Mereka
bertiga berpandangan sesama sendiri. Masing-masing tertanya dengan maksud
tujuan Zack melakukan begitu.
“Maksud
Tuan Syed?” Che Enon mengambil peranan untuk bertanya.
“Begini,
mereka berdua adalah calon pelajar yang akan dibawa masuk ke dalam Warisan
Syed,” ulang Zack. “Mereka berdua masih dalam perhatian. Jadi, saya mahu
rahsiakan identiti saya. Kalau di depan mereka, saya mahu kamu semua panggil
saya, Encik Zack, orang kanan Tuan Syed Zikri!” terang Zack dengan lebih jelas.
“Oh,
kiranya Tuan Syed mahu menyamarlah?” Mata Che Enon sudah terbuka dengan besar.
Zack
menganggukkan kepalanya. “Boleh?” tanyanya kepada mereka bertiga. Satu persatu
wajah mereka dipandangnya.
“Baik, Tuan
Syed!” sahut mereka bersama anggukan..
“Oh ya,
jangan lupa beritahu tentang rancangan saya pada Pak Sudin!” Pesan Zack. Dia tidak mahu Pak Sudin membuatkan rancangannya rosak pula nanti.
“Nanti Pak
Dollah sampaikan kepada Pak Sudin,” beritahu Pak Dollah.
“Jadi, Tuan
Syed tak marah saya bawa mereka berdua datang ke sini?” Che Enon mengulangi persoalan itu semula.
“Tak
mengapa,” ujar Zack. Mana mungkin dia marah sedangkan hatinya sudah berbunga
gembira. “Tapi macam yang saya beritahu, lain kali kalau nak buat apa-apa minta
izin saya dulu,” Zack mengingatkan lagi.
Mereka
mengangguk laju. Masing-masing sudah menarik nafas lega.
"Cuma,"
Zack menggosok dagunya sekejap. “Kalau boleh kamar utama tu, Che Enon serahkan
semuanya pada Audra. Biar dia yang atur bilik saya nanti!” arah Zack. Dia sudah
mengukirkan senyuman dan di ruang fikirannya sudah tertanya bagaimana agaknya cara
susunan Audra. Apakah kena dengan citarasanya?
“Baik, Tuan
Syed!” Terangguk-angguk kepala Che Enon. Lega rasanya apabila dia terlepas dari
tugas itu. Tapi kenapa Audra? “Tapi, kerja yang patut Audra buat ni tak ada
kena mengena dengan temuduga tu-kan?” Lambat-lambat Che Enon menuturkan
pertanyaan.
“Uh?” Zack
sudah beralih memandang Che Enon. “Maksud Che Enon?”
“Begini,
Audra pelajar akaun di bukan pelajar rekaan dalaman,” Che Enon cuba mengingati
semula perbualan antara dia, Zana dan Audra ketika di gerai Man Corner. “Kalau
Tuan Syed tak suka dengan cara susunan Audra, apakah Tuan Syed takkan beri
peluang kepada Audra?”
Zack ketawa
kecil. Rupanya, itu yang dirisaukan Che Enon? “Bergantung,” ujar Zack ringkas
sengaja mahu mainkan Che Enon.
“Bergantung?”
Wajah Che Enon berubah. “Kalau Tuan Syed tolak permohonan Audra kerana tak
berpuas hati dengan cara susunannya, Che Enon akan rasa bersalah. Sebab Che
Enon yang pujuk budak-budak tu datang ke sini."
“Baiklah,
saya janji dengan Che Enon segala keputusan temuduga takkan ada kaitan dengan bantuan
mereka." Zack mengerling Che Enon. "Tapi, dengan satu syarat."
Kening Che
Enon sudah terjongket. Alamak! Ada syarat pulak ke?
"Syaratnya,
Audra bukan sahaja kena susun bilik tidur utama, tapi juga pejabat saya. Minta
Audra pilih salah satu kamar di tingkat tiga untuk dijadikan pejabat baru.
Pejabat di tingkat bawah, jadikan ia sebagai bilik tetamu. Tapi, Audra tak
perlu susunkan bilik tu. Audra hanya perlu susun atur semula bilik tidur dan
pejabat yang baru. Yang lain, saya akan lantik seorang pereka dalaman untuk
uruskan,” terang Zack. “Che Enon faham?” Menikam matanya memandang Che Enon.
Terangguk-angguk
kepala Che Enon. Tapi kenapa semuanya Audra? Tak pula Tuan Syed sebut nama
Zana. Nak ditanya, tapi dia tak berani.
“Lagi
satu,” ujar Zack semula. “Malam nanti, Che Enon biarkan mereka bermalam di
kamar Ilyana. Baju-baju Ilyana yang ada dalam almari tu, dia orang boleh
pakai,” sambung Zack lagi.
Terkedu Che
Enon. Semakin tertanya-tanya Che Enon di dalam hati. Tuan Syed macam tahu-tahu
sahaja yang Audra dan Zana tak membawa pakaian ganti. Tuan Syed ni betul-betul
macam James Bond! Apa saja yang berlaku tak pernah lari dari pandangannya.
No comments:
Post a Comment