MATANYA memerhatikan keletah Aiman yang sedang leka bermain. Sengaja
dibiarkan Aiman bermain sendiri setelah sebakul mainan ditaburkan di depannya.
Sesekali apabila Aiman menepuk pahanya, baru dia akan melayani Aiman sebentar
sebelum fikirannya kembali merewang memikirkan kata-kata umi dan abah semalam.
Dia mengeluh
seketika. Semalam, sekali lagi umi dan abah mengingatkan dia tentang amanah
arwah Suhana. Dia tahu, tak baik melambat-lambatkan permintaan insan yang sudah
tiada. Namun, dia perlukan waktu untuk meyakinkan dirinya. Sedikit lagi waktu
untuk dia cuba melenyapkan segala kedukaan yang ditanggungnya selama ini.
Tetapi, dia sendiri
tidak pasti adakah dia dapat melupakan semuanya walau seribu tahun masa yang
diberikan. Dia tidak menyalahkan umi dan abah yang sentiasa mendesaknya.
Sesungguhnya, mereka berdua tidak tahu apa yang berlaku antara dia, Fariz dan
arwah Suhana. Malah, tiada siapa yang tahu mengenainya.
“Cinta boleh
dibaja, Sara. Apa yang penting sekarang ni, amanah!” Walaupun lembut nada yang
dituturkan Khalid namun Maisara tahu dalam lembut abahnya itu, ada tegasnya.
“Sara perlukan
waktu!” Maisara cuba berkompromi.
“Abah ada
berbincang dengan Fariz. Dari pihak Fariz memang tiada halangan. Malah, Fariz
sendiri bersetuju dengan amanah Kak Su,” ujar Khalid sambil menyelak langsir
dan membuang pandangannya ke luar. “Abah dapat rasakan, masih ada ruang dalam
hati Fariz untuk diisi oleh Sara.” Tika ini anak mata Khalid sudah jatuh ke
dalam anak mata Maisara. “Fariz ikhlas.”
Ikhlas? Maisara
ingin ketawa apabila mendengar perkataan itu. Seandainya abah tahu kisah
sebenar, perkataan ikhlas itu pasti tidak akan keluar dari mulut abah.
“Dicintai adalah
lebih baik dari mencintai Sara, dan Fariz.....cintakan Sara!” kata-kata Khalid
itu benar-benar membuatkan Maisara terdiam. Dia mula merasa ingin menangis.
Abah......seandainya kau tahu....
“Ma...ma....ma...” Aiman
menepuk-nepuk paha Maisara.
Serentak dengan itu, fikiran Maisara kembali kepada
Aiman. “Kenapa sayang?” Maisara mengusap rambut Aiman.
Aiman mengunjuk mainannya kepada Maisara.
Maisara melayani
Aiman sebentar. Ketika Aiman sudah mula ralit dengan mainannya kembali, ingatan
Maisara merewang pula mengingatkan Maimun yang datang ke biliknya selepas itu.
“Kenapa umi lihat
Sara seperti membenci Abang Fariz?” tanya Maimun.
Perkataan abang
yang digunakan Maimun di pangkal nama Fariz membuatkan Maisara mencebik.
Baginya, lelaki seperti Fariz tak layak dihormati seperti itu. Dia tahu apa
yang dilakukan umi dan abah semuanya untuk menyatukan dia dengan Fariz.
Mula-mula, abah sarankan dia membahasakan dirinya ‘mama’ kepada Aiman. Dia
turuti. Bukan kerana rasa terpaksa, tetapi dia lakukan dengan penuh keikhlasan
kerana Aiman sudah disayangi bagai anak sendiri. Kemudian, keluarga Fariz
melayaninya seperti dia sudah sah menjadi menantu mereka. Dan sekarang, mereka
mula meletakkan pangkal ‘abang’ apabila merujuk kepada Fariz.
“Kenapa umi tanya
macam tu?” Maisara pura-pura tidak mengerti. “Sara bukan bencikan Fariz, cuma
Sara masih belum kenal rapat dengan dia. Sebab tulah.....”
“Kalau macam tu
kenapa tak beri ruang pada diri Sara untuk kenal dengan dia lebih rapat?” tanya
Maimun lagi. Bukan dia tak tahu, malah dia cukup menyedari layanan Maisara pada
Fariz. Tidak pernah menantunya itu dilayan dengan baik oleh Maisara. Walaupun
tatkala Suhana masih ada, Maisara tidak pernah mahu beramah mesra dengan abang
iparnya itu. Kerapkali dia cuba menjauhkan diri dari Suhana dan Fariz sehingga
akhirnya dia berpindah ke Kangar, Perlis.
“Sara anak umi.
Naluri seorang ibu tidak pernah silap. Walaupun Sara menafikan, tapi umi dapat
rasakan. Ada sesuatu yang tidak kena antara Sara dengan Fariz, kan?” Maimun
menatap wajah di sebelahnya.
Maisara tergamam
Sesungguhnya, memang benar kata umi naluri seorang ibu tidak pernah silap.
Adakah itu beerti dia perlu menceritakan semuanya pada umi? Tidak!!! Pasti umi
akan merasa kecewa dengan Fariz.
Biarlah umi dan
abah menyanjungi lelaki itu. Biarkanlah umi dan abah sentiasa menyayangi Fariz.
