AMANI mengintai di balik
dinding bilik lukisan. Kelihatan sepasang kekasih sedang berpegangan tangan dan
bergurau senda. Mata Amani terus terancap dan kaku kepada mereka. Kelibat Faiz
bersama seorang pelajar perempuan terus menjadi perhatian Amani.
“Macam mana?” suara Amsyar yang berada di belakangnya.
Amani berpaling memandang Amsyar.
“Sekarang awak dah percaya?”
Tanpa menjawap soalan Amsyar, Amani berjalan meninggalkan
tempat itu. Amsyar mengekorinya dari belakang.
“Macam mana sekarang?” tanya Amsyar.
Amani menghantikan langkahnya. Dia berpaling semula
melihat Amsyar. Namun, sebutir bicara langsung tidak terkeluar dari bibirnya.
Bagaikan Amani sedang memikirkan sesuatu. Agak lama juga Amani merenung wajah
Amsyar tanpa sebarang reaksi.
“Awak ni, sebenarnya nak apa?” Amsyar sudah mencekak
pingganganya. Dia sudah bosan menunggu Amani yang terus membisu begitu. Ada
sedikit keluhan kedengaran dari bibirnya. “Lebih baik awak cakap cepat apa yang
awak mahukan. Kang tak pasal-pasal, kalau ada prefect lalu tempat ni, kita berdua pulak yang kena.”
Amsyar mencebikkan bibirnya. Tak mahulah dia jika
ditangkap bersama-sama Amani. Nanti satu sekolah akan mengatakan yang dia dan
Amani punya hubungan istimewa. Kalau dengan pelajar perempuan lain, mungkin dia
boleh terima. Tapi bukan dengan Amani. Ya, jika dilihat dengan teliti, Amani
cantik orangnya. Tetapi bagai ada satu halangan untuknya jatuh cinta dengan
Amani. Gadis itu dingin, kaku dan sukar untuk didekati. Dan yang paling ketara,
pandangan mata Amani yang mampu membuatkan lelaki sepertinya tidak sanggup
untuk mendekati gadis itu.
“Okey, kalau tak ada apa-apa lebih baik saya pergi dari
sini.” Amsyar sudah memusingkan tubuhnya untuk berlalu dari situ.
“Berapa bayaran untuk gambar-gambar Tania dan Faiz?”
Akhirnya Amani membuka mulut.
Amsyar tertunduk memandang lantai. Jadi, kelmarin ketika
Amani bertanya tentang harga sekeping foto adalah foto Faiz dan Tania? Kenapa
Amani perlu lakukan begini? Kerana Faiz atau kerana Tania?
“Awak nak beli foto-foto mereka yang ada pada saya?”
Amsyar meminta kepastian.
“Berapa keping foto mereka yang awak ada? Saya nak awak delete dari kamera awak.” Tanpa
mengangguk untuk menjawap soalan Amsyar, Amani terus menghulurkan tangan untuk
melihat kamera digital milik Amsyar.
Amsyar memuncungkan bibirnya. “Saya tak akan benarkan
awak menyentuh kamera saya.”
Amani mendengus kecil. “Kalau begitu, saya nak awak delete setiap gambar di depan saya dan
buktikan yang awak ada lagi foto mereka di dalam kamera awak.”
Amsyar mengetatkan bibirnya lalu mengangguk. “Okey,
baiklah.”
“Jadi, berapa harga untuk setiap foto?” tanya Amani untuk
sekian kali.
Amsyar tertawa kecil. “Sifat kewartawanan yang ada dalam
diri saya tak mampu tukarkan setiap berita dengan harga.” Ada nada sindiran
dari kata-katanya. Amsyar mendekati Amani. Hanya dua langkah sahaja dari Amani,
Amsyar menghentikan langkahnya. Ketinggiannya itu memaksa Amani melangut untuk
berbalas pandangan dengannya.
“Berita tentang Faiz dan Tania, akan jadi berita hangat!
Berbanding hubungan Faiz dengan pelajar perempuan lain, hubungan Faiz dengan
Tania lebih berbisa! Tahu kenapa? Tania bukan sahaja anak perempuan tunggal kepada
Tuan Helmi tetapi juga pelajar yang mewakili sekolah dalam pertandingan Tilawah
Al-Quran nanti.”
Tiba-tiba sahaja dada Amani berombak. Dia menelan air
liurnya untuk menelan bisa-bisa dari kata-kata Amsyar. Tania memang bodoh! Tak
sedarkah dia yang dia adalah wakil pelajar dan wakil sekolah dalam bidang
keagamaan? Kenapa dia sanggup melakukan begini?!
“Saya boleh buang setiap foto-foto itu, asalkan awak beri
saya berita hangat untuk menggantikan berita ini!” Perlahan namun sangat tegas
Amsyar menuturkan kata-katanya.
Amani memusingkan tubuhnya dan bergerak menjauhi Amsyar.
Otaknya sedang ligat berfikir.
Amsyar membiarkan sahaja Amani tenggelam sendirian di
situ sambil dia membelek-belek foto-foto Faiz dan Tania yang berjaya
diambilnya. Sungguh, jika foto ini
dimuatkan dalam majalah bulanan sekolah, pasti kecoh! Semakin kecoh
sesuatu berita itu, semakin menunjukkan kejayaannya dalam bidang ini. Dia sudah
tersenyum lebar memikirkan segala kemungkinan yang bakal terjadi.
“Baiklah.” Setelah agak lama Amani berfikir, barulah dia
bersuara. Wajah Amsyar dipandangnya.
Amsyar sudah memberi perhatian kepada Amani sambil
bibirnya tersenyum lebar. Tak sabar dia mengunggu keputusan dari Amani.
“Gantikan tempat Tania dengan saya.”
“Uh?” Senyuman Amsyar mati. Matanya membulat kerana
terkejut.
“Awak tak faham lagi?” Dengus Amani.
“Awak siapa? Awak nak gantikan diri awak dengan Tania?”
Amsyar memegang dagunya. “Amani, teman wanita Faiz seterusnya.” Dia cuba
membayangkan tajuk artikel yang bakal di tulisnya. Kemudian dia memandang
Amani. “Siapa Amani? Tak ramai yang kenal awak. Teman-teman wanita Faiz sebelum
ni lebih dikenali. Awak cuma seorang anak orang gaji di rumah Tania.”
Amani tertegun seketika. Memang hidupnya menumpang di
rumah Tania. Namun, dia tidak pernah merasa hina seperti kata-kata Amsyar saat
ini. Dari kata-kata Amsyar, menunjukkan yang sebelum ini gossip berkenaan Faiz
dengan teman-teman wanitanya pernah dimuatkan dalam majalah sekolah. Kenapa
Tania begitu bodoh sehingga sanggup menjadi mangsa Faiz?
“Kenapa? Awak terkejut saya tahu tentang ni? Satu sekolah
bercakap tentang ni.”Amsyar mengukir senyuman sinis. “Lagipun, saya-kan ahli
sidang redaksi sekolah.”
“Kalau satu sekolah tahu saya anak orang gaji di rumah
Tania, maknanya mereka mengenali saya,” Amani membalas penghinaan Amsyar dengan
nada yang sinis juga. “Cuba awak bayangkan, tajuk artikel yang bakal terkenal.
‘Playboy besar ada hubungan dengan anak orang gaji.’” Amani meniru reaksi yang
sama yang dilakukan Amsyar. “Awak tak rasa cerita ni akan lebih meletup?”
Amsyar mendengus kecil apabila menerima sindiran itu.
“Ya, tapi tak sehebat cerita Tania dan Faiz.”
Amani terus memandang wajah di depannya.
“Tapi,” Amsyar membalas pandangan Amani setelah masing-masing
berdiam diri seketika. “Kenapa awak nak buat semua ni? Awak sedang bersaing
dengan Tania?”
Amani membisu.
“Atau, ini sekadar rancangan awak untuk mendapat
perhatian Faiz? Sama seperti mereka yang lain?” tanya Amsyar lagi.
Amani masih membisu.
“Kalau awak jelaskan kepada saya tujuan sebenar awak, saya
akan pertimbangkan permintaan awak.” Ada nada ugutan di situ.
Amani mendengus kasar. Orang-orang seperti Amsyar yang
terlalu taksub dengan hobi dan cita-citanya, memang pandai memanipulasi
keadaan. Semakin banyak mulutnya di buka, semakin banyak cerita yang Amsyar
akan tahu.
Dengan perasaan geram dan marah, Amani merenung Amsyar
dengan tajam. Lantas, dia menarik kolar baju Amsyar yang berdiri di depannya. “Awak
tentu selalu melihat seorang lelaki yang akan menghantar saya dan Tania ke
sekolah? Awak tahu dia siapa?” Kuat dan erat sekali baju Amyar digenggam.
Tergamam Amsyar dengan tindakan Amani. Panahan mata Amani
bagaikan sedang membakar dirinya. Entah kenapa, panahan mata itu membuatkan
jiwa lelakinya yang kental itu tergamam membeku. Amani….. dia memang sangat
menakutkan apabila marah!
“Saya tahu, saya tahu….. Saya kenal.” Tegagap-gapap Amsyar
berkata begitu.
“Kalau awak kenal, tentu awak juga tahu jika awak
memburukkan Tania, salah satu katil di hospital akan jadi milik awak. Atau,” Semakin
kuat Amani mencengkam kolar baju putih Amsyar. “Kemungkinan besar, ada van
jenazah yang akan singgah di rumah awak nanti.” Suara Amani berbisik begitu
perlahan di cuping telingan Amsyar. Namun dengannya nadanya begitu keras.
“Baiklah, baiklah. Saya ikut kata awak,” Amsyar seakan
merayu.
Dengan kasar, Amani melepaskan kolar baju Amsyar. Dasar lelaki
pengecut. Hanya dengan seorang perempuan sepertinya, Amsyar menjadi takut
begitu? Atau, mungkin kata-katanya berkenaan lelaki yang selalu menghantar
mereka itu yang membuatkan Amsyar takut. Izz memang layak untuk digeruni oleh
mereka yang cuba menghancurkan keluarga Tuan Helmi.
Sebaik sahaja Amani melepaskan kolar bajunya, Amsyar
membetulkan semula bajunya yang sudah tidak kemas. Dia cuba berdehem beberapakali
untuk mengawal rasa malunya. Huh! Hilang macho!
“Okey, sekarang, apa yang awak mahu saya lakukan?”
“Buang semua foto-foto Tania dan Faiz!”
Amsyar menekan butang ‘on’
pada kamera digitalnya. Lalu, dia menekan button ‘delete’ untuk setiap foto Tania dan Faiz sambil diperhatikan oleh
Amani.
“Okey, dah!” ujarnya apabila semua foto itu telah
dibuang.
Amani menghulurkan tangan untuk meminta kamera Amsyar. Amsyar
mendengus. Dengan rasa terpaksa, dia menyerahkan juga kamera yang sentiasa
menjadi rahsia peribadinya kepada seorang gadis pelik di depannya ini.
Dengan jelingan yang tajam, Amani melihat keseluruhan
foto yang ada. Semuanya berjumlah 432 keping. Dan kesemuanya dilihat Amani
tanpa meninggalkan satu fato sekali pun. Setelah berpuas hati, dia menyerahkan
semula kamera Amsyar kepada tuannya.
“Ikut saya sekarang, dan ambil gambar saya dan Faiz
dengan jelas.”
“Awak yakin dengan apa yang awak lakukan?” Walaupun ada
perasaan tak suka pada Amani kerana sikapnya, namun jauh dalam sudut hatinya,
dia tidak bersetuju dengan tindakan Amani. Amani hanya akan memburukkan imejnya
sebagai seorang pelajar baru. Apatah lagi, hubungannya dengan Tania juga akan
berantakan sedangkan selama ini dia melihat Tania seringkali cuba untuk mendekati
Amani.
Bagaimana pula penerimaan Tuan Helmi apabila mengetahui
sikap Amani? Tentu Amani akan dihukum dengan teruk. Tak sedarkan gadis itu yang
dia hanya anak seorang pembantu rumah? Kenapa mencari masalah dengan anak
tuannya?
“Ini sebagai balasan terhadap kesudian awak untuk
kehilangan gossip yang hebat,” balas Amani.
Amsyar menunduk seketika sambil berfikir. “Hmmm,
beginilah. Saya setuju jika awak membayar harga setiap kepingan gambar yang
saya dah buang tu. Awak tak perlu buat begini.”
Amani memandang tajam jauh ke dalam anak mata Amsyar. Lelaki
itu kelihatan tulus. Namun, dia punya perancangan yang lain sejak Amsyar
meminta dia menggantikan gossip hangat itu. “Tak! Teruskan dengan rancangan
saya.”
Amani terus memusingkan tubuhnya dan berjalan semula ke
tempat di mana Faiz berada.
Amsyar mengetap bibir. Amani tidak kelihatan main-main
dengan kata-katanya. “Awak ambil berat tentang Tania, kan?!” tanya Amsyar
separuh menjerit kepada Amani yang semakin jauh meninggalkannya.
Sambil berjalan Amani berpaling memandang Amsyar. “Awak
tak perlu tahu tentang itu!” Dia menoleh semula ke depan dan berjalan lebih
laju dan lebih yakin.
Amsyar menghembuskan nafas kecewa sambil menggelengkan
kepala. Dia mengikuti langkah Amani. Dan akhirnya, dia berhenti di balik tembok
untuk melindungi dirinya dari dilihat oleh Faiz.
Dai balik dinding itu, dia mula mengintai bersama
kameranya. Amani kini sedang berhadapan dengan Faiz dan teman wanitanya, Euhanis.
“Kau nak apa?” tanya Faiz yang terkejut dengan kehadiran
Amani. Dia sudah menelan air liurnya. Dia langsung tak menyangka Amani akan
muncul di sini. Seraut wajah Tania muncul. Bagaimana jika Amani memberitahu
Tania tentang semua ini?
Amani beralih memandang Euhanis. “Sebelum aku laporkan
kepada pengawas atau cikgu Haqq, lebih baik kau pergi dari sini.” Matanya
menikam wajah Euhanis.
Tanpa sebarang bicara Euhanis terus berlalu dari situ. Sempat
lagi dia melirik Faiz yang ditinggalkan.
“Tunggu Faiz!” panggil Amani apabila melihat Faiz yang
juga sudah membuka langkah untuk pergi.
Langkah Faiz terhenti. Dia berpaling memandang Amani. Dia
menyeluk kedua-dua tangan ke dalam kocek seluar. Entah apa yang bakal dikatakan
Amani kepadanya.
Amani terus memandang Faiz. Apa yang perlu dilakukan?
Bagaimana caranya untuk mendekati Faiz? Perlukah dia melenggokkan tubuhnya
seperti Tania? Tidak! Dia tidak pandai meliukkan tubuhnya begitu. Dia terus
memandang Faiz dengan kerutan di dahi.
Akhirnya, tanpa perasaan segan atau takut, Amani
mendekati Faiz dan menarik kedua-dua tangan Faiz yang tersembunyi di balik
kocek seluar hijaunya.
Tergamam Faiz di situ. Namun, dia tidak membantah.
Amsyar menepuk dahinya.
Jelas sekali Amani tidak pandai memikat hati lelaki. Tanpa perasaan dan
reaksi yang kaku, gadis itu mendekati Faiz dan memegang tangan lelaki itu. Kalau
dia jadi Faiz, dia juga akan terkedu di situ. Namun, tanpa berlengah, Amsyar
mula memetik lensa kameranya.
“Apa yang awak buat ni Amani?” Dengan menelan air liur
yang tak henti-henti, Faiz bertanya. Namun, dia langsung tidak membantah
tindakan Amani yang sedang memegang tangannya. Apakah Amani punya perasaan
terhadapnya?
“Awak tak layak untuk Tania,” ujar Amani.
Debaran di hati Faiz kian menurun. Dia cuba mengawal
perasaan yang mula bercampur baur di dalam diri. “Jadi?”
“Awak kena tinggalkan Tania,” sambung Amani.
Faiz ketawa kecil. “Saya boleh tinggalkan Tania. Tapi,
Tania tak mahu tinggalkan saya.”
Amani melemparkan senyuman sinis. “Saya akan
melakukannya.”
“Uh?”
“Saya akan buat Tania tinggalkan awak,” balas Amani.
Tanpa di duga, Amani melonjakkan kakinya dan berpura-pura
untuk mencium pipi Faiz. Bukan sahaja Faiz, malah Amsyar juga terkejut dengan
tindakan Amani. Namun, tangannya pantas mengambil setiap foto mereka. Faiz
pula, terus kaku di situ.
Setelah agak lama Amani berpura-pura mencium pipi Faiz,
dia kembali kepada kedudukan asal dan melepaskan tangan Faiz. Kedengaran tawa
halus dari bibir Amani. Perlahan dan begitu sinis.
“Awak ingat saya nak cium awak?”
Merah wajah Faiz menahan rasa malu dan marah yang
bercampur.
“Apa yang awak cuba lakukan sebenarnya?!” Kali ini suara
Faiz sudah meninggi.
“Jangan risau, awak akan tahu.” Bibir Amani tidak lekang
dengan senyuman penuh sindiran. Setelah berkata begitu, Amani terus berlalu
meninggalkan Faiz.
Amsyar juga terus beredar dari situ. Dia terus
berlari-lari anak untuk mendapatkan Amani yang telah membelok ke jalan yang
berlainan. Setelah dia melihat susuk tubuh Amani, langkahnya semakin dilajukan.
“Woah…..kau memang hebat!” ujarnya setelah berjaya
seiringan dengan Amani.
“Macam mana?” Sedikit pun Amani tidak menoleh
memandangnya. Mereka tetap meneruskan langkah.
“Kau betul-betul cium pipi dia?” tanya Amsyar.
“Kau ingat?” tanya Amani kembali.
“Entah,” Amsyar menjongketkan bahunya. “Tapi, nampak macam
real!”
“Baguslah!” Hanya itu sahaja jawapan yang keluar dari
bibir Amani.
“Amani,” Amsyar menghentikan langkahnya. Dia memandang
Amani yang juga telah menghantikan langkahnya dan kemudian bertentangan
dengannya. “Awak yakin?”
Amani ketawa sinis. Kenapa Amsyar perlu risaukan perkara
ini? Dia terus berpaling ke belakang dan meneruskan langkahnya tanpa menjawap
pertanyaan itu.
Amsyar hanya mampu mengeluh di situ. Apakah maksud
keluhan itu pun dia tidak tahu. Namun, hatinya merasakan perbuatan Amani ini
akan memburukkan keadaan dirinya sendiri.
----------------------@@--------------
Sesuatu yang sangat sukar untuk membayangkan dan menjiwai watak Amani yang tak punya perasaan itu ketika mahu menggoda Faiz..... (^____^)
amani dh gila ap ke..silap2 kne buag skolah nti... ish
ReplyDeletehihihhi.....terima kasih....^^
Delete