Friday, 26 August 2011

Saat Hati Merelakan 29

WES duduk di sudut hujung sekali menantikan kedatangan Farahymma. Sewaktu dia tiba tadi, dia telah pun melihat senarai tugas yang terletak bersebelahan pintu masuk cyber cafe itu. Setelah mengetahui Farahymma bertugas sebagai juruwang di coffee brek iaitu restoran kecil yang terdapat di cyber cafe itu, terus kakinya malangkah ke sana.


Namun dia hampa. Bila dia tiba di situ, bukan Farahymma yang berada di kaunter pembayaran. Apabila di tanya, kata pekerja di sana, Farahymma bercuti.

Namun firasat Wes lain. Dia yakin mereka semua berbohong. Sebelum melangkah masuk dia telah perhatikan sama ada motorsikal Farahymma berada di parkir atau tidak. Dia yakin itu hanyalah alasan kerana gadis itu tidak mahu berjumpa dengannya.

“Baik engkau pergi. Tanya apa yang dia nak. Customer pun belum ramai lagi. Dua jam lagi tea brek. Nanti ramai orang,” pujuk Linda. “Lagi pun, Salmi cuti hari ni. Kalau dapat tahu dekat Cik Qis, tak de orang nak backing kau pulak.”

Farahymma mengeluh sebentar. Benar juga kata Linda. Salmi tak ada, petang nanti orang ramai. Kalaulah Wes buat hal, tak haru ke? Ada baiknya dia berjumpa dengan lelaki itu sebelum dia buat benda yang bukan-bukan.

Dia melangkah keluar dan terus berdiri di depan lelaki itu sambil memeluk tubuh. Wes tersenyum memandangnya. Terasa seolah-olah kemenangan berpihak kepadanya.

“Katanya.....cuti....” Wes mengusik. Farahymma menjeling lalu menarik kerusi di depan Wes dan melabuhkan punggungnya.

“Ada apa lagi?” soalnya.

“Tak salahkan kalau sekadar menziarah dan bertanya khabar?”

“Tak salah.....” Farahymma cuba berdiplomasi. “.....tapi tak kena tempat. Saya kan tengah kerja. Lagi pulak, awak tak patut jumpa saya di sini. Kalau bos saya nampak tak pasal-pasal saya kena buang kerja.”

“Dia tak boleh buat apa-apa,” sampuk Wes pantas. Farahymma mencebik.

‘Dia ingat dia tu siapa! Kang kena buang kerja bukan dia yang susah. Aku jugak. Dahlah susah nak dapat kerja zaman sekarang ni. Belajarlah setinggi mana pun belum tentu menjanjikan pekerjaan yang diimpikan.’ Farahymma mengomel sendiri.

“Awak ada share ke?” sindir Farahymma. Wes menggeleng.

‘CC ni isteri saya yang punya. Kira saya punya jugaklah, kan.’ Mahu saja dia cakap begitu. Tapi hanya tersangkut di dalam hati saja.

“Awak jangan risau. Saya kenal dengan tuan punya premis ni.” Wes menghirup kopi. “Dia takkan buang awak punya. Lagi pun saya dah minta izin,” bohongnya.

‘Ye ke tak kena buang. Kang kalau si Qismyna tu nak balas dendam terusnya dibuang gadis kesayangan aku, tak ke haru nak cari kat mana Farahymma menghilang.’

“Ada apa hal awak cari saya lagi?” ujar Farahymma serius.

“Saya rasa tak de salahnya kalau kita tak putuskan hubungan. Sekurang-kurangnya anggaplah saya ni kawan awak,” ujar Wes serius. Tapi ujaran itu bagaikan tidak ikhlas dari hatinya. Sesungguhnya dia mengharapkan lebih dari seorang kawan. Tetapi itu sudah lebih dari mencukupi baginya. Dia tidak mahu kehilangan gadis itu.

“Ikhlas?” tanya Farahymma sambil mengangkat kening sebelah. Wes menggangguk dan berpura-pura senyum sekadar memaniskan muka. “Tak mengharapkan lebih?” Wes menggeleng pula. “Okey, kalau macam tu.....” Farahymma menghulurkan tangan. “......friend...”

Wes mengukirkan senyuman lalu menghulurkan tangan menyambut huluran tangan Farahymma.

“Friend.”

“Saya tak nak lepas ni awak ungkit kisah-kisah silam. Awak pun tahu, kan yang saya dah bertunang.”

“Saya janji,” balas Wes ringkas sambil mengangkat tangan kanannya seperti bersumpah. Farahymma tersenyum. Hatinya senang sekali. Harap-harap hubungan persahabatan yang baru di bina tidak lagi mengganggu jiwanya yang lara.

“Boleh saya tanya sesuatu?”

“Apa?”

“Saya pelik. Kenapa awak kerja kat sini?” Wes bertanya soalan yang ingin ditanyanya dari dulu. Persoalan yang ada kalanya timbul dibenak tetapi tidaklah terlalu penting baginya.

“Dah kerja ni saja yang sesuai untuk saya.” Wes menggaru dagunya sebentar.

“Dengan ijazah yang awak ada, awak boleh minta kerja yang lebih baik.” Wes mengangkat keningnya. Serius.

Farahymma terlopong seketika. Bagaimana lelaki itu tahu?! Dia keliru sekejap lalu kembali tersenyum. Mungkin juga lelaki itu telah mengetahui perkara sebenarnya yang berlaku dalam hidupnya selepas dia ditinggalkan.

“Sekarang ni susah nak cari kerja. Banyak persaingan. Kerja macam ni pun dah bersyukur.”

“Mana awak tahu saya ada ijazah?” tanyanya kembali. Namun dia dapat mengagak siapa orangnya.

“Rashid. Awak ada jumpa dengan dia, kan?” Farahymma hanya mengangguk. “Awak sambung belajar di Negeri Sembilan?” Farahymma mengangguk lagi.

Tiba-tiba saja perhatian mereka terganggu dek suara orang bertengkar. Lantas mereka mengalihkan pandangan. Malah kebanyakan pelanggan dan pekerja yang berada di situ turut beralih pandangan.

Kelihatan dua orang lelaki dan seorang perempuan sedang bertengkar. Wes cuba mengecilkan matanya untuk melihat lebih jelas. Farahymma tiba-tiba saja bangun.

“Cik Qis!” ujarnya perlahan tetapi jelas di pendengaran Wes.

‘Qis?’ pantas Wes meninggalkan Farahymma dan menuju ke arah mereka bertiga. Farahymma hanya mengekori langkah Wes dengan ekor matanya. Kelihatan Fauzan sedang bercakap-cakap dengan lelaki yang tidak dikenali seolah-olah sedang menenangkan lelaki itu. Qismyna pula menjauhkan diri dari mereka berdua. Wes menghampiri dan berdiri di sebelah Qismyna. Pantas Qismyna menoleh apabila terasa seseorang di sebelahnya.

“Kenapa?” tanya Wes. Qismyna tidak menjawab hanya menjeling sambil memeluk tubuh. Wes terus perhatikan Fauzan yang telah pun membawa lelaki asing itu pergi dan mereka bercakap di luar.

Qismyna pantas masuk semula ke biliknya. Wes pula meluru keluar ke sisi Fauzan. Fauzan yang melihat Wes sedikit terkejut.

“Kenapa?” Wes bertanya.

“Ini soal saya dengan Qis. Awak tak de hak masuk campur!” belum sempat Fauzan menjawab soalan Wes, lelaki itu membidas sambil matanya terarah pada Fauzan.

“Bertenang.......awak tak boleh paksa dia. Kita dah dewasa. Bertindak cara orang dewasa.” Fauzan masih lagi berlembut.

“Look....... berapa kali saya beritahu. Ini hal saya dengan Qis. Saya cuma nak jumpa dengan dia dan berbincang itu saja.” Intonasi suara yang digunakan lelaki itu lembut sedikit.

“Maaf saya mengganggu.” Wes menyampuk. “Ada apa sebenarnya?” Pandangan lelaki itu beralih kepadanya.

“Awak ni siapa? Sepupu yang mana pulak?” Lelaki itu kelihatan kurang senang dengan kedatangan Wes. Wes dan Fauzan berpandangan sebentar.

“Wes, ini Adam. Kawan lama Qis.” Fauzan mengenalkan. Wes menghulurkan tangan untuk bersalam. Lelaki itu menyambut dengan kasar.

“Saya Wes.” Wes menjungkitkan keningnya tanda kurang senang dengan sikap Adam. “Ada apa hal awak nak jumpa dengan Qis?”

“Itu bukan urusan awak,” jawab lelaki itu bosan.

“Excuse me! Apa-apa saja berkenaan dengan Qismyna adalah tanggungjawab saya.” Wes bersuara tegas. “Tentu ada sebab kenapa Qis tak nak berjumpa dengan awak. Kalau ada apa-apa yang mustahak, awak boleh berbincang dengan saya?”

“Awak siapa dengan Qis? Penting sangat ke tanggungjawab awak tu?!” Kesabaran lelaki itu kembali hilang. Dia berpaling pada Fauzan lalu ingin melangkah semula ke dalam mencari Qismyna. Pantas tangan Wes memegang lengannya.

“Awak nak tahu siapa saya?” Wes merenung lelaki itu tajam.

“Wes!” tiba-tiba Qismyna muncul. Dia menghampiri mereka bertiga. “Baiklah. Kita pergi.” Dia menarik tangan Adam dari genggaman Wes. Wes merenungnya tajam.

“Awak tunggu saya di kereta. Nanti saya datang.” Adam tersenyum. Sempat dia melemparkan jelingan tajam pada Wes sebelum berlalu pergi.

“Tolong jangan masuk campur urusan saya!” Qismyna bersuara perlahan namun keras nadanya. Wes hanya membontoti Qismyna yang berlalu pergi dengan ekor matanya. Fauzan di sebelah menepuk-nepuk bahunya memintanya bersabar.

Qismyna benar-benar rasa tidak selesa dengan apa yang berlaku. Lebih-lebih lagi apabila Adam beberapa kali datang mencarinya di cafe. Dia tidak mahu reputasinya menjadi buruk dan pelanggannya tidak mahu datang ke sini lagi.

Dia hairan mengapa lelaki itu masih mencarinya. Tidakkah dia tahu bahawa Qismyna kini telah pun mendirikan rumahtangga.

Walaupun sebentar tadi Wes hampir mengenalkan dirinya adalah suami Qismyna, namun Qismyna sempat menghalang. Bagi Qismyna, biarlah orang mengetahui dia telah berumahtangga tetapi dia tidak mahu mereka tahu siapa suaminya.



QISMYNA melempar tas tangannya dia atas katil lalu menghempas tubuhnya kasar ke atas tilam. Matanya melirik jam di dinding. Hampir menunjukkan tepat jam sembilan malam. Kelibat Wes masih belum kelihatan.

Qismyna bangun lalu mencapai tuala untuk membersihkan dirinya. Selesai bersolat dia turun ke bawah. Kelihatan Zuril berseorangan di ruang tamu sedang leka menonton televisyen.

Matanya melirik di setiap genap rumah itu. Sunyi. Ibu dan ayahnya juga keluarga mertuanya tidak kelihatan.

“Mana yang lain?” tanya Qismyna. Zuril mengalihkan pandangannya dari peti televisyen. Dia mengerutkan keningnya.

“Oh......” Zuril yang tadinya tidak mengerti siapa yang dimaksudkan Qismyna kini mengerti. “Diorang semua keluar. Makan ikan bakar.”

“Zuril tak ikut ke?” Qismyna menghampiri lalu duduk di sebelah Zuril. Zuril mengalihkan pandangan sebentar pada Qismyna lalu kembali menghadap peti televisyen.

“Tak. Zuril baru balik dari kelas. Diorang semua dah keluar dari petang tadi.”

“Lambat Zuril balik. Ada kelas tambahan ke?” Qismyna mencapai surat khabar pagi tadi dan membelek-beleknya sebentar.

“Tak. Cuma study group je.” Pandangannya kembali semula pada cerita yang tertinggal tadi. Qismyna meletakkan surat khabar di tepi.

“Cerita apa?”

“Fast And Furiuos,” jawab Zuril ringkas.

“Lumba haram?” tanya Qismyna sambil matanya di jatuhkan di kaca televisyen. Zurin hanya mengangguk.

Qismyna mengetap bibir. Matanya masih melirik ke kaca televisyen namun fikirannya melayang mengingati peristiwa petang tadi. Dia tertanya sendiri apa yang di buat Wes di cyber cafenya siang tadi. Atas urusan apa Wes ke sana?

Walaupun dia telah mengetahui Wes adalah seorang pengurus besar di Visma Corporation dan bekerjasama dengan HappyWebCafe, namun dia tidak pernah memberi kebenaran Wes untuk menjejak kakinya ke sana.

Kemudian ingatannya melayang mengingati pertemuannya dengan Adam. Selepas berlaku pertengkaran itu mereka ke Balik Pulau. Di atas bukit di mana cinta mereka pernah termeterai suatu ketika dulu. Dia memang rindukan suasana begini. Berdua-duaan dengan Adam. Tapi entah mengapa hari itu, dia tidak merasa selesa bersama dengan Adam.

Mungkinkah perasaan ini hadir kerana dia telah menjadi seorang isteri? Mungkin juga Tuhan mewujudkan perasaan ini agar dia tahu batas-batas seorang isteri bersama lelaki lain selain suaminya.

Mungkin juga benar apa yang dirasakan. Dia memang tidak selesa selama berada bersama lelaki itu. Tetapi lebih menyakitkan hati apabila Wes tiba-tiba sahaja muncul.

Kehadiran Wes di sana benar-benar menyesakkan pernafasannya. Dia tidak menyangka Wes akan mengekori mereka berdua. Kemudian, pertengkaran yang berlaku di HappyWebCafe bersambung semula di sana. Mujurlah, tidak ada sesiapa melainkan mereka bertiga.

“Rina tahu kau datang sini?” Sengaja dia bertanya soalan itu untuk melihat reaksi Adam. Adam diam seketika sebelum bersuara.

“Untuk pengetahuan kau, aku dan Rina tak de apa-apa lagi. Ikatan pertunangan kami dah pun putus.” Qismyna kelihatan sedikit keliru mendengarnya. Ikatan pertunangan? Bukankah sewaktu dia dan Rina bertengkar dulu, wanita itu mengatakan mereka berdua sudah berkahwin?

“Kau dan Rina belum berkahwin?” Qismyna mengerutkan keningnya.

“Belum. Rina berbohong hari itu,” ujar Adam dengan bersungguh-sungguh. Qismyna merasa ragu dengan kata-kata Adam.

“Tapi kenapa kau tak menentang waktu dia berkata begitu?” bertanya lagi. Walau pun dia tiada hak untuk bertanya soalan itu, namun dia mahu Adam berterus-terang dengannya. Dia penat dengan segala tindak-tanduk Adam selama ini. Jadi dia perlu tahu kebenaran agar lelaki itu tidak lagi mengganggunya.

“Aku cuma tak nak keruhkan keadaan. Aku tahu, apa yang berlaku hari itu sedikit sebanyak menjejaskan reputasi kau.”

“Jadi, apa yang berlaku hari ini tak menjejaskan reputasi aku?” sindir Qismyna. Adam diam lagi.

“Aku minta maaf. Aku cuma mahu hubungan kita seperti dulu.”

“Semua tu dah menjadi kenangan yang tak mungkin berulang, Adam.” Qismyna memeluk tubuhnya seraya berpaling dari memandang Adam. “Sekali pun kau dan Rina dah berpisah, untuk aku kembali pada kau seperti dulu......” Qismyna menggelengkan kepalanya. “...mustahil.....”

“Kenapa? Tak de langsungkah ruang kemaafan untuk aku Qis?” Adam bersuara sayu. Qismyna berfikir sebentar. Nampaknya, Adam masih belum mengetahui statusnya lagi.

“Maaf, Adam. Kita memang tak boleh kembalikan semula kenangan silam. Aku bukan seperti yang kau sangka.....” Mengapa terasa berat untuk dia mengatakan kebenaran. “......Aku sebenarnya....dah kahwin.”

Adam terkesima sebentar. Sukar untuk dia menerima kata-kata Qismyna. Dia terdiam sebentar. Tidak.....tak mungkin Qismyna telah berkahwin. Adam pasti, ini pasti helah gadis itu agar dia tidak mengganggunya lagi. Adam kembali tersenyum.

Dia memberanikan diri menyentuh tangan Qismyna. Qismyna tidak menepis. Walau pun tidak merasa selesa dengan sentuhan Adam, namun dia tidak tahu mengapa dia tidak cuba menarik tangannya dari pegangan lelaki itu. Lelaki itu menyetuh pipi Qismyna dan menarik wajah Qismyna agar memandang ke matanya. Qismyna hanya menuruti.

“Kau masih cintakan aku.” Adam bersuara pasti. Lantas Qismyna menarik tangannya dan bergerak menjauhi lelaki itu. Dia menyumpah-nyumpah dirinya di dalam hati. Mengapa dia begitu bodoh membiarkan lelaki itu menyentuh dirinya sehingga lelaki itu membuat andaian sebegitu.

‘Berdosanya aku membiarkan lelaki ini menyentuhku.’ Dia menghembus nafas kekesalan.

Adam yang berdiri di belakangnya hanya memerhati. Memberi ruang kepada gadis itu sebentar. Setelah agak tenang, Qismyna berpaling memandang Adam kembali. Di gagahkan dirinya untuk membalas renungan lelaki itu.

“Kau tak ada ruang di hati aku lagi Adam. Aku dah berumahtangga. Kenapa kau masih tak faham?”

“Kenapa Qis?” Adam berlembut. Qismyna membisu dan berpaling. Tiba-tiba saja Adam menghampiri dan terus memeluknya erat. Qismyna yang terkejut berasa lemas dalam pelukan lelaki itu.

Dia menolak tubuh Adam jauh darinya. Namun pelukan lelaki itu semakin kuat. Walau pun ikatannya dengan Wes adalah secara tak sengaja, namun dia masih tetap isteri kepada lelaki itu. Dan apa yang berlaku sekarang amat tidak menyenangkannya.

Sedang menolak tubuh Adam, tiba-tiba saja dia terasa tubuh Adam melayang dan terus menghempap bumi. Adam bangun lalu menggosok dagunya yang terasa pedih. Qismyna berpaling. Alangkah terkejutnya dia melihat kelibat Wes di situ.

“Awak! Apa yang awak buat kat sini?” suaranya meninggi. Sesungguhnya dia tidak suka Wes mengekorinya. Tanpa banyak bicara, Wes menarik tangan Qismyna agar mengikutinya. Adam yang melihatkan keadaan itu menjadi geram lalu bangun dan cuba menumbuk muka Wes.

Wes yang menyedari tindakan Adam pantas menepis dan menumbuknya sekali lagi di pipi kiri. Adam terkebelakang. Bibirnya berdarah.

“Aku tak rela engkau sentuh isteri aku!” Wes merenung tajam. Adam terdiam. Terkejut!

Tanpa memperdulikan Adam Wes terus menarik tangan Qismyna dan mengarahnya masuk ke dalam perut kereta. Qismyna hanya menuruti walaupun dalam hatinya menyumpah tindakan lelaki itu. Tetapi dalam masa yang sama dia berterima kasih kerana dia terselamat dari terus melakukan dosa.

Malah hatinya juga terusik apabila Wes berkata begitu. Dia tidak tahu mengapa dadanya berdebar-debar.

‘Aku tak rela engkau sentuh isteri aku!’ terngiang-ngiang kata-kata Wes itu di telinganya.

Sepanjang perjalanan Qismyna hanya berpeluk tubuh dan memandang ke luar. Wes juga membisu hinggalah dia menghantar Qismyna ke cafe semula.

“Kak!” Zuril menjerit sambil menggoncangkan badan Qismyna. Qismyna yang sedang mengelamun tersentap lalu memandang tepat ke wajah Zuril.

“Kenapa kakak ni? Berangan yek?” Zuril tersenyum mengejek.

“Suka hati akaklah nak berangan ke apa!” Qismyna cuba menyembunyikan wajahnya yang telah merah kerana malu dengan kelakuannya.

“Ingat malam pertama ke?” usik Zuril. “Maklumlah....kahwin tanpa cinta. Bila dah kahwin mesti romantik.” Zuril menggulungkan-gulungkan hujung rambutnya dengan hujung jari.

“Abang Wes tu romantik tak, kak?” Zuril berpaling memandang Qismyna. Qismyna memandangnya sekilas lalu melemparkan jelingan kurang senang dengan pertanyaan Zuril. Zuril menarik muncung panjang bila Qismyna langsung tidak memberi respon dengan soalannya.

Tiba-tiba kedengan suara orang berdehem di belakang mereka. Lantas mereka berpaling ke belakang. Wes menjeling sekilas lalu memanjat anak tangga menuju ke bilik. Zuril dan Qismyna berpandangan. Apakah gurauan Zuril tadi telah didengari oleh Wes? Dengan pantas Qismyna mengekorinya dari belakang, sempat dia menjeling Zuril yang tersengih-sengih memandangnya..

Sebaik saja sampai di bilik, Qismyna menutup daun pintu rapat-rapat. Dia mahu berbicara dengan Wes dan dia khuatir jika perbincangan itu berakhir dengan pertengkaran. Kerana itu dia menutup daun pintu rapat-rapat kerana dia tak mahu pertengkaran itu diketahui oleh sesiapa.

Wes memandang Qismyna sekilas. Qismyna berjalan dan duduk di birai katil sambil memeluk tubuhnya. Wes tidak memperdulikan Qismyna dan terus membuka baju dan masuk ke bilik mandi.

Selepas lima belas minit dia keluar dari kamar kecil itu. Qismyna masih lagi membatu seperti tadi. Setelah siap berbaju tidur Wes ingin terus menuju ke sofa dan tidur. Di situlah tempat tidurnya selepas mereka bertengkar dahulu. Namun tiba-tiba rasa kasihan berputik di hatinya. Dia tahu Qismyna ingin berkata sesuatu padanya. Lantas dia menghampiri dan melabuhkan punggungnya di sisi Qismyna.

“Awak ada sesuatu nak cakap ke?” Wes melembutkan suaranya. Qismyna menghela nafasnya seketika lalu berpaling. Memandang anak mata lelaki itu. Wes membalas renungannya. Tiba-tiba saja satu perasaan aneh menyelinap ke hatinya. Lantas dia memandang semula ke depan.

“Saya....” tiba-tiba saja suaranya bagaikan tidak mahu keluar dari kerongkong. Sedangkan sedari tadi dia menunggu kedatangan Wes untuk berbicara dengannya.

“Kenapa?” Wes mengerut keningnya. Qismyna berdiam diri sebentar. Cuba menenangkan hatinya.

“Saya tak suka awak masuk campur urusan peribadi saya.” Qismyna memejam matanya. Bukan ini yang ingin dikatakan sebenarnya. Wes mengeluh seketika.

“Saya tak de niat nak masuk campur urusan peribadi awak. Tapi selagi awak menjadi isteri saya, awak adalah tanggungjawab saya.”

“Saya bukan tanggungjawab awak. Saya tak mahu ada sebarang hubungan antara kita,” suaranya masih mendatar. Wes mengeluh seketika.

Tanpa menjawab dan memberi respon terhadap kata-kata Qismyna, Wes terus mengangkat punggungnya untuk pergi dari situ.

“Nanti!” panggil Qismyna. Langkah Wes terhenti. “Terima kasih....” Walau pun perlahan namun Wes masih dapat mengkap suara itu. Tanpa memandang belakang Wes berlalu ke tempat pembaringannya sambil tersenyum.

Sebenarnya, itulah yang ingin dikatakan Qismyna. Tapi entah mengapa perkara yang lain pula terkeluar dari mulutnya. Ya....memang berat untuk mengungkapkan perkataan itu lebih-lebih lagi kepada seseorang yang tidak disukai.

Sambil berbaring Wes berfikir. Persoalan yang bermain di fikirannya mengenai Qismyna, Adam dan Fauzan telah terjawab apabila dia berjumpa dengan Fauzan petang tadi. Tak disangka, dalam sikap keras hati dan degil yang diperlihatkan Qismyna, rupanya gadis itu adalah seorang pencinta yang sejati sehinggakan kekasih hati yang telah meninggalkannya masih belum dapat dilupakan.

‘Kisah kau seperti aku Qis. Kau bagaikan Farah yang aku tinggalkan. Dan aku ibarat Adam yang meninggalkan kau. Mungkinkah kerana itu Tuhan menentukan jodoh kita bersama untuk membalas setiap perbuatan aku?’

No comments:

Post a Comment