Tuesday, 9 August 2011

Saat Hati Merelakan 26

ZILA menimang-nimang bayi perempuannya yang dinamakan, Siti Aisyah sempena nama isteri Nabi Muhammad s.a.w. Bayi perempuan yang baru berusia dua puluh hari itu berkulit cerah dan banyak menyerupai ayahnya, Johan.

Setelah menyusukan bayinya, Zila mendodoi bayi perempuannya sehingga tidur. Kemudian, dia mencapai telefon bimbit untuk menghubungi Qismyna. Lama rasanya dia tidak berhubungan dengan Qismyna. Kali terakhir dia menelefon sahabatnya itu ketika dia selamat melahirkan Siti Aisyah.

Qismyna juga tidak menghubunginya. Mungkin gadis itu sibuk untuk hari pertunangannya. Memang Zila sengaja melefon Qismyna hari ini kerana hari ini adalah hari pertunangan Qismyna dan Fauzan. Zila tesenyum gambira apabila panggilannya dijawab.

“Apa khabar kau? Tentu sibuk dengan majlis pertunangan, kan?” ujar Zila setelah memberi salam.

“Maaflah. Sebab tak sempat tanya khabar kau. Anak kau macam mana? Sihat? Kau sihat?” Kedengaran suara ceria Qismyna dibalik sana apabila mendapat panggilan darinya.

“Alhamdulillah......semuanya sihat. Aku ni pun dah semakin sihat.” Zila tertawa gembira. “Johan bukan main suka. Balik saja kerja, anak yang ditanya. Langsung tak rasa letih berulang alik dari Penang ke sini.” ujar Zila. Qismyna tersenyum mendengar kegembiraan sahabatnya.

“Maaflah Zie. Aku belum ada kesempatan melawat kau dan ‘anak saudara’ aku tu,” ujar Qismyna dengan rasa terkilan. Memang dia teringin sekali melihat bayi Zila, namun masalah yang menimpanya amat menghimpit perasaan.

“Tak pe......aku faham. Kau jangan risaukan aku. Nanti dah habis pantang, kau boleh melawat aku di rumah nanti.” Zila tersenyum. “Macam mana dengan majlis pertunangan kau? Dah selamat ke? Maaflah aku tak dapat tolong kau siapkan hantaran.”

Qismyna mengeluh mendengar pertanyaan Zila. Keluhan yang perlahan itu, jelas kedengaran di telinga Zila. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan sahabatnya itu.

“Kenapa Qis? Kau masih tak dapat terima Fauzan dalam hidup kau?” tanya Zila. “Biar kita memilih orang yang mencintai kita dan rela berkorban demi kita daripada orang yang kita cintai tetapi tak tahu menghargai kita.”

“Bukan itu masalahnya.....” Qismyna bersuara lemah.

“Habis tu kenapa?” tanya Zila dengan penuh kerisauan.

“Aku dah pun kahwin.”

“What?!!” Zila terkejut. Dahinya berkerut. Tetapi tiba-tiba dia ketawa. “Kenapa? Fauzan dah sabar sangat nak jadikan kau isteri dia? Kelakar betullah korang berdua ni. Aku ingatkan hari ni korang bertunang, rupanya kahwin terus!” Zila mengusik Qismyna sambil tertawa senang.

“So, sekarang cerita sikit kat aku kenapa kahwin tergesa-gesa sangat ni,” pinta Zila sebaik sahaja tawanya reda.

“Aku......aku kena tangkap basah.” Terasa seperti Qismyna menelan suaranya sendiri.

“What?!!” Kali ini Zila yang sedang duduk terus terbangun sambil mulutnya ternganga luas.

“Tapi itu semua salah faham! Aku tak buat apa-apa pun dengan lelaki tu! Dia cuma tolong aku je!” suara Qismyna mulai serak. Airmatanya mula hendak mengalir.

“Lelaki tu? Siapa?” Zila mulai keliru. Akhirnya Qismyna menceritakan satu persatu masalah yang menimpa dirinya. Zila yang mendengar merasa sebak dengan nasib yang menimpa Qismyna.

Tak disangka, hari yang disangkakan hari pertunangan Qismyna dan Fauzan bertukar menjadi majlis perkahwinan Qismyna dan lelaki yang dikenali sebagai Wes.

“Malam tu jugak aku dinikahkan dengan lelaki tu. Majlis hari ni bagi menggantikan majlis pertunangan aku dengan Fauzan untuk menutup malu keluarga,” cerita Qismyna sebelum menamatkan perbualan. Simpati dia mendengar suara Qismyna yang menangis sewaktu bercerita padanya.

Zila termangu sebentar sebaik sahaja mematikan talian. Dia tak menyangka nasib Qismyna akan jadi begitu. Dia sentiasa mengharapkan Qismyna akan menerima Fauzan dalam hidupnya dan melupakan Adam. Tetapi lain pula jadinya.

Jiwanya benar-benar kacau dengan masalah Qismyna. Bagaimana dia dapat menolong sahabatnya itu? Dia sendiri berada jauh dari Qismyna untuk menenangkan gadis itu. Tiba-tiba dia teringatkan Laila, kakak angkat Qismyna.

Qismyna pernah menemukan dia dengan Laila satu ketika dulu. Walaupun mereka berdua tidak rapat, tetapi sesekali mereka ada juga berbalas khabar.

Dengan pantas Zila menghubungi Laila. Dalam hatinya hanya ingin meminta pertolongan Laila menemani Qismyna yang sedang kesedihan kerana dia tahu Qismyna sedang keseorangan.

Selepas berbual seketika dengan Laila dan menceritakan peristiwa yang menimpa Qismyna, Zila mematikan talian. Sangkaannya benar, Qismyna tidak menceritakan masalahnya pada Laila. Dan Laila pula tidak dapat membantu Qismyna kerana dia berada di Cameron Highland mengikuti suaminya berkursus.

Zila mengeluh panjang. Bagaimana dia dapat membantu Qismyna?

“Maafkan aku, Qis.”



QISMYNA menghempas tubuhnya di atas katil empuk itu. Dia memandang sekeliling. Melihat pada setiap hiasan bunga-bungaan yang memenuhi sekitar ruangan bilik yang telah dihuninya sekian lama, pada kain cadar yang beropol, berwarna kuning keemasan.

Kini dia keseorangan di dalam biliknya sendiri yang kelihatan terlalu asing. Bilik yang tidak sepatutnya dihuni dan dikongsi bersama lelaki yang tidak dikenali. Bilik yang kini menjadi milik perkongsian tanpa kerelaan. Argh! Kenapa semua ini terjadi?!

Dia bangun dan bergerak perlahan menghampiri cermin antik yang tergantung di dinding. Dia melihat dirinya sendiri yang berbaju kebaya songket warna emas. Bersanggul tinggi dan memakai net putih. Dia sendiri bagai tidak percaya melihat dirinya begitu.

Dia kembali duduk semula ke birai katil. Satu keluhan dilepaskan. Terbayang wajah mak dan ayah yang begitu marah padanya. Wajah kehampaan Fauzan dan kebencian yang ditunjukkan Mak Ngah dan Pak Ngah. Dia tahu mereka semua marah padanya. Dia telah memalukan seisi keluarga. Dia telah menghampakan semua harapan mereka. Tapi itu bukan salah dia. Kenapa dia harus di hukum pada kesalahan yang tidak dilakukan?

Dia tahu Fauzan sedaya upaya mempertahankan dirinya. Fauzan tahu apa yang berlaku kerana malam itu dia telah menghubungi Fauzan melalui ‘lelaki itu’.

Hari itu juga keluarga mentuanya ada bersama. Mereka telah tiba petang kelmarin. Tetapi dia langsung tak memperdulikan kehadiran mereka, malah dia hanya berhadapan mereka sewaktu makan beradap. Walaupun mereka mengukir senyuman mesra sewaktu bersalam dengannya namun dia tak pasti apakah tanggapan mereka terhadapnya.

Dia tak pedulikan itu semua. Dia tak perlu memperdulikan perasaan mereka. Mereka dan suaminya bukan sesiapa dalam hidupnya.

Dia melirik sebentar ke luar jendela. Memerhati pada tetamu yang semakin berkurangan. Hari menganjak petang. Kelihatan beberapa orang pekerja mengemaskan sisa-sisa makanan dan mengutip sampah.

Qismyna bergerak ke katil. Menyandarkan badannya di kepala katil lalu melepaskan keluhan yang panjang.

Dia pernah menyimpan angan untuk melangsungkan majlis perkahwinannya secara besar-besaran dan penuh dengan adat. Namun, apa yang berlaku sekarang begitu jauh dari anganannya.

Hanya majlis yang ringkas. Tiada persandingan dan tiada kemeriahan. Pengantin hanya menunjukkan diri semasa upacara makan beradab. Setelah itu, mereka hanya bersalam dengan tetamu yang hadir. Dan kemudian, dia berkurung diri di dalam bilik dan Wes entah ke mana.

Sedang dia hanyut dalam lamunannya, pintu bilik terbuka dari luar. Bunyi kuakkan pintu itu mematikan lamunan Qismyna. Lantas matanya teralih pada susuk tubuh yang sentiasa ingin dielakkannya sejak kejadian malam itu.

Qismyna berpaling. Tak ingin melihat lelaki itu. Terasa ada henyakkan di sebelahnya.

Wes yang berada di sebelah Qismyna termenung sejenak memikirkan bait-bait perkataan yang harus dikatakan. Dia tahu disaat begini pasti api kemarahan gadis yang baru dinikahinya sebulan yang lalu masih marak. Dia tidak mahu menambahkan lagi api kemarahan gadis itu. Apatah lagi kini dia diperlu menetap di rumah keluarga mentuanya, memandangkan dia seorang perantau dan hanya menginap di rumah syarikat.

Walaupun keadaan bertambah baik dan keluarga mertuanya kelihatan tidak lagi marah, namun kenyataan tidak dapat diubah. Mereka sebenarnya telah pun dinikahkan pada malam kejadian itu lagi. Hanya keluarga Qismyna saja yang dipanggil pada malam itu memandangkan keluarganya di Sabah. Tanpa dapat membela diri. Dengan alasan mereka telah memalukan seluruh penduduk di kawasan tersebut.

Dan dari cerita yang didengar, penduduk di situ telah lama memerhatikan sepasang kekasih yang sering memadu asmara di sana. Dan pada malam itu, mereka telah berpakat untuk menangkap pasangan kekasih itu dan menikahkan mereka.

Walau pun berkali-kali Wes dan Qismyna menafikan mereka bukanlah orang yang dikatakan, namun penduduk di situ tidak percaya. Dan akhirnya, mereka dinikahkan.

“Saya dah terangkan pada keluarga awak apa yang berlaku pada malam tu.” Wes diam seketika. Cuba mendapat respon dari Qismyna. Namun gadis itu hanya berdiam diri. Melihat gadis itu hanya kaku, Wes menyambung kata-katanya.

“Mereka dah tak marah lagi pada awak.”

“Tak ada gunanya mereka tahu. Takkan dapat mengubah apa-apa.” Qismyna bersuara perlahan. “Melainkan.....” dia diam seketika. “...awak lepaskan saya.”

Wes kelihatan terkejut dengan permintaan Qismyna. Dia tidak menyangka secepat itu Qismyna minta dilepaskan. Dia sendiri sebenarnya tidak mahu meneruskan pernikahan yang tidak dirancang ini. Apatah lagi di saat ini, cinta Farahymma masih beraja di hati.

