Friday 24 May 2013

Senyumlah Sayang 15





AMANI mengintai di balik dinding bilik lukisan. Kelihatan sepasang kekasih sedang berpegangan tangan dan bergurau senda. Mata Amani terus terancap dan kaku kepada mereka. Kelibat Faiz bersama seorang pelajar perempuan terus menjadi perhatian Amani.

            “Macam mana?” suara Amsyar yang berada di belakangnya.

            Amani berpaling memandang Amsyar.

            “Sekarang awak dah percaya?”

            Tanpa menjawap soalan Amsyar, Amani berjalan meninggalkan tempat itu. Amsyar mengekorinya dari belakang.

            “Macam mana sekarang?” tanya Amsyar.

            Amani menghantikan langkahnya. Dia berpaling semula melihat Amsyar. Namun, sebutir bicara langsung tidak terkeluar dari bibirnya. Bagaikan Amani sedang memikirkan sesuatu. Agak lama juga Amani merenung wajah Amsyar tanpa sebarang reaksi.

            “Awak ni, sebenarnya nak apa?” Amsyar sudah mencekak pingganganya. Dia sudah bosan menunggu Amani yang terus membisu begitu. Ada sedikit keluhan kedengaran dari bibirnya. “Lebih baik awak cakap cepat apa yang awak mahukan. Kang tak pasal-pasal, kalau ada prefect lalu tempat ni, kita berdua pulak yang kena.”

            Amsyar mencebikkan bibirnya. Tak mahulah dia jika ditangkap bersama-sama Amani. Nanti satu sekolah akan mengatakan yang dia dan Amani punya hubungan istimewa. Kalau dengan pelajar perempuan lain, mungkin dia boleh terima. Tapi bukan dengan Amani. Ya, jika dilihat dengan teliti, Amani cantik orangnya. Tetapi bagai ada satu halangan untuknya jatuh cinta dengan Amani. Gadis itu dingin, kaku dan sukar untuk didekati. Dan yang paling ketara, pandangan mata Amani yang mampu membuatkan lelaki sepertinya tidak sanggup untuk mendekati gadis itu.

            “Okey, kalau tak ada apa-apa lebih baik saya pergi dari sini.” Amsyar sudah memusingkan tubuhnya untuk berlalu dari situ.

            “Berapa bayaran untuk gambar-gambar Tania dan Faiz?” Akhirnya Amani membuka mulut.

            Amsyar tertunduk memandang lantai. Jadi, kelmarin ketika Amani bertanya tentang harga sekeping foto adalah foto Faiz dan Tania? Kenapa Amani perlu lakukan begini? Kerana Faiz atau kerana Tania?

            “Awak nak beli foto-foto mereka yang ada pada saya?” Amsyar meminta kepastian.

            “Berapa keping foto mereka yang awak ada? Saya nak awak delete dari kamera awak.” Tanpa mengangguk untuk menjawap soalan Amsyar, Amani terus menghulurkan tangan untuk melihat kamera digital milik Amsyar.

            Amsyar memuncungkan bibirnya. “Saya tak akan benarkan awak menyentuh kamera saya.”

            Amani mendengus kecil. “Kalau begitu, saya nak awak delete setiap gambar di depan saya dan buktikan yang awak ada lagi foto mereka di dalam kamera awak.”

            Amsyar mengetatkan bibirnya lalu mengangguk. “Okey, baiklah.”

            “Jadi, berapa harga untuk setiap foto?” tanya Amani untuk sekian kali.

            Amsyar tertawa kecil. “Sifat kewartawanan yang ada dalam diri saya tak mampu tukarkan setiap berita dengan harga.” Ada nada sindiran dari kata-katanya. Amsyar mendekati Amani. Hanya dua langkah sahaja dari Amani, Amsyar menghentikan langkahnya. Ketinggiannya itu memaksa Amani melangut untuk berbalas pandangan dengannya.

            “Berita tentang Faiz dan Tania, akan jadi berita hangat! Berbanding hubungan Faiz dengan pelajar perempuan lain, hubungan Faiz dengan Tania lebih berbisa! Tahu kenapa? Tania bukan sahaja anak perempuan tunggal kepada Tuan Helmi tetapi juga pelajar yang mewakili sekolah dalam pertandingan Tilawah Al-Quran nanti.”

            Tiba-tiba sahaja dada Amani berombak. Dia menelan air liurnya untuk menelan bisa-bisa dari kata-kata Amsyar. Tania memang bodoh! Tak sedarkah dia yang dia adalah wakil pelajar dan wakil sekolah dalam bidang keagamaan? Kenapa dia sanggup melakukan begini?!

            “Saya boleh buang setiap foto-foto itu, asalkan awak beri saya berita hangat untuk menggantikan berita ini!” Perlahan namun sangat tegas Amsyar menuturkan kata-katanya.

            Amani memusingkan tubuhnya dan bergerak menjauhi Amsyar. Otaknya sedang ligat berfikir.

            Amsyar membiarkan sahaja Amani tenggelam sendirian di situ sambil dia membelek-belek foto-foto Faiz dan Tania yang berjaya diambilnya. Sungguh, jika foto ini  dimuatkan dalam majalah bulanan sekolah, pasti kecoh! Semakin kecoh sesuatu berita itu, semakin menunjukkan kejayaannya dalam bidang ini. Dia sudah tersenyum lebar memikirkan segala kemungkinan yang bakal terjadi.

            “Baiklah.” Setelah agak lama Amani berfikir, barulah dia bersuara. Wajah Amsyar dipandangnya.

            Amsyar sudah memberi perhatian kepada Amani sambil bibirnya tersenyum lebar. Tak sabar dia mengunggu keputusan dari Amani.

            “Gantikan tempat Tania dengan saya.”

            “Uh?” Senyuman Amsyar mati. Matanya membulat kerana terkejut.

            “Awak tak faham lagi?” Dengus Amani.

            “Awak siapa? Awak nak gantikan diri awak dengan Tania?” Amsyar memegang dagunya. “Amani, teman wanita Faiz seterusnya.” Dia cuba membayangkan tajuk artikel yang bakal di tulisnya. Kemudian dia memandang Amani. “Siapa Amani? Tak ramai yang kenal awak. Teman-teman wanita Faiz sebelum ni lebih dikenali. Awak cuma seorang anak orang gaji di rumah Tania.”

            Amani tertegun seketika. Memang hidupnya menumpang di rumah Tania. Namun, dia tidak pernah merasa hina seperti kata-kata Amsyar saat ini. Dari kata-kata Amsyar, menunjukkan yang sebelum ini gossip berkenaan Faiz dengan teman-teman wanitanya pernah dimuatkan dalam majalah sekolah. Kenapa Tania begitu bodoh sehingga sanggup menjadi mangsa Faiz?

            “Kenapa? Awak terkejut saya tahu tentang ni? Satu sekolah bercakap tentang ni.”Amsyar mengukir senyuman sinis. “Lagipun, saya-kan ahli sidang redaksi sekolah.”

            “Kalau satu sekolah tahu saya anak orang gaji di rumah Tania, maknanya mereka mengenali saya,” Amani membalas penghinaan Amsyar dengan nada yang sinis juga. “Cuba awak bayangkan, tajuk artikel yang bakal terkenal. ‘Playboy besar ada hubungan dengan anak orang gaji.’” Amani meniru reaksi yang sama yang dilakukan Amsyar. “Awak tak rasa cerita ni akan lebih meletup?”

            Amsyar mendengus kecil apabila menerima sindiran itu. “Ya, tapi tak sehebat cerita Tania dan Faiz.”
            Amani terus memandang wajah di depannya.

            “Tapi,” Amsyar membalas pandangan Amani setelah masing-masing berdiam diri seketika. “Kenapa awak nak buat semua ni? Awak sedang bersaing dengan Tania?”

            Amani membisu.

            “Atau, ini sekadar rancangan awak untuk mendapat perhatian Faiz? Sama seperti mereka yang lain?” tanya Amsyar lagi.

            Amani masih membisu.

            “Kalau awak jelaskan kepada saya tujuan sebenar awak, saya akan pertimbangkan permintaan awak.” Ada nada ugutan di situ.

            Amani mendengus kasar. Orang-orang seperti Amsyar yang terlalu taksub dengan hobi dan cita-citanya, memang pandai memanipulasi keadaan. Semakin banyak mulutnya di buka, semakin banyak cerita yang Amsyar akan tahu.

            Dengan perasaan geram dan marah, Amani merenung Amsyar dengan tajam. Lantas, dia menarik kolar baju Amsyar yang berdiri di depannya. “Awak tentu selalu melihat seorang lelaki yang akan menghantar saya dan Tania ke sekolah? Awak tahu dia siapa?” Kuat dan erat sekali baju Amyar digenggam.

            Tergamam Amsyar dengan tindakan Amani. Panahan mata Amani bagaikan sedang membakar dirinya. Entah kenapa, panahan mata itu membuatkan jiwa lelakinya yang kental itu tergamam membeku. Amani….. dia memang sangat menakutkan apabila marah!

            “Saya tahu, saya tahu….. Saya kenal.” Tegagap-gapap Amsyar berkata begitu.

            “Kalau awak kenal, tentu awak juga tahu jika awak memburukkan Tania, salah satu katil di hospital akan jadi milik awak. Atau,” Semakin kuat Amani mencengkam kolar baju putih Amsyar. “Kemungkinan besar, ada van jenazah yang akan singgah di rumah awak nanti.” Suara Amani berbisik begitu perlahan di cuping telingan Amsyar. Namun dengannya nadanya begitu keras.

            “Baiklah, baiklah. Saya ikut kata awak,” Amsyar seakan merayu.

            Dengan kasar, Amani melepaskan kolar baju Amsyar. Dasar lelaki pengecut. Hanya dengan seorang perempuan sepertinya, Amsyar menjadi takut begitu? Atau, mungkin kata-katanya berkenaan lelaki yang selalu menghantar mereka itu yang membuatkan Amsyar takut. Izz memang layak untuk digeruni oleh mereka yang cuba menghancurkan keluarga Tuan Helmi.

            Sebaik sahaja Amani melepaskan kolar bajunya, Amsyar membetulkan semula bajunya yang sudah tidak kemas. Dia cuba berdehem beberapakali untuk mengawal rasa malunya. Huh! Hilang macho!
            “Okey, sekarang, apa yang awak mahu saya lakukan?”

            “Buang semua foto-foto Tania dan Faiz!”

            Amsyar menekan butang ‘on’ pada kamera digitalnya. Lalu, dia menekan button ‘delete’ untuk setiap foto Tania dan Faiz sambil diperhatikan oleh Amani.

            “Okey, dah!” ujarnya apabila semua foto itu telah dibuang.

            Amani menghulurkan tangan untuk meminta kamera Amsyar. Amsyar mendengus. Dengan rasa terpaksa, dia menyerahkan juga kamera yang sentiasa menjadi rahsia peribadinya kepada seorang gadis pelik di depannya ini.

            Dengan jelingan yang tajam, Amani melihat keseluruhan foto yang ada. Semuanya berjumlah 432 keping. Dan kesemuanya dilihat Amani tanpa meninggalkan satu fato sekali pun. Setelah berpuas hati, dia menyerahkan semula kamera Amsyar kepada tuannya.

            “Ikut saya sekarang, dan ambil gambar saya dan Faiz dengan jelas.”

            “Awak yakin dengan apa yang awak lakukan?” Walaupun ada perasaan tak suka pada Amani kerana sikapnya, namun jauh dalam sudut hatinya, dia tidak bersetuju dengan tindakan Amani. Amani hanya akan memburukkan imejnya sebagai seorang pelajar baru. Apatah lagi, hubungannya dengan Tania juga akan berantakan sedangkan selama ini dia melihat Tania seringkali cuba untuk mendekati Amani.

            Bagaimana pula penerimaan Tuan Helmi apabila mengetahui sikap Amani? Tentu Amani akan dihukum dengan teruk. Tak sedarkan gadis itu yang dia hanya anak seorang pembantu rumah? Kenapa mencari masalah dengan anak tuannya?

            “Ini sebagai balasan terhadap kesudian awak untuk kehilangan gossip yang hebat,” balas Amani.

            Amsyar menunduk seketika sambil berfikir. “Hmmm, beginilah. Saya setuju jika awak membayar harga setiap kepingan gambar yang saya dah buang tu. Awak tak perlu buat begini.”

            Amani memandang tajam jauh ke dalam anak mata Amsyar. Lelaki itu kelihatan tulus. Namun, dia punya perancangan yang lain sejak Amsyar meminta dia menggantikan gossip hangat itu. “Tak! Teruskan dengan rancangan saya.”
            Amani terus memusingkan tubuhnya dan berjalan semula ke tempat di mana Faiz berada.

            Amsyar mengetap bibir. Amani tidak kelihatan main-main dengan kata-katanya. “Awak ambil berat tentang Tania, kan?!” tanya Amsyar separuh menjerit kepada Amani yang semakin jauh meninggalkannya.

            Sambil berjalan Amani berpaling memandang Amsyar. “Awak tak perlu tahu tentang itu!” Dia menoleh semula ke depan dan berjalan lebih laju dan lebih yakin.

            Amsyar menghembuskan nafas kecewa sambil menggelengkan kepala. Dia mengikuti langkah Amani. Dan akhirnya, dia berhenti di balik tembok untuk melindungi dirinya dari dilihat oleh Faiz.

            Dai balik dinding itu, dia mula mengintai bersama kameranya. Amani kini sedang berhadapan dengan Faiz dan teman wanitanya, Euhanis.

            “Kau nak apa?” tanya Faiz yang terkejut dengan kehadiran Amani. Dia sudah menelan air liurnya. Dia langsung tak menyangka Amani akan muncul di sini. Seraut wajah Tania muncul. Bagaimana jika Amani memberitahu Tania tentang semua ini?

            Amani beralih memandang Euhanis. “Sebelum aku laporkan kepada pengawas atau cikgu Haqq, lebih baik kau pergi dari sini.” Matanya menikam wajah Euhanis.

            Tanpa sebarang bicara Euhanis terus berlalu dari situ. Sempat lagi dia melirik Faiz yang ditinggalkan.

            “Tunggu Faiz!” panggil Amani apabila melihat Faiz yang juga sudah membuka langkah untuk pergi.

            Langkah Faiz terhenti. Dia berpaling memandang Amani. Dia menyeluk kedua-dua tangan ke dalam kocek seluar. Entah apa yang bakal dikatakan Amani kepadanya.

            Amani terus memandang Faiz. Apa yang perlu dilakukan? Bagaimana caranya untuk mendekati Faiz? Perlukah dia melenggokkan tubuhnya seperti Tania? Tidak! Dia tidak pandai meliukkan tubuhnya begitu. Dia terus memandang Faiz dengan kerutan di dahi.

            Akhirnya, tanpa perasaan segan atau takut, Amani mendekati Faiz dan menarik kedua-dua tangan Faiz yang tersembunyi di balik kocek seluar hijaunya.

            Tergamam Faiz di situ. Namun, dia tidak membantah.

            Amsyar menepuk dahinya.  Jelas sekali Amani tidak pandai memikat hati lelaki. Tanpa perasaan dan reaksi yang kaku, gadis itu mendekati Faiz dan memegang tangan lelaki itu. Kalau dia jadi Faiz, dia juga akan terkedu di situ. Namun, tanpa berlengah, Amsyar mula memetik lensa kameranya.

            “Apa yang awak buat ni Amani?” Dengan menelan air liur yang tak henti-henti, Faiz bertanya. Namun, dia langsung tidak membantah tindakan Amani yang sedang memegang tangannya. Apakah Amani punya perasaan terhadapnya?

            “Awak tak layak untuk Tania,” ujar Amani.

            Debaran di hati Faiz kian menurun. Dia cuba mengawal perasaan yang mula bercampur baur di dalam diri. “Jadi?”

            “Awak kena tinggalkan Tania,” sambung Amani.

            Faiz ketawa kecil. “Saya boleh tinggalkan Tania. Tapi, Tania tak mahu tinggalkan saya.”

            Amani melemparkan senyuman sinis. “Saya akan melakukannya.”

            “Uh?”

            “Saya akan buat Tania tinggalkan awak,” balas Amani.

            Tanpa di duga, Amani melonjakkan kakinya dan berpura-pura untuk mencium pipi Faiz. Bukan sahaja Faiz, malah Amsyar juga terkejut dengan tindakan Amani. Namun, tangannya pantas mengambil setiap foto mereka. Faiz pula, terus kaku di situ.

            Setelah agak lama Amani berpura-pura mencium pipi Faiz, dia kembali kepada kedudukan asal dan melepaskan tangan Faiz. Kedengaran tawa halus dari bibir Amani. Perlahan dan begitu sinis.

            “Awak ingat saya nak cium awak?”

            Merah wajah Faiz menahan rasa malu dan marah yang bercampur.

            “Apa yang awak cuba lakukan sebenarnya?!” Kali ini suara Faiz sudah meninggi.

            “Jangan risau, awak akan tahu.” Bibir Amani tidak lekang dengan senyuman penuh sindiran. Setelah berkata begitu, Amani terus berlalu meninggalkan Faiz.

            Amsyar juga terus beredar dari situ. Dia terus berlari-lari anak untuk mendapatkan Amani yang telah membelok ke jalan yang berlainan. Setelah dia melihat susuk tubuh Amani, langkahnya semakin dilajukan.

            “Woah…..kau memang hebat!” ujarnya setelah berjaya seiringan dengan Amani.

            “Macam mana?” Sedikit pun Amani tidak menoleh memandangnya. Mereka tetap meneruskan langkah.

            “Kau betul-betul cium pipi dia?” tanya Amsyar.

            “Kau ingat?” tanya Amani kembali.

            “Entah,” Amsyar menjongketkan bahunya. “Tapi, nampak macam real!”

            “Baguslah!” Hanya itu sahaja jawapan yang keluar dari bibir Amani.

            “Amani,” Amsyar menghentikan langkahnya. Dia memandang Amani yang juga telah menghantikan langkahnya dan kemudian bertentangan dengannya. “Awak yakin?”

            Amani ketawa sinis. Kenapa Amsyar perlu risaukan perkara ini? Dia terus berpaling ke belakang dan meneruskan langkahnya tanpa menjawap pertanyaan itu.

            Amsyar hanya mampu mengeluh di situ. Apakah maksud keluhan itu pun dia tidak tahu. Namun, hatinya merasakan perbuatan Amani ini akan memburukkan keadaan dirinya sendiri.


----------------------@@--------------

Sesuatu yang sangat sukar untuk membayangkan dan menjiwai watak Amani yang tak punya perasaan itu ketika mahu menggoda Faiz..... (^____^)
           


2 comments:

  1. amani dh gila ap ke..silap2 kne buag skolah nti... ish

    ReplyDelete