Termenung aku seketika dengan keadaan diri aku
sekarang. Aku pandang bintang-bintang yang bertaburan di langit yang kelam.
Sebentar tadi, aku sudah menghubungi Lin dan
memberitahu kepadanya yang aku tidak jadi tinggal bersamanya. Tapi aku masih
belum jelaskan apa yang telah terjadi. Esok, ketika aku ke butik Lucky Hana,
aku akan jelaskan semuanya kepada Lin.
Selama ini aku menyangkakan bakat aku dalam
bidang rekaan fesyen datang dari bakat arwah atuk. Namun, sangkaan aku meleset.
Pakcik Hardy, seorang pereka fesyen
antarabangsa yang telah memilki jenamanya sendiri ‘Hardy Zafry’. Bukan setakat
pereka pakaian, malah Hardy Zafry juga terkenal dengan rekaan kasut kulitnya.
Hardy Zafry itu adalah pakcik ku. Abang kepada mak!
Saat aku tahu tentang ini, aku memang
terkejut. Siapa sangka Hardy Zafry yang tersenarai di dalam lis idola aku
rupanya pakcikku sendiri. Patutlah tatkala kami bertemu aku seakan pernah
melihat wajahnya.
Rupanya, pakcik Hardy dan mak pernah
bertengkar dan bergaduh. Puncanya, kerana mak mahu mengahwini arwah abah. Saat mak
membuat keputusan itu, arwah abah adalah seorang pemuda yang biasa dan tidak
punya pekerjaan yang tetap. Kerana itulah Pakcik Hardy menolak arwah abah.
Namun, mak tetap bertegas mahu mengahwini arwah abah.
Dek kerana kecewa dengan keputusan mak, Pakcik
Hardy membawa diri hingga ke luar negara. Setelah tiga puluh tahun tinggal di
Amerika, Pakcik Hardy mula teringat untuk mencari keluarganya semula. Pakcik
Hardy mengupah Ayen yang telah diambil menjadi anak angkatnya untuk pulang ke
Malaysia dan mencari mak. Pakcik Hardy tidak pernah berkahwin dan kesibukannya
membuatkan dia tidak punya masa untuk memikirkan soal wanita.
Pakcik Hardy mengambil Ayen sebagai anak
angkat dan mengupah orang gaji untuk menguruskan kehidupan Ayen. Mungkin pakcik
Hardy sedar yang dia tidak punya masa yang banyak untuk menguruskan keluarga
jika dia berkahwin. Tetapi, dia mahukan zuriat. Maka dia mengambil anak angkat.
Entahlah, itulah yang diceritakannya kepada ku.
Ayenlah yang menjadi pengintip dan memberitahu
segala perkembangan keluarga kami kepada Pakcik Hardy.
Mungkin kerana Pakcik Hardylah yang menyebabkan
mak tidak suka aku menjadi pereka fesyen. Mungkin, apabila mak melihat aku, mak
nampak Pakcik Hardy dalam diri aku. Itu yang membuatkan mak tak mahu aku
terlibat dalam dunia fesyen. Segalanya berkemungkinan...
Pakcik Hardy baru sahaja tiba ke Malaysia satu
minggu yang lepas. Dia langsung tidak menyangka apa yang telah terjadi ke atas
aku. Walaupun aku tak pernah menceritakan apa-apa padanya, namun Ayen sangat
bijak dalam menyiasat setiap perkara yang berlaku. Patutlah Ayen suka mendekati
Bella. Dengan Bella, segala maklumat dan cerita keluarga kami senang
diperolehinya. Dengan aku? Jangan haraplah aku nak ceritakan masalah keluarga
aku pada orang lain!
“Awak okey?” Tiba-tiba suara Ayen memecah
dinding telinga ku.
Aku hanya tersenyum padanya. “Saya okey.” Aku
pandang Ayen yang sedang berjalan menghampiri dan akhirnya duduk di depanku.
Ayen menyerahkan secawan coklat panas untuk ku
lalu menghirup secawan lagi.
“Terima kasih,” Aku juga menghirup coklat
panas yang disediakan Ayen walaupun aku tak punya nafsu untuknya. Aku pandang
Ayen yang sedang tertunduk sambil memusing-musing cawan di depannya. Mungkin
Ayen sedang berfikir sesuatu.
Aku tatap wajah Ayen. Lama. Betul kata Bella,
Ayen memang kacak. Bukan setakat kacak namun sangat kacak. Selama ini aku tidak
pernah membelek wajah Ayen sehingga aku tak nampak wajah lelaki Inggeris yang
di milikinya. Namun, kekacakannya lebih terserlah kerana rambutnya yang hitam
pekat, begitu juga matanya yang hitam.
Kafasihan Ayen bertutur dalam bahasa Melayu
membuatkan dia kelihatan seperti berdarah kacukan sedangkan dia adalah pemuda
Inggeris sejati tanpa darah campuran. Pandai Pakcik Hardy mendidik Ayen
sehingga darah Melayu sebati dalam dirinya.
“Saya ada perkara yang nak dibincangkan dengan
awak,” Perlahan-lahan Ayen mengangkat wajahnya dan memandang aku.
Pandangan mata Ayen kelihatan begitu serius. “kenapa?”
Jantung aku mula berdebar kencang.
“Pakcik Hardy....” Ayen terdiam. Dia bersandar
di kerusi. Kenapa? Dia kelihatan berat untuk berkata-kata.
“Kenapa dengan Pakcik Hardy?”
Ayen tertunduk seketika. Aku memandang terus
ke dalam anak matanya. Ada airmata yang sedang bertakung! Ayen menangis?!
“Kenapa dengan Pakcik Hardy?” Hati aku mula
tidak keruan. Pasti ada sesuatu perkara yang terjadi.
“Pakcik Hardy sakit. Dia tak punya banyak masa
di dunia ni.”
“Ya Allah....” Terkejut aku. Walaupun Ayen
tidak berterus terang, namun aku cukup mengerti dengan maksudnya.
Maknanya, Pakcik Hardy hanya mengunggu sisa
hidupnya di dunia ini. Ya Allah, aku baru bertemu dengan Pakcik ku. Dan Ketika
ini, aku telah tahu yang aku akan kehilangannya kembali.
____________________________________________
Aku pandang Ayen dan Ayen pandang aku. Kami sama-sama
tergamam. Aku tak tahu jawapan yang patut aku berikan. Terus aku melangkah ke
luar.
Aku menarik nafas dalam-dalam dan aku lepaskan
perlahan.
“Lucky,” Ayen sudah berdiri di belakang ku.
“Ayen, saya belum bersedia untuk bincangkan
hal ni,” ujar aku tanpa menoleh kepadanya. “Berikan saya ruang untuk
bersendiri. Saya belum bersedia untuk bincangkan hal ni.”
“Baiklah,” Ayen terus melangkah mencapai
helmetnya dan menaiki Kawasaki Ninja. Dia terus hilang entah ke mana.
Aku terduduk di situ. Kenapa aku? Pakcik Hardy
mahu menyerahkan Hardy Zafry kepadaku dan Ayen. Dia mahu kami uruskan
perniagaannnya dan meneruskan cita-citanya. Antara aku dan Nabila, aku yang
memiliki bakatnya. Maka, dia meletakkan harapan yang tinggi padaku.
In Sha Allah, aku boleh menguruskan Hardy
Zafry dan akan teruskan nama yang gah itu walaupun aku juga bercita-cita untuk
membawa ‘Lucky Hana’ ke peringkat antarabangsa. Cuma, ada satu permintaan dari Pakcik
Hardy yang sukar untuk aku tunaikan.
Pakcik Hardy mahu aku menikahi Ayen. Aku sangat
terkejut dengan permintaan yang satu itu. Sepatutnya Pakcik Hardy tak perlu
buat begitu. Andai Pakcik Hardy mahu menyerahkan sebahagian besar hartanya
kepada Ayen, aku sedikit pun tak kisah. Aku telah punya harta yang banyak dan
aku sendiri tak mampu untuk menguruskannya.
Namun, Pakcik Hardy tetap mahu kami bersatu.
Dia mahu Ayen menjadi bapa kepada keturunannya melalui aku. Saat Pakcik Hardy
meluahkan hasratnya, Ayen kelihatan tertekan. Tentu sahaja Ayen juga tidak
bersetuju dengan cadangan Pakcik Hardy. Mungkin, aku tidak memenuhi kriteria calon
isteri idaman Ayen.
Maka, aku cadangkan agar Ayen menikahi Nabila.
Mungkin Ayen lebih suka kepada adik aku yang cantik itu. Namun, Pakcik hardy
menolak. Pakcik Hardy sangat sayangkan Ayen. Sayangnya Ayen bukan dari
zuriatnya. Maka, dia mahu anak dari Ayen lahir dari zuriat keluarganya.
Tapi, Pakcik Hardy dengan tegas tidak mahukan
Nabila menjadi isteri Ayen. Aku tak tahulah sebabnya. Dalam perbincangan itu,
Ayen hanya diam tertunduk memandang lantai. Entah apalah perasaan yang tersembunyi
dalam jiwa Ayen sebenarnya.
_____________________________________________
“Saya dah ada teman wanita,” Akhirnya Ayen
meluahkan juga apa yang terpendam dalam hatinya.
Aku pun tak pasti kenapa, apabila Ayen
memberitahu tentang itu perasaan aku bagaikan hancur. Kenapa aku perlu rasa
kecewa sedangkan aku tak pernah berbaik-baik dengan Ayen sebelum ini?
Adakah hatiku sedang menipu aku?
Aku menarik nafas panjang dan cuba menenangkan
diri. “Kalau macam tu, awak patut berterus terang dengan Pakcik Hardy.”
“Saya tak sanggup.” Ayen tertunduk sambil
menyelak rambutnya kebelakang.
“Jadi?”
Ayen memandang aku. Aku dapat merasakan
perasaannya yang sedang kecewa itu. Alangkah bertuahnya gadis itu kerana Ayen
sangat menyayangi dirinya.
“Saya buntu.”
Aku diam seketika. Agak lama juga aku
berfikir. Aku juga tak sanggup melukakan hati Pakcik Hardy. Apatah lagi, dialah
satu-satunya keluarga yang aku punya saat ini.
“Boleh saya beri cadangan?”
Pantas Ayen mengangguk.
“Apa kata, kalau kita ikut saja permintaan Pakcik
Hardy.”
“Kita kahwin?!” Ayen menggeleng. Nampak sangat
dia tak mahu aku menjadi isterinya.
“Dengar dulu penjelasan saya,” ujar ku. “Usia
Pakcik Hardy tidak lama. Kita kahwin hanya sekadar mengikut permintaannya. Bila
sampai masanya,” Tatkala ini aku sudah mahu menangis. Bila sampai masanya itu
membawa maksud-apabila Pakcik Hardy meninggal nanti. Aku tak sanggup untuk
menyatakannya. “Kita berpisah. Awak kembalilah kepada teman wanita awak.”
“Habis, awak macam mana?”
“Kita kahwin olok-olok. Awak dengan jalan
awak, saya dengan jalan saya. Dengan carat u, kita takkan punya zuriat seperti
yang Pakcik Hardy mahukan.”
Lama juga Ayen tertunduk. “Tapi, kalau macam
tu, saya seakan-akan telah mempermainkan hidup awak. Awak patut hidup bahagia
seperti orang lain.”
Aku mengetap bibir. Baiknya hati Ayen kerana
masih memikirkan tentang aku. “Inilah yang dinamakan pengorbanan.” Pengorbanan
yang mungkin akan mengorbankan kebahagiaan aku.
Tapi, perkara itu tak menjadi masalah. Sejak
bila aku tidak berkorban? Sejak aku aku kecil lagi aku sudah banyak berkorban
dan setiap detik aku seakan lupa makna kebahagiaan melainkan tatkala aku
terbuai bersama lakaranku. Sejak arwah abah meninggal, erti kebahagiaan itu
telah ternoktah dalam kamus hidup aku.
“Itu tak adil untuk awak.”
“Adil atau tidak, bukan saya yang perlu
menghukumnya. Biarkanlah...Awak tak perlu fikir tantang saya. Selama ni pun,
saya tak pernah fikir tentang kebahagiaan saya.”
------------------------------------
Atas permintaan Pakcik Hardy, akhirnya aku dan
Ayen bernikah. Seperti perjanjian antara aku dan Ayen, kami hanya bergelar
suami isteri tetapi tidak akan menjalani kehidupan suami isteri yang sebenar.
Saat aku bertemu dengan mak untuk menyerahkan
kad perkahwinan ku kepada mak, aku lihat mak kelihatan sebak. Perkara yang
paling mengharukan apabila mak memeluk aku. Ya Allah, aku sangat rindukan
pelukan ini. Walaupun sementara sahaja
pelukan itu, namun ia sangat bermakna untuk aku.
Aku juga ceritakan kepada mak tentang Pakcik
Hardy. Namun, mak tak mahu bertemu dengan Pakcik Hardy. Aku sangat kecewa. Kenapa
mak tak nak lupakan sengketa lama dan buka hidup baru? Malah, mak dan keluarga
yang lain juga tidak datang ke majlis pernikahan aku dengan Ayen. Hanya Allah
sahaja yang tahu, bagaimana sedihnya perasaan aku pada hari yang sepatutnya
menjadi hari bahagia buat aku.
Walaupun aku dan Ayen sepakat untuk membuat
perjanjian di atas pernikahan kami, namun, tanpa disedari aku bahagia bila
berada di sisi Ayen walaupun itu semua satu penipuan. Ayen menganggap aku
sebagai sahabat baiknya. Ayen sentiasa memberikan aku dorongan demi dorongan.
Sejak bergelar isteri, aku mula mengenakan
hijab. Entahlah, tiba-tiba sahaja aku rasa mahu mendekati Allah. Dengan mendekatiNya
segala kekurangan aku bagaikan cukup sempurna. Malah, aku rezeki aku semakin
mencurah-curah apabila aku mula membuat rekaan muslimah. Siapa sangka, rekaan
muslimah juga mempunyai banyak permintaan. Namun, dalam rekaan muslimah ini aku
memakai jenama Lucky Hana.
Malam ini, adalah malam yang paling bermakna
buat aku dan Ayen. Hardy Zafry akan melancarkan design kasut kulit yang baru.
Show malam ini sangat penting untuk membawa rekaan terbaru Hardy Zafry ke
pasaran antarabangsa.
Memang sangat mendebarkan untuk menunggu saat
majlis malam ini berakhir.
Akhirnya, masa yang ditunggu-tunggu telah
tiba. Pakcik Hardy sedang memberi ucapan penghargaan di atas pentas.
“Kini saya memperkenalkan peneraju utama Hardy
Zafry yang akan mengambil alih Hardy Zafry. Kedua-dua mereka adalah anak-anak
yang paling saya sayangi. Shahureen dan Hana Zarra.”
Maka ramailah tepukan yang bergema bersama
cahaya lensa yang berkelipan mengambil foto kami berdua yang beriringan ke atas
pentas. Aku terasa begitu hebat apabila semua memandang ke arah kami. Mungkin,
inilah kejayaan terbesar dalam hidupku.
Aku sangat berharap yang mak akan hadir malam ini.
Seperti biasa, harapan aku hanya akan tetap tinggal harapan. Namun, sedikit
sebanyak kedukaan aku terubat dengan kehadiran Lin yang sentiasa menemani aku
dan berkongsi keluh kesah ku.
Usai aku dan Ayen memberi ucapan, Lin datang
kepadaku dan terus memeluk aku.
“Kau memang sangat bertuah Lucky! Aku bangga
jadi kawan kau!” Ucapan yang sangat ikhlas namun merentap tangkai hatiku.
Aku memang bertuah di satu sisi dan sangat
tidak bertuah di sisi yang lain. Hanya aku yang mengetahui tentang itu.
-------------------------------------------
Belum sampai seminggu dari majlis pelancaran
Hardy Zafry, Pakcik Hardy meninggal. Ya Allah, satu persatu manusia yang aku
kasihi meninggalkan aku. Akulah satu-satunya manusia yang bernama Lucky tetapi
unlucky.
Ketika pengebumian Pakcik Hardy, ramailah
wartawan dari dalam dan luar negara membuat liputan. Aku begitu lemah untuk
menjawab soalan demi persoalan yang diberikan mereka. Mujurlah ada Ayen yang
banyak mengawal keadaan.
Sehinggalah kami pulang ke rumah sebaik sahaja
selesai upacara pengebumian arwah Pakcik Hardy, wartawan masih terus mengejar.
Ayen memberi arahan kepada pengawal untuk menutup semua pintu agar tiada
seorang wartawan yang masuk.
Ketika aku bersendirian di dalam kamar, aku
menerima satu pesanan ringkas dari mak yang menyatakan kesedihannya atas
pemergian arwah Pakcik Hardy, sayangnya mak tak dapat melawat aku kerana Pakcik
Naza tidak mengizinkan.
Apa yang mampu aku lakukan adalah menangis dan
terus menangis. Aku benar-benar terasa keseorangan dan kesunyian. Aku tak punya
tempat untuk meluahkan segala perasaan yang terbuku dalam hatiku. Maka, aku
terus menangis dan menangis untuk meluahkan perasaan yang terpendam.
“Lucky,” Ayen memang lembut bahuku.
Aku memandangnya. Terus Ayen menarik aku masuk
ke dalam pelukannya. Aku menangis semahu-mahunya di dalam pelukan Ayen.
Tiba-tiba sahaja telefon Ayen bordering.
“Sekejap ya Lucky,” Ayen terus berlalu. Aku memandang
Ayen yang telah meninggalkan aku.
Aku telah kehilangan mak dan Nabila. Sekarang,
aku kehilangan pakcik Hardy. Tak lama lagi aku akan kehilangan Ayen. Bukankah
kami telah berjanji yang penikahan ini akan bertahan sehingga Pakcik Hardy
meninggal?
Maka, inilah saatnya aku perlu kehilangan Ayen
pula.
Mengingatkan ini, airmata aku kembali
mengalir.
“Ya Allah, kuatkanlah hati aku dalam meniti
setiap ketetapan yang Kau berikan. Sesungguhnya, aku mempunyai hati yang sangat
lemah. Aku kehilangan ayahku, aku kehilangan ibuku dan keluargaku, aku
kehilangan pakcik ku dan aku akan kehilangan suami ku. Bantulah aku Ya Allah.”
Aku merintih dan terus merintih.
Tiba-tiba aku terdengar deringan telefon. Mungkin
milik salah seorang pembantu rumahku. Mendengar baik-baik lagi itu membuatkan
aku semakin sebak.
“She’s so Lucky
She’s a star
But she cry cry cry
In her lonely heart tinking
If there is nothing missing in my life
Why do this tears come at night”
Namun, aku sentiasa berdoa agar satu hari
nanti aku bertemu dengan satu perkataan. Iaitu BAHAGIA.
-tamat-
P/S : In Sha Allah, kisah ini akan saya jadikan manuskrip....
No comments:
Post a Comment