IZZ MUKMIN sedang memandu Toyota Innova yang berwarna perak. Sesekali dia melirik Tuan Idrus yang sedang membaca surat khabar di belakang melalui cermin di depannya.
“Tuan,
kejap lagi kita dah masuk Sempadan. Tuan nak singgah mana-mana dulu?”
Biasanya, kalau Tuan Idrus berada di kawasan bandar pasti dia mahu singgah ke
mana-mana untuk membeli hadiah buat Tania sebelum pulang ke Ilham Hati.
“Hmm...” Tuan Idrus sedang mencongak pertanyaan Izz
sambil melipat surat khabarnya. Apa lagi yang mahu dibelikan buat Tania? Dia
bertanya sendiri.
“Setiap
kali saya ke bandar, macam-macam yang dah saya belikan untuk Tania. Baju,
kasut, beg. Bulan lepas, saya dah beli iPad untuk dia. Apa lagi yang boleh saya
beli untuk Tania?” Tuan Idrus mula berfikir.
Izz melirik Tuan Idrus melalui cermin lagi.
“Tuan,
maaflah kalau saya nak cakap sesuatu.” Izz bersuara dengan rasa bersalah. “Saya
tahu, tuan terlalu sayangkan Tania. Tapi, ada kalanya kasih
sayang tak boleh ditunjukkan dengan kemewahan.”
Izz sering saja merasakan yang Tuan Idrus agak
keterlaluan dalam memberikan kemewahan kepada Tania.
Namun, siapalah dia untuk menegur sikap lelaki itu?
“Maksud
kamu?” tanya Tuan Idrus.
“Maksud
saya, Tania perlukan perhatian dan kasih sayang, bukan kemewahan. Apa yang tuan
telah berikan kepada dia dah lebih daripada cukup. Kadang-kadang tuan, kalau kita terlalu
memanjakan anak dengan kemewahan, buruk padahnya,” terang Izz.
“Hmm...”
Terangguk-angguk kepala Tuan Idrus kerana bersetuju dengan kata-kata Izz.
“Saya tahu, saya terlalu sibuk dengan kerja.
Saya selalu tinggalkan Tania. Sebab itulah kalau saya ke mana-mana saya akan
belikan sesuatu kepada dia untuk menunjukkan yang saya selalu ingat kepada
dia.” Tuan Idrus menghela nafas seketika.
“Agak-agak kamulah, apa yang boleh saya bawa pulang
untuk Tania kali ni?” Tuan Idrus meminta buah fikiran.
Izz sudah tertawa kecil mendengar pertanyaan
Tuan Idrus.
“Apa-apa
saja yang dia suka. Tania anak yang manja. Saya lihat, dia suka sangat dengan teddy bear. Mungkin
tuan boleh belikan satu untuk dia,”
cadang Izz.
“Tapi,
dah banyak sangat teddy bear dalam bilik dia tu.” Tuan Idrus
berfikir lagi.
Memang benar, dah terlalu banyak sangat anak
patung beruang di dalam kamar Tania. Kebanyakan pekerjanya memang tahu yang Tania sangat menggilai anak patung
beruang. Sebab itulah apabila mereka ke mana-mana, pasti mereka akan belikan
untuk Tania. Daripada sekecil-kecil saiz hingga ke sebesar-besar saiz anak patung beruang ada dalam simpanan Tania.
“Tuan
pernah hadiahkan untuk dia?” tanya Izz.
Tuan Idrus menggeleng.
“Ha...
Kalau macam tu, apa kata tuan hadiahkan satu untuk dia?
Hadiah yang tuan berikan tentu lebih bermakna buat Tania.”
Tuan Idrus tertawa. Kata Izz ada benarnya.
“Kalau macam tu Izz, kita singgah mana-mana kedai dan belikan satu untuk Tania.”
Tuan Idrus sudah tersenyum lebar. Dia sudah terbayangkan
kegirangan Tania apabila menerima patung beruang daripadanya.
Sebaik sahaja tiba di sebuah kedai yang menjual pelbagai
anak patung dan cenderahati, Izz terus memberikan signal untuk memarkir. Ketika dia hendak membetulkan kedudukan kereta di kotak
kuning, dia memasukkan reverse gear untuk ke belakang. Tiba-tiba saja satu dentuman yang kuat
kedengaran. Pantas Izz menarik brek tangan setelah merasakan dia telah
melanggar sesuatu. Dia dan Tuan Idrus bergegas keluar dari dalam kereta.
