Friday, 17 May 2013

Ratu Hati Si Putera Arab 18






AUDRA dan Zana dikerumuni dengan fail-fail. Walaupun bilik fail itu luas dan lapang, namun fail-fail yang banyak di situ membuatkan wajah mereka berkerut, nafas mereka sesak dan serta merta otak mereka menjadi kosong. Mereka berpandangan.

            “Banyaknya fail dalam bilik ni! Dari mana kita nak mulakan?” Audra bertanya pada Zana.

            “Kalau dari mata kasar, fail-fail dalam bilik ni mungkin mencapai hingga beribu fail.” Zana berjalan berpusing di bilik itu. Audra juga melakukan begitu.

            Audra mencapai sebuah fail dan menyelaknya. Fail itu tidak berkaitan dengan anak syarikat atau syarikat yang bekerjasama. Rasanya, bilik fail ini menyimpan segala maklumat dalaman dan sulit bersama-sama. Beraniya Tuan Syed Zikri membenarkan mereka masuk ke ruangan ini sedangkan mereka hanyalah pekerja sambilan.

            “Audra! Zana!” suara Farah yang baru melangkah ke dalam setelah meninggalkan mereka sebentar tadi membuatkan mereka berdua berpaling.

            Mendengarkan suara Farah yang mamanggil mereka, lantas Audra dan Zana berjalan ke ruang depan untuk menemui pembantu peribadi Tuan Syed Zikri itu.

            “Akak,” Audra mendekati Farah. “Banyak betul fail di sini. Tapi fail yang mana perlu kami study dulu?”

“Ops, sorry,” ujar Farah yang baru perasan kesalahannya. “Akak lupa nak bagitau kat korang. Fail yang perlu Audra dan Zana rujuk ada di rak hujung sana.” Dia menunjuk pada bahagian yang dimaksudkan. “Study fail yang hanya ada label hijau. Yang lain, tak perlu.”

            Audra dan Zana menganggukkan kepala, sekaligus menghembuskan nafas kelegaan.

            “Zana, ikut akak kejap.” Farah memberi arahan. “Audra duduk sini dulu ya. Akak ada hal nak minta tolong Zana.”

            “Okey!” Audra mengukir senyuman.

Farah dan Zana berjalan keluar dari bilik fail.

            “Ada apa kak?” tanya Zana setelah keluar dari bilik fail tersebut.

            “Tuan Syed nak jumpa,” beritahu Farah dengan berbisik, walaupun mereka telah berada di luar bilik itu. Sebentar tadi Tuan Syed Zikri telah berpesan padanya agar memanggil Zana agar berjumpa dengannya tanpa pengetahuan Audra. Dia takut Audra akan berkecil hati bila tahu tentang itu. Apa kata Audra nanti jika mengetahui Tuan Syed Zikri hanya mahu berjumpa dengan Zana dan tidak mahu menemuinya?

            “Bukan tadi akak kata Tuan Syed ada hal dan tak boleh jumpa kita orang?” Berkerut dahi Zana.

            “Hmmm.” Farah mengangguk. “Tadi memang dia tak de. Tapi sekarang dia nak jumpa dengan Zana.”

            Semakin keliru dan semakin berkerut wajah Zana. “Kenapa Zana seorang? Dia tak nak jumpa dengan Audra? Dia marahkan Audra?” Pelik juga dengan sikap Tuan Syed ni! Kalau marahkan Audra, kenapa ambil Audra bekerja di syarikatnya?

            “Akak tak tahulah itu.” Farah hanya menjungkitkan bahunya. Memang dia tidak tahu langsung masalah Tuan Syed dengan Audra. Tak mungkin kerana Audra bertengkar dengan Emily membuatkan Tuan Syed marahkan Audra. Tentu ada perkara yang disembunyikan mereka.

            Sampai sahaja di depan pejabat Tuan Syed Zikri, Farah berpusing ke mejanya. Dia memberi isyarat agar Zana masuk ke dalam pejabat lelaki itu.

            Dengan penuh debaran di dada Zana mengetuk pintu yang tertera nama ‘SYED ZIKRI SYED ZARKASYI.’ Setelah mendengar arahan masuk, Zana melangkah ke dalam.

Membuka sahaja daun pintu pejabat itu, pandangannya terus terancap pada seraut wajah seorang lelaki tampan, berkulit putih kemerahan dengan penuh lagak karisma sedang menyelak lembaran fail ditangan. Inikah Tuan Syed Zikri?! Memang tampan! Subhanallah, memang kacak lelaki ciptaan Allah ini. Kalau Audra lihat Tuan Syed, bukan sahaja jantungnya yang berdegup, entah-entah, pengsan terus agaknya. Dengan rasa gugup Zana menghampiri.

            “Selamat pagi Tuan Syed!” sapanya dengan penuh debaran di dada.

            Zack yang sedang menunduk memandang fail, mengangkat kepalanya. “Selamat pagi!” balasnya. Satu senyuman dilemparkan untuk Zana.

Zana membalas senyuman itu dan menundukkan sedikit kepalanya sebagi tanda hormat.

“Assalamualaikum, Zana.” Zack memberi salam kemudiannya.

            “Erk, waalaikummussalam.” Tatkala ini Zana sudah merasa wajahnya merona merah. Macam manalah dia boleh terlupa untuk memberi salam.

            Zack hanya tersenyum. “Kan lebih indah dan berkat jika kita sesama saudara seagama menyebarkan salam?” nasihatnya.

            Zana yang termalu sendiri hanya menganggukkan kepala. “Maaf, Tuan Syed.” Zana memohon maaf atas kealpaannya.

            “Tak mengapa. Duduklah,” pelawanya.

Zana menurut arahannya.

“Awak tak perlu minta maaf. Awak tak salah apa-apa pun dengan saya,” balas Zack. “Awak sihat?” tanya Zack setelah Zana duduk bertentangan dengannya. Wajah yang kemerahan itu dipandangnya. Menyesal pula menegur Zana begitu. Tentu gadis itu malu apabila ditegur olehnya.

            “Alhamdulillah,” Zana cuba mengukirkan senyuman biarpun terasa lidahnya terasa berat sekali.

            “Audra sihat?” Dia sudah tidak sabar mahu mengetahui khabar gadis itu.

           “Alhamdulillah,” Zana tersenyum. Mahu juga Tuan Syed Zikri bertanya tentang Audra. Sangkanya Tuan Syed tidak sudi untuk mengambil tahu tentang sahabatnya itu. Apatah lagi sekarang ni hanya dia seorang sahaja yang dipanggil oleh Tuan Syed Zikri.

Zack mengetap bibirnya. Jawapan Zana terlalu ringkas. “Audra masih marahkan saya?” terus Zack bertanya. Risau juga kalau Audra masih memandang serong padanya dan menyimpan rasa marahnya.

“Audra marahkan Tuan Syed?” Kening Zana terjongket. “Bukan, sepatutnya Tuan Syed yang marahkan Audra sebab dah rosakkan kot hitam Tuan Syed? Dah tu, bertengkar pulak dengan teman wanita Tuan Syed!”

“Mungkin.” Zack hanya tersenyum. “Tapi, takkanlah Audra langsung tak marahkan saya?” Dia mahu tahu juga apa yang ada dalam hati gadis itu.

“Sikit,” ringkas sahaja jawapan Zana.

“Jadi, dia masih marahkan saya?” Zack menghembuskan satu nafas panjang. Seperti jangkaannya. Audra pasti marahkan dia walaupun hakikatnya dia tidak melakukan apa-apa kesalahan pada gadis itu. Zack bersandar di kerusi.

“Tuan Syed tak marahkan Audra?” Zana memberanikan diri bertanyakan soalan itu pada Zack.

Zack menggelengkan kepalanya. Dia tak pernah marahkan Audra! “Tentang kot hitam yang Audra rosakkan tu, Audra tak perlu gantikannya.  Saya dah beritahu pada Che Enon agar beritahu pada Audra. Apa, Che Enon tak beritahu apa-apa tentang tu pada Audra?”

“Che Enon ada beritahu. Tapi, masa di Rumah Warisan tempoh hari, Encik Zack, orang kanan Tuan Syed yang beria-ia minta Audra gantikan semula kot hitam tu. Jadi, mungkin sebab tu Audra masih merasa terhutang dengan Tuan Syed.”

Zack ketawa mendengar kata-kata Zana. Jadi, Zana tidak dapat mengecam wajahnya? Bagus!

Zana pula sudah berkerut keningnya apabila melihat Tuan Syed Zikri di depannya ini sedang ketawa. Kenapa Tuan Syed Zikri ketawa sedangkan dia tak buat lawak?

“Awak tak cam saya, Zana?” tanya Zack setelah tawanya berhenti.

Dengan kerutan di wajahnya, Zana menggelengkan kepala namun matanya tidak lepas dari merenung wajah itu. Apa, dia pernah melihat Tuan Syed Zikri sebelum ini?

“Saya, Encik Zack!” Zack berterus terang.

“Apa?! Encik Zack?!” Zana terlopong sambil ibu jarinya di halakan kepada lelaki di depannya itu. Dia mengamati wajah Zack, tetapi dia tetap tak dapat mengenali wajah itu kerana lelaki yang mereka temui di Rumah Warisan tempoh hari, wajahnya tersembunyi di balik cermin mata hitam dan topinya. “Saya sepatutnya berjumpa dengan Tuan Syed Zikri, bukan dengan Encik Zack!”

“Zana!” Zack merenung tepat ke wajah itu. “Lihat saya betul-betul. Pandang wajah saya!” tegas Zack.

Zana yang tidak keruan hanya menurut. Wajah kacak di depannya itu terus dipandang tanpa kerlipan. Dia tidak dapat mengecam wajah itu. Zana menggelengkan kepala.

“Saya Zack! Orang yang berjumpa dengan awak dan Audra ketika di Rumah Warisan!” tegas Zack sekali lagi.

“Betulkah?” Zana memohon kepastian.

            Zack menganggukkan kepalanya.

            “Hmmm,” Zana kebingungan. “Tapi, kenapa saya jumpa dengan Encik Zack? Kata Kak Farah, Tuan Syed Zikri yang mahu berjumpa dengan saya.”

            Kata-kata Zana itu membuatkan Zack tersenyum lebar. Kalau Zana tidak dapat mengecam wajahnya, pasti Audra juga tidak dapat mengecam wajahnya ketika di Rumah Warisan tempoh hari.

            “Saya adalah Syed Zikri!” ujar Zack.

            Zana yang sedia bingung semakin kebingungan. “Saya tak fahamlah. Tadi kata Encik Zack! Sekarang Syed Zikri pulak!” Zana sudah mendengus geram. Lelaki di depannya ini memang sengaja mahu mempermainkannya. “Yang mana satu ni?”

            “Kedua-duanya adalah saya!” Zack membuat pengakuan.

            Zana memeluk tubuhnya. Pengakuan lelaki di hadapannya ini sedang diproses oleh otaknya. “Maaf, tapi saya tak faham.”

            “Saya adalah Syed Zikri, Pengarah Warisan Syed dan saya sengaja mengenalkan diri saya pada kamu berdua sebagai Encik Zack, orang kanan Tuan Syed ketika di Rumah Warisan tempoh hari.”

            “Oh,” Zana sudah terangguk-angguk. Tetapi kemudian dia ternganga luas. Jadi, lelaki yang menemui mereka di Rumah Warisan itu adalah Tuan Syed Zikri sendiri! Zana baharu tersedar sedangkan sedari tadi Zack sudah menerangkan. Maknanya, orang yang bertengkar dengan Audra di Rumah Warisan itu adalah Tuan Syed Zikri! “Tapi kenapa Tuan Syed perlu buat begitu?” Timbul rasa khuatir dalam dirinya.

            Zack hanya tersenyum melihat wajah yang penuh dengan penasaran itu. “Kejap lagi saya beritahu sebabnya. Sekarang ni, kita berbalik semula tentang soal kot hitam saya tu. Lepas ni, beritahu Audra agar lupakan tentang kot hitam itu, okey?”

            “Lebih baik Tuan Syed yang beritahu pada Audra sendiri. ” Che Enon telah pun beritahu tentang itu pada Audra. Namun, menurut Audra dia tetap akan menggantikan semula kot hitam itu kerana dia tidak mahu berhutang apa-apa dengan Tuan Syed Zikri.

              Zack bersandar di kerusi. “Kawan awak ni peliklah. Bila saya suruh pulangkan kot tu, dia tak nak pulangkan. Bila saya kata tak perlu, dia rasa dia perlu pulangkan. Dah tu, masa bertengkar dengan Emily, siap babitkan saya pulak!”

            “Uh?” Zana masih kurang jelas dengan maksud Zack.

            “Hari tu, Emily ada beritahu saya, katanya Audra tak mahu gantikan kot hitam yang dibuangnya.”

            “Betul!” Zana bersetuju. Memang di dengar kata-kata Audra itu. “Sebenarnya, Audra memang dah cuba bersihkan kot tu. Tapi, kot tu dah jadi makin teruk. Warnanya jadi bertompok-tompok. Tak tahulah benda apa yang dah melekat dengan kot tu. Lepas, tu bila dia beritahu Che Enon yang kot tu dah rosak dan Che Enon sampaikan pada Tuan Syed, Tuan Syed tetap mahu Audra gantikan kot hitam tu. Dah tu, kata Che Enon, Tuan Syed mahukan yang betul-betul sama dengan kot hitam Tuan Syed yang rosak tu,” cerita Zana.

            Zack hanya tersenyum. Memang waktu itu dia berkeras mahu Audra gantikan. Tetapi, niatnya itu hanya mahu mengusik Audra.

            “Lepas tu, waktu interview hari tu, Audra ada minta izin dengan Kak Farah untuk berjumpa dengan Tuan Syed tapi Kak Farah tak benarkan. Kata Kak Farah, Audra boleh berjumpa dengan Encik Zack tapi tak dibenarkan berjumpa dengan Tuan Syed.” Zana diam seketika. Dia mengerling Zack. Sebelah keningnya terangkat. Ada perkara pelik di sini! “Kenapa Tuan Syed buat macam tu? Kenapa Tuan Syed tak mahu jumpa Audra dan kata pada dia macam tu?”

            “Kata apa?” Zack yang sememangnya mengerti soalan itu sengaja bertindak tidak mengerti.

            “Kenapa Kak Farah kata Audra tak boleh jumpa Tuan Syed tapi Audra boleh jumpa dengan Encik Zack?”

            Zack mengenjak tubuhnya ke depan sedikit. Lalu kedua-dua tangannya bersatu di atas meja. “Yang itu, saya akan terangkan nanti. Sekarang ni, awak sambung cerita awak tentang Audra. Kenapa Audra nak jumpa dengan saya waktu tu?”

            “Audra cuma nak beritahu yang buat masa yang terdekat dia tak mampu nak gantikan kot hitam Tuan Syed.”

            Zack menganggukkan kepalanya. “Lepas tu bukankah dia beritahu pada Emily yang dia tak nak gantikan kot saya?”

            “Dia cakap macam tu sebab dia marahkan Cik Emily. Audra pasti gantikan semula kot hitam Tuan Syed tu.”

            Zack kembali bersandar di kerusi. “Tak mengapalah. Lupakan sajalah tentang kot hitam tu. Saya ada perkara yang lebih penting lagi nak dibincangkan dengan awak!” Zack malas mahu memanjangkan perihal yang tak penting begitu.

            “Hal apa Tuan Syed?” Zana mula memberi perhatian.

            “Saya ada misi penting dan saya mahu Zana membantu saya,” ujar Zack.

            “Misi apa?” Kedua-dua kening Zana sudah terangkat. Dia tertarik dengan kata-kata Zack.

            “Mulai dari hari ini, awak perlu rahsiakan dari Audra yang saya adalah Syed Zikri. Saya mahu Audra mengenali saya sebagai Encik Zack, orang kanan Tuan Syed.” Zack sudah menyatakan arahan klisenya sejak dari dia merancang misi untuk mengenali Audra.

            “Kenapa?!”

            Zack menarik laci dan mencapai sebuah diari berwarna ungu lembut dan diletakkan di atas mejanya. “Awak kenal dengan diari ni?” Dia menolak diari itu hingga ke depan Zana.

            Zana mencapai diari ungu itu. Dahinya berkerut. Diari tu macam pernah dilihatnya. Kemudian, dia ternganga sambil memandang Zack. “Ini diari Audra!” Terus dia membuka kulit diari itu. Tertera gambar Audra di situ. Terus terlintas sesuatu di kotak ingatannya. Adakah Tuan Syed Zikri adalah Putera Arab yang ditemui Audra ketika di tasik? “Jadi Tuan Syed adalah Putera Arab tu?!” Dengan spontan Zana berkata begitu. Dia langsung tak ada niat untuk berkata begitu sebenarnya.

            “Putera Arab? Saya Putera Arab?!” Kenapa tiba-tiba Zana menggelar dia begitu?

            “Eh, bukan! Bukan!” Zana sedar yang dia sudah terlepas kata. Wajah Tuan Syed Zikri yang terkesima terus memandangnya menjadikan dia tidak keruan. Dia menggaru dagunya. Alamak! Apa yang perlu dijelaskannya pada Tuan Syed Zikri? “Tak ada apa-apa Tuan Syed.” Zana cuba membetulkan keadaan.

            Zack menyelesakan tubuhnya di kerusi. Wajah Zana yang bagaikan cacing kepanasan dipandangnya. Gadis itu tidak berani membalas pandangannya. Zack cuba berfikir kembali. Adakah Putera Arab yang dimaksudkan Zana itu adalah putera raja yang selalu diangankan Audra. Betulkah dia adalah putera raja tu? Tapi tak mungkinlah!

            “Maksud awak, putera raja yang Audra angankan tu ke?” Dia cuba bertanya lagi. Mustahillah dialah putera raja yang diimpikan Audra, sedangkan baru sekali sahaja Audra melihatnya. Apatah lagi pertemuan mereka ketika itu berakhir dengan sesuatu yang kurang baik.

            Zana menggosok dagunya. Maknanya, Tuan Syed Zikri masih ingat dengan peristiwa itu? “Tuan Syed ke lelaki yang berjumpa dengan Audra di tasik tahun lalu?” Zana meminta kepastian.

            “Ya, memang saya orang yang sama di tasik itu dan orang yang sama hidungnya berdarah kerana dihantuk oleh kawan awak tu!” Sengaja Zack mengingatkan semula apa yang terjadi.

            Zana sudah mengetap bibir. Alamak! Macam mana ni! Rupanya Audra bukan saja ada masalah tentang kot hitam dan teman wanita Tuan Syed Zikri. Tapi, dari awal lagi dia dah ada masalah dengan Tuan Syed Zikri sejak mereka berdua bertemu di tasik. Tak sangka Tuan Syed masih ingat peristiwa lalu. Mungkin diari Audra inilah puncanya!

            “Audra masih menyimpan angan-angan dia?” tanya Zack.

            Dengan berat hati, Zana mengangguk juga. “Kalau Tuan Syed nak tahu, angan-angan Audra tu hampir saja tercapai ketika dia bertemu dengan Tuan Syed.”

            “Maksud awak?”

            “Ketika Tuan Syed muncul di tasik, Tuan Syed hampir saja buat jantung Audra berhenti berdegup.” Zana tidak tahu sama ada dia patut menyatakan ini atau tidak. Tapi lidahnya laju saja untuk memberitahu Tuan Syed tentang itu.

