Friday 7 August 2015

Senyum Tanda Suka - Bab 1



IZZ MUKMIN sedang memandu Toyota Innova yang berwarna perak. Sesekali dia melirik Tuan Idrus yang sedang membaca surat khabar di belakang melalui cermin di depannya.

Tuan, kejap lagi kita dah masuk Sempadan. Tuan nak singgah mana-mana dulu? Biasanya, kalau Tuan Idrus berada di kawasan bandar pasti dia mahu singgah ke mana-mana untuk membeli hadiah buat Tania sebelum pulang ke Ilham Hati.

Hmm...” Tuan Idrus sedang mencongak pertanyaan Izz sambil melipat surat khabarnya. Apa lagi yang mahu dibelikan buat Tania? Dia bertanya sendiri.

Setiap kali saya ke bandar, macam-macam yang dah saya belikan untuk Tania. Baju, kasut, beg. Bulan lepas, saya dah beli iPad untuk dia. Apa lagi yang boleh saya beli untuk Tania? Tuan Idrus mula berfikir.

Izz melirik Tuan Idrus melalui cermin lagi.

Tuan, maaflah kalau saya nak cakap sesuatu.” Izz bersuara dengan rasa bersalah.Saya tahu, tuan terlalu sayangkan Tania. Tapi, ada kalanya kasih sayang tak boleh ditunjukkan dengan kemewahan.

Izz sering saja merasakan yang Tuan Idrus agak keterlaluan dalam memberikan kemewahan kepada Tania. Namun, siapalah dia untuk menegur sikap lelaki itu?

Maksud kamu?” tanya Tuan Idrus.

Maksud saya, Tania perlukan perhatian dan kasih sayang, bukan kemewahan. Apa yang tuan telah berikan kepada dia dah lebih daripada cukup. Kadang-kadang tuan, kalau kita terlalu memanjakan anak dengan kemewahan, buruk padahnya,” terang Izz.

Hmm...” Terangguk-angguk kepala Tuan Idrus kerana bersetuju dengan kata-kata Izz.

“Saya tahu, saya terlalu sibuk dengan kerja. Saya selalu tinggalkan Tania. Sebab itulah kalau saya ke mana-mana saya akan belikan sesuatu kepada dia untuk menunjukkan yang saya selalu ingat kepada dia.” Tuan Idrus menghela nafas seketika.

“Agak-agak kamulah, apa yang boleh saya bawa pulang untuk Tania kali ni? Tuan Idrus meminta buah fikiran.

Izz sudah tertawa kecil mendengar pertanyaan Tuan Idrus.

Apa-apa saja yang dia suka. Tania anak yang manja. Saya lihat, dia suka sangat dengan teddy bear. Mungkin tuan boleh belikan satu untuk dia,” cadang Izz.

Tapi, dah banyak sangat teddy bear dalam bilik dia tu. Tuan Idrus berfikir lagi.

Memang benar, dah terlalu banyak sangat anak patung beruang di dalam kamar Tania. Kebanyakan pekerjanya memang tahu yang Tania sangat menggilai anak patung beruang. Sebab itulah apabila mereka ke mana-mana, pasti mereka akan belikan untuk Tania. Daripada sekecil-kecil saiz hingga ke sebesar-besar saiz anak patung beruang ada dalam simpanan Tania.

Tuan pernah hadiahkan untuk dia?” tanya Izz.

Tuan Idrus menggeleng.

“Ha... Kalau macam tu, apa kata tuan hadiahkan satu untuk dia? Hadiah yang tuan berikan tentu lebih bermakna buat Tania.”

Tuan Idrus tertawa. Kata Izz ada benarnya. “Kalau macam tu Izz, kita singgah mana-mana kedai dan belikan satu untuk Tania.

Tuan Idrus sudah tersenyum lebar. Dia sudah terbayangkan kegirangan Tania apabila menerima patung beruang daripadanya.

Sebaik sahaja tiba di sebuah kedai yang menjual pelbagai anak patung dan cenderahati, Izz terus memberikan signal untuk memarkir. Ketika dia hendak membetulkan kedudukan kereta di kotak kuning, dia memasukkan reverse gear untuk ke belakang. Tiba-tiba saja satu dentuman yang kuat kedengaran. Pantas Izz menarik brek tangan setelah merasakan dia telah melanggar sesuatu. Dia dan Tuan Idrus bergegas keluar dari dalam kereta.