Terkejut mereka apabila melihat sekujur tubuh
kecil milik seorang gadis terbaring di atas jalan. Mereka berpandangan. Izz
tidak melanggar sesuatu, tetapi seseorang! Wajah Izz sudah berubah.
“Ya
Allah!” Tuan Idrus terus memangku gadis yang sudah tak sedarkan
diri itu.
“Angkat
dia! Kita bawa dia ke klinik Doktor Iwan,” perintah Tuan
Idrus.
Kebetulan, klinik Doktor Iwan terletak selang
tiga buah kedai dari kedai cenderamata itu. Dengan pantas Izz mengangkat tubuh gadis
itu. Mujurlah saiz gadis itu kecil sahaja. Izz langsung tidak terganggu dengan
berat badan gadis itu sehingga dia masih boleh melajukan gerak langkahnya ke
klinik Doktor Iwan. Tuan Idrus pula sudah mencapai beg galas yang dibawa gadis tersebut
bersama-samanya.
Sampai sahaja di klinik Doktor Iwan, gadis muda
itu dibawa masuk ke ruang pemeriksaan. Tuan Idrus dan Izz pula menunggu di luar
dengan rasa gelisah. Entah apa yang perlu dijawab kepada keluarga gadis
itu jika berlaku sesuatu ke atasnya.
Hampir 45 minit Doktor Iwan
menghilangkan diri untuk memeriksa gadis itu di dalam. Kemudian, barulah
kelibat salah seorang jururawatnya muncul di situ.
“Tuan,
Doktor Iwan panggil masuk ke dalam,”
kata jururawat itu.
Mereka berdua terus bangun dan masuk ke dalam
bilik Doktor Iwan.
“Sila
duduk Tuan Idrus, Izz,” pelawa Doktor Iwan.
Klinik Doktor Iwan telah menjadi salah satu
klinik panel para pekerja Ilham Hati. Walaupun agak jauh daripada
Ilham Hati, namun Tuan Idrus lebih mempercayai klinik Doktor Iwan setelah lama
menggunakan khidmat doktor itu.
“Macam
mana doktor?” soal Tuan Idrus.
“Di
mana tuan jumpa gadis ni?” tanya Doktor Iwan lalu duduk di kerusinya dan
bertentang mata dengan Tuan Idrus dan Izz. Wajah mereka berdua dipandang.
“Kami
terlanggar dia tadi. Dia tak sedarkan diri. Sebab tu kami bawa dia ke sini,” terang Tuan Idrus.
“Teruk tak kecederaan dia?” tanya Izz
pula.
“Dia
tak apa-apa. Semuanya okey. Saya percaya gadis ini pengsan bukan kerana dilanggar oleh Izz
tadi.”
“Maksud
doktor?” Berkerut dahi Izz.
“Saya
dah periksa tekanannya. Dia terlalu lemah. Nampaknya, dia dah beberapa hari tak
makan,” beritahu Doktor Iwan.
“Betulkah
doktor?” Tuan Idrus mahukan kepastian.
“Saya
yakin. Saya dah masukkan air ke dalam badannya. Kita tunggu dulu. Biarkan
budak tu berehat. Kita lihat perkembangan selanjutnya. Tuan boleh tunggu
sehingga budak perempuan tu sedar dan selamat untuk dibawa pulang?” soal
Doktor Iwan kemudiannya.
“Boleh,
boleh.” Tuan Idrus mengangguk laju. Namun kemudian dia teringat
semula tentang tujuannya untuk membelikan hadiah buat Tania. “Sementara
dia di sini, boleh tak saya nak tinggalkan dia sekejap? Saya nak pergi beli
sesuatu untuk Tania. Hanya di kedai cenderahati di hujung deret ni saja.”
“Oh, boleh. Tak ada masalah. Tania apa khabar?”
Doktor Iwan yang sudah mengenali seluruh keluarga Tuan Idrus itu hanya
bersetuju. Seraut wajah yang comel dan manja terus menerpa di ruang mata Doktor
Iwan.
“Macam tulah doktor. Manja macam dulu jugak. Dah
datang sini, saya ingat nak belikanlah sesuatu untuk dia. Nanti
merajuk pulak kalau balik dengan tangan kosong,” balas Tuan
Idrus.
“Tak apalah. Yang penting dia gembira.” Doktor
Iwan hanya tersenyum.
“Terima kasih, doktor. Izz boleh temankan budak
tu?” Pandangan Tuan Idrus beralih memandang Izz.
“Boleh, tuan.” Izz memang tidak pernah kata
tidak pada setiap arahan Tuan Idrus.
IZZ menarik kerusi dan duduk di sisi gadis itu. Dia
memandang seluruh bilik pemeriksaan dan kemudian pandangannya jatuh ke wajah yang tenang di hadapannya.
Kedengaran hembusan nafas yang halus. Izz menatap wajah gadis itu. Lama.
Tiba-tiba dia tergamam apabila melihat titisan air mata
menitis dari mata kiri itu. Entah kenapa jiwa Izz ikut sebak melihat
titisan air mata itu.
Izz menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri. Dia mencapai beg galas milik
gadis itu yang diletakkan di atas meja kecil bersebelahan kepala katil pesakit.
“Amani.” Izz membaca nama yang tertulis pada
key chain yang tergantung di zip beg galas.
Tiba-tiba gadis itu bergerak. Dengan pantas Izz
meletakkan semula beg galas itu di atas meja kecil.
“Amani.” Izz cuba menyebut nama itu walaupun dia belum
pasti apakah nama itu milik gadis tersebut.
Dengan perlahan gadis itu membuka matanya.
Sorotan matanya terus terhala ke wajah Izz. Izz mengukirkan senyuman untuk
gadis yang masih kelihatan lesu itu. Melihat wajah Izz, gadis itu terus
bergerak untuk bangun.
“Jangan bangun.” Izz menyentuh bahu gadis itu
untuk menghalangnya.
Gadis itu menepis tangan Izz.
“Awak masih lemah. Awak rehatlah,” ujar Izz.
Gadis itu terus memandang Izz dengan pandangan
kurang senang.
“Okey, biar saya keluar dari sini. Awak
berehat.” Izz terus melangkah keluar apabila merasakan kehadirannya tidak
disukai.
Dia menemui jururawat di situ dan memberitahu
tentang perkembangan gadis itu. Jururawat segera masuk ke bilik pemeriksaan.
“Izz.” Tuan Idrus yang baru tiba di situ menyentuh bahu Izz.
“Tuan.” Izz bangun daripada duduk.
“Budak perempuan tu dah sedar,” beritahu Izz.
“Alhamdulillah.” Tuan Idrus
menarik nafas lega.
“Tuan, tuan boleh masuk ke dalam.” Jururawat
yang sebentar tadi menghilangkan diri muncul semula.
Tuan Idrus dan Izz melangkah masuk ke dalam
bilik pemeriksaan. Masuk sahaja di bilik itu, kelihatan gadis itu sedang
bersandar di kepala katil. Sambungan drip masih
ada di tangannya. Gadis itu memandang mereka silih berganti.
“Anak...”
Tuan Idrus menghampiri gadis itu. Dia cuba menyentuh bahu gadis muda itu.
Gadis itu mengelak. Melihat reaksi yang kurang
senang daripada gadis muda itu, Tuan Idrus menjauhkan jaraknya.
“Anak sihat?” soalnya.
Gadis itu hanya memandang Tuan Idrus tanpa
seberang reaksi. Panahan matanya yang kelihatan kosong menggamit
tangkai hati Tuan Idrus. Tiba-tiba sahaja satu perasaan simpati terhadap gadis
itu meruntun jiwanya.
“Anak tinggal di mana? Biar pak cik hantar
pulang,” sambung Tuan Idrus lagi.
Gadis itu masih tidak memberikan apa-apa reaksi.
Entah kenapa, melihatkan gadis itu, hatinya tersentuh. Ada satu perasaan sedih,
kasihan dan simpati mula timbul untuk gadis ini.
“Siapa nama anak?” tanya Tuan Idrus lagi.
Gadis itu masih terus memandang dan merenungnya
tanpa kerdipan.
“Tuan, lebih baik kita bawa dia ni ke balai
polis.” Izz berbisik di telinga Tuan Idrus. Dia mula sangsi dengan gadis itu.
Dia khuatir jika mereka silap mengambil langkah mungkin mereka
yang akan terjerat dengan masalah.
Gadis yang masih membisu itu mengerling Izz
dengan tajam. Bagaikan bisa membaca pergerakan bibir Izz, dia mula mengetap
bibir seakan-akan menahan
rasa marah.
“Pak
cik hantar balik, ya,” pujuk
Tuan Idrus lagi. Lebih baik memujuk gadis itu untuk pulang terlebih dahulu
daripada menghantarnya terus ke balai polis, fikir Tuan Idrus.
Gadis itu terus menarik tiub yang sedang
bersambung di tangannya dengan kasar.
“Jangan! Biar saya keluarkan!” Doktor Iwan yang baru
masuk ke situ terkejut dengan tindakan gadis itu.
Gadis itu sudah menarik tiub sehingga tangannya
luka. Doktor Iwan terus menggenggam erat tangan gadis itu. Gadis itu cuba
menepis.
“Tunggu! Biar saya lihat, takut kalau jarumnya
masih tertinggal di dalam,” ujar Doktor Iwan.
Doktor Iwan mencapai tangan gadis itu dan
memeriksa lukanya. Nampaknya jarum yang dimasukkan tadi sudah terkeluar dan
tidak tertinggal di dalam. Kemudian, Doktor Iwan mengambil kapas dan menahan
luka di tangan gadis itu dan membalutnya.
“Lain kali jangan buat macam ni!” tegas Doktor Iwan lalu melepaskan tangan gadis itu.
Gadis itu hanya menjeling.
Gadis itu terlihat beg galasnya yang diletakkan di atas meja kecil lalu mengambilnya
dan turun dari katil untuk pergi dari situ.
“Tunggu, anak nak ke mana? Biar pak cik
hantarkan.” Tuan Idrus menghalang. Dia mula gusar jika apa yang dikatakan Izz benar iaitu gadis ini sedang melarikan diri dari rumah.
“Saya tak nak ke balai polis.” Gadis itu menjeling
Izz dengan tajam kemudian memandang Tuan Idrus.
“Pak cik hantar balik rumah, ya? Rumah anak di mana?”
Tuan Idrus cuba memujuk. Dia mengerling Izz.
“Saya nak pergi jauh dari sini.” Gadis itu
memusing tubuhnya dan memalingkan wajahnya daripada
memandang mereka yang berada di situ.
“Kamu belum bayar bil.” Terus sahaja Doktor Iwan
berkata begitu apabila melihat kedegilan gadis ini. “Kalau kamu nak keluar dari
klinik saya, kamu kena bayar duit rawatan dulu.”
Gadis itu memandang Doktor Iwan sekilas kemudian dia tertunduk memandang lantai. Melihat keadaan begitu,
tahulah Doktor Iwan yang gadis ini tidak punya wang.
“Tuan ini akan membayar bil rawatan kamu.” Dia
menunjuk kepada Tuan Idrus.
“Tapi kamu kena ikut dia. Itu pun kalau kamu
mahu. Kalau tak, sekarang juga saya akan telefon polis,” ugut Doktor
Iwan.
Izz sudah tersenyum. Dia tahu, itu hanyalah
helah Doktor Iwan.
Gadis itu memandang Tuan Idrus.
“Saya akan bekerja dengan tuan sehingga hutang
saya selesai,” katanya.
Tuan Idrus menarik nafas panjang lalu
mengangguk. Satu senyuman terukir di bibirnya.
Doktor Iwan kemudiannya mempelawa Tuan Idrus ke
biliknya semula. Izz diarahkan untuk menunggu bersama gadis muda itu untuk
mengelakkan gadis itu melarikan diri. Kini, tinggallah mereka berdua di dalam
bilik rawatan itu.
Izz terus memandang wajah dingin yang sedang
tegak berdiri kaku, memeluk beg galasnya dengan erat. Gadis itu hanya berdiri
dan memandang terus ke hadapan. Seolah-olah dia tidak wujud di situ.
“Siapa nama awak?” tanya Izz.
Gadis itu mengerling
Izz dengan ekor matanya.
“Awak lari dari rumah?” tanya Izz lagi.
Kali ini, gadis itu terus memusing badannya
berhadapan dengan Izz. Pandangan mata Izz dibalas dengan tajam. Tiada sebarang
kata yang meniti di bibirnya, namun Izz bisa merasakan panahan mata itu. Entah
kenapa Izz rasa seperti mahu ketawa memandang reaksi kaku dan dingin yang
ditunjukkan gadis itu sehingga bibirnya menguntumkan sebuah senyuman.
Berkerut kening gadis itu apabila melihat
senyuman di bibir Izz. Mungkin kerana malas mahu melayan Izz, gadis itu
berjalan ke katil dan duduk di situ dan terus menyepikan diri.
“Izz.” Pintu bilik rawatan terbuka dari luar.
Susuk tubuh Tuan Idrus muncul di situ.
“Mari kita pergi,” arah Tuan
Idrus kemudian hilang dari situ.
“Jom!” Izz memberi arahan agar gadis itu
bergerak mendahuluinya.
Gadis
itu bangun dan berjalan keluar. Izz mengekorinya di belakang.
-----------@@-----------
TERIMA KASIH - ER
-----------@@-----------
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete