Tuesday, 2 August 2011

Lukisan Cinta 7



TANIA berlari masuk ke dalam kamar Zaiton setelah mendapat tahu dari Mak Eton, wanita itu telah keluar dari Ilham Hati bersama bagasinya setelah bagasi itu dijumpai Pak Cik Arman.

Dengan pakaian seragam yang masih bersarung di tubuhnya menandakan dia baru sahaja pulang dari sekolah, dia terus berlari untuk memastikan kata-kata Mak Eton. Memang benar, Zaiton tiada di dalam kamar. Mungkinkah Zaiton sudah pun pergi dari kawasan Ilham Hati. Mungkin wanita itu masih belum jauh.

Kenapa Pak Cik Arman sanggup mengkhianatinya. Sedangkan dia telah menyuruh lelaki itu menyembunyikan bagasi milik Zaiton. Kenapa Pak Cik Arman menyerahkan bagasi itu? Tania menyeluk poket kanan dan membuka tangan kanannya yang digenggam kemas. Cincin Zaiton masih ada dalam simpanannya. Tentu wanita itu akan kecewa bila pulang ke rumah dan mendapati cincin itu telah hilang. Pasti Zaiton akan menyangka yang bukan-bukan.

“Mak Cik Zaiton……” Tania menangis. Entah bila pula dia boleh berjumpa dengan wanita itu lagi.

“Mak Cik Zaiton!!!!” Tania terus menjerit kesedihan dan menangis teresak-esak.

Tuan Helmi yang kebetulan sedang melalui kawasan perumahan para pekerja terdengar jeritan anak gadisnya itu. Dengan pantas dia berlari mendapatkan Tania.

“Mak Cik Zaiton!!” Tania meraung sehingga semua para pekerja berlari mengerumuninya.

“Tania!! Tania!!” Tuan Helmi mendapatkan Tania yang sudah terduduk di lantai.

“Papa!!! Mak Cik Zaiton dah tinggalkan kita!!” Sayu Tuan Helmi memandang Tania yang sedang teresak-esak. “Dia dah tinggalkan Tania! Papa kena cari Mak Cik Zaiton!!”

Tania membuka tangannya dan menunjukkan cincin itu pada Tuan Helmi.

“Cincin Mak Cik Zaiton?!” Tuan Helmi bertanya. Tania mengangguk. Berubah wajah Tuan Helmi.



ZAITON berjalan lemah menghampiri bas stesen yang terletak di persimpangan masuk ke Setia Sentosa. Sampai sahaja di situ dia melabuhkan punggungnya melepaskan lelah berjalan jauh dari dari Ilham Hati ke situ.

Dia melengung sendirian. Dia tidak merancang untuk pergi dari Ilham Hati lebih awal. Tetapi dia tidak menyangka Arman, adik ipar Tuan Helmi akan mengusirnya keluar dari situ.

Petang tadi Arman datang ke kamarnya. Dia menyerahkan bagasi yang hilang itu kepadanya dan memintanya keluar dari Ilham Hati.

“Tujuan kau datang ke sini kerana beg ini, kan?” Tanya Arman. “Dan sekarang aku serahkan semula beg ni. Aku mahu kau pergi dari sini. Kau tidak diperlukan!”

Wajah Arman benar-benar menunjukkan kebencian padanya. Memang sejak awal lagi dia merasakan Arman juga tidak menyenangi kemesraannya dengan Tania. Mungkin dia tidak mahu ada yang menggantikan tempat arwah kakaknya, Sufi di rumah itu.

“Aku tahu, tujuan kau tidak baik! Kau punya tujuan lain, kan?” Arman merenungnya sinis. Zaiton hanya mendiamkan diri tanpa berkata apa-apa. Melihatkan kebisuan Zaiton, Arman melemparkan bagasi itu padanya. Terkejut Zaiton apabila bagasi itu benar-benar mengenai wajahnya.

Jahaman lelaki ini! Aku akan pastikan hidup dia merana!!

Sebuah bas menghampiri dan berhenti di depan Zaiton. Kelihatan dua orang penumpang turun dari pintu belakang. Zaiton masih berkira-kira untuk menaiki bas itu. Dia membatu dan membiarkan bas itu berlalu.

Zaiton menoleh ke belakang. Melihat-lihat dalam kepekatan malam mencari jika ada bayangan Tania yang mengejarnya. Tiada. Mungkinkah gadis itu masih belum menyedari ketiadaanya?

Ketika dia keluar dari Ilham Hati petang tadi, Tania masih belum pulang dari sekolah kerana menghadiri kelas tambahan. Jika Tania ada, pasti Arman tidak akan berani mengusirnya.

Dia teringat pula pada Amani. Dah empat hari dia meninggalkan Amani bersama Jalil. Bagaimana agaknya keadaan anaknya itu? Walaupun sesekali dia teringatkan Amani sewaktu berada di Ilham Hati, tetapi dia yakin Amani pastinya selamat. Apatah lagi ada Hafiz yang menjaganya.

TUAN HELMI memulas minyak dan motosikal milik Bakri terus memecut lebih laju. Dalam hati dia berdoa moga-moga Zaiton masih belum pergi jauh. Sepanjang perjalanan matanya liar memandang ke kanan dan kiri mencari-cari kelibat Zaiton dalam kepekatan malam itu.

Dari Ilham Hati ke Kampung Indah Mentari dan terus melepasi tasik, bayang Zaiton masih kelihatan. Jantung Tuan Helmi sudah berdegup kencang. Bagaimana jika Zaiton telah pergi. Apa akan jadi pada Tania?

Tuan Helmi terus memandu laju menunju ke stesen bas. Dia menyimpan sedikit harapan moga-moga bas masih belum tiba dan Zaiton masih menunggu di stesen.

Dari jauh, dalam kesamaran lampu jalan, dia melihat susuk tubuh seseorang sedang duduk di stesen. Kelihatannya seperti Zaiton. Tuan Helmi membawa motosikal semakin laju menghampiri stesen bas.

Zaiton yang mendengar deruman enjin motosikal yang menghampirinya segera menoleh. Kelihatan seorang lelaki sedang memakirkan motosikal di tepi stesen dan berjalan menghampirinya. Lelaki yang memakai topi keledar dan sedang membelakangkannya membuatkan keningnya berkerut.

Siapa tu?

Terlopong dia seketika apabila lelaki itu berpaling dan membuka topi keledarnya.

“Tuan Helmi?!”

Tuan Helmi menghampiri Zaiton yang sedang berdiri memandangnya.

“Awak nak tinggalkan Ilham Hati?” Tuan Helmi bertanya. “Awak tak kasihankan Tania?”

Zaiton membelakangi Tuan Helmi. Dia benar-benar tidak menyangka Tuan Helmi akan datang mencarinya. Ini peluang yang baik untuknya. Kesempatan ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Peluang sebegini hanya ada malam ini sahaja. Jika dia gagal, Ilham Hati perlu dilupakan.

Zaiton berpaling semula dan memegang bagasinya.

“Saya dah jumpa apa yang saya cari. Saya perlu kembali ke rumah.” Wajah Zaiton berubah sedih. “Maaf, saya tak berjumpa dengan Tuan dan Tania sebelum pergi. Bukan kerana saya tak mengenang budi, tapi saya tak sanggup!”

Ada airmata yang menitis di mata itu. Tuan Helmi menundukkan wajahnya seolah-olah turut merasa kesedihan itu.

“Awak tak kasihankan Tania?” Tuan Helmi memancing simpati Zaiton.

Mendengarkan nama Tania disebut, lantas Zaiton memangis. Wajah Tuan Helmi dipandangnya.

“Saya kasih dan kasihankan Tania. Tapi saya tetap perlu pergi dari sini!”

“Tania sedang menangis di rumah. Dia mahu saya bawa awak pulang!” ujar Tuan Helmi lagi lalu mendekati Zaiton dengan lebih rapat.

“Anak Tuan sedang menangis di rumah…..saya tahu dan saya turut bersedih kerana perlu meninggalkan dia. Tapi macam mana dengan anak saya? Tentu sekarang dia juga sedang menangis menunggu saya!”

Tuan Helmi terdiam. Ada benarnya kata Zaiton. Dia ridak boleh memisahkan Zaiton dari anaknya demi Tania.

“Saya tahu Tania teringatkan mamanya bila melihat saya.” Zaiton mengukirkan senyuman. “Tuan Helmi jangan risau. Tania baru saja mengenali saya. Hanya empat hari. Tentu dia juga boleh lupakan saya.”

Zaiton berpaling dan melangkah pergi. Di dalam hatinya berdoa moga-moga Tuan Helmi akan menghalangnya dan memujuknya untuk kembali ke Ilham Hati dengan lebih bersungguh-sungguh!

“Bagaimana pula dengan saya?!” Tanya Tuan Helmi sekali gus membuatkan langkah Zaiton berhenti.

Apa maksud Tuan Helmi?

Tuan Helmi mengeluh. Walaupun kedengaran tidak logik tetapi dia tidak dapat menafikan perasaannya. Pertama kali melihat Zaiton dia sudah merasakan satu perasaan aneh. Apatah lagi bila Zaiton mengenakan kurungan hijau muda itu. Berkali-kali dia mengingatkan diri, Zaiton bukanlah Sufi, namun perasaannya tak dapat di kawal.

“Di Ilham Hati, bukan Tania seorang sahaja yang perlukan awak,” Tuan Helmi mendekatkan diri dengan Zaiton. Tangan kanan Zaiton di capai. Di meletakkan cincin kepunyaan Zaiton di tangan.

Zaiton kelihatan terkejut. Bagaimana dia bisa melupakan tentang cincin itu sehinggakan cincin itu tiada dalam bagasi yang dipegangnya langsung tidak di sedari. Mujurlah dia masih belum pulang ke rumah Jalil. Jika tidak pasti teruk dia dibelasah lelaki itu.

“Zaiton…….Jangan tinggalkan saya…..” rayu Tuan Helmi.

Zaiton kelihatan tergamam. Memang itu yang dia mahukan. Tetapi dia tidak menyangka secepat itu Tuan Helmi mengungkapkan kata-kata itu. Dalam terkejut, Zaiton mengukirkan senyuman.

No comments:

Post a Comment