Wednesday, 30 March 2011

Menggali Harta Karun

Seorang ayah yang sedang nazak berwasiat kepada anak-anaknya: "Jika ayah meninggal, kamu bertiga bersihkanlah tanah hutan milik kita di belakang rumah ini. Carilah di dalamnya harta karun yang ayah simpan untuk kamu."

Spontan anak yang sulung bertanya: "Bolehkah ayah beritahu secara tepat lokasi harta karun itu?"

Si ayah hanya menggelengkan kepala.

"Bang, tak payahlah kita paksa ayah. Ayahkan tenat..." kata anak bongsu.

"Eh, kau bukan senang nak bersihkan kawasan seluas itu. Kalau ayah dapat beritahu tempatnya, kan lebih senang?" sampuk anak kedua.

Tidak lama kemudian ayah mereka meninggal.

Tidak lama kemudian, kedua-dua anak yang sulung dan anak yang kedua tanpa berlengah terus menebas kawasan hutan dan menggali di tempat-tempat yang mereka rasa harta karun itu berada. Setelah beberapa lama menebas dan menggali, harta karun masih tidak ditemui.

"Ah! Mana ada harta! Agaknya ayah bercakap dalam keadaan buang tebiat...."kata anak sulung.

"Tak mungkin ayah dah tak berapa waras ketika memberi wasiat kepada kita itu."

Mendengar kata-kata tidak sopan abang-abangnya itu, si adik bingsu berkata, "Kita kenal ayah. Kata-kata ayah selalu benar. Tidak ada sebab ayah hendakmenipu kita."

"Baiklah, kalau kau percaya sangat, kau seorang sajalah tebas hutan ni dan teruskan menggali," ujar abangnya.

Si adik menyambung kerja menebas dan menggali tanah itu.. Tidak lama kemudian, seluruh hutan dan tanah itu menjadi terang dan gembur.

"Macam mana? Ada harta karun?" tanya abang-abangnya dengan nada mengejek.

Namun si adik bongsu tetap yakin si ayahnya bercakap benar. tidak mungkin ayahnya berbohong. cuma, apakah hakikat sebenarnya yang ayah maksudkan?

Lama-kelamaan si anak sulung dan anak kedua meninggalkan kampung untuk mencari penghidupan di kota. mereka kecewa kerana mengharap harta karun yang tidak ada. Tanah itu mereka serahkan sepenuhnya kepada adik bongsu mereka.

Melihat tanah kosong yang telah diterangi itu, timbul idea dalam benak si bongsu untuk bercucuk tanam. Dia mulai dengan menanam jagung, kacang dan sayur-sayuran yakni yang cepat mendatangkan hasil. hasil tanamannya dijual dan mendapat sedikit keuntungan.

Setelah mengumbul modal, tanah itu ditanam pula dengan pokok buah-buahan.

Beberapa waktu kemudian, ladang buah-buahannya mengeluarkan hasil yang agak lumayan. Di samping menjadi pembekal sayur, kacang dan jagung, dia kini bergelar pengeluar buah-buahan. dalam beberapa tahun dia menjadi pengusaha maju dan berjaya.

Kini barulah dia faham apa yang dimaksudkan oleh ayahnya mengenai harta karun itu.

Ayahnya tahu rahsia kerajinan, ketabahan dan sikap tidak putus asa dalam berusaha, itulah harta karun yang dimaksudkan ayahnya dahulu.





Pengajaran:

Tiada jalan pintas untuk mendapat kejayaan dalam hidup. semuanya perlukan usaha dan kesabaran. Jika kita berusaha dengan seluruh tenaga dan kemampuan diri, kita akan melihat ruang dan peluang sentiasa ada untuk dicapai.



No comments:

Post a Comment