Biarkanlah.....demi Aiman!! Dia khuatir jika umi dan abah tahu perkara yang
sebenar, mereka tidak mahu menerima Fariz lagi. Jika perkara itu terjadi,
bagaimana pula dengan Aiman. Dia tidak sanggup berpisah dengan Aiman. Walaupun
dia amat kecewa dengan sikap Fariz dan arwah Suhana, tetapi Aiman tetap
disayangi. Sayang yang tiada batasnya!
Teganya Suhana meletakkan dia dalam dilema begini sedangkan
mereka berdua adik beradik yang sangat menyayangi antara satu sama lain. Segala
rahsianya dikongsi bersama Suhana. Kenangan bersama arwah, tak pernah
dilupakan.
“Kak Su!!” Maisara
menerpa masuk ke dalam kamar Suhana lalu membuang dirinya di atas katil. Suhana
yang sedang membaca majalah menggeleng-gelengkan kepalanya melihat telatah
Maisara. “Kak Su baca apa?” Leher Suhana dirangkulnya lalu kepalanya
dilentokkan ke bahu Suhana. Memang sedari kecil Maisara terlalu manja dengan
Suhana. Suhana pula tidak pernah kedekut untuk memanjakan adiknya.
“Ni kenapa ni?
Mesti ada apa-apa,” Suhana cuba meneka. Biasanya begitulah tingkah Maisara jika
ada sesuatu yang ingin dimintanya.
“Tak de! Mana ada
apa-apa!” Maisara mencebikkan bibirnya pura-pura merajuk. Suhana tersenyum
melihat muncung Maisara yang sudah panjang ke depan.
“Yelah tu.....”
Suhana sudah menutup majalahnya. “Okey,
sekarang, straight to the point!”
Wajah Maisara sudah dipandangnya. Tangan kanannya menongkat dagu. Menunggu
kata-kata selanjutnya dari Maisara.
“Sebenarnya.......”
Maisara teragak-agak untuk meluahkan keinginannya.
Suhana masih lagi menunggu sambil menongkat dagunya.
Keningnya terangkat-angkat sebagai isyarat menyuruh Maisara meneruskan
kata-katanya.
“Sara nak kenalkan kawan Sara dengan Kak Su,” bantal
Suhana dipeluknya sambil hujung bantal dipintal-pintalnya. Suhana hanya tersenyum
melihat reaksi Maisara yang malu-malu kucing.
“Ha....ini mesti
nak kenalkan boyfriend Sara dengan
Kak Su, kan?” usik Suhana.
Wajah Maisara sudah merona merah. Bertambah galak Suhana
mengusik Maisara. “Bukanlah!!! Kawan je!” Maisara menarik muncung panjang lagi
apabila Suhana asyik mengusiknya.
“Okeylah! Whatever!!” Suhana mengalah. “Bila nak jumpa?”
Soalan Suhana itu
membuatkan Maisara tersenyum kembali. Maknanya, Suhana sudah bersetuju untuk
berjumpa dengan Fariz! “Yeah..!” Maisara bertepuk tangan seperti anak kecil.
“Sayang Kak Su!!” pipi Suhana dikucup bertalu-talu.
Suhana mula menepis apabila merasa rimas. “Sudah! Sudah! Karang Kak Su tak nak pergi!”
ugut Suhana.
Maisara memeluk bahu Suhana. “Esok petang kita pergi, okey?!!”
Seperti yang dijanjikan
petang esoknya, Suhana dan Maisara ke Taman Belia. Setelah meminta izin dari
Maimun dan Khalid untuk keluar berjogging, mereka menaiki Honda LC 135 bewarna
hijau milik Suhana. Setelah memakirkan motosikal di parking lot, mereka berdua yang memakai T-shirt dan track bottom,
mula berjogging.
Sesekali mata
Maisara liar mencari kelibat yang ingin ditemuinya. Setibanya di satu selekoh,
Maisara terpandangkan susuk tubuh yang memakai T-shirt tanpa lengan dan berseluar pendek sedang menghampiri dari
arah yang berlainan. Dadanya bergetar kencang.
Entah bagaimanalah penerimaan Kak Su tentang
dia?
Suhana menghentikan
lariannya apabila Maisara berbuat begitu. Kelihatan Maisara sedang mengukirkan
senyuman kepada seorang lelaki. Lelaki yang dilihatnya juga sedang tersenyum
kepada Maisara sedang berjogging lalu berhenti apabila tiba di depan mereka.
“Kak Su,” panggil
Maisara. “Kenalkan, ini Fariz!”
Fariz menghulurkan
tangan tanda perkenalan. Suhana menyambutnya.
“Fariz, this is my sister, Suhana! The one and only!” Salam perkenalan yang
dihulurkan Fariz disambut Suhana dengan senang hati.
Sedari itulah
hubungan mereka semakin rapat. Setiap kali Maisara ingin menemui Fariz, Suhana
sering menjadi penemannya. Di mana-mana sahaja, mereka sentiasa keluar bertiga
untuk mengelakkan rasa curiga kedua orang tua Maisara dan Suhana.
Tatkala itu,
Maisara masih belum bersedia untuk mengenalkan Fariz dengan keluarganya, kerana
itulah dia sering meminta Suhana merahsiakan hubungannya dengan Fariz. Dia
merasakan kewujudan Fariz di hatinya terlalu awal untuk diketahui kedua orang
tuanya. Dia perlukan lebih waktu untuk memikirkan arah hubungan mereka yang
sebenar.
Mungkin kerana itu,
akhirnya Fariz memilih Suhana untuk menjadi penyerinya. Tetapi bukankah
sepatutnya Fariz berterus terang dengannya seandainya hatinya telah berubah?
No comments:
Post a Comment