Friday 25 October 2013

Ratu Hati Si Putera Arab 26







Assalamualaikum....Ada satu pengumuman penting di sini...
Ini adalah N3 terakhir bagi Ratu Hati Si Putera Arab...Saya akan hentikan kisah ini sementara menunggu manuskrip ini diluluskan...
Ini juga adalah N3 terakhir di blog PSB...Blog PSB akan bersawang mulai dari hari ini untuk menyiapkan manuskrip Senyumlah Sayang...In Sya Allah, target saya untuk membuka semula blog PSB adalah pada tahun hadapan setelah manuskrip SS siap sepenuhnya.
Terima kasih untuk semua kengkawan yang mengunjungi blog ini...Walaupun SS dan RHSPA sudah tidak ada di blog PSB, kengkawan semua masih boleh mengikuti semula kisah SS dan RHSPA dari mula di blog maiafrenzy.blogspot.com ya.....
Terima kasih semua....love uollss ketat2...

---------------@@------


ZACK menghampiri Audra yang sedang termenung di tepi sungai. Dia memanjat batu besar di mana Audra berada dan kemudian melabuhkan punggungnya tidak jauh dari gadis itu.

Audra yang menyedari kehadiran seseorang di situ, lantas menoleh. Dia menjeling dan kembali membuang pandangannya kepada sungai yang sedang mengalir tatkala dia melihat wajah Zack. Zack hanya tersenyum melihat reaksi itu.

“Kuah rojak yang awak buat tu memang sedap,” puji Zack sebagai permulaan bicara. “Pagi tadi, saya makan lagi kuah rojak tu. Kali ni, dengan belimbing besi pulak. Memang sedap,” sambung Zack.

Audra hanya membisu. Sedikit pun pujian itu tidak menambat hatinya untuk berbalas bicara dengan Zack.

“Hm terakhir untuk Ratu Hati Si Putera Arab mmm…kalau saya nak minta awak buatkan lagi boleh? Saya nak bawa balik Penang nanti,” pinta Zack. Audra tetap membisu. Semakin rapat bibirnya diketap.

“Saya kacau awak ke?” tanya Zack. Wajah Audra terus diperhatikan. Namun, masih tiada reaksi positif yang diberikan. Audra tetap membisu tanpa membalas persoalan itu. Zack mengetap bibirnya melihat kedinginan Audra.

“Rasanya, lepas lamaran malam tadi, banyak perkara yang awak nak tanya pada saya, kan?” Zack masih tidak berputus asa dan terus mencuba memancing Audra agar berbicara.

Audra menundukkan pandangannya. Memang banyak perkara yang perlu diketahuinya. Tetapi, dia tahu jawapan yang sama akan diberikan Zack. Lebih baik jika dia bertentang mata dengan Syed Zikri sendiri.

“Kenapa awak tak nak terima lamaran Tuan Syed?” soal Zack lagi. Audra masih mendiamkan diri. Namun, kedengaran dengusan halus dari bibir mungil itu.

“Tuan Syed tu, orangnya kaya-raya. Dah tu, segak pula. Ramai wanita yang mahu jadi pendamping dia. Tapi dia dah pilih awak. Awak pulak, tolak dia mentah-mentah sedangkan awak belum pernah melihat dia,” sambung Zack lagi. “Saya takut awak menyesal nanti.” Dia melirik Audra yang sedang menongkat dagunya dengan tangan.

“Saya malaslah nak bercakap tentang Syed Zikri,” Audra sudah membuka mulutnya sehingga membuatkan Zack mengukir senyuman. Usahanya sudah berhasil. Audra sudah mula berbicara.

“Kenapa? sedangkan, malam tadi banyak perkara yang awak mahu tahu dari saya,” ujar Zack. Matanya masih terus melirik Audra yang sedang memerhatikan arus-arus sungai yang mengalir. Audra menarik nafas yang panjang lalu menghembunya perlahan.

“Kalau saya bertanya pada Encik Zack pun, setiap soalan saya takkan terjawab. Lebih baik saya bertanya terus dengan Syed Zikri,” Audra sudah meluahkan pendapatnya.

“Mana awak tahu saya tak boleh jawab? Cuba tanya dulu,” balas Zack. Audra mengetap bibirnya rapat. Tiada balasan darinya.

“Okey, awak memang tak nak tahu apa-apa dari saya,” Zack membuat kesimpulan sendiri. “Jadi, boleh saya tahu kenapa awak tak mahu terima Tuan Syed?” tanya Zack yang tidak sabar menunggu.

“Sebab, saya tak pernah lihat dialah saya tak nak terima dia!” tegas Audra. Dia menjeling Zack dengan tajam. “Macam mana saya nak terima orang yang saya tak kenal?” tanya Audra kembali.

Senyuman di bibir Zack semakin mekar apabila melihat jelingan itu. “Pentingkah untuk awak lihat dia? Awak-kan mahu seorang putera raja? Nah! Tuan Syed-lah orang yang paling layak. Kalau awak terima dia, hidup awak akan dilimpahi dengan kemewahan. Awak akan menjadi permaisuri di Rumah Warisan. Kehidupan awak akan berubah sepenuhnya,” ujar Zack lagi.

Audra mendengus kasar. Dia menoleh, memandang Zack dengan tajam. “Saya bukan meterealistik!” tegasnya. Dia memang tidak suka apabila ada orang yang menganggapnya begitu.

“Tapi awak mahukan seorang putera raja, kan?” tanya Zack kembali.

“Itu tak bermakna saya hanya mahukan orang kaya! Putera raja yang saya maksudkan adalah seorang lelaki yang akan melimpahkan kebahagiaan dalam hidup saya sehingga saya tak pernah merasa miskin dengan kasih sayangnya,” jelas Audra. Satu keluhan dilepaskan. Dia sudah penat membuatkan orang-orang sekeliling memahami kehendaknya.

“Perkataan ‘putera raja’ yang awak gunakan boleh buat orang salah sangka dengan awak. Pertama kali saya mendengar angan-angan awak tu, saya sendiri menyangka yang awak seorang gadis yang meterealistik,” beritahu Zack tanpa berselindung.

Audra mengetap bibirnya. “Ada saya kisah dengan pandangan orang tentang saya?” tanya Audra dan kepalanya sudah tergeleng. “Orang berhak bercakap apa saja tentang saya. Saya hanya mengikut kata hati saya,” sambungnya lagi.

“Kalau putera raja yang awak maksudkan itu bukanlah seorang lelaki kaya, jadi, apakah maksudnya putera raja itu bagi awak?” soal Zack.

“Tak penting untuk Encik Zack tahu,” balas Audra yang malas mahu menjelaskan dengan lebih lanjut.

“Sangat penting. Sekurang-kurangnya saya akan membuat penilaian sama ada Tuan Syed layak untuk awak atau tidak,” kata Zack sehingga Audra berpaling memandangnya.

“Tuan Syed layak atau tidak untuk saya?” Mulut Audra ternganga sedikit. Ada tawa halus dari bibir itu. “Tuan Syed itu sangat kaya orangnya. Saya cuma seorang gadis kampung. Saya yang tak layak untuk Tuan Syed,” balas Audra. “Walaupun angan-angan saya tinggi melangit, tapi saya tak hanyut dengan khayalan,” sambungnya. Dia tidak mahu Zack salah sangka terhadapnya.

Zack mengangguk. “Saya tahu. Tapi, situasi di sini, awak yang menolak lamaran Tuan Syed. Jadi, dia yang tak layak untuk awak.” Zack memandang kepada Audra. “Apa makna putera raja itu bagi awak?” tanya Zack sekali lagi.
Audra mengetap bibirnya. Wajah Zack dikerling seketika sebelum dia membuang kembali pandanganya kepada arus-arus sungai yang tidak pernah berhenti mengalir. “Seorang lelaki adalah putera kepada kedua orang tuanya. Dilahirkan sebagai lelaki perlu mempunyai sifat kepimpinan. Seorang putera raja, perlu mempunyi sifat itu untuk mentadbir naungannya agar sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Sifat kepimpinan itu yang saya maksudkan tentang seorang putera raja,” Audra menerangkan kembali perihal yang pernah diberitahu kepada Zana dan Farah.

Zack tergamam seketika. Sifat kepimpinan itukah yang dimaksudkan Audra sebagai seorang putera raja? Dia mula merasa kagum dengan cara Audra menzahirkan keinginannya. Mereka diam seketika. Sengaja Zack membiarkan Audra tenggelam dalam dunianya sendiri.

“Audra, ada tak sesiapa yang pernah buatkan jantung awak pernah berhenti berdegup?” tanya Zack setelah agak lama suasana sepi di antara mereka. Audra terkesima seketika dengan soalan itu. Dia memandang Zack. Lama.

“Tak ada,” jawab Audra.

Zack mendengus perlahan. “Siapa?” tanya Zack walaupun Audra menjawab tak ada sesiapa yang berjaya membuatkan jantungnya berhenti bedegup.

“Tak adalah Encik Zack,” tegas Audra lagi.

“Saya belum pekak lagi Audra. Saya dengar sewaktu awak beritahu mak, Along dan Miza tentang jantung awak yang telah berhenti berdegup itu. Awak telah jumpa putera raja awak, kan?” soal Zack seakan mendesak.

“Kenapa nak tahu?” Kerling Audra dengan tajam.

Zack memusing tubuhnya agar menghadap ke arah Audra. “Sebab, saya boleh beritahu Tuan Syed yang dah ada orang lain yang membuatkan jantung awak berhenti berdegup. Jadi, Tuan Syed boleh melupakan hasratnya untuk memperisterikan awak,” jelas Zack.

---------@@-----





-----------@@-------


Audra diam. Tatkala ini Zack sudah terasa bagai mahu menarik tangan Audra dan memaksanya untuk berterus terang. Siapakah lelaki yang berjaya membuatkan jantungnya berhenti berdegup? Tolonglah jangan diam, Audra!

“Kalau awak nak saya bantu awak, awak kena berterus terang dengan saya,” kata Zack lagi.

Audra menggigit bibir bawahnya lalu menjeling Zack. Sejak bila pula dia minta bantuan dari Zack? “Saya main-main ajelah waktu tu,” dalih Audra untuk menamatkan topik itu.

Zack menghembuskan nafas kehampaan. Tak mengapalah. Suatu hari nanti, aku pasti tahu kebenaran tentang itu. Zack memujuk dirinya sendiri. “Awak serius tentang itu?” Zack berpaling semula memandang Audra.

“Uh?” Audra berbalas pandangan dengan Zack.

“Tentang mencari putera raja yang boleh membuatkan jantung awak berhenti berdegup,” jelas Zack apabila Audra kelihatan tidak mengerti maksud soalannya.

“Ya.” Audra mengangguk. “Sebab tu saya perlu lihat Syed Zikri,” sambungnya.

“Awak nak pastikan sama ada jantung awak boleh berdegup bila lihat dia?” soal Zack lagi.

“Hmm,” jawab Audra ringkas sambil mengangguk.

Kening Zack terjongket. “Tapi, kenapa saya rasa seolah-olah jantung awak pernah berhenti berdegup ketika awak berjumpa dengan saya hari tu?” Zack cuba mencungkil lagi rahsia hati Audra.

Gulp! Audra menelan air liurnya. “Jangan perasanlah!” Audra cuba menyembunyikan wajahnya yang mula terasa panas. Dia memegang pipinya. Pasti saat ini pipinya sudah kemerahan.

Zack ketawa kecil melihat Audra yang sudah termalu itu. “Awak memang berani, kan?” Zack mengubah persoalan.

“Uh?” Kening Audra terjongket memandang Zack.

“Awak satu-satunya manusia yang panggil Tuan Syed dengan nama tanpa panggilan ‘tuan’,” ujar Zack. “Awak tak takut ke kalau Tuan Syed marah?” soalnya.

Audra mendengus halus. “Dia takkan marah,” ujar Audra dengan selamba.

“Yakinnya awak!” Ada nada terkejut dari suara Zack.

“Tentulah!” kata Audra dengan tegas. “Sebab, saya sebut nama dia tanpa pengetahuan dia. Kalau di depan dia nanti, saya panggillah ‘Tuan Syed’.” Audra memandang Zack. “Itu pun kalau dia nak jumpa dengan saya-lah,” sambungnya. Keningnya sudah terjongket-jongket seakan mempermainkan Zack. Dia mahu tahu apa kata Zack apabila dia berkata begitu.

Zack sudah ketawa melihat tingkah Audra. “Awak ingat, kalau dia tak jumpa awak dia takkan tahu apa yang awak buat?” soal Zack kemudiannya.

Audra hanya menjongketkan bahunya sambil tersenyum mengejek. Zack hanya ketawa kecil. Dia memandang Audra semula. “Memang awak tak pernah jumpa dia. Tapi, kalau dia tak pernah lihat awak takkanlah dia berani meminang awak,” kata Zack lagi.

Audra terdiam. Wajah Zack terus menjadi perhatiannya. “Jadi, Syed Zikri memang kenal dengan saya?” soalnya terkejut.

Zack mengangguk. “Kan saya dah beritahu awak,” balas Zack.

Audra kembali menongkat dagunya. “Patutlah Che Enon selalu kata Syed Zikri tu macam James Bond,” ujar Audra sendirian tanpa bermaksud menyatakannya kepada Zack.

Zack ketawa besar. “Che Enon kata macam tu?” Zack menyambung semula tawanya.

Audra mengeluh. “Entahlah. Saya malaslah nak fikir tentang Syed Zikri. Misteri sangat!” Audra bangun dari duduknya. Dia sudah berpusing mahu pergi. Namun, dengan tidak di sangka kaki Audra tergelincir. “Mak!” Hampir sahaja dia terhumban masuk ke dalam sungai.

Dengan pantas Zack terus berdiri dan menangkap pinggang Audra. Audra terus memegang leher Zack dengan erat. Mata mereka bertentang. Terus sahaja Audra merungkai lingkaran tangannya di leher Zack tatkala tubuhnya sudah berdiri dengan stabil. Zack juga melepaskan pelukannya.

“Lain kali berhati-hati,” bisik Zack perlahan di telingan Audra kerana jarak mereka bergitu dekat sekali. Zack berpusing dan terus meninggalkan Audra dengan getaran di dada.


Audra memegang dadanya. Jantungnya berdegup dengan laju. “Ah Encik Zack! Kenapa engkau yang selalu membuatkan jantung aku bergetar?!” Audra terduduk semula di situ. 

------------------@@------------

terima kasih semua.... harap tahun depan blog ini boleh beroperasi semula.... :)




2 comments:

  1. soal ati ade lh rahsia....namun rase yg ade tk bolih di nafi kn...debar yg ade pasti sudah ade pemilik nyer...

    ReplyDelete
  2. huh sedih tak bersambung lagi :(

    ReplyDelete