Friday 11 October 2013

Biarkan Aku Sendiri (Full Story)













Miza termangu di situ. Jauh dia mengelamun mengenangkan nasib diri. Sudah tiga tahun berlalu, namun dia masih belum punya kata putus. Jika ikutkan emosinya, mahu sahaja dia menamatkan semua ini dengan cepat. Namun, hatinya menolak tatkala dia memandang wajah Alia.

“Apa lagi yang kau menungkan Miza?” Aina meletakkan fail di atas mejanya lalu duduk di tempatnya yang bertentangan dengan Miza. Wajah Miza menjadi perhatiannya. “Kau belum buat keputusan lagi?” Bagaikan mengerti apa yang difikirkan Miza, terus sahaja Aina bertanya begitu.

Miza menarik nafas panjang lalu bersandar di kerusinya. Dia membalas pandangan Aina. “Aku berbelah bahagilah.”

“Berbelah bahagi?” Tergeleng kepala Aina. Sudah sering mereka berbicara tentang itu. “Tiga tahun! Tiga tahun dia tinggalkan kau tanpa nafkah zahir batin. Apa lagi yang kau tunggu?” Bukan niatnya untuk menjadi batu api dalam hubungan Miza dan suaminya. Namun, dia tak mahu hidup Miza terus terseksa begitu. Nak dikatakan bersuami, di mana suaminya? Nak kata janda, bila mereka bercerai?

“Aku tak nak Alia rasa yang dia tak ada ayah,” balas Miza.

“Nak tak nak, Alia memang dah hidup seperti seorang anak yang tak ada ayah,” tegas Aina. “Kenapa? Kau malu dengan orang bila mereka tahu tentang kau?” soal Aina.

“Bukan soal malu, tapi sekurang-kurangnya  Alia masih anggap dia ada ayah walaupun dia tak pernah kenal siapa ayah dia,” kata Miza dengan perlahan. Pen di tangannya dipusing-pusing tanpa tujuan.

“Alia dah tiga tahun, Miza. Dari kecil dia dah ditinggalkan. Lainlah kalau dia memang kenal siapa ayah dia,” ujar Aina lagi.

Miza membisu. Aina benar, berpisah atau tidak, hidup mereka tetap sama. Alia tak kenal langsung siapa ayahnya. Patutkah dia meneruskan rancangannya atau terus membiarkan masa berlalu begitu?


---------------@@--------------


“Alia!” Dany mengangkat tubuh kecil Alia dan melambungnya tinggi. Berdekeh-dekeh Alia tertawa gembira. Suka sekali dia jika dilambung begitu. Namun, baru sekali lambungan Dany sudah meletakkan Alia semula.

“Ala.....” Alia merengek  minta diangkat lagi.

“Tak boleh sayang. Tak elok lambung-lambung ni. Alia kecil lagi. Pakcik lambung sekali saja. Esok-esok pakcik lambung lagi.” Dany mengusap kepala Alia.

“Minum dulu, Dany.” Zaleha meletakkan segelas jus oren di atas meja.

“Terima kasih, mak.” Dany melabuhkan punggungnya di situ dan terus membasahkan tekaknya. Alia sudah berlari masuk ke dalam bilik dan menaburkan semua barang mainannya. Pintu bilik itu memang sengaja di buka Zaleha untuk memerhatikan Alia.

“Macam mana dengan kerja?” tanya Zaleha.

Dany menyandarkan tubuhnya di sofa. “Alhamdulillah, mak. Semua okey. Minggu depan, pembinaan akan mula dijalankan. Dalam jangka masa setahun, cawangan di Langkawi dah boleh beroperasi.” Dany memejamkan matanya seketika untuk melepaskan keletihan.

“Baguslah macam tu.” Sesekali mata Zaleha akan memerhatikan tingkah Alia sambil dia berbual dengan Dany yang baru pulang dari Langkawi. Seminggu Dany ke Langkawi atas urusan kerja. “Kamu nak makan?” soalnya.

Dany membuka matanya semula. Wajah Zaleha dipandang. “Tak naklah, mak. Nak rehat dulu. Penat ni,” balas Dany meletakkan semula kepalanya di belakang sofa.

“Pergilah naik ke bilik, berehat,” arah Zaleha.

Dengan langkah yang berat Dany bangun sambil menjinjit beg pakaiannya untuk naik ke atas.

“Pakcik nak ke mana?” Alia berlari keluar dari bilik apabila melihat Dany sudah bangun dari situ.

Dany tersenyum melihat Alia. Dari kecil Zaleha menjaga Alia apabila ibu Alia bekerja. Namun, belum pernah dia bermain-main dengan Alia kerana kesibukan kerjanya. Dia hanya sempat melihat dengan Alia ketika dia mahu keluar ke pejabat pada pagi hari.

“Pakcik nak naik atas. Pakcik letihlah, sayang.” Satu cubitan hinggap di pipi Alia.

“Ala.... Tapi, Alia nak tengok pakcik. Alia tak pernah tengok pakcik lama-lama.” Alia yang sudah petah bercakap terus mengatakan perkara sebenar.

Dany mengerutkan keningnya. Memang benar, dia tak banyak berbicara dengan Alia. Bukan tak mahu, tetapi tak sempat. Namun, Alia kelihatan sangat merinduinya. “Alia rindu dengan pakcik?” soalnya.

“Rinduuuu....sangat!” Dia terus memeluk leher Dany yang sedang duduk mencangkung di depannya. “Selalu pagi-pagi, Alia datang sini Alia nampak pakcik. Pakcik selalu ‘bye-bye’ bila pakcik nak pergi kerja. Lama sangat Alia tak nampak pakcik.” Alia merungkaikan pelukannya.

Dany ketawa kelucuan. Alia memang manis. Mungkin beginilah sikap kanak-kanak. Mudah sekali menyanyangi walaupun kepada orang yang jarang meluangkan masa bersamanya. Baru seminggu dia tak ada dan tak melambai Alia, terus Alia merinduinya.

“Alia dah ada nenek,” Alia menunjukkan kepada Zaleha. Zaleha hanya tersenyum. “Alia ada atuk, Alia ada ibu. Ibu kata, Alia ada ayah. Pakcik ayah Alia, kan?” tanya Alia.

Senyuman di bibir Dany mati. Dia menoleh memandang Zaleha. Zaleha hanya mengetatkan bibirnya. Dany kembali memandang Alia. Dia memang sangat letih untuk bertanya tentang Alia saat ini walaupun dia tak pernah tahu apa-apa tentang Alia.

“Macam ni-lah. Biar pakcik tidur di bilik Alia, boleh?” tanya Dany yang tak sanggup melihat wajah yang kerinduan itu.

“Boleh!” pantas sahaja Alia menjawab.

Dany terus menarik tangan Alia dan menuju ke kamar Alia. Dia berbaring di atas katil bujang yang disediakan Zaleha untuk Alia. Alia pula, sedang bermain di sisi Dany. Zaleha yang memerhatikan Alia, hanya menarik nafas panjang.


--------------@@-----------


“Assalamualaikum,” Miza memberi salam sambil tangannya laju membuka pintu pagar itu dan terus masuk ke dalam. Miza menjenguk ke dalam rumah yang sedang terbuka itu. Matanya meliar mencari kelibat Zaleha. Biasanya, apabila pulang dari kerja, Alia dan Zaleha sudah menunggunya di halaman rumah.

Miza membuka kasut dan melangkah ke dalam. “Assalamualaikum,” sekali lagi Miza memberi salam. Kali ini suaranya agak perlahan. Dia terus menuju ke kamar Alia dengan langkah yang perlahan.

Terkejut dia tatkala dia berada di hadapan kamar itu, kelihatan seorang lelaki sedang berbaring di katil Alia. Dia terus menyorok di balik tembok. Dadanya bergetar kencang. Siapa lelaki itu? Dengan perlahan, Miza mengintip lelaki itu lagi. Kemudian, dia terlihat tubuh kecil Alia sedang tidur di atas kerpet yang terbentang di lantai.

“Miza,” suara Zaleha menyapa. Lantas Miza menoleh. Kelihatan Zaleha sedang memapah Deris masuk ke dalam rumah.

“Kenapa ni pakcik?” Miza terus menghampiri mereka berdua. Dia membantu Zaleha memapah Deris hingga ke sofa.

“Pakcik ni, hah! Jatuh motosikal masa balik dari surau tadi. Nasib baik jatuh di selekoh hujung tu saja. Tu yang makcik pergi ambil,” kata Zaleha.

“Motosikal pakcik macam mana?” Miza memandang ke halaman rumah. Namun, motosikal Deris tidak kelihatan.

