Friday 7 October 2011

Saat hati Merelakan




Sedikit sedutan dari bab 31


“Kenapa masih belum kemas baju?” satu suara menegurnya dan mematikan semua pandangannya terhadap bilik itu. Qismyna berpaling melihat Wes yang merenungnya.

“Kenapa? Awak tak suka sebab bilik ni sempit?” tanya Wes seraya memandang sekeliling.

“Ada saya kata macam tu?” Qismyna membalas bersahaja. Tanpa menunggu kata-kata Wes selanjutnya, Qismyna pantas membuka bagasi dan mula menggantung satu persatu pakaian yang dibawa mereka.

Wes menghampiri katil dan terus berbaring di atasnya. Dia memusingkan badannya ke kanan dan ke kiri. Terasa sedikit lega apabila berbuat begitu. Penerbangan yang memakan masa hampir tiga jam itu memang memenatkan. Badannya juga terasa lenguh.

Sekilas dia memandang Qismyna yang membelakangkannya sambil mengemas baju di dalam almari.

“Saya tak kata awak kata macam tu.” Wes bersuara. “Tapi cara awak pandang bilik ni macam tak suka je.”

‘Aku tak sangka pulak bilik ni tiba-tiba jadi begini cantik. Ini semua sebab kau Qis. Kalau dulu bilik ni betul-betul macam sarang tikus. Ye lah......pasal aku malas nak kemas. Tapi tak sangka pula jadi cantik macam ni.’

“Awak je yang rasa macam tu. Saya tak kisah pun,” ujar Qismyna tanpa beralih ke arah Wes. “Bilik ni cantik walau pun agak kecil. Saya betul-betul tak kisah.”

“Betul ke awak tak kisah?” Wes bangun dari berbaring dan duduk menyulurkan kakinya. Qismyna hanya mengangguk.

Wes menggelengkan kepalanya. Dia memang tak suka bercakap dengan cara begitu. Dia suka mata bertentang mata apabila berbicara dengan orang. Lantas dia menarik tangan kanan Qismyna agar berpaling menghadapnya.

Mungkin tarikannya agak kuat dan Qismyna pula dalam keadaan yang tidak bersedia menyebabkan gadis itu terus terjatuh ke atas dada Wes.

Mereka sama-sama tergaman. Qismyna mengangkat muka memandang Wes. Mata mereka bertentang. Dada Qismyna tiba-tiba sahaja bergetar dengan kencang. Dia dapat merasakan wajahnya dipenuhi dengan darah.

Wes dapat merasakan getaran di dada Qismyna kerana gadis itu berasa di atas tubuhnya. Malah dadanya sendiri juga bergetar dengan kencang.

Tiba-tiba ada suatu perasaan aneh dalam dirinya. Dia ingin mengusap pipi yang halus, memegang bibir yang merah dan membelai rambut yang lembut itu. Dia ingin sekali menyembamkan bibirnya pada pipi yang gebu dan bibir yang merah semulajadi itu.


TAJUK NOVEL: SAAT HATI MERELAKAN
TERBITAN : FAJAR PAKEER SDN BHD
HARGA:RM20.00

1 comment: