Wednesday, 18 November 2009

Takkan Pernah Hilang 3








SUDAH seminggu Aiman berada di Pantai Miami bersama Maisara. Sepanjang masa Maisara berada di sampingnya. Tidak pernah ditinggalkan Aiman sendirian kecuali jika dia perlu ke bilik air. Membancuh susu, memandikan dan menidurkan Aiman bagai sudah menjadi tanggungjawab Maisara selama Aiman di situ. Maisara senang melakukan semua itu. Semakin lama, dia sudah terbiasa dengan semua keperluan Aiman. Bila Aiman menangis kerana lapar, bila Aiman menangis jika lampinnya kebasahan, bila Aiman menangis bila membuang air besar. Semuanya dapat diteka dengan tepat sekali.

Walaupun Aiman masih kecil namun kasih sucinya bagai dapat dirasai Maisara. Aiman sentiasa menangis apabila terjaga daripada tidurnya. Namun, apabila Maisara menghampiri, tangisannya akan terhenti. Dia akan tersenyum apabila Maisara memanggil-manggil namanya. Melihatkan Maisara, Aiman akan menendang-nendang kakinya dan tangannya diangkat tinggi seolah-olah ingin menggapai Maisara dan meminta Maisara mengangkatnya.

Perlahan-lahan Maisara meletakkan Aiman di dalam baby court setelah bayi itu terlena. Tubuh kecil itu dipusing dan dia meletakkan Aiman secara meniarap agar bayi itu tidak mudah terkejut. Rambut Aiman yang jarang-jarang dibelai perlahan, lalu dia menghembuskan nafasnya. Tenang hatinya melihat keadaan Aiman begitu. Dia tidur dengan tenang dan aman. Tidak jemu walau sesaat pun jika terus menatap Aiman begitu.

Hari ini, Maimun akan menghantar Aiman kepada Fariz semula setelah seminggu bayi itu bersama mereka. Hati Maisara merasa gelisah mengenangkan itu. Dia pasti merindui Aiman. Aiman sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya. Ingin sahaja dia meminta agar Aiman diserahkan kepadanya. Tetapi, siapalah dia. Fariz lebih berhak terhadap anak itu. Mana mungkin Fariz menyerahkan darah dagingnya kepada Maisara, melainkan dia bersetuju dengan permintaan Suhana.

Maisara menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak! Dia tidak mahu memikirkan perkara itu. Mengingatkan sahaja permintaan Suhana dan rayuan Maimun, fikirannya akan jadi tak menentu. Walaupun perasaan sayangnya kepada Aiman semakin mendalam tetapi dia tidak rela melakukaan sesuatu di luar kemahuannya.
“Sara…” Terdengar satu suara garau menegurnya dari belakang.

Maisara tergadah. Degup jantungnya menjadi kencang dengan tiba-tiba. Dia cukup mengenali suara itu. Suara yang sudah lama tidak didengarnya. Suara yang telah lama tidak menyebut namanya. Suara yang selalu mahu dilupakannya. Mengapa suara ini muncul lagi?

Maisara terkaku di situ. Ingin berpaling dan memandang empunya suara itu, dia tidak sanggup. Lantas dia hanya membeku di situ dan membuang pandangannya kepada Aiman. Sungguh, dia tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Untuk seketika dia terasa semua anggota badannya berhenti berfungsi.

Dia dapat merasakan dirinya semakin dihampiri. Derapan kaki itu semakin mendekat. Melalui ekor matanya, dia dapat melihat susuk tubuh yang telah pun berdiri di sisinya. Degupan jantungnya semakin kencang.

“Sara…” Suara yang memanggilnya itu kedengaran lagi. “Sara apa khabar?”

Maisara memejam matanya rapat. Dia cuba menenangkan hatinya sendiri sedangkan dia tahu bila-bila masa sahaja air matanya akan mengalir. Dia tidak mahu membodohkan dirinya lagi. Sudah terlalu lama dia telah diperbodoh oleh mereka. Apa khabar? Setelah apa yang kau dah lakukan, kau masih bertanyakan khabar aku?

Maisara mengumpulkan kekuatan. Dia tidak boleh berdiri terus di situ. Luka yang tak pernah sembuh semakin parah jika dia masih di situ. Tanpa menjawab soalan itu dan tanpa memandang wajah di sebelahnya, Maisara berpusing lalu langkah diayun untuk meninggalkan ruangan itu. Namun langkahnya terhenti apabila lengan tangannya digenggam. Maisara menutup matanya rapat. Kenapa lelaki itu masih mahu menduga perasaannya? Tidak cukupkah dengan apa yang telah berlaku selama ni? Dia cuba mencari kekuatan untuk berhadapan dengan lelaki itu.

“Lepaskan saya!” Akhirnya Maisara bersuara tegas. Sedikit pun dia tidak menoleh kepada lelaki itu.

Terdengar satu keluhan dilepaskan. Perlahan-lahan dia terasa tangannya dilepaskan. Maisara yang membelakangi Fariz terus memeluk tubuhnya sendiri untuk menyembunyikan tangannya.

“Maafkan saya...” Kedengaran perlahan suara itu menuturkan kata.

Buat pertama kali Maisara mendengar ungkapan itu daripada Fariz setelah apa yang terjadi dahulu. Adakah setelah Suhana meninggal baru dia teringat untuk meminta maaf? Maisara tersenyum sinis. Dasar lelaki!

“Awak terlalu bencikan saya?” tanya Fariz. Walaupun begitu besar rasa bersalah yang menggunung dalam hati, dia menguatkan semangat untuk bersemuka dengan Maisara. Dia tidak sanggup membiarkan perkara ini berlanjutan lagi. Dia tahu Maisara tertekan dengan perbuatannya.

“Tak perlulah awak menagih simpati daripada saya setelah apa yang awak dan Suhana telah lakukan pada saya. Apa yang berlaku cukup menyeksa perasaan saya!” Mata Maisara sudah mula terasa panas. Dia menarik nafas panjang untuk menenangkan perasaannya.

Fariz memandang Aiman dan membelakangkan Maisara yang juga membelakangkannya.

“Awak terlalu pantas menjatuhkan hukuman tanpa awak ketahui hakikat yang sebenarnya, Sara,” ujar Fariz lagi. “Saya tahu awak terseksa, tapi sekurang-kurangnya maafkanlah kesalahan Suhana.”

Hati Maisara tersentuh lagi apabila mendengar nama Suhana meniti bibir lelaki itu. Terasa perasaan wanitanya terhiris lagi, biarpun Fariz hanya menyebut nama isterinya.

“Awak tak layak menuduh saya begitu sedangkan segala yang terjadi berpunca daripada awak sendiri!” Jiwa Maisara penuh dengan rasa dendam dan kesakitan.

Tanpa menunggu lebih lama, Maisara berlalu keluar dari kamar itu. Lebih lama dia di situ, dia khuatir jika kemarahan dan kesedihan yang selama ini dipendam tidak dapat ditahan. Dia tidak mahu orang tuanya mengetahui apa yang telah terjadi antara dia, Fariz dan arwah Suhana.

Fariz yang masih di situ menoleh dan hanya memerhati langkah Maisara yang berlalu pergi. Dia tahu perbuatannya cukup mendera gadis itu. Takkan mudah baginya mendapat kemaafan Maisara. Kebencian Maisara kepadanya cukup jelas daripada reaksi yang ditonjolkan.

Fariz mendekati Aiman dan mengusap lembut rambut yang halus itu agar bayi itu tidak terganggu tidurnya. “Maafkan papa, Aiman…” Lesu tutur kata yang diucapkannya.

Perlahan-lahan Fariz mengangkat tubuh kecil Aiman dan membawanya dalam pelukan. Kemudian dia berlalu menuju ke tingkat bawah di mana Khalid dan Maimun sudah sedia menunggu.

“Kalau senang-senang datanglah ke mari bawa Aiman sekali ya, Fariz,” pinta Maimun. “Aimanlah satu-satunya harta yang ditinggalkan arwah Su. Janganlah dipisahkan dia daripada kami.”

Maimun seakan-akan merayu kepadanya. Fariz mengangguk-angguk. Dia sedar, keluarga mertuanya lebih berhak terhadap Aiman berbanding dia dan keluarganya.

“Umi jangan risau, Fariz akan bawa Aiman ke sini bila-bila saja umi mahu,” janji Fariz.

“Kalau ada apa-apa... jangan segan-segan datang ke sini. Walaupun arwah Su dah tak ada, Fariz tetap menantu kami,” ujar Khalid kemudian.

“Fariz faham, abah.” Kemudian Fariz menunduk dan menyalami kedua-dua orang tua itu. “Fariz pulang dulu.”

Sebelum Fariz pergi bersama Aiman, sempat Khalid dan Maimun mengucup cucu mereka. Hati Maimun menangis. Entah bila agaknya Aiman dan Fariz akan datang ke sini lagi. Aiman…


DI balik jendela kamar, Maisara memerhati Fariz membawa Aiman bersamanya. Pintu kereta di sebelah kiri dibuka. Aiman diletakkan di dalam kerusi bayi. Kemudian Fariz ke tempat pemandu dan menghilangkan diri di dalam perut kereta. Tak lama kemudian, kereta Fariz keluar dari pekarangan rumah.

Tirai jendela ditutup. Maisara bersandar di situ lalu melepaskan keluhan. Kenapalah Fariz perlu datang ke mari? Bukankah umi dan abah yang sepatutnya menghantar Aiman ke sana?

Kesal hatinya tidak terkira. Kalau tidak kerana kedatangan Fariz tentu sahaja dia akan memeluk dan mencium Aiman sepuasnya sebelum bayi itu meninggalkan rumah ini.


**********************************

1 comment: