Friday, 8 January 2010

Takkan Pernah Hilang 8





“IIYAHHH!!!!” Maisara mengangkat tubuh kecil itu tinggi lalu berpusing-pusing beberapa kali. Kedengaran Aiman mengekek gembira apabila mereka berpusing-pusing.
            “Sudahlah Sara!” Kedengaran pula suara Maimun memarahi tindakan Maisara. “Nanti pening pula budak tu!”
            Maisara sudah membawa Aiman ke dalam pelukannya. Dia kemudian menghampiri Maimun yang sedang membawa dulang yang berisi sejug fresh orange. Maisara mencium pipi gebu Aiman yang sudah pun berusia lapan bulan. Begitu pantas masa berlalu. Aiman sudah pandai merangkak dan memunggah barang-barang.
            Sejak Aiman demam ketika rindukan dia, Fariz sering menghantar Aiman setiap hujung minggu untuk berjumpa dengan Maisara. Namun kerana Maisara tidak selesa dengan kehadiran Fariz yang sentiasa memerhatikannya setiap kali dia bermain dengan bayi itu, lantas dia memohon agar bayi itu ditinggalkan bersamanya setiap petang Jumaat dan dia sendiri akan menghantar Aiman pulang pada petang Ahad.
            Maka setiap minggu, masa Maisara dihabiskan dengan Aiman. Ada ketikanya mereka hanya di rumah dan ada ketikanya Aiman dibawa berjalan-jalan ke komplek atau taman-taman bunga.
            “Sampai bila?” tanya Maimun sambil menuang fresh orange ke dalam gelas kosong.
            Terkedu Maisar dengan soalan Maimun yang tiba-tiba itu. “Sampai bila apa?” Maisara bertanya walaupun sebenarnya dia seakan mengerti maksud pertanyaan itu.      
            Maimun meletakkan jug air ke dalam dulang semula. “Umi tahu Sara sayangkan Aiman. Aiman sendiri perlukan Sara!” Maimun memulakan mukadimahnya. “Tapi sampai bila Sara asyik nak meminjam Aiman dari Fariz. Kalau betul Sara sayangkan Aiman, lakukanlah sedikit pengorbanan.” Ada nada rayuan dari kata-kata itu.
            Akhirnya, persoalan ini timbul lagi. Sangkanya, abah dan umi tidak akan bertanya lagi tentang ini. “Umi......” Maisara menarik nafas panjang. “Sara faham dan Sara tahu, ini bukan kerana Aiman semata-mata, tapi juga kerana amanah Kak Su, kan?”
            “Permintaan mereka yang telah ‘pergi’, wajib kita penuhi.”
            “Sara faham. Tapi Sara perlukan masa. Ini bukan soal remeh. Ini tentang masa depan Sara. Macam mana Sara nak hidup dengan lelaki yang....yang....” kata-katanya mati di situ. Sungguh, dia tidak tahu untuk berkata apa-apa.
            Walaupun masa berlalu dengan pantas dan apa yang berlaku tidak dapat diputarkan kembali, namun sakit hatinya masih kukuh di hati. Ah masa....kenapa kau pergi tanpa membawa kelukaan ini?
            Maimun memandang Maisara. “Cinta boleh dibaja, Sara. Apatah lagi umi tengok Fariz tu ikhlas untuk menerima Sara sebagai ganti Suhana.” Ada keluhan dari bibir yang mengharap itu. “Belajarlah untuk memberi peluang pada Fariz mendekati Sara,” ujar Maimun. “Banyak kali umi perhatikan. Setiap kali Fariz cuba dekat dengan Sara, Sara lari! Jauhkan diri dari Fariz. sampai bila perkara ni nak selesai?!” Maisara sedikit pun tidak menyatakan persetujuannya, tetapi dalam masa yang sama dia juga tidak menyatakan keengganannya. Jawapannya tergantung!
            Ah umi!! Kalaulah umi tahu apa yang terjadi sebenarnya, pasti umi tidak akan pernah memaksa Sara. Pasti umi tidak akan memuji-muji lelaki yang menyebabkan hubungan anak-anak umi menjadi renggang.
            “Assalamualaikum......” Kedengaran suara garau menegur anak-beranak itu.
            “Waalaikumsalam........” Maimun menjawap lalu berpaling kepada tuan empunya suara. Maisara menjawap di dalam hati tanpa berpaling kerana dia cukup mengenali suara itu.    
            Berseri wajah Maimun melihat menantunya datang. “Langkah kanan sungguh Fariz ni. Marilah duduk, minum-minum. Ini Sara ada buatkan nasi lemak. Ada sambal sotong, ada sambal ayam dengan telur goreng. Fariz sukakan?!”
            “Wah....” terbeliak biji mata Fariz. Walaupun dia telah bersarapan pagi tadi, air liurnya masih lagi meleleh apabila melihat hidangan pagi itu. Apatah lagi jika Maisara yang menyediakannya. “Memang langkah kanan sungguh!!”
            Bersarapan di halaman sambil menghirup angin pagi dan melihat matahari yang mula kelihatan dibalik celahan pohon-pohon besar memang cukup indah. Tersenyum Fariz sambil menjamu selera. Ditemani pula Maisara disebelahnya. Walaupun bukan hanya mereka berdua ada di situ, namun bahagia tetap menerjah di hati.  
            Tetapi berlainan pula dengan Maisara. Hari yang dirasakan paling indah setiap minggu bertukar menjadi suram. Mujurlah ada Aiman disampingnya. Kalau tidak kerana memberi Aiman minum susu, sudah lama dia meninggalkan mereka. Entah angin apa pula tiba-tiba sahaja lelaki itu datang pagi-pagi begini. Sepatutnya Maisara yang menghantar Aiman petang nanti.
            “Sara tak makan sekali?” ajak Fariz sekadar untuk memancing Maisara agar berbual dengannya.
            Maisara menjeling. “Hilang selera!” keras nada yang dilontarkan. Sedikit pun wajah Fariz tidak dipandangnya.
            “Sara!” Maimun mengerling Maisara. Layanan kasar Maisara pada Fariz itulah yang tidak disukai. Jika terus begini layanan Maisara, lama kelamaan Fariz juga akan lari. Jadi, bagaimana dengan cadangan mereka untuk satukan Fariz dan Maisara?
            Fariz hanya tersenyum melihat wajah Maisara yang sudah kelat. Tentu marah gadis itu semakin bertambah apabila dia ditegur begitu dihadapannya. “Abah ke mana? Tak nampak pun?” Fariz cuba mengubah angin sambil tangannya mengorek keluar isi ayam dari tulangnya.            
            “Punggung dah panas baru nak bertanya ke?” sindir Maisara. Menyampah dia dengan sikap Fariz yang cuba berlagak mesra di depan umi.
            “Sara!” Maimun berkeras lagi. Adakalanya sikap Maisara keterlaluan. Maisara mencebik dengan teguran Maimun. “Abah keluar dengan kawan-kawannya. Katanya ada bisnes yang nak dibincangkan. Tapi bukan formallah.”
            Fariz terangguk-angguk mendengar penjelasan ibu mertuanya. Dia mengukirkan senyuman sambil melirik wajah Maisara yang mencuka di sebelahnya. Tentu sekali Maisara tidak menyangka kehadirannya di sini.
            “Umi nak ke dalam dulu!” Maimun sudah mengangkat punggung. “Sara jangan ke mana-mana. Temankan Fariz!”
            Dada Maisara berdegup kencang. Mahu sahaja dia memberitahu umi yang dia tidak suka umi melakukan semua ini. Namun entah kenapa lidahnya membisu. Namun matanya mencerlung memandang Fariz yang sedang enak menyumbat nasi lemak ke dalam mulutnya dan pura-pura tidak tahu dengan keengganannya menemani Fariz di situ.
            Ni semua sebab kau setan!!
            “Tak sangka saya masih mendapat perhatian Sara,” ujar Fariz dengan tiba-tiba. Sengaja dia mahu mengusik Maisara.
            Maisara mengerutkan kening. Tidak faham dengan omongan lelaki itu. Aiman yang sudah menghabiskan susunya, di bawa dalam pelukannya.  Belakang Aiman digosok perlahan. Dia menyerahkan seketul paha ayam yang hanya tinggal sedikit isinya kepada Aiman. Aiman mengambil digigitnya tulang itu.
            “Kalau tidak, kenapa Sara renung saya macam tu?” Fariz memandang Maisara yang sudah terlopong mulutnya. “Awak rindukan saya?” Fariz mengenyit matanya. Wajah Maisara yang sudah mula merona merah dipandangnya lalu dia ketawa.
            Api yang sentiasa membakar di hati Maisara semakin menyemarak rasanya apabila dirinya dipermainkan begitu. “Hmm......saya memang rinduuuuu sangat kat awak....” ujar Maisara dengan manja sehingga membuatkan Fariz tergamam. Maisara menyatakan rindunya? Biar benar telinganya! “....Aiman!!” Maisara menyambung ayatnya yang tergantung seraya tubuh kecil Aiman dipeluk erat.
            Kini Fariz benar-benar terasa dipermainkan. Namun dia hanya tersenyum. Sekurang-kurangnya, Maisara mahu juga bersuara dengannya. Satu perkembangan yang baik berbanding sebelum ini di mana gadis itu hanya menyepikan diri.
            “Macam mana kerja? Tentu seronok bekerja dengan Encik Zack, kan?” soal Fariz sengaja memancing perhatian gadis itu lagi. Dia tak mahu suasana yang mula menyenangkan ini beku kembali. “Maklumlah, orang bujang! Ada rupa, ada kedudukan.....” Fariz mengerling wajah itu sepintas. Sengaja dia berkata begitu. Mahu juga dia tahu perasaan Maisara pada Zack yang sememangnya sering mendapat perhatian para gadis.
            Maisarah tersenyum sinis mendengar nada yang berbaur cemburu itu. Hairan! Memang dia hairan. Boleh dikatakan lapan puluh peratus kakitangan yang bekerja di situ semuanya dikenali Fariz. Baik dari serendah-rendah pangkat hingga ke pangkat yang tertinggi.
            Pada mulanya ketika dia bersetuju untuk ditukarkan ke bahagian kewangan, dia tidak merasa hairan apabila Fariz mengetahuinya. Apatah lagi ketika Mr. Lim mencadangkan begitu Fariz juga ada bersama mereka. Tetapi lama-kelamaan dia menjadi hairan apabila Fariz seakan mengetahui setiap perjalanan dan perkembangan syarikat itu.
            “Hmm......memanglah seronok bekerja dengan orang bujang ni! Apatah lagi kalau orang tu handsome dan belum berpunya!” balas Maisara dengan lagak yang cuba menyakitkan hati Fariz.
            Fariz memandang Maisara sekilas. Dia mula tidak senang duduk mendengar komen Maisara tentang Zack. Tujuannya hanyalah untuk berbual dengan Maisara. Alih-alih, hatinya pula yang terluka. Tapi tak mungkinlah Maisara semudah itu jatuh cinta. Kenal benar dia dengan sikap Maisara. “Baguslah kalau awak dah jumpa cinta yang baru!”
            Maisara memandang Fariz. “Saya tak cakap pun macam tu!” Khuatir juga dia jika Fariz tersalah sangka. Bukan dia peduli tentang perasaan Fariz, dia hanya tak mahu Fariz menganggap dia dan Zack ada hubungan dan memberitahu keluarganya. Sedangkan itu semua tidak benar.
            Fariz tersenyum. Sudah dijangka itu. Cinta Maisara tak mungkin cepat berubah. Dia yakin jauh di sudut hati Maisara, cintanya masih bersemi di situ. Hanya cinta itu telah ditutupi dengan rasa kecewa, marah dan dendam. Untuk mendapatkan kembali cinta Maisara, dia perlu memadamkan semua rasa negatif itu dahulu.
           
            “Aiman.....” pipi gebu Aiman dicuit. “Papa rindu.....kat Aiman!” mengekek Aiman apabila dicuit begitu. Lantas Aiman diambil dari pangkuan Maisara. “Aiman tengok! Mama dah pandai main mata. Tak lama lagi makan nasi minyaklah kita,” usik Fariz. “Bila mama dah kahwin nanti, papa kenalah cari mama baru kat Aiman!”
            Mama baru?!
            Tersentap jantung Maisara apabila mendengar Aiman akan dicarikan mama baru. Walau apa pun berlaku, tak kiralah sama ada dia atau Fariz yang akan berkahwin, Aiman tetap anaknya. Itu pasti! “No way, sayang!” Maisara sudah mengambil Aiman kembali. “Biar apa pun yang berlaku, Aiman tetap anak mama!” Begitu erat tubuh kecil itu dipeluk dengan penuh kasih sayang. Dia takkan membuang anak kecil itu dari hidupnya biarpun anak raja yang akan menjadi pilihannya. Biar siapa pun dia, jikalau Aiman tidak disukai, lelaki itu akan di senarai hitamkan!
            “Ma.....ma....” kedengaran suara halus Aiman sambil tangan kecilnya menepuk-nepuk pipi Maisara.
            Senyuman Fariz semakin lebar. Hubungan Maisara dan Aiman sudah semakin rapat. Mungkin hanya itulah saja jalannya untuk mendapatkan kembali cinta Maisara. Aiman adalah penyambung antara mereka berdua. “Terima kasih, Sara!” Ada nada terharu dari suaranya. Sungguh, dia sangat terharu dengan kasih sayang yang Maisara tumpahkan buat Aiman biarpun ibu Aiman, Suhana telah melukakan perasaannya.
            Maisara pura-pura tidak mendengar ucapan itu walaupun jelas ditelinganya. Tiada apa yang perlu diterima kasihkan. Dia hanya melaksanakan tanggungjawabnya pada Aiman. Aiman tiada kaitan langsung dengan masa lalu mereka bertiga. Aiman anak kecil yang suci dan tidak berdosa!

No comments:

Post a Comment