Wednesday 4 April 2012

Ilham Hati 3







“MACAM MANA?” Tuan Helmi memandang Tania.

Tania menarik nafas panjang dan menghembusnya. “Tania dah hantar dia pergi berehat,” ujar Tania dengan wajah yang masam. “Siapa dia papa? Sombong sangatlah! Kita dah buat baik dengan dia, boleh pulak dia jeling-jeling dekat kita!” bentak Tania.

Tuan Helmi ketawa kecil mendengar rintihan Tania. “Biarkanlah… ..Dia tu ada masalah. Jangan ambil hati sangat. Orang kalau ada masalah, macam tulah!” pujuk Tuan Helmi.

“Macam mana papa tahu yang dia ada masalah?” tanya Tania.

Tuan Helmi memandang Tania. “Ada perkara yang boleh kita fahami tanpa berkata. Ada perkara yang tetap kita tidak faham walaupun dinyatakan secara terang.” Tuan Helmi menarik nafasnya dalam-dalam. Tania masih muda, masih terlalu mentah untuk mengerti tentang kehidupan.

Tania yang sememangnya tidak mengrti apa yang dikatakan papanya hanya mengetap bibir.

“Papa minta, Tania berbaik-baik dengan dia supaya dia akan beritahu kita siapa keluarga dia. Kemudian, kita akan hantar dia pulang.”

“Jangan-jangan, budak tu lari rumah tak papa!” Tania meneka.

“Kita siasat dulu, baru kita akan tahu. Tania akan tolong papa, kan?”

“Tentulah!” Tania mengukir senyuman yang ceria untuk papanya. Belum pernah lagi permintaan papa tidak ditunaikan. Dia hanya miliki papa dalam hidupnya.

“Tania dah masuk bilik Tania?” tanya Tuan Helmi.

“Belum lagi, pa. Kenapa?” Pelik dirasakan dengan soalan Tuan Helmi.

Tuan Helmi memandang Tania yang sudah berganti bajunya. “Tania mandi di mana?”

“Tania tumpang bilik Kak Min.” Tania sudah tersengih-sengih. Begitulah kebiasaan Tania. Menumpang kasih dari para pekerja sejak ibunya meninggalkan dunia. Tuan Helmi pulak, biasanya sibuk menguruskan perusahaannya.

“Jadi, Tania belum tengoklah hadiah yang papa beri pada Tania?” Tergeleng-geleng kepala Tuan Helmi dengan sikap Tania. Pastinya Tania terlupa tentang hadiah yang dibawakannya. Sebelum ini, Tania sentiasa ternanti-nanti ole-ole darinya. Mungkin sibuk memikirkan tentang Amani membuatkan Tania terlupa tentang itu.

Tania sudah ternganga. Bagaimana dia boleh lupa tentang itu? Ini semua kerana dia sibuk berfikir tentang Amani yang sombong, dingin dan tegang itu. “Tania pergi tengok sekarang!” Tania sudah berlari meninggalkan Tuan Helmi sendirian di taman kecil di depan kawasan rumah.

Tuan Helmi tergelak kecil melihat Tania yang berlari-lari masuk ke dalam rumah. Lalu, dia mengekori langkah Tania

Tania sudah berlari masuk ke dalam kamarnya yang bertentangan dengan kamar di mana Amani berada. Sampai di dalam kamarnya, matanya menangkap dua anak patung beruang. Wajahnya bersinar ceria.

“Wah!!!” Matanya membulat memandang kedua-dua anak patung beruang itu. Kedua-duanya sama cantik! Tania mengambil anak patung beruang yang bewarna merah jambu. Comelnya! Hatinya sudah bersorak girang. Warna kesukaannya!

“Tania suka?” Tuan Helmi muncul di situ. Pilihannya tepat! Memang dia tahu Tania sukakan warna merah jambu.

“Suka sangat!!” Tania berpaling memandang Tuan Helmi. “Terima kasih, papa!”

Pandangan Tania jatuh pula pada satu lagi anak patung beruang, lalu mengambilnya. “Yang ini pun cantik!”

“Yang itu, papa hadiahkan untuk Amani. Tapi dia tak nak,” ujar Tuan Helmi.

Tania menggeleng kepalanya mendengar sikap Amani. Langsung tak tahu menghargai pemberian orang! Apa salahnya dia ambil! Papa dah susah payah beli untuk dia! “Biarlah papa….. Kalau dia tak nak, biar Tania yang ambil!” Tania cuba menyedapkan hati Tuan Helmi.

Tuan Helmi sudah ketawa. “Mana boleh sayang, buruk siku namanya! Papa beri pada dia.

Lepas tu, terpulang pada dia nak buat apa.”

Benar jugak kata papa. Tania meletakkan kembali anak patung beruang itu.

“Nanti, kalau Amani mahu berbaik dengan Tania, Tania berikan anak patung ini pada dia, boleh?”

“Baiklah, papa!” Tania mengiakan jugak walaupun hatinya ragu-ragu. Mahukah Amani berbaik-baik dengannya?

“Okey, sayang. Papa keluar dulu. Papa nak cari ilham…” ujar Tuan Helmi. Satu ciuman saying hinggap di dahi Tanua. Lalu Tuan Helmi menghilangkan diri.

Tania duduk di birai katil. Papa memang begitu, kalau dia mengatakn dia mahu mencari ilham, bermakna dia mahu bersendiri untuk mencipta corak-corak baru untuk kain-kainnya. Maka, sehingga ilhamnya belum selesai, tiada siapa dibenarkan mengganggunya.

Ingatan Tania terimbas semula pada Amani. Lalu, dia bangun dan menuju ke kamar yang bertentangan dengan kamarnya. Perlahan-lahan dia membuka pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka, Tania terus terlopong melihat di depannya, Amani sedang tidur di atas lantai berbantalkan beg galasnya.

Tania terus terpaku di situ. Dia tertanya-tanya sendiri, mengapa Amani tidak tidur di atas katil? Kalau dia tidak selesa di situ, dia masih boleh tidur di atas sofa. Tapi kenapa….?

Tiba-tiba sahaja satu perasaan asing menerpa ke dalam ruang hatinya. Perasaan simpati dan kasihan.

Amani bergerak-gerak sedikit, lalu kepalanya jatuh ke lantai. Tetapi itu tidak membuatkan Amani bangun dari tidurnya. Ternyata, Amani benar-benar keletihan. Tania mahu berpusing dan meninggalkan Amani tetapi kemudian dia teringat semula permintaan papa yang mahu dia mencari di mana Amani tinggal.

Dia pasti, Amani tak mungkin berbaik dengannya dan memberitahu di mana tempat tinggalnya.

Tania berpaling semula memandang Amani. Matanya terus terancap pada beg galas Amani. Pasti ada sesuatu di dalamnya yang boleh memberi maklumat kepada mereka.

Perlahan-lahan Tania menghampiri Amani dan bersimpuh di tepinya. Wajah Amani yang tenang dalam tidurnya diperhatikan. Setelah merasakan Amani tidak akan terganggu dengan kedatangannya, perlahan-lahan Tania mengambil beg gelas Amani dan membuka. Dia membuka dengan begitu berhati-hati agar tidak terkeluar walau satu bunyi pun.

Di dalam beg itu terdapat beberapa helai baju Amani dan barang-barang keperluannya yang lain. Dia menyelongkar lagi sambil matanya akan memerhatikan Amani. Apabila dia membuka satu lagi zip yang paling depan, dia terjumpa sebuah buku nota kecil. Di depannya tertulis – HAFIZ dan AMANI . Di situ juga tertulis satu alamat. Mungkin inilah alamat rumah Amani.

Tanpa membuang masa Tania terus mengoyak sekeping kertas dari buku nota itu dan menyalin alamat tersebut. Kebetulan memang terdapat sebatang pen di dalam beg galas Amani. Perlahan-lahan dia meletakkan kembali beg galas Amani di sebelah gadis itu. Kemudian, berjalan keluar dari kamar Amani. Pintu ditutup rapat-rapat. Tania sudah tersenyum gembira.

Akhirnya, dia dapat juga satu petunjuk tentang Amani! Dia mahu menemui Tuan Helmi walaupun dia tahu Tuan Helmi sedang mencari ilham. Dia pasti, Tuan Helmi akan gembira dengan maklumat yang dijumpainya. Ketika Tania keluar dari rumah, dia berselisih dengan Izz.

“Abang Izz….!!” Amani yang melihat kelibat Izz menghampirinya dengan girang.

Izz tersenyum melihat wajah ceria Tania itu. “Ada apa ni? Nampak happy je!”

“Tania dah dapat alamat Amani!” ujar Tania separuh berbisik. Tania menunjukkan pada Izz.

Mata Izz membulat sambil bibirnya tersenyum lebar. Memang Tuan Helmi ada menceritakan serba sedikit tentang Amani. Malah Tuan Helmi juga berpesan padanya agar berbaik-baik dengan Amani dan mencari maklumat tentang gadis itu. Nampaknya, kerjanya akan menjadi mudah dengan maklumat yang diterimanya dari Tania.

“Hebat!” Izz memuji Tania. Tania hanya tersengih-sengih menerima pujian itu. “Nampaknya senanglah kerja saya macam ni! Saya simpan alamat ni ya. Saya nak pergi siasat dulu.”

“Uh?” Wajah Tania sudah berubah. Dia terpinga-pinga. “Tapi Tania nak beri pada papa!”

“Papa Tania minta saya siasat tentang Amani. Biar saya uruskan perkara ni dulu. Lagipun, papa Tania dah hilang untuk mencari ilham.”

Tania menganggukkan kepalanya. Memang papa ada nyatakan yang dia mahu mencari ilham. Tania memandang Izz. “Abang Izz dah jumpa dengan Amani?”

“Dah!”

“Jadi?” Tania memandang tepat wajah Izz.

“Jadi??” tanya Izz kembali yang kurang memahami maksud pertanyaan Tania.

“Apa pendapat Abang Izz tentang dia?” Ada satu perasaan cemburu mula memutik.

Izz sudah tertawa dengan soalan itu. Mendengar soalan itu, terus seraut wajah Amani menerpa di ruang ingatan Izz. “Mana dia?”

“Ada di dalam. Berehat,” jawab Tania. “Tania tahu, Amani tu cantik. Tapi, Tania dah cop Abang Izz untuk jadi teman Tania!!” Tania menjeling. “Abang Izz jangan cuba-cuba nak ngorat Amani.”

Izz sudah tertawa sambil menggeleng-geleng kepalanya. Sudah seringkali Tania berbicara perkara yang sama, iaitu Izz adalah miliknya. Tapi Izz tak pernah menganggap perkara itu serius kerana dia yakin, Tania masih belum matang dan tak tahu apa yang diucapkannya. Memang, Tania sering menyatakan perkara itu tetapi dalam masa yang sama Tania juga mempunyai seorang teman lelaki di sekolahnya.

Izz juga sering menjadi tempat Tania meluahkan perasaannya jika Tania mempunyai masalah dengan teman lelakinya yang bernama Faiz. Tania masih muda, perjalanan hidupnya masih jauh. Satu saat nanti Tania akan tahu apa makna cinta sebenar. Cinta tidak hanya sekadar ucapan.

“Okeylah, saya keluar dulu dengan Pak Bakar.” Izz mahu berundur. Tania hanya mengekori langak Izz dengan matanya.

Izz keluar melalui gerbang Ilham Hati. Di sana, Pak Bakar telah sedia menunggunya di dalam kereta. Melihat kelibat Izz, lantas Pak Bakar menghidupkan enjin keretanya.

“Macam mana?” soal Pak Bakar sebaik sahaja Izz masuk ke dalam kereta.

“Saya dah dapat alamat dia,” Izz menunjukkan alamat Amani yang diambil Tania.

“Mana Izz dapat?” soal Pak Bakar dengan wajah yang sedikit kagum.

“Dari Tania. Tania yang dapatkan alamat Amani,” jelas Izz.

“Pasti ini alamatnya?” tanya Pak Bakar lagi.

Izz menjungkitkan bahunya. “Kita cuba siasat dulu,” cadang Izz.

“Kita tak perlu ke balai polis dulu?” Pak Bakar mahu kepastian dari Izz kerana pada asalnya, mereka berdua sudah merancang untuk ke balai polis untuk mendapatkan sedikit info berkenaan Amani. Kebetulan salah seorang pegawai polis di balai yang terdekat merupakan kenalan Tuan Helmi.

“Rasanya tak perlulah Pak Bakar. Kita terus ke alamat ni,” cadang Izz. “Manalah tahu, kalau pun ini bukan tempat tinggal Amani, tapi mungkin kita boleh dapat sedikit maklumat.

