Ada seorang lelaki yang sudah lama menderita penyakit jiwa. Dia asyik berkurung di dalam rumah kerana takut bertemu dengan orang lain. Jangankan bergaul, melihat orang saja pun dia akan terketar-ketar ketakutan.
Apabila ditanya sebab dia berkeadaan seperti itu, katanya, “Saya berasa diri saya macam seekor kambing dan orang lain macam harimau. Mereka semua akan membaham saya. Saya takut!”
Dia dihantar ke hospital sakit jiwa oleh keluarganya untuk dirawat. Di sana, pemuda itu dilatih dan dirawat dengan pelbagai cara utnuk menyakinkan dia adalah seorang orang manusia, bukan kambing.
Setelah setahun menerima rawatan, dia pun diuji oleh pakar psikologi yang merawatnya.
“Baiklah, sekarang saya ingin bertanya, siapa kamu?” Tanya doktor pakar.
“Saya manusia.”
“Bukan kambing?”
“Bukan! Saya manusia!”
“Cuba ulang,” pinta doktor.
“Saya manusia, saya manusia, saya manusia!”
“Bagus, sekarang kamu boleh pulang. Bergaullah dengan orang ramai, kerana kamu berhak untuk itu. Jangan takut lagi.”
Dalam perjalanan pulang dia dibawa singgah di sebuah restoran yang dikunjungi ramai orang.
“Takut. Takut. Saya nak pulang!”
“Eh, kenapa takut? Kamu kan manusia bukannya kambing!”
“Ya, ya, saya yakin saya memang manusia. Tapi bagaimana kalau harimau-harimau itu masih melihat dan menganggap saya sebagai kambing?”
Pengajaran:
Orang yang ditimpa penyakit hina diri yang kronik sentiasa membandingkan dirinya dengan orang lain secara tidak sihat. Dia sentiasa rasa tidak layak, tidak selesa dan tidak seronok dengan dirinya.
No comments:
Post a Comment