Tetapi, kedua-dua orang tua mereka memujuk agar mereka berdua cuba untuk hidup bersama. Malah, sebaik saja majlis kenduri dia telah pun berbincang dengan ayah dan ayah mentuanya. Mereka mahu hubungan ini diteruskan walau pun apa yang berlaku bukanlah seperti yang dirancang. Mereka perlu menjaga nama baik keluarga.

“Saya pun inginkan begitu. Tapi kita tak boleh pentingkan diri...”

“Apa maksud awak?” Qismyna memintas percakapan Wes sebelum lelaki itu menerangkan hal yang sebenar. “Entah-entah awak yang rancang semua ni? Awak saja nak perangkap saya?!” Timbul perkara yang bukan-bukan di benaknya.

“Awak......cubalah jangan naik angin dulu. Dengar dulu apa yang saya nak cakap...”

“Betulkan apa yang saya cakap? Ini semua rancangan awak!” Qismyna menumbuk-numbuk bahu Wes dengan kuat. Wes yang tak tahan dengan kelakuan Qismyna menarik tangan gadis itu dalam genggamannya. Qismyna meronta minta dilepaskan. Wes menguatkan genggamannya.

“Kalau awak tak duduk diam, kat sini juga saya rogol awak!” Wes mengugut. Qismyna terdiam mendengar ugutan itu. Jelas kelihatan lelaki itu menggunakan kuasa veto ke atas dirinya. Tak guna!

Demi melihatkan keadaan Qismyna begitu, Wes melepaskan genggaman tangannya. Pantas Qismyna menyembunyikan tangannya. Dia tidak mahu lelaki itu menyentuhnya lagi. Wes tersenyum melihatnya seperti memahami keengganan Qismyna.

Wes bangun lalu menghadap jendela. Langsir dibukanya sedikit lalu memandang jauh kepekatan malam. Kelihatan bulan dan bintang bagai beriringan menyanyikan lagu cinta. Ah! Malam begini amat sesuai sekali untuk berkasih-kasihan. Tapi dengan siapa? Qismyna? Wes tergelak sedikit. Tentu gadis itu pasti menentang habis-habisan.

Qismyna yang sedari tadi memerhatikan kelakuan Wes merasa pelik kerana tiba-tiba lelaki itu ketawa sendiri. Gila! Bentaknya.

“Saya tak kenal awak pun. Kenapa pula saya nak buat macam tu pada awak?” Wes cuba berlembut. “Begini, kita cuba pertahankan perkahwinan kita untuk sekurang-kurangnya setahun. Lepas tu baru kita fikirkan jalan seterusnya.”

“Kenapa lama sangat? Saya nak awak ceraikan saya malam ni jugak.” Qismyna membentak seperti anak kecil.

“Saya pun kalau boleh nak buat macam tu. Tapi kita kena jaga maruah keluarga kita. Lagi pun mereka sendiri mahukan perkahwinan kita diteruskan. ” Wes menjeling Qismyna yang merenungnya.

“Dia orang yang mahukan? Awak yang mereka-reka cerita. Maklumlah, lelaki....sekurang-kurangnya kalau tak bercinta pun, ‘ikan’ depan mata takkan ditolak! Apatah lagi halal.” Qismyna cuba memancing kemarahan Wes. Lantas dia teringat kejadian malam itu. Wes memang sengaja nak mengambil kesempatan!

“Kalau dah tahu, baguslah.” Wes membuka beg bajunya yang masih belum dimasukkan ke dalam almari. Lantas dia membuka baju Melayu yang dipakainya di depan Qismyna.

Qismyna berpaling. Malu melihat seluruh badan Wes yang hanya ditutupi tuala mandi. Dia hanya memerhati setiap kelakuan Wes melalui ekor matanya.

“Kejap lagi abang habis mandi, kita memadu asmara ya sayang....” satu cubitan hinggap di pipi Qismyna. Pantas dia menepis. Wes ketawa. Seronok mempermainkan gadis yang sombong itu. Gadis itu mamang tak boleh berkompromi.

2 comments: