Friday, 3 May 2013

Senyumlah Sayang 14







PINTU di buka dari luar. Pandangan mata Amani terus terpaku kepada susuk tubuh yang baru melangkah masuk ke dalam bilik sambil bercekak pinggang memandangnya. Wajah Zaiton kelihatan bengis dan di tangannya sedang memegang pakaian seragam sekolah.

            Amani mengalihkan semula pandangannya kepada kerja-kerja sekolah yang sedang di siapkan. Melihat Zaiton dalam keadaan begitu, dia sudah tahu apa yang telah terjadi. Tentu sahaja Tania telah mengadu kepada Zaiton yang dia tidak mahu menerima pakaian seragam itu.

            Wajah Zaiton semakin bengis apabila melihat Amani yang langsung tidak memperdulikannya. Terus dia menghampiri Amani. Buku-buku sekolah Amani di tutupnya dengan kasar dan diletakkannya di tepi.

            Pantas Amani memandang Zaiton dengan tajam. Dadanya berombak menahan geram.

            “Kau ingat aku patung, berdiri di sini?!”  Zaiton menjegilkan matanya kepada Amani.

            Amani bangun dari susuknya. Dia mahu keluar dari situ. Dari dia tinggal di situ dan bertengkar dengan Zaiton, lebih baik dia pergi.

            “Kau nak ke mana?” Zaiton terus menarik lengan Amani.

            Tubuh Amai terbelakang sedikit apabila Zaiton menarik lengannya. Amani hanya memandang wajah Zaiton tanpa sebarang suara.

            “Kau ni, nak kata bodoh, pandai!” memang benar, Amani memang seorang pelajar yang pintar. Kepintarannya diakui oleh gurunya sendiri. “Tapi, kenapa kau bodoh sangat ni?!”

            Amani menjeling Zaiton sambil tergeleng kecil.

            “Kenapa kau tolak pemberian Tania?”

            “Pasal tu?” Sinis sekali dia memandang Zaiton. “Sudah-sudahlah tu, mak! Kita dah terlalu banyak terhutang budi dengan mereka.” Amani menarik tangannya dari genggaman Zaiton.

            Zaiton mendengus. Tak habis-habis itu sahaja yang diungkit Amani. Ringan sahaja mulutnya untuk memberitahu yang Amani berhak ke atas setiap harta yang ada di Ilham Hati.

            “Kau dengar sini, mulai dari saat ini, kau perlu anggap yang Ilham Hati adalah rumah kau. Dan kau,” Zaiton menunjuk ke dada Amani. “Adalah salah seorang tuan rumah di sini.”

            “Mak!” Amani memandang Zaiton dengan perasaan yang kecewa. Apa? Sebagai seorang tuan? “Mereka dah bawa kita masuk di sini pun dah satu rahmat. Kenapa mak lupa daratan?”

“Huh!” Zaiton melepaskan satu dengusan kasar. Susah untuk bercakap dengan Amani!

“Ini bukan soal lupa daratan! Kau ikut aje apa cakap mak!” Bukan juga salah Amani jika dia menolak. Amani tidak mengerti apa-apa.

            “Nah!” Zaiton terus menghulurkan pakaian seragam itu kepada Amani. “Ambil ni.”

            “Mak!”

            “Jangan banyak cakap!” Zaiton sudah menunding jari ke wajah Amani. “Buat aje apa yang mak suruh.” Zaiton sudah memegang tombol pintu untuk keluar.

            “Nanti, mak!” Amani memanggil lagi. Tiba-tiba sahaja dia teringat tentang niatnya yang mahu meminta sedikit wang dari Zaiton.

            Zaiton memandang Amani. “Apa lagi?!”

            “Saya nak minta duit sikit dengan mak,” ujar Amani perlahan. Kali ini, kepalanya tertunduk.

            “Duit? Kau nak buat apa?” Nada suara Zaiton sudah menurun sedikit. Kenapa Amani mahukan duit? Selama ini, Amani tak pernah meminta apa-apa darinya.

            “Saya perlukan duit.” Amani memandang Zaiton dengan harapan Zaiton tidak akan bertanya tujuannya lagi.

            “Mak tak de duit,” Zaiton melarikan anak matanya dari memandang Amani. Wang Amani yang disimpannya telah digunakan untuk keperluannya sendiri. Dia tak punya wang lagi untuk diberikan kepada Amani.

            “Tak de?” Dahi Amani sudah berkerut. Wajah Zaiton dipandang dengan tajam. “Setiap pagi wang belanja yang Tuan Helmi beri pada saya, mak ambil tapi mak cakap mak tak ada duit?” Mata Amani terancap terus ke wajah Zaiton.

            “Kau yang tak nak duit tu, kan? Jadi mak ambillah! Takkan kau nak balik?” Zaiton sudah memeluk tubuhnya sambil memandang Amani.

            Amani mendengus perlahan. “Takkan tak ada langsung? Kalau ada sikit pun, jadilah.” Amani merendahkan suaranya.

            “Tak ada!” Zaiton terus keluar dari kamar itu tanpa melanjutkan lagi bicara mereka.

            “Tania!” Terkejut dia apabila melihat kelibat Tania berdiri di depan pintu kamar.

            Kebetulan, Tania juga baru keluar dari kamarnya. “Macam mana makcik? Kak Amani ambil baju tu?” Wajah Zaiton dipandangnya dengan penuh harapan. Matanya bersinar, mengharapkan Zaiton berkata ya.

            “Dah!” Pantas Zaiton mengiakan soalan Tania. Hatinya mula gusar. Risau jika Tania mendengar pertengkarannya dengan Amani. “Tania jangan risau. Amani tu, baik orangnya. Cuma, dia susah sikit nak dekat dengan orang. Lama-lama nanti, dia okeylah dengan Tania.”

         Tania tersenyum lebar. Gembira hatinya bukan kepalang apabila Amani mengambil juga pemberiannya. “Terima kasih ya makcik sebab dah pujuk kak Amani.”

            Zaiton memandang wajah Tania yang ceria itu. Nampaknya, Tania ikhlas sayangkan Amani.

            “Makcik, cantik tak Tania?” tanya Tania sambil memusing-musingkan tubuhnya di depan Zaiton.

            Zaiton memandang Tania dari atas ke bawah dan ke atas semula. Cantik? Zaiton membuat memek muka tanda tidak suka. Memanglah Tania cantik dan comel, tapi agak kolot sikit kerana gadis muda itu mengenakan tudung di kepalanya.

            “Cantik!” Zaiton terus tersenyum apabila Tania berhenti memusingkan tubuhnya dan memandang padanya. “Tapi,”

            “Tapi?” Senyuman di bibir Tania mati.

            Zaiton mengetap bibir sambil memerhatikan lagi gaya penampilan Tania. Tania tak pandai bergaya! Andai pun gadis itu mahu mengenakan tudung, dia masih boleh berfesyen. Namun, penampilan Tania sangat ringkas. Dia hanya mengenakan jeans bersama kemeja kuning dan tudung bawal.

            “Boleh makcik tahu Tania nak ke mana?” tanya Zaiton.

            “Tania nak jumpa dengan Faiz,” jawab Tania sambil tersenyum malu.

            “Boyfriend?”

            Tania hanya tersenyum simpul. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak.

            Zaiton menjongketkan keningnya. Fahamlah dia dengan gelagat Tania. Tentu sahaja Tania mahu berjumpa dengan teman lelakinya.

            “Tania nak tak kalau makcik tolong siapkan Tania?”

            “Uh?” Ternganga Tania seketika. “Tania tak cantik pakai macam ni?”

            “Cantik! Tapi makcik nak cantikkan lagi Tania. Nak?”

            “Nak!” Pantas Tania mengangguk laju.

            “Tania ada shawl?” tanya Zaiton.

            “Ada.”

            “Jom!” Zaiton dan Tania menghilangkan diri ke dalam kamar Tania.

            Dalam masa yang sama, Amani membuka pintu untuk keluar. Lega hatinya apabila melihat kelibat Zaiton dan Tania yang sudah hilang. Sebentar tadi dia masih mendengar suara mereka berbual. Kedengarannya seperti Tania mahu menemui seseorang. Tentu sahaja orang itu adalah Faiz, lelaki playboy yang dikatakan Amsyar padanya.

            Amani berjalan keluar dan terus menuju ke halaman belakang. Suasana di situ sunyi dan sepi. Hanya kedengaran sesekali suara angin menghembus perlahan membelah tubuhnya.

            “Amani,” tegur Izz yang baru tiba di situ.

            Amani memusingkan tubuhnya memandang Izz. Izz yang segak berkot hitam itu di pandangnya. Siapa sebenarnya Izz? Apa tugasnya yang sebenar? Kenapa Izz berpakaian formal sebegini pula?

            Izz menunduk memandang dirinya. Tertanya juga dia kenapa Amani memandangnya sebegitu? “Awak terkejut tengok saya pakai baju macam ni?” soal Izz sekadar meneka.

            “Apa tugas awak yang sebenarnya?” Adakalanya Izz menjadi pemandu. Adakalanya lagak Izz sebagai pengawal peribadi.

            Izz berjalan dan kemudian duduk di anak tangga pondok kecilnya. Dia memandang Amani dengan senyuman. “Lebih tepat kalau saya katakana saya adalah pembantu peribadi Tuan Helmi. Apa sahaja yang di arahkan olehnya, saya akan lakukan. Termasuklah menguruskan bisnesnya ketika dia tidak ada.”

            Amani menjeling. Kata-kata Izz kedengaran seakan riak di telinganya.

            Izz hanya tersenyum melihat jelingan itu. “Awak cari saya?”

            Dia tidak mencari Izz. Namun, entah kenapa dia suka sangat berada di halaman belakang ini. Di sini suasananya kelihatan tenang dan agak tersorok dari pandangan. Di sini juga, terlataknya pondok buruk Izz.

            Lama Amani mendiamkan diri sambil memandang Izz. Patutkah dia meminta pertolongan Izz? Mungkin Izz boleh membantunya.

            “Selama ni awak yang menjadi pengawal Tania.” Amani memandang Izz.

            Izz mengangguk. “Boleh dikatakan begitu.”

            “Awak kenal dengan Faiz?”

            Izz mengangguk. “Kenapa?”

            “Awak tahu latarbelakang dia?”

            Dahi Izz berkerut. Kenapa Amani tiba-tiba sahaja mengungkit soal Faiz. “Ada yang tak kena dengan Faiz?”

            Amani diam.  Dia tidak tahu sama ada tuduhan Amsyar itu benar atau tidak. Namun, dia perlu pastikan kebenarannya sebelum terlebih dahulu membuat kesimpulan.

            “Awak pernah siasat latarbelakang dia?”

            Izz tertunduk seketika. Kemudian, melangut semula memandang Amani. “Saya rasa dia okey.” Selama ini dia tidak melihat apa-apa yang kurang tentang Faiz. “Faiz baik. Selama ni, Faizlah yang banyak membantu Tania dalam pelajaran.”

            Amani diam sambil tertunduk memikirkan sesuatu.

            Melihatkan wajah gusar Amani, Izz bangun dari duduknya dan berdiri bertentangan dengan gadis itu. “Ada yang tak kena?”

            Amani melangutkan wajahnya dan memandang Izz yang jauh lebih tinggi darinya. “Saya perlukan kerja.”

            “Uh?” tergaman Izz seketika.

            “Saya perlukan kerja!” Amani mengulangi kata-katanya.

            “Awak tentu tahu tentang arahan Tuan Helmi. Dia mahu awak belajar.”

            Amani menghembuskan nafas dengan kasar. Dia tak perlu jelaskan apa-apa pada Izz. Dia hanya mahu Izz membantunya dengan memberikan kerja. “Kalau awak tak dapat beri kerja pada saya, biar saya saya pergi kampung dan minta kerja dengan orang-orang kampung.” Amani sudah memusingkan tubuhnya untuk pergi.

            “Nanti! Amani!” Izz menarik lengan Amani.

            “Awak perlukan duit?” tanya Izz. Matanya memandang terus ke dalam anak mata Amani.

            Amani melarikan pandangan matanya. Hatinya sentiasa berdebar setiap kali Izz memandangnya begitu. Apatah lagi apabila mereka berdiri terlalu dekat seperti sekarang.

            “Berapa yang awak perlukan?” tanya Izz.

            Berapa yang awak perlukan? Itukah soalan Izz? Semudah itu Izz mahu memberikannya wang? Amani menarik tangannya. Wajah Izz dipandangnya. “Saya tak perlukan wang awak. Saya perlukan kerja untuk dapatkan wang. Kalau awak nak tolong saya, berikan saya kerja.”

            “Boleh saya tahu, awak perlukan wang untuk apa?” tanya Izz lagi.

            Amani menarik nafas panjang. Bukan dia tidak mahu berterus terang dengan Izz. Namun, dia tak punya bukti. Tapi yang jelas, dia sangat memerlukan wang sekarang.

            “Tak apalah, biar saya ke warung hujung kampung. Saya nak cari kerja di sana.” Amani memusingkan semula tubuhnya.

            “Amani!” Sekali lagi Izz menarik tangan Amani. Mungkin tarikan kali ini agak kuat dan Amani yang sebenarnya dalam keadaan tidak bersedia terus terdorong ke belakang dan masuk ke dalam pelukan Izz.

            Dengan pantas Amani menolak tubuh Izz. Dadanya bergetar kencang. Dia merasakan sesuatu. Sesuatu yang asing yang tidak pernah dirasakannya selama ini. Perasaan apakah ini? Nafasnya mula bergetar hebat.

            “Maaf, saya tak sengaja.” Sungguh, dia memang tidak sengaja tertarik tangan Amani dengan kuat sehingga gadis itu terpeluknya. Apakah Amani akan memandang serong padanya. “Amani, maafkan saya.” Dia memandang Amani yang sedang berdiri membelakangkannya.

            Amani menelan air liurnya. Tanpa berkata apa-apa, dia terus melangkah pergi.

            “Saya ada kerja untuk awak!” jerit Izz.

            Langkah Amani terhenti. Terus dia berpusing dan memandang Izz.

            “Betul! Saya ada kerja untuk awak. Awak tunggu sini, saya ganti baju.” Izz memberi isyarat agar Amani menunggunya. Kemudian, dia hilang di dalam.

            Dalam lima minit kemudian, Izz muncul dengan penampilan yang agak santai. Hanya berbaju T putih dan jeans biru.

            “Kerja apa?” tanpa membuang masa, Amani terus bertanya.

            “Kita ke galeri Emerald. Tuan Helmi minta saya bersihkan galeri tu.” Izz meneruskan langkah.

            Amani mengekori langkah Izz. “Galeri tu masih ada? Setahu saya Tuan Helmi dah tak buka galeri tu lagi.” Tania pernah bercerita kepada Zaiton tentang Galeri Emerald. Ketika itu dia berada bersama mereka. Kononnya, sebelum Puan Sufi meninggal, Tuan Helmi mempunyai sebuah galeri lukisan selain bisnesnya di Ilham Hati. Namun, sejak Puan Sufi meninggal, galeri itu ditutup dan Tuan Helmi hanya melukis untuk memberikan ilham baru kepada corak-corak kainnya.

            “Galeri tu memang dah lama kosong. Tapi tak tahulah saya,” Izz menjongketkan kedua bahunya. “Tiba-tiba saja Tuan Helmi minta saya pindahkan semua lukisan yang masih ada dan bersihkan galeri tu.”
            “Abang Izz!” Tiba-tiba kedengaran suara Tania.

            Mata Izz dan Amani terpaku kepada susuk tubuh di depan mereka. Wajah Tania yang lebar dengan senyuman dipandang.

            “Cantiknya Tania!” Kagum Izz melihat penampilan Tania. Tania mengenakan jeans hitam bersama baju T biru yang sedikit mengikut bentuk tubuhnya yang langsing. Dikenakan pula dengan cardigan kuning dan selendang dari warna yang kontra. Tania kelihatan lebih menonjol dengan penampilan sebegitu. Sesuai dengan usia remajanya.

            Pujian Izz kepada Tania membuatkan senyuman gadis itu semakin melebar.

            Amani hanya menjeling. Pujian Izz kepada Tania sangat tidak disenangi. “Saya tunggu awak di luar.” Amani terus berlalu pergi.

            “Nanti!” Pantas Izz menangkap pergelangan tangan Amani.

            Amani memandang Izz. Mata mereka bertentang.

            “Kita pergi sekali,” tegas Izz.

            Senyuman di bibir Tania mati melihat adegan itu. Pandangan matanya terpaku kepada tangan Izz yang memegang tangan Amani. Hatinya resah. Dia tidak suka melihat situasi ini. Nafasnya berdesah hebat.

            “Tania nak keluar dengan siapa?” tanya Izz.

            “Tania nak jumpa dengan Faiz,” jawabnya dengan terpaksa. “Tania pergi dululah!” Dia sudah memalingkan tubunya ke belakang.

            “Saya akan hantarkan Tania!”

            “Tak payah!” Tania terus melangkah. Kenapa? Kenapa Izz tidak menahan dirinya seperti Izz menghalang Amani? Dia terus mengharap Izz akan memegang tangannya dan memujuknya agar mereka pergi bersama. Namun, sehingga saat ini dia terus berjalan sendirian.

            Melihat kelibat Tania yang telah hilang, Amani menarik tangannya. Dia memandang Izz. “Awak tak sepatutnya buat macam tu pada Tania.”

            “Uh?” Berkerut kening Izz.

            Amani memandang Izz. Apakah Izz tidak mengerti maksud pandangan mata Tania kepadanya? Tapi, bukankah Tania sedang menjalinkan hubungan dengan Faiz? Dia sendiri keliru dengan tanggapannya. Biarlah!

            Amani terus melangkah dan Izz mengekorinya dari belakang. Namun, lelaki itu maish berfikir dengan kata-kata Amani. Apa yang telah dilakukannya kepada Tania?
            

_______________________________________________

2 comments:

  1. Replies
    1. hihihi...terima kasih... (terharu sangat bila ada orang yang suka dengan watak Amani)

      Delete