Friday, 22 January 2010

Saat Hati Merelakan 17

SAMBIL menunggu Qismyna yang sedang sibuk di pejabatnya, Fauzan menghabiskan masanya di bakery. Sesekali dia memerhati keadaan sekeliling. Memang tak dinafikan, cafe ini semakin lama semakin ramai pelanggannya. Bukan saja dikalangan remaja, malah orang dewasa juga. Mungkin kerana itu setiap hari Qismyna akan ke cafe untuk melihat semua urusan dalam keadaan baik.


Sedang dia melayan perasaan sendiri, Qismyna muncul di sisi sambil mengukirkan senyuman. Lantas gadis itu duduk berhadapan dengannya.

“Ada apahal nak jumpa aku ni?” tanya Qismyna.

“Kenapa? Tak boleh ke?” tanya Fauzan kembali.

“Tak delah macam tu. Takkanlah orang yang banyak tolong aku selama ni tak boleh datang jumpa aku.” Qismyna berpaling pada kaunter lalu memesan segelas coke pada Hanafi yang bertugas pada hari itu. Lalu kembali berpaling memandang Fauzan. “Kenapa tak bagi tau awal-awal nak datang sini?”

“Aik.....sejak bila pulak nak kena buat appointment dulu ni....? Maklumlah orang dah sibuk sekarang ni,” sindir Fauzan.

“Kau janganlah cakap macam tu. Kecil hati aku tau.” Qismyna mencebik lalu tersenyum semula. “Hari ni kau sibuk tak?”

“Tak. Kenapa?” Fauzan menghirup coke sambil matanya memandang Qismyna.

“Aku sebenarnya nak keluar dengan Zurin. Aku nak temankan dia daftar untuk melanjutkan pelajaran,” beritahu Qismyna. “Dia muda lagi. Rugi rasanya kalau dia tak sambung belajar.”

“Betul jugak tu,” balas Fauzan. “Nak sambung belajar kat mana?”

“Aku nak masukkan dia ke IPJ.”

“Oh.....macam tu. Kau nak aku temankan ke?” tanya Fauzan.

“Kalau kau nak temankan, boleh juga. Tak payahlah aku drive.”

“Tak de masalah. Aku pun tak sibuk hari ni.”

“Kalau macam tu, kau tunggu sini kejap. Aku ke dalam ambil beg. Lepas tu kita balik jemput Zurin. Ok?” Qismyna mengangkat keningnya. Fauzan mengangguk. Dia memerhati kelibat Qismyna yang menghilangkan diri. Sebentar kemudian Qismyna kembali dengan membawa beg tangannya.

“Jom,” ajak Qismyna. Fauzan bingkas bangun dan mengekori langkah Qismyna yang meninggalkannya.





FARAHYMMA mengetap bibirnya menahan marah apabila melihat kelibat Wes yang mendekatinya. Dia bosan apabila Wes sering datang mengganggunya di situ. Bukan dia membenci Wes, namun dia marah pada Wes. Setiap kali Wes datang, semakin itu sukar baginya untuk melupakan lelaki itu. Baginya, Wes hanyalah kenangan silam yang tidak patut hadir di masa depannya.

Mujurlah sebentar tadi dia melihat kelibat Qismyna keluar dari cafe itu bersama sepupunya, Fauzan. Jika tidak, tentu dia akan dimarahi oleh majikannya itu. Walaupun mereka sentiasa di awasi oleh Salmi, penyelia di situ, namun Salmi masih boleh dibawa berbincang dan juga memahami.

“Sayang...” tegur Wes tatkala Farahymma sedang menyusun buku di rak. Farahymma tidak terus menjawab teguran Wes padanya.

“Apahal awak datang sini?” Farahymma bersuara kasar. Wes menelan air liurnya. Dia tidak tahu bila gadis itu akan berhenti membencinya.

“Saya nak jumpa awak,” balas Wes lembut. Farahymma mengerling Wes tajam lalu berjalan menuju ke kaunter depan. Dia menyerahkan buku-buku di tangannya kepada Shita yang berada di situ. Wes hanya memerhatikan dari jauh. Dia tidak mahu mengganggu Farahymma yang sedang bekerja.

“Kau tolong check balik buku-buku ni sepatutnya ada di rak mana? Semua dah bercampur aduk. Label pun dah terkeluar ni.” Farahymma menunjukkan buku-buku itu pada Shita. Shita membelek-belek semua buku yang diterimanya.

“Okey...aku akan check,” lantas Shita membawa ke semua buku ke meja belakang. Tatkala itu, Salmi yang melihat kelibat Wes di situ menghampiri Farahymma.

“Dia datang cari kau ke?” tanyanya sambil memuncungkan bibirnya pada Wes. Wes yang kelihatan dari jauh sedang memerhatikan mereka. Farahymma berpaling pada Wes sebentar lalu memandang Salmi semula. Dia mengangguk perlahan.

“Kau pergilah jumpa dia. Dengar apa dia nak cakap. Selagi kau buat macam ni, selagi tu dia akan ganggu kau,” ujar Salmi. “Pergilah. Aku beri masa pada kau. Kau bagilah peluang pada dia. Aku tak nak dia terus ganggu kau kat sini. Kalau Cik Qis tahu, nanti dia marah. Aku juga yang kena.” Farahymma yang menundukkan kepalanya langut memandang Salmi sebentar lalu mengeluh.

Perlahan-lahan dia berjalan menghampiri Wes yang duduk di meja hujung sambil membelek-belek sebuah majalah. Wes yang terlihat kelibat Farahymma menghampirinya tersenyum. Akhirnya.....

Farahymma menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya di hadapan lelaki itu. Dia sempat menjeling tajam sebelum membuang pandangannya ke tempat lain.

“Hmm....cakaplah.” Farahymma bersuara kasar. Wes di hadapannya hanya tersenyum. Majalah yang dibeleknya sebentar tadi di tutup lalu dia memandang wajah gadis di depannya.

“Boleh tak jangan terlalu berkasar dengan saya,” pinta Wes. Farahymma memandang wajah Wes.

“Jangan buang masa saya. Tak payah nak belit-belit, nak bunga-bunga. Straight to the point sudahlah.” Masih dengan nada kasar. Wes mengetap bibirnya.

“Saya tak nak awak salah sangka dengan saya. Saya masih seperti dulu. Wes yang awak kenal lima tahun lalu. Cinta saya pada awak tak pernah berkurang walau sedikit pun.” Wes menghembuskan nafasnya. “Saya rindukan awak. Saya rindukan kenangan kita yang lalu.”

“Apa pun yang awak kata, segalanya takkan berubah,” ujar Farahymma sambil melemparkan pandangan sinis kepada Wes.

“Kenapa tak?” tanya Wes. Farahymma menggeleng kepala sebentar.

“Saya tak sanggup nak hancurkan perasaan wanita lain hanya kerana cinta yang belum tentu akan membahagiakan saya.”

“Farah.....” panggil Wes lembut. “Saya mengaku, saya memang dah bertunang. Sejak saya pulang ke Sabah dulu, saya cuba bertahan dengan pertunangan ni. Tapi saya......” Wes berhenti seketika. “Saya tak dapat lupakan awak.”

“Awak belum berkahwin?!” Farahymma mengerutkan keningnya. Wes mengangguk. “Kenapa?”

“Entahlah....setiap kali kami cuba di satukan, macam-macam perkara yang berlaku,” terang Wes. Farahymma menjungkitkan keningnya. “Saya rasa, jodoh saya bukan dengan dia. Saya cuma terbayangkan awak. Setiap detik, setiap saat, saya sentiasa rasa dekat dengan awak. Saya mahu hubungan kita seperti dulu,” ujar Wes walaupun dalam hatinya sering menidakkan apa yang diinginkan.

Memang benar, Farahymma sentiasa berada di hatinya namun dalam soal jodoh, dia menjadi tidak pasti.

“Tunang awak macam mana?”

“Kalau awak kembali pada saya, saya akan tinggalkan dia.” Wes memandang Farahymma tajam. Itulah tekadnya sejak dia menjejakkan kaki ke Pulau Pinang.

“Kalau saya kembali pada awak, awak akan tinggalkan dia?” Farahymma mengangkat kening. Wes mengangguk. “Kalau saya tak terima awak, maknanya awak takkan putuskan pertunangan awak dengan dia.” Farahymma cuba membuat kesimpulan. “Saya rasa, kan.....awak sebenarnya tak tahu apa yang awak mahukan dalam hidup awak. Awak tak de prinsip. Tak tahu tujuan dan matlamat awak yang sebenarnya. Sebab tu awak hanya tahu menghancurkan perasaan orang lain,” ujarnya tegas walaupun dalam nada yang perlahan.

“Kalau awak betul-betul sayangkan saya dan mahukan saya, sepatutnya awak tak tinggalkan saya semata-mata untuk mengikut kehendak keluarga awak. Awak sendiri menghancurkan hati dan perasaan awak sendiri. Akibatnya, orang lain turut merasa! Lepas awak dah bertunang, awak ikat tunang awak walaupun awak tak yakin jodoh awak dengan dia. Dan sekarang awak kembali pada saya dan mengatakan, awak akan putuskan pertunangan awak kalau saya kembali pada awak?” Farahymma menggeleng kepala sebentar sambil ketawa sinis. “Awak memang tak tahu apa yang awak mahukan.”

Wes terpana dengan kata-kata Farahymma. Setiap kata-kata yang dikeluarkan amat menyucuk-nyucuk tangkai hatinya. Tetapi, kata-kata Farahymma itu ada benarnya. Memang dia tak ada prinsip. Wes menghembus nafasnya.

“Saya mengaku. Saya silap. Berilah peluang pada saya untuk menebus segala kesalahan saya.” Wes menundukkan kepalanya.

“Saya tak pernah salahkan awak. Saya tak pernah berdendam dengan awak. Semua yang berlaku saya anggap takdir. Cuma, saya tak dapat nak lupakan apa yang berlaku. Sebab tu, saya tak mahu awak ganggu hidup saya lagi.”

“Tapi saya mahu hubungan kita seperti dulu.” Wes mengangkat muka memandang Farahymma.

“Itu tak mungkin. Saya dah bertunang,” ujar Farahymma perlahan. “Walaupun saya tak cintakan dia, saya hormatkan dia dan saya percaya dia akan memberikan kebahagiaan pada saya. Saya juga percaya, satu hari nanti saya akan cintakan dia sepenuh hati saya. Dan yang penting, saya tahu apa matlamat dia bersama dengan saya. Dia cintakan saya.”

“Dan apa pulak matlamat awak menerima dia dalam hidup awak walau pun tanpa cinta?” Wes masih mahu berdebat dengan Farahymma. Rasa marah dan kecewa menguasai diri. Dia tidak mahu gadis itu terlalu mengikut perasaannya. Mungkin gadis itu kecewa dengannya lantas membuat keputusan untuk menerima lelaki lain dalam hidupnya.

“Bahagia! Kerana itu yang saya cari dalam hidup saya. Dan saya yakin, insan yang dapat memberikan kebahagiaan kepada saya adalah dia. Cinta dia suci.....lebih suci dari awak kerana awak tak ada matlamat sewaktu bersama saya dulu.”

“Saya tak de matlamat?” Wes menghembuskan nafasnya. Mungkin juga benar kata Farahymma. Jika dia ada matlamat hidup dengan gadis itu tentu sahaja gadis itu takkan ditinggalkan tanpa memperjuangkan cintanya. “Awak tahu apa matlamat dia?!”

“Saya kenal dia sejak kecil. Teman sepermainan saya. Saya tahu hati budi dia. Setiap kali saya dalam kesusahan, hanya dia yang akan menghulurkan bantuan. Sewaktu dia meluahkan perasaan dia pada saya, awak tahu apa dia kata.....” Farahymma merenung Wes. “Matlamat hidup dia selama ini adalah melihat saya bahagia. Walaupun saya pernah menolak cinta dia dulu, tapi dia sentiasa menerima dengan hati yang terbuka. Kesabaran, keprihatinan dan keikhlasan dia yang membuatkan saya tak dapat menolak lamaran dia.”

“Awak termakan budi. Sebab tu awak terima dia, kan?!”

“Saya memang terhutang budi dengan dia. Tapi itu bukan alasan kenapa saya terima dia. Saya terima dia sebab saya yakin, kebahagiaan yang saya cari selama ni, hanya ada pada dia. Walau pun saya tak cintakan dia, tapi dia amat penting buat saya. Terlalu penting dalam hidup saya!”

Farahymma meluahkan segala isi hatinya yang terpendam selama ini. Lima tahun dia memendam perasaan kecewanya pada lelaki itu. Tapi kini dia berasa puas kerana dapat meluahkan semuanya.

Walaupun hatinya sakit dengan peristiwa lalu, namun dia kuatkan diri untuk meneruskan kehidupan.

Wes memandang lemah wajah gadis di hadapannya. Dia sudah kehabisan kata. Bunga-bunga cinta yang diharapkan akan tumbuh subur, akhirnya layu sebelum dibaja.



SEBAIK saja pendaftran untuk melanjutkan pelajaran diselesaikan, Fauzan membawa Qismyna dan Zurin menaiki kereta kabel ke puncak Bukit Bendera. Satu destinasi pelancongan yang cukup terkenal di Pulau Pinang. Walau pun pada hari-hari biasa, masih ramai pengunjung yang berpusu-pusu membanjiri kaki bukit itu.

Selesai beratur panjang untuk membeli tiket, mereka kemudiannya bergerak menaiki kereta kabel yang sedia menanti di stesyen yang berhampiran. Mujurlah pada hari itu, kereta kabel telah tiba ketika mereka sampai disitu. Adakalanya, mereka terpaksa menunggu kenderaan tergantung itu. Tetapi, masa yang diambil tidak terlalu lama. Perjalanan ke puncak dan ke kaki bukit, cuma memakan masa selama setengah jam sahaja.

Sambil melihat pemandangan, mereka berbual sambil ketawa. Rasa gembira di hati masing-masing. Buat pertama kalinya Qismyna menjejakkan kaki semula di sini setelah lima tahun berada di negeri orang. Begitu juga dengan Fauzan yang baru pulang dari Australia setelah menamatkan pengajiannya di sana.

Zurinlah insan yang paling gembira di antara mereka bertiga. Inilah pertama kali dia menjejakkan kaki ke Pulau Pinang dan dapat bersiar-siar seperti itu. Sewaktu di tempat asalnya, dia tak pernah berpeluang untuk bergembira begitu memandangkan kehidupan keluarganya hanya sederhana dan tidak mampu untuk bersenang-senang. Sungguh pun begitu, dia sentiasa bersyukur kerana mereka sekeluarga masih mampu untuk mencari sesuap nasi tanpa meminta bantuan dengan orang lain.

Sebaik saja tiba di puncak, mereka berjalan-jalan sambil melihat-lihat keindahan pemandangan Pulau Pinang dari puncak. Kemudian mereka menyewa tiga buah basikal dan mengayuhnya mengelilingi kawasan bukit.

Sepanjang perjalanan, banyak tempat-tempat istirehat yang disediakan. Banyak juga kawasan-kawasan yang dijadikan tempat melihat pemandangan dari atas. Sebaik saja tiba di jalan mati di hujung perjalanan, mereka menghentikan kayuhan mereka di sebuah pondok kecil yang disediakan.

Mereka menyapu peluh di dahi kemudian melabuhkan punggung mereka di bawah pondok itu. Masing-masing membisu menghilangkan kepenatan. Qismyna kemudian bangun lalu menghampiri tebing curam. Dia melihat sekeliling kemudian menghirup udara nyaman sedalam-dalamnya kemudian menghembus keluar.

Fauzan yang berada berhampiran memerhatikan gadis itu sambil di bibirnya mengukir senyuman. Suka benar hatinya jika dapat berdekatan dengan Qismyna begini.

Seketika kemudian Qismyna berpaling dan kembali semula ke tempat duduknya yang tadi. Dia berpaling sebentar pada Zurin di sebelah kanannya, kemudian berpaling pula pada Fauzan disebelah kirinya.

“Aku nak ke tandas kejap. Korang tunggu aku kejap ek.” Qismyna melangkah pergi menuju ke tandas awam yang berhampiran. Fauzan mengangguk sambil mengukirkan senyuman. Matanya menemani langkah Qismyna sambil mengukirkan senyuman.

Zurin yang kebetulan berpaling pada Fauzan melihat lelaki itu tersenyum sendirian. Dia mengerutkan keningnya lalu memerhati di mana pandangan mata Fauzan tertumpah. Kemudian, dia terlihat pada Qismyna yang baru saja melangkah masuk ke dalam tandas awam.

Dia menghembuskan nafas sebentar. Tiba-tiba jiwanya rasa berdebar. Dia berpaling semula pada Fauzan dan lelaki itu masih seperti tadi. Entah mengapa dia merasakan sesuatu dalam diri Fauzan.

“Kak Qis tu baik, kan.” Teguran Fauzan mengejutkan Zurin. Lantas gadis itu berpaling padanya lalu menganggukkan kepala tanda setuju. “Zurin kenal Kak Qis berapa lama?”

“Tiga tahun,” jawab gadis itu ringkas. Giliran Fauzan pula menganggukkan kepalanya. “Abang?”

“Abang?” tanya Fauzan kembali. Zurin mengangguk lagi. “Abang kenal Kak Qis sejak kecil. Kami kan sepupu. Zurin dah lupa?”

“A’ah. Zurin lupalah bang.” Zurin mengetap bibirnya. “Abang.....bolehkah sepupu jatuh cinta sesama sendiri?” soal Zurin.

“Kenapa pula tak boleh? Sepupukan bukan mukhrim. Jadi, sepupu boleh kahwin sepupu.”

“Abang dengan Kak Qis macam mana?” tanya Zurin cuba mencungkil isi hati Fauzan.

“Macam mana apa?” Fauzan tersenyum dalam kekeliruan.

“Maksud Zurin....abang dengan Kak Qis tu....ada apa-apa ke?” tanya Zurin yang tersekat-sekat soalannya di kerongkong. Soalan Zurin menyebabkan Fauzan tertawa kecil.

“Tak. Kami tak ada apa-apa.” Jawapan dari Fauzan menyebabkan Zurin menghembuskan nafas kelegaan. Sangkanya Fauzan menyimpan perasaan pada Qismyna. “Tapi....” Fauzan menyambung semula percakapannya. “Abang berharap sangat suatu hari nanti Kak Qis dapat membaca isi hati abang.” Kata-kata Fauzan membuatkan nafas Zurin sedikit sesak. Airmatanya hampir mengalir namun ditahan. Bimbang jika Fauzan mengesyaki sesuatu.

“Abang sayangkan Kak Qis?” tanya Zurin perlahan.

“Ya.” Fauzan mengangguk. “Sejak kecil lagi abang dah jatuh cinta dengan Kak Qis. Semakin lama semakin sayang. Walaupun abang pernah tinggalkan Malaysia dan sambung belajar di Australia, perasaan sayang abang pada Kak Qis tak pernah berubah.”

“Kak Qis memang beruntung.” Zurin cuba mengukirkan senyuman semanis mungkin. Seolah-olah merestui isi hati Fauzan pada Qismyna.

Sebentar kemudian mereka terlihat kelibat Qismyna yang baru saja keluar dari tandas awam dan berjalan perlahan menghampiri mereka berdua. Fauzan kemudian berpaling pada Zurin.

“Zurin mesti janji dengan abang. Rahsiakan apa yang kita bualkan hari ni,” ujarnya. Zurin mengangguk.

“Hai....sembang apa ni? Nampak serius je?” tanya Qismyna setelah berada dengan mereka.

“Mana ada kak. Sembang kosong je,” balas Zurin.

“Jangan bohong. Kalau tak serius, kenapa diam bila akak sampai?” Qismyna bertanya sambil menjeling pada Fauzan yang tersenyum padanya.

“Sudahlah tu.” Fauzan bangun lalu mencapai basikalnya. “Jom, kita teruskan perjalanan kita.” Dia terus mengayuh. Qismyna dan Zurin mengekori dari belakang.

“Betul Abang Fauzan tak de cakap apa-apa dengan Zurin?” tanya Qismyna lagi minta kepastian.

“Tak delah kak.” Zurin bersuara lalu mengayuh basikalnya laju meninggalkan Qismyna di belakang. Qismyna terkedu melihat sikap Zurin yang acu tidak acu padanya. Dia merasakan sesuatu namun pantas ditolak perasaan negatif yang menghampirinya. Melihatkan dirinya yang ketinggalan, Qismyna turut memecut laju basikalnya.





SEPANJANG malam itu Zurin berkurung di dalam bilik. Tidak turun makan bersama yang lain, malah juga tidak berbual bersama seperti selalu. Tuan Malik dan Puan Suria merasa bingung melihat keadaan Zurin. Sejak pulang petang tadi bersama Fauzan dan Qismyna, dia terus mengasingkan diri.

Apabila ditanya pada Qismyna, katanya mereka tidak berselisihan faham apatah lagi bertengkar. Fauzan juga mengakui kata-kata Qismyna. Malah Fauzan juga bingung mengapa tiba-tiba Zurin jadi begitu.

Zurin yang mangurung diri di dalam bilik hanya termenung. Setiap butiran perbualannya dengan Fauzan petang tadi bagai pita rakaman yang sentiasa berputar mengulangi bait-bait perkataan yang dibualkan.

“Tapi.....abang berharap sangat suatu hari nanti Kak Qis dapat membaca isi hati abang.” Kata-kata itu bagai menusuk hati mudanya yang bercambah untuk menyintai seorang lelaki.

Dia benar-benar merasa hampa dan kecewa. Selama hidupnya sembilan belas tahun, inilah pertama kali dia merasa demikian pada seorang lelaki. Namun, kecewa tanpa menikmati cinta itu.

Zurin mengeluh sebentar lalu menarik nafasnya yang tersangkut kerana banyak menangis. Dia bangun lalu duduk menghadap cermin di meja soleknya. Dia memerhatikan wajahnya yang muram dan mata yang merah. Dia perhatikan wajahnya di dalam cermin lama. Entah mengapa perasaan benci pada diri sendiri tiba-tiba menerpa.

‘Mengapa aku terlalu tamak untuk memiliki sesuatu yang bukan milik aku? Untuk apa aku bersedih atas perasaan yang tidak diciptakan untukku? Untuk apa aku marah pada insan yang banyak menolong aku? Hanya kerana cinta yang bukan ditakdirkan untukku? Gila?!’

Bagai ada suatu perasaan yang hadir menolaknya supaya berfikir secara waras. Zurin menggeleng kepalanya sebentar. Rasa menyesal mula terbit di hatinya. Dia menghembuskan nafasnya

Dia bangun lalu menuju ke bilik air. Mencuci mukanya dan kemudian mengambil wuduk. Lantas dia mengerjakan solat Isyak yang masih belum disempurnakan. Di akhir solat, dia berdoa memohon pada Tuhan agar sentiasa menunjukinya ke jalan yang lurus dan jauhkan syaitan laknatullah darinya.

Setelah melipat telekung dan sejadah dia mendekati meja soleknya. Melihat jika matanya masih merah atau tidak. Setelah memastikan segala-galanya sempurna, dia melirik pada jam dinding yang menunjukkan angka sebelas. Di waktu begini biasanya semua penghuni telah masuk ke kamar tidur masing-masing.

Dia memegang perutnya yang memulas minta diisi. Sejak pulang petang tadi dia langsung tidak menjamah apa-apa. Dan sekarang perutnya mula terasa lapar. Perlahan-lahan dia menuruni anak tangga. Dia tidak mahu penghuni rumah itu terbangun gara-gara kebisingan yang buatnya. Dia mahu ke dapur untuk mencari sisa-sisa makanan yang pasti ditinggalkan untuknya.

Dia merasa aneh kerana rumah itu masih terang benderang. Tidak seperti selalu yang telah dimatikan lampunya sebaik saja angka jam menunjukkan sepuluh tiga puluh minit malam. Langkahnya kemudian dihalakan ke ruang tamu. Dia terkejut melihatkan keluarga itu termasuk Fauzan berada di situ. Qismyna yang terlihatkan kelibat Zurin lantas menghampirinya.

“Zurin okey?” wajahnya kelihatan bimbang. Zurin mengangguk.

“Kenapa?” tanya Zurin. “Apa yang dah berlaku?”

“Kitorang semua risaukan Zurin berkurung dalam bilik,” ujar Tuan Malik. Zurin tertunduk rasa bersalah bersarang dalam diri. Kerananya semua orang di dalam rumah itu bimbang.

“Zurin kenapa?” tanya Qismyna.

“Zurin tak de apa-apa kak,” balas Zurin sambil memandang wajah Qismyna. “Zurin tak berapa sihat je.”

“Zurin sakit?!” jelas kebimbangan di wajah Maya. Zurin menggeleng lalu berbisik di telinga Qismyna.

“Sakit perempuan,” bohongnya. Qismyna tersenyum mendengar jawapan Zurin. Mereka yang lain berpandangan. Mula meneka-neka apa yang dibisikkan Zurin yang menyebabkan Qismyna tertawa kecil.

Itu hanyalah alasan Zurin untuk menutup apa yang berlaku sebenarnya. Biasanya, itulah alasan yang diberikan perempuan jika mereka ingin merahsiakan isi hati mereka pada sesiapa. Dan biasanya, orang pasti terpedaya dengan alasan itu. Memandangkan wanita memang mudah berubah sikap dan emosi pada waktu itu.

No comments:

Post a Comment