Terkejut mereka apabila melihat sekujur tubuh kecil milik seorang gadis terbaring di atas jalan. Mereka berpandangan. Izz tidak melanggar sesuatu, tetapi seseorang! Wajah Izz sudah berubah.

Ya Allah! Tuan Idrus terus memangku gadis yang sudah tak sedarkan diri itu.

Angkat dia! Kita bawa dia ke klinik Doktor Iwan,” perintah Tuan Idrus.

Kebetulan, klinik Doktor Iwan terletak selang tiga buah kedai dari kedai cenderamata itu. Dengan pantas Izz mengangkat tubuh gadis itu. Mujurlah saiz gadis itu kecil sahaja. Izz langsung tidak terganggu dengan berat badan gadis itu sehingga dia masih boleh melajukan gerak langkahnya ke klinik Doktor Iwan. Tuan Idrus pula sudah mencapai beg galas yang dibawa gadis tersebut bersama-samanya.

Sampai sahaja di klinik Doktor Iwan, gadis muda itu dibawa masuk ke ruang pemeriksaan. Tuan Idrus dan Izz pula menunggu di luar dengan rasa gelisah. Entah apa yang perlu dijawab kepada keluarga gadis itu jika berlaku sesuatu ke atasnya.

Hampir 45 minit Doktor Iwan menghilangkan diri untuk memeriksa gadis itu di dalam. Kemudian, barulah kelibat salah seorang jururawatnya muncul di situ.

Tuan, Doktor Iwan panggil masuk ke dalam,” kata jururawat itu.

Mereka berdua terus bangun dan masuk ke dalam bilik Doktor Iwan.

Sila duduk Tuan Idrus, Izz,” pelawa Doktor Iwan.

Klinik Doktor Iwan telah menjadi salah satu klinik panel para pekerja Ilham Hati. Walaupun agak jauh daripada Ilham Hati, namun Tuan Idrus lebih mempercayai klinik Doktor Iwan setelah lama menggunakan khidmat doktor itu.

Macam mana doktor?” soal Tuan Idrus.

Di mana tuan jumpa gadis ni? tanya Doktor Iwan lalu duduk di kerusinya dan bertentang mata dengan Tuan Idrus dan Izz. Wajah mereka berdua dipandang.

Kami terlanggar dia tadi. Dia tak sedarkan diri. Sebab tu kami bawa dia ke sini,” terang Tuan Idrus.
“Teruk tak kecederaan dia?” tanya Izz pula.

Dia tak apa-apa. Semuanya okey. Saya percaya gadis ini pengsan bukan kerana dilanggar oleh Izz tadi.”

Maksud doktor? Berkerut dahi Izz.

Saya dah periksa tekanannya. Dia terlalu lemah. Nampaknya, dia dah beberapa hari tak makan,” beritahu Doktor Iwan.

Betulkah doktor? Tuan Idrus mahukan kepastian.

Saya yakin. Saya dah masukkan air ke dalam badannya. Kita tunggu dulu. Biarkan budak tu berehat. Kita lihat perkembangan selanjutnya. Tuan boleh tunggu sehingga budak perempuan tu sedar dan selamat untuk dibawa pulang? soal Doktor Iwan kemudiannya.

Boleh, boleh.” Tuan Idrus mengangguk laju. Namun kemudian dia teringat semula tentang tujuannya untuk membelikan hadiah buat Tania. Sementara dia di sini, boleh tak saya nak tinggalkan dia sekejap? Saya nak pergi beli sesuatu untuk Tania. Hanya di kedai cenderahati di hujung deret ni saja.”

“Oh, boleh. Tak ada masalah. Tania apa khabar?” Doktor Iwan yang sudah mengenali seluruh keluarga Tuan Idrus itu hanya bersetuju. Seraut wajah yang comel dan manja terus menerpa di ruang mata Doktor Iwan.

“Macam tulah doktor. Manja macam dulu jugak. Dah datang sini, saya ingat nak belikanlah sesuatu untuk dia. Nanti merajuk pulak kalau balik dengan tangan kosong,” balas Tuan Idrus.

“Tak apalah. Yang penting dia gembira.” Doktor Iwan hanya tersenyum.

“Terima kasih, doktor. Izz boleh temankan budak tu?” Pandangan Tuan Idrus beralih memandang Izz.

“Boleh, tuan.” Izz memang tidak pernah kata tidak pada setiap arahan Tuan Idrus.


IZZ menarik kerusi dan duduk di sisi gadis itu. Dia memandang seluruh bilik pemeriksaan dan kemudian pandangannya jatuh ke wajah yang tenang di hadapannya. Kedengaran hembusan nafas yang halus. Izz menatap wajah gadis itu. Lama.

Tiba-tiba dia tergamam apabila melihat titisan air mata menitis dari mata kiri itu. Entah kenapa jiwa Izz ikut sebak melihat titisan air mata itu. Izz menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri. Dia mencapai beg galas milik gadis itu yang diletakkan di atas meja kecil bersebelahan kepala katil pesakit.

“Amani.” Izz membaca nama yang tertulis pada key chain yang tergantung di zip beg galas.

Tiba-tiba gadis itu bergerak. Dengan pantas Izz meletakkan semula beg galas itu di atas meja kecil.

“Amani.” Izz cuba menyebut nama itu walaupun dia belum pasti apakah nama itu milik gadis tersebut.

Dengan perlahan gadis itu membuka matanya. Sorotan matanya terus terhala ke wajah Izz. Izz mengukirkan senyuman untuk gadis yang masih kelihatan lesu itu. Melihat wajah Izz, gadis itu terus bergerak untuk bangun.

“Jangan bangun.” Izz menyentuh bahu gadis itu untuk menghalangnya.

Gadis itu menepis tangan Izz.

“Awak masih lemah. Awak rehatlah,” ujar Izz.

Gadis itu terus memandang Izz dengan pandangan kurang senang.

“Okey, biar saya keluar dari sini. Awak berehat.” Izz terus melangkah keluar apabila merasakan kehadirannya tidak disukai.

Dia menemui jururawat di situ dan memberitahu tentang perkembangan gadis itu. Jururawat segera masuk ke bilik pemeriksaan.

“Izz.” Tuan Idrus yang baru tiba di situ menyentuh bahu Izz.

“Tuan.” Izz bangun daripada duduk.

“Budak perempuan tu dah sedar,” beritahu Izz.

“Alhamdulillah.” Tuan Idrus menarik nafas lega.

“Tuan, tuan boleh masuk ke dalam.” Jururawat yang sebentar tadi menghilangkan diri muncul semula.

Tuan Idrus dan Izz melangkah masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Masuk sahaja di bilik itu, kelihatan gadis itu sedang bersandar di kepala katil. Sambungan drip masih ada di tangannya. Gadis itu memandang mereka silih berganti.

“Anak...” Tuan Idrus menghampiri gadis itu. Dia cuba menyentuh bahu gadis muda itu.

Gadis itu mengelak. Melihat reaksi yang kurang senang daripada gadis muda itu, Tuan Idrus menjauhkan jaraknya.

“Anak sihat?” soalnya.

Gadis itu hanya memandang Tuan Idrus tanpa seberang reaksi. Panahan matanya yang kelihatan kosong menggamit tangkai hati Tuan Idrus. Tiba-tiba sahaja satu perasaan simpati terhadap gadis itu meruntun jiwanya.

“Anak tinggal di mana? Biar pak cik hantar pulang,sambung Tuan Idrus lagi.

Gadis itu masih tidak memberikan apa-apa reaksi. Entah kenapa, melihatkan gadis itu, hatinya tersentuh. Ada satu perasaan sedih, kasihan dan simpati mula timbul untuk gadis ini.

“Siapa nama anak?” tanya Tuan Idrus lagi.

Gadis itu masih terus memandang dan merenungnya tanpa kerdipan.

“Tuan, lebih baik kita bawa dia ni ke balai polis.” Izz berbisik di telinga Tuan Idrus. Dia mula sangsi dengan gadis itu. Dia khuatir jika mereka silap mengambil langkah mungkin mereka yang akan terjerat dengan masalah.

Gadis yang masih membisu itu mengerling Izz dengan tajam. Bagaikan bisa membaca pergerakan bibir Izz, dia mula mengetap bibir seakan-akan menahan rasa marah.

Pak cik hantar balik, ya,” pujuk Tuan Idrus lagi. Lebih baik memujuk gadis itu untuk pulang terlebih dahulu daripada menghantarnya terus ke balai polis, fikir Tuan Idrus.

Gadis itu terus menarik tiub yang sedang bersambung di tangannya dengan kasar.

“Jangan! Biar saya keluarkan!” Doktor Iwan yang baru masuk ke situ terkejut dengan tindakan gadis itu.

Gadis itu sudah menarik tiub sehingga tangannya luka. Doktor Iwan terus menggenggam erat tangan gadis itu. Gadis itu cuba menepis.

“Tunggu! Biar saya lihat, takut kalau jarumnya masih tertinggal di dalam,” ujar Doktor Iwan.

Doktor Iwan mencapai tangan gadis itu dan memeriksa lukanya. Nampaknya jarum yang dimasukkan tadi sudah terkeluar dan tidak tertinggal di dalam. Kemudian, Doktor Iwan mengambil kapas dan menahan luka di tangan gadis itu dan membalutnya.

“Lain kali jangan buat macam ni!” tegas Doktor Iwan lalu melepaskan tangan gadis itu.

Gadis itu hanya menjeling. Gadis itu terlihat beg galasnya yang diletakkan di atas meja kecil lalu mengambilnya dan turun dari katil untuk pergi dari situ.

“Tunggu, anak nak ke mana? Biar pak cik hantarkan.” Tuan Idrus menghalang. Dia mula gusar jika apa yang dikatakan Izz benar iaitu gadis ini sedang melarikan diri dari rumah.

“Saya tak nak ke balai polis.” Gadis itu menjeling Izz dengan tajam kemudian memandang Tuan Idrus.

Pak cik hantar balik rumah, ya? Rumah anak di mana?” Tuan Idrus cuba memujuk. Dia mengerling Izz.

“Saya nak pergi jauh dari sini.” Gadis itu memusing tubuhnya dan memalingkan wajahnya daripada memandang mereka yang berada di situ.

“Kamu belum bayar bil.” Terus sahaja Doktor Iwan berkata begitu apabila melihat kedegilan gadis ini. “Kalau kamu nak keluar dari klinik saya, kamu kena bayar duit rawatan dulu.”

Gadis itu memandang Doktor Iwan sekilas kemudian dia tertunduk memandang lantai. Melihat keadaan begitu, tahulah Doktor Iwan yang gadis ini tidak punya wang.

“Tuan ini akan membayar bil rawatan kamu.” Dia menunjuk kepada Tuan Idrus.

“Tapi kamu kena ikut dia. Itu pun kalau kamu mahu. Kalau tak, sekarang juga saya akan telefon polis,” ugut Doktor Iwan.

Izz sudah tersenyum. Dia tahu, itu hanyalah helah Doktor Iwan.

Gadis itu memandang Tuan Idrus.

“Saya akan bekerja dengan tuan sehingga hutang saya selesai,” katanya.

Tuan Idrus menarik nafas panjang lalu mengangguk. Satu senyuman terukir di bibirnya.

Doktor Iwan kemudiannya mempelawa Tuan Idrus ke biliknya semula. Izz diarahkan untuk menunggu bersama gadis muda itu untuk mengelakkan gadis itu melarikan diri. Kini, tinggallah mereka berdua di dalam bilik rawatan itu.

Izz terus memandang wajah dingin yang sedang tegak berdiri kaku, memeluk beg galasnya dengan erat. Gadis itu hanya berdiri dan memandang terus ke hadapan. Seolah-olah dia tidak wujud di situ.
“Siapa nama awak?” tanya Izz.

Gadis itu mengerling Izz dengan ekor matanya.

“Awak lari dari rumah?” tanya Izz lagi.

Kali ini, gadis itu terus memusing badannya berhadapan dengan Izz. Pandangan mata Izz dibalas dengan tajam. Tiada sebarang kata yang meniti di bibirnya, namun Izz bisa merasakan panahan mata itu. Entah kenapa Izz rasa seperti mahu ketawa memandang reaksi kaku dan dingin yang ditunjukkan gadis itu sehingga bibirnya menguntumkan sebuah senyuman.

Berkerut kening gadis itu apabila melihat senyuman di bibir Izz. Mungkin kerana malas mahu melayan Izz, gadis itu berjalan ke katil dan duduk di situ dan terus menyepikan diri.

“Izz.” Pintu bilik rawatan terbuka dari luar. Susuk tubuh Tuan Idrus muncul di situ.

“Mari kita pergi,” arah Tuan Idrus kemudian hilang dari situ.

“Jom!” Izz memberi arahan agar gadis itu bergerak mendahuluinya.

Gadis itu bangun dan berjalan keluar. Izz mengekorinya di belakang.


-----------@@-----------
TERIMA KASIH - ER
-----------@@-----------






1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete