Juwita kalbu..
Gadis yang ku rindu..
Kau remaja mencuri hatiku..
Merayu jiwaku..
ADIRA terduduk terus dari pembaringannya. Matanya terbuka luas seketika, kemudian barulah dia menghembuskan nafas yang tersekat. Lagu itu kedengaran lagi dalam mimpinya bersama seraut wajah yang tak mungkin dilupakan.
“Mimpi rupanya….” Sejak umi beritahu kepulangan Aidil minggu lalu, setiap malam dia akan termimpikan Aidil sepuluh tahun lalu yang sering menyanyikan lagu ini untuknya.
Terbayang wajah skema Aidil yang rambut hitam berkilat kerana penuh disapu minyak, kemudian rambutnya dibelah tengah, disikat rapat dan bercermin mata tebal. Bagaimana agaknya Aidil sekarang? Apakah masih sama seperti dulu?
Adira menyelak selimut lalu kakinya dijulur ke lantai. Dia bangun lalu membuka laci tepi. Sekeping foto Aidil diambil. Dia tersenyum.
Walaupun penampilan Aidil yang skema dan sering menjadi bahan usikan dan gurauan teman-teman, tetapi wajah itulah yang dirinduinya. Mana bisa dia melupakan sahabat baiknya begitu sahaja biarpun sudah sepuluh tahun Aidil dan keluarganya berhijrah ke Indonesia.
Adira bangun membersihkan diri. Sejurus menunaikan solat Subuh dia menuruni anak tangga ke dapur. Kelihatan umi sedang sibuk menyiapkan hidangan pagi.
“Assalamualaikum, umi…” sapa Adira lantas mencapai teko untuk membantu umi membancuh kopi.
“Waalaikumusslam….” Jawab umi. “Awal Dira bangun hari ni.”
“Hmmm…..tak boleh tidurlah.”
Wajah Adira yang kelihatan letih membuktikan yang dia memang kurang tidur. “Kenapa?” tanya umi. Memang dia perasan sejak minggu lalu Adira begitu.
“Entahlah umi. Asal pejam mata je asyik termimpikan Aidil. Siap menyanyi lagu mawarku untuk Dira lagi,” Adira berwajah masam.
“Dira tak suka? Bukan Aidil tu kawan baik Dira?” tertanya umi dengan sikap Adira. “Seingat umi, Dira suka sangat bila Aidil nyanyikan lagi tu untuk Dira.”
“Memanglah Dira suka, umi! Suka sangat! Tapi….” Adira mengeluh. Umi sudah menggeleng mendengar perkataan tapi keluar dari bibir Adira. “…..Shah tak suka dengan Aidil! Setiap malam bila Shah telefon, dia selalu pesan minta Dira mimpikan dia. Tapi, setiap malam juga asyik Aidil yang muncul. Esoknya bila Shah tanya, terpaksa Dira berbohong!” semakin masam wajah itu. “Dira dah malas nak berbohong dengan dia!”
“Yang Shah tu pun cemburu sangat buat apa!” Umi tergeleng lagi. “Aidil tukan kawan baik Dira masa kecil dulu!”
“Dira dah beritahu Shah! Siap tunjuk gambar Aidil lagi! Tapi dia tak sukalah umi!” Semakin panjang muncung Adira. Memang benar, gambar skema Aidil sepuluh tahun lalu, ada ditunjukkan pada shah untuk membuang cemburunya pada Aidil. Hampir sahaja gambar itu dikoyak Shah. “Apa yang dia cemburu sangat dengan Aidil pun tak tahu. Ini belum jumpa. Kalau esok Aidil balik Malaysia jumpa dengan Dira, tak haru ke umi?”
“Tambah-tambah kalau Aidil bukan macam dulu!” ujar umi.
Adira memandang umi. “Maksud umi?”
“Maksud umi, gambar Aidil yang dira tunjukkan tu, sepuluh tahun dulu. Macam mana kalau Aidil tak skema dulu? Entah-entah dia lagi handsome dari Shah tu!”
Seteko kopi yang sudah siap dibancuh dihidangkan di atas meja. Lalu cawan-cawan disusun.
“Dira tu yang tak pandai pilih!” ujar umi sambil membawa semangkuk bihun goreng. “Punyalah ramai lelaki dalam dunia, tapi Shah juga yang Dira mahukan. Memanglah Shah tu kacak, tapi penampilan luar tak menjamin kebahagiaan!”
Adira mengerling umi. “Tapi umi, Dira pilih Shah bukan sebab dia kacak! Cuma….sebab…..” Adira diam memikirkan perkataan yang terbaik untuk menjelaskan perasaannya. “…entahlah! Tapi apa yang Dira tahu, Dira cintakan Shah!” Dia memang tak tahu kerana apa dia memilih Shah. Dia Cuma rasakan cinta! Itu saja!
“Suka hati Diralah. Yang nak kahwin dengan Shah nanti bukannya umi!” ujar umi. Sungguh, umi memang nampaknya tak suka dengan Shah sejak dari awal dia kenalkan Shah dengan keluarganya. Tapi dalam masa yang sama, umi dan abah juga tak pernah melarang dia berkawan dengan Shah.
“Umi…..sukakan Shah?” tanya Adira.
Umi memandang Adira seketika. “Tak suka tu taklah…..tapi umi lebih suka kalau Dira tak pilih dia!” Akhirnya umi mengaku juga perasaannya tentang Shah. Tepat sekali jangkaan Adira.
Adira mengetap bibir. Dia sayangkan Shah tapi dia juga sayangkan umi. Hmm….Entahlah…
“Bila Aidil balik, umi?” Adira menukar topik perbualan.
“Katanya, kalau tak de aral melintang lusa diorang sampailah,” ujar umi. “Nanti kita jemput diorang kat airport.”
Adira mengangguk. “Diorang satu keluarga balik sini?” tanya Audra. Umi hanya mengangguk.
“Dira tunggu kejap! Umi nak naik panggil abah. Abah kau tu kalau selagi tak naik panggil dia, selagi tulah mengadap buku dua puluh empat jam!”
Adira sudah ketawa kecil dengan rungutan umi. Bahagia abah dan umi. Selama usianya dua puluh dua tahun, belum pernah lagi dia melihat umi dan abah bertengkar. Kalau ada salah faham sikit-sikit tu adatlah. Tapi yang pastinya, dia kagum dengan layanan umi pada abah. Semua keperluan abah di sediakan. Dan abah pula akan cuba menunaikan setiap hasrat umi selagi termampu. Tapi umi selalu berpesan, bila sudah berkahwin nanti jangan dibebankan suami dengan sesuatu yang diluar kemampuannya. Umi tak pernah minta yang bukan-bukan pada abah. Tapi jika abah tahu apa-apa hasrat umi, dia tetap cuba laksanakan. Bahagianya jika Shah seperti abah!
“DIRA….!!” Mya menyiku Adira yang sedari tadi diam membisu. “Kau ni kenapa? Dari tadi diam je?”
Adira membuang pandangannya pada Mya seketika. Jus oren didepannya dikacau-kacau dengan straw. “Entahlah Mya. Aku ni nak cakap pun salah, tak cakap pun salah!”
“Kenapa?” Dahi Mya berkerut.
“Shah!!” Satu perkataan yang keluar dari bibir Adira sudah cukup untuk membuatkan Mya mengerti.
“Kau bergaduh lagi dengan Shah?” tanya Mya sambil menggelangkan kepalanya.
“Entahlah….aku makin tak faham dengan Shah! Cemburu dia tak bertempat!”
“Hmm… apa pulak yang dia buat kali ni?” tanya Mya yang sudah sedia tahu dengan sikap Shah.
“Dia ajak aku keluar lusa ni. Tapi aku tak boleh sebab aku dah janji dengan umi nak ke airport jemput Aidil dengan keluarga dia!” Satu keluhan dilepaskan.
“Shah ni keterlaluan sangatlah Dira. Ini kau belum lagi jadi isteri dia macam-macam dah dia control. Itu tak boleh, ini tak boleh. Tak tahulah aku kalau dia jadi suami kau. Agak-agaknya rumah pun dia tak bagi kau keluar!” Mya mengutarakan rasa tidak puas hatinya. “Kalau kau betul dah jadi isteri dia, tak pelah juga dia nak control kau! Ini tidak, kau nak keluar dengan famili sendiri pun aku tengok kau kena kasi tahu dia! Apa ni?!”
Adira membisu. Ada benarnya juga kata-kata Mya. Dia juga merasakan yang sama. Sikap Shah makin menjadi-jadi bila dia menceritakan tentang Aidil. Apalah yang dicemburukan sangat dengan Aidil. Sedangkan dia sudah menunjukkan gambar Aidil pada Shah, tapi Shah tetap juga dengan sikapnya.
“Dira…..” Mya menyiku Adira lagi. “Tu….” Adira berpaling memandang di mana muncung panjang Mya tertala.
Kelihatan Shah bersama temannya baru tiba di situ. Mereka sedang menghampirinya. Sampai sahaja di depan Adira dan Mya, terus mereka berdua melabuhkan punggung tanpa pamitan.
Mya membungkam di situ. Dia memang tak sukakan sikap Shah dan temannya yang sombong. Macam manalah Adira boleh berkawan dengan Shah. Memang Shah segak orangnya, mungkin dek kerana ketampanannya yang membutakan Adira!
“Mya, aku nak bercakap dengan Dira sekejap!” ujar Shah. Mya terus mengangkat punggung dan berlalu pergi. Faham benar dia dengan omongan Shah.
“Kalau nak bercakap berdua saja, kenapa Zain ada kat sini?” Adira mengerling Zain yang sudah tersengeh apabila ditegur begitu. Shah memberi isyarat pada Zain supaya meninggalkan mereka berdua. Zain bangun dan pergi.
“Sorry…..” rayu Shah.
“Sorry? Untuk apa?” Adira pura-pura tak mengerti. Sedangkan hatinya sudah membengkam mengingatkan kemarahan Shah padanya apabila dia menolak ajakan Shah untuk keluar lusa nanti.
“Alah sayang….you jangan buat I macam ni! I tahulah I salah!” ujar Shah.
“Shah…I bukan marah dengan you. Tapi I kecewa dengan sikap you. Banyak kali dah you janji takkan cembura membuta tuli. Tapi, balik-balik kita asyik bertengkar sebab cemburu you tu!”
“I cemburu sebab I sayangkan you. Kalau I tak sayang, buat apa I cemburu!” Shah menegakkan sikapnya.
Adira menyepi. Sudah sekian kali Shah memberi alasan yang sama. Cemburu tanda sayang. Dan dia pula sudah sering kali menegaskan, ya, cemburu tanda sayang tapi perlu bertempat! Tetapi untuk sekian kalinya juga perkara yang sama berlaku. Rasanya untuk kali ini dia tak perlu lagi untuk mengulang kata-kata yang sama pada Shah.
“Okeylah sayang……I janji lepas ni I takkan cemburu tak bertempat dan I takkan marah-marah pada you!” Inilah juga janji klise Shah yang entah kali ke berapa diulangnya.
“Honestly I cakap, I tak suka sikap you yang pandai berjanji tapi tak pandai nak tunaikan janji you! Kalau you tak boleh nak tunaikan setiap kata-kata you, lebih baik you jangan berjanji!” Adira benar-benar terasa bosan dengan sikap Shah.
“Hey sayang….kenapa ni tiba-tiba nak marah?” Shah cuba memujuk Adira.
“You tau tak Shah. Bila setiap kali you berjanji dan you tak pernah tunaikannya, semakin itulah I mula rasa setiap janji-janji you tak bermakna!” tegas Adira. “Please, jangan berjanji lagi kalau you tak boleh nak tunaikannya!”
“Dira….” Shah sudah gusar melihat kemarahan Adira.
“Ini baru janji yang kecil-kecil you dah tak mampu nak tunaikan. Macam manalah agaknya you nak beri kebahagiaan pada I nanti?”
Adira terus berlalu pergi.
“Dira!!!” Shah sudah berteriak memanggilnya. Sengaja Adira memekakkan telinganya. Malas mahu menoleh.
XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX
ADIRA memerhati umi yang melambai-lambai pada sekumpulan orang ramai yang berduyun tiba.
“Itu dia?!” tanya abah. Umi mengangguk. Lantas abah mengekori langkah umi menghampiri orang yang dinanti. Adira juga berbuat begitu.
“Safiyah….” Umi memeluk sahabat lamanya. Abah pula bersalaman dengan lelaki di sebelah makcik Safiyah, pakcik Badar, suaminya. Kemudian, Adira bersalam dengan keduanya.
“Mana Aidil?” tanya abah setelah berbasi-basi sekejap.
Kau mawarku….
Juwita kalbu…
Gadis yang ku rindu….
Kau remaja mencuri hatiku…
Merayu jiwaku….
Alunan lagu itu pantas membuatkan perhatian Adira dan yang lainnya beralih. Kelihatan seorang pemuda yang rambut hitam berkilat terbelah ditengah bersama cermin mata tebalnya, sedang memetik gitar mengalunkan lagu itu.
Wajah Adira sudah bertukar ceria. Adira menghampiri lelaki itu. “Aidil?”
Pemuda itu menoleh pada Adira dengan senyuman. “Mawar?”
Adira sudah tersenyum lebar. Memang lelaki itu Aidil sebab hanya dia sahaja satu-satunya manusia di bumi ini yang memanggilnya Mawar. Wajah mereka berdua jelas menunjukkan kegembiraan dengan pertemuan ini.
“Kau tak berubah!” Adira memerhatikan Aidil. “Masih macam dulu!”
“Ya….tapi kamu sudah banyak berubah! Semakin cantik!” puji Aidil. Adira sudah tersenyum. Aidil memang sedari kecil suka memujinya begitu.
“Aidil…!!” abah sudah menghampiri Aidil dan memeluknya. “Wah….Aidil dah besar. Makin tampan!!” ujar abah setelah meleraikan pelukannya. Adira ketawa kecil. Tampan? Abah ni kalau nak memuji pun biarlah bertempat! Begitulah desis hati Adira.
“Om……tanter…..” AIdil sudah bersalaman dengan umi dan abah.
“Tak sangka makcik bertemu semula dengan Aidil! Ingatkan dah tak jumpa lagi dah….” Ada airmata yang menitis di pipi umi. Sememangnya umi sayangkan Aidil seperti anaknya sendiri. Ketika berpisah dulu, bukan sahaja Adira tetapi umi dan abah turut berduka.
Mereka kemudiannya terus berangkat pulang dan membantu keluarga Aidil mengemaskan rumah yang telah lama ditinggalkan. Rumah Aidil hanya dipisahkan dengan tiga buah rumah dari rumah Adira. Usai mengemas dan mengisi perut, Aidil meminta keizinan keluarga untuk keluar bersama Adira.
“Kejap ye Aidil,” ujar Adira ketika mereka berada di depan pintu pagar. Adira menghubungi Shah untuk memberitahunya tentang janjinya dengan Aidil. Shah pernah berpesan padanya, jika dia mahu ke mana-mana dia perlu memberitahu Shah dahulu.
“Shah……” ujar Adira sebaik sahaja Shah menjawab panggilannya. “I nak keluar dengan Aidil kejap!”
Adira berbisik untuk mengelakkan dari Aidil mendengar perbualannya.
“You nak keluar dengan Aidil? Tak boleh! I tak suka you keluar dengan dia. Dari you keluar dengan dia baik you keluar dengan I !”
“Janganlah macam ni Shah! Aidil baru je balik sini! Dia sahabat I!” Adira memang sudah menjangka reaksi Shah.
“Dira…!!!” Belum sempat Shah berkata apa-apa pantas sahaja Adira mematikan talian, kemudian dia mematikan pula telefonnya. Biarlah kalau Shah nak marah sekali pun! Demi sahabat lamanya, Aidil, dia sanggup melakukannya.
“Jom Aidil!” ajak Adira.
“Kita mahu ke mana?” tanya Aidil.
“Jom kita pergi taman nak?!” tanya Adira. Pantas Aidil mengangguk. Rindu juga dia dengan taman yang sering menjadi medan mainannya bersama Adira sewaktu zaman kanak-kanak dahulu.
“Dah lain ya tamannya? Semakin cantik dan banyak fasaliti!” ujar Aidil teruja. Sepuluh tahun dulu, taman ini hanya ada sebuah papan luncur, sebuah buaian dan sebuah jongkang-jongket. Rumputnya juga jarang sekali dipotong. Tetapi berlainan sekali keadaannya sekarang. Banyak permainan dan sebahagian lantarnya di tarkan dengan bata merah. Nampak lebih cantik!
“Ya…!! Disebabkan banyak kemudahanlah, semakin banyak orang yang ditangkap berkhalwat malam-malam!” ujar Adira.
Aidil hanya tersenyum. Sepuluh tahun dia dan keluarganya berhijrah ke Acheh. Perbezaan suasananya sungguh ketara. “Kamu tahu Mawar, kalau di Acheh, kita berdua begini saja pun sudah dianggap berkhalwat dan pasti ditangkap!”
Tercengang Adira. “Biar betul?! Takkan sembang-sembang macam ni pun dah kena tangkap? Siang-siang pulak tu!” Tak masuk akal! Begitulah telahan Adira.
“Di Acheh undang-undang agamanya sangat ketat! Tapi, jika diikutkan memang berdosakan lelaki dan perempuan yang bukan muhrim berdua-duaan begini,” ujar Aidil.
Adira diam seketika. Sedari pertama kali bersua semula dengan Aidil dia sudah mengenali lelaki itu menerusi penampilannya sahaja. Tetapi berbual dengan Aidil dari tadi hingga sekarang, dia dapat merasakan Aidil yang dahulu dan Aidil yang sekarang sangat jauh berbeza. Perbezaannya bukan sahaja dari tutur kata yang banyak menggunakan dialek Indonesia, tetapi gayanya berbicara juga.
“Jadi keadaan kita sekarang ni tak betul?” Wajah Adira sudah merona merah. Perasaan marah dan malu sama banyaknya.
“Sekarang kita di Malaysia. Undang-undangnya juga berubah.” Aidil tersenyum melihat wajah yang sudah berubah itu. “Tapi tak mengapa. Lihat di sana, ramai anak-anak sedang bermain! Ada juga ibu bapa yang temankan anak-anaknya!” Aidil menunjuk ke satu lagi arah. Dia agak gusar mana tahu Adira terasa dengan kenyataannya.
“Kenapa tiba-tiba balik Malaysia?” tanya Adira mengubah persoalan.
“Sudah lama bermastautin di negara orang. Rasa mahu pulang ke rumah sendiri. Dulu papa ke sana untuk menimba ilmu dan sekalian menjalankan bisnes kecil-kecillan. Sekarang bisnesnya sudah dijual sama penduduk di sana. Insyaallah, jika diizinkan Tuhan kita mahu jalankan bisnes baru di sini.”
“Baguslah kalau macam tu,” ujar Adira. Mereka membisu. Walaupun mereka adalah sahabat lama, tetapi Adira merasakan Aidil di depannya kini bukan Aidil yang dulu. Rasa janggal berbual dengan Aidil.
“Kamu marah kalau aku tanyakan sesuatu sama kamu?” tanya Aidil ragu-ragu.
“Tanya apa?” Adira memandang Aidil dengan pertanyaan di wajahnya.
“Yang sebentar tadi kamu hubungi itu, pacar kamu?” Aidil memandang riak wajah Adira yang berubah. Walaupun Adira berbual dengan perlahan, tetapi setiap butir kata-katanya jelas dipendengaran Aidil. “Maaf kalau kamu tidak suka sama pertanyaan aku. Iya….aku sekadar bertanya. Kalau kamu tidak mahu menjawap, tak apa-apa!”
“Ya, memang teman lelaki aku!” perlahan Adira berbicara. Berat nada yang dikeluarkan.
“Kelihatannya, dia seperti tidak suka sama aku?” Aidil menyerkap jarang.
“Dia kenal kau ke yang kau nak anggap macam tu?” Adira sekadar mengelak dari menjawab pertanyaan Aidil.
“Aku memang tidak mengenalinya tapi mana tahu kamu sudah kenalkan dia tentang aku lebih dahulu.” Aidil tersenyum.
Adira ketawa kecil. “Kenapa pulak aku nak kenalkan dia dengan kau terlebih dulu? Tak de makna!” Bohong Adira sedangkan memang dia telah mengenalkan Aidil pada Shah dengan gambar Aidil sepuluh tahun dahulu.
Aidil hanya tersenyum. “Iya, aku memang tidak bermakna untuk kamu, kan? Karna itu kamu tak pernah mengubungi aku walaupun umi kamu sering berhubungan dengan mama aku!”
Adira pantas beralih memandang Aidil. “Kalau aku tak hubungi kau, kenapa kau tak hubungi aku?” Adira mengerling. Dia tak suka bila Aidil cuba meletakkan kesalahan padanya.
“Kalau begitu, kita seri! Sama-sama salah!” Akhirnya Aidil membuat keputusan. Wajah Adira dipandangnya dengan senyum. “Mungkin juga kamu perlu kenalkan aku sama pacar kamu.” Walaupun Adira menafikan, tetapi dia tahu Adira dan kekasihnya bertengkar sebentar tadi kerananya. Setiap butir perkataan yang keluar dari Adira jelas dipendengarannya walaupun perlahan.
Adira menoleh memandang Aidil. “Kenapa?”
“Supaya dia tidak akan salah faham dengan kesetiaan kamu!” jawab Aidil. “Jika dia tidak mengenali aku, mungkin dia akan fikir yang kamu selingkuh dengannya.”
“Kau ada kekasih?” tanya Adira kembali.
Aidil ketawa kecil. “Aku tinggal di Acheh, di mana pegangan agamanya menjadi amalan sepanjang masa! Mana bisa aku punya pacar! Berpacaran itukan dosa!”
“Dosa?” Dahi Adira berkerut. “Jadi maksud kau, aku sedang melakukan dosa?”
“Aku tidak tahu itu!” Aidil memandang Adira. “Aku hanya manusia biasa. Menurut hemat kamu sendiri apa?” Persoalan dikembalikan kepada Adira.
“Entahlah….” Jawab Adira perlahan.
“Kamu sih….” Aidil memandang Adira. “….kelihatannya kamu punya masalah?”
“Aku?” Adira keget. “Tak!”
Aidil menjungkltkan keningnya. Walaupun sepuluh tahun berpisah, namun sikap dan pembawakan Adira masih sama. Aidil melihat Adira menguis-nguis tanah dengan hujung jari kakinya. Adira yang dikenalinya sepuluh tahun dahulu juga akan melakukan hal yang sama sekiranya fikirannya terganggu.
“Adira!!”
Satu suara keras berteriak memanggil namanya sehingga membuatkan Adira dan Aidil bangun dari kerusi dan menoleh ke belakang. Kelihatan Shah dengan wajah bengisnya sedang menghampiri.
Shah memandang Aidil tajam. Aidil cuba mengukir senyuman tetapi tiada balasan dari Shah. Shah menggenggam pergelangan tangan Adira dan membawanya jauh dari Aidil.
“You ni degillah! Kan I dah cakap I tak suka you keluar dengan mana-mana lelaki apatah lagi lelaki macam dia!” marah Shah.
“Aidil kawan baik I!” Sudah berapa kali Adira menegaskan hal itu.
“Kawan baik ke, sepupu ke, yang penting I tak suka! You kena dengar cakap I!” Shah melirik Aidil yang sedang memerhatikan mereka. Shah meninggalkan Adira lalu menghampiri Aidil.
Adira sudah tida senang melihat Shah yang mendekati Aidil. Apa sahaja boleh berlaku jika Shah marah. Dia tak mahu terjadi pergaduhan antara Shah dan Aidil. Adira mengekori langkah Shah.
“Eh budak! Aku tak nak tengok kau ganggu Dira lagi! Dia girlfriend aku! Banyak lagi awek kat luar kalau kau nak! Tapi Dira, aku yang punya!” Jari telunjukkan menunding tepat ke wajah Aidil.
Aidil hanya memerhati dengan tenang. “Aku dengan Mawar hanya temanan. Tidak lebih dari itu.” Aidil melirik Adira sekilas.
“Mawar?” Berkerut dahi Shah. Seingatnya belum ada sesiapa yang panggil Adira dengan nama Mawar. Ini pertama kali didengarnya. Kenapa lelaki itu memanggil Adira, Mawar sedangkan keluarga Adira sendiri tidak memanggilnya begitu? Timbul perasaan sangsi pada mereka berdua. “Kalau sekadar kawan, tak perlu keluar berdua macam ni! Kawan-kawan lelaki dia yang lain tak pernah pun keluar berdua dengan dia?”
“Sudahlah Shah! You ni!” Adira benar-benar terasa malu pada Aidil.
“I sayangkan you. I tak suka orang lain dekat dengan you! You kenalah pandai jaga harga diri you!” Kasar nada yang digunakan Shah.
Wajah Adira semakin sayu. Apa selama ini dia tidak pandai menjaga harga diri dia? Apa selama ini itu yang dirasakan Shah pada dirinya? Di mana letaknya harga dirinya di mata Shah?!
“Maaf saudara,” Aidil menyampuk bicara antara Adira dan Shah. “Tidak perlu diperpanjangkan masalahnya. Saya tidak ada apa-apa hubungan dengan Mawar. Kalau kamu tidak suka, tidak mengapa! Aku akan jauhi dia! Kamu tidak perlu marah-marah sama Mawar.”
Shah sudah menarik nafas kurang senang. “Eh engkau ni..!!” Shah menolak dada Aidil. “…dia hak aku! Suka hati akulah aku nak buat apa pun!” Wajah Shah sudah kemerahan dan kemudian dia berpaling pula pada Adira. “Dengan budak Indon ni pun boleh jadi ek?! I tak nak kawan-kawan I cakap yang girlfriend I tak de maruah! Dah tu berkawan dengan….”
“Kalau dia budak Indon sekali pun kenapa?” Adira sudah tenggelam dengan kemarahannya. “Budak Indon ke….Bangla ke…..sekurang-kurangnya sikap dia tak macam you! You ni….!!” Adira menunjukkan jari telunjuknya pada Shah. “…..macam monyet!!!!”
Lantas Adira menarik Aidil pergi bersamanya. Berombak dada Shah mendengar kejian dari Adira.
“Adira!!!” Pergelangan tangan Adira di tariknya.
“Lepaslah!!” Adira cuba menarik tangannya.
Pang!! Satu tamparan kuat melekat di pipi Adira. Tergamam Adira di situ. Pedih! Sungguh, pipinya terasa pedih sehingga melekat warna merah tetapi pedih di hatinya lebih mengatasi pedih di pipinya.
Aidil yang terkejut dengan tindakan drastik Shah terus menarik tangan Adira dari genggaman Shah.
“Kamu jangan gunakan kekerasan pada wanita!” Matanya sudah membulat memandang Shah.
“Aidil….” Adira menarik tangan Aidil lantas menggelengkan kepalanya. Kemudian dia menarik tangan Aidil dan pergi dari situ.
Shah hanya memerhati bayang Adira berlalu pergi bersama Aidil. Dia sendiri tidak menyangka yang dia akan melakukan begitu pada Adira.
Xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
SEBULAN KEMUDIAN…
Sambil berbual dan menyiapkan hidangan makan malam sesekali Adira mangusik makcik Safiyah yang sememangnya akrab dengan umi. Kata umi, walaupun makcik Safiyah seusia dengannya tetapi makcik Safiyah nampak muda. Mungkin kerana selalu minum jamu. Biasanya wanita-wanita Indonesia suka makan jamu kerana itu kulit mereka sentiasa cantik dan sihat.
Usai menyudahkan makan malam, umi membawa makcik Safiyah masuk ke ruangan jahitannya. Sejak dahulu lagi umi mengambil upah menjahit baju. Cuma sekarang ni, umi lebih banyak menumpukan bahagian sulaman dan manik.
Pakcik Badar, abah dan Aidil pulak sibuk berbual sambil menonton perlawanan bola sepak. Begitulah akrab hubungan kekeluargaan mereka sedari dulu.
Adira melangkah keluar ke laman. Sudah sebulan lamanya dia tidak berbual dengan Aidil walaupun mereka sering bertemu. Jika keluarga Aidil tidak berkunjung ke rumahnya, pasti keluarga mereka yang akan berkunjung ke sana. Dia lakukan semuanya kerana Shah.
Selepas kejadian lalu, Shah datang berjumpa dengannya dan memohon maaf. Memang sukar untuk dia maafkan Shah apatah lagi Shah sudah berani mengangkat tangan padanya. Tapi kerana sayangnya pada Shah, dia ketepikan itu semua. Dia tak tahulah sama ada dia hamba cinta atau dia seorang gadis bodoh kerana sentiasa memaafkan segala kesalahan Shah.
Tapi yang pasti, hidupnya terasa sepi sekali bila dia menjauhi Aidil seperti ini. Semuanya yang dilakukan demi Shah. Memang Shah gembira sekali bila dia berjanji dia tidak akan rapat lagi dengan Aidil tetapi hatinya tidak merasa begitu. Bagaimana dia bisa bahagia sedangkan sahabatnya yang sudah terpisah sepuluh tahun berada di depan mata tetapi dia tidak bisa berbual mesra dengannya?
“Mawar…..” suara Aidil menyapanya.
Adira terpaku di situ. Sungguh dia tidak tahu sama ada untuk menunggu di situ atau berlalu pergi. Dia tahu dia berdosa kerana menjauhi Aidil seperti itu. Apa yang dilakukannya sangat tidak adil pada Aidil.
“Aku mahu bicara sebentar sama kamu,” tambah Aidil lagi. “Itu pun jika kamu tidak keberatan.”
Adira menoleh pada Aidil. “Aidil aku minta maaf…..” Dia tidak tahu untuk berkata apa lagi pada Aidil.
“Tolonglah Mawar! Hari ni dan saat ini saja. Berikan kesempatan untuk aku. Selainnya terserah kamu sama ada masih mahu menganggap aku seorang teman atau menjauhi aku.” Mata yang penuh mengharap itu membebankan perasaan Adira. “Aku hanya mahu berbual dengan kamu…….untuk terakhir kalinya!”
Adira tertunduk. Dadanya sebak dengan rayuan Aidil. Besar sungguhkah dia sehingga Aidil perlu merayu begitu? Sungguh dia kejam kerana melakukan itu pada Aidil.
“Mawar…..aku pulang semula ke sini bukan sekadar mahu membina perniagaan baru di sini bersama papa. Tapi juga kerana aku rindukan teman sepermainan yang sudah sepuluh tahun aku tinggalkan. Jika aku tahu teman yang satu itu akan meninggalkan aku begini, aku tidak mungkin pulang semula ke sini! Lebih baik aku meneruskan hidup aku di sana.” Ada nada kecewa dari intonasinya. Aidil sudah memusing badannya untuk pergi.
“Aidil…..” sayu suara Adira memanggilnya. “Aku juga nak berbual dengan kau!” Akhirnya Adira membuat keputusan begitu. “Tapi untuk kali yang terakhir!” Biarlah jika diketahui Shah. Dia sudah tidak kisah lagi. Selama ini pun bukan dia tidak pernah hadapi kemarahan Shah. Apa salahnya jika dia berhadapan sekali lagi dengan amarah Shah demi sahabatnya.
“Terima kasih Mawar.” Aidil duduk di buaian yang berhadapan dengan Adira. “ Sebagai seorang teman yang pernah rapat dengan kamu dulu, dan juga sebagai seorang teman lama yang tidak pernah melupakan kamu, aku mahu berbual dari hati ke hati dengan kamu. Mungkin ini yang terakhir kalinya aku berbuat begini. Selepas ini aku lepaskan kamu dari menganggap aku sebagai seorang sahabat. Selepas ini kamu berhak menganggap aku sebagai orang asing yang tak pernah hadir dalam hidup kamu.”
Perit benar Adira menelan setiap kata-kata Aidil. Memang perit baginya tetapi dia pasti, Aidil lebih perit untuk mengeluarkan kata-kata itu dari bibirnya.
“Kamu benar-benar mencintai lelaki itu?” tanya Aidil. Adira menganggukkan kepalanya. “Kenapa kamu terlalu cintakan dia?” Aidil memerhatikan Adira yang membisu. Lama juga Adira membisu begitu. Sungguh, dia tidak punya jawapan itu. Sebelum ini, umi juga pernah bertanyakan hal yang sama tetapi ketika itu juga dia tidak mampu memberikan jawapannya.
“Karna parasnya?” Aidil menduga. Adira menggelang. “Karna dia romantis?” Adira menggeleng lagi. Shah romantik? Ya, diawalnya memang begitu tetapi semakin lama dia mengenali Shah semakin hilang sikap romantiknya. “Karna dia menghormati kamu?” Adira menggeleng kepalanya lagi. Jika Shah menghormatinya, sudah pasti Shah tidak akan memperlakukannya begitu. “Karna dia prihatin sama kamu?” Adira menggelang lagi. Shah lebih suka mementingkan diri dari memikirkan perasaannya.
Aidil menarik nafas panjang lalu dihembusnya perlahan. Jika semuanya bukan, di mana Adira menilai cintanya pada Shah? “Mungkin juga dia menghormati keluarga kamu?” Adira menggeleng lagi. Seingatnya, sejak dia mengenalkan Shah pada umi dan abah, mereka kelihatan tidak suka pada Shah dan Shah juga tidak pernah mengunjungi mereka lagi selepas itu. “Lalu di mana kelebihannya sehingga kamu begitu cinta dengannya?”
“Aku tak tahu!” Adira mengerling Aidil sekilas. “Aku hanya cintakan dia!” Aidil mengetap bibir sambil memandangnya. Dia tahu pandangan Aidil itu. Tentu Aidil merasakan dia hanya cintakan penampilan Shah. “Cinta itu buta Aidil! Tak perlu sebab untuk jatuh cinta!”
“Cinta tidak buta, Mawar. Cinta kamu, yang membutakan kamu!” Aidil menghembus nafas panjang. “Kamu cintakan dia atau kamu takut?” tanya Aidil.
Adira ketawa sinis. Dia takut? “Apa yang perlu aku takutkan dengan Shah?”
“Aku tidak tahu!” ujar Aidil. “Hanya kamu yang tahu. Jika dia tidak menghormati kamu dan keluarga kamu, jika dia tidak prihatin sama kamu, jika dia tidak romantis sama kamu, jadi apa yang ada padanya yang bisa mambuatkan kamu setia seperti ini? Bisa aja aku katakan yang kamu hanya memikirkan luarannya saja.”
Adira membisu.”Aku tak tahu Aidil! Tapi kau tak boleh menuduh cinta aku pada Shah dengan sesuatu yang tak benar!”
“Kebenaran apa yang ada, Mawar? Kebenaran yang aku lihat hanyalah kamu sedang menipu diri kamu sendiri. Kamu sendiri sedang membina jurang yang sangat dalam dalam hidup kamu! Malah kamu sendiri sudah menunggu di puncak untuk terjun ke dalamnya!”
“Maksud kau?” Adira memandang Aidil.
Aidil diam seketika memikirkan kata-kata yang sesuai untuk membuka mata hati Adira yang sudah buta kerana cinta.
“Kamu tahu, walaupun wanita adalah makhluk ciptaan Allah yang paling mudah untuk masuk ke syurga, tetapi lebih ramai antara kaummu yang masuk ke neraka. Karna apa? Hanya karna sebab yang mudah, ramai antara para isteri tidak taat pada suaminya. Selagi seorang isteri mencari redha Allah, mengerjakan tugasnya sebagai seorang muslimin dan taat pada suaminya, selagi itulah syurga menantinya. Syurga seorang isteri terletak atas ketaatannya pada suami. Aidil merenung wajah itu. “Semuanya bermula dengan pilihan. Suami seperti mana yang kamu pilih untuk menentukan nasibmu?”
Adira diam membisu. Melihatkan kebisuan itu, Aidil menyambung lagi,
“Seorang wanita, apabila mengambil keputusan untuk bernikah, dia perlu memikirkan dari segenap sudut. Apabila wanita itu menikah, itu bererti dia telah meletakkan nasib dan masa depannya di tangan suami. Dia akan meninggal seluruh hidupnya dahulu untuk suaminya. Apakah kamu mahu menyerahkan nasib kamu pada Shah?”
Sungguh, Adira menyintai Shah. Tapi dalam masa yang sama, adakala timbul juga perasaan tidak bahagia apabila disamping Shah. Apakah itu bererti dia tidak sepatutnya bersama Shah? Tapi takkan mungkin dia tidak akan bahagia. Shah cintakan dia!
“Mawar….” Perlahan sekali suara Aidil memanggilnya. “orang yang paling berhak ke atas seorang wanita adalah suaminya. Jika kamu sudah menikahi Shah, setiap kemahuannya perlu kamu taati. Dalam khutbah terakhir Rasullullah sendiri menyatakan, seorang seorang isteri tidak berhak membawa masuk sesiapa saja yang tidak disukai suaminya ke dalam rumahnya.” Aidil terus memandang Adira yang tertunduk. “Dan dari apa yang aku lihat, pacar kamu tidak sukakan keluarga kamu!”
“Macam mana kau tahu?” Pantas mata Adira menangkap wajah Aidil.
“Orang tuamu yang menceritakan pada aku.” Adira terdiam. “Kamu masih memilih dia walaupun ternyata orang tuamu tidak suka?”
“Entahlah Aidil….” Adira menghembuskan nafasnya. “Tapi aku yakin, Shah akan berubah suatu hari nanti.”
“Jangan menduga sesuatu yang kamu tak pasti! Andai kata, di saat kamu sudah menjadi isterinya dan dia menghalang kamu berhubungan dengan keluarga kamu, bagaimana?”
“Aku yakin Shah akan berubah! Dia pasti berubah!” ujar Adira walaupun dia sendiri tidak yakin begitu.
“Jika tidak?” Aidil bertanya lagi.
“Seorang isteri wajib taat pada suami jika suaminya benar. Jika suaminya salah, dia tidak perlu mentaati sesuatu yang diperintahkan!”
“Jadi kamu sudah bersedia untuk berada dalam situasi itu?”
Adira memandang Aidil. Dia terdiam. Sungguh, dia tidak tahu apa yang betul dan tidak, dan apa yang perlu dikatakannya.
“Shah tidak sesuai untuk kamu! Dia tidak menghormati kamu sebagai seorang wanita dan dia juga tidak menghormati keluargamu! Keluargamu juga tidak merestui hubungan kamu dengan Shah!”
“Cukuplah Aidil! Aku dah lama kenal Shah! Dia cintakan aku dan aku pasti suatu hari nanti dia akan berubah!”
“Ikatan pernikahan perlu ada restu dari orang tuamu! Jangan dinafikan hak mereka ke atasmu selagi kamu masih belum menikah!” Tegas Aidil bersuara. Apa yang telah merasuk fikiran temannya sehingga dia berubah begitu sekali?
“Aku tak pernah menderhaka pada mereka!” Adira memandang Aidil dengan tajam. Matanya terasa panas dan mula berair.
“Kamu tidak menderhaka bila mereka menyuruhmu putuskan hubungan kamu dengan Shah dan kamu menolak?”
“Aidil!” Adira memandang wajah Aidil dengan kemarahan. “Kau tak berhak masuk campur urusan peribadi aku! Mulai saat ini, aku tak pernah kenal sesiapa yang bernama Aidil Sufian!” Adira terus berpaling.
“Mawar Adira!!” panggil Aidil. Aidil jarang memanggil nama penuh Adira dan jika itu berlaku, bermakna tahap kesabaran Aidil sudah dicabar. “Kalau itu yang kamu mahukan, aku berjanji mulai dari saat ini dan detik ini aku tidak akan mengeluarkan walau satu perkataan di depanmu melainkan jika kamu datang dan meminta aku berbuat begitu!”
Sebaik sahaja Aidil berkata begitu, Adira terus berlalu ke dalam.
XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX
SEJAK malam terakhir dia berbual dengan Aidil, dia sering berfikir tentang Shah. Walaupun sukar untuk dia terima nasihat dari Aidil yang mahu dia tinggalkan Shah, tetapi ada ketikanya dia merasakan kata-kata itu ada benarnya. Setiap nasihat Aidil, sentiasa terlintas di fikirannya. Mungkin juga benar kata Aidil, dia sebenarnya takut. Takut pada diri sendiri! Takut jika kecewa! Takut untuk putus cinta! Tapi ada masanya dia merasakan dia akan lebih kecewa jika terus bersama Shah. Mungkin dia perlu lakukan sesuatu untuk menyakinkan hatinya.
“Betul?” tanya Shah sambil memandang tepat ke wajah Adira.
“Betullah Shah! Takkan I nak bohong dengan you pulak. Selama kita kenal, pernah I bohong dengan you?” Adira mengetap bibirnya.
“Setiap kali I hantar you balik, Aidil dengan keluarga dia mesti ada di rumah you! Jadi macam mana I nak percaya yang you dah putuskan hubungan you dengan dia?”
“Shah!!” Adira menarik nafas kecewa. Shah masih ragu padanya walaupun dia berkata benar! Bukan mudah untuk dia membuang Aidil dalam hidupnya, tetapi dia tetap melakukan demi cintanya pada Aidil. Tapi Shah? “Selama ni you memang tak pernah percaya dengan I. Apa yang I buat semuanya silap di mata you. I seorang perempuan yang bekerjaya dan I perlu bercampur dengan semua orang tak kira perempuan ke, lelaki ke. Tolonglah faham I Shah!”
“Tak mengapa…..” ujar Shah. “I boleh bersabar. Tapi, lepas kita berkahwin nanti I nak you berhenti kerja, duduk rumah dan jangan keluar tanpa izin I!”
Adira membisu. “I tak kisah, kalau itu yang you mahukan. I akan berhenti kerja dan duduk di rumah! Tapi…..” Tiba-tiba Adira teringat semula perbualannya dengan Aidil tempoh hari. “…you izinkan tak kalau sesekali umi dengan abah datang dan bermalam dengan kita?”
Shah mengetap bibirnya. “Esok dah kahwin, kita duduk di sini jugak! I bukannya nak bawa you pergi jauh-jauh!”
“You izinkan tak?” Adira mengulangi soalannya.
“Kan I dah cakap. Kita akan tinggal tak jauh dari keluarga masing-masing. Tak de sebab umi dengan abah you nak bermalam di rumah kita.”
“Maknanya you tak sukalah, kan?” wajah Adira sudah berubah. Benar kata Aidil. “You sayang, kan I tak Shah?”
“Tentulah I sayang kat you! Sayang sangat!” ujar Shah. Memang nampak luhur lahir dari hatinya.
“You sanggup buat apa saja untuk I?”
“Apa saja untuk you!” Satu kata janji sekali lagi sudah keluar dari mulut Shah walaupun tiada perkataan ‘janji’.
“Selama kita bersama, I tak pernah minta apa-apa pun dengan you! Hari ini, ada satu perkara yang I nak minta dari you dan I mohon you tunaikan janji yang satu ini. Hanya yang ini saja!” Ada nada rayuan dari nada Adira.
“I janji!” Shah sudah mengangkat tangan seperti bersumpah.
“Untuk pertama kalinya selama kita bersama, I mahukan you bawakan I sushi!” ujar Adira.
“Sushi?” Berkerut dahi Shah dan kemudian kepalanya tergeleng-geleng. “Itu je?” Yakin betul Shah yang dia dapat menunaikan permintaan Adira.
“Ya….sushi. Esok kita jumpa di sini macam biasa.”
“Baiklah! Esok kita jumpa di sini macam biasa dan I akan bawakan sushi untuk you! Sushi saja yang you mahukan? I ingatkan apalah!”
Adira memang sengaja meminta perkara yang paling senang sebagai permintaannya. Kedai sushi tidak jauh saja dari rumah Shah. Jika permintaannya yang mudah begini tidak mampu ditunaikan Shah, bermakna dia harus meninggalkan Shah. Itulah janjinya pada diri sendiri. Apa saja yang berlaku esok akan membuktikan siapa Shah sebenarnya.
PAGI itu Adira keluar dari rumah seperti biasa untuk ke tempat kerja. Tetapi nasibnya tidak baik. Sampai sahaja dipertengahan jalan, satu tayar keretanya meletup! Tersadai dia seketika. Pagi-pagi begini biasanya bengkel masih belum dibuka. Jadi dia menghubungi Shah untuk meminta bantuannya.
“Tayar kereta I pancit! I tak de tayar spare. You boleh tolong datang sini?” ujar Adira sebaik sahaja Shah menjawab panggilannya.
“Kenapa you tak letak tayar spare dalam kereta? Kan dah menyusahkan orang! Lain kali pandai-pandailah sediakan payung sebelum hujan!”
“I minta tolong you je! Kalau you tak boleh tolong tak pelah. Nanti ada mana-mana kereta I tahan. Tak kisahlah lelaki ke… perempuan ke…” Sengaja Adira bercakap begitu.
“Hah!! You memang macam tu! Gatal!” tiba-tiba sahaja Shah terus menengkingnya. “Dengar sini, I baru balik kerja ni. I letih, I nak berehat. I nak you tunggu kat sana sampai bengkel buka. Lepas tu you call diorang. Petang ni kita jumpa!” Terus Shah mematikan talian.
Remuk hati Adira. Airmata Adira sudah bergenangan. Sampai hati Shah!!
Dari kejauhan Aidil memberhentikan keretanya bila terlihat kereta Adira tersadai di tepi. Kebetulan dia juga melalui jalan yang sama. Tadi dia melihat Adira sedang berbual di telefon. Mungkin dia sedang menghubungi Shah. Tetapi sekarang, dia melihat Adira sedang menangis. Tentu Shah tidak mahu membantu Adira.
Aidil memberi signal kiri dan memakirkan keretanya di tepi. Dia keluar dari kereta dan terus mendekati Adira.
Adira terpaku seketika melihat Aidil yang sedang menghampirinya. Tanpa memandangnya dan tanpa suara, Aidil terus membuka bonet keretanya. Tentu dia sedang mencari tayar ganti. Apabila melihat tiada tayar ganti, dia kembali ke keretanya dan membawa tayar gantinya.
Dia menunduk dan menggantikan tayar yang sudah pecah itu dengan tayar yang dibawanya. Adira terdiam dan hanya terpaku di situ.
Sebaik sahaja Aidil siap menukarkan tayar untuknya, lelaki itu terus berlalu meninggalkannya. Dia terus terpaku memandang Aidil yang begitu dingin dengannya sehingga lelaki itu memandu melintasinya.
“Aidil…….” Airmatanya semakin berguguran. “Aidil…..” Hanya itu yang mampu dikatakannya.
“HAI SAYANG!!” Shah menegurnya dengan wajah yang ceria.
Adira menjeling. Dia melirik jam ditangan. Shah tetap dengan sikapnya. Lewat!!
“Macam mana dengan kereta you? Dah okey?” tanya Shah apabila melihat wajah mencuka Adira. Adira hanya menganggukkan kepalanya. “Baguslah! I tahu you boleh jaga diri you sendiri!” Hati Adira semakin sakit dengan kata-kata Shah.
Shah dipandangnya lama. Tiada apa-apa ditangan Shah. Kosong. “You ingat tak janji you dengan I kelmarin?”
“Uh?” Dahi Shah berkerut. “Janji?”
“Kelmarin you janji nak bawakan I sushi,kan?!” Wajah Adira sudah berubah. Matanya juga sudah panas. Kesedihan, kemarahan dan kekecewaannya sudah tidak dapat dibendung lagi. “Mana janji you Shah??!!!” Adira sudah menangis di situ. Dia kecewa dengan sikap Shah. Terlalu kecewa. Jika janji yang semudah ini dilupakan, bagaimana Shah mahu mengayam impian demi impian bersamanya?
“Sorrylah sayang…..” Shah sudah kalut melihat Adira yang sudah menangis. “Okey…okey…I pergi beli sekarang!”
“Tak payah!!” Adira sudah teresak menahan perasaannya. “You ni memang lelaki tak guna! Setiap kali I perlukan you, you tak pernah ada di sisi I! You sentiasa ragu dengan kesetiaan I! You tak pernah hargai setiap pengorbanan I pada you! You selfish!”
“Dira!!” Shah menahan Adira yang sudah mahu pergi. “Takkan benda kecil macam ni pun you nak buat perangai?”
“You know what, Shah? From this moment, you bukan lagi sesiapa untuk I. Jangan ganggu I lagi! Get out of my sight! Get out of my life!”
“Dira…!!” Shah terus menarik tangan Adira untuk mengelaknya dari pergi.
“Lepaskan I shah!”
“You tak boleh pergi Dira! You are mine!!”
“I benci you Shah!!” Adira menjerit. “You monkey!!”
Pang!! Sekali lagi Shah menampar pipi Adira. Adira terjatuh ke tanah. Dia menangis dan menangis. Dia memandang Shah dengan rasa benci.
Tiba-tiba sahaja Aidil datang lalu menumbuk pipi Shah. Shah yang tidak menyedari kedatangan Aidil terus terpelanting ke belakang. Dia bangun untuk menyerang Aidil. Tetapi Aidil dapat mengelak. Berkali-kali dia cuba menyerang Aidil, namun kepantasan Aidil yang sememangnya memiliki ilmu persilatan dapat mematahkan setiap serangan Shah dengan mudah. Shah tercedera akibat serangannya sendiri.
“Tak pe…..tak pe….kali ni aku lepaskan kau! Siap kau!!” Shah berlalu dengan terbongkok-bongkok.
Aidil terus meluru mendapatkan Adira. Bibir Adira yang berdarah disapu dengan sapu tangannya.
Adira terus memerhatikan Aidil yang sedikit pun tidak memandangnya.
“Aidil…..” suara Adira. Aidil membisu. “Kenapa kau selalu ada bila aku susah?!” Aidil tetap membisu. Usai sahaja dia menyapu bibir Adira yang semakin membengkak dia terus bangun untuk pergi. “Aidil!!!” Adira menjerit memanggil Aidil. “Kenapa kau selalu ada???!!!”
Aidil menghentikan langkahnya. Tetapi dia tetap terus membisu.
“Aku minta maaf Aidil!” Aidil membisu juga. Lantas barulah Adira teringat semula kata-kata Aidil.
Mawar Adira!! Kalau itu yang kamu mahukan, aku berjanji mulai dari saat ini dan detik ini aku tidak akan mengeluarkan walau satu perkataan di depanmu melainkan jika kamu datang dan meminta aku berbuat begitu!
Adira berlari mendapatkan Aidil. Dia berdiri di depan Aidil yang sedang memalingkan wajahnya dari memandang Adira. “Maafkan aku Aidil!” wajah Aidil dipandangnya sayu. “Mulai dari saat ini, detik ini, Mawar Adira berjanji dengan Aidil Sufian yang Mawar Adira akan membuang Shah dalam hidupnya! Dan Mawar Adira berjanji akan sentiasa bersama Aidil Sufian! Jadi dengan itu, berbicaralah dengan aku Aidil!” Airmata Adira bercucuran. Selama ini dia sudah buta dengan cintanya! Dia buta dengan hatinya!
Aidil memoleh memandang Adira. Matanya bertentangan dengan mata Adira. “Kenapa kau sentiasa selamatkan aku?”
Mata Adira yang sayu dipandangnya terus. “Karna aku mencintai kamu!!” Adira tercengang dengan pengakuan Aidil yang tak disangka-sangka. Aidil terus berlalu pergi.
XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX
ADIRA menghampiri umi yang sedang berehat di ruang tamu. Dia duduk disebelah umi. Sudah seminggu dia tidak melihat kelibat Aidil di rumahnya. Walaupun dua hari lepas, pakcik Badar dan makcik Safiyah ada bertandang ke rumah, namun bayang Aidil tidak juga kelihatan.
“Malam ni, pakcik dan makcik makan malam di rumah?” tanya Adira. Biasanya malam minggu begitu, mereka sering ke rumahnya untuk makan malam bersama.
“Kejap lagi sampailah! Nanti malam, Dira tolong buatkan pageri nanas ya. Umi teringin benar nak makan!” ujar umi. Adira menganggukkan kepalanya. Memang umi gemar makan pageri nanas yang dibuatnya. Kata umi, pageri nanas yang dia buat tak sama macam yang umi buat. “Tapi jangan banyak sangat sebab makcik Safiyah tak makan nanas. Lagipun, Aidil tak ada. Masak cukup-cukup untuk kita berempat!”
“Aidil ke mana?” tanya Adira.
“Ya Allah….!!” Umi menepuk dahi. “Umi terlupa nak beritahu Dira. Kelmarin, Aidil pesan dengan umi, minta Dira ke rumahnya pagi ni!”
“Betulkah umi?” Wajah Adira bersinar. Sangkanya Aidil masih marah padanya. Tanpa menunggu lagi, Adira terus berlalu ke rumah Aidil.
“Assalamualaikum…..” Adira memberi salam lantas membuka pagar dan masuk ke dalam.
“Waalaikummussalam……Dira!” Makcik Safiyah muncul.
“Aidil ada makcik?” tanya Adira.
“Aidil tak ada!” ujarnya. “Aidil sudah pergi!”
Berkerut dahi Adira. “Pergi mana?”
Satu keluhan dilepaskan makcik Safiyah. “Aidil pesan, kalau Dira datang, dia minta Dira ke laman belakang.”
Apa maksud makcik Safiyah? Aidil tak de? Dia ke mana? Pantas Adira mencapai sandalnya dan menuju ke laman belakang.
Dia terlihat bunga-bunga sakura di situ. Sakura? Bagaimana ada sakura situ? Dia menhampiri dan memegang ranting dan bunganya. Bunga plastik. Berpasu-pasu ranting bunga sakura di situ. Di tanah juga penuh dengan bunga-bunga sakura plastik ditaburkan hingga menampakkan bagaikan dia berada bawah pohon sakura yang asli.
Sebuah bangku kayu diletakkan dibawah rimbunan sakura dan terdapat dua bekas sushi di atasnya. Adira memandang semuanya dengan rasa terharu. Kemudian, matanya menangkap lembaran yang terselit di bawah bekas sushi.
Assalamualaikum…….
Mawar, tentu kamu tertanya-tanya apa sebenarnya yang cuba aku lakukan? Kamu masih ingat lagi ketika zaman kanak-kanak dulu? Kamu suka sekali mononton kartun Ninja Boy Nintama. Adakalanya dalam sirinya diselitkan musim bunga dan kamu suka sekali dengan bunga sakura. kamu selalu berkata, suatu hari nanti kamu akan ke jepun ketika musim bunga. Kamu mahu berada di bawah pohon sakura sambil makan sushi. Kamu memang gemar sushi, kan? Aku juga pernah berjanji pada kamu, yang aku akan membawa kamu ke sana.
Sepuluh tahun kita terpisah, tapi tiada walau sedetik pun aku tidak pernah mengingatkan kamu. Kamu selalu ada dalam ingatan aku.
Akhirnya setelah sekian lama terpisah, aku kembali kepada kamu yang aku rindui. Tapi sayangnya, persahabatan kita telah dicemari dengan cinta kamu. Aku pasrah, jika itu yang membuatkan kamu bahagia. Tapi aku sering melihat kamu tidak bahagia dengan cinta yang kamu pilih. Lantas, sebagai sahabat aku cuba menyedarkan kamu agar bangun dari tidurmu.
Tapi sayangnya, niat aku kamu salah ertikan. Persahabatan kita terputus. Tapi aku tidak pernah meninggalkan kamu karna perasaan sebenarnya aku ke kamu, adalah aku mencintai kamu. Tulus dari hatiku.
Walaupun janji aku pada kamu itu adalah ketika kanak-kanak, tapi aku cuba merealisasikan impianmu walaupun ianya bukan seperti yang kamu impikan.
Ketika kamu berada di sini, aku pasti aku sudah tidak ada lagi di sini. Maafkan aku karna pergi tanpa pamit dulu. Aku mahu kembali semula ke Acheh dan meneruskan kehidupanku di sana. Semoga kamu menemui kebahagiaan yang kamu cari. Salam….
-Aidil Sufian-
Tak disangka Aidil masih ingat akan angan-angan kecilnya sedangkan dia sendiri telah melupakan perkara itu. Adira melangut memandang bunga-bunga sakura itu. Walaupun ini bukanlah bunga sakura yang benar dan dia juga tidak berada di negara matahari terbit itu, tetapi apa yang dilakukan Aidil untuknya sekarang sangat mengusik perasaannya.
“Aidil kenapa kau pergi tinggalkan aku lagi?” Adira menangis. Kenapa dia buta dalam membuat pilihan sehinggakan melukakan perasaannya dan Aidil? Andainya Aidil ada di sini, mahu sahaja dilaung perasaannya yang juga menyintai Aidil.
Kenapa bila Aidil pergi, baru dia sedar tentang cintanya? Kenapa dia baru sedar orang yang akan membahagiakannya adalah Aidil, sahabatnya dari kecil?
“Aidil…..” Adira memandang lembaran di tangannya. “Aku juga cintakan kamu!” Sedikit esakan kedengaran. “Aku mencintai kamu, Aidil!”
Kau mawarku….
Juwita kalbu..
Gadis yang ku rindu..
Kau remaja mencuri hatiku..
Marayu jiwaku..
Suara itu! Adira pantas menoleh. Kelihatan Aidil sedang bersandar di dinding sambil memetik gitar ditangannya.
“Aidil!!” Adira menyeka airmatanya. Wajah Aidil yang tersenyum memandangnya diperhatikan.
“Aku menganggu kamu?” tanya Aidil.
Adira mengetap bibirnya menahan airmata gembiranya dari terus berguguran. “Ya!” Adira menjeling.
Aidil tersenyum. “Kamu perlu siapkan diri karna aku akan terus mengganggumu!” Adira tertawa kecil dengan gurauan Aidil. “Maafkan aku, mawar. Buat sementara waktu, hanya ini saja yang bisa aku sediakan buat kamu.”
Adira memandang sakura yang bertaburan. Sekuntum dikutipnya dan diletakkan ditapak tangan. “Aku tak sangka yang kau masih ingatkan semua ini. Aku sendiri pun dah lupa semuanya!” Aidil hanya tersenyum. “kenapa kau bohong?”
Aidil hanya tersenyum. “Ya aku memang salah. Tapi kamu tidak marahkan karna jika aku tidak pura-pura yang aku sudah pergi ke Acheh, sampai kapan pun aku yakin yang aku tidak tahu perasaan sebenar kamu sama aku!”
Adira tertunduk malu.
“Kamu mahu menjadi isteri aku, kan Mawar?” tanya Aidil.
Adira mengetap bibir sedang berfikir. “Dengan satu syarat!”
“Syarat?” berkerut wajah Aidil.
“Kau kena buang dialek Indonesia dan belajar balik berbahasa Malaysia!” ujar Adira sekadar bergurau.
Aidil tersenyum. Sudah terlalu lama dia di Acheh sehingga bahasa Indonesianya sudah sebati dalam diri. “Insyaallah, aku akan cuba!” Aidil tersenyum. “Kamu tidak kisah jika aku tidak seganteng Shah, mantan pacar kamu?”
Adira tersenyum memandang Aidil yang masih lagi bercermin mata tebal, rapunya hitam berkilat dan disisir rapat dan berbelah tengah. “Aku sedar sekarang Aidil. Penting untuk setiap perempuan macam aku, untuk memilih seorang lelaki yang benar-benar boleh membimbing dan melindungi. Masa depan bermula dengan langkah pertama yang diambil.” Adira memandang tanah. “Kau akan melindungi dan membimbing aku untuk jadi seorang isteri dan ibu mithali?”
Aidil tersenyum. “Insyallah, selagi kita tidak melupakan Allah, dia tidak akan pernah melupakan kita.” Aidil tersenyum. “Tapi aku perlu membuat satu lagi pengakuan! Aku sudah berbohong sama kamu!”
Dahi Adira berkerut.
“Ketika di Acheh, umi pernah bilang sama mama aku yang dia tidak suka dengan pilihan kamu. Katanya, kamu memilih Shah hanya kerana ketampanannya. Jadi, aku pulang semula ke Malaysia dengan menjadi Aidil yang dulu. Aku mahu tahu apakah benar kamu hanya tertarik dengan penampilan luaran.” Aidil membuka cermin matanya. “Tapi sekarang aku yakin sekali yang kamu membuat keputusan yang benar!” Matanya digosok-gosok.
“Maksudnya?”
“Aku pernah membuat operasi mata untuk membuang selaput. Sebenarnya, aku sudah tidak berkaca mata lagi. Dan rambut ini……” Aidil menyelak-nyelak rambutnya ke belakang dengan kedua tangannya.
Adira tercengang. Aidil nampak berlainan sekali dengan penampilan sebegitu! Sungguh, jika dia tidak tahu lelaki di depannya ini adalah Aidil, pasti dia tidak akan mengaku walaupun lelaki itu berkeras dia adalah Aidil.
“Cermin ni….” Adira mencapai kaca mata Aidil. Berlubang? Hanya ada bingkai dan tiada cermin! Bagaimana dia tidak menyedari semua ini?”
“Sudah terang lagi yang kaca mata ini hanya ada bingkai, tapi kamu langsung tak menyedarinya. Itu tandanya, selama ini kamu tak pernah prihatin sama aku!”
Adira mengakui itu. Memang dia salah selama ini. Dia tidak pernah mengambil tahu dengan teliti tentang Aidil.
“Maafkan aku Aidil,” ujarnya perlahan.
“Tidak mengapa….yang penting sekarang….” Aidil tersenyum lalu membuka bekas sushi. “Kita makan sushi ni sama-sama ya.”
Adira tersenyum. “Makan sushi?”Aidil mengangguk.
“Aidil, di bawah pohon sakura yang kau bina untuk aku demi untuk merealisasikan impian zaman kanak-kanakku dulu. Aku, Mawar Adira berjanji, akan belajar untuk menghargai setiap pengorbanan dan cintamu padaku. Aku akan belajar untuk menjadi lebih baik sebagai seseorang yang akan berada si sisimu. Dan aku berjanji aku tidak akan menyakiti hati keluargaku dan menyanyangi keluargamu dengan seikhlas hati!”
Aidil tersenyum mendengar janji-janji Adira. “Terima kasih, Mawar Adira.”
Adira menggelang. “Terima kasih yang sebenar adalah untuk Aidil Sufian!” Adira memandang Aidil. Mereka berbalas senyuman.
-TAMAT-
XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX
Selamat membaca. Harap dapat di maafkan jika ada tersalah dalam penggunaan bahasa Indonesia. Maklumlah, saya anak Malaysia. (-_-)
best!
ReplyDelete