Monday, 21 March 2011

Ilham Hati - Prolog








Tajam matanya memerhatikan setiap lukisan yang tergantung di setiap sudut pameran. Setiap satu lukisan diperhatikannya lama. Dia cuba menafsirkan setiap lukisan yang cuba disampaikan oleh pelukis.


Lukisan-lukisan yang berjaya menarik perhatiannya akan diperhatikan lebih lama dan dia akan cuba menjiwai setiap mesej yang disampaikan melalui lukisan tersebut. Lukisan abstrak adalah lukisan yang paling digemarinya, lukisan yang meluahkan perasaan secara tersembunyi. Kebanyakan lukisan abstrak melambang dirinya.

Tanpa disedari, dirinya telah qmenjadi perhatian sedari tadi, sejak kakinya melangkah masuk ke dalam bangunan pameran. Sepasang mata itu tidak lekang dari melihatnya. Hanya menunggu masa yang sesuai untuk bersuara. Apatah lagi melihat Amani yang sedang berbual dengan pekerja di situ berkenaan lukisan-lukisan yang dipamerkan.

Melihat sahaja kelibat pekerja itu berlalu dan tinggal Amani sendirian, dia bergerak menghampiri. Dia berdiri di di depan sebuah lukisan yang bersebelahan dengan lukisan yang sedang diperhatikan Amani. Pandangannya di halakan ke depan, pada lukisan yang dipamerkan.

“Lukisan tu memang cantikkan?” tegur satu suara halus sehingga tumpuan Amani beralih memandang empunya suara itu. Kelibat seorang gadis muda membuatkan Amani sedikit terkejut. Gadis itu menoleh pada Amani. Amani memandangnya sekilas dan kemudian kembali memandang lukisan tadi tanpa memperdulikan gadis muda itu.

Tania mengetap bibirnya. Matanya mengecil sambil merenung Amani tajam. Wajah itu sentiasa begitu. Tegang dan tidak pernah menyenangkan. Memang sukar untuk mendekati Amani. Lebih sukar lagi untuk mendapat perhatiannya. Tania memang sengaja datang ke sini apabila dia mendapat tahu dari Pak Cik Arman tentang kedatangan Amani di situ. Menurut Pak Cik Arman, Amani sedang mempromosikan corak-corak kain terbaru untuk dipasarkan.

Kakak tirinya itu memang kuat semangat dan bekerja keras. Adakalanya, dia sendiri merasa cemburu dengan Amani. Walaupun dia adalah waris asli dan anak kandung papa, namun papa kelihatannya lebih mempercayai kemampuan Amani berbanding dirinya sendiri. Kerana jauh hati dengan sikap papa, dia membawa diri ke Bandar Georgetown. Dia mahu berdikari dan membuktikan yang dia juga boleh berjaya seperti Amani.

Tetapi belum sampai setahun pun dia menginap sendirian di bandar itu, dia merasa tewas untuk mengejar cita-citanya sendiri. Segala kemewahan yang sudah papa sediakan digunakan dengan sewenang-wenangnya.

Kelmarin, papa menghubunginya dan papa sangat marah apabila bil kad kredit yang digunakan melambung tinggi. Kerana itu dia datang ke mari apabila mendapat tahu kehadiran Amani di sini. Hanya Amani yang bisa membantunya sekarang. Tiba sahaja dia di sini, dia terlihat Amani yang baru selesai kerjanya berjalan menghampiri pameran lukisan itu. Dia mengikuti langkah Amani tanpa disedari Amani sendiri.

Tania mencebikkan wajahnya apabila melihat Amani yang langsung tidak mengambil peduli dengan kehadirannya di situ. Matanya menyoroti langkah Amani yang menghampiri salah seorang pengajur penganjur lukisan. Kelihatannya Amani begitu berminat dengan lukisan abstrak yang dilihatnya tadi. Dan penganjur itu kelihatan bersungguh-sungguh menerangkan sesuatu kepada Amani.

Setelah berbual sebentar dengan penganjur pameran, Amani kembali berjalan dan memerhatikan lukisan yang lain. Dia berlagak seolah-olah kelibat Tania tiada di situ.

“Kakak……” panggil Tania. Amani masih dingin. Panggilan Tania dibiarkan sepi. “Kakak nak beli lukisan tu ke?” Amani menghentikan langkahnya lalu berpaling memandang wajah Tania dengan pandangan kurang senang. Tetapi dia tidak bersuara sedikit pun. “Lukisan tu langsung tak menarik. Apa yang saya lihat cuma contengan semata-mata!” Tania menerangkan pendapatnya.

Amani ketawa sinis. Apalah yang budak hingusan ni tahu tentang seni? Apa yang dia tahu hanyalah seni untuk meriaskan diri sendiri. “Apa yang kau faham tentang lukisan?” tanya Amani. “Kau tak pernah faham apa-apa!” Wajah manja Tania dipandangnya.

Kedengaran tawa sinis Tania. Tania bergerak dua langkah ke hadapan. Ini membuatkan dia berdiri selari dengan Amani. Tetapi wajah itu tidak dipandangnya. Sengaja dia membuang pandangannya ke lukisan di depannya.

“Macam-macam yang saya dah belajar tentang lukisan! Izz yang ajar saya tentang semua ni," ujar Tania seraya dengan itu pandangannya beralih memandang Amani. "Izz yang beritahu saya tentang pameran di sini!” Tania sekadar berbohong. Dia tidak pernah dan tidak minat untuk mengetahui tentang lukisan. Malah Izz juga sudah lama tidak ditemui. Sengaja dia menyebut nama itu untuk melihat reaksi Amani.

Mendengar sahaja nama Izz disebut, pantas mata Amani menangkap wajah Tania. Izz? Sudah lama dia tidak mendengar nama itu. Lapan tahun lamanya nama itu berkubur dari pendengarannya. Kenapa tiba-tiba hari ini nama itu kedengaran lagi? Itu pun dari Tania? Apakah selama ini Tania masih berhubungan dengan Izz?

Tania menoleh pada Amani yang berdiri di kanannya. Mata Amani masih melekat di wajahnya. Dia cuba membaca reaksi Amani. Tiada satu suara yang kedengaran dari bibir Amani. Amani masih diam dan kaku seperti tadi. Apa yang bermain di fikiran kakak tirinya itu? Wajah itu masih kelihatan dingin dan kaku seperti selalu. Reaksi yang diharap-harapkan dari Amani tidak langsung kelihatan. Kakak tirinya memang begitu. Sentiasa tegang, dingin dan kaku. Entah apa yang tersirat di balik sikap dinginnya itu!

Amani kembali menjeling lukisan di depannya. Pandangan Tania tidak dipedulikan lagi. Dia perlu lupakan Izz sebagaimana Izz melupakannya. Malah Izz sudah tiada dalam hidupnya sejak lapan tahun lalu.

“Kenapa? Kakak dah lupakan Izz?” Tania masih cuba untuk bermain dengan perasaan Amani. "Sejak Izz pergi, dia tidak pernah lupakan saya. Kami sentiasa berhubung. Saya tak sangka kakak boleh lupakan dia!” Tania menoleh lagi pada Amani. “Atau…..dia tak pernah hubungi kakak?”

Tertusuk pedih hati Amani mendengar pertanyaan Tania. Tetapi dia berlagak biasa. Dia memang tidak suka menunjukkan perasaannya pada orang lain. Dia sudah terbiasa begitu. Dan baginya, perasaan orang lain juga tidak perlu di ambil tahu. Masing-masing hanya perlu menjaga perasaan sendiri!

Sampai hati Izz meninggalkannya tanpa berita dan langsung tidak pernah menghubunginya. Sedangkan Tania….. Izz sudah mengajarkan sesuatu yang sangat berharga untuknya, iaitu kasih sayang itu tak pernah wujud. Kasih sayang itu hanyalah suatu penderitaan.

Ternganga sedikit mulut Tania apabila tiada apa-apa reaksi yang ditunjukkan Amani. Tidak terdetik langsungkah perasaan Amani dengan kata-katanya. Bukankah Amani punya perasaan pada Izz? Tak mungkin Amani bisa melupakan Izz dengan begitu mudah. Sedangkan dia sendiri tak pernah melupakan lelaki itu.

Sejak Izz pergi lapan tahun lalu, tiada seorang pun yang tahu tentang khabarnya temasuklah Tania sendiri. Sengaja dia bekata begitu untuk menyakitkan hati Amani. Tetapi Amani…….tiada perasaankah perempuan itu? Amani tetap seperti selalu. Dingin! Kaku! Beku! Hatinya pula yang terasa sakit melihat Amani yang kelihatan biasa begitu. Dia sentiasa merasa kalah dengan Amani. Amani melangkah meninggalkannya.

"Kakak!" Tania mengekori langkah Amani. "Kakak kena tolong Tania!" kata Tania.

Amani menghentikan langkahnya dan menoleh ke belakang, memandang wajah Tania yang sudah berubah seakan meraih simpati darinya. Bukan dia tak tahu apa yang dilakukan Tania hingga menyebabkan Tuan Helmi marah padanya. Tania perlu belajar menerima hukuman di atas kesalahannya sendiri. Amani berpusing dan berjalan semula meninggalkan Tania.

"Kakak!!" Tania berlari-lari anak membontoti langkah Amani. Amani melajukan langkahnya menuju ke kereta. "Kakak, tolonglah Tania, kak!" rayu Tania. Amani tetap tak pedulikannya. "Tania lakukan semua ni sebab kakak! Sebab mak!!" Tania meluahkan perasaannya yang terpendam. Air matanya bergenang. "Kakak sikit pun tak hargai apa yang Tania lakukan! Kakak memang kejam!!" Dia tahu memang dia salah kerana mengambil kesempatan atas kemewahan yang papa sediakan. Tapi, semua wang yang digunakan bukan untuknya sahaja. Hampir kesemuanya digunakan untuk membeli barang-barang buat mak dan Amani.

"Jangan sangkutkan orang lain pada kesalahan sendiri!" Tegas Amani.

"Tania tak bohong. Tania berbelanja untuk mak, kakak...." Tania bersuara sayu.

Amani memandang wajah murah itu. Dia tahu, Tania akan lakukan apa sahaja untuk melihat mak gembira, untuk membuat mak memberi perhatian padanya. Hanya mak yang suka mengambil kesempatan atas kebaikan dan kebodohan Tania.

"Kau percaya pada Tuhan, kan?" tanya Amani. "Kalau kau percaya pada Tuhan, tentu kau orang yang ada akal! Gunakan akal kau! Jangan sampai dipergunakan orang!" Amani membuka pintu kereta. "Masuk!!" arahnya. Tania mengikut arahan Amani dan masuk ke dalam kereta. Amani terus memandu laju.

"Kakak..... Tolonglah pujuk papa. Tania janji, Tania takkan buat lagi. Kalau Tania nak apa-apa, Tania akan berterus terang pada papa."

“Kenapa sebelum kau buat, kau tak fikir macam tu?” tanya Amani. Tania tertunduk membisu. "Mak yang suruh kau belanjakan wang yang Tuan Helmi bagi?" soal Amani. Tania menggelengkan kepalanya. Amani memandangnya sekilas. Tania terlalu terpengaruh dengan mak sehingga sanggup menetup kesalahannya. Betapa bodoh dan polosnya Tania! Tania tetap Tania yang dahulu. Sikit pun tidak berubah. Kerana kebodohannya ini, dirinya sendiri ditimpa masalah. "Sampai bila kau baru nak sedar dari kebodohan kau?!"














2 comments:

  1. B-Bestlah prolognya
    E-Entah-entah lg best dr KRS and HD tak?
    S-Selalu-selalulah postkan new N3yer
    T-takut-takut nanti lupa pulak jalan ceritanya

    ReplyDelete
  2. hurmm,beginning dia cam citer korea cinderella's sister...nk baca next entry!

    ReplyDelete