Friday 5 April 2013

Ratu Hati Si Putera Arab 16





AUDRA mematikan talian setelah berbual agak lama dengan Mak Aji di kampung. Dia termenung sambil sebelah tangannya menongkat dagu. Dahinya berkerut dan sebelah tangannya lagi memusing-musing telefon bimbitnya. Ada sesuatu yang menggangu fikirannya.

Kata Mak Aji, Pak Aji ke surau dengan Apit dan seorang pemuda yang bernama Zack. Pemuda itu tumpang bermalam di rumah. Apa yang menganggu fikirannya, pemuda itu tidak dikenali dan bagaimana Pak Aji dengan mudahnya mempelawa pemuda itu untuk bermalam di rumah mereka? Satu perkara pelik yang tak pernah dilakukan Pak Aji sebelum ini.

Zana yang sedang ralit membaca berpaling memandang Audra yang tiba-tiba membisu. Sebentar tadi, bukan main laju mulut Audra menuturkan kata saat sahabatnya itu menghubungi keluarganya di kampung. Namun, tiba-tiba sahaja Audra membisu begitu. “Kau ni kenapa Audra?” tanya Zana. Buku di tangannya sudah ditutup.

“Aku mushkillah Zana!” Wajah Zana dipandangnya. “Kau tahu tak, ada orang luar bermalam di rumah aku!”

“Orang luar?” Satu perkara yang mungkin biasa didengar namun perkara itu sudah membuatkan Zana terlopong. Kemudian, dahinya berkerut. “Maksud kau?”

“Ish! Kau ni!” Audra sudah mencebik. “Maksud apanya?! Ada orang luar yang keluarga aku tak kenal sedang bermalam di rumah aku!”

Wajah Zana tercengang kembali. “Biar betul kau?!” Ada riak kurang percaya pula terukir. Setahunya Haji Ashaari atau Pak Aji, abah Audra tidak percaya orang luar dengan mudah. Apatah lagi bagi orang yang tidak dikenali. Pernah dahulu, seorang pemuda yang mengaku saudara jauh mereka datang bertandang dan ingin bermalam di sana. Pak Aji tak benarkan sehinggalah dia benar-benar pasti siapa pemuda itu.

Akhirnya, pemuda itu bermalam di surau. Tak lama kemudian, keluarga pemuda itu datang ke kampung dan menerangkan hubungan sebenar mereka dengan keluarga Pak Aji, barulah Pak Aji menerima pemuda itu sebagai saudaranya. Rupa-rupanya, keluarga Pak Aji dengan saudara mara lain sudah berkembang terlalu jauh sehingga ada diantara mereka yang tidak dikenali. Hanya saudara-saudara yang dekat sahaja mudah diterima Pak Aji.

“Itulah yang aku mushkil sangat ni!” Audra bangun dan mundar mandir di depan Zana. “Aku risaulah kalau lelaki tu adalah orang jahat!” Audra berhenti mundar mandir dan berdiri di depan Zana. “Macam mana kalau dia ada niat tak baik dengan keluarga aku?”

Zana diam sekejap. Kerisauan Audra memang logik. Zaman sekarang bukan zaman anak kau anak aku juga, macam zaman dahulu. Zaman sekarang sangat kejam dan sudah berbalik seperti zaman jahiliah dahulu. Anak dibuang sesuka hati, maksiat berleluasa, kekejaman dan keganasan menghantui, hubungan songsang. Semuanya itu menunjukkan zaman moden kini sudah beralih ke zaman jahiliah. Kadang-kadang saudara sendiri pun tak boleh dipercayai sepenuhnya. Tak ada orang yang boleh dipercayai pada zaman ini! Wajah Zana juga sudah bertukar kerisauan.

Zana bangun dan mundar mandir seperti Audra. Audra ke kiri, dia ke kanan. Audra ke kanan, dia ke kiri.

“Aku rasa, tak de apa-apa kot.” Langkah Zana terhenti. Begitu juga dengan Audra. Mereka bertentangan. “Abah kau kan jenis orang yang sangat berhati-hati. Kalau dia boleh benarkan lelaki tu melangkah masuk ke dalam rumah, itu bererti lelaki itu tidak berniat jahat.”

Mereka meneruskan langkah mundar mandir semula. “Tapi macam mana dia boleh yakin sangat dengan lelaki tu? Jangan-jangan lelaki tu dah sihirkan abah aku tak?” Timbul syak wasangka dalam diri Audra.

“Mungkin!” Zana seakan terpengaruh dengan andaian Audra. “Mana tahu, kan! Zaman sekarang pun ramai orang amalkan ilmu hitam!” ujar Zana tetapi kemudian dia terdiam dan berfikir lagi. “Tapi untuk apa? Keluarga kau ada simpan barang berhargakah?”

Soalan Zana membuatkan langkah Audra terhenti. Ya tak ya juga. Keluarganya hanya bergantung kepada Pak Aji yang hanya seorang pekebun. Untuk apa pula lelaki itu perlu lakukan begitu? Mereka tak punya apa-apa.

“Mungkin lelaki tu betul-betul perlukan pertolongan agaknya!” Zana menangkis semua syak wasangka.

Audra masih berfikir lagi. Kata Zana ada benarnya. Tak ada apa yang istimewa dengan rumahnya. Salahlah jika lelaki itu punya niat untuk merompak atau mencuri. “Mungkin juga. Tapi aku tetap kena pastikan keluarga aku dalan keadaan yang selamat!” 

            MALAM yang sangat bahagia buat Zack. Bersolat di surau bersama Pak Aji dan Apit merupakan sesuatu yang membahagiakan. Tak pernah dia merasa bahagia begini. Usai solat Maghrib sebentar tadi, Pak Imam memberi sedikit ceramah sementara menunggu waktu Isyak. Usai waktu Isyak, kini mereka beriringan berjalan pulang ke rumah.

            “Macam mana Zack? Kamu selesa bersolat di surau?” tanya Pak Aji yang sedari tadi memerhatikan Zack yang tidak lekang dengan senyuman di wajahnya.

            Zack yang sememangnya sedang tersenyum semakin lebar senyumannya. Pak Aji di sebelah diliriknya. “Alhamdulillah, lebih tenang dan mendamaikan.”

            “Alhamdulillah,” sambut Pak Aji dengan kesyukuran.

“Abang tak pernah berjemaah di surau atau masjid sebelum ni?” tanya Apit yang tiba-tiba menyampuk perbualan mereka.

Zack menoleh kepada Apit. Terasa malulah pula dengan soalan Apit itu. “Jarang,” Zack berterus terang dengan kelemahan diri. “Kalau solat Jumaat tu, biasalah.”

“Berjemaah di surau atau di masjid, besar pahalanya berbanding bersolat sendirian.” Pak Aji menarik nafas panjang. “Kadang-kadang, kita terlalu sibuk mengejar dunia tetapi kita terlupa bekalan untuk akhirat. Sebagai lelaki kita banyak tanggungjawab dan amanah. Kita bertanggungjawab pada ibu, saudara perempuan, isteri dan anak-anak. Ini adalah amanah yang Allah berikan pada kita. Kalau kita seorang ketua, orang bawahan adalah amanah kita. Terlalu banyak amanah yang perlu kita pikul. Sebab itulah amanah adalah perkara yang paling berat tersandang di bahu kita. Kerana amanah kita, kita juga boleh terseret sama ke dalam api neraka.”

Bergetar jiwa Zack mendengar kata-kata Pak Aji. Baru kini dia sedar, sebagai lelaki dia digalas dengan amanah dan tanggungjawab yang besar apatah lagi dia juga mempunyai amanah pada setiap pekerjanya. Ya Allah, permudahkanlah segalanya! Doa Zack di dalam hati.

“Maaflah, Pak Aji tak berniat nak memandai-mandai. Apatah lagi pada kamu yang sudah tentunya seorang yang terpelajar. Cuma, kita sebagai manusia biasa adakalanya perlu diingatkan. Kerana ‘lupa’, adalah fitrah seorang manusia.”

“Tak mengapa Pak Aji.” Zack agak kaget kerana tiba-tiba Pak Aji meminta maaf kepadanya. “Betul kata Pak Aji. Manusia memang sentiasa lupa. Tak salah kalau kita saling ingat mengingatkan. Saya tak kisah kalau Pak Aji nak menasihati saya.” Zack diam seketika. Kemudian, terdengar keluhan darinya.

“Kenapa?” Pak Aji bertanya apabila mendengar keluhan Zack itu. Di saat itu mereka telah pun tiba di halaman rumah. Mereka bertiga duduk di beranda dan menyambung kembali perbualan yang tertangguh.

“Saya tak tahulah Pak Aji sama ada selama ini saya dah jalankan tanggungjawab dan amanah saya dengan sempurna atau belum.”

“Baguslah jika persoalan itu timbul dalam hati kamu. Itu bererti kamu sudah mula membilang semula tanggungjawab kamu. Zack, seorang lelaki adalah pemimpin. Apa yang Pak Aji lihat zaman sekarang ini, situasinya sangat membimbangkan. Apa makna pemimpin seandainya banyak bayi yang terbuang? Maksiat merata-rata? Di mana sifat kepimpinan dalam diri kita?” Pak Aji menggeleng-geleng kepalanya. Ada rasa hiba dari getar suaranya.

Apit di sebelahnya hanya diam. Sesungguhnya abah sudah biasa menasihatinya setiap kali pulang dari surau. Setiap malam adakalanya abah terus berpesan walaupun adakalanya pesanannya itu sudah kerap berulang.

Pak Aji menoleh pada Apit. “Apit, kau pergi tengokkan mak kau tu. Tolong apa-apa yang patut!” Arah Pak Aji.

“Baiklah abah!” Apit segera bangun dan hilang di dalam.

“Zack dah berumahtangga?” tanya Pak Aji.

Zack tersenyum sambil tertunduk. Kemudian dia memandang semula wajah Pak Aji yang sedang melihatnya. “Belum lagi Pak Aji. Masih mencari yang sesuai.”

Pak Aji mengukir senyuman dengan jawapan itu. “Berkahwin adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Besar pahalanya bagi orang yang berkahwin. Carilah wanita solehah sebagai isteri. Wanita solehah akan melahirkan zuriat-zuriat yang baik. Insyaallah,”

Muncul kelibat Mak Aji dan Apit yang membawa sedulang makanan. Apit meletakkan dulang yang berisi kepingan biskut. Mak Aji pula meletakkan sedulang teh o dan cawan kosong.

“Apit masuk dululah mak, abah, abang.” Apit menghilang setelah mendapat keizinan. Memang sudah tiba waktunya untuk Apit mengulangkaji pelajarannya.

“Jemput minum bang Aji, Zack,” pelawa Mak Aji setelah mengisi cawan yang kosong.

“Terima kasih.” Zack mencapai cawan yang dihulurkan Mak Aji dan menghirupnya sedikit.

“Orang dulu jodohnya ditetapkan keluarga. Samalah macam Mak Aji dan Pak Aji. Alhamdulillah, kekal sampai sekarang.”

Mak Aji tersenyum mendengar kata-kata Pak Aji. “Zack masih bujang?” sampuk Mak Aji.

Zack mengangguk.

“Carilah isteri yang solehah, Insyaallah bahagia rumahtangga.” Nasihat Mak Aji pula.

“Isteri terbahagi kepada empat golongan. Tiga golongan pertama adalah isteri Siddiqin, isteri Muqorrobin dan isteri Solehin. Ketiga-tiga golongan ini memang sukar di cari. Golongan isteri keempat adalah isteri Fasik. Isteri fasik adalah isteri yang selalu mengingkari suami dan juga Tuhannya. Berhati-hatilah dalam memilih isteri,” kata Pak Aji.

Hati Zack semakin terbuka mendengar nasihat Pak Aji. Hatinya semakin yakin keluarga inilah yang paling sesuai untuk didekati.

“Tapi jangan hanya mengharap untuk mendapat isteri yang solehah kalau diri sendiri masih belum siap sebagai seorang pemimpin!” Tambah Pak Aji. “Biasanya lelaki hanya pertikaikan kedudukan isteri tapi sering lupa dengan tanggungjawab diri. Dekati Al-Quran dan jadilah lelaki, suami dan pemimpim mengikut acuan Al-Quran. Barulah mencari isteri sebagai peneman hidup.”

Jiwa Zack semakin terbuka dan satu semangat baru bagai tertiup masuk ke dalam hati. Sesungguhnya kata-kata Pak Aji begitu besar maknanya. “In Sha Allah, Pak Aji. Doakan agar saya sentiasa berada di jalan yang benar.”

“Semoga kamu sentiasa di landasan kebenaran. Amiin,” Pak Aji menadah tangan dan meraup mukanya. Dia mengukirkan senyuman. Sejuk hatinya melihat pemuda di depannya ini.

AUDRA memandang jam di dinding. Angka sudah menganjak jam dua pagi. Biasanya waktu begini keluarganya sudah pun masuk tidur. Mungkin inilah kesempatannya untuk menghubungi kampung. Dia akan menghubungi kampung sehingga ada yang menjawab panggilannya. Biasanya, orang jahat akan memulakan kerjanya pada pertengahan malam. Jika benar lelaki itu berniat jahat, biar ada orang yang menyedari.

“Macam mana?” Zana menongkat dagu dan memandang Audra. Apakah Audra akan bertindak seperti apa yang dirancangkannya?

“Hmmm,” Audra mengangguk. Dengan semangat di dada dia mendail nombor telefon rumahnya di kampung. Kedengaran deringan apabila talian disambungkan. Memang dia sengaja menghubungi kampung pada waktu begini. Dia cukup arif tentang keluarganya. Jika ada tetamu lelaki di rumah, pasti tetamu itu akan tidur di kamar Apit.

Biasanya, Apit jarang mengangkat telefon pada waktu malam. Adiknya itu, memang akan ‘tidur mati’. Kalau bom meletup pun belum tentu dia akan bangun. Bilik Apit pula berhadapan dengan ruang tamu. Telefon pula, ada di ruang tamu. Kalau dia mengubungi kampung waktu begini, pasti tetamu itu yang akan menjawab panggilannya. Itu pun jika lelaki itu tidak berniat jahat. Jika sebaliknya, dia berdoa agar Pak Aji dan Mak Aji akan terjaga apabila mendengar bunyi telefon.

Di kampung, Zack yang masih belum melelapkan mata masih berfikir dan terus berfikir. Kata-kata Pak Aji tentang jodoh terus berlingkar di benaknya. Sungguh, mendengar setiap nasihat dari Pak Aji memberi ketenangan dalam diri.

Sedang dia tenggelam dalam fikirannya, konsentrasinya terganggu dengan deringan telefon. Dia melirik Apit disebelah yang sudah nyenyak tidur. Kelihatannya Apit sedikit pun tidak terganggu dengan deringan itu. Zack menunggu lebih lama. Mana tahu kalau-kalau Pak Aji dan Mak Aji bangun dan mengangkat telefon.

Akhirnya talian mati sendiri. Zack menghembus nafas kelegaan. Seketika kemudian, telefon berbunyi lagi. Zack sudah berkira-kira untuk bangun dan menjawab panggilan itu. Tetapi langkahnya masih terpaku di situ kerana masih ragu-ragu. Akhirnya, dia bangun juga dari pembaringan dan berjalan keluar ke ruang tamu. Dia mendekati telefon yang berdering. Ganggang diangkat.

“Hello, assalamualaikum,”

“Waalaikummusslam.” Audra menjawap dari sana. Dia memandang Zana lalu menganggukkan kepalanya tanda orang asing itu yang telah menjawap panggilannya. “Siapa ni?”

“Awak ni siapa dan nak cakap dengan siapa?” tanya Zack kembali.

“Ini rumah Haji Ashaari?” Audra pura-pura bertanya.

“Ya.”

“Pak Aji ada?”

“Pak Aji dah tidur. Awak nak saya panggilkan Pak Aji?” tanya Zack lagi. Manalah tahu kalau pemanggil itu ada urusan penting untuk bercakap dengan Pak Aji. Kalau tidak, tak mungkinlah si pemanggil itu menelefon pada jam sebegini.

“Tak perlu. Sebenarnya saya nak bercakap dengan awak!” Audra berterus terang apabila yakin yang menjawap panggillannya ialah lelaki asing itu. Kalau Apit yang mengangkat sudah tentu dia akan mengenali suara adiknya itu. Apit pun pasti mengenali suaranya.

“Apa?” Dahi Zack sudah berkerut. Pemanggil ini mahu bercakap dengannya? “Awak nak bercakap dengan saya?”

“Ya!”

“Awak ni siapa?” tanya Zack.

“Saya Audra Laily!”

“Audra Laily?!” Hampir sahaja Zack terlepas ganggang telefon kerana terkejut.

“Awak ni lelaki asing yang bermalam di rumah saya, kan?” tanya Audra.

“Ya!”

“Saya anak kepada Pak Aji. Kenapa awak datang ke rumah saya?” Keras sekali nada yang digunakan Audra.

Zack di sini sudah mengukirkan senyuman. Tatkala ini, Zack bisa membayangkan Audra yang dalam keadaan mencekak pinggang bersama muka ketatnya yang comel sedang memberi amaran padanya. “Maaflah, saya tak berniat nak menyusahkan keluarga awak. Saya datang kampung ni nak cari Pakcik Rahman. Tiba-tiba saja kereta saya rosak. Atas belas ehsan abah awak, dia tumpangkan saya bermalam di sini.”

“Betulkah?” Nada suara yang digunakan Audra sudah agak lembut.

“Betul! Cik Audra jangan risau. Demi Allah, saya tak berniat jahat.”

Lega hati Audra mendengar pemuda itu berkata demikian. Hanya orang yang benar sahaja sanggup bersumpah atas nama Allah. “Kalau begitu tak mengapalah. Saya harap kereta awak akan cepat dibaiki.”

“Terima kasih. In Sha Allah, esok akan ada orang yang datang melihat kereta saya.” Zack masih lagi tersenyum. “Saya gembira berkenalan dengan keluarga Cik Audra. Pak Aji dan Mak Aji baik orangnya. Hari ni saja, dah macam-macam yang saya belajar dari mereka.”

Audra tersenyum mendengar pengakuan lelaki itu. Siapa yang tak gembira jika ada orang lain yang menghargai orang tuanya. “Apa yang awak belajar?” Tiba-tiba sahaja Audra teruja mahu tahu apa yang sedang berlaku di sana.

“Banyak! Tapi yang paling manis saya rasakan bila dapat berjemaah dengan orang-orang kampung di sini. Semuanya ramah dan baik belaka.” Jujurnya, itulah yang rasakan Zack. Suasana yang sangat berbeza dengan kehidupannya.

“Awak ni, bukan berasal dari kampung?” Audra cuba meneka.

“Bukan!”

“Patutlah!” Audra tersenyum. “Begitulah adat dan cara hidup di kampung. Walaupun berlainan darah tetapi semuanya bersepakat dan bersatu.”

“Ya. Itulah yang saya rasakan.” Senang hati Zack dapat berbual dengan Audra. Tapi malam ini, bicara Audra sungguh lembut tak seperti ketika di tasik dan juga pada ketika mereka berjumpa di Rumah Warisan. “Adik awak, Apit, dia juga baik dan menghormati orang tua.”

“Macam mana awak tahu Apit tu adik saya?” Sengaja Audra bertanya. Andainya pemuda itu tahu, sudah pasti keluarganya yang bercerita.

“Abah awak yang beritahu! Katanya, dia ada dua orang anak perempuan dan yang bongsu adalah Apit. Jadi, awak tentulah kakak Apit!” Zack sudah tersenyum sumbing sedangkan dia sudah sedia tahu itu dari awal lagi.

“Kami sekeluarga memang dah dididik begitu. Menyayangi yang muda dan menghormati yang tua.”

“Saya suka dengan keluarga awak. Walaupun baru malam ni saya di sini, tapi saya rasa selesa dan rasanya macam saya dah kenal keluarga awak lama dulu.” Zack meluahkan perasaannya. Mengenali keluarga Audra membuatkan dia merindui keluarganya. Wajah Abi dan Uminya sudah jelas terbayang di ruang mata.

Audra hanya tersenyum. Tak sangka ada orang yang begitu menyanjungi keluarganya. “Baguslah kalau awak rasa macam tu. Saya harap awak selesa di sana. Maklumlah kampung! Malam-malam begini sejuk dan banyak nyamuk.”

“Taklah cik Audra. Dari senja tadi adik awak dah pasangkan ubat nyamuk.”

“Yelah, tapi biasanya nyamuk tetap ada cuma bilangannya saja yang kurang.”

Dalam berbicara tentang nyamuk, nyamuk pun datang dan berhurung di telinga Zack. Kemudian menggigit tangan dan kakinya. “Betullah cakap awak cik Audra. Tadi saya tak rasa gigitan nyamuk pun. Sekarang ni bila awak sebut tentang nyamuk, dia pun datang.” Zack sudah menampar kaki dan tangannya untuk memukul nyamuk.

Kedengaran tawa Audra dari sana. “Maknanya, nyamuk tu masih kenal saya ni tuan dia!” Sekali lagi Audra ketawa.

Zack terpana seketika apabila mendengar tawa Audra. Itulah muzik terindah yang pernah didengarnya. Sungguh! Hati Zack semakin berbunga indah. Wanita yang garang dan tegas seperti Audra punya gelak tawa yang sangat indah. Ah Zack! Mana boleh ketawa kedengaran bagai muzik. Kau sudah jatuh cinta! Zack tersenyum sendiri.

“Okeylah encik, encik,” Audra terdiam. Sedari tadi berbual dia terlupa untuk bertanya nama lelaki itu.

“Zack!”

“Zack,” Terangguk-angguk kepala Audra. Nama Zack lagi! Terus ingatan Audra teringatkan kepada orang kanan Tuan Syed Zikri. Banyak betul orag nama Zack dalam dunia ni rupanya. “Dah malam ni, awak masuklah tidur dulu. Berehat dan berlawanlah dengan nyamuk-nyamuk kampung tu.” Masih kedengaran tawa kecil dari Audra.

“Baiklah, Cik Audra. Saya akan berlawan dengan nyamuk-nyamuk ni habis-habisan! Terima kasih Cik Audra!”

“Sama-sama.”

“Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam.” Audra mematikan talian. Senyuman masih terukir diwajahnya.

“Ni yang senyum-senyum ni kenapa pulak?” Zana sudah pusing dengan sikap Audra. Sebelum menghubungi lelaki asing itu, wajah Audra bukan main ketat. Namun, setelah bercakap dengan lelaki itu, terus Audra tersengih-sengih. “Tadi bukan main nak telefon lelaki tu dan beri amaran dekat dia supaya tak buat hal dengan keluarga kau! Ini dah macam kerang busuk pun ada!’

Don’t worry. Aku rasa dia lelaki yang baik!” Audra sudah memberi jaminannya.

Terjungkit kening Zana. Mudahnya Audra percaya pada lelaki asing tu? Sama seperti Pak Aji! “Macam mana kau tahu?”

“Sebab hati aku kata macam tu!” Audra tersenyum. “Kau jangan risaulah. Esok aku call mak pula. Tanya perkembangan kat sana.”

“Hmm, suka hati kaulah.” Zana menyandarkan tubuhnya di birai katil. “Harap-harap tak de apalah.”

“In Sha Allah, semuanya okey!”

Entah mengapa mudah sekali Audra percaya dengan kata-kata pemuda itu. Yang pasti gerak hatinya mengatakan pemuda itu seorang lelaki yang baik. Dari tutur bahasanya menunjukkan begitu. Hanya Allah yang mengetahui. Semoga Allah sentiasa melindungi keluarganya dari bahaya dan kejahatan. Amiin…


---------@@-------





4 comments:

  1. amboi kak lama btl nk tgu sbgan hihi.. care btl audra dgn kuarga dia yek bagus2..ank yg soleha...mmg ssuai utk zack

    ReplyDelete
    Replies
    1. maaf ya lambat update story ni....terima kasih sebab sudi menunggu...^^

      Delete
  2. rasa rindu pada zack terubat sudah..

    ReplyDelete