Friday, 26 August 2011

Saat hati Merelakan 30

PAGI itu mereka sekeluarga ke Lapangan Terbang Bayan Lepas untuk menghantar Encik Wahid sekeluarga pulang ke Sabah. Sebagai tanda ucapan terima kasih, Puan Suria telah memberikan sehelai tudung yang cantik dan mahal harganya untuk Puan Wati.

Untuk si kembar Lina dan Maria telah diberikan sepasang baju kurung songket. Tuan Malik pula menghadiahkan sebatang paip berwarna coklat kehitaman buat Encik Wahid. Antik dan menarik.

Mereka semua rasa begitu terharu menerima pemberian tersebut. Sewaktu mengucapkan selamat tinggal, mereka berpelukan.

Qismyna yang juga berada di sana turut merasa sedih apabila melihat ibunya, Puan Suria dan Puan Wati mengalirkan airmata. Malah Lina dan Maria juga menangis sambil berpelukan dengan abang mereka, Wes.

Wes pula cuba memujuk adik-adiknya agar jangan bersedih dan berjanji akan melawat mereka di sana jika ada kelapangan.

Qismyna tidak menyangka seorang lelaki seperti Wes yang kelihatan kasar dan angkuh itu amat penyayang dengan adik-adiknya. Entah mengapa tiba-tiba dia tersenyum sendiri melihat gelagat Wes yang amat lembut memeluk ibu dan ayahnya.

Tanpa disangka sebaik saja Qismyna bersalam dengan ibu mertuanya, Puan Wati, tiba-tiba sahaja dia menarik Qismyna dalam pelukannya. Qismyna kelihatan tergamam sebentar tetapi kemudian dia membalas pelukan itu.

Sewaktu melepaskan pelukan, Puan Wati tersenyum dan dia mengusap pipi kanan Qismyna. Entah kenapa, tiba-tiba Qismyna berasa begitu sayang untuk melepaskan mereka semua pulang ke Sabah. Dan sewaktu dia bersalam dan mencium tangan ayah mertuanya, lelaki itu tersenyum sambil mengusap rambutnya dengan penuh kasih sayang.

Lina dan Maria juga memeluknya setelah bersalam dan mencium tangannya. Sewaktu adik-adik iparnya berbuat begitu, Qismyna dapat merasakan yang dia bukan sahaja ada Zurin sebagai adiknya, tetapi juga si kembar.

Apabila Encik Wahid sekeluarga melangkah pergi sambil melambaikan tangan kepada mereka, Qismyna tiba-tiba sahaja mengalirkan airmata. Dia menjauhi ahli keluarganya yang lain. Dia tidak mahu mereka melihat airmata di pipinya. Dia menyapu airmata yang mengalir dan kembali semula bersama yang lain.

Dia merasa kesal kerana melayani keluarga mertuanya dengan buruk. Dia merasa bersalah kerana marah dan bencikan Wes, dia tidak melayani mereka dengan baik. Betapa kejamnya dirinya dan betapa mulianya keluarga mertuanya. Walau pun dia tidak memperdulikan mereka, namun mereka masih menunjukkan rasa mesra dan kasih sayang kepadanya.

Wes menghampiri Qismyna dan berdiri di sisinya. Sambil melihat keluarganya yang semakin hilang dari pandangan Wes berbisik di telingan Qismyna tanpa didengari mereka yang lain.

“Jangan sedih. Nanti saya bawa awak jumpa dengan mereka.” Pantas sahaja Qismyna beralih kepadanya dengan rasa terkejut.



WES membuka jam ditangannya lalu diletakkan di atas meja solek. Matanya memerhatikan Qismyna melalui cermin meja solek itu.

Qismyna sedang membelek-belek majalah di tangannya. Dengan memakai t-shirt dan track bottom pada malam hari, gadis itu kelihatan seperti hendak bersenam dan bukan untuk tidur.

Sejak berkahwin gadis itu sentiasa mengenakan pakaian sedemikian ketika tidur. Mungkin juga kerana mereka telah berkongsi bilik dan tiada kehidupan peribadi membuat gadis itu selalu mengenakan pakaian sedemikian.

Sedangkan Wes tahu, malah dia pernah membuka almari Qismyna dan melihat pelbagai jenis gaun tidur yang tergantung di dalamnya. Mungkin kerana kehadirannya, gadis itu tidak mengenakan lagi pakaian sedemikian.

Wes melintasi Qismyna untuk ke bilik mandi sambil ekor matanya melirik ke arah gadis itu. Qismyna langsung tidak memperdulikannya dan sibuk dengan majalah di tangannya.

Selesai mandi, Wes mengenakan pakaian dan Qismyna masih seperti tadi. Wes mengeluh seketika. Entah mengapa malam itu dia merasa sunyi sekali. Dia ingin bercerita dan berbual-bual dengan seseorang. Tetapi dengan siapa?

Dia bangun dan menuju ke beranda. Melayani perasaan. Mengingati semula saat-saat sewaktu dia mula-mula mengenali isterinya itu. Mengingati sikap Qismyna yang angkuh dan cepat melata bila dicabar. Dia tersenyum sendiri mengingati itu semua.

Ini merupakan hari pertama dalam ingatannya di mana kenangan Farahymma tidak bermain di kotak ingatannya dan buat pertama kali juga Qismyna berada di ingatannya.

Qismyna yang sedang asyik membelek majalah Destinasi tiba-tiba sahaja bangun. Muka surat yang memaparkan keindahan Sabah dan destinasi pelancongan yang menarik di sana menarik perhatiannya. Tiba-tiba sahaja hatinya terpanggil untuk melawat keluarga mertuanya di sana.

Pantas sahaja kakinya di hayun mendekati Wes yang sedang asyik dalam lamunannya. Dia berdehem kuat agar Wes menyedari kehadirannya. Mendengarkan, deheman Qismyna, lantas Wes berpaling. Dia mengalihkan badannya dan bersandar di dinding.

“Awak ada cuti lagi tak?” tanya Qismyna memulakan bicara.

“Ada.” Wes mengangguk. “Cuti perkahwinan yang saya ambil tujuh hari tu, saya dah batalkan tiga hari. Campur dengan baki cuti lima hari, semuanya masih ada lapan hari,” terang Wes. “Kenapa?”

“Saya........” Qismyna tidak jadi meneruskan kata-katanya. Dia takut jika dia meluahkan keinginannya Wes akan menyindir dan mentertawakannya. “Tak de apalah........” Qismyna ingin melangkah pergi namun Wes sempat menyambar pinggangnya. Sekilas matanya menangkap muka surat majalah yang dipegang Qismyna. Kini dia mengerti.

Qismyna tergamam sekerika. Dadanya berdegup kencang. Wes memegang kedua-dua bahunya dan mengalihkan badan Qismyna agar gadis itu berhadapan dengannya. Qismyna hanya menundukkan kepala sambil menahan getaran di dada.

“Kenapa?” tanya Wes dengan lembut. Qismyna membuka mulutnya sedikit, cuba untuk menjawab soalan Wes. Tapi entah mengapa lidahnya terasa kelu untuk berkata-kata.

Dia sendiri tidak pasti perasaan aneh yang hadir dalam dirinya kini. Kenapa dia berdebar-debar apabila berhadapan dengan lelaki itu?

“Kenapa ni? Awak nak cakap apa sebenarnya?” tanya Wes lagi. Kali ini tidak selembut tadi tetapi tidak juga kasar. Cuma intonasi suaranya agak serius.

“Tak de apa.” Qismyna tiba-tiba sahaja diserang rasa marah. Dia tidak tahu mengapa Wes berkata serius begitu sedang sebentar tadi lelaki itu kelihatan romantik.

Dalam diam Qismyna menyumpah dirinya kerana hanyut dalam dunia khayalannya. Betapa bodohnya dirinya membiarkan dirinya terbuai-buai dengan tindakan Wes sedangkan dari awal dia tahu lelaki itu angkuh dan sombong.

Pantas kakinya dihayun meninggalkan beranda dan masuk ke biliknya semula. Sempat juga dia menghadiahkan jelingan kepada Wes sebelum memboloskan dirinya di dalam kamar tidur.

Wes terpinga-pinga dengan kelakuan Qismyna. Kenapa gadis itu tiba-tiba meradang dengannya. Gila!!!

__________________________________________

Ini adalah N3 terakhir yang akan saya post kan untuk novel ini. Untuk membaca kisah ini selanjutnya dan sebagai koleksi, dapatkan buku ini yang sudah berada di pasaran. SAAT HATI MERELAKAN, novel pertama saya. Terima kasih untuk semua kawan-kawan yang selalu meninggalkan komen-komen. Setiap kritikan, komen dan teguran anda, adalah sumber inspirasi saya untuk meningkatkan kualiti dalam penulisan.

No comments:

Post a Comment