QISMYNA menutup daun pintu dengan rapat. Perlahan-lahan dia menghenyak tubuhnya di atas tilam. Fikirannya keliru. Perasaan sedih, kecewa, marah bercampur baur. Dia mengetap bibir menahan perasaan hati.
Pandangannya tertumpah pada hantaran untuk pertunangannya dengan Fauzan yang tersusun indah di biliknya. Perasaannya menjadi tak keruan.
Tak disangka perkara sebegini berlaku dalam hidupnya. Terasa bagaikan mimpi. Sebentar tadi dia adalah seorang gadis yang di dalam dilema dengan kisah cinta yang tak pasti. Tiba-tiba, hanya dek kerana salah faham, dia telah menjadi seorang isteri kepada seorang lelaki yang tidak dikenali.
Dia berbaring. Matanya melilau memandang segenap ruang kamarnya. Lantas tumpuannya terarah pada siling di atas. Bagaikan skrin layar, satu persatu peristiwa yang berlaku sebentar tadi bermain-main di ruang matanya.
Kerana berdua-duaan dalam gelap dan dalam keadaan mencurigakan, mereka berdua telah dibawa ke Pejabat Agama Islam. Setelah disoal siasat dan pelbagai soalan diutarakan, kedua-dua orang tuanya dihubungi.
Walaupun berkali-kali dia merayu dan menerangkan bahawa lelaki itu hanya menolongnya, namun mereka tidak percaya. Dia melihat lelaki asing yang ditangkap bersamanya juga berusaha menerangkan perkara sebenar. Tetapi tiada sesiapa pun yang percaya.
Menurut mereka, penduduk di kawasan tersebut telah banyak kali mengadu kepada mereka tentang perbuatan sumbang pasangan kekasih yang dipercayai orang luar kawasan itu. Untuk menjaga nama baik kawasan mereka, mereka meminta Pejabat Agama menikahkan pasangan yang memalukan dan mencemarkan nama baik mereka.
Kebetulan pula pada malam itu keretanya rosak dan Wes pula datang membantu. Dan akhirnya, mereka berdua pula yang tertangkap.
Sebaik sahaja melihat kelibat Tuan Malik dan Puan Suria yang datang bersama-sama Ariff, pantas Qismyna bangun dari kerusi dan menerpa mereka. Tanpa sempat Qismyna bersuara, pantas tangan Tuan Malik melayang menampar pipi halus itu. Qismyna tergamam dan yang lain terdiam. Semua mata memandang ke arah mereka.
Wes yang merasa bersalah dengan apa yang berlaku, lantas bangun untuk menghampiri mereka. Dia pasti lelaki itu tentu ayah kepada gadis tersebut. Langkahnya terhenti apabila melihat lelaki yang menampar gadis itu menghampirinya.
Tuan Malik berdiri betul-betul di hadapan lelaki itu. Tanpa memberi apa-apa reaksi Tuan Malik bersuara.
“Kahwini anak saya dan bersihkan nama baik saya.” Perlahan tetapi tegas. Itulah yang dapat dirasakan Wes. Wes mengangguk tanpa bangkangan.
Setelah melihat anggukan lelaki itu, Tuan Malik menghampiri salah seorang pegawai Jabatan Agama Islam di situ.
Wes mengeluh resah. Pandangannya jatuh pada gadis yang akan dinikahinya. Gadis itu kelihatan tidak bermaya. Wajahnya muram dan tiada seri. Tiba-tiba Wes terasa bahunya disentuh. Dia berpaling.
“Ariff?!”
Sewaktu lelaki asing itu melafazkan ijab, Qismyna menutup matanya rapat-rapat mengharapkan semua itu adalah mimpi semata-mata. Dia bermohon kepada Tuhan, apabila dia membuka mata segala-galanya akan menjadi seperti sediakala.
Qismyna menutup matanya sebentar dari merenung siling dan membayangkan peristiwa pahit itu. Kemudian dia membuka matanya kembali. Segala bayangan hilang.
Dia melepaskan keluhan untuk sekian kalinya. Dia belum bersedia menjadi isteri kepada seorang suami. Apatah lagi suami yang tidak dicintai. Dan lebih menyedihkan jika suami itu bukan sahaja tidak dicintai, malah langsung tidak pernah dikenali.
Qismyna melangkah bangun menuju jendela dan membukanya. Dia merenung jauh bulan diangkasa. Terang dan mendamaikan. Tetapi suasana yang damai dan menenangkan itu tidak dapat menenangkan hatinya yang dibaluti kepiluan.
‘Bulan, seandainya kau tahu perasaan ku tika ini, pasti kau tidak akan menyinari cahayamu seindah ini. Pasti kau akan bersembunyi di balik kegelapan malam dan menyembunyikan dirimu.’
SELESAI sahaja bersolat Subuh, Tuan Malik termenung di atas sejadah. Selepas sahaja pulang dari Pejabat Agama Islam, dia langsung tidak dapat melelapkan matanya walau pun untuk seketika.
Semua yang terjadi bagaikan mimpi. Siapa sangka anak gadis yang dididik dengan pengetahuan agama yang sempurna sanggup memalukan keluarga sendiri. Panggilan yang diterimanya pada pukul tiga pagi benar-benar mengejutkan.
Apa yang akan dikatakan jiran-jiran dan sanak saudara? Fikirannya kacau. Hatinya menjadi semakin tak tenteram apatah lagi bila memikirkan hari pertunangan Qismyna dan Fauzan semakin hampir. Apa yang harus dikatakan pada lelaki itu. Bagaimana agaknya penerimaan keluarga Zulkifly?
Tuan Malik memajamkan mata sambil beristighfar sebentar. Memohon kekuatan dan semangat dari yang Esa. Setelah itu dia melipat sejadah dan menyimpan kopiah yang dipakai.
Dia keluar dari bilik dan menuju ke bilik tetamu di mana menantu yang tidak dikenalinya ditempatkan. Sesampai sahaja di depan pintu bilik tetamu itu, langkahnya terhenti. Dia merapatkan telinganya ke daun pintu. Terdengar suara serak lelaki itu sedang berzikir.
Dia menyelak sedikit daun pintu yang tidak tertutup rapat itu. Kelihatan anak muda itu begitu kusyuk melagukan zikir-zikir yang memuji kebesaran yang Esa. Sedikit sebanyak api kemarahan yang dipendamkan terpadam.
Dia mengaturkan langkah menuju ke dapur. Puan Suria dan Mak Yam yang sedang menghidangkan sarapan menoleh ke arahnya. Tanpa memandang dan menegur mereka, Tuan Malik menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya.
“Abang tak ke pejabat hari ni?” tanya Puan Suria.
“Tak.....biar kita selesaikan dulu semua masalah.” Tuan Malik melepaskan keluhan yang panjang.
Puan Suria tahu fikiran suaminya terganggu. Sepanjang malam suaminya tidak dapat melelapkan mata. Puan Suria sendiri begitu. Ibu bapa mana yang dapat melelapkan mata jika sesuatu yang buruk menimpa anak-anaknya.
“Puan, Tuan, ada baiknya kita dengar dulu penjelasan budak-budak tu” ujar Mak Yam yang telah mengetahui apa yang terjadi setelah diceritakan oleh Puan Suria. “Saya tak rasa Cik Qis akan buat macam tu. Tentu ada salah faham.”
“Nasi dah jadi bubur Mak Yam. Dah tak boleh patah balik” ujar Puan Suria.
Tak lama kemudian pandangan mereka jatuh pada susuk tubuh seorang lelaki yang baru tiba di situ. Mak Yam mengagak, lelaki asing ini sudah tentu suami Cik Qismyna.
“Mari duduk. Sarapan bersama,” pelawa Tuan Malik tanpa ada kemesraan dari nada suaranya.
Tanpa bersuara Wes menghampiri mereka. Dia duduk berhadapan dengan Puan Suria dan bersebelahan dengan Tuan Malik. Tak lama kemudian, Ariff turun dan menyertai mereka.
Dia menegur dan berbual dengan Wes seperti tiada apa-apa yang berlaku. Wes merasa lega sedikit dengan kehadiran Ariff di situ. Sekurang-kurangnya perasaan bersalah dan tidak selesanya kurang sedikit.
Sesekali matanya tercari-cari kelibat gadis yang dinikahinya semalam. Hatinya tertanya-tanya adakah gadis itu masih bersedih dan menangisi nasibnya.
“Assalamualaikum.....” semua di situ berpaling dan menjawab salam Zurin yang baru turun dari biliknya.
Zurin yang baru tiba agak terkejut melihat Wes. Hatinya tertanya-tanya siapakah lelaki itu. Pagi-pagi lagi sudah bertandang ke rumah orang. Mungkin kawan Ariff, dia cuba mengagak.
“Abang dan Pak Cik tak ke pejabat ke hari ni?” tanya Zurin setelah melihat mereka berdua hanya berpakaian biasa.
“Hari ni semua orang cuti termasuk Zurin.” Tuan Malik memandang Zurin. Zurin terkejut sedikit mendengar kata-kata Tuan Malik. “Hari ni Zurin tak payah masuk kelas. Ada hal yang perlu kita bincangkan. Nanti Zurin telefon Kak Almi dan Abang Zainal. Suruh mereka datang sini.”
“Ariff, telefon Pak Ngah bagi pihak ayah. Minta mereka sekeluarga datang ke rumah.” Ariff hanya mengangguk.
No comments:
Post a Comment