“Makcik biarkan saja di situ. Tak apalah. Kejap lagi Dany bangun tidur, makcik minta dia ambilkan motosikal tu.” Zaleha melabuhkan punggungnya di sisi Deris.

“Dany?” berkerut kening Miza. Siapa Dany? Dia tak pernah tahu ada orang bernama Dany tinggal di situ.

“Dany dah balik?” Deris memandang Zaleha.

“A’ah, baru aje sampai tadi,” balas Zaleha. “Dany tu anak makcik,” beritahu Zaleha kepada Miza.

“Tak pernah nampak pun. Tinggal di tempat lain agaknya,” teka Miza.

“Taklah. Tinggal di sini juga. Tapi kamu tak pernah jumpa,” beritahu Deris. “Pagi kamu datang hantar Alia di sini, dia sambung tidur lepas solat Subuh. Pukul lapan setengah baru dia bangun sebab dia masuk kerja pukul sembilan. Nasib baiklah ofis dia dekat sini saja. Tiap-tiap hari balik lewat. Paling awal pun pukul sepuluh malam. Biasanya, selagi tak pukul satu, tak baliklah budak tu.” Tergeleng-geleng kepala Deris.

“Dia tu, gila kerja! Ada seorang anak pun, seorang ni asyik sibuk memanjang. Umur pun dah lanjut. Kalau dah kahwin, agaknya dah ada cucu kita, bang.” Zaleha menepuk paha Deris. Deris hanya mengangguk.

“Nasib baiklah ada Alia tu. Kalau kamu tak minta tolong makcik kamu ni jaga Alia, alamatnya memang sunyilah rumah ni,” ujar Deris yang sudah bersara itu.

“Apa yang bising-bising ni, mak” Dany yang terdengar suara-suara menyebut namanya terus terbangun dari tidur. Dia menggosok-ngosokkan matanya sambil melangkah mendekati mereka tanpa menyedari kehadiran Miza di situ.

Dany terus duduk di hadapan Zaleha. “Kenapa ni mak, abah?” Dia masih dalam keadaan separuh mamai terus bertanya.

“Hmmm, baguslah. Kusut-kusut macam ni keluar jumpa tetamu,” tegur Zaleha.

“Uh? Tetamu apa?” tanya Dany lagi sambil dikelip-kelipkan matanya agar tidak tertutup.

Deris menggelengkan kepalanya. Dia memuncungkan bibir, menunjuk kepada Miza yang berada di kerusi bersebelahan Dany. Miza sudah tersengih-sengih melihat tingkah Deris.

“Apa abah? Abah nak cium siapa?” Dany ketawa melihat Deris yang termuncung-muncung bibirnya itu.

Deris mendengus apabila Dany langsung tidak memahami isyaratnya. “Tu hah! Sebelah kamu tu!” Tekan Deris.

Kening Dany terjongket sebelah. Dia membuang pandangan ke sebelahnya. “Eh!” Terkejut dia saat terpandangkan seraut wajah ayu yang sedang tertunduk sambil tersenyum simpul. Terus dia membetul-betulkan rambutnya yang kusut. “Maaf....maaf..” Lidahnya terasa kelu untuk berbicara.

“Tak apa, saya datang cuma nak ambil Alia,” ujar Miza tanpa menoleh memandang Dany. “Pakcik, makcik, saya bawa Alia balik ya.” Miza bangun dan masuk ke dalam kamar Alia.

“Pergilah tolong Miza tu,” suruh Deris. Dany bangun sambil membetul-betulkan bajunya.

“Puan Miza, biarlah saya angkat Alia,” Dany bersuara.

“Oh, boleh juga.” Miza memberi laluan agar Dany bisa masuk dan menangkat Alia. Dia pula sudah berjalan ke keretanya dan membuka pintu. Dany yang tiba di situ, terus meletakkan Alia di kerusi bersebelahan pemandu.

“Terima kasih, Encik Dany,” kata Miza.

“Eh, tak payalah berencik-encik. Dany saja dah cukup,” balas Dany.

“Hati-hati Miza,” pesan Zaleha yang seringkali diberikannya setiap kali Miza mengambil Alia.

“Baiklah, makcik. Saya balik dulu.” Miza terus masuk ke dalam kereta dan memandu pergi.


------------@@-----------


“Alia tak ada ayah?” Berkerut kening Dany. Patutlah pagi tadi Alia kata dia ayah Alia. “Miza tu jandalah ye?” Keluh Dany. “Muda-muda lagi dah jadi janda.”

“Taklah. Miza bukan janda,” Zaleha membetulkan. “Suami dia menghilangkan diri sejak tiga tahun lepas. Sejak Alia ada dalam perut.”

Dany mengunyah pisang goreng sehingga lumat dan kemudian ditelannya. “Kenapa? Dia ke mana?” Dia mula berfikir tentang Miza.

“Entahlah. Tapi, ramai jiran di sini yang ingat Miza tu dah janda. Semua cakap macam tu. Bila mak tanya pada Miza, dia kata dia masih isteri orang.” Tergeleng-geleng kepala Zaleha.

“Miza tinggal di kawasan ni jugak?” tanya Dany lagi.

“A’ah... di taman sebelah,” balas Zaleha. Tangannya ligat menggoreng pisang. Dany pula, lepas satu gorengan diletakkan Zaleha di dalam pinggan, dia terus mencapainya. “Kamu ni, macam mana pinggan ni nak penuh kalau asyik letak saja kamu ambil!” rungut Zaleha. “Biarlah mak habis goreng dulu. Karang, kamu makanlah dengan abah!”

“Laparlah mak....” Dany membuat muka simpati. Tergeleng-geleng kepala Zaleha melihat anak tunggalnya itu.

“Miza tak ada keluarga lain?” tanya Dany lagi.

“Arwah ayahnya meninggal waktu Miza kecil lagi. Arwah mak dia yang menjaga dia. Lepas kahwin, Miza ikut suaminya ke sini. Tiga tahun lepas berkahwin, suami si Miza menghilangkan diri. Arwah mak Miza tertekan bila Miza pulang semula ke kampung tanpa suami. Waktu tu, Miza dah hampir melahirkan Alia. Alia lahir tanpa ayah. Macam-macam orang kampung kata pada mereka. Mungkin kerana tertekan, tiga bulan selepas Alia lahir, arwah mak Miza meninggal,” Zaleha mengeluh. “Nasib baiklah Miza tu berkerja. Kalau tidak, siapa yang nak tanggung mereka?”

Dany ikut simpati dengan nasib Alia. Namun kemudian dia tersenyum. Dia menoleh memandang Zaleha yang sedang sibuk menggoreng pisang. Mudah betul nak dapatkan cerita dari maknya. Satu soalan sahaja yang ditanya, semua jawapan diberikan. Tergeleng-geleng kepala Dany.


----------------@@-----------


“Miza! Kau kena tengok ni!” Masuk sahaja ke dalam pejabat, Aina terus meluru mendapatkan Miza. Terus dia mengeluarkan suratkhabar yang baru dibelinya pagi tadi.

 “Ada apa ni?” soal Miza.

“Tengok!” Aina menunjal kepingan suratkhabar yang dibentangkan di atas meja Miza.

“Datuk Hazrini dan suami melancarkan perasmian bangunan Pertubuhan Wanita.” Miza membaca tajuk di muka surat itu. Kemudian, dia melihat gambar yang tertera di situ. Miza tergamam. Kedua-dua tangannya sudah menutup mulut. Matanya terus terpaku kepada gambar pasangan itu. Ada airmata yang mula bertakung di kolam matanya.

“Sepatutnya kau dah minta cerai dari dia!” geram hati Aina melihat gambar itu. Dengan kasar dia menghenyak punggungnya di atas kerusi.

“Kau kena tolong aku Aina,” Miza menyapu airmatanya yang sudah mengalir.

“Apa saja aku akan tolong! Kau nak failkan penceraian?” tanya Aina lagi.

Miza menggeleng. “Aku perlu berjumpa dengan dia.”

“Kau nak jumpa lagi dengan dia? Untuk apa? Dah sah-sah dia tinggalkan kau sebab perempuan lain! Dah tu, kahwin dengan datuk pulak. Dasar mata duitan!” dengus Aina.

“Walau apa pun, aku tetap perlu berjumpa dengan dia. Hanya kau yang boleh tolong aku,” rayu Miza.

Aina mengeluh. “Apa yang boleh aku tolong?” Aina mengalah.

“Suami kau wartawan. Tolong minta dia carikan di mana aku boleh berjumpa dengan Jeffry,” jelas Miza.

“Kau masih lagi nak jumpa dia?” Aina tidak berpuas hati dengan keputusan Miza.

“Walau apa pun, aku tetap perlu berjumpa dengan dia. Aku nak tahu, kenapa dia buat macam ni!” Airmata yang bertakung mula mengalir di pipi Miza.

