuali jika ada urusan pekerjaan. Tetapi Encik Shah bukan seorang pekerja yang sombong. Setiap masa, wajahnya berseri dengan senyuman.

Mengingatkan itu, senyuman di bibir Medina juga terukir.



@@@@@@@@@@



Usai menunaikan solat Isyak, Medina berbaring di atas katil sambil menjadikan laptopnya sebagai peneman. Melodi yang dihantar SMB dimainkan. Setiap malam, sebelum dia tidur, pasti dia akan mendengar melodi itu. Iramanya sungguh syahdu.

Mendengar melodi itu, Medina terus membuka YM.



Medina :  Assalamualaikum.....Awak ada di sana?


               Saya menganggu?



Agak lama juga Medina menunggu, namun masih tiada balasan dari SMB. Mungkin sahabat mayanya itu masih sibuk dengan urusannya. Lalu, Medina keluar dari kamarnya dan terus ke dapur untuk membancuh secawan milo.

Ketika melintasi ruang tamu, kelihatan mak sedang membaca buku. Memang Itulah kegemaran mak sedari dulu. Walaupun usianya sudah lanjut, mak suka sekali membaca dan menambahkan pengetahuan. Kata mak, ilmu itu takkan pernah cukup sehingga kita menghembus nafas yang terakhir. Mak memang benar, kerana Itulah kita tidak boleh memandang rendah pada orang lain dan menganggap diri kita pandai. Sedangkan, ilmu itu hanya milik Allah. Apa yang kita perolehi hanya sedikit. Semakin banyak ilmu yang kita cari, barulah kita akan menyedari semakin banyak yang kita tidak ketahui.

Ayah pula, tentu masih di kamar. Kedengaran suara ayah sedang melagukan bait-bait kalimah suci. Itulah rutin setiap malamnya. Sejak abah pencen dan duduk di rumah, masa abah banyak di habiskan di masjid. Jika ayah ada di rumah, ayah menghabiskan masanya dengan membaca Al-Quran.

Medina tersenyum. Dia ingin sekali punya seorang suami yang akan menjadi imamnya seperti ayah yang tidak pernah lupa pada Maha Pencipta.

Medina melangkah menuju ke kamarnya. Dia tidak mahu mengganggu mak dan ayah yang sedang mencari urusan akhirat.

Setelah meletakkan cawan milonya di tepi, Medina kembali mencapai laptopnya. Dia tersenyum. Pesanan ya sudah dibalas oleh SMB.



SMB :      Waalaikummussalam...


                Maaf, lambat relpy massage awak.

Medina :  Tak mengapa….Saya menganggu?

SMB :      Oh tidak!


                Persahabatan takkan pernah mengganggu…


Medina :  Alhamdulilah….


                Untung saya punya sahabat seperti awak..

SMB :      Terima kasih…saya juga beruntung kerana bersahabat dengan awak.

                Boleh tanya sesuatu?

Medina :  Boleh…

SMB :      Janji jangan marah…

Medina :  Maaf tak dapat nak janji…


                Bergantung pada soalan..

SMB :      Awak bahagia?

Medina :  Terlalu umum….


                Bahagia macam mana yang awak tanya?


                Kalau tentang kehidupan…..ya, saya sangat bahagia

SMB :      Tentang cinta?

Medina :  Cinta tak bersuara itu?


                Saya telah melepaskannya pergi…

               Insya-Allah, saya lebih bahagia sekarang..

SMB :     Alhamdulillah….Syukur pada Allah..


               Awak akan temui cnta yang awak lepaskan itu semula


               Insya-Allah….

Medina :  Aamiin…


               Saya juga doakan agar cinta tak bersuara awak itu akan terluah juga


SMB :     Amiin…


               Insya-Allah…..saya sedang mencari masa yang sesuai untuk meluahkannya.



Medina membaca pesanan yang terakhir itu berulang kali. SMB telah bersedia untuk meluahkannya? Bukankah kata SMB sebelum ini, kata-kata cinta itu hanya akan diluahkan buat seseorang yang sah ikatannya?



Medina :  Awak akan berkahwin?

SMB :     hahaha….

               Bijak awak meneka…

Medina :  Alhamdulillah….saya tumpang gembira


               Tiada apa yang menggembirakan saya melainkan berita ini…


SMB :     Ya….tapi masih ada satu masalah

Medina :  Masalah?

SMB :     Saya akan meluahkannya


               Tapi saya tak pasti dia akan menerimanya




Medina terdiam seketika apabila membaca pesanan itu. Ya, bukankah SMB menyatakan cintanya adalah cinta tak bersuara. Jadi, pastinya si gadis tidak tahu perasaan SMB.



Medina :  Insya-Allah…


                Moga-moga Allah menetapkan jodoh awak adalah dengan si dia..

SMB :     Aamiin…


               Awak perasan tentang sesuatu tak?


Medina :  Apa? Tak faham..

SMB :     Sebelum ni, awak banyak bercerita kisah awak dan si dia


               Sekarang, saya bercerita tentang saya dan si dia (pada cinta yang tak bersuara)


Medina :  hahaha….


                Dulu masa saya, sekarang masa awak pulak…


SMB :      Mungkinkah ada kisah ‘kita’?

Medina :  Kisah kita hanya si sini, kan sahabat?

SMB :      Betul sahabat….

               Tapi kisah kita akan berakhir juga…

Medina :  Kenapa? ;(

SMB :     Awak marah?

               Itu adalah kenyataan…

               Kisah persahabatan kita takkan berpanjangan


               Tak mengapa, awak akan faham maksud saya nanti….

Medina :  Tak mengapalah….


                Tapi saya berharap kita akan terus bersahabat

SMB :      Insya-Allah……



@@@@@@@@@@@@@@@



“Medina,” satu suara menegur.

Pantas Medina berdiri tatkala melihat tubuh Encik Shah sudah tegak di hadapannya. Buku yang baru dibelinya ditutup dan diletakkan di atas meja.

“Encik Shah!” Medina kelihatan terkejut melihat Encik Shah berdiri di depannya. Macam mana Encik Shah boleh ada di sini?

“Awak buat apa dekat sini?” tanya Encik Shah.

Soalan yang mahu ditanyakan pada Encik Shah, ditanya kembali oleh lelaki itu padanya. “Encik Shah dah curi soalan saya!”

Encik Shah terus ketawa apabila Medina berkata begitu. Medina hanya tersenyum. Selama ini Encik Shah memang suka tersenyum. Tetapi di depannya kini, Encik Shah sedang ketawa. Satu pemandangan yang asing buatnya.

“Boleh saya join?” tanya Encik Shah setelah tawanya reda.

Medina memerhati sekeliling. Bukan dia tidak sudi untuk menjemput Encik Shah duduk di sampingnya. Namun, berada di café ini bersama dengan Encik Shah, mungkin akan menimbulkan fitnah jika ada orang dikenali melihat mereka. Tambahan lagi, kompleks ini memang ramai pengunjungnya pada hujung minggu begini.

“Tak mengapalah Medina. Tentu awak tak selesakan?” Terlukis garis-garis keberatan pada wajah gadis itu dengan permintaannya. “Tapi, awak datang sini berteman, kan?”

Medina mengetap bibir lalu menggeleng.

“Awak bersendiri datang ke shopping mall ni?” Encik Shah menggeleng. “Memang tak salah. Tapi, next time, lebih baik berteman. Seorang gadis, tak sepatutnya keluar dari rumah bersendirian. Manalah tahu jika ada bahaya mendatang. Tambah-tambah dengan situasi dan keadaan kita sekarang ni. Kadang-kadang di rumah sendiri pun tak selamat.”

Medina terdiam. Kata-kata Encik Shah ada benarnya. Medina menggenggam buku yang baru dibelinya.

“Awak baru beli buku?” tanya Encik Shah sambil matanya terancap pada buku yang dipegang Medina.

“Ya.” Ringkas sahaja jawapan Medina.

“Buku apa?”

“Perjalanan hidup Fatimah Az-Zahra,” Medina menunjukkan kulit buku itu pada Encik Shah.

Encik Shah hanya tersenyum. “Waktu masih awal lagi,” ujar Encik Shah seraya melihat jam ditangannya. “Jangan terlalu lewat di sini,” nasihat Encik Shah lagi. “Tak mengapalah Medina. Saya nak ke kedai buku kejap.”

“Encik Shah pun suka membaca?” tiba-tiba sahaja soalan itu terpancul dari bibirnya.

“Ya!” Senyuman Encik Shah semakin lebar. “Mungkin suatu hari nanti kita boleh bertukar buku untuk lebih menimba ilmu.”

Medina tersenyum. “Insya-Allah…”

“Baiklah Medina. Saya pergi dulu. Jumpa esok di pejabat. Saya nak lihat awak dalam keadaan selamat!”



@@@@@@@@@@@@@@@@@



“Assalamualaikum…..”

“Waalaikummussalam…” Kali ini Medina pantas berdiri apabila mendengar suara itu. Sejak beberapa detik lalu, apabila dia seringkali berbual dengan Encik Shah, dia sudah mengenal suara itu biarpun dia tidak melihat gerangannya.

“Alhamdulillah…..kita berjumpa pagi ni. Dan awak dalam keadaan selamat!” usik Encik Shah sehingga membuatkan Medina tersenyum malu.

“Alhamdulillah….” Ujar Medina.

“Ini, saya bawakan sesuatu untuk awak.” Encik Shah membuka begnya lalu menyerahkan sebuah buku untuk Medina. “saya pasti awak tentu suka!” Dia melihat Medina memegang buku berkisarkan agama islam iaitu perjalanan Az-Zahra. Dan itu membuatkan dia yakin, Medina punya kehendak untuk mencari sesuatu dalam hidupnya.

Medina mencapainya dan membaca tajuk di kulit hadapan. “Armada Laut Umawiyyah-penaklukan yang membelah api Greek.” Medina terus membelek buku hasil penulisan Sahrulazmi Sidek dengan kata pengantar dari pengarang yang terkenal iaitu Muhammad Alexander.

“Membaca buku-buku sejarah membuatkan kita lebih mengenali diri, agama dan kebenaran hidup,” ujar Encik Shah. “Adakalanya kita mengaku yang kita ini makhluk Allah yang beragama Islam. Tetapi kadangkala kita tak sedar, Islam kita itu hanya pada nama.”

Medina hanya tertunduk. Kata-kata Encik Shah ada benarnya. “Semoga Allah sentiasa membuka hati kia untuk menuju kepadanya.” Usai Encik Shah berkata begitu, dia berlalu pergi.

“Aamiin…” Medina mengaminkan doa Encik Shah dengan perlahan.



Medina membuka YM.



Medina :  Assalamualaikum…


                Pagi ini saya rasa gembira sangat…



Medina menghantar pesanan itu. Dia tidak menjangka SMB akan membalasnya. Mungkin SMB masih dalam perjalanan ke tempat kerja atau mungkin lelaki itu sedang bersarapan. Namun, jangkaannya silap apabila SMB membalas pesanannya.

SMB :     Alhamdulillah….saya tumpang senang


                Mahu berkongsi kegembiraan?

Medina :  Saya gembira kerana saya berjumpa dengan orang seperti saya

SMB :      Kurang jelas….

Medina :  Sebenarnya, saya suka membaca.

               Saya paling suka membaca buku-buku sejarah dan buku-buku ilmu.


               Semalam, saya bertemu dengan orang yang juga minat untuk membaca.


               Pagi ini, saya bertemu dengan orang yang suka membaca buku-buku ilmu dan sejarah.

               Dan orang itu juga telah meminjamkan saya bukunya.

SMB :     Orang semalam dan orang pagi ini adakah orang yang sama?

Medina :  Ya…..

SMB :      Maknanya, awak akan punya sahabat selain saya…


Medina :  Awak berkecil hati?


SMB :     Oh….tidak!!

               Kata orang, berkawan biar beribu…


               Baguslah, kalau awak dah jumpa seseorang yang boleh berkongsi minat yang sama.

               Apatah lagi berkongsi ilmu. Allah telah mengurniakan kebaikan untuk awak.

Medina :  Alhamdulillah….



@@@@@@@@@@@@@



Dua bulan kemudian….



Dengan debaran di dada, Medina melangkah masuk ke dalam pejabat. Apa yang berlaku petang kelmarin, sangat mengejutkan.

Sejak pertunangannya dengan Ary terputus, dia sudah malas mahu memikirkan tentang perihal seorang lelaki. Lalu, dia mengambil keputusan untuk menyerahkan semuanya pada takdir. Malah, dia langsung tak pernah memikirkan soal jodoh lagi. Semuanya telah diserahkan bulat-bulat pada ayah dan mak.

Siapa sangka, akhirnya datang sebuah keluarga dengan tujuan untuk merisiknya. Ayah dan mak telah bersetuju dengan permintaan mereka. Tapi apa yang lebih mengejutkan, sekeping gambar yang berada di tangannya.

Dia telah melihat gambar itu. Benar, tak pernah terlintas langsung di fikirannya lelaki di dalam foto itu akan menghantar keluarganya. Atau mungkin, lelaki itu tidak tahu tentang dia dan ini hanya perbincangan antara dua buah keluarga. Dia perlu bersemuka dengan lelaki itu.

“Medina!” Tiba-tiba, Nuryn, teman sepejabatnya menegur. “Encik Shah panggil.”

Medina menarik nafas panjang. “Terima kasih Nuryn.” Medina berjalan menuju ke pejabat Encik Shah. Setelah mengetuk pintu, dan dia dibenarkan masuk.

“Assalamualaikum, Encik Shah,” sapa Medina.

“Waalaikummussalam….” Balasnya. Encik Shah menyerahkan sebuah fail pada Medina. “Terima kasih Medina. Atas bantuan awak, kita telah diberi kelonggaran dalam menyediakan penyata perbelanjaan. Mungkin, peti cash kita juga akan ditambah.” Encik Shah tersenyum.

Berita gembira itu juga membuatkan Medina tersenyum. Namun, senyumannya mati bila teringatkan tentang foro ditangannya.

“Encik Shah, boleh kita bincang sesuatu?” tanya Medina.

Encik Shah memandang Medina agak lama. “Ya, silakan.” Akhirnya, dia bersuara.

Medina menyerahkan sampul coklat ditangannya.

Encik Shah mencapai namun isi di dalamnya tidak dilihat kerana dia sedia tahu apa kandungannya.

“Awak menolak Medina?”

“Tidak! Cuma saya mahu tahu sama ada ini keputusan keluarga Encik Shah atau memang kehendak Encik Shah?” tanya Medina.

“Kedua-duanya. Insya-Allah, kalau ada masa saya akan terangkan nanti, ya?”

Medina mengangguk. Jawapan Encik Shah itu sudah memadai. Dia hanya mahu tahu siapa yang mahukan hubungan ini. Dia khuatir, jika Encik Shah tidak mengetahui apa-apa. Apatah lagi, di pejabat, Encik Shah tak pernah menunjukkan reaksi yang berlebihan terhadapnya. Malah, lelaki itu tidak pernah memberitahu tentang keputusannya yang mahu menghantar keluarganya berjumpa dengan keluarga Medina.

“Baiklah, Encik Shah…” Medina memusing badannya untuk pergi.

“Medina….” Panggil Encik Shah semula. “Adakala ucapan cinta itu tidak bermakna apa-apa. Mungkin hanya dengan satu persetujuan, semuanya akan tersingkap.” Encik Shah diam seketika. “Saya tidak memaksa dan saya tidak mendesak. Saya mengikut segala keputusan awak.



@@@@@@@@@@



SMB :      Bagaimana?


                Sudah mendapatkan penjelasan?


Medina :   Sudah….


                Itu kemahuannya sendiri…..


                Dan keluarganya juga bersetuju.

SMB :      Jadi?

Medina:   Saya masih memikirkan….

SMB :     Bukankah dia adalah orang yang berkongsi minat dan berkongsi ilmunya dengan awak?


Medina :  Ya….


               Mungkin saya perlukan masa yang lebih untuk memutuskannya.

SMB :     Kenapa?


               Apa yang membuatkan awak tak dapat membuat keputusan?


Medina :  Dia adalah bos saya dan saya pekerjanya


               Lagipun, saya menganggapnya hanya sebagai seorang bos

SMB :     Kerana dia bos sebab itu awak menganggapnya sebagai bos


               Jika dia sudah menjadi suami, awak akan menganggap dia sebagai suami.


               Itu saya pasti!

Medina :  Mungkin


SMB :      Sebagai seorang pekerja dan kawan, apa pandangan awak padanya?


Medina :  Dia seorang lelaki yang baik


               Sentiasa menghormati pekerja-pekerjanya dan penuh dengan sikap toleransi

SMB :     Mungkin awak patut mengenali keluarganya baru awak akan dapat gambarkan dirinya

               yang sebenar.

Medina :  Awak benar!


               Mengenali keluarganya lebih mudah untuk mengenali dirinya yang sebenar





@@@@@@@@@@@@@



Saranan yang diberikan SMB diambil Medina. SMB benar, bagaimana seseorang itu dibesarkan, di mana dirinya dikelilingi, dan bagaimana cara kekeluargaan yang diamalkan pasti mempengaruhi tindakan seseorang itu.

Jika dia hanya cuba untuk mengenali Encik Shah, Encik Shah mungkin akan menyembunyikan seberapa banyak kelemahan dan keburukan dirinya. Namun, mengenali keluarga Encik Shah, akan membuatkan dia lebih yakin dengan cara hidup lelaki itu.

Setelah beberapa lama, dia mengenali dengan keluarga Encik Shah, akhirnya Medina bersetuju dengan keputusan kedua orang tuanya yang mahukan hubungan itu berjalan seperti persetujuan mereka sebelum ini.

Dan keputusan itu telah dikhabarkan kepada SMB.



SMB :     Alhamdulillah…


               Sayalah orang yang paling gembira dengan keputusan awak.

Medina :  Ya awak benar….


                Mengenali keluarganya membuatkan saya mula dekat padanya….


SMB :      Biar apa pun keputusan awak, jangan lupa berdoa agar pilihan awak adalah benar…


               Semoga kebahagiaan akan terus mengiringi hidup awak Medina.

Medina :  Terima kasih…


                Bagaimana dengan cinta tak bersuara awak?

SMB :      Dalam proses….

Medina :  Awak dah buat saya ketawa…..

               Dalam proses apa tu?

SMB :     Tentu awak banyak ketawa sekarangkan?


               Itu tandanya awak bahagia…

Medina :  Awak tak jawab soalan saya….

SMB :      hahaha…..

Medina:    hey…..kenapa awak ketawa pulak?

SMB :      Sebab saya tak tahu nak jawab apa….


                Let say, saya masih dalam proses untuk meluahkan padanya.

Medina :  jadi, belum diluahkan?

SMB :     Kan saya beritahu, ungkapan cinta itu akan diluahkan sekiranya ada hubungan yang suci


Medina :  Jadi, bagaimana caranya awak nak mendapatkan dia sekiranya awak hanya luahkan

               bila dia sudah menjadi isteri awak?

SMB :     Awak akan tahu Medina…..

Medina :  Macam mana saya akan tahu sedangkan apa yang awak alami tak sama dengan saya?

SMB :      Sabarlah….

                Awak akan tahu bagaimana cara yang saya gunakan tanpa bersuara padanya

Medina :  Baiklah saya akan menunggu….





@@@@@@@@@@@@@



Tiga bulan kemudian….


Syukur Alhamdulillah….Akhirnya, perancangan kedua buah keluarga untuk mengeratkan silarurrahim berjalan dengan lancar sekali. Kini, Medina bergelar isteri buat Encik Shah. Sudah dua minggu mereka bergelar suami isteri. Mereka baharu sahaja pulang dari berbulan madu di Bandung.

Sejak bernikah, Medina telah tinggal bersama Encik Shah. Pagi ini, mereka keluar dari rumah dan akan pulang bersama-sama.

Bahagia, itulah yang dirasakan Medina sejak menjadi isteri buat Encik Shah.

Pagi ini, setelah dia melangkah masuk ke dalam pejabat, Medina terus menerima pesanan dari SMB. Sesungguhnya, dia tidak pernah merahsiakan tentang persahabatannya dengan SMB. Dan nampaknya, Encik Shah langsung tidak cemburu dengan hubungan itu.



SMB :        Buat sahabat maya yang sentiasa menjaga batasan dan pertuturannya

                  Mungkin ini adalah pesanan terakhir dari seorang sahabat.

                  Simpanlah melodi yang indah itu. semoga ia menjadi kenangan buat kita bersama.

                  Saya akan berlalu pergi. Apabila awak sudah bersuami, tiada siapa yang berhak

                 berkongsi rahsia dan perasaan melainkan suami. Persahabatan kita akan tamat di sini.

                  Apa sahaja yang tersirat dalam hati, berkongsilah dengan suami. Dia lebih berhak untuk

                  mengetahuinya. Hanya melodi itu yang akan mengenangkan kisah kita…….



Medina :  Kenapa ni sahabat?

                Kenapa awak buat keputusan macam ni?



Medina membalas pesanan itu. sayangnya, tiada balasan dari SMB. Hari berganti hari, namun balasan pesanan SMB sudah tidak diterima lagi. Kini, mengertilah dia, SMB sangat bertekad dengan keputusannya.



@@@@@@@@@@@@


Sedang Medina duduk bersendiri di meja tulisnya, tiba-tiba sahaja telinganya menangkap melodi indah yang pernah menjadi santapan telinganya di saat dia kesepian. Medina berhenti dari melakukan pekerjaannya dan cuba memasang telinga.

Melodi itu kedengaran lagi. Pantas Medina membuka laci mejanya dan mencapai laptopnya. Laptopnya tertutup! Jadi, dari mana melodi itu datang? Tapi, bunyinya agak berlainan. Melodi yang dihantar SMB adalah bunyi petikan piano sedangkan melodi yang didengarnya sekarang adalah petikan gitar.

Medina memasang telinganya lagi. Tidak! Dia tidak bermimpi! Memang melodi itu sedang bersuara. Melodi itu seakan memanggilnya. Medina bergerak mencari arah melodi itu. Mujurlah semua kakitangan sudah keluar untuk makan tengahari. Jika tidak, pasti mereka akan tertanya apa yang sedang dilakukannya.

Namun langkah kakinya terhenti apabila dia tiba di depan pejabat Encik Shah. Pejabat suaminya, iaitu Shah Mizan Bakhtiar.

Medina memandang papan tanda yang tertera nama suaminya.

“Shah Mizan Bakhtiar,” Medina menyebut nama itu dan mengulanginya. “Shah…….Mizan……. Bakhtiar….” Otaknya sedang ligat berputar. “SMB???”

Dengan pantas Medina membuka pintu. Kelihatan Encik Shah sedang bersandar di mejanya sambil memegang gitar dan memetik melodi itu.

Encik Shah menghentikan petikan gitar itu dan memandang pada Medina.

“Betul tak apa yang saya katakan Medina. Suatu hari nanti, awak akan tahu bagaimana saya mendapatkan cinta tak bersuara saya.”

Medina tertunduk. Sungguh, inilah perasaan yang paling menggembirakan dalam hidupnya. Dia benar-benar terharu. Bukan sahaja Allah mengurniakan seorang sahabat yang baik seperti SMB, bukan sahaja Allah mengurniakan suami sebaik Encik Shah. Tapi, Allah mengurniakan kedua-duanya buat Medina. Medina menitiskan airmata terharu dan gembira.

Akhirnya, dia tak perlu kehilangan sesiapa. Malah, dia mendapatkan kedua-duanya. Suami dan sahabat. Tanpa berkata apa-apa Medina terus mendapatkan Encik Shah dan memeluknya dengan erat. Encik Shah membalas pelukannya dengan erat juga.

“Pelukan ini untuk suami saya yang tercinta,” ujar Medina. “Saya rindukan awak-ucapan rindu ini untuk sahabat saya SMB,” sambung Medina.

Encik Shah ketawa kecil. “Bukankah saya juga orangnya, Medina?” tanyanya sambil mengeratkan pelukan itu.

Medina diam. Kerana dia tahu SMB dengan Encik Shah adalah orang yang sama, maka dia berani mengungkapkan rindu. Jika tidak, mana mungkin dia meluahkannya.

“Medina….”

“Hmmm….”

“Saya cintakan awak….” ujar Encik Shah dengan sepenuh hatinya. “Saya kotakan kata-kata saya Medina. Awak akan terus mendengar ucapan cinta dari saya.”

“Terima kasih….abang……” Medina mengeratkan lagin pelukannya.

Terima kasih, Ya Allah




-tamat-

@@@@@@@@@@@@@@@@@






@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@






10 comments:

  1. Saya mohon maaf kepada anda semua kerana lambat pos n3 baru minggu ini......ada masalah dgn blogger....:(
    harap anda gembira dengan sambungan cerpen ini.....;)

    ReplyDelete
  2. terharu sgt dgn n3 ni...tq psb

    ReplyDelete
  3. Kisah yang menarik.... Nak lagi...

    ReplyDelete
  4. menarik.. lain dari yang lain..

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih....saya sgt mghargainya....;)

      Delete
  5. waaahhh sweet sangat....tarawang2 saya membacanya..penuh makna tersurat dan tersirat....

    ReplyDelete
  6. menarik..bestt...sweet...terharu...berbagai rasa saya membacanya cukup hebat....teruskan berkarya.

    ReplyDelete