Pak Bakar mengangguk setuju. Lantas, kereta dipandu keluar dari kawasan Setia Sentosa menuju ke pusat bandar Georgetown dan terus ke jalan yang tertera di dalam kertas yang dtulis Tania.

Sampai sahaja di depan perkarangan rumahpangsa kos rendah, Pak Bakar menghentikan keretanya. Dia membaca kembali alamat rumah Amani. “Pak Bakar rasa flat ni dah betul. Jalan pun, jalan yang sama,” ujar Pak Bakar.

“Jom! Kita periksa dulu.” Izz sudah keluar dari perut kereta. Bak Bakar mengekori dari belakang.

Mereka terus menuju ke lif dan naik ke tingkat lima, mengikut apa yang tertera di alamat yang ditulis Tania. Sampai sahaja di depan pintu kuning yang tertulis nombor tujuh, mereka menghentikan langkah. Rasanya, inilah alamatnya.

Izz melirik Pak Bakar seketika sebelum memberi salam. “Assalamualaikum…!” Izz memberi salam seraya mengetuk pintu. Tidak kedengaran suara yang menyambut salamnya. “Assalamualaikum….” Sekali lagi Izz memberi salam dan mengetuk pintu.

“Kau nak apa?!” Tiba-tiba muncul seorang lelaki yang membuka pintu dari dalam. Dia kelihatan kusut tanpa pakaian dan hanya berkain pelikat. Wajah bengisnya terus memandang tajam pada Izz.

Izz memandang lelaki itu dari atan dank e bawah, kemudian ke atas semula. “Boleh saya jumpa dengan Amani?” soal Izz. Sebelum dia menerangkan yang Amani ada dengannya, adalah lebih baik dia pura-pura mencari Amani. Lagipun, lelaki di depannya ini kelihatan mencurigakan.

“Kau siapa?” tanya lelaki itu.

“Saya kawan Amani. Boleh saya jumpa dia?” soal Izz lagi.

“Kau kawan Amani? Budak tak guna tu mana ada kawan!!” Jelas sekali lelaki itu tidak mempercayainya.

Terkejut Izz mendengar kata-kata kesat lelaki itu pada Amani. “Saya memang kawan dia!” Izz bertegas dan terus memainkan peranannya.

“Kau jangan nak ‘kelentong’ aku. Aku kenal dia dari umur dia tujuh tahun tahu!! Orang macam dia tak ada kawan. Tambah-tambah kawan lelaki macam kau ni!” tegas lelaki itu sambil menunding pada Izz. “Kau siapa?!”

“Saya kawan Amani!!” Izz masih lagi memberikan jawapan yang sama.

“Amani?!!” Tiba-tiba satu suara perempuan mencelah. Mereka bertiga memandang seorang wanita cantik yang sedang berdiri di koridor sambil menjinjit beg plastik yang berisi sayur-sayuran. “Kamu kawan Amani?” perempuan itu bertanya. Matanya sudah terancap pada Izz.

Dengan sedikit rasa ragu, Izz menganggukkan kepalanya. Rasanya, wanita ini mungkin ibu Amani. Melihatkan raut wajahnya, ada iras-iras gadis itu.

“Kamu jumpa Amani? Mana dia?!” Wajah perempuan itu kelihatan menyimpan harapan. “Saya mak dia!! Mana dia??!”

Izz dan Pak Bakar berpandangan. Mereka kini berbelah bahagi sama ada mahu berterus terang atau tidak.

“Kamu jumpa Amani tak?” Wanita itu sudah mendekati Izz. Izz tergamam seketika. “Amani dah banyak hari tak balik.”

“Kau jangan pandai-pandai nak bawa masuk budak tu kat sini lagi!” Lelaki bengis itu membentak pada wanita itu. “Aku dah halau budak tu keluar! Aku tak benarkan dia datang sini lagi!” Semakin bengis wajah yang ditunjukkan lelaki itu.

“Kau memang kejam!!” Wanita itu pula membentak sambil berbalas pandang dengan lelaki itu. Kemudian, wajah wanita itu bertukar muram pula. “Entah mana Amani tinggal sekarang.”

“Yang kau ambil berat sangat pasal dia kenapa? Kau pun bukan sayang sangat dengan dia!” ujar lelaki itu pada wanita itu. Mereka berdua langsung tidak memperdulikan kelibat Izz dan pak Bakar yang tegak di situ sambil memerhatikan setiap tindak tanduk dan perbualan mereka.

“Aku sukakah, aku bencikah dekat dia, dia tetap anak aku!”

“Peduli apa aku!! Kalau kau nak bawa Amani tinggal di sini, kau minta dia bayar balik duit aku. Kau ingat senangkah nak menang nombor ni?! Boleh pulak budak tu koyakkan tiket aku!” Dia mendengus.

Pak Bakar dan Izz sempat beristigfhar mendengarnya.

“Eh, yang korang berdua tunggu apa lagi? Amani tak ada kat sini," bentak lelaki itu pada Pak Bakar dan Izz. "Dia dah berambus pergi mampus!!” Bentak lelaki itu lalu menutup pintunya dengan kuat.
Terjungkit bahu Pak Bakar dan Izz dengan dentuman kuat pintu yang ditutup. Mereka berpandangan seketika.

“Maaf… Maaf… encik,” Wanita itu mengalihkan perhatian Pak Bakar dan Izz padanya. “Encik ada jumpa Amani?” tanya wanita itu dengan lembut. Kedua lelaki di depannya ini kelihatan seperti orang baik-baik. Jadi, tentu Amani berada dalam keadaan selamat.

“Puan ni siapa?” tanya Izz.

“Saya mak Amani,” ujar wanita itu. “Saya, Zaiton, mak Amani,” dia mengulang sekali lagi dan menunjuk pada dirinya. “Amani tak beritahu tentang saya pada encik berdua?”

“Lelaki tadi?” tanya Izz tanpa menjawap soalan wanita itu. “Dia ayah Amani?”

Raut wajah Zaiton berubah, kemudian dia menggeleng. “Bukan. Dia abang saya, pakcik Amani.”

“Puan nak jumpa dengan Amani?” tanya Izz kemudiannya.

Zaiton diam seketika, berfikir. “Saya tak boleh!”

“Kenapa?” tanya Izz. Pelik pula dia dengan keluarga ini.

“Pakcik Amani halau Amani keluar dari rumah sebab Amani dah koyakkan tiket nombornya. Kebetulan tiket tu, menang sepuluh ribu ringgit. Kalau Amani nak pulang ke sini, kami berdua perlu bayar pada dia sepuluh ribu ringgit dulu.”

Pak Bakar dan Izz berpandangan. Ada rasa kurang senang dengan keluarga ini.

“Begini, encik tinggalkan alamat rumah encik. Esok pagi, waktu saya keluar ke pasar, saya akan ke sana,” Zaiton berbisik, takut jika abangnya terdengar. “Bukan apa, abang saya larang saya mencari Amani. Kalau tak, teruk saya kena pukul nanti!”

Izz sudah menjungkitkan keningnya. Kalau wanita itu takut dipukul abangnya, mengapa tak mengikut Amani keluar dari rumah ini? Mengapa dibiarkan Amani keluar dari rumah ini sendirian? “Macam nilah, puan,” Izz sudah menggaru pipinya. “Puan bagi nombor telefon yang boleh saya hubungi.” Izz sudah mengeluarkan telefonnya. Kemudian, mereka saling menukar nombor. “Kalau ada apa-apa, puan hubungi saya."

"Baiklah." Zaiton mengangguk. "Tolong jagakan Amani ya. Katakan pada dia, kalau saya dapat kumpul wang untuk bayar pada pakcik dia, saya akan bawa dia balik. Kalau boleh, minta dia hubungi saya, ya."

"Amani tak ada hubungi puan?" tanya Izz.

Zaiton menggeleng. "Kalau boleh saya tanya, macam mana Amani boleh ada dengan encik berdua?"

"Sebenarnya, Amani mengalami kemalangan. Kebetulan, Tuan Helmi yang melanggarnya."

"Kemalangan?!" wajah Zaiton sudah berubah. "Macam mana dengan dia? Cedera teruk tak?" Hati Zaiton sudah tak tentu arah.

"Puan jangan risau. Mengikut doktor yang memeriksa Amani, dia tak apa-apa. Dia pengsan bukan sebab kemalangan, tetapi kerana tidak makan selama beberapa hari." Izz bisa melihat wajah keriasauan itu.

"Amani tak makan?" Zaiton tertunduk muram. "Kesian anak aku!" Zaiton sudah sebak. Walaupun dia agak renggang dengan Amani, namun Amani tetap darah dagingnya.

"Puan tak perlu risau. Amani dah sihat. Sekarang dia sedang berehat di penginapan Tuan Helmi. Kami akan menjaganya dengan baik," janji Izz.

"Tuan Helmi yang menjaga Amani?" tanya Zaiton. Izz mengangguk. "Kamu boleh minta tolong dengan Tuan Helmi?" tanya Zaiton.

"Insya-Allah….Tolong apa?" tanya Izz.

"Minta dia jaga Amani. Jangan halau Amani dari rumah Tuan Helmi. Saya akan cari kerja dan kumpul duit. Berapa saja yang Tuan Helmi minta upah untuk jaga Amani, saya akan usahakan. Kesianlah pada dia. Kalau Tuan Helmi halau dia, di mana lagi dia harus pergi," rayu Zaiton. "Saya pun tak akan tahu di mana anak saya.” Sejak Amani pergi, hatinya tidak pernah tenang. Malamnya, tidak pernah tidur dengan lena. Dia khuatir dengan keselamatan Amani. Namun, perkhabaran ini sangat melegakan hatinya. Dia tak mahu kehilangan jejak Amani lagi. Biar Amani jauh, asalkan dia tahu Amani selamat.

"Insya-Allah, saya akan bercakap dengan Tuan Helmi." Izz tersenyum. “Puan jangan risau. Tuan Helmi baik orangnya.”

"Terima kasih," ucap Zaiton pada Izz. "Terima kasih," pandangannya jatuh pada Pak Bakar pula. Pak Bakar menganggukkan kepalanya.

"Kami minta diri dulu, puan. Assalamualaikum...."

"Waalaikummussalam....."

Izz dan Pak Bakar turun semula ke kereta yang diparkir di tepi jalan. Mereka berdiri di sisi kereta dahulu.

"Izz, pakcik tak rasa yang keluarga mereka ni orang baik-baik," Pak Bakar meluahkan apa yang terbuku dihatinya.

Izz hanya berdiam diri. "Mungkin pakcik Amani saja yang kurang baik. Saya rasa Amani dan Puan Zaiton sekadar mangsa." Begitu yang difikirkan Izz.

"Kalau Puan Zaiton orang yang mengambil berat tentang anaknya, mesti dia dah ikut Amani keluar sekali dari rumah tu,” ujar Pak Bakar.

Izz juga ada terfikirkan hal itu. "Mungkin Puan Zaiton ada anak yang lain," Izz berkira-kira walaupun ketika berada di sana sebentar tadi, dia tidak melihat kelibat orang lain selain Puan Zaiton dan pakcik Amani.

"Kita akan siasat latar belakang keluarga ni," ujar Izz. "Mari!" mereka kembali masuk ke dalam kawasan rumah pangsa kos rendah ini.




 

2 comments:

  1. saya suka jalan cerita ni...dan saya harap cerita ni lain drp yg lain..sebab skrang ni terlalu banyak dipasaran novel melayu yg kawin paksa..benci membenci diantara satu sama lain dan akhirnya jatuh cinta...saya betul2 berharap jalan cerita ni lain drp yg lain...apa2 cik writer..maafkan saya kalau komen saya ni membuatkan ci writer berkecil hati..

    ReplyDelete
  2. terima kasih utk komen anda ya....saya tidak kecil hati, malah saya sangat menghargainya. sebagai seorg penulis baru yg masih cetek dgn pengalaman dlm bidang ini, sy sangat mengharapkan komen2 dari pembaca utk mengetahui jalan cerita yg bagaimana yg disukakan oleh pembaca.

    pada permulaan penulisan saya, terus terang saya akui banyak penulisan saya yang saya tulis tentang jalan cerita yg saya suka sahaja. tapi lama kelamaan, saya sedar....bukan apa yg saya suka perlu ditulis. tetapi apa yg pembaca mahukan dan dalam masa yang dapat memberi pengajaran utk pembaca dan diri sendiri.
    komen2 dari pembaca banyak membantu saya dalam memberikan sesuatu penulisan yang lebih berkualiti. insya-Allah...

    ReplyDelete