Friday, 15 January 2010

Takkan Pernah Hilang 9




“MAISARA!” Suara yang memanggil itu membuatkan Maisara yang sedang kusyuk menatap skrin komuternya beralih.
            “Encik Zack!” Terpandangkan susuk tubuh itu dihadapannya dengan pantas Maisara berdiri sebagai tanda hormat. “Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”
            Zack memandang Maisara di dalam gelap. “Tak......cuma......” Zack memerhati sekeliling pejabat yang sudah mulai kosong dan gelap kerana lampu telah dimatikan. Rata-rata pekerja di situ semuanya sudah hilang untuk makan tengahari. “Awak puasa ke?”
            “Oh....tak....” Maisara tersenyum setelah mengetahui maksud bosnya itu. “Saya tak keluar hari ni. Saya pesan dengan Hanum,” terang Maisara. “Saya ada kerja sikit yang perlu disiapkan.”
            Zack mengangguk. “Hanum?” Zack berfikir sebentar. Dia cuba mengingati siapakah Hanum yang dimaksudkan Maisara. “Oh.....budak office sebelah tu, kan?”
            Maisara mengukir senyuman sambil kepalanya terangguk-angguk.
            Apalah Encik Zack ni! Fariz yang tak de kaitan dengan company ni pun kenal kebanyakan staff kat sini. Boleh dia tak kenal! Ops!! Apahal pulak aku teringat kat Fariz!
            Zack melirik di atas meja Maisara dan di skrin komputernya. “Perlu disiapkan segera?” dia bertanya.
Giliran Maisara pula memandang di mana tumpuan Zack terarah. “Oh....tak! Cuma, saya nak siapkan cepat. Lagipun, rasa malas nak keluar sebab tu saya hanya pesan pada Hanum.” Maisara menelan air liur. Sememangnya kerja yang ingin disiapkan bukanlah perlu dilakukan dengan segera. Takut pula dia kalau Encik Zack salah faham.
“Kalau macam tu, jom!!”
            “Jom?” Terkebil-kebil mata Maisara. “Jom apa, Encik Zack?”
            “Temankan saya lunch!” Ada nada serius dari percakapannya.
            “Saya?!!” Berdegup jantung Maisara dengan ajakan itu. Takkanlah dia nak keluar makan tengahari dengan Encik Zack? “Tapi....Hmm....” Tergagap-gagap Maisara untuk menolak.
            “Kenapa dengan awak?” tanya Zack walaupun dia boleh membaca keengganan gadis itu dari perlakuannya. “Awak tak sudi?”
            “Bukan!” pantas Maisara menafikan. “Bukan tak sudi. Tapi saya dah pesan makanan dengan Hanum.” Sememangnya dia kurang selesa dengan ajakan itu. Nanti apa pula kata teman sepejabat yang lain? Pasti mereka akan menyangka yang bukan-bukan tentang dia dan Encik Zack.
            “Maknanya, awak sudilah keluar lunch dengan saya, kan?” Zack mengangkat keningnya. Itu yang mahu diketahuinya. Adakah Maisara sudi atau tidak?
            Maisara masih membatu di situ. Dia sendiri tidak tahu sama ada mahu mengangguk atau menggeleng. Akhirnya, dia mengangguk juga. Tak mungkinlah dia akan berterus terang dengan menggelengkan kepalanya di depan Encik Zack untuk menunjukkan ketidaksudiannya.
            Zack tersenyum melihat anggukan itu. “Kalau macam tu, jomlah. Makanan yang awak pesan dengan Hanum nanti bawa balik. Tak pun kasi saya je. Tak payahlah saya keluar beli makan malam ni.” Zack sudah berjalan pergi tetapi langkahnya terhenti dan berpaling semula ke belakang apabila menyedari Maisara tidak mengekorinya. “Jom!!”
            Dengan rasa ragu-ragu, Maisara melangkah jua membontoti bosnya itu.

            MAISARA memandang suasana Restoran Selera Rasa yang dipenuhi dengan pelanggan. Dari gaya dan penampilan, Maisara dapat mengagak kebanyakan pelanggan di situ rata-ratanya adalah pekerja pejabat sepertinya. Mungkin mereka semua dari pejabat yang berhampiran kerana tak banyak kereta yang diparkir di hadapan restoran itu. Nasi goreng USA yang dipesannya memang sedap. Tak seperti nasi goreng USA yang pernah dimakannya sebelum ini. Cukup rasa pedasnya.
            Sedari tadi Maisara dan Zack bagai hilang di alam sendiri. Masing-masing diam membisu menikmati hidangan tengahari. Sesekali mata Maisara mencuri pandang wajah dihadapannya. Ada rasa kesal kerana tidak berkeras untuk tidak menerima pelawaan lelaki itu. Entah apalah gossip yang akan melanda sekiranya staf lain mengetahui dia dan Encik Zack keluar makan tengahari bersama. Tanpa disedari dia melepaskan keluhan.
            “Kenapa?” tanya Zack tiba-tiba apabila terdengar keluhan itu. Wajah di hadapannya itu diperhatikan. Bukan dia tidak tahu sedari tadi wajahnya menjadi perhatian gadis itu. Sengaja dia tidak mengambil peduli.
            Maisara membalas pandangan Zack. “Uh?” Maisara bertanya kembali. Soalan Zack memang tidak difahami.  Tiba-tiba sahaja Encik Zack bertanya kenapa.
            “Keluhan tu, untuk apa keluhan tu?” Zack sudah menghentikan kunyahannya dan mula memberi perhatian sepenuhnya kepada Maisara.
            Kini barulah Maisara menyedari keluhannya telah didengari lelaki itu. perlukah dia berterus terang dengan kegusarannya pada Encik Zack? “Tak....cuma saya risau kalau-kalau ada staf lain yang ternampak kita berdua.” Maisara berterus terang.
            Zack mengangkat keningnya. Lalu bibirnya disapu dengan tisu yang disediakan. “Kenapa kalau diorang nampak kita berdua? Salah ke? Awak sendiri, saya pun sendiri. Jadi apa salahnya dari bersendirian kita berteman.” Tajam matanya memandang Maisara. menunggu maklum balas dari gadis itu.        
            Maisara sudah mula gelabah.
            Alamak dia ni! Apasallah lambat pick-up! Takkan tak faham maksud aku kot! Gossip babe! Siapa yang suka? Orang yang bergossip je suka. Orang yang kena gossip?
            “Bukan macam tu Encik Zack,” ujar Maisara. “Mana tahu kalau diorang salah sangka pulak bila lihat kita berdua macam ni.”
Zack memandang wajah Maisara yang terlukis garis-garis kerisauan. “Ataupun awak sebenarnya risau. Takut-takut boyfriend awak terserempak dengan kita?!” Zack sudah mula menyerkap jarang. Sengaja dia berkata begitu.
            “Boyfriend? Saya mana ada boyfriend!” pantas Maisara menjawap. Merona merah wajahnya dengan tuduhan Encik Zack.
            Zack sudah mula tersenyum sumbing melihat reaksi Maisara yang agak menggelabah apabila disergah dengan soalan begitu. Bagi Zack, Maisara cukup sempurna dari segi luarannya. Cantik, menarik dan low profile. Kali pertama ketika Maisara diperkenalkan kepadanya ketika gadis itu bersetuju untuk bertukar ke bahagian kewangan, dia sudah mula tertarik untuk mengenali Maisara dengan lebih dekat. Namun, dia tidak mahu terburu-buru tanpa menilai gadis itu dengan mendalam. Setelah hampir setahun gadis itu bekerja di bawahnya, hatinya semakin tertarik untuk mengenali Maisara. Inilah langkah permulaan yang diambilnya.
            “Jadi apa masalahnya?” tanya Zack lagi.
            “Entahlah Encik Zack. Saya bukannya apa. Cuma, saya tak suka jadi bahan bualan orang.” Maisara meluahkan kegusarannya.
            “Oh ya!” Zack mengangguk-anggukkan kepalanya. “Mulut orang tak sama dengan mulut tempayan! Tapi biarlah. Apa salahnya.”          
Maisara melirik Zack. Mudah sungguh jawapan yang diberikan Zack. “Encik Zack tak takut kalau girlfriend encik nampak kita berdua?” Maisara bertanya kembali.
Zack tersenyum memandang Maisara. “Awak fikir kalau saya ada girlfriend saya nak keluar makan tengahari dengan awak?”
Maisara diam. Adakah itu tandanya Encik Zack masih belum berpunya? Sukar untuk dipercaya! Lelaki yang berpangkat dan mempunyai rupa seperti Encik Zack masih belum berteman. Patutlah Sofia, setiausaha Encik Zack selalu mencari jalan untuk mendekati lelaki itu.
“Tak percaya?” Bagai boleh dibaca airmuka Maisara. “Saya masih mencari!”
Maisara menelan air liurnya. Jangan-jangan dia juga menjadi perhatian Encik Zack. Mintalah dijauhkan! Dia belum bersedia untuk menjalin apa-apa hubungan dengan lelaki. Tambahan sekarang sejak adanya Aiman dia lebih berhati-hati. Bukan semua lelaki yang boleh menerima seorang anak seperti Aiman untuk masuk ke dalam hidup mereka.

            SETIBANYA di pejabat, Maisara pantas melarikan diri ke tempatnya. Dia tak mahu ada sesiapa yang mengetahui dia dan Encik Zack keluar bersama untuk makan tengahari. Dia menghembuskan nafas kelegaan apabila punggungnya mencecah kerusi. Beberapakali selepas dia beristighfar, dia kembali menjalankan tugasnya.
            “Sara!” terdengar sayup-sayup suara yang memanggil namanya. Maisara menghentikan kerjanya dan cuba mengamati apakah benar dia mendengar namanya dipanggil.           
            “Sara!” Kali ini Maisara yakin pendengarannya tidak silap.   Maisara berpaling ke belakang. Matanya liar mencari arah suara yang di dengarnya. Akhirnya, dia menangkap susuk tubuh seorang gadis di balik dinding  pantry.
            “Woi Hanum!” panggil Maisara dengan suara yang ditahan. Dia memandang sekeliling. Khuatir jika ada orang yang memerhatikan mereka.
            Hanum menjengulkan wajahnya di balik dinding. Dengan perlahan-lahan dia menghampiri meja Maisara. Mujurlah meja gadis itu agak terlindung sedikit.
            “Apahal kau datang sini?” Maisara memerhati sekeliling lagi. “’Naya aku kalau Encik Zack nampak!”
            “Alah.....takut apa. Dia tak marah punya!” Hanum bersuara yakin.  
            “Yelah tu!” Maisara menampar bahu Hanum. “Kalau kau tak takut dengan dia, apahal pulak kau terhendap-hendap macam penyamun?” Hanum tertawa kecil mendengar bebelan Maisara. “Apahal kau datang sini? Karang kalau Mr. Lim cari, baru kau tahu!”
            “Tak delah. Saja je aku datang nak interview kau. Mr. Lim tu, kau jangan risaulah. Kalau kantoi karang, pandai-pandailah aku kelentong dia,” ujar Hanum kembali. “Ini lagi penting dari tu!”
            Dada Maisara yang sudah tenang kembali berdegup. Interview? Jangan-jangan Hanum sudah mengetahui tentang dia dan Encik Zack. Ah....masalah betullah! Maisara sudah mula mengarang alasan.
            “Engkau ke mana tadi?” Hanum sudah memulakan intronya. Seraya dengan itu dia meletakkan nasi bungkus yang dipesan Maisara di atas meja.
            “Thanks!” ujar Maisara.
            “Most welcome!” Hanum tersenyum. “So, kau pergi mana?” Terjungkit-jungkit keningnya mengusik Maisara.
            Maisara mengetap bibir. Jangkaannya benar. Hanum pasti sudah melihat dia dan Encik Zack bersama sebentar tadi.
            “Ha....aku tahu. Kau jangan nak kelentong. Baik kau cakap terus terang dengan aku!” Hanum berkata seperti dia sudah mengagak Maisara akan memberi alasan yang tidak benar.
            “Kau bercakap macam kau dah tahu je?” Maisara sudah memandang Hanum dengan tajam.
            “Jadi betullah apa yang aku dengar! Kau dengan Encik Zack......” Hanum sudah ternganga seolah-olah sukar untuk menerima apa yang didengarinya tadi.
            Maisara mula tak senang duduk. Sangkanya Hanum mungkin ternampak dia dengan Encik Zack. Namun lain pulak yang berlaku.     “Macam mana kau tahu? Siapa yang beritahu kau?” Maisara mula menggelabah.
            “Siapa lagi? Aku dengar secretary Encik Zack, si Sofia tu sedang bergossip dengan Mila di pantry sebelah!”
            Memang benar kata Hanum. Ketika dia berjalan ke pantry untuk mengambil air kosong, dia terdengar Sofia dan Mila sedang berbual. Suara Sofia yang kedengaran seperti marah cukup untuk dia mendengar semuanya dengan jelas.
            Bukan dia tak tahu, malah boleh dikatakan satu tingkat dua belas tahu tentang perasaan Sofia pada Encik Zack. Tapi sayang, Encik Zack seperti tidak berminat dengan Sofia. Alih-alih, Maisara dengan Encik Zack pula keluar bersama. Tentu sahaja Sofia tidak senang duduk.
            “Alamak!!! Matilah aku!!!” Maisara mengetap bibirnya. Apa yang dikhuatirkan akhirnya berlaku juga. “Keluar ‘paper’ muka depanlah nampaknya!”
            “Ha! Itulah! Kau macam tak kenal perangai Sofia yang berlagak diva tu! Kenapalah kau pergi kacau buah hati dia?!” Hanum menepuk dahinya. Turut merasakan apa yang dirasakan Maisara.
            “Encik Zack yang ajak aku keluar tadi! Kalau aku tahu, tak de maknanya aku nak ikut dia!” Maisara sudah memuncungkan bibirnya.
            “Sara!!!” teguran kasar itu menyebabkan Maisara dan Hanum tersentap. Masing-masing berpaling ke arah suara itu. Wajah Sofia yang kemerahan dipandang sekilas.
            “Eh Hanum! Kau buat apa kat sini?” Sofia mengalihkan perhatiannya pada Hanum. Wajah Hanum dipandang tajam. Hanum menjeling Maisara sekilas. Dia tahu kawannya itu akan berhadapan dengan masalah. “Baik kau ‘blah’ sebelum aku beritahu Mila.”
            “Yelah....yelah....aku pergilah ni!” Hanum berlalu pergi namun sempat dia melihat wajah Maisara seperti menagih simpati darinya. Memang dia tak sampai hati nak meninggalkan Maisara dengan Sofia dalam keadaan begitu. Namun dia cukup kenal dengan sikap Mila dan Sofia yang suka mengadu kepada bos tentang kakitangan di situ. Tambahan pula, Mila adalah staf yang paling dipercayai Mr. Lim. Lain pula dengan Encik Zack, walau apa pun yang diadu Sofia kepadanya, dia lebih suka menyelidiki terlebih dahulu tanpa menerima bulat-bulat apa yang dikatakan Sofia.
            “Kau apahal dengan Encik Zack tengahari tadi?” mencerlung mata Sofia memandang Maisara.
Maisara cuba menenangkan dirinya. “Kenapa dengan aku dan Encik Zack?” soalan Sofia dibalas soalan oleh Maisara. Sudah ternyata Encik Zack dan Sofia tidak punya hubungan yang rasmi. Jadi, Sofia tak berhak mempersoalnya begitu.
            “Kau tahu,kan Encik Zack dengan aku macam mana?!”
            “Aku tak fahamlah Sofia!” Maisara mula mendapat kekuatan untuk membela dirinya. “Tak kisahlah macam mana pun kau dengan Encik Zack tu, langsung tak de kena mengena dengan aku!”
            “Engkau sekarang ni dah pandai menjawap ek?!” Sofia mencekak pinggang. Angin Sofia makin bertambah apabila Maisara yang biasanya tidak banyak bercakap dan agak pendiam orangnya mula bersuara.
            “Maaflah Sofia kalau kau tak suka aku keluar dengan Encik Zack. Tapi aku dengan Encik Zack memang tak de apa-apa. Kami cuma keluar makan je,” Maisara cuba berlembut. Dia tahu, kalau dia juga berkeras seperti Sofia, perkara ini sukar untuk diselesaikan.
            “Sofia!” Kedatangan Nisa melegakan Maisara. “Encik Zack panggil!” Nisa bersuara sambil matanya dikenyitkan kepada Maisara apabila Sofia memerhatikan kamar kerja Encik Zack.
            Perhatian Sofia yang terganggu sebentar tadi kembali kepada Maisara yang masih lagi berdiri di depannya.
            “Lagi sekali aku dapat tahu kau keluar dengan Encik Zack, kau tahulah nasib kau!!” Kata-kata itu bagai satu ugutan buat Maisara. Sebaik sahaja berkata begitu, Sofia melangkah menuju ke bilik Encik Zack.
Nisa juga berlalu pergi namun sempat dia berpesan kepada Maisara agar berhati-hati dengan Sofia.
            Maisara menghenbuskan nafas kelegaan. Mujurlah Nisa berbaik hati mahu membantunya.
            Menurut kata Nisa sebentar tadi, apabila dia terlihat Sofia menghampiri meja Maisara dia sudah dapat menjangkakan apa yang akan berlaku. Justeru itu dia ke bilik Encik Zack dan memberitahu lelaki itu. Kerana itulah Encik Zack memanggil Sofia masuk ke biliknya.
            Sekali lagi Maisara menghembuskan nafas kelegaan.

No comments:

Post a Comment