QISMYNA merenung siling pejabatnya. Entah apa yang difikirnya hingga pandangan matanya bagai menembusi siling itu. Tangan kanannya pula memusing-musing pen di atas meja.
Fauzan yang baru tiba langsung melabuhkan punggungnya berhadapan Qismyna. Kedatangannya langsung tidak mengganggu lamunan Qismyna. Lalu dia menggelengkan kepalanya. Gadis itu benar-benar hanyut dalam lamunannya.
“Aku minta maaf Fauzan,” tiba-tiba Qismyna bersuara menyebabkan Fauzan mengangkat kepala.
“Kau tahu aku datang?” terkejut dia kerana menyangkakan gadis itu masih hanyut dalam anganannya. Qismyna mengalihkan badannya bertentang dengan Fauzan.
“Tak de jodoh kita Qis. Aku tak salahkan kau. Semuanya satu kemalangan. Lagi pun sekarang kau dah jadi isteri Wes.”
Qismyna mendengus marah. Dia tidak suka Fauzan menyebut tentang pernikahannya. Fauzan tahu Qismyna tidak dapat menerima apa yang berlaku. Tapi entah mengapa dia merasakan ada kesesuaian antara Qismyna dan Wes. Seolah-olah jodoh itu bagaikan satu hadiah dari Tuhan.
“Mak Ngah dan Pak Ngah masih marahkan aku ke?”
“Tidak.” Fauzan menggeleng. “Mereka dah terima hakikat. Mereka tahu kau dan Wes tak bersalah.” Masih kedengaran keluhan dari bibir halus itu. “Terimalah takdir ini dengan hati yang terbuka,” nasihat Fauzan.
“Lagi pun.....aku lihat semua orang merestui perkahwinan kau dengan Wes.”
“Kau.....langsung tak terkilan ke dengan apa yang berlaku?” Qismyna tidak berpuas hati. Bagaimana lelaki itu begitu tabah menerima bakal tunangnya dulu kini menjadi milik orang?
Walau pun perkahwinan ini amat mendera perasaan Qismyna namun dia bersyukur, sekurang-kurangnya perasaan bersalah kerana menipu hatinya dengan menerima Fauzan tidak lagi menghantui dirinya.
“Ya, memang aku terkilan. Tapi kita harus terima ketentuan Tuhan dengan hati yang pasrah. Dah bukan jodoh kita.” Ikhlas Fauzan berkata demikian.
“Dan aku harap...” Fauzan bersuara lagi. “Kau belajar menerima Wes dalam hidup kau. Aku kenal dia.” Qismyna diam seketika.
“Aku tak nak bercakap tentang dia.” Qismyna mengerling Fauzan.
“Nak tak nak....aku rasa....kau kena juga cakap dengan dia.” Lambat-lambat Fauzan menghabiskan ayatnya. Qismyna mengerutkan keningnya tanda tidak faham. “Sekarang ni, Wes ada kat depan pintu. Dia nak jumpa dengan kau.”
Pantas Fauzan bangun lalu membuka daun pintu. Terlihat kelibat Wes di depan pintu biliknya yang sedang tersenyum padanya. Senyuman itu kelihatan begitu sinis di mata Qismyna.
Fauzan melangkah keluar dan digantikan pula dengan Wes. Wes menutup daun pintu dengan rapat dan tanpa dipelawa dia terus duduk di kerusi berhadapan dengan Qismyna.
“Hai....” sapa Wes. Qismyna menjeling tajam lalu menjatuhkan pandangan matanya pada kertas-kertas kerja yang bertaburan di atas mejanya. Dia pura-pura tidak mengendahkan kehadiran lelaki itu sedang hatinya sedang memberontak supaya menolak lelaki itu keluar dari biliknya.
“Saya tak suka awak datang kerja dalam cuti bulan madu kita.” Wes sengaja menyakitkan hati Qismyna. Qismyna jijik mendengar kata-kata Wes.
“Tolong sikit!” Qismyna menjeling lagi. “Kalau dengan awaklah, bukan cuti bulan madu tau tapi bulan racun!” Wes tergelak sedikit. Dia terasa kelakar apabila Qismyna berkata begitu. Qismyna mencebik. Meluat.
