Thursday 1 November 2012

Ilham Hati 10











"TAK GUNA BETUL!!!" Zaiton terus merungut sambil mengibas pakaian yang baru dibersihkan itu. "Kalau Amani ada, tak payahlah aku buat semua ni! Menyusahkan betul!" satu persatu pakaian yang ada dalam baldi besar itu dijemurnya. Semuanya dilakukan dengan rasa terpaksa.

Sejak pagi tadi, setelah Tuan Helmi menyerahkan tugas buatnya, terus lelaki itu hilang entah ke mana. Punah harapannya untuk terus mendekatkan diri dengan Tuan Helmi. Mengingatkan hal itu, hati Zaiton menjadi semakin sebal. Dia tidak mengerti, apakah Tuan Helmi benar-benar tidak mengenalinya? Lupakah lelaki itu pada cinta mereka yang pernah termetri saat remaja dahulu? Atau, lelaki itu sengaja berpura-pura tidak mengenalinya?

"Assalamualaikum," satu suara menegur Zaiton dari belakang. Zaiton terdiam seketika. Alamak! Itu suara Tuan Helmi. Dia baharu sahaja teringatkan lelaki itu. Zaiton segala membetulkan rambutnya dan bajunya. Kemudian, berpaling ke belakang bersama sebuah senyuman.

"Waalaikummussalam, tuan," Zaiton menundukkan sedikit kepalanya, tanda hormat. "Ada yang boleh saya bantu?" ujarnya dengan suara yang lembut. Tuan Helmi datang! Gembira hatinya bukan kepalang. Kesempatan ini perlu dimanfaatkan sebaiknya setelah sedari tadi, Tuan Helmi sibuk dengan lukisan dan bisnesnya.

Tuan Helmi memandang wajah Zaiton yang tetap berseri walaupun telah separuh hari melaksanakan tugas yang diberikannya. Wajah itu masih cantik seperti dahulu. Hanya berbeza dari segi kematangan pada wajahnya. “Macam mana dengan kerja kamu Zaiton?”

“Semua pakaian dah saya cuci, tuan. Tinggal nak jemur. Ini masih ada sebaldi lagi,” Zaiton menunjukkan sebaldi pakaian yang masih belum berjemur. Bukannya susah kerja yang Tuan Helmi berikan. Hanya membersihkan pakaian Tuan Helmi, Tania dan Izz. Itu pun menggunakan mesin basuh. Hanya pakaian tertentu sahaja yang dicuci menggunakan tangan. Lagipun, pakaian mereka bertiga itu tidak banyak. Sambil mencuci pakaian mereka, dia mengambil kesempatan mencuci pakaiannya sendiri dan juga pakaian Amani.

“Awak selesa dengan tugas yang saya beri?” tanya Tuan Helmi lagi. Sebenarnya, selama ini Izz akan mencuci pakaiannya sendiri. Begitu juga dengan Tania. Pakaiannya juga akan diuruskan Tania. Tetapi, dia tidak mempunyai tugas lain untuk diberikan kepada Zaiton. Ada juga dia terfikir untuk meletakkan Zaiton bersama pekerja lain di Ilham Hati. Namun, di Ilham Hati sendiri sudah cukup pekerja. Jadi, dia menempatkan Zaiton disini bagi menguruskan rumahnya.

Senyuman Zaiton semakin lebar mendengar pertanyaan Tuan Helmi. Terselit di dalam hatinya, Tuan Helmi pasti mengenalinya dan masih memberi perhatian terhadapnya. “Saya selesa, tuan. Saya dah biasa buat kerja begini. Apa yang tuan arahkan, semuanya adalah rutin harian seorang wanita. Menguruskan rumah, membasuh pakaian.”

Tuan Helmi mengangguk. Benar, dahulu semuanya diuruskan Sufi. Namun, sejak Sufi meninggal dunia, tiada siapa yang menguruskan rumah ini lagi. Biasanya, setiap hujung minggu dia akan mengupah pekerja Indonesia untuk membersihkan Syurga Ilham Hati.

"Saya ada perkara yang nak dibincangkan," Tuan Helmi menerangkan tujuannya datang berjumpa dengan Zaiton.

“Hal apa?” Hati Zaiton mula timbul tanda tanya. Tiba-tiba sahaja debaran di dadanya terasa. Mungkinkah ia berkaitan dengan masa silam mereka?

Tuan Helmi memandang sebaldi kain yang masih belum berjemur. “Begini, mari saya tolong kamu kerja selesaikan kerja, ya. Lepas tu kita duduk berbincang." Terus sahaja Tuan Helmi mencapai sehelai baju di dalam baldi dan mengibasnya. Kemudian, menyangkutnya di tali jemuran.

Zaiton terkedu di situ melihat tingkah Tuan Helmi. Bagaikan tidak percaya apa yang sedang dilakukan lelaki itu.

“Apa yang kamu lihat? Tolong sepitkan baju ni,” arah Tuan Helmi apabila Zaiton masih kaku di situ.

Zaiton tersedar. Dengan pantas dia mencapai penyepit lalu menyepit baju yang baru dijemur Tuan Helmi. "Tak apalah Tuan, saya boleh buat sendiri," Zaiton bersuara.

"Tak apa, biar saya bantu. Cepat sikit kerja awak habis." Tuan Helmi tetap terus membantu Zaiton.

Zaiton hanya tersenyum. Tuan Helmi memang baik! lelaki di sebelahnya ini tetap lelaki yang sama dahulu. Gembira rasanya bila dapat berdua-duaan dengan orang yang terhormat dan pemilik Ilham Hati ini. Apatah lagi bila lelaki itu pernah menyulam kasih dengannya. Terasa begitu tinggi darjatnya apabila bersama Tuan Helmi. Mereka meneruskan kerja hinggalah semua pakaian telah selesai di jemur.

Tuan Helmi memandang Zaiton yang sedang menjemur pakaian yang terakhir. "Nampaknya, semua dah siap. Jadi, bolehlah kita duduk berbincang," ujar Tuan Helmi.

Zaiton mengangguk. "Tuan tentu penat," Zaiton memandang Tuan Helmi yang sudah berpeluh itu. "Tuan tunggu kejap ya, biar saya buatkan air."

"Baiklah...." Tuan Helmi menganggukkan kepala. Memang dia terasa sedikit haus setelah berpeluh di bawah matahari untuk membantu Zaiton. "Saya tunggu kamu di bawah pondok belakang, dekat dengan pondok Izz."

Zaiton mengangguk lalu segera melangkah dan membawa baldi-baldi kosong bersamanya untuk disimpan semula. Kemudian, dia terus masuk ke ruang dapur yang terletak di belakang. Di situ, kelihatan Mak Enon dan Min sedang sibuk menyiapkan hidangan tengahari buat pekerja-pekerja Ilham Hati. Tanpa memperdulikan mereka, dia terus mencapai dua gelas kosong dan membuka peti sejuk untuk menuang jus segar.

Min yang kebetulan melihat kelibat Zaiton di situ segera menghampiri apabila melihat Zaiton mahu membuka peti sejuk. "Hei!" Min menutup kembali pintu peti sejuk sebelum Zaiton berjaya mencapai botol jus . "Kau ingat, ini rumah kau?! Suka-suka hati je nak ambil barang!" Min menjegilkan biji matanya pada Zaiton. 

Zaiton mendengus geram. Wajah Min dipandangnya. Sejak kakinya melangkah ke sini, Min memang kelihatan tidak senang dengan kehadirannya. "Ini pun bukan rumah engkaulah! Tak payah nak berlagak sangat!" Zaiton menjeling pada wanita yang sepuluh tahun lebih muda darinya itu. Dasar kurang ajar! Tak tahu hormatkan orang yang lebih tua!

"Ruang dapur dan ruang makan ni, dibawah pengurusan mak aku dan aku! Kalau kau nak apa-apa, beritahulah! Jangan ikut suka je!" bentak Min. Seluruh ruang dapur dan ruang makan, adalah dibawah tanggungjawab Min dan Mak Eton. Sebelum ni, tiada siapa yang berani melakukan sesuka hati di situ. Zaiton memang melampau!

"Kenapa pulak aku kena beritahu korang berdua? Korang pun orang gaji macam aku jugak!" Zaiton mengerling Min dan Mak Eton. "Tuan Helmi yang nak minum jus ni! Dia minta aku ambilkan!"

Hati Min mula tak senang apabila mendengar itu adalah arahan dari Tuan Helmi. Kenapa Tuan Helmi perlu minta dari Zaiton? Biasanya, jika mahukan apa-apa, Tuan Helmi akan segera menghubunginya. "Kalau Tuan Helmi nak, kenapa sampai dua gelas?" Min masih tidak berpuas hati.

Memang, sejak Amani masuk ke dalam Ilham Hati, dia sudah mula tak sukakan gadis itu. Namun, perasaan menjadi semakin kurang enak dengan hadirnya Zaiton di sini. Dia tahu, mereka berdua datang sini dengan niat yang tak baik. Tambah-tambah lagi Zaiton. Niatnya yang cuba mendekati Tuan Helmi, nampak begitu jelas walaupun Zaiton baharu sahaja tiba di situ. Itu yang membuatkan dia tidak sukakan Zaiton.

"Suka hati akulah!" ujar Zaiton dengan geram. "Lagipun, aku bukan saja bekerja di sini, tapi aku juga tetamu dalam rumah ni! Bukan macam kau!" Zaiton menepis tangan Min yang menghadang pintu peti sejuk. Lalu dia membuka peti sejuk dan menuang jus ke dalam gelas kosong yang dibawanya.

Dia mencapai segelas jus yang baharu dituangnya lalu ditunjukkan kepada Min. “Yang ini, aku nak minum.” Dia terus menghirup jus oren itu sehingga ke titisan yang terakhir. Setelah itu, dia memandang Min dengan sinis.

Dada Min sudah berombak melihat sikap Zaiton yang memang sengaja mencabar kesabarannya.

Kemudian, Zaiton meletakkan gelas yang kosong itu di sinki. Manakala gelas yang masih berisi diletakkan di dalam dulang kecil. Terus dia berlaku keluar dari ruang itu. Sempat dia menghadiahkan jelingan tajam untuk Min.

"Mak! Kenapa mak diam je?" Setelah Zaiton berlalu, Min mengalihkan pandangannya pada Mak Eton.

"Habis tu, kau nak mak buat apa?" Walaupun Mak Eton juga tidak menyukai Zaiton, namun dia langsung tak mahu melihatkan diri dengan masalah wanita itu. Melalui pandangan pertamanya sahaja, dia tahu Zaiton cuba mengambil kesempatan atas kebaikan penghuni rumah ini. Tetapi, dia tidak merasakan perasaan yang sama ketika Amani di bawa ke sini.

"Selama ni, kita yang siapkan makan minum Tuan Helmi. Sekarang ni, dia pulak nak sibuk-sibuk ambil alih tugas kita!" Min mengetapkan bibirnya. " Biasanya, Tuan Helmi kalau nak apa-apa, mesti minta telefon Min je. Tapi hari ni?" Min mendengus, kesal.

Mak Eton menarik nafas panjang. Bukan dia tak tahu, anaknya itu memendam perasaan pada Tuan Helmi. "Sudahlah tu Min, jangan mimpi bulan jatuh ke riba. Tuan Helmi ibarat helang, kita ni cuma pipit. Helang dan pipit tak akan bersatu.” Sudah sekian kali dia menyatakan perkara itu pada Min. Dia tak mahu Min terlalu menyimpan harapan yang tinggi untuk memiliki Tuan Helmi. Dia tak mahu harapan Min hanya tinggal anganan.

"Tapi, kalau tak de Zaiton dan anaknya tu, tentu Min berhasil memikat Tuan Helmi!" Selama ni, tak ada orang lain yang masuk ke dalam hidup Tuan Helmi melainkan mereka dan Izz. Sekarang, kehadiran dua beranak itu banyak mengganggu penghuni di Syurga Ilham Hati! Min benar-benar tak selesa dengan keadaan sekarang. Apatah lagi mengenangkan Zaiton yang memiliki seraut wajah yang cantik dan tubuh yang langsing walaupun sudah beranak satu. Apalah nak dibandingkan dengan dirinya. Walaupun jarak usia mereka terlalu berbeza, namun dia sedar, dia tak mampu menandingi kecantikan Zaiton.

"Sudahlah tu, Min. Kalau ada jodoh tak ke mana," Mak Eton cuba menyedapkan hati anaknya itu. Sekali pun jika Zaiton tidak datang ke sini, Min belum tentu dapat menggantikan tempat Puan Sufi. “Dah, cepat siapkan makan tengahari. Kejap lagi, semua pekerja dah nak makan!" Arah Mak Eton.

Dalam masa yang sama, Zaiton menuju ke pondok di laman belakang yang berdekatan dengan pondok Izz. Dengan penuh kelembutan dan keayuan, Zaiton melenggangkan tubuhnya menghampiri lelaki yang berusia lebih empat puluh lima tahun itu.

"Jemputlah minum," Zaiton menyerahkan segelas jus pada Tuan Helmi.

"Terima kasih," Tuan Helmi  menyambutnya dengan senyumanmu. Lalu, diteguk air jus itu sehingga habis. "Alhamdulillah," Lega rasanya apabila dapat membasahkan tekak yang kering dengan minuman yang sejuk.

Zaiton tersenyum riang melihat gelas itu sudah kosong. Terasa seperti kebaikannya dihargai. "Tuan nak minum lagi?"

Tuan Helmi menggeleng. "Tak apa," tolaknya. "Terima kasih," Tuan Helmi memandang wajah Zaiton yang begitu murah dengan senyuman. "Macam mana? Zaiton suka tinggal di sini?"

"Tentulah suka, tuan!" Pantas sahaja Zaiton menjawap pertanyaan itu. "Siapa yang tak suka tinggal di sini. Udara di sini nyaman dan penuh dengan ketenangan. Hijau alam, sejuk pandangan," ujar Zaiton sedaya menarik nafas panjang untuk menghidup udara segar di situ. Tapi, yang lebih menyegarkan tentu sahaja kemewahan dan kesenangan yang ada di sini.

Tuan Helmi sudah tertawa melihat Zaiton. Dia senang dengan jawapan Zaiton. "Baguslah kalau Zaiton suka tinggal di sini." Senang hatinya mendengar jawapan Zaiton.

"Oh ya, perkara apa yang nak tuan bincangkan dengan saya?" Zaiton terus ke pokok persoalan.

Tuan Helmi diam seketika, seakan sedang berfikir tentang sesuatu. Kemudian, dia tersenyum. "Bukan hal yang penting. Tapi," dia memandang Zaiton. Perlukah dia bercakap tentang hal ini sekarang?

Zaiton masih ternanti-nanti kata-kata Tuan Helmi yang tersangkut. Apakah Tuan Helmi mahu bertanya tentang dirinya? Bagaimana dengan kehidupannya sejak mereka berpisah? Bagaimana dengan rumahtangga yang pernah dibinanya? Bagaimana dia melalui hari-hari sejak cinta mereka terhalang?

Tuan Helmi menarik nafas yang panjang lalu menghembusnya perlahan. “Saya nak bertanya tentang Amani.”

Kata-kata Tuan Helmi itu membuatkan Zaiton ternganga sedikit. Sangkaannya jauh meleset. Bukan tentang dirinya yang menjadi pokok perbincangan tetapi Amani. “Kenapa dengan Amani?”

Tuan Helmi terdiam. Memang tidak ada apa-apa yang tidak disukainya tentang Amani. Tetapi gadis itu selalu membuatkan dia berfikir. Bagai ada sesuatu yang memaksanya untuk mengambil berat tentang Amani.

“Walaupun awak baharu sahaja tinggal di sini, tapi saya yakin, dari hari pertama awak jejakkan kaki ke sini awak boleh menilai sendiri layanan Tania pada awak,” bicara Tuan Helmi.

Zaiton diam, menunggu kata-kata Tuan Helmi selanjutnya.

“Layanannya pada awak sangat berlainan dengan layanan yang saya terima dari Amani saat pertama saya berjumpa dengannya,” sambung Tuan Helmi.

Apa yang cuba dikatakan Tuan Helmi? Zaiton sudah tidak senang duduk.

“Tania dan Amani adalah remaja yang sedang meningkat dewasa. Perbezaan dari watak dan sikap mereka terlalu jauh. Awak perasan tak?” Tuan Helmi memandang Zaiton.

“Tuan tak boleh samakan antara mereka berdua. Amani dan Tania membesar dalam suasana yang berbeza. Tania, dia dibesarkan di dalam mahligai ini.” Zaiton mendepakan kedua-dua tangannya, menunjukkan seluruh Ilham Hati. “Dia dilimpahi kemewahan dan kesenangan. Tetapi itu tidak terjadi dalam hidup Amani. Amani membesar bersama kesusahan dan kesempitan hidup.”

Tuan Helmi memandang tanah. Zaiton benar. Tetapi masih ada sesuatu yang tidak jelas. “Kehidupan kita tidak akan menjadi kaya dan miskin hanya kerana harta. Adakalanya miskin harta tetap akan membuatkan kita memikili jiwa yang besar seandainya kehidupan kita penuh dengan kasih sayang.” Tuan Helmi diam seketika. “Saya tidak dapat melihat nilai kasih sayang dalam diri Amani. Saya hanya lihat kebencian pada wataknya. Bagaimana Amani membesar?”

Soalan Tuan Helmi itu menyebabkan Zaiton pantas berdiri tegak. Dia tidak menyangka Tuan Helmi akan bertanya demikian. “Apa maksud tuan? Saya tak pandai mendidik anak saya? Saya tak pandai menjaga anak saya?” Dengan berani, Zaiton memandang Tuan Helmi. “Itu yang tuan cuba katakan?”

“Tidak! Bukan itu maksud saya!” Nampaknya, Zaiton sudah tersalah mentafsir soalannya.

“Kalau bukan, apa maksud tuan bertanya begitu? Tania dibesarkan dengan kemewahan. Tania tak pernah merasa kelaparan! Pernah tak walau sehari tuan tidak memberi Tania makan? Pernah?” Hatinya sangat tersentuh dengan omongan Tuan Helmi. “Pernah tak sekali dalam hidup tuan, tuan membayangkan diri tuan di tempat orang kebanyakan? Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pernah tak walau sehari dalam hidup tuan memikirkan soal makan? Bagaimana hari ini aku mahu mencari sesuap nasi? Pernah tuan tanya soalan itu sepanjang hidup tuan? Tentu tidak, kan? Sebab hidup tuan telah dilimpahkan dengan kemewahan. Dan sekarang, kemewahan itu juga tuan limpahkan buat anak tuan!”

“Zaiton, saya minta maaf.” Tuan Helmi cuba menenangkan Zaiton yang kelihatan benar-benar marah dengannya. “Bukan itu maksud saya Zaiton.” Kesal dirasakan apabil Zaiton salah mentafsir pertanyaannya.

Zaiton tegak di situ sambil memeluk tubuh.

“Zaiton, maafkan saya.” Kali ini suara Tuan Helmi semakin perlahan, seolah-olah sedang memujuk Zaiton.

“Siapa saya nak memaafkan tuan? Orang seperti tuan tidak layak untuk meminta maaf,” ujar Zaiton.

Tuan Helmi mengeluh. “Apa yang saya cuba tanyakan bukan seperti apa yang awak faham. Apa yang saya maksudkan adalah Amani memiliki hati yang keras. Dia tak beri peluang untuk didekati dan tidak mahu mendekati sesiapa. Amani seakan-akan menyimpan perasaan benci dan dendam dalam dirinya. Apa yang saya mahu tahu, kenapa dia jadi begitu.”

Zaiton memejam matanya rapat. Sangkanya Tuan Helmi takkan bertanya tentang itu lagi setelah dia bertindak begitu dengan berpura-pura terasa hati dengan pertanyaan Tuan Helmi. Zaiton berdiam diri agak lama. Dia cuba mencari jawapan yang terbaik untuk diberikan kepada Tuan Helmi.

“Mungkin, kerana dia dibesarkan tanpa kasih sayang seorang ayah sebab itulah dia jadi begitu.” Akhirnya, itulah jawapan yang keluar dari bibir Zaiton. Tetapi, dia tidak berbohong tentang itu. Memang Amani dibesarkan tanpa kasih sayang seorang ayah.

Jawapan Zaiton nyata mengejutkan Tuan Helmi. “Apa yang terjadi dalam hidup kamu berdua?” Hati Tuan Helmi melonjak-lonjak ingin tahu sejarah hidup mereka.

Zaiton memandang Tuan Helmi. Dia seakan dapat membaca apa yang ada dalam fikiran Tuan Helmi. Tuan Helmi kelihatan serius dengan soalannya. Dia mahu tahu apa yang terjadi. Lebih baik jika dia membuat sedikit gimik dan merahsiakannya terlebih dahulu. “Maaf, tuan. Apa yang berlaku pada kami berdua lebih baik itu menjadi rahsia kami. Rasanya, penderitaan yang ditanggung kami tidak semurah itu untuk terus dijaja dan meminta simpati orang lain.”

“Zaiton, saya tahu awak masih marahkan saya. Niat saya hanya nak membantu awak dan Amani. Mungkin sebagai langkah pertama, saya perlu tahu dan kenal diri awak dan Amani. Mungkin dengan cara itu, Amani akan lebih terbuka dengan semua orang yang ada di sini.” Tuan Helmi masih cuba memujuk Zaiton.

Zaiton memejamkan matanya seketika. Untuk pusingan pertama sahaja dia sudah menang. Jika Amani menjadi pertaruhan untuk dia dan Amani terus tinggal di sini, itulah yang akan digunakannya. Lagipun, dengan apa yang telah berlaku selama ini, dia dan Amani berhak untuk mengecap kemewahan yang ada di sini.

“Amani berhak bertindak seperti mana dirinya sekarang. Amani perlu kuat dan tegar. Jika tidak, macam mana kami nak harungi hidup ini yang penuh dengan penipuan dan penindasan. Apatah lagi untuk perempuan seperti kami. Tuan sendiri tahu bagaiman layanan abang saya, Jalil pada kami berdua. Tuan sendiri tahu bagaimana sikap Jalil. Setiap hari kami menderita!”

“Di mana suami awak?” Akhirnya, Tuan Helmi bertanya tentang itu. Sedari tadi dia menunggu Zaiton untuk bercerita tentang suaminya. Namun, Zaiton tidak memberi peluang untuk mereka menyebut tentang suaminya.

Zaiton memandang Tuan Helmi. Mata mereka bertentang. Sejak tadi dia memang menunggu lelaki itu bertanya tentang itu. Sengaja dia tidak menyebut walau satu perkataan pun tentang bekas suaminya. Mungkin, Tuan Helmi sudah tidak sabar untuk mengetahui kisah hidupnya setelah cinta mereka putus di tangah jalan.

“Di mana suami awak? Kenapa Amani membesar tanpa ayahnya?” Tuan Helmi bertanya lagi apabila Zaiton mendiamkan dirinya.

“Tuan jujur mahu tahu apa yang berlaku?” tanya Zaiton lagi. Mungkin ini saat yang sesuai untuk mereka melayangkan kembali kenangan lalu.

Tuan Helmi menganggukkan kepalanya perlahan.

“Adakah tuan masih ingat dengan saya?” Zaiton bertanya lagi.

Tuan Helmi memandang Zaiton. Dia tahu, banyak persoalan yang tidak akan terjawap seandainya dia terus berpura-pura tidak mengenali Zaiton. Entah kenapa, dia merasakan semua penderitaan yang dialami Zaiton dan Amani berpunca dari dirinya.

“Ya, saya masih ingat dengan awak Zaiton. Dan saya tak pernah lupakan awak walaupun semuanya sudah lama berlalu.”

Itulah jawapan yang ditunggu-tunggu Zaiton. Semuanya telah berjalan dengan lancar. Semuanya sangat sempurna walaupun dia tidak pernah merancang untuk bertemu lagi dengan lelaki ini. Dia juga tidak merancang untuk datang ke mari. Semuanya bermula dengan Amani. Akhirnya, Amani membawa tuah dalam kehidupan mereka.


-----------------------------------------------


2 comments:

  1. amani anak tuan helmi kan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. untuk mengetahui jawapnnya, ikuti sambungannya nanti ya..tq :)

      Delete