Aina menarik nafas panjang. “Baiklah,” dia menganggukkan kepala.


---------------@@--------------


“Abang!” panggil Miza saat dia terlihat tubuh Jeffry keluar dari sebuah kereta Toyota. Jeffry terus menoleh ke arahnya. Lelaki itu terpaku seketika. Dia memandang sekeliling.

“Abang!” Miza bergerak mendekati Jeffry.

Belum sempat Miza mendekatinya, datang dua orang lelaki menghampiri Jeffry dan kemudian menarik tangan lelaki itu pergi. Sempat Jeffry menoleh sekilas kepada Miza sebelum dia melangkah bergerak meninggalkan tempat itu bersama dua orang lelaki tadi.

Miza terpaku di situ. Kenapa? Tidakkah Jeffry mengenalinya lagi? Dia lupakah tentang isterinya ini?


--------------------@@----------------


MIza memandu Kelisa-nya masuk ke dalam kawasan rumah. Alia meluru keluar saat enjin kereta dimatikan. Ketika Miza memasukkan anak kunci ke dalam lubangnya, hatinya terus berdebar. Pintu itu tidak berkunci! Apakah dia tidak mengunci pintu ketika keluar pagi tadi? Tidak! Dia yakin dia telah mengunci pintu.

"Nanti, Alia!" Dengan pantas Miza menarik tangan Alia dan mendorong Alai berdiri di belakangnya. Bagaimana jika rumahnya dimasuki pencuri? Jantung Miza berdegup hebat. Dengan separuh keyakinan, Miza memulas tombol pintu dan terus menolak pintu itu sehingga terbuka dengan luas tanpa masuk ke dalam rumah.

Alangkah terkejutnya dia melihat kelibat yang berada di hadapannya kini.

"Abang?" Terkedu Miza melihat Jeffry disitu. Dia membawa Alia masuk ke dalam rumah.

Mata Jeffry menyorot kepada Alia. "Siapa budak ni?" Tanya Jeffry. Alia sudah bersembunyi di belakang Miza.

"Macam mana abang masuk?" Soal Miza kembali.

"Ini rumah saya. Saya masih ada kuncinya," ujar Jeffry.

Saya? Miza mengetap bibir. Jeffry membahasakan dirinya 'saya', bukan 'abang' seperti dulu.

"Ke mana abang menghilang selama ni?" Tanya Miza. "Dua tahun abang menghilang tanpa berita."

"Saya tak pernah ceraikan awak. Jadi, ini anak siapa?" Keras sekali nada suara Jeffry. Bagaikan seorang isteri yang telah curang, Jeffry melemparkan pandangan geram kepada Miza.

"Kalau abang tak pernah ceraikan saya, takkan abang tak tahu ini anak siapa?" Mencerlung Miza membalas pandangan mata Jeffry. Ada takungan air di kolam matanya. Geram bercampur sedih. Aimata hanya menunggu untuk mengalir di pipi.

"Anak saya?" Terkedu Jeffry di situ.

"Belum sempat saya beritahu abang yang saya mengandung, abang terus menghilang dan tinggalkan kami," sedih sekali nada Miza menuturkan kata.

Terduduk Jeffry di situ. "Saya bukan sengaja tinggalkan awak. Saya dah bosan dengan hidup kita yang serba kekurangan." Dia memandang Miza. "Saya tinggalkan awak untuk masa depan kita. Saya nak cari harta yang banyak untuk kita!" Tegasnya.

Miza ketawa sinis. "Abang cari harta hanya untuk abang. Saya tahu, sekarang ni abang hidup mewah. Hidup mewah tanpa kami berdua. Jadi, jangan pernah kata yang abang buat semua ni untuk kita!" Benci Miza mendengar alasan Jeffry. Selama ini, dia berharap Jeffry punya alasan yang kukuh meninggalkan mereka. Tapi, Jeffry masih tidak berubah.

"Tiga tahun saya tinggalkan awak. Baru tiga tahun! Saya perlu masa yang lebih lama lagi untuk kumpulkan semua kesenangan. Lepas tu, saya akan  kembali pada awak, dan bawa awak pergi dari sini," ujar Jeffry.

"Baru tiga tahun?" Tergamam Miza mendengarnya. Begitu mudah Jeffry menuturkan kata. "Abang tak pernah bayangkan bagaimana kami teruskan hidup kami selama ni?" Miza menyapu airmatanya yang sudah tumpah. "Kasihan Alia, membesar tanpa kasih sayang seorang ayah."

Jeffry mendengus. "Awak kena faham, apa yang saya buat ni untuk masa depan kita!"

Kepala Miza tergeleng. "Saya tahu abang dah kahwin lain. Abang dah kahwin dengan Datuk Hazrini. Abang dah hidup mewah dan lupakan kami. Bukan kata sedikit masa lagi abang akan pulang, tapi abang takkan pulang selama-lamanya."

"Awak ingat, kalau saya tak kahwin dengan Hazrini saya akan berjaya macam ni? Semua yang saya ada sekarang ni, atas bantuan dia-lah!" Ujar Jeffry.  Dia menghampiri Miza dan memegang bahu Miza dengan erat. "Awak jangan risau, lepas saya dapatkan semua harta dia, saya akan tinggalkan dia dan kembali kepada awak."

"Saya perlukan suami saya! Suami yang akan berada di sisi saya dalam sudah dan senang! Saya tak perlukan semua harta dunia! Saya cuma mahukan ayah kepada Alia!" Tersedu-sedu Miza di situ.

"Awak ni tak faham-fahamlah! Saya dah bosan dengan hidup kita dulu!" Jeffry mendengus kasar lalu berjalan ke muka pintu. "Kalau awak nak sangat hidup susah, awak hiduplah seorang diri. Selama saya tinggalkan awak, boleh pulak awak besarkan budak tu sendiri. Tak ada masalah pun!  Dah lah! Saya pergi dulu. Saya tak boleh lama-lama datang sini." Jeffry mengenakan cermin mata hitamnya dan terus menghilangkan diri.

Miza terduduk di lantai. Teresak-esak dia menangis di situ.

"Mama, janganlah nangis," pujuk Alia. Alia memeluk Miza.

"Mama memang bodoh! Mama memang bodoh sebab tunggu dia!" 


------------@@-------------


"Allah s.w.t tidak menciptakan wanita dari kepala lelaki untuk dijunjung. Tidak juga Allah s.w.t menciptakan wanita dari kaki lelaki untuk diinjak-injak. Tetapi Allah s.w.t menciptakan wanita dari tulang rusuk lelaki, dekat dengan lengannya untuk dilindungi dan dekat dengan hatinya untuk dicintai..."


-----------------------@@----------------

 ENAM BULAM KEMUDIAN....



Miza tergamam tatkala melihat semua beg pakaiannya dan Alia bertaburan di depan pintu pagar. Dia melangkah keluar dari kancilnya. Tertera papan tanda yang menyatakan rumah itu telah dijual.

“Puan Miza,” tegur satu suara.

Miza berpaling memandang kelibat yang menegurnya. Kelihatan seorang wanita yang anggun bersama sut hitam sedang membawa fail di tangan. Di sisinya berdiri sepasang suami isteri yang sedang berpegangan tangan.

“Ya, saya,” kata Miza.

“Saya Maria, peguam Tuan Jeffry,” wanita itu menghulurkan salam perkenalan dan disambut Miza.

“Pertama sekali saya nak minta maaf kepada puan. Rumah ini telah dijual oleh Tuan Jeffry. Puan tidak dibenarkan lagi tinggal di sini,” ujar Maria.

“Memang rumah ini atas nama Jeffrey. Tapi, ini rumah saya. Saya yang membayar semua pembelian rumah ni!” tegas Miza. Setelah Jeffry meninggalkan mereka, dia yang menyambung pembayaran rumah ini.

“Saya minta maaf, puan. Walaupun puan yang membayar pinjaman rumah, tapi nama di surat perjanjian adalah atas nama Tuan Jeffry seorang. Dia berhak menjual rumah ini dan puan tidak ada hak ke atasnya,” kata Maria.

Miza menggigit bibir bawahnya. Sampai hati Jeffry buat begini kepada mereka. Dia tahu, Jeffry tentu mahu membalas dendam kepadanya kerana telah memfailkan penceraian. Setelah perbicaraan mahkamah, perkahwinan mereka telah dibubarkan.

“Rumah ini dah ada pembelinya. Hari ini juga mereka berdua akan tinggal di sini,” beritahu Maria.

“Tapi, kenapa Jeffry langsung tak beritahu saya?” soal Miza.
“Maaf puan, saya cuma jalankan kerja saya. Saya tak boleh masuk campur hal peribadi puan dan Tuan Jeffry.” Setelah berkata begitu, Maria terus membuka kunci rumah dan menyerahkan kepada pembeli baru yang datang bersamanya.

Dengan perasaan yang sangat kecewa, Miza mengangkat  beg-beg pakaiannya dan masukkan ke dalam kereta.

“Kita nak ke mana?” soal Miza sendirian setelah dia duduk di tempat pemandu. Dia menoleh memandang wajah Alia. Alia mengenjakkan tubuhnya sedikit dan memegang pipi Miza.

“Mama jangan nangis.” Bagaikan mengetahui airmata Miza akan tumpah bila-bila masa sahaja, Alia terus memujuk ibunya.

Miza mencapai tangan kecil Alia dan menggenggamnya erat. “Selagi Alia bersama mama, mama akan kuat demi Alia.” Dia mencium pipi Alia.

Tapi, ke mana harus di bawa Alia? Mahu menghubungi Aina, dia tak mahu menyusahkan Aina. Apatah lagi mahu menumpang di rumah Aina. Tentu sahaja akan mengganggu Aina dan suaminya.

----------------@@------------

KETIKA Dany memandu melalui Restoran Masakan Melayu Asli, dia melihat kelibat Miza dan Alia sedang tertidur di atas ribaan Miza. Hatinya mula tertanya apa yang dilakukan Miza dan Alia di restoran itu pada jam sebelas malam.

“Tentu ada sesuatu yang tidak kena!” Dany terus memusing stereng kereta dan memakirkan kereta di bahu jalan. Dia melintasi jalan yang sesak itu dan terus menghampiri Miza dan Alia.

“Assalamualaikum Miza,” Dany terus menarik kerusi dan duduk di kerusi bertentangan.

“Waalaikummussalam,” jawab Miza yang agak terkejut dengan kehadiran Dany di situ.

“Miza bawa Alia keluar makan?” tanya Dany membuka kata.

“Ya,” tergagap-gagap Miza menjawab sambil menganggukkan sedikit kepalanya.

Sekilas mata Dany memandang meja makan itu. Ada segelas air di atas meja Miza. Namun, tiada pinggan di situ. “Dah sudah makan?” tanya Dany.

Miza hanya mengangguk berat sambil kepalanya tertunduk. Tak tahu kenapa tatkala Dany bertanya begitu, dia terasa mahu menangis. Namun dia tetap cuba menahannya.

Melihat wajah Miza, Dany tahu ada yang tidak kena. “Kasihan Alia. Biar saya dukung dia.” Tanpa menunggu keizinan dari Miza, Dany terus mengangkat tubuh Alia dari ribaan Miza. Dany menegakkan tubuh Alia dan mendukungnya di bahu. Miza hanya membiarkan sahaja Dany mengambil Alia.

“Kenapa tak balik lagi?” tanya Dany. Miza membisu.

“Kereta rosak?” tanya Dany lagi. Miza menggeleng perlahan.

“Nak saya hantarkan?” soal Dany lagi. Miza memandang wajah Dany.

“Awak boleh tolong saya?” Akhirnya Miza bersuara. “Saya nak minta tolong makcik Leha, pakcik Deris dan awak jagakan Alia.”

Berkerut kening Dany mendengar permintaan Miza. “Kenapa Miza? Beritahu saya,” kata Dany seakan mendesak.

“Saya tak boleh jaga Alia buat masa sekarang. Saya akan ambil Alia nanti. Tolong jaga Alia,” rayu Miza. Dia terus bangun untuk pergi.

Namun, dengan pantas tangan kanan Dany mencengkam kemas pergelangan tangan Miza. “Awak tak boleh pergi macam tu saja, Miza,” kata Dany. “Saya tahu awak ada masalah. Tapi, awak tak boleh tinggalkan Alia macam tu saja.”

“Tolonglah saya Dany. Saya perlukan bantuan awak sekeluarga untuk jagakan Alia. Saya akan datang ambil Alia semula.” Miza cuba menarik tangannya dari genggaman Dany.

“Berapa lama? Sehari? Dua hari?” tanya Dany.

“Saya tak pasti! Tapi, saya akan ambil Alia bila saya dah dapat rumah sewa.” Dalam tak sedar, Miza sudah terlepas kata.

“Kenapa dengan rumah awak?” tanya Dany tanpa melepaskan tangan Miza walaupun Miza masih cuba sedaya upaya untuk menarik tanganya. “Saya tak boleh biarkan awak pergi. Awak dan Alia kena ikut saya balik!” tegas Dany.

“Saya boleh jaga diri saya sendiri. Cuma, tolong jagakan Alia untuk saya,” rayu Miza. Kali ini dia sudah berhenti dari cuba menarik tangannya.

Dany memandang jauh ke dalam mata Miza. Kemudian, dia menggeleng. “Saya tak boleh biarkan awak pergi sendirian.”

“Percayalah, saya boleh jaga diri saya sendiri.” Miza masih bertegas tidak mahu mengikut Dany.

“Saya tak tahu sama ada awak boleh jaga diri awak sendiri atau tidak. Tapi, saat ini, saya tak boleh biarkan awak pergi. Awak ikut saya dengan rela atau dengan paksa? Awak pilihlah sebab saya takkan lepaskan awak!” tegas sekali Dany memberi keputusannya.

“Ada masalah apa di sini, ya?” tiba-tiba muncul pemilik restoran di situ bersama seorang pekerjanya.

Dany dan Miza terus menoleh memandang mereka berdua. Dany semakin erat menggenggam tangan Miza kerana khuatir Miza akan mengambil kesempatan itu untuk pergi.

“Tak ada apa-apa,” balas Dany.

“Ini siapa?” tanya pemilik restoran itu kepada Miza sambil menunding kepada Dany.

“Saya suami dia.” Dengan pantas Dany memberi jawapan selamat. Miza pula seakan terkejut dengan jawapan Dany.

“Betul?” tanya pemilik restoran itu lagi kepada Miza.

Miza mengangguk dengan perlahan. Dany menarik nafas lega apabila Miza mengiakan pembohongannya.

“Encik jangan risau. Saya bukan orang jahat. Biasalah, suami isteri kadang-kadang bertengkar juga. Saya cuma nak pujuk isteri dan anak saya balik rumah,” kata Dany.

“Oh,” Terangguk-angguk kepala pemilik restoran itu. “Baliklah puan, kasihan anak tu.”

“Berapa semua?” tanya Dany apabila teringat kemungkinan yang Miza masih belum membayar minuman yang dipesannya.

“Tak mengapa. Saya beri percuma. Puan, ikutlah suami puan balik,” balas pemilik restoran itu.

“Terima kasih, ya. Kami minta diri dulu.” Dany membawa Miza dan Alia pergi dari situ. Tangan kirinya masih mendukung tubuh Alia yang terlentok di bahunya. Tangan kanannya pula terus kemas memegang tangan Miza sehingga sampai di kereta.


-----------------@@--------------

MIZA melipat kemas telekungnya. Dia bangun dari sejadah dan duduk di birai katil. Wajah Alia yang sedang nyenyak dipandang lama. Satu kucupan singgah di dahi comel itu. Pintu kamar itu dibuka dari luar. Muncul kelibat Zaleha di situ. Zaleha memberi isyarat kepada Miza agar mengikutnya.

Miza menurut langkah Zaleha. Sampai di ruang tamu, Zaleha menarik tangan Miza agar duduk di sebelahnya.

“Hari ni, Miza tak payah ke pejabatlah. Berehatlah dulu,” kata Zaleha. Dia tahu, sepanjang malam Miza tidak dapat melelapkan matanya.

Miza menundukkan kepala, memandang tangannya yang tergenggam kemas. “Saya tak sangka Abang Jeffry sanggup buat macam ni. Tiga tahun dia tinggalkan kami macam tu aje,” Miza mengangkat kepala memandang Zaleha. “Salahkah saya minta dilepaskan?”

Zaleha menggelang. “Tak!” Zaleha menarik bahu Miza agar rapat dengannya. “Jeffry tu  yang dah tak betul. Sudahlah tinggalkan kamu dan Alia. Rumah tu pun dia ambil. Padahal bukan dia yang membayar rumah tu.” Zaleha turut merasa pedih dengan tindakan Jeffry. “Selagi kamu tak ada rumah, kamu tinggal dengan makcik.”

“Saya dah hantar pesanan kepada Aina dan beritahu dia yang saya tak masuk pejabat. Hari ni, saya akan cari rumah sewa.” Satu senyuman dilemparkan kepada Zaleha.
“Tak perlulah tergesa-gesa Miza. Kasihan Alia tu. Kalau ada rumah dekat-dekat sini, barulah Miza pergi. Kalau tidak susah Miza nak hantar Alia ke sini nanti,” kata Zaleha.

“Seganlah saya dengan makcik dan pakcik. Makcik dan pakcik dah banyak tolong saya. Dany pun sama. Lagipun, apa kata jiran-jiran kita nanti? Tentu diorang akan fikir yang bukan-bukan tentang saya dengan Dany,” beritahu Miza.

“Miza perempuan, Dany tu lelaki. Biarlah dia yang cari tempat lain buat sementara ni. Lagipun, lepas bawa Miza dan Alia ke sini, Dany dah pun pergi. Dia sewa di hotel murah di jalan besar tu,” kata Zaleha.

“Ya Allah,” Miza menangkup mulutnya. “Miza ni menyusahkan Dany saja.”

“Tak Miza, Miza dan Alia langsung tak menyusahkan. Lagipun, Dany sendiri dah pesan dengan makcik. Katanya, dia mahu Miza dan Alia tinggal di sini. Dia yang akan cari rumah sewa. Sementara tu, dia akan tinggal di hotel.” Zaleha mengusap belakang. “Jangan sesekali fikir yang Miza dan Alia menyusahkan kami. Ingat!”

------------------------------@@-----------------


KRINGGG....Kringg....

Loceng yang berbunyi itu menarik perhatian Alia yang sedang bermain buaian. “Wah! Aiskrim!” Alia menahan buaiannya dengan tapak kaki dari berhayun.

Dany menoleh memandang ke belakang. Kelihatan seorang apek aiskrim berhenti di bahu jalan yang tidak jauh dari mereka. Ramai kanak-kanak yang berada di taman permainan itu mula mengerumuninya.

“Alia nak aiskrim?” tanya Dany. Alia mengangguk. “Jom!”

“Alaa...Pakcik belikanlah untuk Alia,” rayu Alia.

“Iyalah, pakcik nak belikan untuk Alia-lah ni,” balas Dany.

“Tak.....bukan....” Alia menggeleng apabila Dany tak mengerti maksudnya. “Pakcik belikan aiskrim, Alia tunggu sini.”

“Jomlah kita pergi sekali. Alia pilih aiskrim yang Alia nak,” ajak Dany lalu menghulurkan tangan.

“Tak nak! Alia tunggu sinilah. Kalau Alia bangun, orang lain nanti ambil buaian Alia,” ujar Alia.

Dany menoleh pula kepada apek aiskrim yang hanya sepuluh langkah di hadapannya. “Okey, Alia tunggu sini, pakcik belikan aiskrim mangkuk untuk Alia. Jangan pergi mana-mana tahu!” pesannya.

“Alia tunggu sini!” Alia sudah tersenyum lebar.

Dany meninggalkan Alia untuk membelikan aiskrim. Setelah membelikan semangkuk aiskrim buat Alia dan aiskrim Magnum untuk dirinya sendiri, dia kembali semula ke tempat Alia bermain buaian.

“Alia, aiskrim dah sampai,” dia memandang Alia.

Namun, kelibat Alia tidak ada di buaian itu. Hanya yang ada buaian kosong yang sedang terhayun sendiri. Dany berlari si sekeliling padang dan memerhatikan semua kanak-kanak yang berada di situ. Namun, kelibat Alia tetap tidak kelihatan.

“Alia!!!”


------------------@@--------------

MIZA menekan brek dengan kuat apabila tiba di hadapan rumah Zaleha sehingga bahunya terenjak ke depan. Terus dia meluru keluar dari kereta dan masuk ke dalam rumah Zaleha.

“Astaghfirullah...” Aina di sebelahnya sudah mengucap panjang.

“Mana Alia?” soal Miza sebaik sahaja kakinya menjejakkan kaki  ke dalam rumah.

Zaleha, Deris dan Dany terus menoleh kepadanya. Dany membalas menelan air liur dan matanya terus bertentangan dengan Miza. Melihat ke dalam mata Miza, dia dapat merasakan perasaan takut wanita itu.

Miza mendekati Dany. “Mana Alia?!” Suaranya di tahan namun dengan nada yang keras.

“Miza, saya minta maaf. Saya....” Dany tak tahu untuk berkata apa. Betapa menyesalnya dia dengan kelalaiannya. Kalaulah dia bertegas membawa Alia bersamanya untuk membeli aiskrim, tentu semua ini takkan terjadi.

“Ya Allah...” Akhirnya, tangisan yang sedari tadi di tahan Miza berguguran. Tersekat-sekat nafasnya bersama tangis esaknya.

“Maafkan saya Miza, maafkan saya...” Hanya itu yang mampu dikatakan Dany. Pedih hatinya melihat kesengsaraan Miza kerana kecuaiannya.

Zaleha terus meluru memeluk Miza. Dia juga khuatir dengan keselamatan Alia.

“Kita buat laporan polis,” usul Aina.

“Tak boleh selagi tak cukup dua puluh empat jam,” ujar Deris pula. “Jangan buang masa di sini. Lebih baik kita keluar dan cari Alia.”

“Betul!” Aina juga bersetuju. “Kau ada gambar Alia?” tanya Aina kepada Miza. Miza mengangguk. “Kau send gambar Alia, biar aku upload di FB dan twitter. Untung-untung ada orang nampak dia.”

Dengan pantas Miza menghantar gambar Alia kepada Aina melalui emailnya sambil tangannya menekan punat-punat telefonnya.

“Awak perlu beritahu Jeffry. Mungkin dia boleh bantu kita untuk cari Alia,” cadang Dany.

“Saya tak perlukan bantuan dia!” tegas Miza.

“Ini soal Alia. Mungkin Jeffry boleh bantu,” pujuk Dany lagi. “Demi Alia....Miza, beritahu Jeffry.”


---------------------@@------------------

“ADA apa kau cari aku?” Jeffry menyeluk kocek seluarnya tanpa memandang Miza.
“Alia hilang,” sayu Miza menuturkan kata.

“Habis tu?” Sedikit pun Jeffry tidak menunjukkan riak kerisauan seperti yang di harapkan Miza.

“Kita memang dah tak ada apa-apa hubungan. Tapi Alia anak awak!” Ujar Miza separuh menjerit. Dia sudah tidak membahasakan Jeffry sebagai ‘abang’.

Jeffry mengerling Dany yang sedang bersandar di sebuah kereta tidak jauh dari tempat dia dan Miza berada. “Sebab awak dah ada orang lain awak minta cerai dari saya?” soal Jeffry.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk bercakap tentang kita,” balas Miza.

Jeffry mendengus dengan jawapan Miza. “Kalau dah ada orang baru, tak perlu cari saya!”

“Kan saya dah cakap, ini bukan soal kita! Soal Alia! Alia tu anak awak!” Nada suara Miza sudah meninggi.

“Mentang-mentanglah aku bukan suami kau lagi, kau dah pandai nak jerit-jerit?!” Jeffry kelihatan bengang dengan sikap Miza. “Sudah! Kau dah tak ada apa-apa hubungan dengan aku. Aku pun tak pernah anggap Alia anak aku!” tegas Jeffry. Jeffry menendang tayar keretanya sendiri untuk menunjukkan perasaan marahnya. Dia terus membuka pintu dan memandu pergi.

Tatkala kereta Jeffry berlalu di hadapan Miza, mata Miza menangkap sesuatu di belakang kereta Jeffry. Sebuah anak patung beruang. Dan di sebelah kiri telinga anak patung itu, terikat sebuah reben warna biru yang dijahit khas oleh Miza sendiri.

Melihat Jeffry yang telah pergi, Dany terus mendekati Miza.

“Macam mana Miza?” tanya Dany.

“Saya tahu siapa yang ambil Alia,” ujar Miza dengan getaran di dada. Dany terdiam. Miza mengambil telefon dan mencari nama Jeffry dalam senarai dan terus menghubungi lelaki itu.

“Saya tahu Alia ada dengan awak,” kata Alia. Kedengaran tawa sindir dari Jeffry. “Apa yang awak mahu dari saya?”


---------------@@----------------






---------------@@-----------------


TERLIHAT  kereta hitam milik Jeffry berpusing kembali mendekati Miza dan Dany.

“Awak yakin dengan apa yang awak buat?” tanya Dany. Berat hatinya untuk melepaskan Miza pergi bersama Jeffry.

Jeffry berhenti betul-betul di hadapan Miza dan Dany. Dia hanya menunggu di dalam kereta sambil mengerling Dany dengan tajam.

“Awak jangan risau, Dany. Kalau sesuatu terjadi pada saya, saya minta awak dan keluarga awak, halalkan makan minum saya dengan Alia.” Ada airmata yang mula bertakung di kelopak matanya.

“Awak jangan cakap macam tu!” Dany mengetap bibir. “Saya akan buat laporan polis.”

“Jangan!” tegah Miza. Dia masih teringat akan amaran Jeffry yang tidak mahu mereka melibatkan polis. “Awak doakan yang baik-baik untuk saya dan Alia.” Miza memandang jauh ke dalam anak mata Dany untuk memberitahu lelaki itu betapa dia memerlukan pertolongan Dany.

Bagaikan mengerti maksud pandangan mata Miza. Dany menganggukkan kepalanya. Dia pasti bantu Miza walau apa cara sekali pun.

Tanpa menunggu lebih lama, Miza membuka pintu kereta dan terus meloloskan diri di dalam, di sisi Jeffry.

Jeffry melempar senyuman sinis kepada Dany seolah-olah menyatakan dia telah berjaya mendapatkan Miza dari Dany. Kemudian, dia terus memandu kereta itu pergi.

Melihat sahaja kereta yang telah bergerak pergi itu, Dany terus mengeluarkan telefon bimbitnya.

“Hello....”

-----------------------@@---------------------

“SELAMAT datang sayang ku...” ujar Jeffry sambil membuka pintu sebuah pondok usang di tengah hutan itu. Terlihat kelibat dua orang lelaki sedang bermain daun terup di situ.

Jeffry memberi isyarat agar mereka keluar dari pondok itu. Dua orang lelaki itu dengan pantas mengikut arahan Jeffry. Sempat lagi mereka memandang Miza dari atas ke bawah dan ke wajah Miza semula. Miza hanya tertunduk menerima panahan mata yang menakutkan itu.

Hilang sahaja mereka berdua dari pondok buruk itu, Jeffry terus menutup pintu. Kini, tinggallah dia dan Miza berdua.

“Mana Alia?” tanya Miza.

“Ada.... ada...” Jeffry mendekati sebuah pintu di situ lalu membuka pintu itu. Kelihatan kelibat Alia sedang nyenyak tidur di lantai yang hanya dilapikkan dengan surat khabar.

“Alia!” Miza terus berlari untuk mendapatkan Alia. Sayangnya, ketika tiba di pintu bilik itu, Jeffry terus menutup pintu itu semula.

“Kau panggil dia pun tak guna. Dia sedang nyenyak tidur,” satu pandangan sinis dilemparkan untuk Miza.

“Apa yang kau dah buat dengan Alia?” Wajah Miza bertukar kerisauan. Bibirnya sudah diketap rapat.

“Aku tak buat apa. Tu semua kerja budak-budak aku. Dia dah bagi Alia minum ubat tidur. Jadi, buat masa sekarang, Alia takkan kacau kita.” Jeffry ketawa berdekah-dekah apabila berkata begitu.

“Kau bagi Alia minum ubat tidur?” Terkejut Miza dengan pengakuan itu.

“Bukan...bukan aku. Budak-budak aku!” Jeffry ketawa lagi. Seronok dia melihat wajah Miza begitu.

“Kau dah gila! Alia baru tiga tahun! Dia anak kau, Jeffry!” tempik Miza.

“Ya..Ya...” ujar Jeffry dengan nada yang sinis sekali. Seakan-akan dia langsung tidak peduli siapa Alia padanya.

“Apa yang kau nak dari aku Jeffry?” tanya Miza.

“OOoo....satu soalan yang bagus!” Jeffry berpusing-pusing di sekeliling Miza. “Banyak benda yang aku mahu dari kau!” Kemudian, dia berhenti di depan Miza. Dia merapatkan diri dengan Miza. Lantas, dengan kasar dia memegang dagu Miza.

“Sakitlah!” Miza cuba menolak tangan Jeffry.

“Sakit? Kau tahu sakit?” Mencerlung matanya menikam anak mata Miza. “Apa yang berlaku sekarang, semuanya berpunca dari kau! Kau patut menyesal dengan apa yang telah kau lakukan pada aku!” Jeffry terus menolak tubuh Miza sehingga wanita itu tergerak ke belakang dan menyentuh dinding pondok itu.

Miza memegang dahunya yang sakit. “Apa yang aku dah buat dengan kau Jeffry?” tanya Miza. “Aku tak buat apa-apa dengan kau,” sayu sekali nadanya menuturkan kata.

“Tak buat apa-apa?” sindir Jeffry. “Banyak yang kau dah buat pada aku! Hidup aku hancur sebab kau!” Jeffry menolak lagi tubuh Miza hingga ke dinding dengan kasar.

Kedengaran suara Miza yang mengerang kesakitan.

“Sebab kau failkan kes ke mahkamah, Hazrini tahu aku ada isteri lain selain dia. Kau tahu apa akibatnya bila dia tahu aku menduakan dia?!” Jeffry menarik sanggul Miza yang tersembunyi di sebalik selendangnya.

Miza mengerang kesakitan lagi.

“Dia tarik balik jawatan aku sebagai pengurus syarikat dia di syarikat induk tu!” jerit Jeffry di cuping telinga Miza.

Dia menolak lagi tubuh Miza ke meja yang ada di ruang tengah pondok buruk itu. Dahi Miza terhantuk di muka meja. Dia terasa pening seketika. Jeffry pula, hanya memerhatikan Miza yang lemah itu cuba menegakkan semula tubuhnya. Dia berpusing mengelilingi Miza lagi.

“Sekarang ni, dia dah jual kondominium yang dia hadiah kan pada aku. Sebab tu-lah aku jualkan rumah yang kau tinggal tu. Biar kau rasa apa yang aku rasa!” Jeffry mengetap bibirnya.
“Habis tu, apa lagi yang kau nak dari aku?” tanya Miza dengan suara yang lemah. Matanya terus memerhatikan kelibat Jeffry yang sedang berjalan mengelilinginya.

“Apa yang aku buat dengan kau tak cukup.... Tak cukup...” Jeffry ketawa sinis. “Aku nak kau lebih menderita. Aku dah bersusah payah mendapatkan Hazrini dan semua kemewahan yang selama ini aku impikan, tiba-tiba saja musnah sebab kau! Kau perlu lebih menderita Miza!” tempik Jeffry.

Miza tertunduk lemah. “Aku tak sangka kau akan berubah terlalu jauh begini Jeffry. Aku dah tak kenal siapa kau. Kau dah terlalu obsess dengan kemewahan.”

“heh!” Getus Jeffry. “Dunia sekarang, dunia duit! Harta! Kalau kau mewah, orang akan sanjung kau!” katanya lagi. “Tapi!” Jeffry mendekati Miza lagi. Dia menarik lagi sanggul Miza dengan kuat sehingga Miza mengerang kesakitan. “Sebab kau, hidup aku musnah!”

“Aku tak buat apa Jeffry. Aku Cuma minta dilepaskan! Sikit pun aku tak tuntut apa-apa dari kau apatah lagi nak ambil harta kau,” suara Miza seakan merayu. “Lepaskan Alia.”

“Aku akan lepaskan Alia,” Jeffry menolak kepala Miza lagi dan sekali lagi, kepala Miza terhantuk ke muka meja. Miza memegang dahinya apabila merasakan ada cecair yang mengalir.

“Ya Allah...” Miza mengucap panjang apabila melihat darah di tapak tangannya.

“Aku akan lepaskan kau dan Alia, itu pun setelah dendam aku terbalas!” keras Jeffry menuturkan kata.

“Kau kau nak balas dendam pada aku, lepaskanlah Alia. Alia tak ada kaitan dalam semua ni,” rayu Miza.

“Tentu saja Alia ada kaitan. Kau tahu kenapa? Sebab Alia adalah segala-galanya buat kau. Kalau aku sakitkan Alia, kau akan menderita....kan....” Jeffry ketawa.

“Apa yang kau nak buat pada Alia?!” jerit Miza. Kali ini nafasnya sudah tercungap-cungap   menahan marah. “Kau boleh buat apa saja pada aku, tapi bukan Alia!”

“Ha! Ha! Ha!” Jeffry ketawa berdekah-dekah melihat Miza yang sudah kepanasan apabila dia menyebut tentang Alia.
Tiba-tiba saja kedengaran riuh rendah di luar. Dengan pantas, Jeffry menngintip di balik celahan kayu yang jarang.

“Tak guna!!” Kelihatan kelibat Dany dan beberapa orang temannya sedang bertumbuk dengan orang-orangnya. Dengan pantas, Jeffry menolak meja dan kerusi yang ada dan menahan pintu agar Dany dan teman-temannya tidak dapat masuk ke dalam pondok itu.

“Oh.... Hero dah datang nak selamatkan heroin,” sindir Jeffry.

Miza tergamam. Dia mendekati dinding kayu yang jarang itu. Terlihat kelibat Dany di situ. Miza pantas berpaling memandang Dany.

“Hero dah datang. Kau takut?” Sindir Miza sambil menyapu darah yang mengalir di dahinya. Semakin lama, semakin banyak darah yang mengalir. Memang sedari tadi, dia cuba mendiamkan diri kerana memikirkan keselamatan Alia. Namun, dengan kehadiran Dany sekarang ni, semangat dan keberaniannya semakin meningkat. Inilah saat yang sesuai untuk dia mempertahankan dirinya.

Dek kerana geram dengan sindiran Miza, Jeffry mengutip semua batang-batang kayu yang ada dan menyendal di muka pintu. Miza hanya memerhatikan sahaja tingkah Jeffry.

“Kau rasa, hero kau tu boleh masuk ke dalam ni?” sindir Jeffry bersama ketawa sinisnya.

Miza membalas tawa sinis Jeffry dengan tawa sinisnya juga. “Mungkin dia tak dapat masuk dalam tapi sekurang-kurangnya aku tahu dia ada untuk selamatkan aku dan Alia.”

Jeffry mengetap bibir mendengar kata-kata berani Miza. Dia mencapai sebatang kayu yang disendalnya di muka pintu. “Kau ingat, kau dapat lari dari aku?!” Jeffry terus mendekati Miza dan mengangkat kayu itu dengan tinggi. Dia menghayun kayu itu tepat ke tubuh Miza.

Dengan pantas, Miza mengelak. Dia mencapai tangan Jeffry yang memegang kayu itu. Dia memusing tubuhnya dan menyiku perut Jeffry.

Jeffry yang tidak dapat menjangkakan tindakan terduduk menahan sakit. Untuk seketika dia merasa sukar untuk bernafas. Miza menyiku betul-betul di tengah perutnya.

“Kau mesti terkejutkan dengan tindakan aku,” kata Miza. “Tiga tahun kau tinggalkan kami terkapa-kapa Jeffry. Aku dan Alia tak ada tempat untuk berlindung. Jadi, aku perlu belajar untuk melindungi diri aku dan Alia. Tapi, aku tak sangka akhirnya, aku perlu melindungi diri aku dan Alia dari kau, orang yang aku harapkan untuk melindungi kami!”

Tanpa disangka-sangka, Jeffry dengan pantas bangun saat Miza berdiri di belakangnya. Terus kayu di tangannya itu dihayun. Miza cuba mengelak. Namun, dia agak terlambat kerana kayu itu telah terkena pada pinggangnya. Miza terpelanting ke lantai.

Dengan pantas Miza bangun walaupun tubuhnya semakin lemah. Dia tidak mahu Jeffry mengambil kesempatan itu untuk memukulnya lagi.

Dengan rasa geram, Miza mendekati kayu-kayu yang disendal di muka pintu. Sebatang darinya, dicapai Miza. Saat Miza mahu mendekati Jeffry, waktu itu, pintu telah dipecahkan dari luar.

Perhatian Jeffry beralih memandang Dany yang muncul di situ. Jeffry tergamam apabila Dany dan teman-temannya berdiri tegak di situ.

“Mana Alia?” tanya Dany. Miza menunjukkan di mana Alia berada dengan jarinya. Matanya masih belum beralih memandang Jeffry.

Dany terus meluru mendapatkan Alia. Dia keluar bersama Alia yang masih tidak sedarkan diri.

“Kenapa dengan Alia?!” tempik Dany.

 Miza terus mendapatkan Alia yang terkulai layu di pangkuan Dany. “Alia! Alia!” Pipi Alia cuba ditampar beberapa kali. Namun, sedikit pun Alia tidak memberikan respon.

Dengan penuh rasa kemarahan dan kebencian, Miza memandang Jeffry. Bersama kayu yang masih ditangannya dia menghampiri Jeffry. Jeffry pula terus terpaku di situ. Bagaikan orang yang ketakutan dia hanya memandang Miza yang sedang menghampirinya.

Dekat sahaja dengan Jeffry, Miza terus mengangkat kaki dan menendang Jeffry, tepat di perutnya sehingga lelaki itu terpelanting ke dinding. Miza terus menghampiri Jeffry dan menghulurkan batang katu itu di leher Jeffry. Kemudian, dia menekan leher Jeffry dengan lengan kirinya.

Dia mendekatkan bibirnya ke telinga Jeffry. “Kalau sesuatu yang buruk jadi pada Alia, kau akan jadi manusia yang paling menyesal dalam dunia ni sebab pernah berkahwin dengan aku!” Terus dia menumbuk pipi Jeffry.

Jeffry terkulai ke lantai. Miza mahu menendang lagi perut Jeffry, namun dengan pantas, Dany menyerahkan Alia kepada salah seorang temannya dan meluru kepada Miza. Miza meronta minta dilepaskan apabila Dany menarik tangannya. Dia masih belum puas meluahkan kemarahannya kepada Jeffry.

“Sabar Miza...Sabar!” Kerana kedegilan Miza, Dany terus memeluk pinggang Miza dengan erat dan menarik Miza keluar dari pondok itu. “Miza!” Dany cuba menenangkan Miza yang masih mahu melampiaskan marahnya kepada Dany. “Biarkan Jeffry! Kita kena bawa Alia ke hospital!”

Miza terpempam saat Dany menyebut nama Alia. Dia memandang Dany. Dany merenung ke wajah Miza lalu pandangannya jatuh kepada dahi Miza yang berdarah.

“Awak cedera!” Sedari tadi dia tidak perasan akan dahi Miza. Miza memegang dahinya. Tangannya dilumuri darah. Tiba-tiba sahaja pandangannya kelam dan tubuhnya menjadi ringan.

“Ya Allah, Miza!” Dany menyambut tubuh Miza.

---------@@--------

Perlahan-lahan Miza membuka matanya. Pandangannya yang masih kabur akhirnya menjadi lebih jelas apabila dia kedipkan matanya beberapa kali.

Miza memandang susuk tubuh manusia yang berada di sisi kiri dan kanannya. “Makcik, pakcik.” Dengan tenaga yang masih lemah, Miza menegur kedua-dua orang tua itu.

Deris dan Zaleha terus memandang Miza apabila mendengar suara Miza memanggil mereka.

“Alhamdulillah...syukur!” Zaleha menadah tangan melihat Miza yang sudah sedar. Deris terus meluru keluar untuk mendapatkan jururawat yang bertugas.

----------@@--------------

“Mana Alia?” Itulah soalan pertama yang ditanyakan Miza setelah dia sedar sepenuhnya.

Deris dan Zaleha berpandangan. Masing-masing membisu.

“Kenapa ni makcik, pakcik? Mana Alia?” Miza memandang kedua-dua wajah itu silih berganti. Jantungnya sudah bergerak laju kerana kegelisahan. “Mana Dany?” Sejak dia sedar, dia langsung tidak melihat lelaki itu.

Deris menarik nafas panjang lalu melepaskannya agak kuat. Dia menyeluk kocek seluar dan menarik keluar telefon bimbitnya. Dia menaip pesanan ringkas. Miza hanya memerhatikan tingak Deris.

Zaleha bangun lalu membetulkan kedudukan bantal. Dia menegakkan bantal di kepala katil dan membantu Miza duduk dan menyelesakan diri.

“Kenapa makcik dan pakcik diam? Mana Alia?” kini suara Miza sudah perlahan. Zaleha merenung wajah Miza. Dia mengetap bibir lalu kembali duduk di kerusinya.

Tatkala itu, kedengaran satu ketukan di muka pintu. Mereka bertiga beralih memandang daun pintu yang tertutup. Tombol pintu dipulas dari luar. Daun pintu terbuka sedikit dan kemudian, seseorang menolak daun pintu itu dari luar. Muncul kelibat Dany sambil mendukung Alia.

“Mama!” jerit Alia.

“Alia!” Miza mendepakan tangan untuk mendapatkan Alia. Dany menyerahkan Alia kepada Miza.

“Mama rindukan Alia!” bertalu-talu kucupan hinggap di wajah Alia. Miza memeluknya erat seakan tidak mahu melepaskannya. Deris, Zaleha dan Dany hanya tersenyum bahagia melihat Miza dan Alia.

“Terima kasih, Dany,” ucap Miza dengan rasa terharu.

“Sama-sama,” Dany menganggukkan kepalanya.

“Dany temankan Miza dan Alia. Mak dan abah nak ke kantin,” ujar Zaleha lalu bangun dari duduknya. Begitu juga dengan Deris. Ketika mereka melangkah keluar, sempat lagi Deris mengenyitkan matanya kepada Dany. Dany hanya ketawa sinis sambil menggelengkan kepala.

“Macam mana keadaan Alia?” tanya Miza.

“Alhamdulillah, Alia tak ada apa-apa. Ubat tidur yang Jeffry berikan kepada Alia tak mendatangkan kesan sampingan. Tapi, lama juga Alia tertidur,” beritahu Dany. Miza menarik nafas lega.

“Mama, mama tahu tak nenek hari-hari temankan mama. Jadi, tak ada siapa nak gorengkan pisang untuk Alia. Nasib baik papa ada. Papa yang gorengkan pisang untuk Alia. Hari tu, sampai kuali terbakar sebab papa lupa nak matikan api!” cerita Alia.

“Papa?” berkerut dahi Miza.

“Papa!” Alia menunding kepada Dany.

Dany hanya ketawa kecil melihat kepetahan Alia berbicara. “Alia ni tak macam anak berumur tiga tahun. Bijak sangat!” Satu cubitan sayang hinggap di pipi Alia. “Amawakmak, famahammam kamalaumau samayama camakapmap mamacammam nimi?” (Awak faham tak kalau saya cakap macam ni?) tanya Dany.

Miza mengangguk.

“Hamarimi-hamarimi, Amaliamia kamatama samayama nimi amayahmah dimiama. Jamadimi, samayama minmintama Amaliamia pangmanggilmil samayama pamapama. Amawakmak takmak mamarahmahkanman?” (Hari-hari Alia kata saya ni ayah dia. Jadi, saya minta dia panggil saya papa. Awak tak marahkan?) kata Dany.

Miza ketawa kecil. Kemudian, dia menggeleng. “Takmak!” (tak!)

Alia yang memandang Miza dan Dany silih berganti. Matanya terkebil-kebil memandang mereka berdua kerana tidak mengerti dengan bahasa mereka.

“Papa dan mama cakap apa ni?!” tanya Alia sambil mencekak pinggang.

Miza ketawa. “Bahasa rahsia,” ujar Miza.

“Alia ingat tak pesan papa?” tanya Dany pula. Alia mengangguk laju. “Papa, keluar dulu, ya,”

“Okey!” Kata Alia. Alia membuka beg galas tepi tang disandangnya setelah Dany keluar dari situ. Dia mengeluarkan sekeping kad berwarna merah jambu. “Papa beritahu Alia.... Papa minta Alia beritahu mama....” ujar Alia lambat-lambat. “Papa kata.... A la lu...”

“A la lu?” tanya Miza.

“Eh, bukan... bukan...” Alia menggeleng. Dia memegang dagunya dan cuba berfikir perkataan yang betul. “Papa kata.... A beliu....bukan...bukan.... Papa kata, La bayu....”

“Okey....okey.... Mama rasa, mama tahu... I Love You?” soal Miza.

“Haaa... Betul...” jerit Alia. “Papa suruh Alia beritahu mama yang itulah!”

“Papa kata I Love You dekat mama?” tanya Miza lagi. Alia mengangguk laju lantas menyerahkan kad merah jambu itu kepada Miza. Miza membuka kad itu.

‘Miza, sudikah awak terima saya untuk jadi papa Alia yang sah?’ Itulah perkataan yang tertulis di kad itu.

Miza tergamam dengan penuh rasa terharu. Dia memandang Alia. “Alia sayang pada papa?” tanya Miza.

“Sayang sangat!” ujar Alia.

Miza menarik nafas panjang. Memang mudah untuk mencari pengganti seorang suami, tapi sangat sukar untuk mencari pengganti seorang ayah. Dia telah bertekad ketika dia berpisah dengan Jeffy, seandainya ada lelaki yang menyayangi Alia dan Alia juga menyayanginya, hanya lelaki itu yang layak untuk hadir di antara mereka.

“Macam mana, mama?” tanya Alia.

“Apa?” tanya Miza kembali.

“Mama kata ya atau tidak?” tanya Alia. Miza tidak dapat menahan tawanya dengan pertanyaan Alia.

“Papa suruh Alia tanya?” tanya Miza. Alia mengangguk laju.

Miza tersenyum memandang Alia. “Alia nak mama jawab apa?” Sengaja Miza bermain tarik tali. “Alia tahukah apa yang papa nak dari mama?”

“Tahu! Papa dah beritahu semua dengan Alia. Papa kata, kalau Alia nak papa ada setiap hari dengan Alia dan mama, mama kena kata, ya. Tapi, kalau mama kata ‘tak’, papa tak boleh tinggal dengan Alia. Papa boleh tengok Alia sekejap-sekejap aje.”

“Habis tu, Alia nak mama jawab ya atau tidak?”

“Jawab ‘ya’ lah mama,” rayu Alia.

Miza ketawa kecil memandang Alia. “Demi anak mama, mama akan jawab ‘ya’!”
Miza mencium pipi Alia bertalu-talu.

“Ye! Ye!” Alia menuruni katil lalu berlari ke muka pintu. Dia menjungkitkan kakinya dan untuk memulas tombol pintu yang lebih tinggi darinya. Namun, tombol pintu itu terbuka dari luar. Berdiri Dany di situ.

“Papa! Mama jawab ya!” Terus dia memeluk kaki Dany. Dany mengangkat tubuh Alia dan mendukungnya. Kemudian, dia memandang Miza.

“Terima kasih, Miza,” kata Dany. Sedari tadi, memang dia hanya berdiri di depan pintu dan mencuri dengar perbualan Miza dan Alia.

Miza yang malu-malu hanya memandang katil. “terima kasih atas semua pertolongan awak selama ni,” ujarnya tanpa mengangkat kepala.

Dany mendekati Miza dan duduk di sisi katil dan meletakkan tubuh Alia di ribaannya. “Mungkin, Alia tidak lahir dari saya. Takdir Allah, tiada siapa yang tahu. Alia datang dari orang lain dan orang lain yang akan menyayanginya sehingga ke akhir hayat.”

Miza memandang Alia yang memeluk leher Dany dengan erat. Dia tersenyum bahagia.

---------@@----------




-TAMAT-







6 comments:

  1. Jahatnya suami miza tu kan........harta tu TUHANnya barangkali.

    ReplyDelete
    Replies
    1. itulah...manusia boleh berubah jika harta dan dunia yang menjadi taruhannya.....

      terima kasih kerana membaca dan komen.... ^^

      Delete
    2. best. suka watak dany yg x terlalu perfect 10. dan alia yg manja. :-P

      Delete
  2. terima kasih kerana sudi membaca dan juga komen.... ^^

    ReplyDelete
  3. Kesaksian singkat ini dapat membantu Anda atau seseorang yang dekat dengan Anda. HARAP BACA

    Nama saya Louisa, saya ingin memberi tahu dunia bagaimana Dr Kavi menyelamatkan pernikahan. marrigae saya hampir roboh. Saya menikah selama sebelas tahun tanpa seorang anak dan Anda tahu apa artinya menikah selama dua tahun tanpa seorang anak, tetapi saya berusia sebelas tahun, sehingga Anda dapat membayangkan tekanan yang dapat datang dari seorang ibu mertua pada saat itu. Ibu mertuaku membuat perkawinanku menjadi kacau untukku, meskipun suamiku sangat pengertian karena dokter keluarga kami telah memberi tahu kami bahwa tidak ada yang salah dengan kami berdua. Tetapi berapa lama seseorang dapat siap untuk memahami dan menunggu waktu Tuhan? Saya sangat khawatir sampai seorang teman saya memberi tahu saya tentang seorang pria yang ditemuinya yang membantunya mengakhiri ketidaksopanannya,

     Tetapi saya tidak pernah percaya pada spiritualis ini. Tetapi setelah banyak tekanan dari teman saya, saya memutuskan untuk menghubungi DR Kavi dan memberi tahu dia tentang ketidakberadaan anak saya. Yang dilakukan pria hebat ini adalah mengajukan beberapa pertanyaan penting dan memberi tahu saya beberapa hal penting yang diperlukan untuk membuat saya memiliki anak-anak dalam kehidupan. Saya melakukan semua yang diminta untuk melakukan dan menyimpan semua instruksi ..

    setelah 2 minggu saya dikonfirmasi hamil. Semua berkat Dr Kavi

     Saya tahu apa artinya menjadi tanpa anak, jadi saya menggunakan media ini untuk membagikan kesaksian saya kepada Anda sehingga Anda juga dapat menghubungi Dr Kavi hari ini di salah satu masalah berikut ini

    * Anda ingin mantan Anda kembali.

    * Dipromosikan di kantornya

    * Ingin kaya.

    * Anda ingin menjaga suami / istri Anda menjadi miliknya sendiri selamanya.

    * Apakah Anda akan mengendalikan pernikahan itu

    * Apakah Anda ingin tertarik pada orang

    * End Childlessness

    * obat untuk penyakit apa saja.

    Hubungi DR Kavi hari ini dan terima kasih nanti. Email: godkavi01@gmail.com

    ReplyDelete