            “Serius awak ni?!” Zack seakan tidak percaya. Dia masih ingat lagi dengan angan-angan Audra yang mahu mencari seorang putera raja yang bisa membuatkan jantungnya berhenti berdegup untuk seketika dan kemudian berdegup dengan laju. Angan-angan itu memang tak masuk akal. Tapi apa yang dinyatakan Zana ketika ini adalah sesuatu yang sebaliknya. Jika benar dia hampir membuatkan jantung Audra berhenti berdegup, bukahkah itu membawa erti angan-angan Audra itu bukan sekadar angan-angan?

            “Saya pun sebenarnya susah nak percaya. Dari kecil lagi dia pasang angan-angan macam tu. Tapi bila dia ceritakan pada saya tentang seorang lelaki yang ditemui di tasik dan lelaki itu hampir membuatkan jantung dia berhenti berdegup, barulah saya mula percaya dengan angan-angannya,” sambung Zana. Tapi entah macam mana dia teringat semula tentang Emily. Kenapalah dia perlu menceritakan semua ini pada Tuan Syed? Bukankah itu akan memalukan Audra, apatah lagi Tuan Syed sudah ada teman wanita. Tapi, nanti dulu! Bukankah kata Kak Farah, Emily itu bukan teman wanita Tuan Syed?

            “Tuan Syed, boleh saya tanya sesuatu. Itupun kalau tak keberatan.” Rasanya lebih baik dia bertanya pada tuan badannya sendiri walaupun dia tahu dia tak patut buat macam tu.

            “Tanyalah.” Zack sudah tersenyum. Semakin banyak komunikasi antara mereka, semakin banyak yang akan diketahui tentang Audra.

            “Cik Emily tu, teman wanita Tuan Syed?”

            Zack sudah ketawa kecil. “Hanya kawan. Tak lebih dari tu.” Dia harap jawapannya itu akan membuka lembaran baru dalam hidupnya nanti. “Zana, sebenarnya banyak perkara yang saya nak bincang dengan awak tentang Audra.”

            Zana mengetapkan bibirnya. Audra? Jangan-jangan Tuan Syed ni dah jatuh hati dengan Audra tak? Dia cuba membuat kesimpulan sendiri kerana sedari tadi Tuan Syed langsung tak menyentuh perihal kerja atau apa-apa yang berkaitan dengannya melainkan semuanya adalah tentang Audra.

            “Tuan Syed, mungkin angan-angan Audra tu kedengaran agak meterealistik dan keterlaluan. Tapi ada maksud lain disebaliknya.” Dia tak mahu Tuan Syed menyangka yang bukan-bukan dengan angan-angan Audra. Semua orang termasuk dirinya sendiri tak pernah memahami apa yang dingini Audra.

            “Audra, mengimpikan seorang putera raja yang bisa membuatkan jantungnya berhenti berdegup seketika. Dan kemudian, jantungnya akan terus berdegup dengan laju. Saya tak tahu apakah Audra seorang gadis yang mementingkan kemewahan dan luaran. Tapi, apa yang saya lihat, dia tak seperti itu. Jadi, bantu saya untuk mengenalinya.” Untuk mengenali Audra, dia perlukan seseorang yang sangat mengenali gadis itu.

            “Saya setuju dengan Tuan Syed. Angan-angan Audra bukan sekadar angan-angan, tapi sebuah impian.” Zana mengukirkan senyuman. “In Sha Allah, saya akan bantu Tuan Syed.”


_________________________@@______

maaf ya...kali ini Audra pula  menghilang. yang tinggal, cuma Encik Zack....

Masa nak tulis part ni saya ragu2... bolehkah seorang kawan baik seperti Zana menolong seorang lelaki asing yang tak dikenali? Kalau rasa tak logik, boleh bagi komen tak?

2 comments:

  1. sy rsa boleh kot zana jd perantara antara mereka..cuma arap2 jgn zana plk yg jtuh cinta kt tuan syed dan mula mburukn audra sdh lah

    ReplyDelete
    Replies
    1. oh ya ka.... hihihi... terima kasih ya kerana sudi beri respon...In sha Allah, Zana tak jatuh dengan Zack. :0

      Delete