SUDAH seminggu lamanya Maisara pulang ke rumah
orang tuanya di Pantai Miami. Sejak kedatangan Maimun bulan lalu, hatinya mula
menjadi tak keruan. Setiap detik setiap saat rayuan uminya terngiang-ngiang di
telinganya. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk berhenti kerja dan pulang ke
Pulau Pinang walaupun kata putus sama ada menerima permintaan umi untuk menikahi
Fariz ataupun tidak masih belum diberikan.
Dia tahu kedua-dua orang tuanya masih merasa
kahilangan Suhana, justeru dia mengambil keputusan begitu. Biarlah dia pula yang
menemani mereka berdua memandangkan kini dia menjadi anak tunggal dalam keluarga
itu setelah pemergian Suhana. Kekosongan mereka perlu diisi kembali.
Sebelum pulang ke Pantai Miami dia telah pun
menghantar resume kepada beberapa buah syarikat di Pulau Pinang dan buat masa
ini dia masih belum mendapat apa-apa balasan daripada mereka. Jadi, setakat ini
dia hanya berehat di rumah sahaja.
Maisara yang sudah siap membacuh kopi, terus
menghidangkannya di atas meja. Sebentar lagi, abah dan umi akan turun untuk
bersarapan. Dapat bersarapan bersama umi dan abah lagi adalah satu perkara yang
sangat membahagiakan. Dahulu, setiap hujung minggu dia, arwah Suhana, abah dan
umi selalu meluangkan masa bersarapan bersama. Namun, sejak Suhana berkahwin
dengan Fariz dia mengambil keputusan untuk pergi membawa diri. Hubungan mereka
juga menjadi semakin renggang. Tiada lagi usikan dan gelak tawa mereka berdua
yang kedengaran di rumah itu lagi.
“Sara...” panggil Maimun yang sedari tadi
memerhati Maisara yang sibuk menyiapkan sarapan pagi. Sudah lama benar rasanya
Maisara tidak menghidangkan sarapan buat mereka. Hati Maimun digamit rasa rindu
untuk berkumpul lagi dengan anak-anaknya.
Bila ada Suhana, Maisara pergi dan kini bila
Maisara kembali, Suhana pula meninggalkan mereka untuk selama-lamanya.
Maisara yang sedang ligat menyiapkan sarapan
menoleh, memandang Maimun.
“Sarapan, umi,” ajak Maisara. “Sara dah
siapakan semuanya. Abah mana?”
Maisara sudah menarik kerusi untuk Maimun.
Matanya melirik ke atas, menantikan kehadiran Khalid.
Maimun melabuhkan punggungnya di kerusi yang
ditarik Maisara. Dia tersenyum. Layanan yang sama yang sering diberikan Suhana.
Jika dahulu, mereka berdua akan berebut untuk menarik kerusi untuknya. “Kejap
lagi turunlah abah tu.”
Sebaik sahaja Maimun berkata begitu, kelibat
Khalid muncul dari atas.
“Sarapan, abah.” Maisara menjemput Khalid pula.
Khalid mengangguk dan duduk di kerusi yang
biasa didudukinya.
Maisara mencedok kuetiau goreng ke dalam
pinggan Maimun dan Khalid. Senang hatinya dapat menjamu kedua-dua orang tuanya.
Hampir setahun berada di negeri orang, dia sudah rindu dengan rutinnya melayan
mereka berdua. Jika ada Suhana dan sewaktu hubungan mereka masih baik, dia juga
sering melayan Suhana begitu, juga sebaliknya. Tetapi sekarang, semuanya sudah
berubah. Jika Suhana masih ada pun, hubungan mereka akan renggang dan tak
mungkin bersatu lagi.
Maimun melirik Maisara yang masih lagi
tersenyum. Wajah itu kelihatan ceria sekembalinya ke sini. Tetapi sehingga hari
ini masih belum ada kata putus yang keluar daripada Maisara. Dia tidak pernah
menyentuh soal Fariz mahupun Aiman. Ingin benar dia bertanya kepada Maisara
terus tetapi suaminya, Khalid, mintanya bersabar dahulu. Jangan terlalu didesak
Maisara.
“Sejak pulang ke sini. Sara langsung tak ke
mana-mana.” Maimun memulakan kata. Sepanjang hari, anaknya itu berkurung di
rumah.