“Agenda untuk hari ni.....kita akan pergi berkelah di Batu Feringghi.”
Qismyna menghentak pen ditangannya. Dia benci apabila di arah begitu. Belum sempat dia membuka mulut, dengan pantas Wes menyuruh dia diam.
“Sebelum awak kata apa-apa, ada baiknya awak tengok kat luar tingkap.”
Qismyna memandang Wes dengan seribu pertanyaan. Tetapi kemudian dia bangun dan menuju ke tingkap lalu memandang ke luar.
Kelihatan tiga buah kereta di parkirkan di hadapan pejabatnya. Kereta-kereta itu memang dikenalinya. Kereta ayah, kakak dan abangnya. Dan di dalam kereta itu, seluruh ahli keluarganya termasuk keluarga mertuanya ada bersama. Kini dia mengerti.
“Awak ingat saya akan ikut awak kalau awak bawa mereka semua tu?!” keras nadanya.
“Tak....tak.....” Wes mengelengkan kepalanya. “Jangan salah faham. Bukan saya yang bawa mereka untuk pujuk awak. Saya tak de keinginan langsung nak keluar dengan awak.” Wes sengaja menyakitkan lagi hati Qismyna.
“Sebenarnya mereka yang rancang untuk berkelah dan saya dipaksa untuk datang bersama awak, okey.”
“Saya tak nak pergi. Kalau awak yang dipaksa, awak jelah yang pergi.” Qismyna duduk semula di kerusinya sambil membuka jadual kerjanya.
“Kenapa? Awak takut kalau awak keluar dengan saya.....sesuatu akan terjadi antara kita?” Wes cuba memancing keegoan gadis itu. Ya....gadis itu memang ego.
“Sesuatu? Sesuatu macam mana tu?” Qismyna bertanya keras. “Oo.......maksud awak, saya akan jatuh cinta pada awak?” soalan Qismyna dibalas dengan anggukan.
“Sorry.......setakat keluar dengan awak, saya takkan jatuh cinta. Malah, kalau awak keluar dengan orang gila pun belum tentu dia akan jatuh cinta dengan awak, tahu!”
“Memanglah. Orang gila mana ada perasaan.”
“Awak tu yang tak de perasaan!” Pantas Qismyna mencapai tas tangannya dan berlalu pergi tanpa menunggu Wes.
Sebaik saja dia sampai di bawah, dia terpaksa pula menaiki kereta bersama Wes. Sedangkan pada masa itu dia ingin menumpang Ariff memandangkan hanya Manisa sahaja yang menjadi penumpangnya. Ibu dan ayah mertuanya menumpang kereta ayahnya. Ibunya, Puan Suria juga bersama mereka.
Manakala satu lagi kereta diisi oleh Zainal, kakaknya, Almi, Zurin, Maria dan Lina. Tetapi Ariff menolak dengan alasan dia ingin berdua-duaan dengan Manisa. Dan Maya pula terpaksa berdua-duaan dengan Wes. Menyampah!
DIA berbaring di atas kerusi malas yang terletak di halaman depan rumah itu sambil matanya memandang jauh kepekatan malam yang tidak disinari dengan cahaya bulan dan bintang. Malam itu begitu kelam sekali berbanding dengan hari-hari yang lain.
Qismyna mengeluh. Dia sendiri tidak pasti ini keluhan yang ke berapa yang telah dilepaskan. Apabila mengenangkan perkelahannya pada hari itu, satu lagi keluhan dilepaskan.
Sedari kecil dia memang suka pada perkelahan. Tetapi perkelahan pada hari itu merupakan kenangan perkelahan yang terburuk sekali dalam hidupnya.
Tiada siapa pun yang sudi berdekatan dengannya. Zurin, sibuk bermain bola bersama si kembar. Ariff pula sentiasa di sisi Manisa. Mereka yang lain juga seperti tidak mengendahkannya. Hanya Wes saja yang rajin melayaninya.
Tetapi layanan yang diterima bukanlah layanan yang baik dan istimewa melainkan sindiran dan pertengkaran. Argh!!!! Lelaki itu memang setan!
Sedang dia asyik dengan lamunannya tiba-tiba dia merasakan seperti seseorang sedang memerhatikannya. Lantas dia berpaling dan mendapati Wes berada berdekatan dengannya. Dia bangun dan cuba untuk berlalu pergi dari situ.
Tetapi dengan pantas Wes menyambar pergelangan tangannya dan menggenggamnya kuat. Qismyna cuba menarik tangannya. Wes memegang dengan lebih kuat sehingga Qismyna terasa sakit.
“Lepaslah! Sakit!” Dia minta dilepaskan tetapi lelaki itu langsung tidak mengendahkan permintaannya. Malah Wes tersenyum sinis melihatnya.
“Sakit?!” tanya Wes dengan penuh sindiran. Qismyna cuba menarik lagi tangannya. Namun, genggaman lelaki itu begitu kuat.
Lantas Wes bangun dan berdiri berhadapan dengan Qismyna. Tubuhnya begitu hampir dengan Qismyna sehingga gadis itu terpaksa melangkah ke belakang sedikit. Tetapi Wes menarik tangannya sehingga dia terhenjak ke hadapan dan tubuhnya terkena dengan tubuh Wes.
Dia menolak tubuh Wes dengan tangan kanannya yang tidak dipegang lelaki itu.
“Awak.........nak apa?” tanya Qismyna dengan suara yang perlahan. Sebenarnya dia ingin menengking lelaki itu tetapi entah kenapa perlahan pula suara yang terkeluar. Dia tidak tahu kenapa tiba-tiba jiwanya bergetar. Dan bibirnya seperti tidak dapat berkata-kata. Dia cuba bertentang mata dengan lelaki itu. Tetapi aneh, kenapa dia tidak dapat berbuat demikian. Lantas matanya dialihkan ke arah yang lain.
Wes tersenyum. Dia terasa lucu melihat gadis itu yang kelihatan tidak begitu selesa berhadapan dengannya. Tapi, dia tidak tahu mengapa malam itu Qismyna kelihatan manis apabila berada dalam keadaan tak keruan seperti itu.
“Saya nak pulangkan ni.” Wes meletakkan sesuatu di dalam tangan Qismyna. Lantas Qismyna melihat apakah barang yang diberikan Wes. Handphone? Dia hairan bagaimana handphonenya boleh berada di tangan Wes.
“Macam mana.....” belum sempat Qismyna menghabiskan ayatnya pantas sahaja Wes menjawab.
“Awak tertinggal tadi. Jadi saya simpankan untuk awak.” Seperti mengetahui apa yang bermain di fikiran Qismyna, lantas Wes menerangkan keadaan yang sebenar.
Kemudian Wes melepaskan genggaman tangannya dan berlalu pergi dari situ. Qismyna masih lagi kelihatan terpinga-pinga. Sambil melangkah pergi, Wes tersenyum sumbing. Dia terasa seperti kemenangan berpihak kepadanya apabila berjaya membuat gadis itu gusar dan tak tentu arah.
Qismyna membelek-belek telefon bimbit ditangannya lalu menekan punat-punat telefon. Terasa ingin menghubungi Zila dan meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya. Andainya Zila berada di sini tentu mereka akan berkongsi masalah bersama-sama.
Qismyna mengerut dahinya. Semua nama yang ada di dalam phone book tidak dikenalinya. Dia menekan punat back untuk melihat wallpaper. Tetera gambar Wes.
Argh!!! Itu bukan telefon bimbitnya. Itu telefon bimbit milik Wes! Qismyna menggelengkan kepala. Terimbas semula kejadian tempoh hari di mana dia tertukar telefon bimbitnya dengan seorang lelaki ketika dia cuba melarikan diri dari Adam.
Ya.....Baru dia teringat. Lelaki itu.......Wes!!! Patutlah dia sering merasakan dia pernah melihat Wes sebelum ini.
No comments:
Post a Comment