Thursday 11 April 2013

Senyumlah Sayang 13







Loceng rehat berbunyi nyaring. Seraya dengan itu juga kebisingan para pelajar yang berpusu-pusu keluar dari kelas mula kedengaran. Ada sesetengah dari mereka terus meluru keluar tanpa sempat guru yang sedang mengajar menamatkan pelajaran pada waktu itu.

Perhatian Amani masih lagi tertumpu pada buku sastera di depannya. Dia membiarkan sahaja suasana bising itu sehinggalah keadaan menjadi sepi semula. Sedikit pun dia tidak mengambil pusing dengan apa yang berlaku sekitarnya.

"Amani, kamu tak pergi rehat?" tanya Cikgu Rahayu. Seringkali dia melihat Amani bersendirian dan tidak bercampur dengan rakan-rakannya yang lain.

Amani mengangkat wajahnya dan memandang Cikgu Rahayu. Tanpa menjawab soalan itu, Amani menutup buku dan meluru keluar bersama buku di tangannya.

Tergeleng-geleng kepala Cikgu Rahayu dengan tingkah Amani. Namun, dia kagum dengan Amani. Amani seorang pelajar yang pintar. Setiap pembelajaran sangat  mudah diterimanya walaupun gadis itu telah ketinggalan pelajaran. Lagi pun, Amani tak banyak memberi masalah kepada pihak sekolah. Disiplinnya juga baik. Hanya satu yang merisaukannya sebagai guru kelas Amani, gadis itu tidak suka bercampur dengan pelajar lain.

Mungkin juga Amani merasa rendah diri dengan keadaan dirinya. Pihak sekolah sudah maklum tentang Amani. Malah, satu sekolah juga tahu perihal Amani yang menumpang di rumah Tania bersama ibunya. Namun, dia tidak pernah melihat ada di antara pelajar-pelajar yang lain mengejek atau mengusik Amani. Tania juga kelihatan senang dengan Amani. Hanya Amani yang suka menjauhkan diri dan gemar bersendirian.

Amani berjalan mahu menuju ke perpustakaan. Sejak permulaan sekolah,  dia tidak pernah menjamah apa-apa di kantin. Setiap wang saku yang diterimanya, tidak pernah di ambil. Dia lebih senang begitu.

Ketika dalam perjalanan ke perpustakaan, langkah Amani terhenti saat matanya terpaku kepada sepasang pelajar yang sedang berbual mesra di tangga bangunan yang bertentangan. Dari jarak 100 meter, Amani terus memerhati kelibat Tania yang begitu mesra dengan seorang pelajar lelaki. Tangan mereka pula sedang bertaut. Sedikit pun matanya tidak berkelip memandang mereka.

“Ops! Maaf!” Tiba-tiba sahaja seorang pelajar lelaki melanggarnya.

Amani terus menoleh memandang gerangan pelajar itu.

“Maaf, saya tak sengaja.” Pelajar itu memohon maaf lagi. Sememangnya, dia tidak menyedari kelibat Amani yang sedang terpaku berdiri di situ kerana sibuk membelek buletin sekolah yang baru di edarkan.

Amani menjeling pelajar lelaki itu dan kemudian memandang semula kelibat Tania dan pasangannya.
Pelajar lelaki itu turut memandang ke arah yang dilihat Amani. “Ni, tak lama lagilah masuk buletinlah ni.” Pelajar lelaki itu menekan punat kamera digital di tangannya.

Amani memandang semula pelajar itu. Pelajar itu memandang Amani kembali apabila berjaya mengambil beberapa gambar pasangan yang sedang bercinta itu. “Saya salah seorang dari sidang redaksi sekolah.”

Amani menarik nafas panjang mendengar kata-kata pelajar itu.

“Kenapa awak lihat dia orang? Itu teman lelaki awak?”

Amani diam tanpa balasan.

Terjongket kening lelaki itu apabila soalannya tidak mendapat jawapan. “Kalau lelaki tu teman lelaki awak, lebih baik awak putuskan saja hubungan dengan dia. Tapi kalau bukan, jangan sesekali tertipu dengan dia. Dia tu, playboy yang paling bahaya di sekolah ni.”

Dahi Amani terus berkerut sambil memandang Tania yang masih berpegangan tangan dengan pasangannya itu. Nafasnya sudah sedikit kencang. Perasaannya sudah tidak enak.

“Okeylah, saya minya diri dulu.” Pelajar itu melangkah pergi bersama senyuman. Dia sudah mendapat gossip hangat untuk buletin yang akan datang.

“Nanti!” Amani mengekori pelajar itu dari belakang.

Pelajar itu berhenti dan memusing tubuhnya memandang Amani.

“Betulkah, lelaki tu playboy?” tanya Amani.

“Awak pelajar baru di sekolah ni, kan?” Mana mungkin sebagai salah seorang dari sidang redaksi buletin sekolah dia tidak mengetahui hal itu. Pelajar itu mendekati Amani. “Awak Amani, kan? Saya Amshar.” Pelajar lelaki itu menghulurkan salam perkenalan.

Sayangnya, huluran tangannya tidak bersambut. Amani hanya memandang huluran tangan itu sekali lalu. “Lelaki itu playboy?” dia bertanya sekali lagi.

Amshar mengemam bibirnya. Dia memandang Amani lalu mengangguk. Nampaknya, Amani tidak mahu menjadi kawannya. Dia memusingkan tubuhnya untuk berlalu pergi.

“Berapa awak mahu untuk gambar-gambar itu?”

Soalan Amani itu membuatkan Amshar menghentikan langkah sekali lagi dan memandang Amani.

“Berapa harga yang awak tawarkan untuk sekeping gambar? Saya akan membayarnya asalkan awak tak masukkan ke dalam buletin sekolah.”

Terpaku mata Amshar memandang Amani.


DARI jauh Izz sudah tersenyum melihat kelibat Tania dan Amani yang berjalan seiringan. Dia mengangkat tangan melambai kepada Tania sebagai membalas lambaian Tania. Seperti biasa, setiap kali dia bersua dengan Tania, senyuman ceria gadis itu tidak pernah kurang.

 Perhatiannya beralih pula kepada Amani. Wajah dingin Amani juga tidak pernah berubah. Namun, sejak kelmarin pandangan mata Amani yang penuh dengan kebencian itu bagaikan sudah hilang. Amani tetap memandangnya tanpa senyuman namun tiada lagi kebencian yang dirasakannya. Adakah gadis itu sudah bisa menerima kehadirannya?

 Tania terus meluru membuka pintu dan melabuhkan punggungnya di sisi Izz. Amani tetap mengambil tempat duduk di belakang Izz.

  Izz menarik nafas lega dengan situasi itu. Nampaknya, hari ni sangat mudah menguruskan Amani.

  “Hari ni kita ke pekan, ya" Izz memecahkan kesunyian di antara mereka bertiga. "Kita beli baju sekolah dan kasut sekolah yang baru untuk Amani." Izz melirik Amani melalui cermin depan sambil memandu ke arah pekan.

Amani hanya mendiamkan diri. Menjeling pun tidak, membantah pun tidak. Entah apalah yang disibukkan Tuan Helmi dan Izz berkenaan dirinya. Dia tak minta semua itu. Memakai barangan Tania sahaja pun sudah membuatkan dia terasa beban. Inikan pula mahu membelikan yang baru buatnya. Lagi pun, barang-barang Tania masih elok dan boleh digunakan.

"Kita ke pekan ya, kak." Tania bersuara lembut. Dia memusingkan tubuhnya memandang Amani di tempat duduk belakang. Dia tak mahu pertengkarannya dengan Amani berlarutan. Lagi pun, belum pernah dia meninggikan suara dengan sesiapa. Inilah pertama kali dia melakukan begitu. Dia sendiri tidak percaya yang dia akan melakukan begitu. Memang dia merasa sedikit kesal dengan tindakannya itu.

"Tuan Helmi dah berikan saya sejumlah wang untuk belikan semua perkakas sekolah yang baru untuk awak. Itu amanah Tuan Helmi. Saya perlu tunaikan. Saya harap awak tak membantah," ujar Izz lagi.

Amani masih kaku seperti tadi. Namun, telinganya tetap mendengar setiap butir bicara mereka. Hanya, dia malas mahu bersuara.

Izz menghembuskan nafas perlahan. Kepalanya tergeleng. Bercakap dengan Amani bagaikan bercakap dengan batu. Namun kemudian, dia tersenyum. Bagus juga jika Amani membisu begini daripada dia memberontak. Mungkin kebisuannya itu menandakan dia setuju dengan saranan Izz.

Sampai sahaja di bandar, Izz memakirkan kereta di hadapan sebuah gedung. Izz dan Tania keluar dari kereta. Amani masih lagi membatu di kerusi belakang walaupun enjin kereta telah di matikan.

Tania dan Izz berpandangan. Izz memberi isyarat pada Tania agar memanggil Amani keluar. Pantas Tania menggeleng. Dia tidak pasti sama ada Amani masih marahkannya atau tidak. Dia tidak mahu dimarahi Amani lagi. Akhirnya, dia pula yang memberiisyarat kepada Izz agar memanggil Amani keluar dari kereta.

Dengan hembusan halus dari bibirnya, Izz membuka pintu belakang di sebelah kanan di mana Amani sedang berada. “Kita dah sampai, Amani.” Tangannya masih memegang pintu kereta.

Amani melangut memandang wajah Izz yang sudah membuka pintu untuknya.

“Marilah,” Izz berlembut sambil mengukirkan senyuman dan memberi isyarat agar Amani keluar dari kereta.

Sungguh, dia tidak mahu. Namun melihat sikap Izz yang berlemah lembut dengannya membuatkan Amani melangkah keluar. Masih sempat dia membuang jelingan tajam kepada Izz untuk memberitahu yang dia tidak suka dengan apa yang sedang berlaku.

Seperti biasa, Izz yang sudah terbiasa dengan jelingan itu hanya membalasnya dengan senyuman.

Tania sudah tersenyum lebar melihat Amani yang sudah melangkah keluar dari kereta. Dia terus mendekati Amani dan mencapai tangan kanan Amani. “Jom!” dia mahu beriringan dengan Amani.

 Terus Amani menarik tangannya dengan kasar. Amani menjeling Tania dengan tajam. Kenapa Tania selalu melakukan begini kepadanya? Tidak tahukah Tania yang dia tidak suka diperlakukan begitu? Amani terus berjalan masuk ke dalam tanpa memperdulikan perasaan Tania yang kecewa dengan sikapnya.

 Dengan wajah yang sugul Tania memandang Izz. Izz hanya menepuk-nepuk bahu Tania seakan memujuknya. Kemudian, Izz meneruskan langkah dan Tania mengekori di belakang.

Di bahagian hadapan gedung itu sudah kelihatan baju-baju sekolah yang tergantung. Tania terus menghampiri bahagian itu. Dia sudah berlari-lari anak memotong langkah Amani.

"Kak! Mari sini" Tania sudah melambai-lambai pada Amani dengan senyuman yang ceria. Bagaikan dialah yang sebenarnya mahu membelikan pakaian itu.

Amani hanya memerhatikan Tania. Seragam-seragam sekolah yang masih baru itu langsung tidak menarik perhatiannya. Dia terus berjalan melepasi Tania dan menuju ke bahagian buku dan peralatan tulis.

Izz memandang Tania yang sudah menarik muncung panjangnya. “Tania jangan sedih dengan Amani ya. Tania tahukan perangai dia. Tapi, sekurang-kurangnya, dia ikut kita ke sini. Biar saya pergi pujuk dia.”

Tania sudah menarik nafas panjang. Dia mengukirkan senyuman buat Izz. “Abang Izz pujuk Amani, biar Tania pilih baju untuk Kak Amani.”

Izz mengangguk. “Tania jangan ke mana-mana tau! Tania tunggu sini. Biar saya tengokkan Amani." Izz terus hilang ke ruangannya buku.

Tania terus membelek baju-baju di situ. Dari menunggu Amani, lebih baik dia yang membelikan seragam buat Amani. Lagi pun, dia tak perlukan Amani untuk mengukur badan. Saiz badan mereka berdua lebih kurang sama.

Mata Izz meliar mencari kelibat Amani. Amani berjalan begitu pantas, hingga dia hilang jejak Amani. Dari satu lorong ke satu lorong Izz mencari Amani. Akhirnya, apabila sampai ke lorong yang menempatkan buku-buku rujukan, pencariannya berakhir apabila kelibat Amani sedang tegak berdiri di situ.

Izz menarik nafas lega lalu mendekati Amani dan berdiri di sebelahnya. "Kita pilih baju dulu, kemudian beg sekolah dan peralatan tulis. Jika ada baki wang nanti, kita beli buku rujukan, boleh?" Itulah arahan yang diberikan Tuan Helmi padanya.

Amani memandang Izz. "Saya tak perlukan semua tu. Semua barang-barang Tania masih elok dan boleh dipakai,” tegas Amani.

“Tapi, ini arahan Tuan Helmi. Kalau awak perlukan buku rujukan, saya akan beritahu Tuan Helmi.”

“Awak akan buat hutang saya semakin bertambah.” Amani mengerling Izz dengan tajam.

Izz menarik nafas panjang. Susah betul berhadapan dengan Amani. Degil!

"Wang yang Tuan Helmi berikan pada awak, saya boleh gunakan untuk beli buku."

Izz diam seketika. "Tapi, buku rujukan Tania dah banyak. Awak boleh gunakan buku Tania."

"Saya tahu. Tapi, tak semua buku rujukan Tania ada. Ada setengahnya, sukar untuk difahami." Sebenarnya, Tania telah memberikan keizinan padanya untuk melihat buku-buku rujukan di kamarnya untuk dia mengulangkaji pelajaran yang telah lama ditinggalkan. Namun, kebanyakkan buku-buku rujukan Tania sukar untuk difahami. Kerana, buku-buku itu tidak tertulis dalam bentuk yang ringkas dan terlalu banyak perkara yang dikembangkan termasuklah perkara-perkara yang kurang penting.

"Maksud awak?" Tanya Izz. Kebanyakkan dari buku-buku Tania juga adalah dari peninggalan buku-bukunya ketika dia masih bersekolah menengah.

Amani mengerling Izz. "Saya mahukan buku yang ringkas dan padat untuk difahami. Buku-buku Tania penerangannya semua panjang berjela. Susah untuk difahami." Amani memusingkan tubuhnya memandang Izz. "Saya percaya Tuan Helmi takkan marah kalau awak gunakan wang yang dia beri untuk membeli buku buat saya."

Izz diam seketika. Akhirnya, dia mengukirkan senyuman lalu mengangguk menyetujui permintaan Amani. “Baiklah, saya akan terangkan kepada Tuan Helmi.”

Melihat anggukkan itu, Amani terus membelek-belek buku-buku rujukan yang dimahukannya. Izz hanya memerhatikan tingkah Amani dengan penuh minat. Kebanyakkan buku-buku yang Amani ambil hanya merumuskan setiap bab dalam bentuk point. Lebih banyak fakta berbanding rumusan yang terlalu panjang.

"Awak pasti awak lebih faham dengan bentuk buku sebegini. Tanpa rumusan dengan mendalam dan terperinci?" Soal Izz.

Amani memandang Izz dengan kerlingannya. Tumpuannya untuk memilih buku rujukan terganggu dengan suara Izz. "Buku rujukan adalah buku ringkas untuk dirujuk. Bukan novel yang perlu cerita yang berjela!" Perlahan namun nada Amani tetap keras.

“Novel?” Agak kelakar apabila Amani berkata tentang novel. “Awak tahu apa tu novel?”
Izz hanya tersenyum.

            Dahi Amani berkerut memandang Izz. Kenapa Izz ketawa?

            “Saya ingatkan awak tak tahu tentang novel,” tambah Izz.

            Amani menunduk memandang buku rujukan di tangannya. Sebelum ini, dia memang tidak tahu apa itu novel. Kebetulan, ketika dia meminjam buku rujukan Tania, dia melihat banyak buku-buku cinta di rak buku Tania. Dari situlah dia tahu, buku cerita sebegitu dinamakan sebagai novel. Bagaimanalah dia bisa tahu jika selama ini nak memiliki buku tulis sahaja pun, dia perlu mengikat perutnya.

            “Kenapa awak biarkan Tania baca buku sebegitu?” tanya Amani tanpa memandang Izz.

            “Uh?” Kenapa Amani perlu bertanya kepadanya? Bukan haknya untuk menentukan buku apa yang perlu dibaca Tania.

            “Awak penjaga dia, kan? Tuan Helmi amanahkan awak untuk menjaga Tania.” Bagaikan mengetahui apa yang tersirat di balik renungan Izz, Amani menjelaskan maksudnya.

            Izz tersenyum. “Kenapa? Salahkah Tania minat membaca novel?”

            Amani berbalas pandangan dengan Izz. “Novel cinta hanya melalaikan. Kehidupan sebenar bukan sekadar cinta.”

            Izz menjongketkan keningnya. Amani memang agak pesimis bila bercakap tentang cinta dan kasih sayang. “Dalam novel, memang tak ada subjek pelajaran di sekolah. Walaupun sedikit melalaikan, namun novel mengajar subjek kehidupan.”

            “Subjek kehidupan? Tentang cinta?” Amani ketawa sinis.

            Izz mengangguk. “Ya, cinta. Tapi, tak semua novel berkisarkan cinta. Banyak juga cerita kehidupan yang boleh kita ambil iktibar darinya.”

            Amani hanya menggelengkan kepala. Subjek kehidupan yang berteraskan cinta? Kenapa mereka di luar sana hanya tahu membuatkan anak muda tenggelam dengan cinta? Tak pernahkah kehidupan mereka terisi dengan sesuatu yang lebih bernilai selain cinta?

            “Novel tak semestinya tentang cinta semata-mata. Ada sesetengah penulis, menulis cerita berdasarkan pengalaman mereka. Ada juga kisah hidup yang berlaku di sekeliling mereka. Tapi, cinta tetap diselitkan. Kerana kita tidak dapat lari dari cinta.”

            Amani menutup buku rujukan di tangannya. “Tapi, novel dalam bilik Amani semuanya berkisarkan cinta semata-mata. Awak patut pantau apa yang dibacanya.” Dia telah melihat dan membelek satu persatu buku-buku novel yang ada di situ. “Semuanya berkisarkan cerita cinta yang ringan. Tak ada cerita yang berkaitan dengan pengalaman hidup melainkan cinta semata-mata.”

            Izz memandang Amani. Amani kelihatan serius dengan kata-katanya. Apakah kata-kata Amani ini menunjukkan yang dia mengambil berat tentang Tania?

            “Mungkin awak yang patut pantau Tania.”

            Amani melirik Izz.

            “Dia lebih dekat dengan awak. Awak lebih tahu apa yang dilakukannya. Saya tak ada dengan Tania 24 jam. Tapi, dia ada dengan awak sepanjang masa.”

            Amani membisu. Kata-kata Izz tidak di balas. Dia menyusun buku-buku yang telah dipilihnya lalu diserahkan kepada Izz. "Cukup tak dengan wang yang Tuan Helmi berikan?" Tanya Amani.

            Izz mula menghitung harga setiap buku. "Lebih dari cukup. Masih ada baki," ujar Izz. "Kita boleh beli baju baru untuk awak."

"Tak perlu! Sekarang-kurangnya, mak saya tak perlu membayar wang yang banyak untuk Tuan Helmi."

“Baiklah.” Izz mengangguk setuju.

Kemudian, Izz dan Amani berjalan ke kaunter pembayaran. Setelah itu, mereka menghampiri Tania yang sudah bersedia menunggu di ruang hadapan.

Melihat kelibat Izz dan Amani, wajah Tania berubah ceria. Dia melambai-lambai ke arah mereka. Izz tersenyum melihat tingkah Tania. Seperti biasa, Amani hanya memandang Tania tanpa perasaan.

"Kakak, tengoklah! Tania belikan baju baru untuk kakak" Tania menunjukkan plastik beg yang sudah berisi pakaian sekolah buat Amani.

Riak wajah Amani serta merta berubah. "Kau dah buat hutang aku bertambah!" Baru dia mahu meringankan tugas Zaiton. Sudahlah dia tidak dibenarkan bekerja, Tania telah menambahkan pula hutangnya.

Tania terkedu di situ. Niat baiknya tidak dihargai Amani. "Ini Tania beli dengan wang Tania, bukan wang papa. In bukan hutang. Kakak tak perlu bayar," ujar Tania dengan rasa terkilan.

"Apa yang buat kau rasa aku akan terima pemberian orang dengan percuma?" Amani mendengus kecil lalu berjalan keluar.

Tania tertunduk. Sebak hatinya dengan sikap Amani.

Izz memandang Tania dengan rasa kasihan. "Tak mengapalah Tania. Jangan ambil hati sangat. Tania kan tahu bagaimana sikap Amani. Tania gunakan sahaja seragam tu untuk Tania." Dengan kelembutan suaranya, Izz cuba memujuk Tania.

“Tapi, Tania beli untuk Amani. Baju seragam Tania dah banyak!”

Izz mengetap bibir. Dia berfikir seketika. “Apa kata, Tania beri kepada Makcik Zaiton."

Tiba-tiba sahaja wajah Tania berubah ceria. Dia memandang Izz. Izz benar, kalau dia memberikan baju itu kepada Zaiton, pasti Amani diminta agar mengambilnya.

"Jom kita balik." Senang hati Izz melihat senyuman di wajah Tania semula.



 -----------------------@@-------------

4 comments:

  1. Maaf ya jika ulasan saya tidak membina.kenapa jalan cerita ini sama dgn cerita korea yang pernah ditayangkan di tv2.dlm cerita korea tu nanti ibu amani akan kahwin dgn tn.helmi dan amani tetap dgn perangainya.memang sama. Dari awal hingga akhir

    ReplyDelete
    Replies
    1. tidak mengapa...saya tidak berkecik hati dengan komen anda. komen anda juga adalah komen yang mmebina. sekurang-kurangnya, saya dapat meneliti kembali jalan cerita SS.

      Okey, biar saya jelaskan di sini. mungkin anda tidak mengikuti jalan cerita SS dari awal.

      Sebenarnya, cerita ini asalanya bertajuk LUKISAN CINTA> cerita ini saya tulis adaptasi dari drama korea-cinderella stepsister (ketika ini niat saya menulis hanya untuk post di blog sahaja). Hanya saya mahu menyelitkan sedikit tentang perihal AGAMA di dalamnya, khusus buat pembaca yang kebanyakkannya berbangsa melayu dan beragama Islam.

      Kemudian, setelah saya menerima pelbagai komen dan cadangan. saya meneliti semula karya ini. setelah itu, saya mengubah semula jalan ceritanya tanpa melibatkan langsung drama korea itu. jika anda perhatikan dalam salah satu N3, saya ada memberitahu yang saya telah mengubah semua jalan ceritanya. hanya yang kekal adalah watak di dalam ceita ini. khususnya watak amani, Izz, Tuan Helmi dan Zaiton.

      jika anda perhatikan dengan teliti dan bandingkan antara kedua cerita ini, jalan ceritanya tidak sama. hanya emosi di dalam watak adalah sama.


      (SAYA PECAHKAN SEDIKIT SEDUTAN AKAN DATANG KHAS UNTUK ANDA)

      Untuk pengetahuan anda, Tuan helmi dan Zaiton tidka akan berkahwin. Namun, bagaimana mereka berdua (amani dan Tania) menjadi adik beradik tiri jika tidak berkahwin? ini semua akan saya jelaskan pada N3-N3 yang akan datang.

      saya akan dedahkanm satu persatu rahsia yang tersimpan antara Tuan Helmi dan Zaiton.

      Bagaimanapun, saya akan mencari semula drama korea ini dan menontonnya dan membandingkan dengan karya saya kerana saya tak mahu ada persamaan antara kedua cerita ini. sebenarnya, saya sendiri terlupa dengan jalan cerita drama korea ini.

      P/S: terima kasih dengan komen anda. jika anda terjumpa apa-apa lagi yang menyamai dengan karya ini, harap anda boleh memberi balasan kepada saya ya. saya juga tidak mahu karya saya mempunyai persamaa dan mengikuti dengan cerita lain memandangkan saya sudah menulis semula cerita ini.

      terima kasih ya....@emmarusdi/PSB

      Delete
  2. ish arap2 tn helmi xbkwen ngn zaiton...huhu

    ReplyDelete