Maisara berpaling memandang Maimun. “Kenapa?
Umi nak keluar dengan Sara?”
Maisara masih lagi tersenyum. Mungkin umi rindu
untuk berjalan-jalan dengannya seperti dulu. Dia juga rindukan saat seperti itu
lagi.
Maimun mengangguk. “Apa kata kalau kita pergi
melawat Aiman?” usulnya kemudian.
Maisara diam tidak membalas. Melawat Aiman? Ya,
memang dia belum pernah lagi melihat Aiman sejak dia di sini. Hati kecil Maisara
berbahagi. Sebahagian hatinya mahu sekali melihat Aiman, sebahagian lagi
keresahan. Bagaimana jika dia terjumpa lagi dengan Fariz? Dia belum bersedia
untuk itu.
Maimun turut membisu dengan kebisuan Maisara.
Khalid yang hanya membisu diliriknya seketika. Semenjak pemergian Suhana, Fariz
telah berpindah semula ke rumah orang tuanya di Bandar Tanjung Bungah. Aiman
dibawa bersamanya. Sebelum itu, dia dan, Khalid pernah meminta Fariz supaya
terus tinggal bersama mereka. Namun kata Fariz, dia tidak betah tinggal di situ
tanpa kehadiran Suhana.
Khalid memandang Maisara dan Maimun yang
masing-masing mendiamkan diri.
“Umi terlalu rindukan Aiman. Dah lama Aiman tak
datang ke sini. Tak salah kan kalau Sara temankan umi? Lagipun, Sara belum jumpa
Aiman lagi.” Khalid memainkan peranannya. “Abah nak temankan umi, tapi Sara tahu
sajalah. Abah sibuk dengan kerja. Tak ada siapa nak temankan umi. Kebetulan Sara
dah balik sini, apa salahnya Sara temankan umi?”
Maisara melirik abahnya sebentar sebelum
perhatiannya kembali pada kuetiau goreng di pinggannya. Mengangguk tidak,
menggeleng pun tidak.
“Tak baik kita putuskan hubungan persaudaraan
biarpun arwah Suhana dah tak ada. Aiman tetap cucu umi dan abah. Aiman tetap
anak saudara Sara. Kasihan Aiman. Dia dah tak ada siapa lagi di dunia ni.
Sudahlah ibunya meninggal. Takkan kita yang hidup ni pun nak jauhkan diri
daripada dia?” tambah Khalid lagi.
Khalid tahu benar keberatan Maisara. Wajahnya
jelas menunjukkan begitu. Tetapi apa alasan yang membuatkan Maisara begitu keras
hati untuk berbaik-baik dengan keluarga Fariz tidak diketahuinya. Seperti
Maimun, dia juga menyedari perkara itu semenjak Suhana mendirikan rumah tangga
dengan Fariz. Apakah Maisara merasakan kehadiran Fariz mengganggu hubungannya
dengan Suhana? Atau mungkin ada sebab yang lain?
Maimun semakin muram dengan kebisuan Maisara.
“Bagaimanalah keadaan Aiman agaknya? Entah boleh entah tidak Fariz menjaga dia.”
Sesungguhnya dia selalu terfikirkan tentang itu. Bolehkah Fariz menguruskan
Aiman? Bagaimana Aiman melalui hari-harinya sebagai bayi yang masih memerlukan
sentuhan seorang ibu?
Maimun semakin muram mengenangkan cucunya. Ada
keluhan dari bibir tua itu.
Fikiran Maisara semakin berserabut dengan
kata-kata orang tuanya. Bukan dia tidak mempedulikan Aiman. Tetapi dia sendiri
serba salah. Dia perlukan lebih waktu untuk menerima semuanya.
“Anak dia… pandai-pandailah dia jaga. Lagipun,
orang tua Fariz kan ada untuk tengok-tengokkan Aiman? Janganlah umi risau.”
Entah mengapa kata-kata itu terlepas dari bibirnya. Dia terdiam sejurus berkata
begitu.
Tersentuh hati Maimun mendengar jawapan
Maisara. Langsung tidak berbekaskah di hatinya untuk melihat anak saudaranya
sendiri?
“Umi tak fahamlah dengan Sara.” Akhirnya Maimun
bersuara. “Sara seolah-olah tak peduli tentang Aiman.”
Maisara tengadah dengan kata-kata Maimun. Rasa
bersalah mula timbul. Dia sedar keterlanjuran kata-katanya. Memang dia tidak
patut berkata begitu.
“Maafkan Sara, umi. Sara tak bermaksud macam
tu…” Maisara menafikan. “Tapi...” Dia kehilangan kata-kata. Bagaimana caranya
untuk dia menerangkan rahsia hatinya? Bukan dia tidak mahu melihat Aiman, tetapi
dia tidak mahu berjumpa dengan Fariz. Lelaki itu yang menjadi penghalang untuk
dia melihat bayi itu.
“Macam ni…” Maisara mendapat akal. “Apa kata
kalau umi pergi ambil Aiman dan bawa Aiman ke sini? Biarlah Sara jaga Aiman
selagi Sara masih belum dapat kerja.”
Terus mata Maimun menangkap wajah Maisara.
Matanya bersinar kembali. Cadangan Maisara ada bernasnya. Manalah tahu
seandainya Maisara menjaga Aiman, pintu hatinya akan terbuka untuk menerima
Fariz kerana Aiman. “Betul?”
Maisara mengukirkan senyuman melihat wajah
Maimun yang sudah tersenyum.
“Betul.” Maisara mengangguk. “Umi bawa Aiman ke
sini. Sara akan jaga dia.”
“Tapi umi tak pasti Fariz akan benarkan Aiman
tinggal beberapa hari di sini.” Maimun diam kembali. Bagaimana jika Fariz tidak
setuju?
“Awak cakap elok-elok dengan Fariz, dengan
besan kita. Insya-Allah, dia orang izinkan. Aiman pun cucu kita juga.” Khalid
cuba meleraikan kekhuatiran Maimun. “Cuba kamu kata, Maisara yang minta Aiman,
untuk jaga beberapa hari. Mesti dia orang benarkan.”
Maimun tersenyum. Tentu sahaja mereka benarkan.
Lagipun, besannya juga sudah maklum tentang permintaan Suhana yang mahu Fariz
berkahwin dengan Maisara. Mereka pun sukakan Maisara untuk menggantikan tempat
Suhana.
Khalid hanya tersenyum melihat senyuman yang
sudah terukir pada bibir Maimun dan Maisara. Sekurang-kurangnya, Maisara masih
berlembut hati untuk menjaga Aiman. Bukankah itu menandakan dia juga sayangkan
anak saudaranya itu?
MATANYA terpaku kepada bayi yang digendong
Maimun dalam pelukan. Kedengaran rengekan halus daripada bayi itu. Langkah
diayun menghampiri mereka berdua. Bayi itu dipandang Maisara. Satu perasaan
gembira dan bahagia timbul dalam dirinya.
Maimun menyerahkan Aiman yang berada dalam
dukungannya kepada Maisara. Maisara yang pada awalnya merasa ragu untuk
mengambil Aiman, akhirnya membawa Aiman dekat dalam pelukannya. Inilah pertama
kali dia memegang bayi sekecil itu. Matanya tertancap wajah comel Aiman. Rasa
kasih timbul dalam hatinya. Lantas dia mencium dahi Aiman lama. Kemudian dia
membawa Aiman dan duduk di sofa. Dia meletakkan jari telunjuknya agar digenggam
jari-jemari kecil Aiman.
Kasihan Aiman. Terasa air panas mula bertakung
di kelopak matanya. Namun ditahan agar tidak mengalir. Dia tidak boleh
menunjukkan perasaannya di depan umi. Sudah pasti nanti umi akan mengungkit
kembali tentang permintaan Suhana untuk menjadi ibu buat Aiman. Sungguh, dia
masih belum siap untuk itu.
Dia mengusap pipi gebu Aiman. Bayi itu
memandangnya sambil menggeliat dan tersenyum membalas tindakannya. Maisara
mengukirkan senyuman bahagia. Setiap usapannya mendapat gelak balas daripada
Aiman. Sungguh, Aiman bayi yang cerdik. Jari telunjuknya diletakkan kembali
dalam genggaman tangan Aiman. Rasa kasihan pula berputik di hati melihatkan
Aiman seolah-olah menyenangi setiap perbuatannya. Mungkinkah benar Aiman
memerlukannya?
*************************
No comments:
Post a Comment