KAHWIN? Tersentak Maisara dengan
permintaan uminya yang datang dari jauh semata-mata kerana itu. Hanya kerana
hendak menyuruhnya berkahwin? Berguraukah umi? Tapi raut wajah umi tidak
melihatkan begitu. Raut wajahnya kelihatan muram, sedih dan gelisah.
Maisara mengurut-urut dahinya sambil mata
mencuri-curi memandang Maimun yang duduk bertentangan dengannya. Kepalanya yang
tidak sakit itu diusap perlahan sambil berfikir. Memang dia agak terkejut
apabila mendapat panggilan daripada Maimun pagi tadi, sebelum dia berangkat ke
tempat kerja. Setelah Maimun memberitahu kedatangannya ke rumah sewa Maisara,
lantas Maisara menghubungi pejabat dan memohon cuti kecemasan.
“Kenapa secara mendadak ni, umi?” tanya Maisara. Bukan
dia tidak mahu berkahwin, tetapi dia belum bersedia untuk itu. Apatah lagi
mengenangkan luka lamanya yang belum pernah terubat sehingga kini.
Tanpa menjawab soalan itu, Maimun bangun lalu
duduk di samping anak bongsunya. Maimun akui, permintaannya memang keterlaluan
dan dalam keadaan mengejut. Namun, hanya kepada Maisaralah dapat disandang
harapan. Apatah lagi permintaan itu juga datangnya daripada arwah Suhana. Jika
bukan kerana arwah Suhana, sudah tentu dia tidak datang ke mari.
“Memang itulah tujuan umi,” ujar
Maimun.
Maisara berpaling memandang Maimun. “Takkanlah umi datang
ke sini semata-mata kerana itu?” tanya Maisara lagi.
Maimun memandang wajah Maisara sebelum menundukkan
wajahnya, memandang lantai. Bagaimana hendak dijelaskan kepada Maisara akan apa
yang berlaku? Setujukah Maisara dengan permintaan arwah Suhana sedangkan
semenjak Suhana mendirikan rumah tangga, hubungan antara kedua beradik itu
menjadi renggang. Di mana silapnya dan apa puncanya tidak diketahui. Baik Suhana
mahupun Maisara tidak pernah memberitahu apa-apa kepadanya.
Wajah Maimun yang suram itu dipandangnya. “Umi... umi...”
panggil Maisara.
“Umi!” panggil Maisara agak kuat setelah
panggilannya beberapa kali tidak mendapat respons daripada Maimun. Apa yang
terjadi sebenarnya? Kenapa tiba-tiba sahaja umi mengusulkan sedemikian? Umi
kelihatannya tertekan.
Maimun memandang Maisara lalu mengukirkan senyuman pahit.
Bagaimana harus dijelaskan kepada Maisara tentang permintaan Suhana? Mahukah
Maisara bersetuju?
Raut wajah Maimun yang muram dipandang
Maisara. Kecilkah hati orang tua itu setelah mendapat reaksi negatif
daripadanya?
“Umi…” panggil Maisara seakan-akan memujuk.
“Bukan Sara tak nak kahwin. Tapi belum
masanya. Lagipun, Sara belum ada sesiapa sebagai calon menantu, umi,” jelas
Maisara. Ah… bagaimana untuk Maisara jelaskan apa yang berlaku sebenarnya?
Perkara yang selama ini dipendam sehingga dia membawa diri ke negeri Indera
Kayangan.
Walaupun peristiwa itu sudah berlalu dan Suhana juga
telah pergi meninggalkan semuanya, namun tiada satu pun ingatannya terhadap
perkara itu luput daripada kotak ingatannya. Memang dia telah memaafkan setiap
kesalahan arwah Suhana, namun memaafkan tidak bermakna segalanya akan hilang
daripada ingatan. Dek kerana peristiwa itu, dia sentiasa membataskan pergaulan
dengan lelaki, apatah lagi jika lelaki itu semakin cuba menghampirinya. Bukan
dia tidak ada keinginan untuk mencintai dan dicintai, tetapi kepercayaannya
sudah lama hilang.
“Bagaimana kalau umi kata…” Dalam keadaan ragu-ragu
Maimun meneruskan jua hajatnya. “Yang… umi dah ada calon untuk Sara?”
“Umi!” Terkejut Maisara mendengarnya. Umi sudah ada
calon? Kenapa umi lakukan semua ini? Dia bukannya anak dara yang sudah lanjut
usianya untuk umi khuatir jika masih belum berumah tangga! Usianya baru mencecah
25 tahun. Masih punya banyak waktu untuk memikirkan soal itu.
“Sara belum bersedia, umi!” Maisara
menggenggam tangan Maimun erat. “Sara tak mahu serahkan hidup Sara kepada orang
yang Sara tak kenal!”
Maimun menghela nafasnya. Berat hatinya untuk berterus
terang dengan Maisara. Tetapi apabila menimbang semula permintaan Suhana, dia
juga merasakan itulah yang terbaik demi bayi yang ditinggalkan Suhana.
“Calon yang umi maksudkan bukannya orang
lain. Melainkan… abang ipar Sara sendiri. Fariz!” Ada sinar harapan yang ingin
dipancarkan. Sesungguhnya, dia memang berharap benar Maisara akan bersetuju
dengan cadangannya.
Fariz?! Terlopong mulut Maisara mendengar calon yang
disebut umi. Waktu dirasakan terhenti. Sudah lama dia tidak mendengar nama itu
dan hari ini nama itu kembali menyingkap cuping telinganya. Maisara tersandar
pada kerusi. Kenapa perlu Fariz? Bukan sahaja wajah, malah bayang lelaki itu
juga dia tidak mahu lihat. Terbayang wajah Fariz yang melambai-lambai kepadanya
sambil memeluk Suhana. Mereka berdua mentertawakannya lalu berlalu meninggalkan
dia, menangis sendirian.
Melihatkan reaksi Maisara, Maimun tahu anaknya itu
keberatan untuk menerima Fariz dalam hidupnya.
“Sara…” panggilnya lembut sambil
mengusap-usap lengan Maisara. Bagaimana lagi harus dilakukan jika Maisara
menolak cadangannya? “Aiman perlukan Sara...”
“Sara bukan menolak, umi. Tapi, kalau Fariz yang umi
maksudkan, Sara tak boleh terima.” Maisara menutur dengan lembut. Maisara
kemudiannya beralih memandang Maimun. Tangan Maimun yang sedang mengusap
lengannya dicapai lalu digenggam erat.
“Fariz abang ipar Sara. Suami arwah Kak Su.”
Satu per satu ayat disebut. “Rasanya tak sanggup Sara gantikan tempat arwah.”
Sungguh, dia tidak pernah terfikirkan tentang
itu. Sudah lama dia buang jauh seorang lelaki yang bernama Fariz daripada
hidupnya.
“Tapi ini permintaan Suhana sendiri!” tegas Maimun. “Itu
bermakna Suhana meletakkan harapan yang tinggi kepada Sara untuk gantikan
posisinya sebagai isteri Fariz dan ibu untuk Aiman.”
Permintaan Kak Su? Maisara kebingungan. Kenapa Suhana
tega melakukan semua ini? Merampas kebahagiaannya tatkala dia sudah memasang
angan-angan untuk membina mahligai bahagia dan sekarang menambahkedukaannya
dengan permintaan sedemikian. Permainan apakah yang sebenarnya dirancang Suhana
dan Fariz?! Satu lagi agenda untuk menyakiti hatinya?!
“Sebelum Suhana dibawa masuk ke wad bersalin, dia ada
beritahu umi tentang hajatnya.” Maimun sudah mengalirkan air mata.
Walaupun sebulan telah berlalu, namun
segalanya masih kuat di minda Maimun. Kubur arwah Suhana juga masih merah. Aiman
yang masih kecil ditinggalkan. Bayi itu perlukan ibunya. Kasihan Aiman. Bukan
sahaja kasih sayang, malah sentuhan daripada ibunya juga tidak sempat dirasai.
Masih terngiang-ngiang permintaan Suhana di telinganya.
“Ampunkan kesalahan Su, umi…. abah….” Air mata tak
henti-henti mengalir dipipinya. Sesekali dia mengerang kesakitan. “Beritahu
Sara… Su minta ampun pada Sara. Seandainya sesuatu yang buruk berlaku pada Su,
jangan biarkan bayi Su merasa kehilangan. Su berharap, Sara dapat gantikan
tempat Su… Su banyak dosa dengan Sara. Tolong, umi… beritahu Sara, Su minta
maaf. Tiada siapa yang boleh menggantikan tempat Su, melainkan
Sara.”
Tiba-tiba sahaja Maimun memeluk Maisara lalu menangis
tersedu-sedu di bahu Maisara. Dia mengongoi seperti anak kecil. Bagai
terdengar-dengar dan terngiang-ngiang di telinganya tangisan bayi itu.
Seolah-olah memanggil-manggil ibunya dan meminta ibunya memeluk dan
menyusukannya.
“Kasihan Aiman!” Maimun terus menangis. “Belum sehari pun
dia hidup di dunia, ibunya pergi tinggalkan dia! Kasihan cucu umi.”
“Sudahlah, umi. Sabar... Semuanya dah tertulis.” Maisara
mengusap-usap belakang Maimun bagi menenangkannya. Dia tidak tahu bagaimana lagi
mahu menenangkan umi. Bukan dia tidak kasihankan Aiman. Tetapi dia tidak rasa
yang dia sanggup untuk menjadi ibu buat anak Fariz dan Suhana.
Maimun mengangkat kepalanya lalu menyapu air mata dengan
hujung lengan baju kurung yang dipakainya. Dia memandang Maisara. “Ini
permintaan terakhir Suhana. Dia mahu Sara menggantikan tempat dia! Umi merayu
pada Sara, tunaikanlah permintaan Suhana demi Aiman.”
Hati Maisara tersentuh melihatan rayuan uminya. Besar
sangatkah dia sehingga sanggup membiarkan uminya sendiri merayu begitu
kepadanya? Tetapi hatinya berat untuk menerima permintaan umi. Namun, luka
semalam masih berdarah!
“Sara minta maaf umi... Sara tak boleh... ” Melihatkan
air mata yang semakin membasahi pipi Maimun, Maisara juga ikut-ikutan menangis.
Sebak dadanya melihat tangisan itu.
“Kasihanilah Aiman. Dia perlukan Sara!” Maimun masih
terus memujuk.
Apa yang bisa dikatakan Maisara? Terus menolak? Bukankah
itu akan melukakan lagi perasaan umi? Tetapi untuk menerima bulat-bulat
permintaan yang menyakitkan hati, sudah tentu tidak!
“Apa kata Fariz?” Mahu juga dia tahu tentang
lelaki itu. Takkanlah begitu mudah Fariz mahu menggantikan tempat Suhana di
hatinya? Sedangkan dia sendiri terbuang dek perasaan Fariz kepada
Suhana.
“Fariz setuju untuk memperisterikan Sara,” ujar
Maimun.
Maisara memejamkan matanya. Fariz bersetuju? Siapakah
dirinya untuk Fariz? Hanya sebagai pengganti Suhana? Terlalu sakit untuk
menerima kenyataan itu!
“Takkan terlalu mudah untuk Fariz cari
pengganti Kak Su?” Maisara mengetap bibirnya, menahan perasaan.
Sangka Maimun, Maisara sedang bersedih kerana dengan
mudah Fariz mahu menggantikan cinta Suhana.
“Fariz sayangkan Kak Su. Sampai sekarang,
sayangnya pada Kak Su takkan pernah berubah. Fariz bersetuju menerima Sara
setelah tahu itu permintaan Suhana.” Maimun bertutur dengan hati-hati, takut
jika kata-katanya melukakan perasaan Maisara. “Lagipun, Aiman perlukan kasih
sayang Sara sebagai ibunya. Saralah satu-satunya ibu saudara yang Aiman ada. Umi
yakin, lama-lama nanti perasaan cinta akan tumbuh dalam hati Sara dan
Fariz.”
Sungguh, Maimun berhati-hati dalam kata-katanya agar
tidak melukakan hati Maisara. Namun, tanpa disedari kata-kata Maimun itu memang
sudah melukakan lagi perasaannya yang sedia terluka. Maisara menahan sebak di
dada. Jadi benarlah, dia hanya sebagai pengganti buat Suhana. Tiada langsung
keutamaan dirinya di sini. Dia hanya sebagai pengganti!
Oder
sekarang: order@fajarnovels.com.my
No comments:
Post a Comment